Letak dulu, nanti saya tambah beberapa fakta baru serta gambar yang berkaitan. Saya juga akan perbetulkan sedikit supaya flow cerita ini macam aliran sungai dan bukannya seperti ombak laut yang sekejap ke tepi sekejap ke tengah, dan tak juga bagai air di kolam yang diam tak bergerak tanpa perasaan. Saya selanjutnya bakal kutip beberapa posting lain yang saya hendak baca balik sekali-sekala. Kelebihan blog ialah kita boleh cari balik tulisan yang telah lama diterbit dengan mudah sedangkan sukar amat untuk menyelongkar FB yang bercampur baur dengan pelbagai maklumat.

Sulaiman Bin Abdullah
Pengalaman Bertugas di Khartoum, Sudan
Apabila saya melihat usaha minah salih ini membantu "orang susah" yg kebanyakannya Islam, saya teringat seorang wanita dari USA bernama Aileen Powell, wartawan AP berpangkalan di Kaherah yg sering berada "dekat" saya utk membantu saya sewaktu saya membuat laporan di Khartoum, Sudan. Saya ke pasar bersama dia, duduk di lobi Hotel Hilton juga bersama dia. Saya masih ingat dia turut menginap di Hotel Hilton, bilik 206 seperti tercatat pada kad namanya. Dia siap ajak supaya saya datang ke biliknya jika nak berbual. Melihat rupanya yang dah berumur, rasanya usianya lebih 50 tahun, saya yakin memang dia nak bercakap-cakap saja. Tapi, tak lah saya terjah ke biliknya. Mungkin dia perisik? Takpa la kerana yg penting dia tolong saya yang keseorangan tiada "teman."
Saya tinggal seorang diri di Hotel Hilton yang pandangan ke luar dari bilik yg besar itu - tak pernah seumur hidup saya tinggal dalam bilik hotel sebesar di Hotel Hilton Khartoum - amat cantik kerana nampak Sungai Nil yang penuh dengan kapal-kapal layar kecil nelayan. Sebelum itu, saya tinggal di Hotel Sahara yang sebesar Hotel Kok Ping dekat Chow Kit, KL. (Hotel Kok Ping agak popular kerana di situ ramai broker bisnes dan politik Bumiputera menginap semacam sewa bulan!) Saya pilih Hotel Sahara kerana disaran oleh seorang teman yg pernah ke Sudan. Dia bekerja sebagai pegawai keselamatan di Lapangan Antarabangsa Subang dan sering menulis untuk Harakah. Lagipun, saya terpaksa berjimat kerana Harakah hanya bagi beberapa ratus dollar USA sahaja sebagai duit belanja! Saya tak kisah sangat bab duit belanja kerana saya faham situasi Harakah. Apa yg sedih ialah saya seolah-olah "tak direstui" untuk membuat laporan Hari Kemerdekaan seperti yg disebut dalam surat undangan pihak berkuasa sebuah negara Islam di Afrika ini.
Saya terpaksa berfikir macam mana nak buat laporan dan apa tindakan pertama saya kerana tiada siapa yg menanti saya di lapangan terbang. Saya sampai ketika Subuh rasanya sekitar 4 pagi lalu Solat di surau di situ. Saya beli sekartun Malboro buatan USA pada harga $10 USA. (Saya masih simpan resitnya) Sori! Ketika tengah 1990-an saya masih heavy smoker! Sekarang saya bebas rokok! Keluar bangunan, saya menuju ke kawasan pemandu teksi berkumpul. Terkejut beruk saya sebaik jejak kaki ke atas pasir di luar bangunan tatkala saya lihat ramai lelaki di keliling saya - beribu-ribu semacam lepas tengok bolasepak di stadium jika di Malaysia - dengan memakai jubah putih kerana baru lepas solat Subuh di masjid berdekatan!
Saya naik teksi terus ke Hotel Sahara. Rasanya saya terus tidur selepas check in kerana letih. Selepas jaga dan mandi, saya bertindak pantas dengan cuba cari Kementerian Pelancongan dengan bertanya kepada orang ramai yang kebanyakannya mengerti bahasa Arab sahaja! Bila mereka tengok nama saya Sulaiman seperti yang tertera dalam surat dalam bahasa Arab yang sebelum itu saya minta pemimpin PAS yang baik sangat orangnya, arwah Ustaz Hassan Syukri tulis, lantas mereka kebanyakannya merungut dalam bahasa Arab semacam berkata: "Apa la orang Islam tak reti cakap Arab." Whatever!
Saya bertuah apabila bertemu seorang bernama Abdul Ghani di kementerian ini dan dia kata awak pergi duduk di Hotel Hilton. Percuma, katanya. Hotel Sahara ok juga kerana ada dua mamat - pada malam pertama saya di Sudan - telah masuk bilik saya dengan bawa seekor ayam semacam direbus dan seguni roti sebijik macam roti burger Malaysia tapi agak keras macam roti sourdough. Depa bawa teh O panas yg saya dengar disebut seperti perkataan China iaitu car. Gula batu dikulum dalam mulut sewaktu minum teh. Roti tu dimakan dengan ayam yang rasa tawar. Ada sebungkus garam halus untuk dicecah. Saya makan sikit, depa pulun sampai habis! Saya percaya pemilik hotel tu yang hantar mereka dan makanan berkenaan berdasarkan pasai apa bawak sampai seguni roti? Abdul Ghani ni juga yang syor saya lawat tempat orang Sufi dan saya solat rasanya jamak Asar-Zuhor sorang-sorang dalam bangunan di kawasan perkuburan yang meriah pada petang Jumaat itu. Mereka menari-nari, berpusing-pusing badan sambil berzikir seperti gaya ahli Sufi di Turki. Saya ke sana naik kereta dengan beberapa lelaki mat salleh yg saya temui di sebuah hotel lain dekat Hotel Sahara. Mereka tak bercakap sepatah haram pun dengan saya.
Oh! Sebelum itu, saya pergi solat Jumaat berjalan kaki ke Masjid Jamek. Bandaraya Khartoum tengahari itu sepi kerana semua awal-awal ke masjid. Cuma saya dan beberapa orang lain yang lewat, terkedek-kedek berjalan ke masjid. Pelik pula apabila saya disuruh bawa masuk kasut ke dalam masjid dan letak depan tempat sujud. La! Rupanya semuanya begitu! Masa solat saf punya la rapat, malah saya ditarik lagi supaya "melekat" badan ketika solat. Suatu petang sewaktu merayau-rayau berjalan kaki tengah panas, saya ternampak sebuah bangunan seperti surau. Saya ambil wuduk dan ditegur keras lalu di ajar cara ambik wuduk yg betul supaya tak rugi air. Saya masuk nak solat dan terdengar seorang guru lelaki mengajar, mesti la dalam bahasa Arab, dan saya dapat faham dia sedang hurai surah al-Fatihah. Saya perhati wajah orang yang mendengarnya. Muka berkelar-kelar macam keli nak digoreng kunyit, kulit terlajak hitam jangan cerita! Patut la belajar al-Fatihah sebab mereka orang asli pedalaman Sudan yg baru masuk Islam. Patut la juga mamat yang ajar saya ambik wuduk tadi macam marah-marah ja! Dia ingat saya pun mualaf!
Suatu Maghrib pula, saya berjalan di dalam kesibukan orang ramai. Terdengar azan lalu tangan saya ditarik seorang lelaki berjubah pelik, siap ada macam pecahan cermin di permukaan jubahnya. Entah dari mana dia dapat dulang besi tak tau, tapi dia terus tadah air paip kat tepi kedai. Ada beberapa lelaki lain bertinggung keliling talam berair tu. Semua pandang saya lalu saya bertinggung sama. Mamat yang berjubah ala penyanyi reggae, Peter Tosh tu tunjuk-tunjuk tangan kepada saya! Saya agak dia suruh saya ceduk air dalam talam dan curah ke tangannya. Selepas lakukan itu, dia pula curah ke tangan mereka yang lain. Ini first time saya ambik wuduk guna air dalam talam dan berjemaah pulak! Lepas tu, kami solat beramai-ramai di celah kesibukan orang ramai yang lalu-lalang, di celah-celah bangunan kedai.
Saya juga merayau ke pejabat Sudanow dan diberi akhbar bolasepak dan majalah Sudanow yang ada artikel Inggeris dan Perancis. Saya bersembang-sembang dengan pengarangnya yang siap beri gambar ukuran kad pengenalan kepada saya, tapi malangnya saya tak langsung menulis mengenai mamat ini dalam tulisan saya dalam Harakah atau majalah Muslimah dan Tamadun. Mungkin kerana saya lebih fokus kepada hal politik dan ekonomi, bukan bab kewartawanan. Saya juga gemar menulis mengenai masalah RAKYAT kerana semasa bekerja di Harian Metro saya sering menulis isu sebegini. Sewaktu saya merayau, saya terjumpa seorang berpakaian purdah ala Afghanistan yang ada jaring-jaring kat ruangan petak dekat mata. Saya faham dia orang miskin lalu saya bagi sedikit duit kepada anaknya.
Bercakap bab duit ini, saya telah tukar sedikit wang dollar USA ke pound Sudan di lapangan terbang Khartoum sewaktu sampai dan saya dapat sebeg pelastik duit pound Sudan yang berikat-ikat dengan getah bulat! Tapi, apabila saya bertemu secara tak sengaja dengan beberapa pelajar Malaysia di Universiti Khartoum, depa cakap boleh dapat lebih banyak jika tukar cara black market. Memang betul habaq hang, berikat-ikat saya dapat lebih banyak! Kami ke pasar semacam pasar tani beli buah tembikai dan mempelam. Kami berkelah makan buah yang sedap sangat di atas bumi yg mendatar la sangat. Hal ini tak terbabit dengan kes Suhaimi kerana kat sana memang nampak rata kerana tiada bukit. Suatu Maghrib saya lepak atas pasir dan pandang matahari yang kelihatan dah nak terbenam sangat. Tu dia haih, tunggu punya tunggu, berjam-jam baru matahari baru jatuh! Besar sungguh keagungan Allah apabila saya akhirnya dapat melihat matahari terbenam dan saya lantas teringat pepatah Inggeris mengenai Afrika: "The Sun Never Sets." Mengenai matahari juga, suatu petang, saya hampir pitam sewaktu merayau-rayau, berjalan kaki dalam cuaca amat panas terik lalu bersyukur dapat berteduh sebentar bawah satu-satunya pokok di tepi jalan. Saya lihat ada penjual air botol yang diletak dalam ketulan kecil airbatu. Saya beli Pepsi botol kaca yang harganya tak sampai 30 sen duit Malaysia. Mereka di sana tak seperti kita yang letak air gas ke dalam ketulan ais. Dan, seketika kemudian, saya terpandang sekumpulan pekerja sedang turap jalan dan saya dekati lalu seorang menyapa saya: "Laoban, ni zhu zai nar?" La orang China sedang buat jalan! Dia tanya yang jika dalam Bahasa Melayu bermaksud: "Taukeh, hang tinggal kat mana?" Mungkin pekerja dari China itu ingat saya seorang pegawai yang sedang meneliti mereka bekerja. Saya juga naik bas yang tambangnya sekitar 20-30 sen tapi saya berhenti setelah beberapa minit kerana risau tersesat pulak! Bas tiada loceng lalu penumpang boleh ketuk dinding, bersuara atau bersiul jika hendak turun! Saya juga terpandang anak-anak kecil naik lori sedang bernyanyi ramai-ramai dengan gembira yang amat! Di tepi tebing Sungai Nil, saya berasa nak jelajah kampung yang terletak di seberang sana sungai yang besar itu tapi risau saya habiskan masa saya bagi perkara yang tak sepatutnya! Saya sekadar cuci dan gilap kasut dengan bayaran beberapa sen jika duit Malaysia. Saya tiada apa nak buat lalu tolong pemuda yang menjalankan perniagaan kecil-kecilan berkenaan.
Pada suatu malam, saya telah menjadi "setinggan" yakni curi-curi bermalam di hostel pelajar lelaki di Universiti Khartoum. Dalam bilik itu, ramai pelajar kulit hitam yg tak bercakap langsung dengan saya mungkin kerana sibuk mentelaah! Ada seorang pelajar Indonesia datang bersembang dengan saya dgn beberapa pelajar Malaysia. Mereka hidang saya nasi yang diambil dari dewan makan dan daging perisa tomyam berkuah cair mereka masak sendiri di asrama. Perisa tomyam itu salah seorang mereka bawa dari Malaysia. Sedih la amat! Saya cuba makan sebanyak mungkin untuk menggembirakan bakal-bakal ustaz terbabit. Sewaktu nak tidur dan cuaca sangat panas. Saya kata sat lagi saya tidur la. Seorang pelajar Malaysia cakap sampai Subuh tetap masih panas. Patut la ada pelajar kulit hitam bawa tilam ke koridor, malah ke tengah laman untuk tidur. Sebelum itu, saya tidur dalam bilik hotel yang berpenghawa dingin dan sudah tentu tak rasa cuaca sebenarnya! Seorang pelajar berkenan berasal dari Utara Semenanjung dan digelar Maulana kerana sering menjadi imam sebab bacaannya sedap. Seorang dari Kelantan telah datang ke bilik saya di Hotel Hilton dan berkeras mahu saya jadi imam. Mujur solat Asar! Lepas solat terus dia bangun dan bersembang dengan saya tanpa berdoa! Saya faham, dia tinggal di Afrika dan sudah tentu cara beribadat tak sama dengan Malaysia.
Sewaktu tinggal di Hotel Hilton, saya terdengar khabar beberapa wartawan antarabangsa akan dibawa menemui Presiden Sudan. Saya dengan muka tak malu - wartawan mana boleh malu - terus sertai wartawan Sepanyol, Jerman dan lain-lain negara. Mereka bersembang mengenai ada orang asing dari Eropah yang diculik di sempadan Sudan. Sewaktu hendak masuk ke dalam van, saya telah dihalang daripada menyertai kumpulan itu. Saya beritahu saya wartawan dari Malaysia yang diundang untuk menemui Presiden Sudan tapi tetap petugas berkenaan tak dilayan. Saya kecewa lalu bertemu Aileen tak lama selepas itu lalu saya ajak dia makan di hotel. Seperti yg saya taip sebelum ini, makan, dobi, sewa bilik semuanya saya tak kena bayar. Percuma! Cuma tandatangan saja! Sambil makan Aileen bercerita dia pernah bertugas di Bangladesh dan sebab itu dia tak kekok makan guna tangan, bukan sudu dan garfu. Aileen terus mengajak saya ronda seluruh Afrika dengannya dan dia akan tampung belanja bagi pihak saya! WOW! Biar betul! Tapi, saya tak jadi mengikutnya kerana saya ada tugas lain di Malaysia. Malah, Abdul Ghani juga ajak saya belajar di Sudan dan terus tinggal sebagai warga Sudan. Bagus juga kerana bolehlah saya belajar Arab. Saya rasa malu juga sewaktu berjalan dengan Aileen dan dia menjadi penterjemah kepada saya yang jahil bahasa Arab. Malah, dia bertekak dalam bahasa Arab apabila seorang lelaki Sudan pertikai gaya sebutannya. Sebagai contoh, Aileen sebut maughot ala Kaherah sedangkan orang Sudan itu sebut maujud berasaskan sebutan baku Arab.Namun, kerana mengenangkan arwah ayah yg terlantar sakit tua, maka saya abaikan hasrat untuk belajar di Sudan.
Oleh kerana gagal menemui Presidem Sudan, saya dengan tabah menerjah pejabat arwah Dr Hassan Turabi. Ada beberapa pejuang Afghanistan berada di depan bangunan yang terletaknya pejabat Menteri Undang-Undang berkenaan. Apabila saya tanya, mereka menjawab bahawa mereka datang untuk melatih tentera Sudan cara perang gerila. Tak sangka lelaki bertubuh kecil itu seorang komander! Kami solat berlindung dalam bayangan pokok sewaktu menanti Dr Hassan keluar pejabat. Berjam-jam menunggu, komander yang fasih bahasa Inggeris berkata mereka nak beransur dengan mengucapkan suatu ungkapan bahawa masa itu bagai pedang. Tapi, saya berkata saya tetap akan tunggu Dr Hassan sampai dia keluar. Jika saya gagal berjumpa Dr Hassan, fikir saya, apa benda lain yang boleh tulis? Pihak berkuasa semacam tak mahu menolong saya. Tak lama kemudian, Dr Hassan keluar dengan dikelilingi ramai pengawal bersenapang dan pistol. Saya terus mendekati beliau dengan beri salam lalu beritahu saya nak interbiu dia. "Pergi rumah saya malam ini," kata Dr Hassan dalam bahasa Inggeris.
Dengan naik teksi pi balik dengan bayaran $30 USA dan saya tak tawar langsung kerana yang penting saya dapat jumpa Dr Hassan. Dalam perjalanan, pemandu teksi belanja minum teh halia panas yang dimasak oleh seorang mak cik. Teh susu itu dimasak atas dapur kayu di tepi jalan, betul-betul seperti budak-budak main masak-masak. Mak cik itu tersenyum manis dengan gigi amat putih tapi seperti kebanyakan orang tempatan, kulitnya hitam pekat! Saya terpaksa tunggu beberapa orang selesai berurusan dengan Dr Hassan. Sewaktu peluang saya tiba, saya bertanya Dr Hassan siapa remaja yang ramai - termasuk seorang perempuan yang kelihatan seperti orang Melayu dan rasanya mungkin pelajar Indonesia - yang ada dalam rumahnya. "Anak-anak angkat," kata Dr Hassan.
Seterus, Dr Hassan berjenaka dengan bertanya nak guna bahasa apa dalam interbiu. Dia kata, dia boleh berbahasa Inggeris kerana ia bahasa popular di seluruh dunia, bahasa Arab pula bahasa ibundanya, bahasa Perancis dan Latin pula kerana dia belajar undang-uandang di Universiti Sorbonne, bahasa Jerman dia belajar sewaktu dalam penjara, manakala dia fasih bahasa Itali kerana ia bahasa cinta. Saya berkali-kali menyoal bab Hudud tapi Dr Hassan seakan-akan cuba mengelak untuk berbicara mengenainya lalu kami lebih bercakap mengenai politik antarabangsa serta ekonomi Sudan. Antaranya, Sudan perlu bina saluran paip untuk menyalurkan minyak dengan pantas ke kapal tangki!
Setelah habis interbiu, Dr Hassan kirim salam kepada arwah TGNA, Namun, oleh kerana saya tak berkesempatan menemui TGNA, salam itu lenyap begitu sahaja sampai kesudah. Namun, saya rasa lega kerana ada juga bahan untuk saya tulis walaupun saya tak dibantu seperti mana pihak berwajib di Sudan "bantu" wartawan-wartawan Barat, khususnya dari Eropah. Apa yg pasti saya diraikan oleh RAKYAT biasa Sudan dan bukannya pihak berkuasa negara itu sangat. Dan, tak dilupakan, saya turut diraikan penterjemah tak rasmi saya, Aileen. Pulang ke Malaysia, saya ke Taman Melewar untuk menemui arwah Presiden PAS lalu memberi hadiah yang saya bawa pulang untuknya. Saya juga bawa balik beberapa kilo kurma kering yang memang kering sampai kena rendam dalam air sebelum boleh dimakan, roselle kering untuk dibuat minuman semacam teh dan sehelai serban untuk saya sendiri. Saya nak bagi duit yang tersisa kepada pelajar-pelajar Malaysia di sana, namun mereka menolak! Mungkin mereka tahu saya bukannya ada duit sangat pun dan saya juga perlu bayar cukai lapangan terbang. Yang tak boleh saya lupa ialah ucapan sinis Presiden: "Ni bagi hadiah tongkat macam nak ... " Maksudnya, semacam beliau sudah tua sangat dan perlu berundur diri. Sebenarnya, saya ada beli satu tongkat lagi untuk arwah ayah saya, tapi ayah saya tak pakai pun tongkat itu, dan sekarang entah ke mana perginya tongkat Sudan yang ada besi tajam di dalam batangnya yang boleh dijadikan senjata yang boleh membunuh itu, saya pun tak tahu.

Comments