Apa nak jadi dengan PAS?
Baru-baru ni saya solat Jumaat di sebuah
masjid di Seberang Jaya. Sebelum khutbah yang disampaikan oleh seorang pegawai
tinggi JPJ, seorang orang kuat masjid berceramah mengenai beberapa hal, antaranya
membabitkan pengganti nabi Muhammad SAW selepas baginda wafat. Selanjutnya, beliau
bercerita mengenai orang Melayu atau Islam kena bersatu dalam politik. Betul
tu, kita kena bersatu! Dan, tak ada masalah sangat bercerita politik dalam
masjid secara umum. Nak kata HUDUD
wajib kerajaan buat pun okey! Satu ja saya tak sedap dengar kerana tak kena dari
segi diplomasi berhadapan orang ramai yang datang ke masjid hari itu kerana
saya dan mereka berkenaan ada macam-macam minat ketika nak pi mengundi nanti. Janganlah
kata PAS, UMNO dan Bersatu semacam suatu pilihan terbaik. Banyak lagi parti
politik yang masuk bertanding dalam PRK atau PRU kelak.
000
PAS tu parti, jadi kalau sesiapa nak kritik,
tiada masalah sangat melainkan apa yang dilontar individu atau pihak terbabit
itu tidak benar atau yang paling perlu dielak ialah kritikan terbabit bertentangan
dengan al-Quran dan sunnah nabi Muhammad SAW. Simple
ja. Begitu juga jika PAS kalah di Kelantan pada PRU-15, atau tak kuasai 2/3
majoriti ahli Parlimen sampai ke sudah pun tak ada masalah sangat kerana Malaysia
ni masih ada “tembok Islam” yang kukuh yakni institusi raja yang mengawal selia
hal Islam bagi setiap negeri, manakala Agong mengambil alih kuasa Islam di
negeri-negeri tak beraja. Jabatan agama Islam ada pula di setiap negeri, jadi
apa masalah jika PAS tak memerintah? Boleh fikir, bukan?
PM pula memanjang Islam, lalu takkan beliau tak
boleh pertahan Islam? Jika beliau gagal, tukar sahaja dengan orang lain. Dalam
politik negara ni tiada masalah pun tukar menukar! Yalah yang boleh mengundi sokong atau tolak PM mengikut peraturan tertentu mestilah ahli-ahli Parlimen kerana negara kita bukan macam Amerika Syarikat atau Indonesia yang ada pilihan raya di mana rakyatnya sendiri memilih Presiden. Speaker juga boleh mengundi jika keputusan undian seri. Jangan jadi KATAK-KATAK sudah! Dan, jika setakat
memerintah dengan menjadi parti komponen tak dominan sehingga sekadar jadi
penyeri majlis pun tak terpakai juga, kan? Bayangkan, menteri-menteri PAS mempunyai
autoriti yakni boleh tekan suis ON atau OFF bagi menangani sesuatu isu tapi individu-individu
berkenaan duk diam ja, amacam? Lagi la bawa masalah, kan?
Tenang dan cuba fikir leteran saya di atas
tadi. Boleh tak terima pendapat saya? Dan, adakah pandangan saya ni menyalahi
al-Quran dan sunnah nabi Muhammad SAW? Untuk pengetahuan anda, saya tak pernah sokong parti-parti
politik bukan PAS dalam pilihan raya lepas-lepas, melainkan Semangat 46.
000
Islam ini tertegak dengan kebenaran yang juga
salah satu sifat nabi Muhammad SAW. Kalah atau menang PAS bukannya semacam
Islam hancur. Boleh faham? Dan, kena ingat juga kaedah berpolitik itu
dibolehkan mengikut kaedah tempatan. Jika menanam pokok cara biji atau cantuman
tunas dibolehkan Islam, takkan berpolitik beza sedikit daripada zaman Nabi
Muhammad SAW – zaman tu mana ada raja – tak boleh pula! Apa yang penting
kebenaran, dan orang PAS khususnya semua pemimpin tinggi parti berkenaan perlu
memahami hal ini. Jangan cepat menuduh orang lain yang tak sependapat itu
sebagai salah sesaja! Tolong jangan bawa perangai sesetengah ulama yang hal baca
talqin pun nak bertengkar. Tak nak baca, tak ada masalah, nak baca bacalah!
000
Saya sedar selama ini ramai juga pemimpin PAS
yang suka memaki-hamun dengan perkataan-perkataan bapak segala kesat, mungkin
nak tunjuk mereka terbabit garang. Pemimpin-pemimpin parti politik lain pun ramai begitu juga. Saya sejak dulu tak bersetuju, tapi biasalah
orang kecil macam saya boleh dengar dengan hati yang tetap menolak cacian atau
makian itu sahaja. Orang zaman dulu terus letak pedang kat leher musuh, orang
sekarang caci-maki. HeHeHe. Masalahnya macam ni, jika dalil ayat mengenai Abu
Lahab yang celaka itu diambil kira pun kena ingat yang “cakap” Abu Lahab tu
celaka ialah Allah. Allah juga “cakap” Abu Jahal tu penipu. Bila kita pula nak kata
celaka atau penipu kepada orang lain di zaman sekarang, mana mungkin sama
maksud dengan apa yang Allah “cerca” dalam al-Quran, kan? Jangan bawa dalil
ikut suka hati sendiri!
Tak lama dulu, ada orang kata pilih pemimpin
Islam yang tak bagus seperti zalim, jahil hal dunia dan lain-lain adalah lebih
baik daripada pilih pemimpin kafir yang pandai memerintah, tak makan rasuah dan
segala nilai kebaikan lain-lain. Saya, maaf cakap, tak terima “fatwa” ini
kerana mana boleh kita nak banding seseorang dengan asas yang berbeza, kan?
Yang Islam kelakuan tak baik, yang
kafir kelakuan baik! Tu taipan yang
hitam tu tak sama macam langit dan bumi, lantas macam mana nak banding. Islam
dan kafir tu memang la dah tak sama!!! Tak kena gaya langsung jika nak dibanding-bandingkan.
Betul, tak? Jangan bersifat denial
syndrome sangat, swing voters
boleh bertambah, tau! Apa ke benda swing
voters? Buka la buku atau komputer, saya bukan nak mengajar politik di
sini. Saya sekadar bagi pendapat seposen atau sekupang ja. Saya tulis pendek
kerana saya tahu orang zaman lani suka benda ringkas-ringkas. Bagi yang siar
ceramah politik atau apa-apa komen bercakap dalam YouTube, Facebook dan
lain-lain aplikasi medsos pun kena elak letak video lebih 30 minit. 10 minit
pun dan kira panjang. Jika ada banyak isu penting, tolong pecah-pecahkan
ceramah tertentu kepada tiga empat video. Saya sendiri pun tak larat nak kaji
jika durasinya lebih sejam. HeHeHe. Terima kasih.
Comments
Post a Comment