Diari 1980

Julai

 

Selasa, 1 Julai

Kelas pagi. Sains Paduan, tonton TV yang memaparkan rencana mengenai sumber dari laut. Seni Perusahaan, ujian praktikal SRP. Aku berpasangan dengan Jamil buat ujian praktikal dalam Kotak 8. Selepas ujian praktikal ini, kami jawab soalan mengenai elektrik juga. Sejarah, belajar mengenai hubungan Malaysia dengan Indonesia. Agama, belajar mengenai puasa.

Petang, pelajar-pelajar matrikulasi Sains Kedah datang ke sekolah aku. Ada perlawanan sukan persahabatan antara mereka dengan pelajar matrikulasi SMSPP. Aku dan Radual melompat-lompat atas rangka kayu yang dijadikan pemain-pemain rugby sebagai suatu alat berlatih scrum. Bagaimanapun, alat ini yang diletak dekat gelanggang bola keranjang tumbang apabila kami terus-terusan melompat, menuju ke arah hujungnya. Sebelum itu, Zul Ahmad menunjukkan gaya akrobatiknya melompat-lompat ke arah hujung alat itu lalu meloncat ke bawah.

Pak cik dobi datang hari ini.


Rabu, 2 Julai

Kelas pagi. P.E. Main sofbal. Sivik, cikgu bagi penerangan mengenai Dasar Ekonomi Baru. Sains Paduan, belajar mengenai tanah lagi, tapi kali ini belajar mengenai cara untuk mengetahui kandungan air dan udara dalam tanah. B.M. prosa mengenai sebuah sajak Maarof Saad, Daerah Sepi.

Kelas petang. Tak ramai dalam kelas kerana rakan-rakan berkenaan pergi lawan rugby Under 15 di Penang Free School. Kami yang tinggal diarah pergi ke library. Pulang asrama, aku mandi dulu sebelum pergi main petang. Ada perlawanan rugby Under 18 dengan Penang Free School A. Sekolah aku kalah. Aku lihat ramai pemain lawan bertubuh besar macam bulldozer!

 

Khamis, 3 Julai

Kelas pagi, Ilmu Alam belajar Hong Kong. Muzik, aku lantun lagu Wajah Kesayangan Hamba sehingga tamat. Selain nyanyi lagu Hail Amir ini, aku kena sebut secara berirama do, re, mi, fa, so, la, ti, do. Markah kedua-duanya akan dimasukkan ke dalam markah Ujian Kemajuan Ke-4. Agama, belajar zakat fitrah dan harta benda. Senilukis, buat lukisan nada warna. Hisab Moden, belajar segiempat sama dan tepat, segitiga sama, layang-layang, dan rombus (segiempat selari bersudut serong dengan empat sisi yang sama.) I.A. Mula belajar kaji logam. B.M. Cikgu ajar pantun, sajak dan syair.

Main petang, Awang Mahmud tersepak kaki aku lalu aku jatuh, berdarah lutut. Aku segera pergi basuh luka. Pulang ke asrama, aku baca akhbar di bilik rehat. Ada seorang pelajar matrik tidur di situ.

 

Jumaat, 4 Julai

P.E. Tak selesa main kerana lutut yang masih rasa sakit. Sains Paduan, buat ujikaji peratusan humus dalam tanah. Sejarah, cikgu bagi sebiji kuih kepada sesiapa dapat jawab soalannya dengan syarat kami bagi 5 duit sebagai cagaran untuk satu soalan.

[Bulan lepas rasanya cikgu pernah buat cara ini, tapi rasanya tak ada yang sambut cabarannya kerana kami tahu cikgu sekadar buat lawak!]

Ke dewan besar, solat Jumaat walau kaki masih sakit. Lepas itu, ke library kerana perjumpaan scouts dibatalkan. Aku pinjam buku dalam Bahasa Indonesia bertajuk Dunia Yang Ku-Temui, karya Sjafiroeddin.

Main petang. Pasukan Rugby Under 15 A lawan dengan St. Mark A. Kami menang! Yaakub dan Mi Totiaq adalah pemain paling hebat kerana mereka berlari laju tanpa dapat di-tackle pihak lawan. Selepas itu, SMSPP lawan dengan St Mark Under 18. Ramai pemain sekolah aku kena keluar padang sebab luka atau diarah referee keluar kerana dikata main kasar. Lastly, referee nak gaduh dengan seorang pemain sekolah aku. Kami yang menonton di tepi padang, serbu referee ini serta pemain-pemain St Mark. Referee ini lari, naik motorsikalnya, pulang. Seorang pemain St Mark pula seakan naik hantu. Tapi, tiada kejadian pergaduhan besar selanjutnya kerana pelajar-pelajar SMSPP, yang lebih ramai, tidak bertindak di luar batasan.

 

Sabtu, 5 Julai

Sarapan pagi. Rush roti planta. Ambil surat berdaftar yang dihantar ayah. Outing ke BM, beli ubat gigi, tuala, sabun dan selipar.

Petang, Zainol ajak aku makan di kantin. Mi goreng dan air. Lepas itu, kami ke dewan besar curi-curi lihat pelajar-pelajar, termasuk beberapa rakan setingkatan, sedang rehearse untuk majlis malam ini, Malam Budaya. Malam, aku dan Zainol pergi tonton acara kebudayaan tahunan ini. Zainol sekali lagi belanja aku, kali ini dia bagi 40 sen – tiket 30 sen, manakala minuman sekupang. Cikgu Mat Nor Hussien, Penolong Kanan rasmi majlis. Juruacara ialah Li Wok dan Fazidah.

Nyanyian solo: Pertama, Azlin Form 5. Kedua, Farah Diba Form 4. Ketiga, seorang pelajar perempuan juga. Tapi, Form 1.  Kugiran: Pertama, Scouts. Kedua, Persatuan AVA. [Nombor Tiga aku tak tulis atau mungkin tiada pemenang.] Tarian: Pasukan Jentayu yang terdiri daripada pelajar-pelajar Form 3 dinobatkan sebagai juara. Penolong Kanan, malah, puji persembahan mereka ini. Zahi jadi orang jahat, Zul Ahmad sebagai hero, manakala Idha dan Zahrin adalah antara yang turut beraksi cemerlang. “Penyeri” dalam persembahan ini ialah Rosmawati, Hafilah dan Norhasimah. [Aku tak tulis nama pemenang lain dalam acara tarian, sekiranya ada, dan aku tak pasti jika ada pelajar-pelajar Form 3 lain yang turut menjayakan tarian ini.]

Sebelum tidur malam ini, aku makan sedikit langsat yang diberi seorang rakan yang mungkin ambil peluang pulang ke rumahnya semasa outing tadi.

 

Ahad, 6 Julai

Aku duti bersih tandas. Cikgu Fadzil cek dan bagi sedikit pesanan supaya bersedia untuk hadapi SRP. Aku tidur selepas inspection, lalu pergi musala qada solat Zuhur setelah aku terlewat bangun. Petang, tonton TV – Sinbad the Sailor dan Shanana.

Selepas solat Isyak di musala, ustaz – [aku tak tulis nama, tapi rasanya Ustaz Muhammad Hussin] – panggil semua pelajar Tingkatan 3 supaya berkumpul di bilik rehat. Ustaz nasihat supaya kami sentiasa solat di musala dan berdisiplin. Seorang rakan terpijak tahi kucing selepas pertemuan singkat ini sehingga hal ini menjadi bahan jenaka sesama kawan.

 

Isnin, 7 Julai

Assembly, Pengetua umum dua pelajar Form 5 kena rotan sebab sneak out, pulang ke rumah. Hisab Moden, belajar segitiga dan sudut. B.M. Buat latihan ayat. Rehat. Sains Paduan, ujikaji ketelusan air di dalam tanah liat, pasir dan peroi. English, tak jadi ke AVA Room kerana kunci hilang.

Pulang asrama, tapi aku pergi mandi dalam tandas di bilik air di bahagian bawah bangunan sekolah kerana air kurang di asrama. Aku tak pergi mesyuarat PBBM lalu belajar di dalam kelas. Kedengaran lagu-lagu dari bilik Tiga Biru. Pelajar-pelajar Kelab Muzik berlatih di situ.

Main petang. Kat padang bola sepak ada perlawanan persahabatan antara matrik dan Form 4. Aku dengar berita, pasukan rugby Under 15 kalah dengan BM High School. Dapat nombor dua seluruh Pulau Pinang lah SMSPP.

Hari ini, seseorang suruh aku kutip pembalut gula-gula walaupun bukannya aku yang buang. [Aku tambah dengan menulis: "Geram betul!" Allahu akbar! Aku berdoa semoga Tuhan ampun dosa aku yang terserlah tak ikhlas ketika itu.]

 

Selasa, 8 Julai

Hisab Moden, belajar rajah sebentuk. English, tulis surah balasan. Sains Paduan, buat ujikaji benda-benda yang hidup dalam tanah. Rehat. I.A. Mula buat projek untuk penggal ini. Sejarah, belajar Dasar Pelajaran Malaysia. Agama, belajar zakat fitrah. Ilmu Alam, belajar Manchuria. Main petang, aku main sepak raga kerana luka di lutut belum sembuh. Malam, study hard.

 

Rabu, 9 Julai

P.E. tak turun. Cikgu datang dan marah, “Kalau hujan pun, takkan tak boleh turun ke dewan besar.” Sivik, cikgu bagi penjelasan mengenai LKTP/Felda. Sains Paduan, baca buku. Beberapa pelajar ke pejabat kerana pegawai JPA datang buat survey. Rehat. Ilmu Alam, Ujian Kemajuan 4. B.M. buat karangan U.K. 4 bertajuk Kalau tidak dipecahkan ruyung manakan dapat sagunya. Agama, kuiz. English, buat kerja sendiri. Hisab Moden, buat kerja sendiri juga kerana cikgu ada hal lain. Main petang, main bola sepak.

 

Khamis, 10 Julai

Sarapan. Makan bihun goreng 3 pinggan. Kemudiannya, aku minum kopi dalam pinggan supaya cepat sejuk. Ilmu Alam dan Muzik duduk di kelas. Sejarah, pergi bilik TV untuk tonton upacara pertabalan YDP Agong Sultan Ahmad Shah dari Pahang. Rehat. Agama, belajar mengenai solat jenazah. Senilukis, lukis anggota badan yang terdapat pada muka. Kelas petang. Hisab Moden, belajar pembalikan. I.A. diberi penerangan mengenai kikir pateri. B.M. Buat karangan berbentuk penerangan.

 

Jumaat, 11 Julai

B.M. Buat latihan lisan penjodoh bilangan. P.E. main sofbal. Sains Paduan dan Sejarah, ke library.

Petang. Ke perjumpaan scouts, di arah tarik tali ke padang, kemudian bersembang-sembang. Selepas itu, rancang tebang buluh untuk buat khemah dekat bangunan sekolah. Cikgu cakap, projek ini rahsia, maknanya tak boleh beritahu pihak lain.

 

Sabtu, 12 Julai

Selepas prep pagi, aku baca 2 buku Jamil iaitu Burung Hijau Terbang Lagi, Zahari Affandi dan Mata Di Jendela, Wijaya Mala sehingga habis. Selepas itu, aku baca buku milik Yaakob, Hari-hari Terakhir Seorang Seniman, Anuar Ridhwan sehingga selesai.

Hari ini, aku tonton TV siri Centennials yang menceritakan kisah satu puak Red Indians lawan orang putih. Jake kena gantung, manakala adiknya ditembak. Selepas semua menyerah diri, puak Red Indians berkenaan selamat daripada gangguan orang putih. [Filem orang putih seperti biasa terlalu bias dan yang betul hanya orang putih.]

 

Ahad, 13 Julai

Sarapan, nasi lemak ikan bilis double. Terlalu kenyang, aku tak makan sampai habis seperti hari-hari biasa. Inspection, aku duti sapu sawang. Dorm diperiksa oleh ketua-ketua penuntut. Cikgu Mazlan suruh cuci tingkap yang masih berabuk tanah merah. Selepas itu, pergi bilik rehat baca Berita Minggu. Ada kisah mengenai rumah P Ramlee di Pulau Pinang yang dibincangkan supaya dibuat tempat bersejarah.

Hari ini 1 Ramadan 1400 hijrah. Malam, mula solat terawih di dewan besar. Ada langsir di antara pelajar lelaki dan perempuan. Aku solat di saf depan sekali. Selepas solat, ada jamuan air Milo. [Bersyukur walau tanpa kuih.]

 

Isnin, 14 Julai

Aku tulis di bahagian atas muka surat 14 Julai: “Mula berpuasa. Semoga aku berjaya menempuh dugaan Tuhan.

Assembly, seorang pelajar Form 1 kena public warning kerana mencuri RM38. Seorang pelajar senior, juga lelaki, kena rotan kerana sneak out dan merokok. Hisab Moden, test. B.M. Jamal baca petikan untuk dibincangkan – Adakah patut diharamkan sukan yang merbahaya. Sains Paduan, selesai belajar bab tanah. English, ke AVA Room. Kemudiannya, aku ke library, pinjam buku Tuhan Tak Sayang Padaku Lagi, A. R. Kamaludin.

Buka puasa, lauk ikan celup dan ikan masin. Solat Maghrib di dewan besar diikuti Isyak dan Terawih. Moreh bihun goreng dan agar-agar. Aku buat double la!

 

Selasa, 15 Julai

English, ujian 10 soalan sahaja. Sains Paduan, tonton TV – Tanah-tanih. I.A. Proses memateri projek. Kelas petang. Sejarah, ke library. Agama, ujian dan aku berasa tak cukup bersedia. Moga-moga berjaya. Ilmu Alam, ujian 10 soalan.

Malam, solat Isyak dan Terawih di dewan besar. Selesai solat, Pengetua tegur sikap sebilangan pelajar Melayu yang tak pentingkan subjek sains. Aku kira ucapan beliau berbentuk sedikit perkauman apabila beliau menyebut secara jelas bahawa tak boleh biarkan orang kafir memegang kedudukan tinggi dalam bidang pelajaran. Kami pula adalah bakal pemegang teraju negara di masa depan. Moreh. Makan seketul kuih cucur badak, 3 tepung bungkus. Ada lagi kuih lain iaitu serimuka, pulut udang dan lompang.

 

Rabu, 16 Julai

Bangun lewat 9 am selepas tidur setelah solat Subuh. [Hari ini cuti rasanya.] Berbual-bual dengan Zailan mengenai kelakuan Sultan Perak yang diperkatakan rakyat serta hal-hal lain. Aku berasa letih dan bosan duduk di asrama hari ini. Aku study Sejarah sehingga selesai bab 12.


Khamis, 17 Julai

Mat Omar bagi telur masinnya kepada aku masa kami makan sahur. Selepas sahur, aku study sampai ke siang. Aku hari ini pergi awal ke sekolah, tapi setibanya aku ke kelas kelihatan Idrus sudah ada dalam kelas 3 Merah. Ilmu Alam, kena buat ujian tambahan 15 soalan. Muzik, ujian mencipta lagu sendiri. English, kena ambil ujian sekali lagi kerana cikgu tak puas hati dengan tahap pencapaian ujian yang kami ambil baru-baru ini. Sejarah, ujian. Agama, ustazah ajar doa solat jenazah, dan beliau suruh buat catatan mengenai ayat al-Quran atau hadis kerana kami boleh pilih untuk menjawab salah satu daripadanya ketika SRP nanti. Seni Lukis, kena buat test sekali lagi kerana cikgu tak puas hati. Aku lukis potret dengan melihat wajah Amiruddin yang duduk di sebelah aku, manakala Amiruddin pula lukis muka aku.

Kelas petang. Hisab Moden, mula belajar Logarithm. I.A. Ujian aku rasa susah kerana soalannya semacam membabitkan subjek yang belum dipelajari. Sains Paduan, ke makmal dan ambil ujian yang sukar juga. Pulang asrama, aku tidur sekejap sebelum buka puasa. Semasa buka puasa, Mat Omar bagi ayamnya kepada aku. Study malam pula, Mat Omar duduk sebelah aku dan kami bersembang sambil belajar. Mat Umar bagi aku sedikit kurma dan … [Aku tak tulis tapi aku rasa kami turut hisap rokok berdua.] Kami tidur lewat. Tidur  2 AM, dan dah masuk hari Jumaat.

 

Jumaat, 18 Julai

Sahur makan ayam. Kelas pagi. B.M. Cikgu suruh buat dua karangan untuk dibaca dalam kelas kelak. Cikgu turut kritik karangan Shukor, Mat Ki dan Abdul Rahman yang dikatakannya sebagai keluar tajuk. P.E. Ke Bilik Rehat B di asrama. Main pingpong. Hisab Moden, cikgu Hussain sebaliknya masuk dan suruh kami buat test Ilmu Alam. Rehat. Sains Paduan, baca buku dan buat nota mengenai kulat dan bakteria. Sejarah, cek kertas soalan dan aku betul 22 berbanding 35 keseluruhan soalan! Solat Jumaat di dewan besar. Setelah pulang dorm, ramai pelajar tidur lalu ketua-ketua penuntut datang gerak dan suruh ke prep petang. Aku ke library pinjam Apa Dayaku Kerana Aku Perempuan, Nursinah Iskandar. Pulang prep petang, aku relax atas katil sebelum buka puasa.

 

Sabtu, 19 Julai

Aku tulis dengan huruf besar kat bahagian atas muka surat 19 Julai: “HARI INI AKU KENA PENYAKIT CIRIT BIRIT MELARAT HINGGA ESOKNYA!”

Hari ini, lewat ke prep pagi kerana aku 4 kali masuk keluar tandas. Pulang juga lewat sedikit. Aku tak outing kerana sakit perut teruk sangat. Tidur sekejap sebelum buka puasa. Ambil sedikit kurma yang disaji di meja belakang aku kerana tiada pelajar duduk di situ. Solat di musala sahaja kerana dewan besar penuh sangat. Selepas solat Terawih, makan bihun. Double! Istilah yang bermaksud tambah sepinggan lagi. Kemudiannya, aku pergi tonton TV siri Hart to Hart. Balik dorm, beberapa rakan, Mat Ki, Jad, Bang Li, Yaakob dan lain-lain, bagi ration kepada rakan-rakan lain termasuk aku. Selepas itu, ramai rakan duduk di katil Mat Ki dan riuh bersembang di situ. Aku yang berbaring di atas katil aku sukar tidur, tapi lama kelamaan tertidur juga.

 

Ahad, 20 Julai

Duti – cuci longkang dan kawasan asrama. Cikgu Zaki cek dorm. Aku kena denda tarik sepasang kasut yang diikat dengan tali leher dari bawah bangunan ke dorm kerana kesalahan tak atur kasut itu elok-elok di bawah katil. Lepas itu, kena lari di paras yang sama dengan melintasi dorm-dorm Form 3 dan Form 4.  Aku kena boo!

Selepas inspection, kongsi duit dengan kawan-kawan untuk hantar kad raya kepada Form 3 dua sekolah berasrama penuh perempuan – Tunku Kurshiah dan Tun Fatimah. Rakan-rakan sibuk berbincang mengenai isi yang bakal ditulis dalam kad-kad raya berkenaan. Dengar radio, acara pantun antara kakitangan MRSM Kulim dengan Radio Pulau Pinang yang diadakan di MRSM Kulim.

Petang, pasukan scouts keluar ke Tok Kun ikut belakang asrama dengan cikgu Zaki. Kami ambil buluh dekat sebidang bendang di sana. Kami lompat pagar sewaktu keluar dan masuk asrama. Malam, solat Terawih di musala. Ustaz jadi imam. [Rasanya ustaz Muhammad Hussin.]

 

Isnin, 21 Julai

Hujan lebat. Tapi, tetap pergi sahur. Aku ambil telur goreng tiga biji! Kenyang betul. Aku bangun lewat. Sewaktu jalan kaki menuju ke sekolah, pelajar-pelajar sudah ke dewan besar. Oleh itu, aku terus pergi ke dewan besar. Pengetua umum Cuti Penggal II bermula pada 31 Julai. Hisab Moden, belajar algorithm selepas cikgu habis cek kertas ujian Form 1. B.M. belajar mengenai Ungkapan. Rehat. Sains Paduan, aku dapat markah 68. English, ke AVA Room. Aku baca buku, Talking to Tiger.

Petang, tiada aktiviti persatuan, aku ke kelas baca buku. Lepas tu, buat latihan algorithm. Tidur sekejap kerana tiada kerja lain. Pulang asrama, aku sambung baca buku Apa Dayaku Kerana Aku Perempuan sehingga tamat. Selepas buka puasa, seorang pelajar lelaki Form 4 baling kulit tembikai lalu terkena kepala seorang pelajar perempuan Cina. Mungkin juga dia sengaja baling kerana nakal! Malam ini, aku solat Terawih di musala.

 

Selasa, 22 Julai

Kelas pagi. Hisab Moden, cek kertas jawapan. English, buat latihan. Sains Paduan, ke makmal, tulis nota. Rehat. I.A. Ujian kali kedua dengan markahnya nanti dikira sebanyak 60 peratus kerana cikgu tak puas hati dengan pencapaian dalam ujian terdahulu. Lepas itu, buat projek mendawai. Cikgu juga tunjukkan cara guna mesin geluk. Sejarah, belajar kebudayaan Malaysia. Agama, aku komplen lalu dapat markah 52. Ilmu Alam, dapat markah 68. Dan, kami mula belajar Jepun.

Pulang ke dorm, aku main pingpong atas lantai. Aku terpijak bola lalu kemek. Aku kemudiannya buat pembetulan ujian Ilmu Alam. Malam, aku solat Terawih di Musala Blok B. Lepas itu, ada seorang matrik bagi ceramah mengenai ayat al-Quran dan Hadis.

 

Rabu, 23 Julai

P.E. Main pingpong di bilik rehat B. Sivik, belajar mengenai WHO, UNESCO, UNICEF, ILO, FAO dan lain-lain. Sains Paduan, ulangkaji sendiri. Ilmu Alam, belajar bentuk muka bumi dan iklim Jepun. B.M. Perbahasan. Pencadang – Anas, Subki dan Zailan, manakala pembangkang – Abdul Rahman, Yaakob dan Abdul Razak. Agama, aku hafal Hadis. English, ke library dan aku didenda kena buat 5 soalan tambahan kerana tak siapkan homework. Hisab Moden, masih belajar algorithm. Sebelum pulang ke asrama, aku dan Mat Omar “ambil” jambu batu dekat Taman Sains. Aku termakan kerana terlupa! Pulang dorm, aku main pingpong atas lantai dengan Radual dan Jamil. Aku asyik kalah sahaja!

Malam, solat Terawih di musala. Lan Tabak jadi imam di Musala Blok A. Dia solat laju sangat! Lepas solat, pergi study sebelum tidur.

 

Khamis, 24 Julai

Ilmu Alam, belajar Jepun lagi. Muzik, relax di kelas. English, buat latihan mengenai ayat bermula dengan I would rather. Sejarah, ke library. Rehat. Agama, belajar hadis pertama dalam buku teks. Lukisan, buat pattern dengan kertas warna. Waktu Hisab Moden dan I.A. kira kedudukan dalam Ujian Kemajuan 3. Aku dapat nombor 14/32. B.M. Cikgu komen mengenai perbahasan semalam yang katanya tak memuaskan kerana gaya persembahan tak menarik, kurang isi, definisi tak jelas dan lain-lain.

Selepas solat Terawih, ada moreh yang ditaja Pengetua. Me goreng bertelur rebus serta kuih serimuka. Aku double! Malam ini juga, ada pertemuan rahsia di Dorm K yang membincangkan rancangan untuk memboikot ketua-ketua penuntut yang “tak bertanggungjawab.” [Patutlah sekarang ramai juga kawan aku yang terbabit dengan politik kerana kecik-kecik lagi dan pandai bikin panas!]  Aku ke study room!

 

Jumaat, 25 Julai

Masa makan sahur, kali ini Form 3 beratur sorang-sorang masuk dewan makan. [Rasanya, sebenarnya dirancang buat-buat baik untuk tengok reaksi ketua-ketua penuntut.]

Kelas pagi. B.M. Belajar Surat Aduan. P.E. Ke Bilik Rehat B lagi, main pingpong. Hisab Moden, belajar algorithm lagi dengan mengaitkannya dengan +, -, x dan bahagi. English, cikgu cerita mengenai kebaikan berpuasa. Rehat. Sains Paduan, ke makmal tengok gambar-gambar mengenai sains dalam majalah-majalah. Sejarah, belajar mengenai Bahasa Kebangsaan.

Selepas solat Jumaat, ke prep petang. Aku ke library hantar buku cerita dan baca beberapa majalah sekejap sebelum ke kelas semula. Aku study Sains Paduan di study room sebelum berbuka puasa. Kami Form 3 beratur elok-elok lagi sewaktu masuk dewan makan. Solat Terawih di musala. Seorang rakan jadi imam, dan beliau tersilap baca surah sekali.

[Aku berharap beliau nanti akan lebih baik ketika jadi imam dengan menulis di muka surat 25 Julai ini: “Baru belajarlah katakan.” Aku sendiri sampai sekarang masih merangkak-rangkak baca al-Quran. Semoga Allah permudahkan hasrat semua orang yang ingin baca, malah belajar isi al-Quran. Amin. Aku juga catat di sini, kami terima kad raya daripada wakil pelajar Form 3 Tunku Kurshiah yang dialamatkan kepada pelajar-pelajar di dorm aku. Aku pula secara “diam-diam” kemudiannya dapat berhubung melalui surat dengan seorang pelajar sekolah yang sama, bernama Azil atau Azalia. Keh! Keh! Keh! Dan, turut aku tulis di sini adalah aku terima kad raya daripada seorang rakan sewaktu darjah enam, Aspa Murni. Ada juga kawan sekolah rendah yang masih ingatkan aku!]

 

Sabtu, 26 Julai

Ke prep pagi. Beberapa pelajar matrik datang ke kelas. Mereka berkenaan bagi tuisyen Sains Paduan dan Hisab Moden. Pulang keletihan, aku tertidur sebelum Zuhur sampai lepas waktu Asar. Aku qada Zuhur setelah solat Asar.  Malam, selepas solat Terawih di musala, aku tonton Hart to Hart. Jonathan dan pasangannya, pergi siasat kes penculikan di Tobago. Mereka bermalam di sebuah hotel yang biliknya hanya mempunyai sebuah katil saiz kecil. Heroin terjatuh katil sewaktu tidur lalu nampak Jonathan hanya pakai baju. Aku study malam sampai ke waktu sahur kerana mata tak rasa nak lelap. Selepas sahur, aku sambung belajar lagi. [Aku semasa sekolah, malah sewaktu belajar di pusat pengajian tinggi, bukan pelajar cemerlang. Namun, aku cuba belajar sebaik mungkin.]

 

Ahad, 27 Julai

Selepas Subuh, pelajar-pelajar Form 1 yang ikuti usrah di musala, belajar takbir raya sehingga aku berasa sayu! Ketika inspection, ketua-ketua penuntut cek beg, manakala Penolong Kanan minta tengok Kad Pendaftaran. Aku kemudiannya, derma dua kupang ke dalam tabung untuk diberi kepada seorang kawan yang belum melunaskan yuran Penggal I dan Penggal II. Aku tulis di muka surat 27 Julai ini, aku taip sebijik apa yang aku tulis: “Tak taulah, akupun orang miskin.” [Kebiasaannya, setelah tolak biasiswa RM75, seseorang pelajar kena bayar beberapa belas ringgit lagi dengan duit sendiri untuk melunaskan yuran penggal yang dikenakan itu. Yuran sekolah aku, sepanjang yang aku tahu, tak pernah kurang daripada RM80 bagi setiap penggal. Sebagai contoh, yuran Penggal I pada 1980 ialah RM89.35 manakala yuran Penggal III pada tahun yang sama ialah RM84.65. Selain itu, ada lagi bayaran-bayaran lain yang perlu dijelaskan setiap pelajar.]

Malam, selepas solat Terawih, berlaku suatu rusuhan. [Kalau sekarang mungkin digelar Langkah Dorm K kot! Keh!Keh!Keh!] Sebilangan pelajar Form 3 memekik-mekik serta memaki hamun kerana mahu bersemuka dengan seorang ketua penuntut, Rashid Hamzah yang didakwa telah terlampau menggunakan kuasa. Aku turut sama dalam kumpulan ini walaupun bukan sebagai orang kuat. Namun, Penolong Kanan, cikgu Zaki, ustaz dan cikgu Mazlan datang menyelamat, mententeramkan keadaan. Kami lewat tidur malam ini kerana berbual mengenai seorang rakan yang mungkin dipecat kerana sudah kena last warning daripada Pengetua.

 

Isnin, 28 Julai

Assembly, tiga rakan setingkatan kena oral warning kerana ditangkap menghisap rokok. Selepas itu, Pengetua naik hot dan beliau nak jumpa pelajar lelaki Form 3 untuk tahu kenapa kami buat rusuhan semalam. B.M. Baca buku, rencana mengenai wang. Sains Paduan, buat kerja sendiri. English, relax selepas cikgu habis ajar.

Petang, ke BM dengan menaiki bas sekolah. Sesampai sahaja, aku terus ke stesen keretapi, aku adalah wakil untuk ambil beberapa keping warrant tickets untuk aku dan rakan-rakan balik Cuti Penggal II ke Perak.

Waktu malam, cikgu Mazlan datang dorm, beliau arah aku segera pergi solat Terawih. Malam ini, rakan-rakan susun katil-katil dalam kedudukan baru. [Mereka berkenaan buat begini untuk mengelak bosan dengan posisi katil-katil kami yang diletak terlalu rapat.]  Selepas study malam, aku ke tandas. Aku lihat beberapa pelajar Form 5 main mercun. Mereka baling sebiji mercun katak ke dalam bilik air Form 3 yang aku sedang masuk sehingga aku terpaksa meloncat ke dalam bilik tandas!

 

Selasa, 29 Julai

Kelas pagi. Hisab Moden, buat latihan. Sains Paduan, tonton TV dengan 3 Putih. Tajuk rencana masih mengenai tanah-tanih. Rehat. I.A. Belajar mengenai lukisan teknik. Kelas petang. Sejarah, belajar mengenai bahasa lagi. Agama, buat latihan. Ilmu Alam, belajar Jepun lagi. Kami, pelajar-pelajar 3 Merah, bagi kad raya kepada tiga guru yang mengajar pada sesi kelas petang hari ini.

Malam, aku terus ke kelas prep dan tak solat Isyak dan solat Terawih di dewan besar kerana aku berasa kain yang aku pakai tak bersih. Malam ini, Penolong Kanan taja moreh mi goreng. Malam ini, aku tidur segera.


Rabu, 30 Julai

Aku bangun tidur tengah malam lalu pergi study sehingga waktu sahur. Lepas solat Subuh, aku tak tidur, tetapi belajar lagi. Oleh itu, aku pergi sekolah awal bersama-sama Jamil. P.E. ke Bilik Rehat Blok B. Main pingpong berpasangan dengan Kamal dan kami menang dua kali. [Kamal adalah pemain pingpong wakil sekolah!] Sivik, cikgu nasihat mengenai seseorang yang hisap rokok kerana ingin kelihatan dewasa walau masih berumur 15 tahun. Sains Paduan, cikgu bagi nota kimia untuk SRP. Ilmu Alam, belajar Jepun lagi. B.M. Buat ujian kefahaman, cikgu baca rencana, kami jawab soalan dengan menulis terus jawapan kami ke dalam buku latihan. Agama, ustazah sekadar bagi soalan, lalu aku tertidur sekejap.

Aku dan rakan-rakan sekelas kemudiannya ke bilik Pengetua kerana semua pelajar Form 3 diarah bersumpah untuk tidak melakukan kesalahan lagi. Pergi ambil kad pendaftaran kerana Pengetua nak cek maklumat sebelum diberi borang sumpahan. Hisab Moden, cikgu ucap terima kasih kerana kami bagi kad raya kepada beliau.

Pulang asrama, bekas pelajar SMSPP, Wan Yuhainis – abang kepada seorang rakan setingkatan, Wan Yazman - yang belajar di England datang ziarah kami. Hari ini aku tak pergi solat Terawih berjemaah. Dan, lepas makan moreh, aku terus tidur.

 

Khamis, 31 Julai

Ilmu Alam, belajar Jepun lagi! Buat latihan, dan aku dapat markah 5/15. Muzik, cikgu Barbara arah pergi library. English, relax. Sejarah, baca buku sendiri. Rehat. Agama, kami buat majlis yakni kami bagi ucapan sempena Hari Raya Puasa. Lepas itu, Ustazah Mariam bagi duit raya seorang 20 sen.

[Jumlah wang yang beliau berikan itu pada aku tak penting, tetapi keberkatan Allah lebih utama. Ustazah Mariam berasal dari Kelantan. Setiap kali cuti sekolah, beliau akan pulang ke Kota Bharu naik kapal terbang. Beliau lulusan Universiti al-Azhar, Mesir. Beliau bertubuh kecil sehingga beliau terpaksa berdiri di atas hujung bahagian depan kasutnya ketika menulis di papan hitam kerana beliau juga rendah, itupun beliau sekadar dapat tulis pada separuh bahagian bawah papan hitam!]

Lukisan, gam kertas warna ber-pattern sehingga selesai. Pulang asrama, dapat surat daripada Azalia. Dia hantar chain letter untuk aku sebarkan kepada orang lain. Kawan-kawan, khususnya warga Pulau Pinang, mulai meninggalkan asrama. Aku pula mula menulis chain letter dengan harapan ia bakal menjadi berangkai-rangkai kelak! Kawan-kawan yang pulang ke kampung waktu malam, naik bas sekolah untuk dihantar ke stesen keretapi. Mereka ini mungkin yang pulang jauh, sekurang-kurangnya ke KL. Aku isi masa terluang sebelum makan moreh dengan bermain pingpong, manakala beberapa rakan main mercun roket yang dihala ke Blok C, kediaman pelajar-pelajar perempuan. Selanjutnya, kami yang masih tinggal di dalam dorm sekadar bersembang-sembang sehingga lewat malam kerana tiada mood untuk study.

[Nota: Di bahagian July Account aku catat yuran Penggal III ialah RM84.65, setelah ditolak duit biasiswa sebanyak RM75. Aku kena sediakan duit sendiri sebanyak RM9.65]

Comments