PULANG KAMPUNG RAYA HAJI
1
nota video atas: Lama tak berlabun dengan
abang Dolah, penghuni paling setia Kampung Masjid Batu 26, nama penuh Abdullah Abu
Hassan, bujang berusia akhir 60-an atau sekitar awal 70-an. Sebenarnya, duit padanya bukan
penting sangat kerana makan pakai abang Dolah disedia oleh adik seibu berlainan ayahnya,
kak Semah. Malah, orang-orang kampung sering memberinya wang atau makanan. Semoga abang Dolah sentiasa sihat dan diberkati Allah.
2
Sehari sebelum raya,
saya dan isteri serta tiga anak perempuan, pulang kampung. Dah hampir satu setengah
tahun saya tak jejak kaki ke desa, tempat kelahiran saya. Rindu juga nak tengok
tapak rumah lama saya yang terletak di tepi bendang, berhampiran sungai. Masih
adakah pokok rambutan, nyiur, durian kawin dan lain-lain yang ayah tanam
sebelum kami sekeluarga pindah ke darat, ke rumah yang ada sekarang yang kini didiami
abang saya, G. Nak ziarah kubur mak dan ayah, kakak, abang dan saudara mara. Nak jengok juga jiran-jiran dan rakan-rakan.
Pagi raya, saya
berjalan kaki ke masjid untuk solat Subuh. Saya bertemu Nan Bahari yang masih
terjengket-jengket berjalan akibat slipped
disc. Nan sekarang berniaga pisang goreng di Sungai Buaya di Selangor. Dulu
Nan berniaga ayam mentah tapi terjebak dengan masalah kewangan lalu Nan beralih
arah menjual pisang goreng bersama isterinya Fairoz. “Fairoz kurus tapi kuat,
Man, Dia yang angkat tong gas. Aku nak basuh tiga cawan pun tak larat!” Keluh
Nan dalam loghat seakan-akan Kuala Kangsar membuatkan saya tersenyum. Nan kata
dia dapat jual sekitar 15 kilogram pisang sehari. Dia juga jual cucuk kodok
atau jemput-jemput pisang, serta cucur kucai yang dicicah dengan sos buatan
isterinya. Saya bertemu juga Din Majid yang kini bekerja dan tinggal di Terengganu.
Din berkelulusan Politeknik Ungku Omar dalam bidang kejuruteraan. Kami semua
berusia lebih 50 tahun!
Din juga rancak bercerita
sewaktu berborak dengan Imam Ramli dan para jemaah lain di meja kopi di luar
masjid selepas solat Maghrib pada hari raya pertama. Kami tak minum kopi O tapi
dihidang se-jug teh tarik yang dibancuh
seorang remaja kampung yang kudung sebelah tangan paras bahu. Remaja ini kuat
menyokong pasukan bola sepak Perak, dan rasanya ramai pemain dan penyokong Perak
yang kenal dia yang amat aktif dalam FB. Berbalik kepada Din, saya dapati dia tak
memberi tumpuan ucapannya kepada saya seperti Nan yang sentiasa menceritakan
hal-hal lucu mengenai saya semasa kami awal remaja. Mungkin Din terbaca komen
bangkangan saya dalam FB terhadap Ustaz Azhar Idrus yang sering ucap perkataan
BODOH sedangkan dia difahamkan rapat dengan penceramah agama popular berkenaan.
Saya insya-Allah arif dalam politik, saya tiada masalah dengan perkara kecil
sebegini. Saya seperti biasa kurang bercakap dan sekadar mendengar Nan
bercerita imbas kami dulu berdua curi makan pisang mas yang tergantung di tepi
kedai makan nenek Din, Enjang. Dah berulat, kata Nan. Tapi, saya balas:
“Ulat buah tak haram!” Nan bercerita sambil ketawa. Nan juga bercerita saya dan
Ayi jatuh motorsikal sewaktu merempit di jalan kecil di Kampung Batu Hampar
Dalam. Dengan gaya kelakar Nan menceritakan aksi saya, yang membonceng, tersungkur
dan hampir tercucuk pangkal senduduk yang dipotong rencong.
Pagi raya sekitar 8
pagi lebih, enam lembu dikorbankan. Imam muda menyembelih lembu-lembu
berkenaan, manakala kerja melapah pun dilakukan oleh majoriti orang-orang muda
sekitar usia 20-an dan ke bawah. Saya dan Nan sekadar memerhati! Nan selepas
SPM pernah kerja melapah daging lembu dan dia amat pakar dalam bidang ini tapi
Nan tak mampu berdiri lama sekarang! Saya, Nan dan kemudiannya datang Din, kami sekadar duduk di kerusi
pelastik, minum teh tarik. Cop Pak Lang Nan, rakan sekolah rendah saya, kelihatan
memancutkan air paip untuk bersihkan darah sembelihan. Nan ketawakan
Salleh yang terkial-kial melapah daging menggunakan golok kecil yang mungkin
tak tajam. Salleh yang turut berusia lewat 50-an kini tinggal di kampung. Dia sebelum ini pernah bekerja sebagai pemandu di German Institute. Tak lama kemudian, sebuah lori Perkasa datang membawa tiga ekor lembu tambahan! Sebenarnya, Nan Bahari seorang yang
peramah dan saya jamin insya-Allah tiada yang akan terasa jika dia berjenaka
membabitkan diri seseorang. Sejurus kemudian, Mat Isa yang kini berusia
lebih 60 tahun, kelihatan bermotorsikal dengan memakai cermin mata hitam, melintasi tempat melakukan korban yang
terletak di pinggir sungai berdekatan masjid. Mat Isa yang masih bujang kini mungkin mengalami depression. Hidupnya sentiasa di atas
motorsikal, malah pihak polis pun rasanya dah faham dengan hal Mat Isa yang sering bermotorsikal
sampai ke Padang Gajah, Pantai Remis dan Beruas tanpa memakai helmet. Saya sering juga sewaktu pulang
kampung dua tiga tahun lalu pergi ke rumah Mat Isa yang tinggal berdua dengan
adik perempuannya, Poji. Ketika saya bersembang berdua dengannya, di rumahnya, dia yang menghadapi masalah penglihatan kembali menghisap rokok selepas berhenti bertahun-tahun. Selepas matanya
dibedah, Mat Isa kini mengalami depression
pula!
Hari raya kedua, sekitar
11 pagi, saya hadir pengkebumian Abdul Rashid, seorang cacat penglihatan yang berusia
50 tahun atau sekitar akhir 40-an. Beliau tak berkahwin dan tinggal bertiga
bersama mak dan seorang kakaknya, Rahmah. Abdul Rashid menghidap barah dan
dimasukkan ke Hospital Manjung beberapa hari lalu sebelum dihantar ke Hospital
Ipoh. Jenazah Abdul Rashid disolat di rumahnya dan saya tak sempat solat sama
kerana ketika saya sampai, bekas imam, Ustaz Abas sedang membacakan doa. Setelah
jenazah dibawa dengan van jenazah ke tanah perkuburan lalu dikebumikan di tepi kiri masjid, imam
muda yang menyembelih lembu semalam membaca “talkin” dengan melihat henfon
sambil berdiri! Saya faham bahawa nabi melarang duduk di tanah perkuburan tapi
inilah pertama kali “talkin” dibaca sambil semua orang berdiri yang saya lihat di kampung
saya! Ada juga yang duduk di tepi kaki lima masjid yang bersimen, manakala saya dan beberapa orang lain berdiri, sandar ke dinding. Ucapan imam muda berkenaan mengingatkan bahawa semua orang tak kira
menteri, raja, orang berpangkat, imam dan lain-lain akan mati dan disoal
malaikat dalam kubur. Imam muda mengakhiri ucapan dengan bacaan surah al-Fatihah
dan doa. Ketika membaca khutbah solat raya semalam, imam muda berkenaan
memberi peringatan mengenai kegiatan tak bermoral dalam medsos serta bahaya
Wahabi selain mengenai korban. Apabila melihat dia membaca “talkin” sambil
berdiri seperti gaya Rora dan Salman Ali, saya yang berfikiran terbuka memikirkan
bahawa ada juga kebaikan yang dihasilkan perdebatan baru-baru ini antara pihak mengaku ASWAJA
dan kumpulan yang didakwa Wahabi. Semua orang Islam kini mulai bertindak untuk belajar
mengenai perkara-perkara yang benar-benar dilakukan nabi Muhammad SAW tanpa
mengira aliran masing-masing. Ketika hendak pulang, saya menjeling ke kubur adik Din, Zaharah yang lebih terkenal dengan nama panggilan, Nor. Tanah kuburnya masih merah kerana Nor baru sahaja beberapa minggu meninggal dunia, juga kerana barah! Al-Fatihah.
Pulang ke rumah selepas pengkebumian Abdul Rashid, saya singgah rumah Ayi untuk menjengok maknya, Mak Cik Selamah. Di luar rumah, adik ipar Ayi, Syam sedang berbual dengan Abas yang turut kudung sebelah tangan sampai bahu seperti remaja yang membancuh air teh yang saya ceritakan sebelum ini. Saya tak pasti sama ada kedua-dua mereka atau salah seorang sahaja yang mengalami kudung tangan akibat mesin kilang kelapa sawit. Adik ipar Ayi ini pesara tentera yang kini mengusahakan beberapa kebun kelapa sawit, manakala Abas menjalankan perniagaan kedai runcit berhadapan Sekolah Rendah Batu Hampar. Kami berbual sekejap mengenai "kekonfidenan" Umno untuk mengadakan PRU-15 segera yang saya anggap parti itu insya-Allah menempah maut jika berbuat demikian, manakala "Pak Syed" difahamkan bakal bertanding di Changkat Jering. Adik ipar Ayi ini adalah salah seorang daripada tiga ketua kampung kampung saya. Dia dilantik mewakili Bersatu. Dua ketua kampung lagi mewakili PAS dan Umno. Adakah kampung lain di Perak sebegini? Saya tak pasti! Yang pasti, saya tak "menyempatkan" diri saya untuk melawat tapak rumah saya di tepi bendang berhampiran sungai itu. Saya terkenang kembali bagaimana Zul Nopiah menyelamatkan saya yang hampir tenggelam apabila saya termasuk ke kubang kerbau yang terletak dekat rumah saya tapi tak kelihatan ketika banjir besar berpuluh-puluh tahun lalu! Ketika itu saya belum bersekolah rendah dan belum tahu berenang!
3
Kat bawah ni ialah 16 daripada 30 buku lama milik G yang saya kutip kat rak di rumah kampung saya untuk dibawa pulang ke Seberang Jaya. Ada banyak lagi yang masih berada dalam kotak-kotak yang G bawa balik sewaktu berpindah dari Kedah baru-baru ni! G sebenarnya lebih gemar beli buku-buku sajak dan kitab-kitab agama. Saya pula lebih suka menghabiskan duit untuk mendapatkan komik-komik, novel-novel, akhbar-akhbar mingguan, dan majalah-majalah, khususnya Dewan Sastera.
Comments
Post a Comment