BERSATULAH DALAM APA-APA HAL KEBAIKAN WALAU BERBEZA FAHAMAN
Penceramah agama suka sangat bercakap dalam masjid supaya
orang Melayu atau Islam bersatu. Pada saya, selama ini majoriti orang Melayu
bersatu dah. Duduk di bandar, kalaupun dilihat tak bersatu ialah kerana
kesibukan hal masing-masing. Saya sendiri selama lebih 10 tahun tinggal di
sebuah taman di Seberang Jaya, Pulau Pinang; hanya tiga empat rumah jiran yang saya pernah
masuk. Bertegur sapa jarang amat kerana bukannya saya berat mulut tetapi saya
lihat semua jiran biasanya semacam terkejar-kejar hantar anak-anak ke sekolah
atau ke tempat kerja masing-masing di awal pagi, manakala apabila pulang lewat
petang atau malam, mereka terbabit mungkin letih lalu saya rasa tiada siapa
yang berasa selesa diziarah jiran untuk bersembang pada waktu malam. Tambah-tambah
lagi sesetengah gerbang rumah jiran-jiran saya tu jenis elektrik. Keluar rumah
dengan kereta, ketika balik pun terus masuk rumah dengan kereta. Ada ramai juga
yang sekadar menyewa rumah.
Hujung minggu, semua sibuk pula pulang ke kampung, pergi
membeli-belah dan lain-lain. Jadi, banyak masa, saya sekadar terperuk dalam
bilik tepi dapur - membaca, menulis dan menaip. Jika ada yang nak datang
bersembang boleh bagi salam atau ketuk pagar. Tak ada masalah! Insya-ALLAH saya
dengar kerana saya jarang-jarang sangat ke tingkat atas. Tapi, kadang-kadang
saya malas layan mereka yang saya tak kenal, tambah-tambah lagi yang berwajah
lain macam kerana malang tak berbau!
Namun begitu, saya, insya-ALLAH akan tolong selagi boleh jiran-jiran
saya termasuk Melayu, Mamak, Cina, India, Sikh (dah pindah) atau Orang Putih (dah
pindah) jika mereka terbabit perlukan bantuan. (Seorang lelaki Orang Putih dan familinya dulu tinggal
di hujung lorong berdekatan rumah saya, tapi saya sekadar pernah melambai
tangan kepadanya. Saya sering lihat botol-botol arak kosong dekat pagar rumahnya
– arak jenis spirit yang saya tahu amat memabukkan kerana saya pernah kerja
sebagai waiter. Jadi, saya tak berapa
sedap hati untuk terus masuk bersembang dengannya, manakala dia yang selalu sekadar
duduk di atas kerusi pengarah filem, berseluar singkat tanpa baju, di sebalik sepohon pokok bunga, tak pula mengajak saya masuk ke laman rumahnya pun! Anak-anak kecilnya yang
comel suka berjalan di lorong depan rumah saya dan cuma tersenyum apabila saya
tegur, mungkin mereka tak menjawab kerana tengok saya lain macam kerana janggut
saya kadang-kadang serabai! HeHeHe. Keluarga Orang Putih ni dah pindah entah ke
mana, tapi sekarang sekali-sekala saya terlihat juga dua beradik remaja lelaki dan
perempuan berkenaan berjalan di lorong depan rumah saya, mereka dah besar!)
000
1
Saya bukan pakar antropologi, tapi pada saya orang Melayu
dan Islam sebenarnya jika ada yang tak bersatu pun adalah disebabkan golongan
cerdik pandai Islam itu sendiri. Mereka sendiri yang mengajar pelbagai pendekatan
Islam yang berbeza walau tak sesat. Dan, masalahnya masing-masing mereka
mempunyai pengikut yang ramai pula. Bagi yang membawa ajaran sesat, pejabat
agama boleh bertindak! Tapi, bagi yang membawa ajaran sesat tapi pandai
berselindung, tentu membawa masalah! Dalam pada itu, saya kerap memerhati video kumpulan yang
suka membahas bab Allah bersemayam di Arasy tu dalam YouTube. Kumpulan ini belum
ketara besar jumlahnya, namun ia boleh membawa kepada perpecahan orang Melayu atau
Islam di negara ini dalam tempoh masa panjang! Pandangan saya ialah sepatutnya semua
cendiakawan Islam perlulah berceramah mengikut “silibus” yang ditetapkan
seseorang mufti di sesebuah negeri supaya ajaran tak menjadi celaru walaupun apa
yang diajar itu bukan sesat.
2
Berbeza pandangan politik. Ini paling ketara. Cerita benar di sebuah negeri yang bukan pun Perlis, Kedah, Terengganu atau Kelantan. Sekitar akhir 1980-an atau awal 1990-an sehingga bertahun-tahun selanjutnya. Ramai penyokong PAS tak bersolat waktu di sebuah masjid lama yang dikuasai UMNO. Tak lama kemudian sebuah surau dimonopoli orang PAS dibina beberapa kilometer dari masjid berkenaan. Lagi la ramai orang PAS bersolat di sana melainkan solat Jumaat di masjid lama. Ada juga yang pergi solat Jumaat di masjid lebih jauh jaraknya! Saya tak menyalahkan ahli-ahli PAS berkenaan kerana tentulah mereka terpengaruh dengan kenyataan seseorang pemimpin tinggi parti berkenaan. Kepada yang sudah meninggal dunia – ada yang rapat dengan saya – saya bacakan al-Fatihah dan saya sentiasa berdoa supaya Allah menganugerahkan mereka berkenaan syurga. Mereka tak bersalah, tetapi pemimpin berkenaan yang salah! Sekarang masa untuk Move On. Lupakan kisah lama, tapi pemimpin-pemimpin politik sekarang perlu sedar yang mereka sendiri yang sepatutnya bersatu sekurang-kurangnya dalam segala hal kebaikan. Janganlah mereka pula yang tak habis-habis asyik mengajak supaya semua Melayu dan Islam bersatu sedangkan mereka sendiri bermusuh tanpa sempadan. Semoga pihak berkenaan boleh faham apa yang saya cuba sampaikan, insya-ALLAH.
000
Di keheningan malam ini, saya terkenang juga beberapa rakan PAS saya yang begitu taksub sehingga ramai mereka tak boleh
menerima pandangan saya yang agak berbeza dengan beberapa orang pimpinan tertinggi
parti terbabit. Jenuh saya menasihati juga supaya mereka berkenaan elak berkata
buruk kepada pihak lawan seperti: BODOH. Letih saya bertegas jangan berpolitik
sehingga mengetepikan adik-beradik yang tidak separti politik. Sebab itu saya
sekarang jarang-jarang buka WhatsApp atau Facebook kerana malas membaca
kenyataan mereka terbabit yang kerap disulami dengan kebencian. Semoga Allah
ampuni segala kesalahan kita. Aaamiin.
Comments
Post a Comment