Diari 1980

OGOS

Jumaat, 1 Ogos

Sahur ayam goreng. Main mercun roket dengan kawan-kawan. [Aku sekadar “tumpang” main kerana mercun berkenaan dibeli oleh seorang kawan, Jamil kalau aku tak silap.] Abdul Razak kena tembak kat dada, mujur tak meletup ketika itu. Ke salah satu dorm matrik, tembak mercun ke Blok C. [Ubah tempat main bagi mengelak dikesan “pihak berkuasa” sekolah. Girls mungkin terkejut kerana mercun roket itu meletup ketika hampir menyentuh tingkap atau dinding Blok C.] Lepas itu, beberapa daripada kami meronda ke kawasan bangunan sekolah. Pulang, baru aku mandi. Lepas solat Subuh, naik bas sekolah ke stesen keretapi. Juraimi, Pak Mat, Jefri, Mi Totiaq, Shukor dan lain-lain pulang ke kampung mereka yang terletak tak jauh dari asrama. Aku pula ke pejabat pos, kirim surat sebelum naik keretapi 9:30 AM. Sampai Taiping, jalan kaki ke stesen bas. Ke Larut Matang Supermarket sekejap. Naik bas Blue Omnibus, sampai kampung, kedengaran khatib sedang berkhutbah di masjid kampung aku.

Ketika aku naik rumah aku, mak sedang menjahit. Aku terus tidur. Ada orang datang minta ubat. [Kebiasaannya, ayah aku tak berubat orang pada hari Jumaat, khususnya waktu pagi.] Buka puasa – makan rambutan, jambu, pisang goreng, air sirap dan lain-lain. Ke masjid solat Terawih. Ada moreh tajaan Pak Tam Daei – roti benggali dengan kuah seperti kuah roti canai. Aku bersama ayah dan mak ke rumah kak Midah abang Abas, tonton TV acara musabaqah al-Quran. Emak kak Midah ada bersama kak Midah. Abang Abas, yang juga imam masjid kampung, pergi kerja jaga lombong bijih timah.

 

Sabtu, 2 Ogos

Bangun lewat sedikit. Aku lihat ada orang mandi di sungai, lalu aku mandi di telaga. Dengar radio. Baca Dewan Sastera. [Biasanya, aku beli majalah ini di kedai mamak stesen keretapi BM atau Taiping setiap kali pergi asrama atau balik kampung, atau ketika aku pergi ke KL.] Tolong mak memasak. Buka puasa – serawa nangka, pisang goreng dan air sirap. Ke masjid. Moreh nasi minyak dengan gulai ayam. Selepas itu, pergi ke rumah kak Midah tonton musabaqah al-Quran.

[Arwah ayah aku adalah seorang yang suka mendengar bacaan al-Quran. Ayah kelihatan tekun mendengar ayat al-Quran yang dilantunkan melalui corong radio Singer kami ketika berada di rumah aku. Kadang-kadang ayah menceritakan maksud sesuatu ayat al-Quran kerana ayah pernah belajar di sebuah sekolah pondok di Gunung Semanggol ketika usia remaja pada akhir 1920-an. Sebagai contoh, kata ayah: “Ayat ini menceritakan peristiwa Nabi Musa bercakap dengan Allah. Tapi, Nabi Musa bukan bercakap dengan Allah sebagaimana kita bercakap sesama manusia.” Suara ayah juga agak sedap ketika beliau membaca al-Quran kerana ayah mahir cara melagukan ayat al-Quran. Tapi, entah kenapa, ayah hanya suka membaca al-Quran secara hafalan dengan suara kuat sewaktu beliau berbaring sebelum tidur. Aku tidak bijak dalam hal al-Quran lalu aku tidak dapat pastikan juz berapa yang ayah aku sedang baca. Sebaliknya, aku tak pernah dengar ayah membaca al-Quran selepas solat kerana ayah lebih suka duduk dan melakukan ibadat lain selepas solat secara senyap. Ayah kerap menyertai bacaan burdah di masjid, manakala berzanji di kenduri kahwin. Malah, ayah kerap juga bernyanyi lagu-lagu Arab dengan “kumpulan muzik” di beberapa rumah orang kampung pada waktu malam, khususnya ketika malam kenduri kahwin. Semua ahli muzik boleh dikata adalah jemaah tegar masjid kampung aku, termasuk bilal-bilal dan imam-imam. Aku sekali-sekala akan duduk tepi ayah dan aku asyik melihat arwah pak cik Hamzah bermain tamborin, manakala arwah Pak Lang Don memetik gambus. Suara Pak Lang Don juga sedap ketika bernyanyi lagu Arab kerana suaranya garuk. Beliau fasih bahasa Arab – seperti ayah aku - kerana pernah belajar di sebuah sekolah agama di Kuala Kangsar. Malah, Pak Lang Don fasih juga Bahasa Jepun kerana beliau pernah bekerja sebagai kerani mengagihkan beras di zaman penjajahan Negara Matahari Terbit ini. Pak Lang Don, nama sebenar Abdul Ghani, serta isteri berasal dari Kuala Kangsar. Loghat Kuale Kangsornya agak tebal! Beliau yang pandai menulis khat, khususnya ayat al-Quran boleh juga membaiki radio dan oleh itu beliau sering dengar berita dalam Bahasa Arab yang aku hairan bagaimana pula radio beliau boleh menerima pancaran siaran dalam bahasa berkenaan. Pada suatu hari - rasanya sekitar 1980-an - aku dan beliau dengar radio usang terbabit di rumahnya lalu Pak Lang Don terjemah berita dalam Bahasa Arab mengenai perkembangan di Timur Tengah kepada aku. Pak Lang Don pernah beritahu aku yang beliau kerap dipanggil Sultan Perak untuk main gambus - ikut istilah disebut Pak Lang Don ialah oud - pada waktu malam sewaktu beliau belajar di sekolah agama. Di dinding rumahnya ada rangka gambus tanpa tali yang beliau buat sendiri daripada batang pokok - aku tak pasti sama ada ia kayu nangka atau cempedak. Arwah Pak Man pula bermain biola. Yang bermain gendang, aku tak pasti. Anak sulung adik perempuan ayah, abang Abas turut mendendangkan lagu-lagu Arab kerana beliau pernah belajar di Sekolah Izzuddin Shah di Ipoh. Antara lagu "wajib" ialah Dunia Bitijri yang aku tak pasti sama ada betul sebutan Arab yang aku taip ini dan Ya Rasullallah Salamun 'Alaik. Semua pemuzik dan penyanyi adalah lelaki dan semua lagu yang disampaikan adalah lagu Arab, cuma penonton-penontonnya terdiri daripada kaum lelaki dan perempuan. Yang berbeza cuma, golongan Hawa duduk beramai-ramai di bahagian dapur atau dalam bilik.]

 

Ahad, 3 Ogos

Sahur ketika hampir waktu Subuh. Oleh itu, aku bangun pagi agak lewat. Mak dan ayah buat buahulu untuk Kak Midah Abas. Jefri Hassan, anak Mak Ngah Esah, datang mandi di telaga aku. Aku pergi ke Batu Hampar, beli surat khabar Mingguan Malaysia. Bertemu Cop Pak Lang Nan yang bersekolah di Sekolah Menengah Raja Shahriman Beruas. Dia beritahu aku, dia tak ikuti tuisyen Sains Paduan dan Hisab Moden kerana jauh sangat, selain kena bayar RM5 sebulan.

Hari ini, aku duduk seharian di rumah, tidur sekejap dan kemudian aku baca buku. Hujan lebat, tapi sekejap sahaja. Ada orang datang minta ubat. Ketika duduk bersama ayah, ayah bercerita yang beliau hendak pergi jumpa Tok Batin Ngah di Changkat Jong, dekat Teluk Anson. Ayah nak bawa balik ke kampung seorang anak angkatnya, gadis Orang Asli beragama Islam. [Ayah meluahkan perasaannya ini mungkin kerana mak berasa sunyi tiada anak perempuan di rumah. Malah semua anaknya tidak menetap di kampung. Kak Misah dan abang Cid berniaga kedai makan di KL, manakala abang G belajar di sebuah sekolah asrama di Sitiawan sehingga Tingkatan 5 sebelum bekerja di Felda dalam bidang peruncitan.]

Kak Midah Abas bagi serawa pisang dan cucur udang untuk juadah buka puasa. Ke masjid. Ada moreh tajaan cikgu Yatim iaitu nasi minyak dengan ayam. Ke rumah Kak Midah Abas tonton TV. Kak Leha Nan ada di rumahnya. Hujan lebat. Pulang ikut laluan pintas menyeberang sungai. Mujur air sungai belum naik lagi. Makan nasi lalu tidur. [Rasanya aku makan sekali lagi nasi minyak moreh yang dibawa pulang kerana berlebihan.]

 

Isnin, 4 Ogos

Tak makan sahur hari ini kerana seisi keluarga terlewat bangun. [Tiada jam di rumah aku sama ada jam dinding atau jam tangan. "Jam loceng" emak dan ayah untuk mengejutkan mereka bangun pagi setiap hari sekadar suara ayam jantan berkokok.] 

Pagi, emak buat buahulu untuk makan sekeluarga. Aku ke kedai tepi jalan, beli gandum 3 kati. [Aku rasa gandum ini untuk dibuat bubur semacam bubur kacang. Dan, zaman ini kilogram belum diperkenalkan lagi. Dan, pekedai menggunakan dacing dengan batu ladung sebagai pemberat untuk menimbang barangan seperti gula, garam dan tepung. Beras pula disukat dengan sukatan cupak atau gantang seperti yang boleh kita lihat dalam filem Ali Baba Bujang Lapok arahan P Ramlee.] 

Malam ini, moreh Pemuda Kampung 26 iaitu bihun goreng. Tapi, hujan lebat dan aku tak keluar ke masjid untuk solat Terawih. Ayah dan mak tak lama kemudian pergi ke rumah Kak Nah Jaapo untuk ambil bahan-bahan buat buahulu untuknya. Sebelum ini, Ani adik Kak Nah Jaapo datang ke rumah aku dengan seorang anak perempuan Kak Nah Jaapo lalu minta mak masakkan kuih bahulu untuknya. [Anak Kak Nah Jaapo bernama Ina ini baru sahaja meninggal dunia. Aku dapat tahu beberapa hari lepas. Arwah difahamkan bertugas sebagai guru tadika. Al-Fatihah dan aku baca buat Ina sekarang. Dalam pada itu, pada aku, buahulu mak aku adalah buahulu yang paling sedap yang pernah aku makan sehingga ke hari ini. Sebab itu, agaknya, ramai orang kampung upah mak aku buah buahulu yang dibakar dengan “oven tradisonal.” Kuih bakar mak juga sedap. Lembut dan lemak manis. Kuih putu kacang, yang mak tumbuk kacang hijaunya dengan menggunakan lesung kayu bawah rumah, juga sedap. Begitu juga, dodol dan halua maskat mak aku. Namun, hanya ayah yang kacau dodol kerana kerjanya amat meletihkan. Aku pernah cuba kacau dodol sewaktu remaja tetapi aku gagal lakukannya kerana bahang apinya amat panas selain susah sungguh untuk mengacaunya dalam kawah besar menggunakan tungku atas tanah, tambah-tambah lagi ketika hampir masak. Kerja mengacau halua maskat biasanya dilakukan oleh mak aku kerana ia dimasak atas dapur rumah dengan menggunakan kuali tembaga Kelantan bersaiz sederhana.]

Aku tidur selepas punggah buku cerita dan sembahyang. [Aku suka beli buku cerita, khususnya komik pendekar lukisan artis tempatan. Aku simpan dalam sebuah kotak besar di rumah aku kerana rumah kampung aku tiada perabot melainkan sebuah almari kecil – siteboard – untuk isi baju dan dijadikan tempat bersolek kerana ia mempunyai cermin besar. Selain itu, ada katil. Kedua-dua perabot ini dibeli pun sempena pertunangan kakak aku.]

 

Selasa, 5 Ogos

Mandi pagi di sungai. Air sungai agak dalam. Kak Leha dan seorang cucu Mak Ngah Esah datang pinjam acuan kuih. Kemudiannya, ayah jampi sirih pinang untuk Mak Yun.  Tak lama selepas itu, ayah ke rumah Mak Wa, di Batu 25 dekat rumah Pak Cik Wok. Ayah berubat Mak Wa kerana beliau demam.

[Boleh kata, setiap hari ada sahaja orang kampung, malah orang luar, datang berubat dengan ayah. Demam atau sakit gigi pun jumpa ayah dengan alasan berikhtiar. Dan, ayah tak sampai hati menolak “rayuan” mereka berkenaan. Ayah tak kisah tentang upah kerana ayah sekadar tolong. Tapi, orang kampung tetap letak di celah-celah sirih berpinang dan kapur itu dua kupang lima duit atau kadang-kadang seringgit suku! Aku pernah tanya ayah kenapa upah diberi mengikut pecahan begini. Ayah sekadar cakap yang beliau tak suruh pun mereka berkenaan buat begitu!]

Buka puasa minum cendol. Selepas itu, terus makan nasi. Selepas solat Maghrib, aku dan ayah ke rumah Kak Nak Jaapo untuk hantar buahulu yang ditempah adiknya, Ani  semalam. Namun, Kak Nah dan Ani telah ke Hospital Taiping kerana hantar anak Kak Nah yang baru lahir tapi tak boleh buang air besar sejak 6 hari lalu. Abang Jaapo jamu buah rambutan sambil kami tonton TV. Aku kemudiannya, bersegera ke masjid untuk solat Terawih. Ada moreh Mak Ngah Timah, tauke kedai runcit tepi jalan raya, bertentang dengan bangunan masjid. Nasi daging yang pada aku pelik kerana tidak ada lauk tambahan diisi dalam piring atau mangkuk seperti kebiasaan aku makan nasi! Pulang ke rumah, aku tulis sebuah cerpen, “Sayang Si Minah Sayang.”

 

Rabu, 6 Ogos

Aku catat di muka surat 6 Ogos ini: SRP 60 hari lagi dan hari ini ialah Hari Peladang.

Pagi, dengar radio rancangan No. 5 Pesiaran 1. Cerita mengenai Amir sekeluarga ke kebun mereka, riuh-rendah kerana ada ular. Mizah pula menjerit sebab ada pacat di betisnya. Amir pula mengusik maknya. Cerita ini bertema Hari Peladang. Kemudiannya, aku tolong mak masak kuih bakar. Mak Cik Selamah datang dan ambil peluang untuk lihat mak masak kuih bakar. Emak dan ayah merungut bahawa kuih bakar liat kerana tepungnya tak elok. Buka puasa, makan buah rambutan yang diberi Jaapo Kak Nah. Kemudiannya, makan nasi dengan lauk asam dan terung rebus. Airnya sekadar sirap. Hujan lebat!

 

Khamis, 7 Ogos

Lewat pagi, Neh dan Jalaini, kedua-duanya anak Pak Long Nopiah datang lalu mereka bermain-main dengan Kumbang. 

Arwah ayah depan pintu anjung rumah. Kelihatan beberapa ekor ayam dan anjing berdekatan ayah. Nampakkan, tempayan dengan tempurung kelapa untuk cedok air basuh kaki.Dinding rumah belakang pintu anjung kelihatan ruang yang terpelahang tanpa anak tingkat. Foto ini rasanya diambil  pada 1980. Setahun dua kemudian, kami pindah ke rumah baru. Aku baca al-Fatihah buat arwah ayah sekarang.

[Kumbang ialah anjing aku yang selalunya ditambat di bawah rumah. Rasanya, ketika ini Kumbang masih kecil. Namun begitu, dalam banyak anjing yang pernah aku bela, Kumbang ini adalah anjing jantan yang paling garang serta kuat menyalak. Sifat seseekor anjing pula, dia suka jilat tuannya, oleh itu aku akan besit dengan ranting kayu setiap kali anjing-anjing aku cuba jilat aku sehingga mereka tahu yang aku tak suka dibuat begitu! Kami bela anjing bukan sebagai pet tetapi banyak haiwan liar seperti ular sawa, harimau kumbang dan gajah sering berkeliaran di sekeliling rumah aku yang penuh dengan tanaman seperti padi, keledek, ubi kayu, pisang, rambutan, sayur-sayuran dan tebu. Ayah mengikut pendapat ulama yang membenarkan anjing dipegang di bahagian tubuhnya yang kering dengan syarat tangan kita juga kering atau tangan kita basah jika tubuh anjing itu basah! Aku rasa, pendapat ini dipegang oleh segelintir orang Islam, termasuk penduduk Chechnya. Begitupun, kami hanya pegang anjing pada masa kecemasan seperti perlu cepat merantainya apabila kami lihat ada tetamu datang secara tiba-tiba. Aku pula hanya pernah pegang tubuh basah Kumbang semasa dia masih kecil kerana terpaksa menyelamatkannya yang dibawa arus sewaktu dia ikut aku mandi lalu dia terjun ke dalam sungai. Namun, aku selepas itu sertu mengikut cara yang aku pelajari di sekolah dengan menggunakan selut yang aku ambil di tebing sungai. Kumbang akhirnya mati di bawah rumah. Aku lihat tubuhnya ada kesan seperti ditiruk sewaktu aku menanam bangkainya tak jauh dari rumah aku. Selepas itu, kami bela beberapa ekor anjing lain.] 

Aku baca buku Sains Paduan. Tak lama kemudian, ramai lagi budak-budak perempuan – lebih muda daripada aku – datang ke rumah aku lalu mengusik-ngusik Kumbang. Selepas itu,  Mi dan adiknya, Khairi datang ke rumah aku lalu mereka ajak aku ke rumah mereka, tengok mak aku dan mak mereka, Kak Midah Abas masak biskut kacang.

Malam, aku ke rumah Kak Midah Abas. Mi cerita mengenai kisah kenakalannya di sekolah. Aku kemudiannya ke masjid solat Terawih, Aku bawa balik secekak roti benggali ke rumah Kak Midah Abas. Aku tolong mak dan kak Midah Abas yang masak biskut susu pula.

[Biskut susu yang dibuat arwah Kak Midah Abas pada aku sangat sedap. Ia kelihatan bagai kuih bakar, tapi bentuknya bulat dan bersaiz sebesar biskut biji asam. Ada sebutir kecil potongan buah seperti yang diletak pada kuih semperit. Berbeza dengan kuih bakar, biskut susu yang dikategorikan sebagai kuih moden ini lebih mudah cair dalam mulut bagai aku makan cokelat!]

Abang Abas balik sekejap. Beliau bawa bersamanya setong minyak diesel dari lombong. Tak lama kemudian, aku dan mak pulang ke rumah.

 

Jumaat, 8 Ogos

Pagi. Ayah marah kanak-kanak – Rosni, Zawiyah dan lain-lain – yang kacau Kumbang. [Al-Fatihah buat Zawiyah yang sudah meninggal dunia. Beliau, Rosni dan adiknya Tipah, dan seorang anak tiri Yaakob Pak Lang Nan yang juga perempuan, pernah aku beri tuisyen percuma pada pertengahan 1980-an sewaktu aku tinggal sekejap di kampung. Aku ajar mereka Bahasa Inggeris dan Matematiks Moden. Mereka semua - kecuali Tipah - bakal menduduki SPM ketika itu. Aku masih ingat Kak Sun Majid beri aku RM5 sebagai upah walaupun aku tolak.]

Tengahari, solat Jumaat. Khatib dan Imam ialah Pak Long Yahya. Pulang rumah, ada orang datang berubat dengan ayah. Pak Wan Don, ayah kepada Abang Majid, datang beri fitrah kepada ayah yang merupakan amil yang dilantik sebagai juru kutip bayaran fitrah kampung aku.

Buka puasa – makan kuih raya, pisang, rambutan yang diberi oleh Mak Yun serta air sirap. Hujan disertai ribut sehingga aku lihat batang pokok ubi kayu depan rumah aku melentuk-lentuk. Setelah hujan seriat, ke rumah Kak Nah Jaapo, tengok anaknya yang baru lahir. Anaknya ini sakit perut lalu ayah berubat menggunakan air sejuk dan kemenyan. Selepas itu, ke rumah Kak Midah Abas lalu tonton filem Indonesia, Janji Sarinah, lakonan Lenny Marlina.

 

Sabtu, 9 Ogos

Ayah kacau dodol. Beberapa orang budak-budak datang ke rumah. Riuh-rendah mereka usik Dollah dengan ejekan: “orang buruk.” 

[Dollah ketika 1980 berusia sekitar 20-an. Beliau rabun teruk dan buta huruf, namun beliau suka membantu orang ramai buat kerja kampung seperti kopek kelapa. Beliau juga sering mengurut tangan dan kaki orang lelaki dewasa - termasuk aku - dengan menggunakan minyak panas.]

Lepas buka puasa, aku dan mak ke rumah Kak Midah Abas. Aku tonton TV cerita dalam Bahasa Inggeris. Kak Midah buat kuih semperit, manakala mak pula buat biskut kelapa. Aku makan mi yang Kak Midah masak. 

[Aku tak pasti, sekarang ini, mi apa yang Kak Midah Abas masak ini. Tapi, beliau sering masak mi sanggul yang dicelur dengan air panas lalu kemudiannya dicurah kuah udang hidup saiz kecil bagaikan kita di zaman ini makan spageti. Udang hidup adalah istilah bagi udang yang dijual tanpa proses, bukannya bermaksud udang itu masih bernyawa!] 

Selepas itu, aku berjalan sekitar rumah Kak Midah bersama-sama Mi dan Khairi. Kami main bunga api sebelum aku pulang bersama-sama mak, melintas sungai dalam kesunyian malam.

 

Ahad, 10 Ogos

Aku tolong mak buat putu kacang. Ayah pula kacau halua maskat. Ya Mak Ngah Esah datang lalu tanya sama ada abang aku, Cid balik raya atau tidak. Dengar radio, rancangan berbalas pantun antara pelajar-pelajar TUDM Kinrara dengan RTM Kuala Lumpur.

Cid, G, juga Kak Misah dan Abang Din bersama dua anak tiba dari KL. Aku dan abang Cid keluar ke jalan raya. Aku baca akhbar di kedai runcit Saari. Cid beli sebotol sirap. Malam, ke rumah Kak Midah Abas, aku tonton TV drama Seruan Ilahi lakonan Fetty Zul, Abdullah Salleh, Taufik Haji Ali dan lain-lain. Pulang rumah, aku baca majalah kartun, Gila-Gila sebelum tidur.

 

Isnin, 11 Ogos

Mandi pagi di sungai dengan Abang Cid dan Zailan. Aku ke Beruas dengan Cid, beli daging lembu dan tulang 4 kati serta barangan lain seperti Milo, sabun mandi, sirap, mercun dan roti. Pulang, kami main mercun sekejap. Selepas tidur sebentar, aku pergi mandi petang di sungai dengan Zailan. Hujan.

Malam, aku ke rumah Kak Midah Abas. Aku angkat kawah dari masjid ke rumah Kak Midah Abas guna basikal dengan bantuan Cid dan G. Malam ini ada moreh mi sup tajaan pemuda-pemuda kampung yang berniaga di Chow Kit Road. Aku ambil peluang tonton TV rancangan Aslirama yang dijayakan oleh M Daud Kilau dan Kamariah Nor yang diiringi Kumpulan Hamzah Dolmat. Aku tengok budak-budak sekolah rendah main police sentry berdekatan laman rumah Kak Midah Abas dan Mak Ngah Esah. Aku main mercun roket di situ sekejap sebelum pulang.

 

Selasa, 12 Ogos

Pagi, Mak Ngah Han datang ke rumah. Aku ke darat main mercun. [Rumah aku terletak di kawasan bendang, manakala darat ini bermaksud kawasan tanah luas lebih tinggi yang didiami majoriti penduduk kampung aku.] Ayah bakar lemang. Aku ke kedai runcit Saari, beli ais. 

[Air batu bongkah besar bersalut serbuk kayu diisi ke dalam guni sebelum ditanah dalam lubang cetek di tepi kedai runcit Saari. Kira-kira hampir sejam sebelum waktu berbuka, ia dikorek lalu dikerat-kerat menjadi bongkah kecil dengan gergaji sebelum dijual. Air batu bongkah besar ini turut diguna untuk buat air sirap dalam tempayan besar sewaktu kenduri kahwin pada era 1980-an.]

Buka puasa. Makan langsat, dan makan nasi dengan ayam goreng. Tak lama kemudian, ramai datang bayar fitrah kepada ayah. Antaranya Pak Ngah Han, Pak Lang Nan, Mat Tongkol, Karia, Mat Isa dan Bakar. Selepas itu, G, Cid dan ayah pergi bayar pula fitrah kami dan mak, termasuk Kak Misah sekeluarga, kepada seorang amil lain, Tok Sudin. 

[Keluarga Tok Sudin ada hubungan darah dengan mak aku, dan beliau adalah bekas anggota polis pada zaman penjajah British serta pernah bertugas sebagai imam di masjid kampung aku sebelum kemudiannya sekadar jadi makmum kerana faktor usia. Ayah dan Tok Sudin dilantik pihak majlis agama negeri sebagai amil dengan mendapat komisen, kalau aku tak silap, 20 sen bagi setiap individu yang membayar zakat. Dapatlah mereka beberapa puluh ringgit seorang - tak sampai RM50 rasanya - kerana penduduk kampung bukannya beribu jumlahnya! Namun, ada juga penduduk yang bagi sedekah atau zakat ahli keluarga yang telah meninggal dunia yang aku rasa ia tidak dicampur sewaktu ayah kira duit zakat untuk diserah kepada pihak majlis agama negeri.]

 

Rabu, 13 Ogos

Bangun awal. Mandi sungai dengan Zailan. Jefri Mak Ngah Esah ada mandi sama. Ke masjid solat raya. Lepas itu, berhari raya ke rumah Din Hamzah, Mat Yassin dan Kak Midah Abas. Pulang ke rumah kerana hujan renyai. Bedah Pak Cu Ali bersama-sama kawannya datang dari Sungai Tuntung, Pantai Remis.

Malam, aku ke rumah Kak Midah Abas. Aku tonton TV rancangan khas sempena hari raya yang dijayakan Sudirman, Noor Kumalasari, Anita Sarawak, Jamal Abdillah, Ahmadi Hassan, The Queens, Black Dog Bone, Syarifah Aini, Roksana Islam, Seri Risda yang mengiringi Ahmadi Hassan, Khaty, Badul, Norlia Ramli, Yusni Jaafar, Yahya Sulong dan lain-lain.

 

Khamis, 14 Ogos

Anak-anak Pak Long Ahmad datang dari Pangkor. [Pak Long Ahmad adalah abang kepada mak aku. Mereka tiada adik beradik lain.] Pak Unggai datang ke rumah dan bergebang dengan anak-anak Pak Long Ahmad. [Pak Unggai adalah satu-satunya anak Tok Sudin.]

Jumaat, 15 Ogos

Pagi, tolong pegang ayam yang ayah sembelih. Anak-anak Pak Long Ahmad pulang ke Pangkor setelah bertandang ke rumah Pak Unggai. Bas tak berhenti kerana asyik penuh. Ayah kayuh basikal ke Batu Hampar dengan membawa seguni pisang, tebu dan ubikayu. [Batu Hampar terletak beberapa kilometer dari kampung aku. Dari pekan bersimpang tiga ini, anak-anak Pak Long Ahmad akan naik bas hala ke Pantai Remis. Mereka akan sambung naik bas lain ke Damar Laut sebelum menaiki bot ke Pangkor.]

Solat Jumaat diimamkan Abang Abas. Selepas itu, aku dan abang G ke rumah Kak Baie di Felda Ijok. [Nama betul Kak Baie ialah Rokiah. Selain punya 8 anak bersama mak aku dan ketika 1980-an empat orang masih hidup, ayah aku turut punya 8 anak dengan arwah isteri pertama dan empat anak juga yang masih hidup ketika 1980-an. Kak Baie adalah anak isteri pertama ayah yang keempat. Dalam pada itu, aku tulis tidak begitu jelas di sini. Tapi, aku rasa emak, ayah, abang Cid dan kak Misah sekeluarga tak ikut sekali ke rumah Kak Baie.] Sampai malam, tonton TV cerita Melayu berjodol Suatu Penentuan lakonan Hussien Abu Hassan, Latif Ibrahim dan lain-lain. Malam sejuk kerana rumah Kak Baie di kawasan tinggi dan banyak pokok.

 

Sabtu, 16 Ogos

Lepas mandi pagi, beraya ke rumah Long Saadiah dan sebuah lagi rumah jiran Kak Baie. Selepas itu, kami pulang ke kampung, Tunggu bas lama sangat sehingga apabila sampai Taiping bas petang terlepas. Aku dan G ke Panggung Lido, tonton Potret Maria lakonan Sidek Hussien, Sarimah, Rubiah Suparman, Zulkifli Zain, Neng Yatimah dan Dicky Zulkarnain. Selepas itu, kami makan mi di sebuah gerai. [Tak pasti sama ada mi goreng, mi rebus atau mi bandung yang popular di era 1980-an.] Bertemu dengan Kak Yah dan Abang Shukor. Aku diberitahu Kak Yah bahawa anaknya, Wan Dizzy - Wan Dizzy memang nama betul - iaitu kawan sedarjah semasa aku sekolah rendah, bekerja jual mi dekat panggung wayang di sebelah Larut Matang Supermarket. Aku pergi menemui Wan Dizzy dan bercakap sekejap dengannya yang sibuk melayan pelanggan yang ramai datang ke gerainya. Kak Baie muncul di stesen bas lalu kami balik kampung bersama-samanya, bertolak 11:20 PM. Sampai rumah 12 AM lebih, kami sekeluarga berbual dengan Kak Baie sampai 2 pagi lebih.

 

Ahad, 17 Ogos

Aku dan Abang Cid terus ke Taiping naik bas, manakala mak, Tok Andak, Mak Unggai, Isa dan lain-lain berhenti di tengah jalan kerana mereka singgah rumah seorang saudara kami yang mengadakan kenduri kahwin. [Isa adalah adik Wan Dizzy yang diambil Mak Unggai dan Pak Unggai sebagai anak angkat kerana mereka tiada anak.] Sampai Taiping, aku dan Abang Cid makan nasi kandar bawah Larut Matang Supermarket. Ke pasaraya ini, beli stoking dan seluar main. Ke stesen keretapi 12 PM lebih. Sementara tunggu keretapi, tangkap gambar 6 kali. Pukul 4 PM lebih baru aku naik keretapi. Beli kasut di BM, lepas itu naik bas ke hostel. Makan malam, lauk ikan goreng. Tak ada prep malam. Mat Omar datang berbual. Kami makan jagung dan jambu air. Ke study room, belajar Sains Paduan. Pulang tidur dalam kesejukan kerana tiada selimut. [Pak cik dobi belum hantar balik selimut serta lain-lain pakaian yang diambilnya untuk dibasuh sebelum hari raya puasa.]

 

Isnin, 18 Ogos

Hisab Moden, belajar kosain, sain dan tanjen. B.M. belajar karangan. Rehat. Sains Paduan, ulangkaji subjek Form 2 mengenai haba. English, cikgu suruh cari keratan akhbar mengenai berita kemalangan. Prep malam, bersembang sekejap sebelum belajar lukisan teknik. Pulang, makan kuih raya yang diberi kawan-kawan. Pergi study room, dan belajar sehingga 12 AM lebih. Tidur pakai track suit kerana tiada selimut.

 

Selasa, 19 Ogos

Bangun 6:45 AM. Sarapan bihun goreng. Hisab Moden, hantar Buku Kemajuan. English, belajar mengikut keratan akhbar dan cara tulis surat rasmi untuk minta kerja. Sains Paduan, ulangkaji mengenai haba lagi. Rehat, I.A. Belajar lukisan teknik. Pulang dorm, makan dodol sampai habis. Kelas petang. Sejarah, belajar mengenai pembangunan Malaysia membabitkan Rancangan 5 Tahun Pertama dan Kedua. Agama, belajar bab sejarah dan aku tertidur. Ilmu Alam, belajar mengenai sejarah India. Main petang, main bola sepak. Prep malam, study Seni Perusahaan. Belajar malam di study room seperti biasa.

 

Rabu, 20 Ogos

P.E. Belajar teknik dribble bola hoki. Sivik, cikgu susun nama orang yang akan berbahas. Aku kena pada minggu ke-4. Sains Paduan, ulangkaji soalan SRP tahun 1973. Rehat. Ilmu Alam. Belajar iklim India. B.M. Buat karangan berbentuk ucapan. Agama, hafal Hadis. English, buat surat rasmi minta kerja sebagai Library Chief Clerk. Hisab Moden, belajar lebih luas mengenai tanjen, kosain dan sain dengan menggunakan graf. Main petang, main bola sepak. Aku, Abdul Rahim dan lain-lain buat unggun api. Kemudian api padam lalu aku hidupkan semula untuk kami bakar ubi kayu yang ada ditanam di tebing bukit dekat padang sekolah. Prep malam, ketua penuntut, Zamani cuit badan aku kerana aku tersengguk-sengguk mengantuk.

 

Khamis, 21 Ogos

Ilmu Alam, masih belajar India. Muzik, belajar solfa dalam major scale. English, belajar seperti biasa. Sejarah, belajar bab yang dulu juga. Rehat. Agama buat latihan Hadis mengenai Malu Itu Satu Cawangan Daripada Iman. Lukisan, lukis kebakaran. Kena lukis guna jari sahaja. Aku nak buat sekali lagi kerana tak elok. Hisab Moden, ada homework. I.A. Belajar lukisan teknik, dan cikgu bagi soalan mengenainya yang diambil daripada SRP 1978. B.M. Cikgu tak mai. Cikgu Syamsuddin Ayub jaga kelas. Kelas petang, aku pergi dengan Pian, Mat Ki dan Zailan. Aku buat lukisan. Prep malam, buat habis lukisan sebelum buat latihan Hisab Moden. Study malam di asrama, mengantuk la sangat! Di bahagian atas muka surat 21 Ogos, aku catat, seorang rakan sekelas tumbuh bisul 2 ketul, dia ke hospital, lalu dibelah oleh nurse.

 

Jumaat, 22 Ogos

B.M. Belajar cara jawab soalan SRP bahagian kefahaman. P.E. Main hoki. Cikgu nasihat supaya jangan berkelakuan tak elok apabila beliau lihat beberapa pelajar Form 5 riuh main bola sepak. Beliau juga nasihat supaya kami tak buat “perkara lain” semasa ujian. Hisab Moden, buat latihan. English, buat drama berasaskan Future Tense. Rehat. Sains Paduan, buat latihan berasas soalan SRP lalu. Sejarah, cikgu tanya mengenai bab Pembangunan Malaysia.

Solat Jumaat di dewan besar, khatib dan imam ialah Ustaz Muhammad Hussin. Prep petang, study. Main petang, main bola sepak. Beberapa orang kawan bakar ubi kayu lagi. Prep malam, aku bersembang dengan Amiruddin mengenai senjata yang dibuat oleh budak-budak kampung. Kami berbual mengenai hal-hal lain juga. Pulang dorm, tak sambung study tapi terus tidur. Terjaga tengah malam, tapi aku sekadar tarik selimut, tutup bahagian badan yang sejuk.

Aku dengar cerita, hari ini, beberapa rakan aku pukul seorang pelajar Form 2, Lim Hai Seah di Dorm K kerana dia dikatakan menghina Islam serta sebab-sebab lain. Selain Lim Hai Seah, ada beberapa pelajar lain turut kena pukul sehingga 4 pagi.

 

Sabtu, 23 Ogos

Prep pagi, berbual dengan Amiruddin mengenai pelbagai hal. Pulang dorm, study Ilmu Alam. Lepas makan tengahari, aku bersama beberapa rakan ke kebun Persatuan Perkebunan, "kebas" ubi kayu. Aku dapat seketul panjang kira-kira 2 kaki. Ke padang, bakar ubi kayu bersama Jamil, Idha, Ad Chin, Ad Long, Mat Zaki, Yazman, Non, Juraimi, Zailan, Ramesh, Zaini, Zul Ramli dan lain-lain. Kami makan 3 ketul besar sampai kenyang! Pak cik jaga datang lalu nasihat supaya bakar dalam longkang supaya Pengetua tak nampak. Hujan selepas minum teh petang di dewan makan.

Malam, tonton TV rancangan ulangan Aidilfitri. Aku pergi basuh kain di bilik air Form 3. Abdul Rahim masuk nak mandi lalu kacau aku! ☺☺☺ Pukul 12 tengah malam, aku ke study room. Tak lama kemudian aku ke Dorm K, tengok beberapa pelajar Form 2 kena bully. Mereka berkenaan seperti Syed Faisal dan Badrul Liza didakwa kononnya “mengacau” Form 3. [Maksudnya perbuatan mereka itu tidak menghormati kami yang lebih senior.] Berdekatan tandas pula, ada lagi pelajar-pelajar Form 2 lain seperti Fitri dan “Cina Lembik” sedang disoal siasat.

[Aku tak pernah bully pelajar-pelajar junior sepanjang aku tinggal di asrama kerana aku berasa kesian, manakala aku pula tak pernah teruk dibuli senior, khususnya Form 5 sewaktu aku mula masuk asrama dahulu. Ada beberapa kawan setingkatan yang pernah kena “star light” - beberapa pelajar Form 5 jentik dahi mereka berkenaan dengan sudu sehingga bengkak - sewaktu kami di Form 1, dan mungkin kerana inilah mereka terbabit “balas dendam” dengan membuli pelajar-pelajar junior setelah kami di Form 3. Awal pagi hari ini, aku agak terkejut apabila melihat beberapa pelajar yang berkelakuan baik turut membuli pelajar Form 2. Ada kejadian kelakar yang tak boleh aku lupakan. Beberapa rakan berselubung dengan kain pelikat sewaktu membuli pelajar-pelajar Form 2. Rakan-rakan aku berkenaan bertubi-tubi menampar pipi pelajar-pelajar Form 2. Namun, aku lihat mereka menampar tak terlalu kuat. Seorang pelajar bersuara pelik sewaktu bercakap untuk mengelak dia dikenal mangsa buli, “Hang kenai aku?” “Tak, bang!” Jawab pelajar malang itu. Selepas menampar, kawan aku itu terhenjut-henjut, berjalan meninggalkan budak Form 2 berkenaan. Aku - ketika itu sekadar menonton - macam nak tergelak melihat kelakuan Mat Omar! Yang pasti, aku akan campur tangan jika ada rakan-rakan yang membuli terlampau-lampau sehingga aku rasa boleh menyebabkan kecederaan serius.]

 

Ahad, 24 Ogos

Lewat bangun. Sarapan pagi, nasi lemak ikan bilis yang pedas sedikit daripada biasa. Inspection, aku duti sapu dalam dorm. Cikgu Fadzil datang cek. Aku tak outing, aku baca buku Ilmu Alam, bab Jepun sehingga habis. Aku lipat baju yang aku jemur dalam dorm setelah ia kering. 

[Aku tak jemur di dawai penyidai dalam stor kerana suasana dalam bilik kecil tepi bilik air itu gelap dan lembap. Aku juga tulis di muka surat 24 Ogos bahawa aku takut baju aku kena curi jika aku letak di stor, tapi yang sebenarnya aku risau ada orang angkat baju aku itu lalu letak ke tempat lain sewaktu dia ingin menyidai pakaian yang dicucinya sehingga baju aku pula  "hilang" atau jatuh tersepuk ke lantai lalu kotor!]

Selepas prep malam, aku sambung study Sejarah di study room sehingga 12 AM lebih.

 

Isnin, 25 Ogos

Assembly, Pengetua bercerita mengenai perkara yang bersangkut paut dengan belajar  “overseas.” Hisab Moden, buat latihan bab terakhir Form 3 berkenaan pengiraan luas, isipadu dan perbagai ukuran lain. B.M. Kefahaman. Rehat. Sains Paduan, buat latihan. English, cikgu tak mai, relax di kelas. Prep petang, baca nota Sains Paduan. Main petang, hujan sekejap. Aku ke dewan besar tengok Adey lawan badminton dengan seorang pelajar Form 1. Aku rasa, Adey main tak berapa baik kerana beliau tak pakai specs. Bertengkar dengan Zailan kerana aku berfahaman komunis. Ke prep malam, balik, aku sambung study sampai tengah malam.

[Aku taip balik "sebijik" ayat yang aku tulis pada muka surat 25 Ogos ini mengenai aku “bertengkar” dengar Zailan. Sebenarnya, kami sekadar berbincang dan Zailan berhujah mengenai keburukan komunis. Bagaimanapun, ketika kanak-kanak sehingga Form 3 malah setelah dewasa,  sekiranya Islam benar penganutnya pilih mana-mana ideologi, aku akan pilih komunis.]


Selasa, 26 Ogos

Sarapan bihun goreng. Masin sedikit. English, Cikgu Shamsudin ajak belajar di Set 3. Kami tak mahu.

[Aku ketika di Form 3 berada dalam Set 4 yakni kelas tercorot dalam penguasaan Bahasa Inggeris. Oleh itu, ketika di universiti, aku bertungkus lumus untuk lulus dalam subjek ini. Aku terpaksa ambil ujian berbentuk dengar dan tulis dua kali sebelum mencapai tahap minimum yang diperlukan bagi membolehkan seseorang mendaftar sebagai pelajar universiti berkenaan. Sementara menunggu untuk menduduki ujian kali kedua itu, aku dan beberapa rakan lain terpaksa masuk kelas asas Bahasa Inggeris. Oleh kerana aku lulus dalam ujian kedua terbabit, aku tak perlu terus belajar Bahasa Inggeris sehingga tamat di English Language Center.

Aku juga bukannya bagus sangat dalam Bahasa Melayu walau suka baca akhbar dan novel. Namun, seperti Bahasa Inggeris, aku berusaha keras untuk menguasai cara menulis berita dan rencana dalam Bahasa Melayu dengan banyak membaca dan ingat “format tulisan” yang diguna wartawan-wartawan berpengalaman. Aku juga sehingga sekarang tidak amal cara menaip yang betul kerana hanya menggunakan jari telunjuk kanan dan jari hantu kiri sewaktu menaip di komputer, manakala aku tidak mampu hafal kedudukan huruf dan tanda-tanda tulisan di keyboard atau papan kekunci. Namun, aku amal kaedah menulis mantan Pengarang Berita Berita Harian, Haji Nash untuk memastikan aku mampu menulis agak pantas. Cara beliau mudah tapi ada beberapa hal yang pelik! Sesiapa nak belajar boleh hubungi aku. ❤❤❤

Dulu, pada awal 1990-an, aku secara diam-diam cuba bersaing “tulis cepat” dengan beberapa wartawan NSTP, khususnya wartawan-wartawan New Straits Times. Setelah hadiri sidang media waktu malam yang kebiasaannya diadakan selepas jamuan makan di hotel tertentu, aku pulang ke pejabat lalu secepat mungkin taip berita lalu hantar kepada editor berkenaan. Dan, aku kerap terserempak dengan rakan-rakan terbabit sewaktu kami keluar pejabat masing-masing. Maknanya, aku setanding dengan mereka berkenaan di segi kepantasan menulis! Pejabat rakan-rakan aku itu berkongsi ruang dengan Malay Mail, manakala di sebelah lain di tingkat yang sama terletak pejabat Berita Harian dan Harian Metro. Ketika awal 1990-an ada sebuah akhbar berbahasa Cina diterbitkan NSTP, namun hayatnya sebentar sahaja! Selain akhbar-akhbar, NSTP turut menerbitkan beberapa majalah seperti Jelita serta mencetak buku.

Banyak kali, aku sempat sapa atau lambai wartawan terbabit sebelum aku naik teksi yang disediakan syarikat untuk pulang sekitar 12 AM atau lebih lewat. Dua orang daripada rakan-rakan lelaki aku berkenaan, masing-masing pernah berkhidmat dengan dua orang mantan Perdana Menteri yang berlainan. Seorang daripada rakan-rakan wanita -  aku sifatkannya sebagai sekadar seorang acquaintance - berkahwin dengan seorang yang dulunya berjawatan tinggi dalam bidang kehakiman. Ramai juga wartawan lain yang berkhidmat dengan menteri-menteri kanan. 

Berasaskan kepada pengalaman aku, seseorang perlu menulis berita paling lambat 15 minit. 5 minit untuk ambil gambar di unit foto atau hisap rokok – anda jangan gatal nak mula hisap rokok sebab tiada faedah dan hukum Islam berat kepada haram - sambil gambarkan dalam otak rangka berita, 5 minit menaip dan 5 minit cek ejaan dan fakta. Kalau tempoh sebegini pun tak mampu anda lakukan, lebih baik jangan jadi pemberita! Aku berkata begini kerana sewaktu aku bertugas sebagai editor di beberapa syarikat penerbitan selepas meninggalkan Harian Metro – dulu aku tulis juga di Berita Harian jika diperlukan kerana semua nama akhbar milik NSTP termasuk akhbar Cina yang aku tulis dalam [ ] ini adik beradik - aku lihat beberapa wartawan yang kononnya berjuang untuk “menegakkan kebenaran Islam melalui tinta” tapi mereka terbabit menulis terhegeh-hegeh! Aku tak maksudkan mana-mana pemberita Harakah, tetapi beberapa kakitangan akhbar bebas lain yang mirip menyokong PAS! Bukan marah, nasihat kata P Ramlee.]


Foto di atas ini diambil sewaktu kakitangan Harakah berkunjung ke Kelantan pada pertengahan 1990-an. Aku tak kelihatan jelas dalam gambar kerana aku berdiri dalam gelap dan hujung sekali.☺☺☺ Kami berada di sana bukan sekadar melawat tapi untuk membincangkan cara meningkatkan mutu media rasmi PAS ini dan hal-hal bersangkutan. Aku sebenarnya letak gambar ini bukan saja-saja tapi untuk mewar-warkan, khususnya kepada semua rakan setingkatan aku di SMSPP bahawa bukan aku seorang sahaja warga sekolah kita yang bertugas di Harakah. Namun, aku pasti ramai daripada rakan setingkatan aku tak kenal seorang daripada muslimat dalam gambar di atas. Beliau adalah seorang super senior kita, Kak Rohana yang telah pindah ke sekolah lain sewaktu kita mula belajar di SMSPP pada 1978. Kak Rohana berkelulusan media massa dari ITM dan bertugas sebagai Pengarang Muslimah, sebuah majalah terbitan Harakah. Dalam gambar di atas, beliau yang aku panggil Kak Ana betul-betul berdiri di celah belakang Haji Mustafa Ali dan Timbalan Menteri Besar, Ustaz Abdul Halim Abdul Rahman. Isteri aku yang bekerja di bahagian kewangan Harakah pula berdiri di celah belakang Ustaz Abdul Halim dan Ustaz Fazil Mohd Noor, perempuan nombor 3 yang berdiri dari arah lelaki yang berdiri di belakang Ustaz Fazil. Isteri aku yang kini bertugas sebagai guru Bahasa Inggeris adalah adik kepada rakan setingkatan kita, Masita Hassan. Semoga semua kakitangan Harakah serta pimpinan PAS yang telah meninggal dunia diberkati Allah. Begitulah jua kepada mereka yang masih hidup dan cekal berjuang sedaya boleh. Amin.

Sains Paduan, ke bilik TV tonton rencana bertajuk Pemuliharaan. Rehat. I.A. Belajar mengenai Logam Keping. Kemudiannya, belajar mengenai Mesin Pelarik Logam. Sejarah, kami disuruh mengundi untuk pilih tajuk yang kami rasa perlu belajar lebih mendalam. Namun, sebelum itu, cikgu marah kerana kami tadi tolak pelawaannya supaya kami duduk dalam kelas bersama Set 3.

Main petang, aku berpeluang main sepak takraw satu set sebelum turun ke padang bola sepak. [Gelanggang sepak takraw hanya satu. Oleh itu, aku sering main sepak raga bulatan untuk membolehkan pemain-pemain sekolah berlatih. Jika bermain dalam gelanggang, aku pilih posisi pengapit dan sekali dua aku berpeluang melakukan rejaman ala Adnan Saidin. Cara rejaman ala Maniam aku sukar buat!] Prep malam, aku rancang nak ke rumah Mat Omar pada cuti Hari Kebangsaan ini. Pulang ke dorm, aku pergi study room belajar Agama sekitar jam 11 malam.

 

Rabu, 27 Ogos

P.E. Belajar teknik dribble bola hoki lagi. Lepas itu, main 4 sebelah. Aku berjaya score sebiji. Aku, Kamal, Awang dan Fadir berada dalam satu pasukan menentang Wan Maizul, Ad Chin, Haizal dan aku lupa seorang lagi. Kami menang 2-1. [Aku berpendapat pasukan aku menang kerana Kamal adalah pemain sekolah.]  Sivik, forum membabitkan dua kumpulan: Yaakob, Azman dan Jamil menentang Zainol, Ricky dan Jamal. Ramesh jadi pengerusi. Sains Paduan, cikgu bagi kuiz. Cikgu bahagikan kepada 2 kumpulan: Pelajar-pelajar luar Pulau Pinang kalahkan pelajar-pelajar pulau dan mainland. Rehat. Ilmu Alam, belajar India. B.M. Buat karangan berbentuk penerangan, Pasar Malam di Tempat Saya. Agama, hafal Hadis. English, join Set 2. Aku duduk sekerusi dengan Abdul Razak, dan cikgu ajar summary. Hisab Moden, belajar kun dan piramid.

Main petang, aku sekadar duduk dan tengok rakan-rakan main bola sepak. Cuaca lembap kerana tadi hujan. Lepas mandi petang, Zailan baca diari ini. Katanya, “Boleh buat novel.”

[Insya-Allah, Zailan. Aku akan buat novel, atau cerpen yang dimasukkan dalam sebuah antologi yang mengisahkan pengalaman hidup aku separuh abad. Kisah cinta semestinya ada. Tak seronok jika tidak ada kisah berkasih sayang, bukan? Aku tak kacak dan bukannya kaya, tapi ramai juga sukakan aku, khususnya sewaktu aku berusia 20-an! Bukan sekadar yang belum kahwin, janda anak 9 pun ada sukakan aku, dan antara mereka ada yang dulunya ahli atau ada hubungan dengan sebuah "pertubuhan dakwah dan ekonomi Islam" yang kini diharamkan kerajaan!]

 

Khamis, 28 Ogos

Ilmu Alam, belajar Sungai Ganges, Pakistan dan Bangladesh. Muzik, relax di kelas, dan ada guru ganti. English, relax di kelas, tak join Set 3. Sejarah, salin nota bab 6 Form 3 yang ditulis oleh Subki. Rehat. Agama, buat latihan Hadis mengenai Dengki Mengikut Islam. Hisab Moden, buat latihan. I.A. Cikgu tunjukkan cara guna mesin pelarik. B.M. Peribahasa. Main petang, selepas main bola sepak sekejap, aku relax di tepi tebing menghala kawasan perumahan. Lihat seorang perempuan Cina sedang menjaga anaknya. Cop Mat Rabiah, Tok Moh, Juraimi dan Amir Zakee baling ketul batu ke dalam lopak air bertakung di bawah tebing bukit. 

Prep malam, ke dewan besar, dengar ceramah hal semangat belajar yang disampaikan oleh seorang ustaz dari Sekolah Al Mashoor Pulau Pinang yang aku rasa membabitkan juga hal perkauman. Study malam, aku tersengguk-sengguk mengantuk lalu aku pulang ke dorm.

 

Jumaat, 29 Ogos

B.M. Cikgu tak datang. P.E. Main hoki. Hisab Moden, buat latihan sendiri. English, isikan tempat kosong. Rehat. Sains Paduan, ke makmal jawab soalan latihan. Sejarah, berlatih jawab soalan Form 1. Solat Jumaat di dewan besar. Ustaz Zakaria jadi khatib dan imam. Makan nasi, dan ada ulat dalam sayur. Aku diam-diam buang ulat lalu terus makan. [Aku pernah dengar ayah aku kata yang datuk aku, Tuan Guru Abdul Rahman Abdul Wahid kata ulat buah tak haram dan boleh dimakan. Oleh itu, aku fikir, ulat sayur tentu serupa hukumnya.]

Ke perhentian bas dekat Pusat Pemulihan Dadah dengan Mat Omar. Sampai BM, minum cendol. Lepas itu, kami makan nasi kandar di Iqbal Restaurant. Harganya RM6 lebih. [Harganya pada aku agak mahal kerana harga makanan ketika ini masih murah. Tapi, apa yang aku masih ingat ialah servis restoran ini menarik. Kami duduk di tingkat atas dan nasi dan lauknya diangkat dari bahagian bawah restoran dengan menggunakan sejenis takal sebelum di hidang oleh pelayan.] Kami berdua naik bas bersama-sama dengan Mat Ki, Fadir dan Anas. Fadir dan Anas hendak pergi ke rumah Mat Ki.

Sampai di rumah Mat Omar, aku dapati rumahnya kini ada bilik mandi dengan pancur. [Pancur atau sebutan Pulau Pinang pancoq ialah pili air paip yang dibekalkan kerajaan negeri. Sebelumnya, aku mandi di telaga apabila berkunjung ke rumah Mat Omar.]

Selepas solat Maghrib, aku tonton TV cerita Melayu, “Sebentar di Neraka.” [Aku rasa filem yang aku tonton ini ialah Samusim di-Neraka. Pada 12 April 2003, Lembaga Penapisan Filem Malaysia telah mengharamkan filem yang diterbitkan pada 1971 ini serta tiga filem lain iaitu Anak Buluh Betung (1966), Gergasi (1958) dan Sumpah Wanita (1960) kerana kandungan filem-filem berkenaan menyimpang daripada ajaran Islam. Semua filem ini telah dibintangi Aziz Jaafar.]

Ada orang datang ke rumah Mat Omar. Aku tidur di luar, di hadapan peti televisyen.

 

Sabtu, 30 Ogos

Kami bangun lewat. Sarapan nasi lemak dengan ikan bilis. Mat Omar kena marah sebab dia masak telur lagi sebagai lauk tambahan. [Aku rasa kakak Mat Omar yang marah dia goreng telur.] Dengar radio dalam bilik. Mat Omar kemudiannya bercakap-cakap menggunakan condenser microphone. Selepas itu, kami tonton TV cerita Siam. 

[Ketika ini, siaran TV dari negara-negara luar mudah ditonton di kampung-kampung yang dekat dengan sempadan negara-negara terbabit walau ketika ini kebanyakannya masih menggunakan aerial pacak dengan menggunakan batang buluh. Pada zaman akhir 1980-an, aku sering dapat menonton rancangan TV dari Indonesia di rumah kampung aku. Kampung aku mula menerima bekalan air paip pada pertengahan 1980-an dan tak lama kemudian bekalan elektrik dibekalkan sehingga berlaku sedikit perubahan cara bersosial penduduk kampung aku. Ketika aku bertugas sebagai pemberita Harian Metro di Johor Bahru pada 1990, aku sering juga menonton rancangan berita sebuah stesen TV Singapura bagi mengetahui perkembangan politik dan hal-hal lain mengenai negara jiran terdekat Johor ini.]

Makan tengahari, ada sayur kangkung tumis. Abang Mat Omar, Mail dan isterinya datang ke rumah Mat Omar. Ronda dengan Mat Omar dengan motorsikal abangnya. Mat Omar yang duduk di depan, aku sekadar membonceng. Kami pergi dua kali ke rumah Mat Ki, tapi dia dan rakan-rakan diberitahu ahli keluarganya – mungkin mak Mat Ki – bahawa mereka belum pulang dari Tanjung. [Sebutan Tanjung ini bermaksud wilayah Pulau Pinang di sebelah pulau.] Kami akhirnya pergi ke rumah seorang pak saudara Mat Omar. Beri kacang kepada seorang anak kecilnya. Rumah pak saudara Mat Omar ini lebih teruk daripada rumah aku di kampung sedangkan ayah aku dapat bantuan kerajaan RM1,000 untuk buat rumah baru. Peti ais di rumah pak saudara Mat Omar penuh lipas!

[Aku catatkan di sini yang ayah aku menerima bantuan RM1,000 daripada kerajaan untuk membina rumah baru. Bagaimanapun, ayah aku guna wang berkenaan lewat sedikit untuk buat rumah baru kami di seberang sungai, di sekeping tanah kami yang terletak berdekatan rumah-rumah penduduk kampung lain. Ini kerana ayah perlu kumpul sedikit wang tambahan untuk membolehkannya membina sebuah rumah yang bersaiz lebih besar dan agak selesa. Arwah bang Cid - aku baca al-Fatihah sekarang - telah beri wang tambahan untuk mencukupkan kos pembinaan rumah papan kami ketika ia mula dibina pada awal 1980-an. Aku masih ingat, suatu hari ketika pulang cuti sekolah, aku tolong ayah tanggung papan-papan dan batang-batang kayu agak kecil dari tepi jalan raya untuk dibawa masuk ke dalam kampung. Lori tak boleh masuk kampung aku ketika awal 1980-an kerana jalan dalam kampung aku ketika itu masih kecil dan hanya boleh dilalui pejalan kaki dan basikal. Sekarang ini, jalan kampung aku sudah berturap tar walau masih kurang lebar sehingga menyukarkan kenderaan-kenderaan seperti kereta berselisih di beberapa tempat yang sempit. 

Berbalik kepada kerja mengangkut papan, batang-batang kayu serta tiang rumah, aku kagum bercampur malu kerana ayah aku berusia 69 atau mungkin 70 tahun lebih - tarikh lahir ayah aku yang sebenar tak dapat dipastikan kerana semasa beliau buat kad pengenalan dahulu semua fakta diberikan secara agak-agak - tapi beliau mampu menanggung tiang rumah sedangkan aku gagal melakukannya kerana ia terlalu berat. 

Arwah ayah dan mak aku adalah penyokong tegar PAS secara diam-diam sehingga akhir hayat mereka tapi ketua kampung aku tetap bersikap adil dengan membahagikan bantuan tanpa memilih bulu. Kawasan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri di kampung aku sehingga ini masih kuat pengaruh UMNO walaupun PAS semakin kukuh bertapak ekoran parti berteraskan Islam ini pernah beberapa kali menang Parlimen – rasanya Dewan Undangan Negeri kekal UMNO sejak dulu, manakala Parlimen pernah sekali dimenangi Tan Lian Hoe dari Gerakan – ekoran perubahan politik pasca pertembungan Anwar-Mahathir bermula pada zaman Reformasi 1998 yang menyaksikan ramai pengundi bukan Melayu terutamanya Cina mengundi PAS. Sebagai Ketua Wanita Gerakan, Tian Lian Hoe pernah juga menjadi Ahli Parlimen Gerik. Beliau berasal dari Melaka dan pernah bertugas sebagai seorang guru. Beliau berkelulusan Pengajian Melayu dari Universiti Malaya dan menjadi ahli parti berkenaan sejak 1973. Beliau dicalonkan di kawasan Parlimen kampung aku, Bukit Gantang pada Pilihan Raya Umum 2004 berikutan ketika itu kawasan Parlimen untuk Gerakan di Taiping diambil alih oleh M Kayveas dari Parti Progresif Rakyat (PPP).]

Hujan petang. Setelah seriat, Mat Omar tunjuk kepada aku meriam tanah yang dia main dengan abangnya menjelang raya puasa baru-baru ini. Selepas itu, kami baiki lampu lau ayam daging yang rosak. [Lau ini ialah reban ayam dalam loghat Utara Malaysia Barat. Ayam daging adalah istilah bagi baka ayam yang diternak untuk tujuan komersial seperti ayam siap proses yang kita sekarang beli di pasaraya.]

 

Ahad, 31 Ogos

Tonton TV  yang menayangkan Perarakan Hari Kebangsaan. Naik basikal ke Permatang Bendahari dengan Mat Omar. Naik perahu tambang ke Kota di Kuala Muda. Kami naik bas awam pula ke Pantai Merdeka. Bersesak-sesak depan pentas tengok Irwan Syah yakni DJ Dave bernyanyi. Kemudiannya kami mandi laut setelah salin pakaian di kawasan tersorok dekat tepi bukit kecil. Ramai orang “melepas” di situ sehingga Mat Omar terpijak tahi! Berenang ke sebuah perahu yang ditambat dekat pantai lalu kami naik ke atasnya. Beberapa pemuda Melayu bertumbuk, mungkin kerana masalah membabitkan perempuan. Polis datang lalu tangkap mereka berkenaan. Kami kemudiannya makan laksa dengan air limau nipis. Ke Kota dengan menaiki kereta besar rasanya Mercedes Benz model lama yang diisi 10 manusia termasuk pemandunya! 

[Aku sudah lupa tambang yang dikenakan, tapi teksi haram atau "prebet sapu" ini hanya mengenakan tambang beberapa sen bagi setiap penumpang untuk ke Kota. Sewaktu aku bekerja di Johor Bahru pada awal 1990-an sebagai pemberita dan tinggal di sebuah taman perumahan dekat Kempas, aku pernah sekali naik prebet sapu waktu pagi ke pejabat lalu aku duduk tersepit di celah-celah tiga perempuan muda cantik di bahagian belakang kereta Proton Saga yang masih baru! Di kerusi depan sebelah pemandu, duduk seorang lelaki bertubuh besar. Harga tambang juga hanya beberapa sen, setanding tiket bas awam! Selepas itu, aku tak naik lagi prebet sapu yang kerap beroperasi di awal pagi - biasanya diguna oleh makcik-makcik untuk ke pasar di Skudai selain mereka yang perlu awal ke pejabat - mungkin bagi mengelak di kesan pihak berkuasa berkenaan. Oleh itu, aku sukar dapat khidmat prebet sapu kerana lewat ke pejabat sekitar 10 atau 11 AM lalu aku naik bas awam selepas beberapa minggu bekerja di Jalan Uda, dan aku pulang kerja pula sering selepas waktu Subuh. Aku naik teksi pulang awal pagi dan dikenakan tambang sekitar RM6. Ketika ini meter sudah mula dipakai, tapi ramai pemandu teksi di Johor Bahru lebih suka mengenakan bayaran tetap. Aku tak menulis mengenai isu prebet sapu kerana merasakan tiada faedah sangat untuk aku ketengahkan. Bagaimanapun, aku kerap juga menulis isu penggunaan meter teksi kerana aku tak suka rakyat marhaen ditekan-tekan!

Aku sebenarnya, sering bekerja waktu malam secara sukarela kerana tiada wartawan lain yang aku rasakan betul-betul boleh mengendalikan meja jenayah Harian Metro di Johor Bahru. Aku sering menulis berita jenayah selain berita am dan ekonomi sewaktu bertugas di KL. Dua wartawan lain yang turut dihantar untuk meningkatkan prestasi Harian Metro yang baru sahaja diluncurkan pada awal 1990-an pula rasanya tak pernah langsung menulis berita jenayah. Zurina lebih kepada meja hiburan, manakala Fahmi seorang pakar sukan. Ketua Biro Harian Metro, Joe pula tidak kisah aku datang lewat sebab beliau faham aku juga bertindak sebagai last man! Seorang juru gambar merangkap stringer, Lokman atau kakitangan tetap bertugas sebagai jurufoto, Abdul Rahman sering ada di pejabat bersama-sama aku sehingga dinihari. Pemberita-pemberita lain daripada Berita Harian atau New Straits Times tak pernah bertugas di awal pagi seperti aku walaupun kami menggunakan ruang pejabat yang sama. Hanya Fahmi yang pernah kerja waktu malam sehingga awal pagi sekali dua. Ketika era awal penubuhannya, Harian Metro kelihatan lebih menumpukan kepada berita jenayah secara "eksklusif" kerana setiap hari ia mula berada di pasaran pada awal petang. Maknanya, berita selewat jam 10 AM masih boleh dihantar ke pejabat Harian Metro di KL untuk dicetak pada hari yang sama!]

Naik perahu menyeberang sungai setelah beli … [Aku tak tulis rokok kerana timbul masalah jika tanpa diduga diari ini dibaca pihak berkuasa sekolah aku seperti ketua penuntut atau warden.] Hari sudah merangkak malam, aku dan Mat Omar naik basikal ke rumahnya sambil pekena seorang tiga batang sehingga pening. [Tiga tu bermaksud tiga batang rokok la!]

Sampai rumah, aku terus cuci mulut. Aku tonton TV, Incredible Hulk dan ia adalah kali pertama aku tengok rancangan bersiri ini. Selepas itu, aku tonton drama berjodol Perjuangan karya Baharudin Haji Omar. Selepas itu, tonton pula Suria Merdeka yang dibarisi penyanyi Irwan Syah, Gaya Zakri, Rehan Musa dan lain-lain. Ban dekat tepi peti TV! [Ban ini istilah agak popular di asrama aku yang bermaksud tidur, rasanya diambil daripada singkatan bantai atau Bahasa Melayu formal iaitu bantal.]

Comments