Kempen Balas Dendam Pasca-ISIS di Iraq
Amalan rasuah dan kekejaman pihak berkuasa di negara ini - terhadap
mereka yang disyaki jihadis serta anggota keluarga mereka terbabit - bakal menyemarakkan
semula kemunculan kumpulan pengganas.
oleh Ben Taub
gambar Moises Saman/Magnum untuk The New Yorker
Ribuan orang dewasa dan budak-budak lelaki
didapati bersalah kerana bergabung dengan isis dan
beratus-ratus daripadanya sudah digantung. Tapi kes sebegini hanya membabitkan
segelintir daripada semua tahanan. Ribuan keluarga mereka terbabit telah
diperosok dalam kem terletak di kawasan gurun, terpisah daripada masyarakat.
Suatu
pagi September di Baghdad. Kenderaan-kenderaan dihalang di pos pemeriksaan dan sekatan jalan sewaktu
warga birokrat bertugas di belakang tembok yang telah dibom dan suhu meningkat
115 darjah Fahrenheit. Di Mahkamah Jenayah Pusat, seorang pengawal berlari
dengan cota di tangan, sepanjang laluan depan bilik-bilik penjara kecil yang
memuatkan berdozen-dozen insan yang
sedang menunggu dibicarakan atas tuduhan terbabit dengan aktiviti pengganas.
Mereka berhimpit-himpit di atas bangku kayu dan di lantai, tubuh berpeluh dan
kusut-masai dengan wajah kecewa. Ramai yang sakit atau cedera - berkudis,
anggota badan tertentu tergeliat dan tulang-tulang retak. Penjara-penjara di
Iraq punya kod pakaian seragam tertuduh - warna berbeza bagi tertuduh yang baru
dihadap ke mahkamah, sudah bergelar banduan dan mereka yang dalam penantian
dihukum mati - tapi beberapa tertuduh yang belum bersua hakim atau seorang
peguam sudah pun dipakaikan pakaian seragam dengan warna bagai mereka sudah
dijatuhkan hukuman mati.
Sepanjang laluan, aroma Nescafé dan rokok memenuhi
bilik tanpa tingkap, di mana peguam bela-peguam bela duduk atas kerusi-kerusi
panjang, mengimbangkan timbunan kertas di atas riba masing-masing.
Kebanyakannya sedang melihat telefon bimbit; yang lain duduk diam,
tangan-tangan bersilang, kedua-dua mata dipejam. Bagi kes pengganas, peguam bela-peguam
bela dihalang mendekati anak guam masing-masing sehinggalah perbicaraan
bermula.
Selepas sahaja pukul 1o pagi, tiga hakim dengan jubah hitam
panjang berjalan perlahan dengan gaya mengheret kaki ke dalam Mahkamah 2 lalu
duduk atas bangku. Suhail Abdullah Sahar, botak, lelaki umur pertengahan dengan
muka kurus, rahang terserlah, duduk di bahagian tengah. Ada 21 kes dalam
senarai doketnya, 16 membabitkan pengganas. Dia dengan perlahan baca satu nama;
seorang pegawai keselamatan menjerit ke arah laluan dewan memberitahu
seorang daripada rakan-rakan sejawatnya, yang memekik pula ke arah pengawal tadi, yang kemudiannya pekik ke arah
dalam bilik penjara. Muncul seorang pemuda bernama Ahmed. Seorang pegawai
keselamatan membawanya masuk kurungan kayu yang terletak di tengah-tengah
mahkamah. Hakim Sahar mendakwanya menyertai ISIS di Qayyarah, sebuah bandar
kecil di selatan Mosul.
"Tuan, saya bersumpah, saya tak pernah pergi ke Qayyarah,”
kata Ahmed.
Sahar kelihatan meragui kata-katanya. "Saya ada
pengakuan bertulis di sini, dengan cap ibu jari awak di atasnya," katanya.
"Tuan, saya bersumpah, saya cap ibu jari ke atas
kertas kosong," jawab Ahmed. "Dan, saya telah didera oleh pihak
keselamatan." Sahar senaraikan nama-nama yang dikatakan sebagai rakan
jihad Ahmed, Ahmed nafi dia kenal semua mereka berkenaan.
“Cukup bukti," kata pendakwa raya. "Saya
pohon kepada hukuman bersalah."
Ahmed tiada peguam bela, lalu Sahar panggil seorang
peguam kerajaan yang sudah berusia bernama Hussein, yang duduk di galeri awam,
lantas secara sepontan dia merangka pembelaan. Hussien berjalan ke mimbar, ulang
dengan memorinya apa yang Ahmed telah kata, dan tanpa meminta supaya dia
dibebaskan, menutup kata-katanya dengan rayuan supaya penghukuman terhadapnya
dilakukan dengan belas kasihan.
Ahmed menangis sewaktu dia dibawa keluar bilik itu.
Perbicaraan terhadapnya berakhir dalam tempoh empat setengah minit.
Tertuduh selepas itu berkeras mengatakan dia ditahan
secara silap - iaitu namanya serupa dengan seorang anggota ISIS. Seorang peguam
bela peribadi jelaskan yang anak guamnya mengaku bergabung dengan ISIS kerana
didera - dia mempunyai pemeriksaan kesihatan untuk membuktikannya - tapi tiada
seorang hakim pun kelihatan ingin mendengar. Sewaktu peguam itu bercakap,
mereka berjenaka, menandatangani dokumen-dokumen dan beri isyarat kepada
pembantu-pembantu mereka supaya ambil folder-folder dari bangku. Sahar menguap.
Perbicaraan itu berakhir lapan minit.
Tertuduh ketiga berusia 23 tahun dari sebuah kampung
dekat Mosul, didakwa bergabung dengan ISIS dan ditangkap sewaktu dia berada di
dalam kem tahanan bagi orang-orang yang diasingkan.
"Bila awak sertai ISIS?" tanya Sahar.
"Saya tak sertainya," jawab tertuduh.
"Dah tu kenapa cap ibu jari awak dalam pengakuan
ini?"
"Mereka tutup mata saya dan paksa saya."
“Cukup bukti -
Saya pohon penghukuman bersalah," kata pendakwa raya.
Peguam bela tertuduh dengan berhati-hati
memperjelaskan bahawa laporan perisikan daerah menunjukkan bahawa tertuduh
telah tersilap dikenal pasti dengan seorang yang sama namanya. Dalam
perbicaraan keganasan, kehadiran peguam bela peribadi dilihat sebagai tertuduh
mungkin tak bersalah; kebanyakan peguam bela menolak untuk ambil kes tak pasti
berikutan takut pihak keselamatan negara akan ganggu mereka yang dilihat
sebagai mempunyai hubungan dengan Islamic
State. (Tahun lalu, mahkamah-mahkamah Iraq mengeluarkan arahan menangkap
sekurang-kurangnya 15 peguam bela dan mendakwa mereka berkenaan bergabung
dengan ISIS.) Tapi, sewaktu peguam bela itu bercakap, hakim-hakim melakukan
tugas-tugas pentadbiran. Perbicaraan tamat dalam tempoh sembilan minit.
"Saya benci ISIS - mereka meletupkan rumah saya!" Tertuduh menjerit
dengan linangan air mata ketika dibawa keluar mahkamah.
Menjelang tengahari, Sahar telah menghakimi lebih 10
perbicaraan, membabitkan 20 tertuduh. Operasi mahkamah sedikit terjejas
berikutan kuasa elektrik putus dua kali, tapi Sahar meneruskan perbicaraan
dalam gelap, membaca pantas dokumen-dokumen dengan bantuan lampu telefon
bimbit. Kes terakhir sebelum makan tengahari membabitkan tiga tertuduh,
semuanya cedera parah. Sebaik sahaja mereka berjalan tempang ke dalam mahkamah,
seorang pegawai keselamatan letak tiga kerusi pelastik dalam kurungan. Tertuduh
paling akhir muncul dengan kepala botak, memakai kaca mata dalam usia
pertengahan 30-an, bernama Louai; dia membongkok dengan menggunakan sepasang tongkat
kayu pendek, dan bergerak bagaikan satu kakinya lumpuh dan tulang belakangnya
sudah tak lurus. Mahkamah 2 sepi, melainkan bunyi hasil gerakan dia yang sedang
berusaha menuju ke arah kurungan.
Janda pejuang-pejuang isis sering terpaksa meninggalkan
bandar kerana takutkan pihak yang hendak membalas dendam. Mereka akhirnya
diperosok di kem-kem tahanan, di mana ramai daripada mereka diganggu dan
diperkosa oleh lelaki-lelaki bersenjata.
Sahar menyoal tertuduh-tertuduh lain dahulu. Seorang
bernama Haidar, memakai pendokong belakang, berkata dia telah silap ditangkap
berikutan serangan bom kereta pada 2014, dan semasa disoal siasat, demi
mengelak daripada terus didera, dia mula
memberi nama secara rawak, termasuk Louai. Hakim Sahar kemudiannya panggil
Louai, yang bangun daripada kerusi lalu memegang kurungan untuk menyokong
tubuhnya berdiri. "Saya ke pasar untuk menjual kereta saya," katanya.
"Kemudiannya Haidar telefon saya, dan selanjutnya saya diserang hendap,
ditahan." Dia bercakap pantas, dengan nada tinggi, tapi tergagap-gagap dan
mengeluarkan perkataan yang tak jelas; semasa disoal siasat, katanya,
pegawai-pegawai telah memukulnya teruk sekali sehingga dia mengalami darah beku
dalam otak. "Mereka juga mematahkan belakang saya!" jeritnya.
"Mereka patahkan kedua-dua kaki dan tangan saya! Saya sukar
berjalan!"
"Cukup bukti - Saya minta penghukuman
bersalah," kata pendakwa raya. Inilah satu-satunya ungkapan wanita itu
sebut di mahkamah sepanjang pagi.
Peguam bela Haidar nyatakan tiada saksi dan tiada
bukti material, manakala permohonannya untuk menjalankan pemeriksaan perubatan
untuk membuktikan Haidar didera, telah ditolak. Peguam bela itu jelaskan
bahawa pengakuan Louai telah dibuat secara paksa dan tak masuk akal: dia telah
berkata yang dia meletupkan bom kereta dengan kawalan jauh sedangkan pihak
polis merumuskan bahawa ia adalah serangan bunuh diri.
Louai telah empat tahun ditahan sebelum dibicara, dan
semasa dua atau tiga minit yang diperuntukkan dalam pembelaan, hakim-hakim
bercakap-cakap sesama sendiri. "Saya tak lihat seorang pun hakim sehingga sekarang!" jeritnya.
"Bawa dia keluar," kata Sahar. Seorang
pegawai keselamatan buka kurungan. Louai mengambil masa hampir dua minit untuk
bergerak ke pintu. Sahar berehat makan tengahari, seterusnya menjatuhkan
hukuman.
Islamic State kebanyakannya
tumpas di medan perang, tapi peperangan
masih belum berakhir. Serangan udara tak boleh membunuh idea, dan kini terletak
kepada pihak keselamatan negara, risikan dan sistem perundangan yang tak ampuh untuk
menamatkan tugas berkenaan. Tapi, ada strategi yang kelihatan dirangka sempurna untuk menangani
penentangan. Pegawai-pegawai tentera Amerika Syarikat dan Iraq bertahun-tahun
merancang kempen untuk menghapuskan ISIS di Iraq, bagaikan dengan ketiadaan
jihadis akan secara automatik membawa Iraq ke masa depan lebih demokratik
sebagaimana pentadbiran George W Bush telah bayangkan sewaktu tentera Amerika
Syarikat menceroboh negara ini pada 2003. Tapi, ironinya kewujudan ISIS sendiri
adalah berasal daripada penentangan terhadap amalan rasuah dan kekejaman pihak
berkuasa Iraq.
Tiga tahun, Islamic
State menguasai separuh Syria dan sepertiga Iraq, suatu kawasan
lebih-kurang bersaiz Great Britain, yang
mengandungi berjuta-juta penduduk. Beberapa ahli pada peringkat kepimpinan
kanannya pernah berkhidmat dengan pangkat tinggi dalam tentera Iraq sebelum itu serta pegawai-pegawai risikan regim Baath di bawah Saddam Hussien; mereka
terbabit menggabungkan struktur hebat "negara polis" di Iraq pada
waktu itu dengan kosmik radikal jihadis. Kumpulan besar ini meletupkan
masjid dan tempat arkeologi purbakala, dan melancarkan kempen penghapusan etnik
secara pembunuhan beramai-ramai serta hamba seks. Mereka kerah birokrat tempatan,
doktor-doktor dan guru-guru menyertai mereka sering kali dengan memaparkan imej seseorang kesakitan kerana didera membawa mati, serta berusaha keras untuk meradikalkan kanak-kanak dengan memanglikan mereka dengan keganasan, kesengsaraan dan
kehilangan orang tersayang. Pada kemuncak kejayaannya pada 2014, ISIS hampir berjaya menawan Baghdad dan melumpuhkan kerajaan Iraq ketika itu. Sekarang, setelah lebih setahun ISIS kehilangan Mosul - sumber terbesar ISIS di
segi perundangan, kekayaan dan kuasa - beratus-ratus ribu orang awam sengsara
di tangan pihak yang membebaskan mereka. Sesiapa yang dianggap mempunyai
hubungan dengan ISIS, sama ada sedikit atau tak jelas, akan dibunuh atau
diasing daripada masyarakat.
Keluarga Abdullah meninggalkan Mosul sewaktu
pertempuran dalam bandar dipercayai paling hebat sejak Perang Dunia Kedua.
Mereka akhirnya pulang dan mendapati kediaman mereka musnah.
Tak berapa lama dulu, saya menemui seorang pegawai
kanan risikan Iraq yang terbabit secara mendalam dalam menangani operasi
pengganas. Tiga jam, sambil minum teh dan hisap rokok, dia menerangkan jenayah terancang pihak
berkuasa keselamatan, perincian mengenai penghukuman-penghukuman di medan
perang, pembunuhan-pembunuhan di pusat-pusat tahanan dan usaha menutup
perlakuan jenayah oleh pihak berkuasa dalam negara. Dia bercakap sebagai saksi,
juga sebagai seorang yang turut terbabit dalam jenayah itu; walaupun dia dalam
kedudukan yang membolehkannya menghalang sesuatu penderaan, namun dengan campur
tangannya dia akan mengambil risiko disabitkan dengan tuduhan-tuduhan yang dia
simpati terhadap kumpulan yang dia sendiri cari untuk dimusnahkan.
Dia percaya yang tindak balas taktikal kerajaan Iraq
adalah suatu kesilapan besar seperti mana jika dilihat di segi moral; ia
berkisar berkenaan penceritaan jihadis iaitu pihak Sunni yang merupakan
minoriti penduduk Iraq tak boleh hidup selamat di bawah kerajaan yang
didominasi puak Syiah. "Reaksi itu adalah salah satu daripadanya. Ia bukan
tindakan yang difikir masak," dia beritahu saya. "Kami jarang
berpegang kepada keluhuran undang-undang."
Ribuan lelaki dewasa dan kanak-kanak telah dihukum
kerana bergabung dengan ISIS, dan ratusan telah digantung. Tapi, mengikut
pegawai risikan kanan itu, kes-kes berkenaan hanya segelintir daripada
keseluruhan tahanan. "Beberapa tertuduh dibawa ke mahkamah, tapi sekadar
untuk mengekalkan ilusi yang kami masih ada sistem keadilan," katanya.
Mereka yang dituduh dibicarakan mengikut undang-undang
yang tidak membezakan antara seseorang yang "membantu
pengganas-pengganas" dengan seseorang yang melakukan jenayah pengganas
sebagai wakil sesebuah kumpulan ekstrimis. Penyabitan hukuman sekitar 98
peratus. Ahli keluarga tertuduh jarang-jarang datang melihat perbicaraan, takut
mereka akan ditahan juga. Bukan suatu yang tak biasa apabila saudara-saudara
tertuduh diganggu oleh pihak keselamatan negara dan dihantar ke kem-kem tahanan
yang terletak di kawasan gurun yang jauh, di mana mereka dinafikan hak makanan,
khidmat kesihatan dan saluran untuk memperolehi dokumen-dokumen. "Kami
melenyapkan beribu-ribu keluarga daripada masyarakat Iraq," pegawai itu
beritahu saya. "Ini bukan sekadar balas dendam terhadap ISIS. Ini balas
dendam terhadap puak Sunni."
Sembilan tahun lalu, dua pegawai CIA masuk sebuah
penjara di Iraq dan nampak suatu laluan yang dipenuhi dengan lelaki-lelaki
bertutup kepala, yang akan dihukum mati kerana dikatakan bergabung dengan Al
Qaeda di Iraq, iaitu kumpulan yang melahirkan ISIS. "Kami memerangi AQI,
tapi kerajaan Iraq telah bertindak terhadap orang Sunni," seorang daripada
pegawai CIA itu imbaskan kembali. "Dan, pada suatu ketika, ia suatu tindakan
yang betul." Tapi, kerajaan Iraq tak bebaskan mereka yang tak bersalah,
sebaliknya menghukum mati. "Selanjutnya, sudah tentu, mereka berkenaan
kembali," kata pegawai itu mengenai Al Qaeda di Iraq. "Apa yang awak
jangka? Awak benar-benar bunuh bapa-bapa mereka."
Iraq kini memasuki tempoh rumit dalam sejarahnya. Agakan
melampau mengatakan ISIS suatu hari nanti bakal berfungsi sebagai pemerintah, ini bakal
membinasakan. Tapi, disebabkan ia tewas di medan perang bukan dikalahkan kerana
kehinaan diri sendiri, pihak yang hidup secara fantasi ini tetap mendakwa ia sebagai
penegak sistem khalifah dengan keadilan dan pemerintahan Islam yang boleh diukur
berasas kepada penentangannya terhadap realiti kerajaan Iraq yang mengamalkan
rasuah. Apa yang dipertaruhkan, dalam tempoh terdekat selepas konflik ialah sama ada kerajaan Iraq kini boleh mempengaruhi semula sebahagian
daripada penduduknya yang merasakan ISIS adalah suatu alternatif yang boleh
diharapkan.
Pada
suatu malam Ogos 2011, lapan komander jihadis telah dihantar menyeberang
sempadan dari Iraq ke Syria oleh pemimpinnya, Abu Bakr al-Baghdadi, untuk meresap
dalam gerakan berupa revolusi yang baru tumbuh di sana. Menjelang akhir 2012,
mereka telah mengumpul beratus-ratus pengikut daripada berdozen-dozen negara,
dan mengendalikan kem-kem latihan dekat Aleppo. Sepanjang tahun berikutnya,
ISIS membantu pemberontak-pemberontak dalam pertempuran-pertempuran besar
menentang regim Syria, tapi setelah kumpulan berkenaan bertambah kuat, fokus
strategiknya bertukar kepada pembentukan sistem khalifah.
Pada
Jun 2014, beberapa ratus pejuang ISIS menyerbu ke timur melintasi gurun, dengan
kenderaan pickup lalu menawan Mosul,
pada dasarnya ia suatu kesilapan. Bulan-bulan berikutnya, ISIS menguasai
Ramadi, Falluja dan Samarra. Tapi Mosul,
dengan hampir dua juta penduduk adalah pusat ekonomi di utara Iraq. Rancangan
kumpulan berkenaan ialah menguasai beberapa kawasan penempatan bank-bank dan
memasuki ke dalam penjara, untuk menambah bilangan anggotanya. Dalam tempoh
seminggu, kira-kira 60,000 tentera Iraq dan pegawai polis, ramai yang enggan
mati mempertahankan bandar Sunni, telah mengoyakkan pakaian seragam mereka lalu
melarikan diri.
Bagi penduduk Mosul, pengisytiharan sistem khalifah di
bandar mereka ini bermaksud kehidupan mereka akan dekat dengan ISIS. Beberapa minoriti
agama seperti Kristian, boleh tetap tinggal di bandar ini, jika mereka membayar
cukai berbentuk keagamaan, tapi puak Yazidi dan Syiah diperhambakan
atau disembelih. Setengah juta penduduk meninggalkan Mosul. Namun, Islamic State menerima sedikit sokongan, akibat penderaan terhadap
puak Sunni oleh tangan-tangan dalam kerajaan Iraq sebelumnya. Tapi, kebanyakan
penduduk tersepit lalu berpura-pura menyokong demi terus hidup, meskipun sudah
tentu bertolak ansur dengan kumpulan ini akan membahayakan mereka jika Mosul
dibebaskan kembali selepas itu.
Sebilangan penduduk menanti tiga tahun kemudian
dengan - membaca, menghisap rokok,
mengira hari sehingga hari pembebasan. Yang lain, berinteraksi dengan jihadis
bukan suatu pilihan. Islamic State sebenarnya tak merungkai birokrasi Iraq; ia menerima dan menyesuaikan, serta menokok
tambah lagi. Wujud jabatan-jabatan mengurus bantuan kebajikan, mengedar harta
rampasan perang, hospital-hospital dan penyelenggaraan dan penjagaan kebersihan
sungai-sungai. Beberapa institusi beroperasi lebih berkesan dan kurang rasuah
berbanding sebelumnya. Tapi, bagi ramai birokrat, meneruskan tugas mereka
bermakna mereka menyertai jenayah berbentuk mazhab. Tugas pihak berkuasa
hartanah, sebagai contoh, berubah daripada urusan harian menyelesaikan
pertelingkahan mengenai tanah kepada merampas dan mengedar semula hartanah dan
kediaman-kediaman puak Syiah.
Berbulan-bulan lamanya, pertahanan awam Mosul - ahli
bomba dan pekerja-pekerja penyelamat bandar ini - menyambung tugas memadam kebakaran yang berpunca daripada gas dan elektrik. Tapi tak lama kemudian, pihak tentera
Amerika Syarikat dan kerajaan Iraq mulakan serangan bom yang digugurkan di sana-sini. Dan,
ISIS memberitahu penyelamat-penyelamat ini bahawa jika mereka tak membantu mengeluarkan jihadis yang cedera daripada
runtuhan, mereka akan dibunuh.
Kerajaan Iraq menghentikan pemberian gaji. "Jika
mereka beri kepada kami, ISIS mungkin mengambil duit berkenaan," seorang
pekerja pertahanan yang masih muda yang saya panggil sebagai Mohammad beritahu
saya, dan oleh itu penyelamat-penyelamat mempertaruhkan nyawa mereka untuk
menyelamatkan pejuang-pejuang ISIS secara percuma. "Mujur, kapal
terbang-kapal terbang tentera bersekutu tak menyerang kenderaan pertahanan
awam," kata Mohammad. Tapi, dia mengimbas, "ini mula menimbulkan
masalah kepada kami, kerana ISIS fikir kami bekerjasama dengan pihak
bersekutu." Mohammad termasuk dalam mereka-mereka yang diperiksa rapi; dia
bercakap Bahasa Inggeris sangat lancar, dia belajar dengan menonton filem-filem
Amerika Syarikat. Pada 2015, dia letak jawatan pertahanan awam lalu pergi
menyorok. Pejuang-pejuang ISIS membakar rumah dan keretanya.
Kempen
perang di daratan untuk merampas kembali Mosul bermula sepenuh hati pada musim
gugur 2016. Sehingga tempoh berkenaan,
kumpulan-kumpulan kecil di Iraq dan puak-puak militan tiada bentuk insentif
untuk mereka bekerjasama. Bagi puak Kurdis, pencerobohan ISIS ke Mosul telah
mencipta suasana tanpa kuasa, yang dipergunakan ISIS untuk merampas wilayah
kaya dengan minyak dan cuba bincang semula mengenai sempadan Kurdistan yang
membabitkan Iraq. Kumpulan-kumpulan yang diurus gaya tentera di kalangan puak
Syiah, ramai yang pernah menyerang pasukan-pasukan Amerika Syarikat sebanyak
ribuan kali pada dekad sebelumnya, telah
digerakkan untuk menghalang ISIS menawan Baghdad, tapi tempoh dua tahun
selanjutnya diperlukan sebelum kerajaan Iraq berjaya padukan mereka terbabit dengan
pasukan bersenjata negara. Ia adalah Faustian
bargain. (NOTA: Istilah bermaksud seseorang mengkesampingkan nilai-nilai
spiritual dan moral demi memperoleh sesuatu keistimewaan atau seseorang yang
memberi tumpuan kepada apa yang diperolehinya sekarang tanpa mengambil kira
kesan-kesan jangka panjang.) Sebuah militan paling kuat yang dikenali ramai ialah Hashd al-Sha’abi. Kumpulan ini terlatih, bersenjata dan diberi dana oleh Iran Revolutionary Guard, dan mempunyai
reputasi terhadap segala bentuk penderaan akibat perbezaan mazhab sehingga
mengakibatkan ramai Sunni menyambut baik kedatangan jihadis ke Mosul.
"Tanpa Hashd al-Sha’abi, tiada keselamatan dalam negara ini,” pegawai
risikan kanan itu beritahu saya. “Dan sebaliknya, dengan kewujudan mereka,
tiada keluhuran undang-undang. Kedudukan mereka mengatasi tentera,
undang-undang dan kedaulatan Iraq.”
Kurdis
menyerang Mosul dari utara dan timur. Pasukan keselamatan Iraq muncul dari
selatan. Pasukan gerakan khas Amerika Syarikat turut serta dengan tugas secara rasmi sebagai membantu tapi
sering berakhir dengan pertempuran. Tentera bersekutu pimpinan Amerika Syarikat
membiarkan arah barat terbuka sebagai ruang untuk selamatkan diri; ini
membenarkan anggota-anggota ISIS melarikan diri ke gurun, menuju Syria.
Setahun setengah selepas pertempuran,
bandar lama Mosul bersepai dan bom-bom yang belum meletup kadang-kadang
menyebabkan kematian orang awam. 1o juta tan runtuhan kekal di serata tempat.
Apa yang berikutnya berlaku ialah perang bandar paling
hebat sejak Perang Dunia Kedua. Serangan udara terhadap kampung-kampung dan
bandar-bandar sekitar Mosul. Lantas ISIS mengecilkan wilayah jangkauannya
dengan berundur ke kawasan bandar, diikuti ribuan orang awam. "Mereka beritahu
kami yang tentera Iraq akan bunuh orang lelaki dan perkosa perempuan,"
seorang wanita muda dari Kampung Shirqat beritahu saya. "Kami lebih
percaya ISIS daripada kerajaan Iraq." Penduduk-penduduk lain, yang sudah
menanti bertahun-tahun untuk pembebasan, disumbat ke dalam bas di hadapan
muncung senapang pejuang-pejuang ISIS, dibawa ke medan pertempuran untuk
dijadikan perisai manusia. Dalam bulan-bulan berikutnya, jihadis membunuh
beratus-ratus orang awam yang cuba melarikan diri, dan gantung mayat di menara-menara
kawat elektrik.
Menjelang
awal 2017, sebahagian daripada Mosul sudah bebas. Bandar ini dibahagi dua oleh
Sungai Tigris. Bahagian timur punya
jalan raya-jalan raya yang lebar dan
bangunan-bangunan rendah. Dengan dibantu pihak bersekutu, Mosul Timur diambil
semula tentera elit Iraq yang tugas utamanya menentang pengganas, menyerbu dari
sebuah rumah ke sebuah rumah lain. Mereka cuba meminimumkan kematian orang awam, namun mengalami kehilangan besar
di kalangan anggota-anggotanya. Menjelang tamatnya pertempuran Mosul Timur, 75 peratus ahli pasukan menentang pengganas
itu mengalami kecederaan atau meninggal dunia.
Pertempuran lebih sengit di Mosul Barat - khususnya di
Bandar Lama, penempatan padat dengan lorong-lorong berliku-liku dengan
terowong-terowong dan pasar-pasar di tebing Sungai Tigris. Jalan-jalannya
terlalu sempit bagi kenderaan bersenjata melaluinya, dan jihadis mudah menyelit
di celah bumbung-bumbung dan jalan-jalan dan ruang bawah tanah bangunan.
Bagi tentera dari luar, ia sukar ditembusi. Pihak bersekutu bom kesemua lima
jambatan di Mosul dan menutup ruang melarikan diri di sebelah barat, manakala
beribu-ribu tentera Iraq, pegawai polis pusat dan pejuang Hashd mengepung
Bandar Lama.
Bandar Lama kaya dengan sejarah mengenai Mosul dan penghuni-penghuni
paling miskin. Thenoon Younnes Abdullah, bapa berusia pertengahan dengan misai
lebat, diwarnakan cokelat, telah habiskan masa beberapa dekad bekerja sebagai
buruh, sehinggalah badannya tak berdaya lagi untuk menyara isterinya, Alaa dan empat anak mereka. Namun, dia sering
keluar untuk menjual minyak secara menyalahi undang-undang. Seperti
jiran-jirannya, dia marah terhadap pejuang-pejuang ISIS yang berjalan dengan
angkuh di pasar-pasar dengan duit yang banyak lalu mengajar dia bagaimana mahu
hidup - khususnya warga asing yang tak tahu bercakap Arab dan tiada hubungan
dengan Mosul. Sebilangan mereka memeluk Islam beberapa bulan sebelum datang ke
Iraq untuk berjihad dalam peperangan. Keluarga Abdullah tinggal di rumah
kelompok, di blok yang sama, dengan keluarga-keluarga jiran yang
serupa sejak bergenerasi lalu, dia masih ingat.
Tiga tahun, tentera Iraq beritahu orang awam supaya
berada di rumah dan tunggu dibebaskan, dan Abdullah dan keluarganya ikut
pesanan itu. Kini, pihak tentera Iraq mengepung keliling Bandar Lama, bekalan
elektrik dan air dipotong lalu mustahil untuk terus hidup begini. Ramai mulai
kebuluran. Jihadis memecah masuk rumah-rumah, curi makanan dan mengorek
terowong-terowong di antara ruangan-ruangan bawah bangunan bagi membolehkan mereka
bergerak tanpa dapat dikesan. Mereka bina tempat menembak di bumbung-bumbung
kediaman penduduk serta menimbunkan bekalan peluru di ruang tamu. Mereka bunuh
sesiapa yang melawan.
Pihak bersekutu memutuskan bahawa Bandar Lama tak
boleh ditawan mengikut Rules of
Engagement seperti yang dipergunakan dalam pertempuran di Mosul Timur. (NOTA: Rules
of Engagement ialah prosedur keras terhadap orang awam mengikut arahan
pihak atasan tentera walaupun ia amat provokatif.) Oleh itu, ia melancarkan
serangan udara. Pada bulan Mac, Amerika Syarikat menggugurkan bom seberat 500 paun ke
atas bumbung kediaman di Bandar Lama dengan hasrat untuk membunuh 2 penempat
tepat ISIS. Letupan itu membunuh 105 orang awam yang berlindung dalam bangunan
terbabit. Mereka yang terselamat melaporkan bahawa tiada pejuang-pejuang ISIS
di situ ketika serangan berkenaan dilancarkan.
Suatu malam, apabila aktiviti pengeboman berkurangan,
Abdullah dan ahli-ahli keluarganya berlari ke tebing Sungai Tigris dengan
membawa tiub tayar dan dua bekas besar bagi menyejukkan makanan. Semua mereka
tak tahu berenang. Abdullah masukkan anak-anaknya ke dalam bekas-bekas itu - dua orang setiap bekas - manakala dia
dan Alaa berdua masuk ke dalam tiub tayar, paut
anak-anak dan sesama sendiri sewaktu mereka semua terapung-apung ke hilir, ke
wilayah bebas.
Menjelang awal Julai, pejuang-pejuang ISIS telah
membunuh beribu-ribu tentera dan polis kerajaan, dan komander-komander Iraq dalam usaha amat tertekan untuk menamatkan
peperangan. Beberapa minggu berikutnya pertempuran berdarah kian hebat.
Pejuang-pejuang ISIS yang menyerah diri telah dihukum sertamerta. Pihak berkuasa keselamatan Iraq merakam filem
mereka menghumban tahanan-tahanan dari tebing kemudian tembak mereka yang
sedang nazak di atas batu-batu di bawah. Helikopter-helikopter berlegar-legar
di Sungai Tigris, menjatuhkan bom terhadap mereka yang cuba berenang ke
seberang. Pasukan tentera bersekutu anggap sesiapa yang tinggal di Bandar Lama
memihak kepada Islamic State.
Sepanjang bulan berikutnya, mayat-mayat tenggelam timbul hanyut ke hilir,
memakai pakaian orang awam. "Kami bunuh mereka semua - Daesh, lelaki,
perempuan dan kanak-kanak," seorang pegawai tentera Iraq beritahu satu
saluran berita Timur Tengah dengan menggunakan akronim Bahasa Arab bagi ISIS.
Sewaktu dia bercakap, rakan-rakannya mengheret seorang tertuduh di jalan raya
dengan tali yang diikat di leher mangsa. "Kami melakukan perkara yang sama
seperti yang dilakukan ISIS. Orang ramai ke sungai untuk mengambil air, kerana
mereka kehausan, dan kami bunuh mereka."
Setelah pertempuran selesai, tentera-tentera
menggunakan peralatan pembinaan untuk sodok puing yang terdiri daripada
batu-batan lalu menimbus pintu-pintu terowong-terowong ISIS - sekadar pura-pura
untuk melemaskan jihadis yang masih di dalamnya, tapi sebenarnya untuk
mencampuradukkan mayat-mayat dengan konkrit bagi mengaburi tahap kekejaman mereka.
Akhir Mac tahun ini, wartawan-wartawan masih menemui mayat-mayat perempuan dan
kanak-kanak di tebing sungai, ditutup mata, dengan tangan-tangan terikat di belakang
badan dan lubang-lubang peluru di tengkorak-tengkorak mereka.
Setahun
setengah selepas kerajaan Iraq isytihar kemenangan, Bandar Lama masih rosak
binasa. Cahaya matahari melepasi lubang-lubang peluru pada pintu-pintu tin
garaj. Blok-blok konkrit yang amat besar berjuntai pada bumbung-bumbung yang
sudah binasa. Lantai-lantai pangsapuri kekal setelah runtuh berlapis-lapis
seiring menghancurkan sebarang benda yang berada di celah-celahnya. Pertubuhan
Bangsa-Bangsa Bersatu anggar pertempuran di Mosul meninggalkan 10 juta
tan puing batu-batan. Beberapa struktur batu tersadai dalam kedudukan pelik,
kesan membingungkan, bagaikan graviti telah menarik dari pelbagai arah. Talian
elektrik telah dibakar, anak-anak tangga bangunan yang rosak kini tanpa arah tujuan tepat. Suasana
langsung senyap-sunyi. Suatu kawasan dekat pejabat pos lama,
terdapat satu lampu isyarat yang masih elok. Ia bertukar warna setiap 30 saat,
tanpa orang menggunanya. Setiap jarak beberapa kaki, kamu bakal menghidu bau
mayat kering. Turut tak dapat diabaikan ialah tahap skala kemusnahan.
Banyak bangunan terus dihuni sejak abad ke-7 sehingga minggu kedua Julai 2017. Namun, berjalan di Bandar Lama kini bagai menjejaki kubur-kubur generasi terakhir.
Sebaik sahaja pertempuran tamat, Mohammad kembali
bertugas di jabatan pertahanan awam. Setiap hari, orang tempatan beratur di
luar bangunan bomba sementara di Mosul Barat dan minta tolong cari mayat
saudara masing-masing. "Kami rekod nama mereka dan beri suatu
tarikh," dia imbas kembali.
"Dan apabila sampai harinya, mereka akan ke Bandar Lama
bersama-sama kami dan tunjukkan kami rumah yang telah dihentam melalui serangan
udara, dan kami akan terus menggali sehingga dapat menarik keluar mayat
berkenaan."
Pihak bersekutu membuat kenyataan bahawa kematian awam
sedikit. Tapi pihak pertahanan awam Barat Mosul telah menemui ribuan mayat di
Bandar Lama. Pada bulan Disember,
Associated Press memperolehi satu senarai hampir 10,000 nama orang awam
didaftar di bilik mayat tempatan. Kebanyakannya telah dihempap konkrit yang
tumbang; sebab kematian telah dimasukkan ke dalam pangkalan data
rumah mayat itu sebagai "berkecai-kecai." (Seorang kolonel tentera
Amerika Syarikat yang juga jurucakap pihak bersekutu, Thomas Veale beritahu AP
yang ia suatu "tak bertanggung
jawab" untuk mengetengahkan kematian pihak awam di Mosul Barat. Jika tak
ada kempen pihak bersekutu, katanya, Iraq akan menghadapi "kematian dan
dikudungkan" oleh tangan-tangan "pengganas-pengganas yang kurang
etika atau tiada piawaian moral.")
"Semua adalah orang awam," kata Mohammad.
"Apabila kami temui tubuh-tubuh yang tak dikenali, kami tinggalkan di
situ," kerana tiada jalan untuk pohon sijil kematian atau memulangkan
mayat terbabit kepada keluarganya untuk pengkebumian. "Kadang-kadang ramai
datang kemari dan beritahu kami yang ahli keluarga mereka meninggal dunia di
Bandar Lama, tapi kami tahu yang mereka bukan berasal dari Bandar Lama,"
kata Muhammad. "Mereka dari Qayyarah atau Shirqat." Bandar-bandar ini Islamic State punya lebih ramai penyokong lalu pekerja-pekerja pertahanan awam anggapnya sebagai mengaitkan ISIS dan menolak
untuk mengembalikan mayat terbabit.
Rangka-rangka dalam runtuhan tak digonggong seluruhnya
oleh binatang-binatang atau diluntur-putihkan oleh matahari. Terdapat
jari-jari, gigi-gigi kuning dan gumpalan rambut yang berabuk-abuk. Sebahagian
tulang-tulang berada sepanjang jalan, di sekeliling cebisan fabrik, kulit
binatang dan kaca. Di pinggir sungai,
saya lihat badan manusia terjuntai-juntai pada batang keluli - tangan-tangannya
berayun-ayun, tengkoraknya pecah. Ligamen-ligamen hitam terkulai-kulai di
bahagian lengan. "Daesh," seorang tak dikenali beritahu saya, sambil
menyedut asap rokok dia menunjuk kepada mayat itu. Dia kemudiannya berlalu
pergi.
Tak jauh dari situ, saya temui Thenoon Younnes
Abdullah. Dia melambai-lambai semasa turun berhati-hati daripada runtuhan
setinggi tiga tingkat bangunan - kawasan asal bekas kediamannya - dengan anak
lelaki berusia 10 tahun. Keluarga ini kembali untuk mengambil apa yang boleh.
Apa-apa yang bernilai telah dikutip orang
lain, tapi mereka peroleh generator yang sudah rosak lalu mengikatnya di
bahagian belakang kereta mereka.
Abdullah beritahu saya, selepas pertempuran tamat,
beberapa sepupunya yang mula-mula kembali ke Bandar Lama; sebaik sahaja mereka
buka pintu, tubuh mereka berkecai apabila bom meletup. Beberapa bulan kemudian,
ketika Abdullah tiba, dia temui rumahnya sudah rosak, dan beberapa pejuang ISIS
meninggal dunia di dalamnya. Dia juga temui mayat ibu Alaa; dia tetap di situ
kerana terlalu kelayuhan untuk melarikan diri.
Abdullah membawa saya ke timbunan besi dan konkrit
yang membukit, kami memasuki rumahnya dengan membongkok bawah anak tangga,
melalui satu lubang dinding bilik mandi. Di lantai ruang makan kelihatan tiga
tompokan, di mana cecair meleleh akibat tubuh-tubuh mereput. Seorang saudara
Abdullah meninggal dunia di seberang jalan, tapi mayatnya tak ditemui.
Sukar untuk bergerak. Lantai dicemari
serpihan-serpihan, tapi saya perasan beberapa transistor, bebola besi dan
bahan-bahan buat bom bertaburan. Kemudiannya, sewaktu berjalan keluar, kaki
saya tersepak satu blok konkrit dan saya temui satu IED. (NOTA: IED bermaksud improvised explosive device iaitu sejenis bom dibuat oleh seseorang
bukan tentera dengan menggunakan bahan-bahan yang bukannya bahan biasa dalam
pembuatan bom tulen.) Saya kaku, dan dapati ada dua lagi bom serupa
yang belum meledak beberapa kaki dari saya, begitu juga empat alat peletup. Kami
panjat keluar melalui lubang bilik mandi dan turun bukit melepasi satu mayat
ISIS yang masih memakai selipar kulit.
Pembinaan semula Bandar Lama memerlukan
berbilion-bilion dollar mengikut PBB,
tapi selain kos yang besar, saya merasakan kerajaan Iraq berhasrat untuk
membiarkan ia dalam kebinasaan sebagai suatu bentuk penderaan. Abdullah
beritahu saya bahawa dia tak lihat sebarang institusi yang membersihkan bandar ini - hanya
poster-poster NGO memberi amaran mengenai bahaya berjalan melalui
kawasan-kawasan yang dipenuhi bahan-bahan letupan, yang kadang kala
membunuh orang awam di Bandar Lama.
Abdullah dan keluarganya terperosok dalam kereta dan
menuju ke bahagian lain bandar ini, di mana mereka kini tinggal di sebuah bangunan
terbiar yang hampir keseluruhannya musnah. Dia memandu dengan menjengok melalui
lubang pada cermin depan kereta yang pecah terkena serpihan bom lebih setahun lalu.
Perang
terhadap Islamic State
mengucar-ngacirkan sejuta rakyat di Wilayah Nineveh. Orang awam yang mulai melarikan diri daripada ISIS pada 2014 telah
disoal oleh pegawai risikan Kurdish dan Iraq untuk memperolehi maklumat
mengenai jiran-jiran yang telah membantu mereka terbabit. Nama-nama berkenaan
telah dimasukkan ke dalam pangkalan data mereka yang dituduh sebagai pengganas,
yang terdedah kepada pengetahuan cawangan keselamatan di Iraq termasuk militia
Hashd. Sepanjang tempoh perang yang terus berlarutan, senarai nama-nama semakin
tak boleh dipercayai. Orang ramai melaporkan mengenai nama-nama musuh
masing-masing, dan mengambil kira ancaman berbentuk kutukan peribadi, perselisihan
puak serta pertelingkahan di tempat kerja. "Kita menahan beribu-ribu orang
yang dituduh yang nama masing-masing dilapor secara salah atau berasas kepada
maklumat silap, dan mereka berkenaan dianggap sebagai anggota ISIS,"
pegawai kanan risikan Iraq itu beritahu saya. Katanya, sebilangan pejuang Hashd
melakukan ugutan dengan meminta beribu-ribu dollar daripada orang awam dan akan
memasukkan nama mereka terbabit ke dalam pangkalan data pengganas jika tak
mampu bayar.
Sekeping gambar pejuang Isis yang terbunuh dalam suatu
serangan udara.
Suasana dalam kem tahanan di kawasan luar
Qayyarah. Warga-warga Iraq yang diasingkan menonton drama India.
Bagi ramai anggota pasukan keselamatan Iraq, semua
orang awam yang melarikan diri daripada kekejaman ISIS adalah dicurigai.
Kebanyakan tentera menganggap janggut sebagai tanda seseorang bergabung dengan
ISIS, walaupun jihadis mengenakan hukuman kepada lelaki-lelaki yang bercukur.
Yang lain, berbeza pandangan apabila mendakwa lelaki-lelaki yang baru bercukur
atau memotong rambut sebagai mereka yang cuba mengelak dikenal pasti.
Kecederaan juga juga mencetus tuduhan yang rumit; bagaimana seseorang tahu sama
ada orang yang terselamat daripada peluru di darat dan serangan udara adalah
sasaran atau sekadar mangsa tak berdosa?
Sebaik orang awam bergerak keluar Mosul menuju kem
tahanan orang yang diasingkan, pemberi maklumat-pemberi maklumat yang bertopeng
berdiri di sekatan untuk pemeriksaan, tunjuk individu-individu yang didakwa mereka telah bekerja dengan Islamic
State. Sebilangan pemberi maklumat adalah kanak-kanak, tapi hal ini tiada
masalah bagi pihak mahkamah - seorang yang dituduh tidak tahu siapa yang kecam
dia, atau apa yang telah dikatakan.
Semua tertuduh akan diserah kepada perkhidmatan
menentang pengganas untuk ditapis membabitkan keselamatan negara secara
mendalam. Bagaimanapun, ramai yang ditangkap telah diadili di
jalanan oleh pasukan vigilante.
Pada Oktober 2016, pasukan keselamatan Iraq merakam filem mereka sedang hukum
bunuh seorang yang ditahan di Qayyarah, satu jam perjalanan dari Mosul. Mereka
juga mengikat beberapa mayat anggota ISIS pada bahagian belakang pickup jenama Nissan lalu mengheret
mangsa melalui jalan utama di Qayyarah, dan pada masa yang sama penduduk-penduduk
kampung bersorak-sorak; kanak-kanak menyepak mayat-mayat itu, dan seorang lelaki
berdiri di atas salah satu mayat yang sedang menggelunsur. Mengikut Human Rights Watch yang memperolehi
13 video dalam kejadian ini, seorang lelaki dari kampung berdekatan pergi ke
Qayyarah setelah mendengar bahawa lelaki yang telah membunuh bapanya dan tiga
bapa saudaranya adalah antara pejuang-pejuang yang meninggal dunia. Dia
memancung kepala lelaki berkenaan dan memotong keluar jantungnya, lalu
hadiahkan kepada emaknya.
Di tempat lain di Iraq, pihak keselamatan merakamkan
filem mereka tumbuk, tendang dan sebat di tempat tahanan sementara
termasuk bilik darjah. Mereka mengheret orang tertuduh dengan memegang rambut,
memijak kepala, menghentak lutut ke muka, dan melontar perabot kepada mangsa.
Mereka pukul sehingga pengsan, mereka hentam sampai mati. Mereka merakam filem
mereka menembak orang tahanan di padang terbuka dan menikam muka mangsa dengan pisau.
Sekumpulan anggota Hashd bersusah-payah menyoal siasat enam pejuang dari luar
negara yang tak tahu Bahasa Arab; akhirnya, mereka tembak mangsa-mangsa
berkenaan, simbah dengan minyak lalu bakar - termasuk dua orang yang masih
hidup. Seorang polis pusat merakam dia memancung tahanan; termasuk bawah umur
lalu pos video berkenaan dalam akaun Facebook.
Dia beritahu seorang wartawan Sweden yang dia sudah pancung 50 orang, semuanya ketika masih hidup; sewaktu dia berarak di jalan dengan
mengangkat tinggi kepala-kepala mangsa, pegawai-pegawai polis berpakaian
seragam yang lain dan tentera-tentera bersorak-sorak sambil berkawad di sisinya. Di seluruh
kawasan utara dan barat Iraq, pasukan anti-ISIS menyimpan senarai orang yang
mereka hendak bunuh. Mereka gantung manusia di tiang elektrik dan galak orang awam menghina mayat bekas jihadi yang dulunya dikatakan menindas.
Ironinya bukan berkenaan kematian pembunuh-pembunuh itu - mereka tahu mereka sedang
mengikut kelakuan paling buruh yang dilakukan sebelumnya oleh Islamic State.
Kerajaan Iraq berusaha untuk meminimumkan perhatian
terhadap kekejaman. Haider al-Abadi, berkhidmat sebagai Perdana Menteri di
antara 2014 hingga Oktober 2018 mendakwa ia sebagai "tindakan-tindakan
individu" yang pelakunya akan dipertanggungjawabkan. Tapi,
tiada siasatan-siasatan dilakukan secara bersungguh-sungguh. Mengikut pegawai
kanan risikan Iraq berkenaan, "semua pencabulan yang dilakukan Hashd
adalah diketahui dan diluluskan pihak keselamatan nasional, di seluruh wilayah
yang ditadbirnya." Tambahnya, kerajaan telah memperuntukkan pegawai
tertentu untuk menutup sejumlah pembunuhan beramai-ramai orang awam dengan
membuat sidang akhbar dan menipu mengenai tempat asal kubur besar
mangsa-mangsa. "Kerajaan Iraq membawa wartawan-wartawan lalu berkata,
'Tengok, ISIS bunuh orang awam,' sedangkan sebenarnya ia dilakukan Hashd
al-Sha’abi,” katanya. “Realiti adalah amat berbeza dengan apa yang disiar
media. Sekurang-kurangnya ISIS punya keberanian untuk tidak melindungkan
jenayah yang mereka lakukan."
Mereka
dituduh yang kekal hidup, dibawa ke fasiliti penahanan dalam dan sekitar Mosul.
Undang-undang Iraq menyatakan syarat bahawa tertuduh mesti dibawa ke hadapan
hakim yang bakal menyiasat dalam tempoh 24 jam selepas ditahan, tapi ramai yang
tinggal merana dalam tahanan selama berbulan-bulan. Walaupun cuma ada 8,000
pejuang ISIS di Mosul, dan sedikit di kampung-kampung mengelilinginya, senarai
orang yang dikehendaki meningkat kepada beberapa ratus ribu.
Penjara-penjara lembap, sejuk dan tanpa tingkap, masing-masing menahan seratus
atau lebih tahanan. Beberapa fasiliti tiada belanjawan untuk makanan.
Kecederaan yang berlaku semasa pertempuran atau sewaktu disoal siasat, semakin
melarat dan berkelemayuh. Anggota kudung
adalah perkara biasa, dan tahanan-tahanan secara rutin meninggal dunia akibat
kelemasan atau penyakit.
Bagi pesalah-pesalah kes keganasan, suatu
perhentian sebelum mereka digantung ialah dengan menyertai "In the Grip of the
Law." Rancangan televisyen yang bermaksud "Dalam Genggaman Undang-Undang" ini dihos oleh Ahmad Hassan. Tahanan-tahanan penjara terbabit beritahu depan kamera
bagaimana mereka terbabit dengan jenayah-jenayah kejam.
"Beratus-ratus orang yang tak bersalah telah
ditahan kerana nama-nama mereka seperti nama-nama mereka yang dikehendaki kerana bersalah, dan pihak berkuasa
dalam negara tak lakukan sesuatu untuk menyelesaikan masalah ini," kata
pegawai perisik kanan Iraq itu kepada saya. (Mohammad adalah nama paling biasa
di seluruh dunia.) Yang lain ditahan
akibat fakta-fakta tak terkawal mengenai identiti: tertuduh adalah lelaki Sunni
yang mencapai usia untuk berjuang, berasal dari kampung di mana kedatangan
jihadis tak dibantah atau disokong; tertuduh adalah isteri, bapa, saudara
lelaki atau sepupu kepada pejuang; tertuduh adalah anggota puak di pedalaman
yang ketuanya berikrar setia kepada Abu Bakr al-Baghdadi. Jika sesiapa didapati
tak bersalah lalu dibebaskan, tiada surat dihantar ke semua pihak keselamatan
untuk memutihkan namanya. "Dia mungkin ditahan semula, dan kali berikutnya
tak akan dibebaskan," kata pegawai itu lagi.
Akhir Ogos lalu, saya menemui seorang pejuang ISIS
berusia 17 tahun di dalam sebuah fasiliti dekat sempadan Iraq-Kurdistan yang
menempatkan berdozen-dozen individu bawah umur yang didapati salah di atas
jenayah membabitkan ISIS. Namanya Noor, dan turut sama remaja lain, Ahmad. Dia
secara sukarela setuju untuk diwawancara. Pada April 2016, ketika Noor berusia
14 tahun, seorang daripada rakan-rakannya merekrutnya supaya sertai kem latihan
ISIS. Dia tak perjelaskan apa yang menimbulkan minatnya terhadap Islamic State, cuma berkata, "Jika
ada sesuatu yang saya tak suka mengenai kumpulan ini, saya takkan
sertainya." Pada suatu hari dalam bulan Oktober, dia ditahan oleh tentera
Kurdish dekat bandar bernama Bashiqa, memakai pakaian seperti anggota ISIS,
dengan lengan panjang dan kaki seluar atas buku lali, dan menyandang sepucuk
Kalashnikov. Noor adalah satu-satunya jihadi dalam keluarganya - dia beritahu
saya dia sertai ISIS tanpa pengetahuan dan kebenaran ibu bapanya - tapi tahun
lalu, anggota Hashd tangkap saudara
maranya, rampas rumah dan harta mereka, dan hantar mereka ke kem-kem tahanan.
Semasa Noor bercakap, Ahmad kelihatan tak selesa. Dia
kata dia hendak bercakap, tapi tanpa Noor dalam bilik itu. Seorang pekerja
penjara membawa Noor kembali ke bilik penjaranya.
"Saya telah berada di sini dua tahun lapan bulan,
terperangkap dengan budak-budak jihadi ini semua!" Ahmad kata
tergesa-gesa. "Tapi saya bukan ISIS! Mereka silap tangkap saya!"
Seorang daripada sepupu-sepupunya telah direkrut, tapi tiada ahli keluarga Ahmad yang menyertainya. Namun begitu, apabila pihak tentera Kurdish
membebaskan bandar, pegawai-pegawai risikan menahan Ahmad dan menderanya
sehingga dia memberi kenyataan bohong. Dia mengangkat bajunya untuk mendedahkan
jalur-jalur samar di seluruh bahagian belakangnya akibat disebat dan dipukul,
dan satu parut kelihatan seperti dipulas pada bahagian atas lengannya. Pada
ketika ini, pekerja-pekerja penjara Kurdish berkata tempoh wawancara sudah
tamat. "Saya tunjukkan kepada hakim yang saya telah didera," sambung
Ahmad. Tapi, hakim berkenaan kata kepadanya bahawa seorang saksi tanpa nama
telah mendakwa dia pernah membawa senapang, lalu hakim menghukum Ahmad penjara
lima tahun.
Kadar
penahanan kian perlahan. Di Mosul, kini hanya dua atau tiga serbuan dilakukan
setiap minggu. Kebanyakannya dilakukan pasukan SWAT Iraq dengan bantuan tentera Amerika Syarikat yang membantu di
segi risikan - nama-nama, alamat-alamat, kadang-kadang sekeping gambar - begitu
juga menyediakan kenderaan-kenderaan, senjata-senjata serta bantuan serangan udara. Sebagai
balasan, tentera-tentera Amerika Syarikat diberi hak memasuki fasiliti-fasiliti
kem tahanan untuk mengumpul cap jari-jari serta guna teknologi tinggi dengan mengenal pasti
mata tahanan berprofil tinggi. Kadang-kadang mereka mambawa keluar tahanan
tertentu, dan memulangkan kembali beberapa hari atau minggu kemudian setelah
mereka sendiri selesai menyoal siasat.
Unit-unit puak Syiah paling kuat yang
diurus seperti tentera turut mempunyai hubungan dengan Iran Revolutionary Guard. Pegawai-pegawai risikan dan keselamatan Hashd
masih meronda di kawasan yang musnah di Bandar Lama, sekali-sekala melakukan
penangkapan. Pada 30 Ogos, sekumpulan mereka yang memakai pakaian awam telah
menahan saya di hadapan runtuhan kediaman Thenoon Younnes Abdullah lalu menyoal siasat saya selama tiga jam. Mereka
tangkap gambar muka saya, pasport dan visa Iraq, dan komander, lelaki bermuka lebar yang dikenali sebagai Abu Ali
beri amaran bahawa saya akan ditahan jika kembali ke Bandar Lama. Kemudiannya,
dua pegawai risikan Hashd menggenggam erat Kalashnikov masing-masing, masuk ke dalam kereta saya,
dan dengan sebuah kenderaan mengikut kami, saya diiring melintas jambatan ke
Mosul Timur. Dalam perjalanan, dua lelaki berkenaan tunjukkan gambar-gambar dan
video-video - dalam telefon sel - mereka yang dikatakan pejuang-pejuang ISIS yang
mereka telah bunuh di seluruh Iraq. Saya tanya sama ada unit mereka berkongsi
risikan dengan atau menerimanya daripada kerajaan-kerajaan asing. "Kami
menolak untuk bercakap mengenai hal ini," seorang daripadanya yang memakai
jeans biru dan topi besbol Gucci berkata. "Kerana Amerika
Syarikat tak mesra Iran."
Penahanan sebelum dibicara boleh mencapai
bertahun-tahun, dan walaupun tahanan tak meninggal dunia sebab keadaan penjara yang teruk,
mereka masih mungkin tidak dapat melihat pun suasana dalam mahkamah. Beribu-ribu fail
telah tersilap letak akibat birokrasi berikutan tahanan-tahanan telah dipindah
ke kawasan-kawasan yang diuruskan oleh pelbagai agensi keselamatan - bermakna
di atas kertas, orang yang tertuduh sudah hilang. "Beratus-ratus lagi telah terbunuh
sewaktu disoal siasat," kata pegawai kanan risikan Iraq itu kepada saya.
Pegawai-pegawai Kementerian Kesihatan, katanya, selalunya mengkelaskan punca
kematian sebagai "tak diketahui" atau "serangan jantung,"
dan kemudiannya melenyapkan mayat berkenaan
Proses berkenaan penuh dengan rasuah
sehingga kata pegawai itu lagi, "hanya anggota ISIS yang miskin dihadap ke
mahkamah. Yang kaya boleh membayar untuk bebaskan diri keluar dari sistem
ini." Kerana tak mampu percaya rakan-rakan mereka di jabatan-jabatan
berbeza untuk tidak membebaskan anggota-anggota ISIS, sebilangan pegawai telah
memilih untuk membunuh tahanan-tahanan berprofil tinggi.
Tak lama dulu, pegawai risikan kanan itu beritahu saya
yang dia melihat sekumpulan kakitangan bawahnya memukul seorang pejuang dari
Arab Saudi dengan batang-batang besi di
dalam pusat penahanan sementara dekat Mosul. Pejuang itu mengejek mereka yang menyoal siasatnya dengan berkata jika
dia kembali sihat dia akan kembali ke medan pertempuran dan menentang mereka
kembali. Mereka patahkan kaki-kaki dan tangan-tangannya, dan baling blok
konkrit untuk bina dinding ke arah belakangnya. "Siapalah yang tahu bila
dia mati sebenarnya," kata pegawai itu. "Tapi dia mahu menjadi
seorang syahid, dan oleh itu mereka yang menyoal siasatnya telah
membantunya."
Saya tanya dia sama ada kerajaan Iraq memberitahu
kedutaan asing-kedutaan asing apabila pegawai-pegawai risikan membunuh
warganegaranya. Dia berkata kebanyakan pejuang-pejuang dari Eropah dirujuk ke
badan perundangan tanpa apa-apa kecederaan kerana identiti-identiti mereka diketahui
ramai, dan mereka terbabit disiasat rapi oleh media massa antarabangsa. "Tapi
kebanyakan pejuang dari negara-negara Arab lain tak sempat sampai ke
mahkamah," katanya. "Kami tak beritahu kerajaan mereka apa yang
berlaku kepada mereka, dan kerajaan mereka tak soal pun."
Di
Baghdad, perbicaraan tanpa belas kasihan
menyentuh hati saya kerana ia tak selaras berikutan bukti yang kurang, penyabitan salah yang pasti dan kadar hukuman
yang berat membuatkan saya mulai terfikir sama
ada hakim-hakim memperolehi laporan-laporan risikan rahsia yang mereka tak
kongsikan di mahkamah. Suatu petang, saya lawat pejabat Munir Haddad, majistret
yang mempengerusikan perbicaraan Saddam Hussein. Ia adalah suatu perbicaraan bermasalah
- peguam bela dibunuh dan Perdana Menteri menekan hakim-hakim supaya memutuskan
hukuman mati - tapi berbanding perbicaraan-perbicaraan terhadap ISIS, kata
Haddad, "Saya percaya proses munasabah telus. Saddam ada peguam-peguam.
Hanya enam daripada tujuh orang yang dihukum mati. Hari ini, dalam mahkamah
pengganas, sekurang-kurangnya 25 orang dihukum mati setiap hari."
Haddad memasang api rokok lalu letak kaki-kakinya ke
atas sebuah bangku kayu yang cantik. Ali Shimari, seorang peguam yang kacak,
duduk di sebelahnya. Haddad meninggalkan jawatannya beberapa tahun lalu; dia
dan Shamiri kini bekerja dalam satu pasukan, membela mereka yang dituduh
pengganas yang mereka percaya tidak bersalah. Pada sebelah pagi hari itu, Shamari
telah terlibat dengan semua perbicaraan yang saya tonton. "Semua yang
hakim lihat, pihak peguam-peguam lihat sama," katanya. "Biasanya
tiada bukti, hanya pengakuan."
Saya tanya Shimari jika suasana arbitrari atau
perbicaraan secara rambang mengecewakannya. "Apa yang boleh saya buat?"
Dia jawab, sambil mengangkat bahu. "Saya seorang peguam bela. Saya tak
boleh beritahu hakim supaya beri tumpuan. Awak boleh cuba sekali dua, tapi
tiada kesan."
Haddad ketawa. "Kami bukan di Amerika
Syarikat," katanya. "Tidak mungkin berbalah dengan hakim, kerana jika
awak buat begitu dia akan menekan anak guam awak. Sebagai seorang peguam bela, awak
terpaksa menerima perasaan diaibkan."
Saya tanya Haddad sama ada sebagai seorang bekas hakim
tribunal berprofil tinggi di Iraq, dia percaya hakim melihat tugasnya sebagai
berlaku adil seakan keadilan alam semesta, meskipun kebenaran terletak
mengatasi bahan bukti yang diperolehi secara munasabah. "ISIS ada ramai
mangsa," katanya. "Oleh itu perlu ada penyabitan hukuman."
Amani berhasrat untuk meninggalkan kem
yang kini dia tinggal, tapi kerajaan enggan beri kepadanya kad pengenalan.
"Saya tak pernah gembira pada waktu mana-mana pun dalam
kehidupan saya," katanya.
Thaer Abd Ali al-Juboori, jurucakap Kementerian
Keadilan, beritahu saya perkara yang sama. "Kumpulan-kumpulan hak
kemanusiaan fokus terhadap hak orang dituduh, tapi bagaimana hak mangsa-mangsa
dan keluarga-keluarga mereka?" Katanya. "Kita telah melalui
beribu-ribu serangan pengganas. Terdapat tekanan hebat daripada orang awam
terhadap pihak berkuasa membabitkan keadilan." Dia sambung, "9/11
mengakibatkan 3,000 nyawa melayang. Seluruh dunia dihantui dengan serangan ini.
Kami menangisi kematian mereka. Tapi di sini di Iraq, kami mengalami kematian
akibat keganasan seratus kali ganda. Di mana simpati yang kami tonjolkan
terhadap mangsa-mangsa 9/11? Ini yang membuatkan warga Iraq terganggu perasaan.
Kami memerangi pengganas setiap hari, bagi pihak seluruh negara lain dalam
dunia. Dan tiada siapa yang mengambil kira mengenai kesengsaraan kami."
Jumlah masa pesalah habiskan mengikut senarai menunggu
untuk dihukum gantung naik turun antara beberapa bulan dan beberapa tahun
kerana setiap arahan hukuman perlukan tandatangan Presiden Iraq. Barham Salih, seorang
Kurd progresif yang dipenjara dan didera oleh Regim Saddam Hussein, mengambil
tugas Presiden pada Oktober.
Di masa lalu, Salih
dikenali kerana menentang hukuman mati. Pada 2002, sewaktu dia Perdana Menteri
bahagian timur Kurdistan, dia enggan menandatangani waran hukuman mati terhadap
seorang - pesalah tak menyesali terhadap perbuatan simpatinya dengan Al Qaeda - yang
telah cuba membunuhnya. "Saya fikir ini adalah soalan asas mengenai apa
bentuk masyarakat yang kita mahukan," kata Salih pada ketika itu.
"Saya tak percaya yang sesiapa atau pihak negara patut meragut nyawa
manusia." 16 tahun kemudian, tidak jelas sama ada seorang Presiden Iraq
boleh bertahan dengan pendirian ini. Sepanjang tempoh kemunculan ISIS, kesan selepas serangan pengganas,
kerajaan Iraq telah menjalankan hukuman mati secara besar-besaran demi meredakan
kemarahan orang awam. Saya tulis kepada Setiausaha Akhbar Salih, Lukman Faily
beberapa kali untuk menyoal sama ada Salih menandatangani arahan hukuman bunuh,
tapi tiada jawapan diberikan.
Arahan hukuman
bunuh dilakukan oleh Kementerian Keadilan. Pada 2009, Al Qaeda meletupkan satu
bom kereta di luar ibupejabat
kementerian berkenaan, membunuh 35 kakitangan. Empat tahun kemudian, pengganas
menyerang bangunan ibupejabat barunya. "Setiap kali kami menghebahkan hukuman
mati, kami akan diserang," imbas Juboori. Ekoran itu, kakitangan desak
mereka dipindahkan ke Zon Hijau atau tugas menghukum mati dirujuk kepada
jabatan lain. Tapi selepas beberapa hari membantah, mereka putus asa dan
kembali bekerja. "Kami perlu pendapatan untuk kehidupan seharian,"
kata Juboori. Hari ini, kementerian berkenaan kadang-kadang menyiarkan jumlah
individu dihukum mati, tapi tak mendedahkan nama-nama; dengan mengkaburkan
identiti-identiti, kata Juboori, kementerian boleh bersetuju dengan permintaan
orang awam yang mahukan hasil tindakan seiring meminimumkan kemungkinan
serangan-serangan balas.
Bagi kumpulan-kumpulan hak asasi manusia dan
pegawai-pegawai asing, ketidaktelusan adalah sumber kepada kekecewaan.
"Sering kami sedar mengenai hukum mati besar-besaran dengan membaca mengenainya
dalam Facebook Kementerian Keadilan," seorang diplomat dari Eropah yang
kebanyakan masa tiga tahunnya berada di Baghdad, beritahu saya. "Akan ada
notifikasi bahawa mereka sudah bunuh 42 pengganas. OK tapi siapa? Warganegara
mana?" Juboori menyangkal ini kes yang dimaksudkan; selepas seorang
pejuang dari negara asing dihukum mati, katanya, rakan sejawatannya letak mayat dalam bilik sejuk, lalu memberitahu kedutaan yang terbabit.
Sistem keadilan Iraq turut mendedahkan kesudian
demokrasi liberal Barat yang hanya secara diam-diam anggap ia suatu proses
tiada kelebihan strategik. Semasa pertempuran di Mosul, Perancis mengerahkan
tentera-tentera elit untuk untuk
menjejak dan membunuh warganegaranya sendiri. Kira-kira 5,000 warga Eropah
menyertai ISIS, dan kira-kira 1,000 atau lebih sudah pulang ke negara asal,
sangat sedikit didakwa dengan tuduhan jenayah, berasaskan hampir tiada
kemungkinan untuk mengumpul bukti di zon perang di negara asing mengikut tahap
yang diperlukan mahkamah.
Jumlah agensi risikan Eropah meningkat; untuk
melakukan pengawasan terhadap seorang sasaran memerlukan satu pasukan kira-kira 30
orang. Dan negara-negara yang telah menolak hukuman mati menggalakkan Iraq
menghapuskan jihadi daripada kalangan warganegara masing-masing. "Jika kerajaan Iraq kumpul dan bunuh
warganya dengan cara ini, kami boleh lebih bertegas dalam mengkritik," diplomat Eropah itu
berkata. "Tapi kami tiada idea apa hendak dilakukan kepada warganegara
kami. Tiada dasar mengenainya."
Bagi mereka yang didapati bersalah dalam pembabitan
keganasan, hentian sebelum dihukum gantung ialah dengan menyertai rancangan
televisyen Iraq, sebagai peserta-peserta dalam sebuah rancangan realiti
dipanggil "In the Grip of the Law."
Tahanan-tahanan menjelaskan depan kamera bagaimana mereka merancang dan
melakukan tindakan kejam, kadang-kadang dengan pergi melihat tempat jenayah
dilakukan. Mereka juga menolak keganasan dan bersetuju patut dihukum mati. Suatu
tengahari pada bulan September, hosnya, Ahmad Hassan menyambut kedatangan saya ke
studio di Al Iraqiya, bersalam dan ancam
untuk saman saya jika saya silap tulis apa yang dicakapnya. Dia imbas kembali
suatu kejadian apabila seorang wartawan asing memetik dia sebagai berkata
"jihadis" sedangkan dia sebenarnya kata "Kumpulan-kumpulan
Pengganas ISIS." Ini ekoran beberapa hari selepas rancangan itu diterbitkan, ahli
politi-ahli politik Iraq dan pegawai-pegawai keselamatan tanya dia kenapa dia
guna perkataan yang boleh dilihat seakan-akan neutral.
Thenoon Younnes Abdullah menyelusuri puing
batu-batan sekitar Bandar Lama di Mosul.
Di luat set, seorang pengarah sedang merangka episod
akan datang. Seorang lelaki dalam jumpsuit warna oren sedang terisak-isak
menangis di skrin. Pengarah itu mengaitkan cerita itu dengan video ISIS yang
memaparkan pembunuhan beramai-ramai. "Ini Mowafaq Ahmad Shihab — dia
berasal daripada keluarga ISIS kelas pertama," Hassan beritahu saya. "Kebanyakan
anak-anak lelakinya bekerja dengan kumpulan-kumpulan pengganas ISIS."
Dalam video pendek ISIS, seorang lelaki menghala muncung pistol ke arah kepala
seorang tawanan yang sedang melutut. "Anak lelakinya sekarang akan melakukan hukuman bunuh beberapa
tahanan," kata Hassan, sewaktu video sedang ditayang. Dan apa yang
Mowafaq mengaku dalam penyiasatan ialah dia membantu anak lelakinya membunuh
warganegara Iraq yang tak bersalah.
Hassan tunjuk suatu bentuk dalam kerumunan orang.
"Mowafaq berada di belakang," katanya. Di mata saya, secara praktikal
tiada persamaan: lelaki dalam video ISIS kepalanya lebat dengan rambut putih,
manakala Mowafaq sebenar adalah hampir botak keseluruhannya, dan rambut yang dia ada pun
berwarna hitam kecuali sedikit kelabu pada janggut. Selepas pertunjukan tamat,
dua minggu kemudiannya, klip video itu telah dikaburkan bagi mengelak dilihat
berbeza. Tapi masih tak konsisten antara episod dan trailer: anak panah-anak panah yang dituju ke Mowafaq di hala ke
dua lelaki berlainan.
Menurut Hassan, rancangan yang ke udara setiap petang
Jumaat ditonton berjuta-juta orang. "In
the Grip of the Law" bergantung kepada kerjasama badan-badan
risikan-keselamatan dan perundangan, serta sanjungan orang awam terhadapnya. "Ini satu-satu rancangan yang
meningkatkan kepercayaan orang awam terhadap pasukan keselamatan dan jabatan
kehakiman," Mujahid Aboalhail,
Pengarah Al Araqiya beritahu saya. "Ia sampaikan mesej ke seluruh
dunia yang nasib pengganas-pengganas berada dalam genggaman
undang-undang!"
Hassan berjalan ke set di mana dia rakam kata-kata
pendahuluan. Dia tanggal jaketnya lalu duduk di sebelah belakang meja besar
kayu - kosong melainkan satu lampu. Di
belakangnya peta Baghdad, dihiasi dengan imej-imej laporan-laporan polis dan
gambar-gambar wajah tertuduh. Dia pakai baju putih dengan jalur halus biru
muda, tali leher merah gelap dan jam saiz terlebih besar; rambut hitamnya
disikat ke belakang, bersinar di bawah sinaran lampu-lampu pentas. Hassan letak
siku-sikunya ke atas meja dan bermasam muka - karikatur seorang detektif
televisyen. Ada rak buku dipenuhi jilid untuk diisi dengan bahan bukti tapi ia kosong.
"Tanya saya apa yang awak nak tahu," kata
Hassan. Saya mulakan dengan soalan berbentuk biografi. Dia mengabaikannya,
merungkai kod kunci telefonnya lalu mula membaca kuat kenyataan yang telah
disediakan, kadang kala berhenti di tengah-tengah ayat untuk mengambil nafas.
"Idea program ini saya perolehi berikutan Iraq menghadapi banyak serangan
pengganas, tumpah darah disebabkan perlakuan kejam," dia baca.
"Program ini bukan sekadar mewawancara. Ia juga siarkan CCTV,
senjata-senjata, bom-bom kereta, bahan-bahan letupan - bukti sebenar. Ini
membantu untuk menekan kumpulan-kumpulan pengganas. Ia juga membantu bagi
menyedarkan pasukan keselamatan mengenai bagaimana kumpulan-kumpulan pengganas
bergerak. Ia juga beri keinsafan terhadap orang awam mengenai taktik-taktik
pengganas dan bantu orang awam supaya peroleh keyakinan terhadap pihak keselamatan-risikan."
Dia henti sekejap. "Awak nak saya cerita bagaimana saya dapatkan
banduan-banduan?"
"Ia ada dalam kenyataan inikah?" Saya tanya.
"Saya telah tulis satu set balasan terhadap
soalan-soalan yang saya jangka awak akan tanya."
Hassan bertegas bahawa dia sekadar tawar
banduan-banduan “satu peluang untuk bertaubat," dan mereka sedia
menerimanya kerana mereka “berasa kesal.” Tapi isi dan nada pengakuan mereka menimbulkan
banyak persoalan. Dalam suatu episod, seorang banduan berjalan lurus di jalan
yang telah dikosongkan di Mosul, digari dan ditutup mata, dan dipaksa melutut
di hadapan barisan anggota-anggota pasukan keselamatan. Kain tutup matanya
dibuka; mereka di depannya semua memegang senjata-senjata automatik. Ia
kelihatan seperti perlaksanaan hukuman mati di jalanan - pengarah guna kaedah
skrin terpisah untuk menunjukkan video
ISIS - dan Hassan menyoal dia. Tak jelas sama ada Mowafaq, yang kini sudah pun
dihukum mati, mempunyai pendirian yang berlainan.
Pada
10 Julai 2017, seorang perempuan 25 tahun dari Shirqat, dikenali sebagai Umm
Saleh, tiba di sebuah kem untuk warga Iraq yang diasingkan, dekat tapi di luar Qayyarah.
Dia telah melalui minggu sebelumnya berlari-lari di celah bangunan-bangunan di Bandar
Lama Mosul, di mana serangan udara terhadap sebuah sekolah telah membunuh
bapanya, semua saudara-saudara lelakinya dan seorang daripada saudara-saudara
perempuannya. Suami Umm Saleh terselamat
dalam letupan tapi dalam kekalutan pasangan ini terpisah lalu dia meninggalkan Mosul
bersama tiga anak, yang paling kecil dalam dukungannya. Anggota-anggota
keselamatan Iraq merompak dan mengganggu Umm Saleh di setiap sekatan
keselamatan. Ramai mereka melindungi muka dengan dengan balaclavas - topi berbulu yang menutup kepala dan leher - serta
topeng, dan ada kain tampung gambar tengkorak pada seragam mereka, diketahui
ramai dipakai juga oleh The Punisher,
iaitu watak antihero dalam komik Marvel yang kerjanya menculik, mengugut dan membunuh
dalam menggapai keadilan mengikut fahaman songsangnya; gambar tengkorak adalah
yang paling akhir dilihat oleh mangsa-mangsanya sebelum mereka meninggal dunia.
"Jika tentera Amerika Syarikat tak berada di belakang kami, kami akan
bakar awak," seorang askar beritahu Umm Saleh. Dia meninggalkan Mosul dengan
membawa sedikit duit dan emas tapi tiba Qayyarah tanpa sesen pun.
Umm Saleh berharap untuk bersatu kembali di sana
dengan suaminya. Dia tak menyertai ISIS tapi saudara lelakinya telah dikerah sebagai
pejuang. Dek kerana dia tak kecam atau memutuskan hubungan dengan saudara lelakinya itu, dalam
perjalanan ke kem tahanan pengasingan, dia telah ditahan sewaktu ditapis
keselamatan dalam barisan, dan dibawa pergi.
Satu hari, seorang anggota keselamatan Iraq melawat
kem, berjanji untuk menyelesaikan kes orang kena tahan dengan bayaran 1,000
dollar. Emak Umm Saleh dan seorang saudara perempuannya jual emas untuk
membayar rasuah, dan Umm Saleh beri nama suaminya. Askar ambil duit dan tak
kembali lagi.
Di kem, Umm Saleh diletak di sektor yang dipenuhi
janda-janda Islamic State yang juga
membesar di Shirqat. Kerana suaminya dikenali secara silap sebagai pejuang
ISIS, dia kini dianggap pentadbiran kem dan pengawal-pengawal sebagai ketua
perempuan dalam sebuah keluarga ISIS. Anak-anaknya membesar tanpa bapa dan
terasing daripada masyarakat, tak boleh ke sekolah Iraq. "Orang lihat kami
berlainan," seorang perempuan lain dalam sektor yang sama beritahu saya.
"Malah budak-budak kecil dalam kem tunjuk anak-anak saya dan kata, ISIS!
ISIS!" Kerajaan enggan mengesah atau mengganti sijil lahir bayi lelaki Umm
Salleh kerana ia dikeluarkan oleh Islamic State; seperti mana puluhan ribu
kanak-kanak Iraq lain, negaranya sendiri menjadikannya warga tanpa negara. Kem
ini sekarang sebenarnya menjadi penjara kepada Umm Salleh; pihak keselamatan
Iraq curi kad pengenalannya di suatu sekatan keselamatan, dan tanpa dokumen ini
dia tak boleh keluar dari kem tahanan orang yang diasingkan ini.
Banyak bangunan di Bandar Lama terus
didiami sejak abad ke-7 sehingga minggu kedua Julai 2017.
Waktu malam, Umm Saleh dan lain-lain perempuan dalam
sektor cuba elak guna tandas kem, yang tak berlampu, bagi mengurangkan
kebarangkalian diperkosa oleh pengawal-pengawal. Anggota-anggota kumpulan bersenjata secara rutin masuk kem untuk ganggu mereka, rompak
mereka, serang mereka, atau bakar khemah mereka. Suatu malam, tiga pejuang
Hashd perkosa seorang perempuan muda bernama Amani sewaktu dia sedang membasuh
dalam khemah. "Seorang daripadanya memiliki kedai yang saya pernah masuk
sewaktu di Shirqat," dia beritahu saya. "Seorang lagi jiran saya."
Sewaktu diserang, mereka maki dia dengan alasan dia bergabung dengan ISIS.
Amani dibuang sewaktu lahir, membesar di rumah
kebajikan, dan berkahwin ketika berusia 14 tahun. Dua tahun kemudian, ISIS
muncul di Shirqat. Suaminya menyertainya lalu memaksa Amani pindah bersamanya
ke Mosul. Dia amat berdukacita, dia benci tutup muka di khalayak ramai. Dia
mengandung, dan sejurus selepas itu suaminya pergi berjuang di Pergunungan
Makhoul, di mana dia bertemu dan berkahwin dengan seorang perempuan lain. Beberapa
bulan kemudiannya, dia dan isteri barunya menuju Syria, lalu menceraikan Amani
melalui panggilan telefon. Dia padam nombor suaminya dan melarikan diri dari
wilayah ISIS. Apabila dia tiba di Qayyarah, dia cuba bercerai mengikut undang-undang, tapi tak berjaya kerana dokumen peribadinya sudah tamat tempoh
manakala suaminya tiada bersama. Kerajaan Iraq enggan memberinya dokumen
peribadi baru kerana dianggap sebagai isteri seorang ISIS. Tanpa dokumen, dia
tiada kebebasan untuk bergerak, dan dia dihalang memperolehi sebarang khidmat
kerajaan untuk orang awam. Dia hendak pulang ke Shirqat tapi gusar, jika dia
berjaya keluar kem tahanan orang yang diasingkan itu pun, dia mungkin ditahan atau
dibunuh oleh pejuang-pejuang Hashd atau oleh bekas jirannya. "Saya tak
pernah rasa gembira sepanjang hidup saya," kata Amani, air matanya
berlinangan jatuh ke pipinya.
Dalam sektor lain, seorang lelaki lesu, usia 82 tahun,
Hellou Hamad, juga dari Shirqat, terbaring atas tilam kotor, tak mampu bangun. Dia
telah dihantar ke kem ini lebih setahun lalu kerana tiga anak lelakinya
menyertai Islamic State. "Saya
cuba halang mereka, tapi mereka kelihatan bosan, tiada teman wanita dan tanpa
pekerjaan," dia beritahu saya. Khemah-khemah di sekeliling khemahnya dipenuhi
saudara-saudara perempuannya dan anak-anak mereka. Ramai kanak-kanak
terkencing-kencing pada waktu malam berikutan trauma perang; di kalangan
perempuan, kadar bunuh diri tinggi. "Rumah kami dibakar - kami ditolak
oleh masyarakat," Hamad beritahu saya. "Saya satu-satunya lelaki di
blok ini. Semua yang lain berada dalam
penjara atau sudah meninggal dunia."
Terdapat
lapan kem di gurun dekat Qayyarah, menempatkan kira-kira 150,000 penghuni.
Sewaktu perang sebelum ini, kebanyakan penghuninya ialah mereka yang
disingkirkan Islamic State. Tapi kini
pecahan keluarga yang mempunyai hubungan dengan ISIS kian meningkat berikutan
mereka yang tidak bergabung dengan kumpulan berkenaan sudah kembali ke
perkampungan masing-masing. Fasiliti
paling besar ialah kem di sebuah lapangan terbang kecil yang saya lawat akhir
Ogos lalu; sewaktu lawatan saya itu, lebih 1,1oo lelaki yang disyaki bergabung
dengan ISIS, perempuan-perempuan dan kanak-kanak tiba di Qayyarah dari sebuah
kem di timur Syria. Perjalanan mereka dua hari, dan kerajaan Iraq telah membawa
mereka dari sempadan dengan truck terbuka, dalam suhu 115 darjah Fahrenheit,
tanpa makanan atau minuman. Sekurang-kurangnya seorang terkorban.
Di pintu masuk kem di lapangan terbang kecil, di jalan
panjang tak berturap, beberapa lelaki memegang machine guns, berdiri dibayangi pondok cinder-block berdekatan satu
bendera buruk Iraq. Di dalamnya adalah khemah-khemah yang disalut debu - kanvas
biru yang mulai bertukar cokelat tua,
ditegakkan atas bumi dengan tali dan guni-guni pasir yang diselaput
lumpur. Wayar menjemur kain dan
palung-palung hijau bagi mengalirkan air kumbahan memisahkan khemah-khemah, dan
pagar khemah yang diperbuat daripada razor-wire
memerangkap beg-beg pelastik, mengeluarkan bunyi bising apabila dipuput bayu.
Kanak-kanak mengheret kereta kuda dan kereta sorong yang dipenuhi jag-jag air
dan guni-guni bijirin. Di kaki langit,
sebiji belon pengawal terapung di udara di atas pangkalan udara
Qayyarah, tentera Amerika Syarikat merancang kempen peperangan di Mosul di
situ.
Satu daripada hari-hari saya melawat kem berkenaan tanpa diduga sama dengan
lawatan ketua bagi pertubuhan bukan kerajaan yakni NGO antarabangsa yang utama. "Ini semua dirancang seperti concentration camp,” katanya dengan
mengisyaratkan kepada pagar. “Semua wayar berduri, pemisahan tahanan mengikut sektor-sektor. Tiada
kawasan untuk bersosial. Tiada ruang bagi kanak-kanak bermain. Tiada tempat
untuk tahanan-tahanan berkumpul. Hanya ada satu pintu bagi laluan masuk dan keluar. Dan,
awak sudah tengok lelaki-lelaki di pintu masuk? Kebanyakan mereka daripada
kumpulan militan."
Di seluruh Wilayah Nineveh, pihak pertadbir dan pekerja-pekerja kem secara rutin menghalang keluarga-keluarga yang ada kaitan dengan ISIS daripada
memperolehi kemudahan makanan, air bersih dan khidmat perubatan. Pengarah NGO
bagi peringkat negara itu memberitahu saya yang dia telah melalui perjalanan
lebih 200 batu dari Baghdad, "untuk memastikan kakitangan Iraq tidak
terjebak dengan sikap membalas dendam." Tambahnya, "Mereka kata,
sekumpulan orang ini bunuh keluarga saya, dan sekarang saya perlu bantu mereka
pula?" Di sesetengah kem, pekerja-pekerja bantuan kemanusiaan tawarkan
bantuan dengan habuan seks. Ramai perempuan mengandung disebabkan diperkosa
anggota-anggota keselamatan atau
melakukan seks untuk mengelak mereka dan anak-anak kelaparan. Walaupun persengketaan sudah tamat,
"kem-kem ini dikekalkan," kata pengarah NGO peringkat negara itu. "Jika
awak berumur 12 tahun sekarang, dan awak tak ada makanan, tiada bantuan, dan
emak awak perlu jadi pelacur untuk teruskan hidup, dan seluruh masyarakat Iraq
menyalahkan awak kerana awak rapat dengan ISIS - dalam dua, tiga, empat tahun,
apa yang awak akan buat? Jelas. Benih-benih konflik pada masa depan berada di
sini."
Di halaman bangunan polis di Mosul Barat, saya tanya
seorang kolonel bernama Mezhar Sedoon sama ada dia fikir yang kem-kem ini
mencipta lebih banyak masalah keselamatan berbanding menyelesaikannya.
"Beberapa emak dalam kem melahirkan anak-anak ISIS, tapi yang lain menjadi
pelacur," katanya. Dia ketawa. "Money-money,
fucky-fucky!" dia bercakap dalam Bahasa Inggeris. "Saya lebih
rela mereka menjadi pelacur-pelacur daripada melahirkan
pengganas-pengganas!"
Beberapa perempuan cuba menggugurkan kandungan di dalam
khemah-khemah. Yang lain melahirkan, lalu buang bayi ke bahagian kem yang tak
ramai tahanan. Yang ditemui hidup kebanyakannya berakhir dengan dijaga Sukaina
Mohammad Ali Younnis, seorang pegawai kerajaan Iraq yang menyelia isu-isu
membabitkan perempuan-perempuan dan kanak-kanak di Mosul. Sambil minum teh di Erbil,
ibu negeri Kurdistan di bahagian Iraq, dia menunjukkan beratus-ratus gambar
kanak-kanak yang dia temui di kem-kem, di jalanan dan mati di dalam tong
sampah. Awal tahun ini, dia melihat seseorang melontar bungkusan keluar dari
kereta, dan mendapati ia adalah seorang bayi lelaki. Dia tunjuk kepada saya video
dia pangku bayi itu di bahagian belakang ambulans, darah berbuih-buih keluar
dari hidungnya. Dia meninggal dunia semasa dalam perjalanan ke hospital.
Di luar kem-kem, ribuan kanak-kanak lain telah
ditinggalkan atau menjadi yatim kerana perang. Ramai yang dilahirkan oleh
perempuan-perempuan Yazidi yang telah diculik ISIS dan dipaksa menjadi mangsa seks.
"Selepas ISIS pergi, puak Yazidis menerima perempuan-perempuan itu kembali ke
dalam masyarakat. Tapi tidak bayi-bayi separuh keturunan ISIS," kata Younnis. "Mereka paksa
perempuan-perempuan berkenaan serah anak-anak ke rumah kebajikan. Setiap hari,
perempuan-perempuan ini telefon saya, hendak tahu bagaimana perkembangan
anak-anak mereka."
Beratus-ratus kanak-kanak kecil tinggal dalam
penjara-penjara Iraq. Mereka yang ibu bapanya pejuang asing sering di bawa ke
mahkamah tatkala emak-emak mereka dihukum mati. Kanak-kanak Iraq yang dilatih
ISIS menjadi pejuang serta bakal penyerang bunuh diri, dipenjarakan, bagaikan
cara hidup mereka terbabit tak boleh diperbetulkan. "Mereka tak bermakna
untuk disoal siasat - mereka asyik menangis sahaja," kata pegawai kanan
risikan Iraq itu. "Kami menahan kanak-kanak paling muda berusia 12 tahun
bersama-sama pejuang-pejuang jihadi tegar di dalam penjara."
Beribu-ribu kanak-kanak di Mosul tinggal di jalanan,
mencari bahan terbuang dalam timbunan sampah-sarap untuk dijual. "Setelah ibu bapa
mereka dibunuh atau dipenjarakan, saudara mara mereka enggan ambil
mereka," kata Younnis. "Mereka dilihat sebagai tercemar meskipun
mereka terlalu muda untuk menyerap ideologi." Ramai berkumpul di laluan
penuh kenderaan atau dekat sekatan jalan raya yang menyesakkan nafas akibat habuk dan bau
diesel, cuba mencuci cermin depan kereta atau jual air dan kertas tisu kepada
pemandu yang melalui kawasan berkenaan. "Mereka akan lakukan apa sahaja
demi 50 dollar," katanya lagi. "Saya menemui ramai pegawai-pegawai
kerajaan untuk minta cari jalan bagi menolong kanak-kanak ini, tapi semua
kata, ini bukan tanggungjawab saya."
"Kem-kem ini adalah bom masa,” sambung Younnis. “Bapa-bapa
di dalam penjara atau sudah meninggal dunia. Emak-emak diperkosa. Mereka akan
membesarkan anak-anak dalam keadaan sebegini teruk, dan anak-anak lelaki akan
balas dendam. Ini bukan sekadar memberi kesan kepada Mosul, atau Nineveh, atau Iraq. Ini akan memberi kesan kepada seluruh
dunia.”
Suatu
pagi di Mosul, saya diberitahu bahawa seorang penyokong kuat ISIS, Umm Hamad, hendak
bercakap dengan saya di pasar dekat kejiranan Saddam. Semua tiga anak lelakinya
komander ISIS dan sudah meninggal dunia
tapi dia berjaya elak dihantar ke kem tahanan. Perterjemah saya dan saya berada
di kereta yang diparkir hampir gerai sayur, 50 kaki dari sekatan tentera Iraq.
Ada sekatan jalan raya beberapa ratus kaki di belakang kami, dan tiada laluan
untuk ke jalan bersebelahan. Buat seketika, saya berfikir sama ada ia suatu
perangkap. Kemudian dua perempuan menghampiri kereta, buka pintu belakang,
lantas masuk.
"Saya masih berbangga dengan apa yang mereka
lakukan," kata Umm Hamad mengenai anak-anaknya. Dia tak fikir mereka kalah
- hanya dengan membuktikan bahawa kumpulan jihad pernah menguasai sebahagian wilayah dan juga memerintah. Sejak
tewas di Mosul, ISIS telah membuat sekatan di jalan raya dan menculik serta
melakukan pembunuhan di beberapa wilayah. Pemimpin-pemimpinnya dikatakan
menanam sejumlah besar kuantiti senjata dan duit dalam terowong-terowong dan
timbunan-timbunan tanah, akan digali pada tahun-tahun mendatang. Mengikut
Pentagon, ISIS "lebih mampu" sekarang berbanding ketika era kemuncak
Al Qaeda di Iraq pada 2007, dan masih ada kira-kira 30,000 pejuang beroperasi
di Syria dan Iraq. Dengan menonjolkan kem-kem tahanan, Umm Hamad beritahu saya
yang dia harap Islamic State kembali
ke Mosul. “Bukan masa terdekat, tapi lebih gagah berbanding sebelumnya,”
katanya.
Perempuan seorang lagi ialah anak saudara Umm Hamad. Dia dalam usia 20-an, dan bercakap dengan nada
perlahan dan sayu mengenai masa lalu. “Semua ahli keluarga saya meraikan Islamic State, melainkan seorang adik
bongsu lelaki saya,” katanya. "Dia benci mereka." Sepanjang
penguasaan ISIS, dia dan saudara-saudara lelaki lain cuba menjelaskan mengenai
kebaikan-kebaikan sistem khalifah, tapi
tak bermakna. Kemudiannya dia ditangkap
oleh pihak keselamatan Iraq kerana dicurigai bergabung dengan ISIS. Dia berusia
12 tahun. Perempuan itu tiada idea di mana adiknya itu sekarang atau jika masih hidup bila dia
akan keluar penjara - apa yang dia tahu
ialah jika pihak kerajaan tak bunuh adiknya, menjelang pembebasannya kelak
tindakan kerajaan menangkap adiknya itu bakal mengajar adiknya bahawa apa yang
dikatakan kakaknya itu adalah benar ♦
NOTA: Saya minat membaca
rencana seperti di atas kerana wartawannya menulis dengan maklumat diperoleh
secara berdepan dan peribadi. Di Malaysia,
pada saya, hanya ada beberapa wartawan yang menulis sebegini. Seorang
daripadanya kini menulis di The Star, Joceline Tan - saya mula kenal namanya sejak di
NSTP pada awal 90-an - namun dia hanya
menulis isu politik kepartian dalam negara. Bagi rencana di atas, untuk
memudahkan terjemahan serta elak kesilapan; ejaan nama orang, tempat dan
seumpamanya saya masih ikut gaya Bahasa Inggeris. Mungkin sebahagiannya tak
tepat dengan nahu Bahasa Arab atau istilah berkenaan tak begitu sesuai mengikut
pandangan Islam, malah ulasan penulisnya mungkin bias atau lebih
menyebelahi Amerika Syarikat dan sekutunya, dan kerana ini anda perlu cermat ketika
membaca rencana ini atau sebarang tulisan lain yang dihidang media Barat - terutama
yang berpangkalan di Amerika Syarikat dan Eropah - yang sebahagian besar
dipelopori usahawan Yahudi. Rencana jodol asal, "Iraq's Post-ISIS Campaign of Revenge" yang memaparkan politik peperangan Timur Tengah - khususnya Iraq - ini sebenarnya turut disiar
dalam edisi cetak 24 & 31 Disember 2018 dengan ditukar tajuknya kepada, “Shallow
Graves” yang bermaksud secara harfiah, "Kubur-kubur Cetek." Untuk
pengetahuan anda, Presiden Donald Trump isytihar pada 23 Disember 2018 bahawa kira-kira
2,000 anggota tenteranya di Syria akan dibawa pulang ke Amerika Syarikat dalam
tempoh terdekat dan strategi yang sama bakal dituruti Afghanistan. Tindakan negara Uncle Sam
ini - jika diizinkan Allah - bakal membuatkan "perang saudara" dalam negara-negara
Arab tertentu yang kini agak dingin,
kembali panas menggelegak. Ben Taub menyertai
The New Yorker sebagai staff
writer pada 2017.
Comments
Post a Comment