POLITIK AFGHANISTAN DAN POLITIK MALAYSIA

1.

Aku ada baca sebuah rencana mengenai dakwaan seseorang bahawa pihak Taliban potong jari orang-orang – orang-orang ni istilah bagi benda yang terpacak kat tengah bendang di Malaysia atau ladang jagung kat Amerika Syarikat tu tapi aku tak ikut house stye Berita Harian sebaliknya aku ikut cara Fatimah Busu tulis novel yang guna istilah orang-orang untuk ramai orang, okey? - yang pergi mengundi pada suatu pilihan raya umum sebelum ini di Afghanistan. Depa kat sana pakai sistem celup jari ke dalam dakwat macam pilihan raya di Malaysia sekarang, jadi jenuh la pengundi-pengundi di sana kena menyorok dulu-dulu yakni sebelum Taliban rampas kuasa kerajaan baru-baru ni. Orang yang sama juga kata Taliban bunuh 2,000 etnik Hazara pasai depa ni Syiah tapi tak usik pula 20,000 Syiah etnik Pashtun. Maknanya, jika ditafsir dakwaan ni, Taliban bukan kisah sangat bab perbedaan aliran tetapi Taliban ni bersifat kepuakan pulak dah! Bagaimanapun, style amalan ibadat Taliban difahamkan semacam aliran sekolah pondok di Malaysia di segi tauhid dan sufi. Bezanya cuma Taliban lebih kepada fekah mazhab Hanafi.

Apa-apa pun, Taliban sekarang didakwa banyak pihak dah mulai jadi lembut sikit apabila Amerika Syarikat berhasrat balik kampung setelah 20 tahun jadi orang-orang – orang-orang ni istilah ikut Berita Harian - kat Afghanistan. Oleh itu, ada ramai juga pemimpin Islam di Malaysia suka Afghanistan dikuasai Taliban. Okey la jika Taliban dah lembut. Tak macam dulu apabila Taliban pernah gantung dua penjenayah di tengah-tengah lebuh raya seperti mana suatu pihak di Iran yang gantung di depan orang ramai seorang penyajak Sunni yang kritik kepemimpinan Syiah. Seorang perempuan, Suraya direjam batu setelah dihukum seorang pemimpin tempatan, manakala seorang paderi Kristian senyap-senyap dibunuh oleh suatu gerombolan, kedua-dua kejadian ni berlaku di Iran. Tapi, sekarang Iran rasanya dah tak seganas sewaktu dekad pertama atau awal kedua selepas revolusi. Begitu juga, Taliban di Afghanistan yang mungkin mulai “bertenang” kerana dah berkuasa. Betulkah? Kita tengok nanti sama ada Afghanistan di bawah pimpinan Taliban ganas bertembung dengan Iran yang tak satu aliran Islam dan tak sama puak.

2.

Malaysia pula sekarang berlaku pertembungan pelbagai parti dalam menuju PRU-15 dan yang paling ketara ialah parti-parti bermajoriti ahlinya Melayu seperti Amanah, Bersatu, NGO-NGO menerusi pemimpin-pemimpinnya, PAS, Pejuang, PKR dan UMNO. Oh! Satu lagi parti orang muda. Aktiviti mengira kerusi di Dewan Rakyat rasanya rakyat dah jadi meluat kerana memanjang pihak kerajaan sekarang yang menang. Oleh itu, kini ramai pemimpin tak kira puak mana - kerajaan atau pembangkang - mulai memberi tumpuan kepada PRU-15. Undi tak percaya atau percaya pun rasanya tak ada makna jika nanti pihak yang teringin jadi pemerintah masih kalah lagi, kan? Kau rasa kalau pembangkang kalah undi tak percaya lalu lepas tu kerajaan BN-PN buat PRU-15 – sekarang ni remaja 18 tahun dah mulai dicucuk vaksin di Pulau Pinang jadi tiada masalah untuk buat pilihan raya dalam masa terdekat! – pihak pembangkang sekarang boleh ulangi kejayaan macam PRU-14? Pada aku, lebih baik toksah kira kerusi lagi, buat kerja untuk PRU-15 lagi bagus!

Aku dan pengundi-pengundi seperti aku pulak nak undi sapa dalam PRU-15? Jawapannya mudah iaitu tengok manifesto atau apa yang akan dibuat oleh parti-parti tertentu jika mereka memerintah selepas PRU-15. Aku dan golongan seperti aku tahu banyak benda yang sukar malah tak boleh dibuat kerana segala benda banyak bergantung kepada sokongan YB-YB di Parlimen kelak. Jangankan HUDUD, RUU355 pun sukar nak buat meskipun PAS dalam kerajaan. Kerajaan sekarang kan punya majoriti lemah? Dalam pada itu, walaupun PAS dilanyak sekarang kerana disifatkan sebagai “pasu bunga” di dalam Dewan Rakyat – aku pun turut kritik PAS yang kelihatan terlalu mendiamkan diri - tapi aku tetap hargai PAS kerana parti ni tetap teguh yakni tak ada hasrat untuk melarikan diri dari “pasukan” sama ada MN dengan UMNO atau PN dengan Bersatu. Inilah pendirian PAS yang orang ramai tak faham dan perlu difahamkan PAS kepada bakal pengundi-pengundi. Tapi, PAS tak perlu buat hal ni sekarang. PAS kena tunggu dulu sehingga UMNO betul-betul angkat kaki. Jika UMNO tak jadi angkat kaki maka timbul masalah pulak, kan? Bersatu angkat kaki tinggalkan PAS? Nak cari penyakit buatlah kalau berani! 

Comments