POETRY
Jika sebatang pokok tumbang dalam rimba, tiada sesiapa di situ mendengarkannya, adakah ia menghasilkan dentuman? Aku sering berkata ya, tapi sejak akhir-akhir ini, aku menafikannya. Apa yang soalan ini tanya sebenarnya ialah jika kewujudan pokok bergantung kepada penilaian seseorang, apakah sesuatu menjadi kurang nyata atau malah palsu, jika tiada seseorang pun melihatnya? Aku hendak kata tak tapi jauh dalam tubuh aku menjerit-jerit sebaliknya. Kau tahu, apabila aku analogikan diri aku sebagai sebatang pokok, tiba-tiba semua jadi jelas. Sebagai seorang penulis, seorang artis, apa yang aku lakukan bukanlah untuk meminta-minta dilihat, melolong untuk mengatakan aku ada di sini, aku benar-benar ada, aku wujud. Dari mana keputusasaan ini muncul jika tak dari kefahaman mendalam bahawa sebahagian kewujudan bergantung kepada tanggapan, dari mana pula keinginan menjelma jika tak dari ciri-ciri kerisauan asas yang sudah sebati bahawa aku sebatang pokok dalam hutan kecil tumbang tanpa seseorang pun mendengarkannya.
Comments
Post a Comment