[nota awal: Saya terjemah sebuah artikel Time 25 April-2 May 2022 untuk kajian dan bukan bermakna saya menyokong sama ada penulisnya, Amerika Syarikat, Russia atau pihak-pihak berkaitan. Artikel ini diadaptasi daripada buku, Browder’s Freezing Order: A True Story of Money Laundering, Murder, and Surviving Vladimir Putin’s Wrath. Diterbitkan oleh Simon & Schuster.]
Sewaktu kita melihat pembantaian beramai-ramai dilaksana Putin terhadap warga Ukraine yang tak berdosa, kita cuba memahami pencetus motivasinya. Ada yang kata dia bertindak balas terhadap kehadiran NATO; yang lain memberikan sebabnya ialah Putin enggan tunduk terhadap Ukraine yang berkiblat ke Barat. Ada yang masih mendakwa Putin kecewa dengan perpecahan Kesatuan Russia lalu dia ingin mencantumkan semula semua negara terbabit.
Menurut perspektif saya, ia
bukan berkaitan dengan alasan-alasan di atas. Ia sekadar duit. Berbeza dengan
kerajaan-kerajaan lain, Russia bukan wujud untuk berkhidmat kepada rakyat tapi
untuk memperkayakan pegawai-pegawai kanan melalui wabak rasuah. Semakin kanan
kau, semakin kaya kau. Dan, yang paling kanan, Vladimir Putin menjadi yang
paling kaya. Saya agak kekayaannya lebih $200 bilion.
Saya lihat bagaimana rasuah di
Russia berlaku depan mata saya sendiri. Sedekad, di antara 1996 dan 2005, saya
mengendalikan sebuah firma pelaburan paling besar di Russia. Model bisnes saya
mudah: beli saham syarikat-syarikat Russia yang sengaja direndahkan nilainya,
dedahkan aktiviti rasuah dalam syarikat-syarikat ini dan kemudiaannya lihat
harga sahamnya naik kerana syarikat-syarikat ini perlu melakukan pembersihan.
Cara ini bagai suatu sihir. Bagaimanapun, seperti yang anda boleh
bayangkan, oligarki-oligarki (ahli-ahli perniagaan paling kaya yang rapat
dengan pegawai-pegawai kerajaan) dan pegawai-pegawai yang rasuah tak gembira
dengan usaha saya. Pada November 2005, saya dihalau keluar dari negara ini dan
diisytihar sebagai ancaman terhadap keselamatan Russia.
Saya pindah ke London lantas kumpulkan
semula ahli-ahli kumpulan kecil saya. Kami cairkan dana aset-aset di Russia.
Pada 2006, syarikat-syarikat induk kami dilaporkan memperoleh keuntungan $1
bilion, dengan membayar $230 juta cukai kepada Perbendaharaan Rusia. Saya seterusnya
berpatah arang berkerat rotan dengan Russia.
Tapi, Russia tak begitu.
Pada 2007, pejabat saya di
Moskow digeledah Kementerian Dalam Negeri. Semua dokumen kami dirampas, dan ia
diguna sebagai bukti kepada skim penipuan rebat cukai yang amat kompleks.
Mereka melakukan tindakan ini bagi mengaut $230 juta daripada Perbendaharaan
Russia yang telah menerima bayaran cukai berkenaan daripada syarikat-syarikat
pelaburan induk kami.
Peguam saya, Sergei Magnitsky
mengetahui jenayah ini, lalu dia sedia menjadi saksi menentang pegawai-pegawai
terbabit. Sebagai tindak balas, dia ditahan. Dia ditahan selama 358 hari,
disiksa, dan dibunuh pada 16 November 2009 sewaktu dalam tahanan polis Russia.
Dia baru berusia 37 tahun. Dia meninggalkan seorang isteri, seorang anak lelaki
7 tahun, dan seorang ibu yang penyayang.
Sejak itu, misi sepanjang
hayat saya ialah untuk mendapatkan keadilan terhadap Sergei. Malangnya,
mustahil untuk memperoleh keadilan di Russia. Kerajaan Russia menaikkan pangkat
orang yang membunuh Sergei, beri pula anugerah negara. Tiga tahun selepas
Sergei dibunuh, kerajaan Russia menghadapkan dia ke mahkamah iaitu suatu kes
pertama kali dalam sejarah negara ini iaitu dakwaan terhadap orang yang sudah
meninggal dunia .
Cerita ini adalah suatu
mikrokosmos (benda-benda yang mempunyai ukuran sangat kecil) mengenai apa yang
berlaku setiap hari di Russia. Anda perlu mendarabkan jumlah yang Sergei temui
dengan 1,000 untuk memperolehi jumlah sebenar yang dicuri Putin dan
kroni-kroninya.
Masalah bagi Putin ialah tahap
rasuah ini tak berkekalan. Kerajaan Russia tunjukkan demokrasi kepada
rakyatnya. Dan, mereka ini adalah golongan yang tak menerima bantuan kesihatan,
tak berpelajaran, tanpa jalan tar dan kehidupan tak selesa berbanding
pegawai-pegawai kanan dalam regim Putin yang mempunyai kapal-kapal layar,
jet-jet peribadi, dan vila-vila di selatan Perancis. Berikutan itu, walau macam
mana pun dilakukan ahli-ahli propaganda kerajaan Russia, rakyat akan menjadi
marah. Putin lihat keliling dan apa yang dia lihat menakutkannya. Di
Kazakhstan, seorang diktator, Nursultan Nazarbayev telah disingkir pada Januari.
Di Belarus, Presiden Alexander Lukashenko hampir ditumbangkan akibat penipuan
sewaktu pilihan raya 2019. Hanya kerana campur tangan Putin menyebabkan
Lukashenko kekal berkuasa.
Oleh itu, Putin menggali
maklumat dari buku strategi lalu mencetuskan peperangan. Kini, berbeza dengan
rakyat Rusia yang marah kepadanya, mereka kini marah terhadap Ukraine yang
diperlihat sebagai bercorak Nazi atau Amerika Syarikat atau NATO.
Sehingga ini, dia kelihatan
berjaya dengan tahap sokongan rakyat Russia terhadapnya sekitar 83 peratus.
Namun, jelas Putin ini syaitan.
Ini bukan ucapan semberono. Ini fakta. Dia tidak ambil kira mengenai nyawa
manusia dan hanya bernafsu untuk kekal berkuasa dan duit. Mengikut
perkiraannya, duit adalah kuasa, dan begitulah sebaliknya.
Menakjubkan, Putin sendiri
kini disekat pihak Barat. Tapi, bukan mudah untuk mencari di mana duitnya. Saya
telah mencuba 14 tahun untuk memahami duit gelap yang mengalir keluar Russia.
Setelah kita menemuinya, kita terpaksa membayar pada harga yang mahal.
3 April 2016, akhbar Britain, The Guardian menyiarkan sebuah artikel bertajuk,”Terdedah: $2 bilion wang luar pesisir berkait dengan Vladimir Putin.” Pengarangnya ialah sebahagian daripada konsortium 370 wartawan dari 80 negara yang melaporkan data bocor yang dikenali sebagai Pandora Papers.
Maklumat utama ialah terdapat lebih
11 juta dokumen yang dipegang sebuah syarikat guaman di Panama, Mossack
Fonseca. Fail-fail berkenaan mendedahkan maklumat lengkap beratus-ratus ribu
syarikat luar pesisir dan akaun milik orang-orang kaya di seluruh dunia.
Artikel-artikel dipecahkan
kepada negara dan setiap negara punya seorang terkenal. Bagi Russia, seorang
pemain celo klasik, Sergei Roldugin.
Roldugin bukan sekadar pemain
celo, dia juga rakan rapat Putin sejak 1970-an. Walaupun Roldugin mengaku dia
memandu kereta terpakai dan main celo yang juga alat muzik terpakai, dia
menguasai syarikat-syarikat yang memiliki aset-aset berbilion dolar sejak
Putin mulai berkuasa, secara efektif menjadikannya sebagai seorang ahli muzik
paling kaya di dunia.
Carian pantas melalui Google
mendedahkan ahli-ahli muzik kaya adalah Jay-Z, Sir Paul McCartney, dan Sir
Andrew Lloyd Webber yang masing-masing mempunyai kekayaan sekitar $1.25 bilion,
Yo-Yo Ma mungkin seorang pemain celo yang paling kaya di dunia, dan dia hanya
mempunyai kekayaan kira-kira $25 juta.
Bagaimana Roldulgin menjadi
begitu kaya? Jawapannya, mengikut pendapat saya, pemain celo ini menjadi penama
kepada rakan lamanya, Vladimir Putin.
Seperti mana pengkaji Russia
tahu, Putin sukakan duit. Tapi, disebabkan dia seorang presiden, dia cuma boleh
menerima gaji rasmi sekitar $300,000 setahun dan dia tak boleh miliki aset
melebihi nilai yang dikumpulkannya sebelum berada dalam kerajaan. Jika tidak,
sesiapa yang memilki satu salinan penyata bank atau pendaftaran harta dengan
nama Putin tercatat pada dokumen berkenaan boleh menggunakannya sebagai bahan
untuk memeras ugutnya. Putin sedar hal ini kerana dia telah guna taktik ini
banyak kali terhadap musuh-musuhnya.
Oleh itu, Putin perlu orang
lain memegang duitnya bagi mengelak ada dokumen yang dapat dikaitkan dengan
dirinya. Untuk ini, dia perlu orang-orang yang dia boleh percaya. Dalam
organisasi semacam mafia, orang-orang ini sukar ditemui. Tiada komoditi yang
lebih bernilai berbanding kepercayaan.
Roldugin adalah orang yang
semacam itu bagi Putin. Sejak mereka berdua mula bertemu di jalanan di Leningrad sewaktu berusia
20-an, mereka seperti adik beradik. Roldugin memperkenalkan kepada Putin
perempuan untuk dijadikan isterinya. Dia juga menjadi godfather kepada anak pertama perempuan Putin. Sepanjang
dekad-dekad bersama, mereka menjadi rakan karib.
Bagi kami, berita mungkin
lebih dramatik jika kami boleh kaitkan $230 juta bayaran balik cukai yang
menyebabkan Sergei Magnitsky terbunuh dengan Putin melalui pembabitan Roldugin.
Ia akan menjadi suatu bentuk permainan baru.
Dua hari kemudian, sebuah
laman sesawang tak terkenal di Lithuania melaporkan sebuah daripada syarikat
yang mempunyai hubungan dengan Roldugin telah menerima $800,000 dari sebuah
akaun di Bank Lithuania. Akaun ini milik sebuah shell company (sebuah syarikat tak aktif yang digunakan untuk pelbagai
tujuan urusan kewangan atau dibiarkan diam begitu sahaja dan hanya digunakan
pada masa depan) yang bernama Delco Networks.
Kami mencari pangkalan data
penggubahan wang haram dan dapati $800,000 ini berkait dengan bayaran balik
cukai $230 juta. Setelah mengalir keluar Russia, wang ini telah melalui rangkaian
bank di Moldova, Estonia, dan akhirnya Lithuania.
Kini kita boleh kaitkan
jenayah yang didedahkan Sergei Magnitsky dan dia dibunuh kerana Roldugin. Dan
daripada Roldugin kita boleh kaitkannya dengan Presiden Russia, Vladimir Putin.
Ini sudah menjelaskan segala
perkara.
Sewaktu Sergei dibunuh, Putin
boleh menghukum pelaku-pelaku penipuan bayaran balik cukai, tapi dia tak
lakukannya. Apabila masyarakat antarabangsa desak keadilan diberikan kepada
Sergei, Putin bebaskan mereka yang terbabit. Apabila Akta Magnitsky diluluskan
di Amerika Syarikat, semua aset membabitkan pembunuhan Sergei telah dibekukan.
Putin bertindak balas dengan melarang pengambilan anak-anak angkat yatim Russia
oleh keluarga-keluarga dari Amerika Syarikat. Sebelum undang-undang berkenaan diluluskan kerajaan pimpinan Putin juga telah membuat suatu rancangan. Perompak
yang disabitkan kesalahan, Dmitry Klyuev dengan penasihatnya, Andrei Pavlov,
kedua-duanya bukan pejawat awam telah hadir Persidangan OSCE di Monaco untuk
melobi bagi menentang Akta Magnitsky bagaikan mereka berdua utusan istimewa
kerajaan Russia.
Kenapa Putin bertindak sampai
begitu sekali untk mempertahan sekumpulan pegawai kerajaan jahat dan
penjenayah-penjenayah terancang?
Kerana, mudah sahaja, dia
hendak pertahankan dirinya.
Berbanding $230 juta, $800,000
adalah kecil. Begitupun, jumlah sebegini kecil boleh bertambah. Seperti caj $5
untuk tol. Bagi sebuah kereta, tiada apa sangat, tapi setelah sejuta kereta,
anda sudah mengutip sejumlah kekayaan.
Mossack Fonseca hanyalah
sebuah daripada beratus-ratus syarikat induk luar pesisir. Jika
syarikat-syarikat lain ini didedah seperti ini, saya yakin kami akan temui
pemegang-pemegang amanah Vladimir Putin lain yang telah menerima sejumlah duit daripada
jumlah keseluruhan $230 juta itu. Dan, ini hanya satu jenayah di kalangan ribuan
dan ribuan jenayah yang telah berlaku di Russia sejak Putin mengambil alih
kuasa.
Kami sedang mencari di atas
puncak aisberg yang besar.
Akta Magnitsky menyatakan
bahawa aset-aset pelanggar hak asasi manusia Russia akan dibekukan di Barat. Ia
juga menyatakan mereka yang menerima manfaat daripada jenayah $230 juta
berkenaan akan disekat. Tiada dapat disangkal lagi Putin adalah seorang
pelanggar hak asasi manusia tapi sekarang dia tergolong dalam kedua-dua
kesalahan terbabit.
Akta Magnitsky meletakkan
seluruh kekayaan dan kekuasaannya dalam risiko. Ini membuatkannya menjadi
seorang yang bengis. Perjuangannya menentang Akta Magnitsky bukan berbentuk
falsafah, ia telah menjadi peribadi.
Kami telah benar-benar
menghentam titik lemah Vladimir Putin.
8 pagi Isnin, 16 Julai 2018, Trump dan Putin tak lama lagi akan bersidang di Helsinki. Saya berada di Aspen bersama keluarga. Saya letakkan komputer riba saya di hujung meja makan, pemandangan gunung-ganang ke arah barat di atas bahu saya.
Saya perlu menyelesaikan
beberapa tugasan saya, dan saya tak mahu diganggu. Anak-anak saya biasanya
berlari ke sana ke sini di seluruh ruang rumah, tapi hari ini saya pastikan
ruang makan tidak diganggu. Saya juga letak sekatan terhadap diri saya sendiri,
ketepikan telefon bimbit. Selepas dua jam bekerja, saya on telefon bimbit. Skrin disimbah berdozen-dozen mesej – teks,
email, DM, mel suara, semuanya.
Saya buka email pertama.
“Bill, kau tonton Helsinki sekarang tak?”
Saya belek satu-satu peti
masuk saya. “Ia suatu yang paling menakutkan, membingungkan, yang pernah saya
lihat,” seorang teman kata. Yang lain tulis, “Jika kau perlu suatu tempat untuk
bersembunyi, kami akan tempatkan kau di rumah bukit kami!”
Apa yang sedang berlaku? Saya
temui email terawal mengenai Helsinki, daripada wartawan, Ali Velshi di MSNBC. Terus kepada subjek: “Putin
sedang bercakap mengenai kau sekarang.”
F – ck.
Saya letak telefon saya lalu guna talian
internet. Tak ambil masa lama untuk mencari sidang akhbar mengenai persidangan
berkenaan. Dua pemimpin terbabit berada di atas pentas berdepan rostrum berkembar, bahasa tubuh mereka
jelas berbeza. Putin kelihatan seperti dia memiliki tempat itu, manakala Trump
bercahaya dengan kedua-dua bahu ke bawah, tak kelihatan seperti seorang
presiden.
Kejutan terjadi apabila
pemberita Reuters tanya Presiden
Putin, “Adakah anda berhasrat untuk mengekstradisi 12 pegawai yang didakwa
minggu lalu oleh Juri Agung Amerika Syarikat.” Robert Mueller, peguam khas yang
ditugaskan menyiasat pembabitan Rusia dalam Pilihan Raya Presiden 2016 seiring
kemungkinan kaitan Russia dengan kempen Trump telah membuat pengumuman
mengejutkan minggu sebelumnya. Pejabatnya telah mendakwa 12 pegawai Russia yang
berkhidmat dengan sayap risikan ketenteraan, GRU dengan tuduhan menggodam
Jawatankuasa Kebangsaan Demokratik serta campur tangan dalam pilihan raya untuk
membantu kemenangan Trump.
Putin tersenyum dan mengangguk
dengan yakin, kelihatan bagai dia telah menggunakan seluruh minggu sebelumnya untuk
bersedia berkata saat ini. “Kami boleh bertemu anda di separuh jalan … Kami
sebenarnya boleh benarkan wakil-wakil dari Amerika Syarikat, termasuk yang
mengetuai jawatankuasa berkenaan, Encik Mueller. Kami boleh benarkan mereka
masuk negara kami. Mereka boleh berada di situ semasa soal jawab. Dalam kes ini
ada satu keadaan lain. Usaha ini perlu ada balasan … Contohnya, kami boleh dapatkan
Encik Browder sesuai dengan kes ini.”
Saya terpaksa tonton beberapa
kali untuk memastikan saya telah dengar dengan betul. Bagaimanapun, Putin yang
berdiri di sebelah Presiden Amerika mencadangkan pertukaran 12 pegawai Russia
dengan saya!
Saya menanti reaksi Trump.
Pasti, dia akan tolak tanpa fikir panjang.
Tapi, tidak. “Saya fikir ini
suatu tawaran tak masuk akal,” katanya mencadangkan dia sedia untuk jadikan
saya sebagai tukaran.
Secara rasional, saya faham
akan unsur tarikan terhadap situasi ini, tapi secara emosi saya terlalu
gementar untuk menerimanya. Ia bagaikan terbabit dengan kemalangan kereta yang
teruk. Saya tahu saya telah tercedera tapi saya tak tahu sama ada parah atau
tidak.
Sewaktu saya meneliti masalah
ini, perkara utama yang saya fikirkan ialah sama ada saya selamat untuk berada
di Amerika Syarikat. Kekhuatiran samar-samar ialah beberapa pembunuh Russia
mungkin cuba bunuh saya berikutan wujud kerisauan terhadap kesediaan Presiden
Amerika Syarikat menyerahkan saya kepada kerajaan Russia.
Kecenderungan pertama saya
ialah saya perlu segera keluar Amerika Syarikat. Namun, isteri saya tenteramkan
saya dan meyakinkan saya supaya tetap di sini. “Sekarang ini,” katanya, “dunia
nak tahu: Siapa Bill Browder?”
Dia betul. Saya kemudiannya
seluruh hari muncul di TV memperjelaskan Akta Magnitsky kepada sesiapa yang
mahu dengar. Mesej utama saya? Putin ini syaitan dan idea dia itu hanyalah
untuk menguji Barat. Adakah Barat lulus? Masa menentukannya.
Hari berikutnya, 6:30 pagi, isteri saya Elena gerak saya, kibarkan sehelai kertas ke muka saya. “Kau perlu tengok ini, sayang!”
Elena berasal dari Russia,
dan dia bangun sebelum terbit matahari untuk membaca berita Russia. Pagi itu,
Pendakwa Raya Russia mengeluarkan senarai nama 11 orang lain yang mesti diserah
Amerika Syarikat sebagai pertukaran dengan 12 pegawai GRU. Pihak Russia gemar
simetri dalam hal ini. Amerika Syarikat mahu 12, bermakna Russia pun mahu 12.
Saya bingkas bangkit dan ambil
kertas itu. Russia hendak bekas duta ke Russia, Mike McFaul; kawan saya, Kyle
Parker, kakitangan kongres yang asalnya membuat deraf Akta Magnitsky; tiga ejen
perisik dari Jabatan Keselamatan Negara yang terbabit dalam siasatan skim penggubahan
wang haram Russia melibatkan sebuah syarikat berdaftar di Cyprus bernama
Prevezon yang menerima sumbangan melalui jenayah $230 juta itu; Jonathan
Winner, peguam di Washington dan bekas pegawai jabatan negeri yang memulakan
idea Akta Magnitsky; dan David Kramer, seorang lagi bekas pegawai jabatan negeri
dan bekas ketua organisasi hak asasi, Freedom House yang menganjurkan Akta
Magnitsky bersama-sama Boris Nemtsov dan saya. Ada empat nama tambahan dalam
senarai itu tapi nama utama dalam senarai ialah sama ada terbabit dengan Akta
Magnitsky atau terlibat dengan kes Prevezon.
Apa Russia tuduh kami? Sehari
sebelum itu, Putin dakwa bahawa “rakan seperniagaan” saya dan saya telah
“memperolehi lebih $1.5 bilion di Russia,” “Tak pernah bayar sebarang cukai,”
seterusnya untuk menarik perhatian Trump, bagi “$400 juta sebagai sumbangan
kempen Hilary Clinton.” (Jumlah sebenar ialah kosong) Putin selanjutnya kata,
“Kami punya alasan kukuh bahawa beberapa pegawai perisik rahsia membantu dalam
melaksanakan transaksi-transaksi ini.” Putin menuduh Duta McFaul, Kyle Parker,
tiga ejen DHS dan setiap orang dalam senarai itu adalah sebahagian daripada
“enterprise jenayah” saya.
Ini adalah cara klasik
projeksi Russia, kami bukannya mangsa-mangsa, sebaliknya mereka. Mereka bukan
penjenayah-penjenayah, kamilah penjenayah-penjenayah. Kumpulan jenayah
terancang Dmitry Klyuev tak salah bekerjasama dengan pegawai-pegawai kerajaan
Rusia yang rasuah untuk melakukan aktiviti penggubahan wang haram berjumlah
besar, yang salah ialah kumpulan jenayah terancang Bill Browder bekerjasama
dengan pegawai-pegawai kerajaan Amerika Syarikat yang rasuah untuk melakukan aktiviti
penggubahan wang haram berjumlah besar.
Serangan ditumpu kepada orang
persendirian seperti saya yang bukannya pun warga Amerika Syarikat (Browder
adalah warga Britain). Semua ini mungkin menjijikkan tapi analisa akhir kelak
siapalah yang hendak ambil tahu mengenai saya? Ia berbeza amat untuk menyoal
bekas duta Amerika Syarikat, kakitangan kongres, dan ejen-ejen bawahan DHS,
Jika Trump setuju dengan tawaran Putin, ia akan menjdi suatu prinsip duluan
mengikat yang membawa bencana.
Sehari selepas itu, pada
sidang akhbar di Rumah Putih, Maggie Haberman dari New York Times soal setiausaha akhbar Trump, Sarah Huckabee
Sanders, “Adakah (Presiden Trump) terbuka untuk membenarkan pegawai-pegawai
kerajaan Amerika Syarikat disoal siasat oleh Russia?”
Huckabee Sanders tidak goyah.
Dia berkata bahawa Trump “kata ia suatu idea menarik. Dia nak bincang dengan
kumpulannya dulu dan tentukan sama ada wujud kesahihan yang membantu dalam
proses berkenaan.”
Gelombang pasang surut
kemarahan memuncak, lalu Senat segera melakukan undian resolusi mendesak Trump menolak
“tawaran tak masuk akal” Putin.
Pihak pentadbiran Amerika
Syarikat dapat merasakan gelombang ini akan menghempas mereka. Sejam sebelum
undian dilakukan, Rumah Putih akhirnya mengendur ke belakang.
Pada sebelah tengahari, ahli-ahli Senat
mengundi resolusi berkenaan. Ia diluluskan sebulat suara 98-0.
Tiada siapa yang akan diserah kepada kerajaan Russia.
Comments
Post a Comment