Grand Coalition 

[Nota: Tulisan ini, seperti catatan terdahulu saya, saya edit beberapa kali bagi mengikut perkembangan semasa dan saya akan tambah fakta jika ada insiden besar membabitkan suasana politik terkini. Pun begitu, saya akan kekalkan pandangan terdahulu saya di sini, dan hanya akan delete jika saya benar-benar silap.]

Usaha pihak pembangkang menubuhkan grand coalition (GC) memang satu yang boleh menggugat kedudukan kerajaan dalam gabungan yang terdiri daripada 3 teras utama: parti dokongan Perdana Menteri (PM), BN dan PAS. Saya tak libat nama Bersatu atau PN - Pejuang juga - kerana saya rasa kedua-dua entiti ini - Pejuang juga - bakal lenyap, insya-Allah, bagai Semangat 46 atau Angkatan Perpaduan Ummah (APU) yang dulunya amat popular, malah buat kejutan apabila PAS dengan pimpinan Tuan Guru Nik Abdul Aziz berjaya rampas Kelantan daripada cengkaman Umno pada 1990 apabila berkawan dengan pasukan KuLi. PAS turut bersahabat dengan Berjasa, Hamim dan Kimma ketika itu. Pada saya, semasa zaman ini juga, Semangat 46 menjadi "jambatan" PAS kepada DAP dalam soal mendapatkan sokongan pengundi bukan Islam, manakala DAP memperoleh sokongan pengundi Islam disebabkan mereka semua sama-sama duduk di blok pembangkang dalam Parlimen.

Selain itu, pada saya, GC lebih "hebat" daripada APU kerana ia bakal membabitkan pelbagai kaum dan melibatkan seluruh pelosok Malaysia. Dulu APU hanya kukuh di negeri-negeri di Pantai Timur Semenanjung, khususnya Kelantan yang bermajoriti Melayu serta mengamalkan budaya pergaulan masyarakat pelbagai bangsa dan agama yang sedikit berbeza daripada masyarakat di sebelah Pantai Barat Semenanjung. PAS ketika itu, memang sudah bertapak di Malaysia Timur tetapi belum dikenali ramai, Semangat 46 jauh panggang dari api!

Usaha seperti menubuhkan sesuatu gagasan politik yang besar, jika nak diteruskan dalam bentuk kesinambungan war-war tiada masalah, cuma pada saya, GC ini hendaklah diluncurkan setelah tarikh PRU15 ditetapkan kelak. Jika ia ditubuh secara "rasmi" sekarang, majoriti bakal pengundi PRU15 akan merasakan pihak pembangkang berkenaan bersifat gelojoh atau tak sabar untuk menumbangkan kerajaan sekarang. 

Saya pula secara peribadi tak menyokong GC ini kerana saya lebih cenderung untuk menyokong sebuah parti lain yang rasanya takkan setuju duduk dalam GC yang terdapat banyak parti musuhnya. Namun, saya dan ramai pengundi lain seperti saya, akan tunggu dan lihat sebelum betul-betul menolak GC ini bergantung kepada apa pula perubahan yang mungkin berlaku dalam kaedah persahabatan parti-parti yang ada dalam kerajaan sekarang. Begitupun, sebagai seorang yang biasa menulis hal politik, saya tak boleh tidak, terpaksa memberi pendapat berasaskan fakta-fakta serta kefahaman saya mengenai fakta-fakta terbabit.

Yang pertama, saya percaya insya-Allah, GC 100% bakal ditubuhkan bagi mengelak pihak pembangkang makin terpinggir dari iklim politik negara ini. Tindakan Anwar dengan aksi nombor yang tak naik-naik, kini menjengkelkan orang ramai. Untuk divert attention, maka sesuatu yang lebih gah daripada aksi nombor ini perlu disogok kepada masyarakat umum. Nombor 108 memang besar tapi tetap melecehkan kerana terbukti beberapa pemimpin Umno terbabit sekadar "mengayat!"

Kedua, pihak pembangkang perlu elak penjenamaan berbentuk PH 7.0 atau Plus Plus Plus atau perkataan-perkataan yang sukar dimasuk ke dalam otak orang kebanyakan. Pakatan Nasional nampak bagus tapi ia semacam meniru nama Barisan Nasional. Malaysia Baru nama menarik tapi pernah dipopularkan sebelum ini. Kekal dengan nama Pakatan Harapan bakal melekatkan ia dengan janji-janji manifesto yang tak dilaksanakan selepas PRU14 dulu - tol, pinjaman IPTN, harga minyak dan lain-lain. Slogannya juga perlu mengancam gila seperti No Anwar, No DAP yang memang melekat masuk ke dalam jiwa pengundi-pengundi tertentu dan saya rasa akan diguna pakai pihak kerajaan sekarang sampai PRU15 atau selanjutnya selepas itu. 

Ketiga, ramai ahli politik suka bercerita hal main dua kolam. Maaf! Saya rasa ini bukan isu utama dan tiada kelebihan pun untuk diwar-warkan. Bukan PAS sahaja main dua kolam, iklim politik sekarang menyebabkan banyak parti politik terpaksa main dua kolam. Malah, ada yang terserlah main lebih dari dua kolam secara tanpa disedari kerana pemerhati-pemerhati politik tak berbicara secara jelas mengenainya. Amanah baik dengan DAP dan PKR tapi "rapat" pula dengan Pejuang yang kini terserlah sukar duduk bersama Anwar. Ini juga berbentuk main dua kolam, bukan? Namun, ikut strategi, Amanah tidak salah buat begini kerana parti ini mesti mendapat sokongan bukan Melayu juga Melayu untuk menang dalam PRU15. PAS main dua kolam pula demi mengekalkan kerajaan sekarang yang jelas berantakan antara pemimpin-pemimpin tertentu dalam parti dokongan PM dengan Umno. Umno pula, mahu tak mahu, terpaksa menjadi sahabat kepada parti dokongan PM buat masa sekarang sedangkan belum tentu lagi pada PRU15. Dalam pada itu, Umno kini turut bersahabat "erat" dengan PAS bagi mengelak berlaku perpecahan sokongan pengundi Melayu yang bakal merugikan kedua-duanya pada PRU15. Parti-parti di Sabah - khususnya Warisan - pula terpaksa main "berkolam-kolam" kerana terlalu banyak "katak politik," manakala parti-parti yang membentuk kerajaan negeri Sarawak lebih kepada bersifat "taat" kepada Pusat dengan syarat ada "keuntungan berbentuk peribadi" kepada pihak kerajaan negeri ini tanpa mengira pihak mana yang memerintah Malaysia!

Comments