Saya dan politik
PRU-15 saya dan isteri mengundi di Dun
Trong dan Parlimen Bukit Gantang. Sebelum pulang berdua ke kampung saya, isteri
saya hantar dua anak kami pi mengundi kat Sekolah Menengah Kebangsaan Tun
Hussein Onn, Seberang Jaya sekitar jam 8 pagi. Sejam kemudian depa balik. Tak
ramai orang, kata isteri saya. Lain macam! Ada boikot lagi macam PRU dulu? Saya
difahamkan lebih 5,000 mengundi di situ. 11:30 am kami bertolak dan kenderaan-kenderaan
di lebuh raya agak sesak khususnya berdekatan Tol Juru malah berhampiran laluan
keluar tol-tol berikutnya. Isteri saya kata, mereka ambil kesempatan tol
percuma untuk berjalan-jalan.
Sampai 1:40 pm, saya bertembung abang saya dan rakan saya, seorang ustaz
lulusan al-Azhar di lorong tepi masjid. Mereka baru selesai solat Zuhur
rasanya. Ustaz yang lebih kurang usia saya berkenaan kelihatan bertongkat! Isteri
saya jengok melalui tingkap kereta minta kunci rumah kampung saya daripada abang saya kerana dia terlupa
bawa yang kami punya. Katanya, letak dalam beg tangan lain. Saya angkat tangan saja kepada
ustaz berkenaan kerana hendak cepat, takut hujan. Saya parkir kereta di tepi
rumah kampung saya dan solat dahulu sebelum ke pusat mengundi di Sekolah Rendah
Kebangsaan Batu Hampar. Kami berdua berjalan beriringan ke sana dan saya
menyapa seorang lelaki bermotosikal – saya tahu dia Umno – yang melalui laluan
sama. Beliau adik ipar rakan bermain gitar saya semasa remaja, Jefri Borhan.
Jefri yang kini tinggal di Pulau Pangkor juga boleh “menjala” roti
canai. “Ko buat roti canai, Man. 5 kilo tepung boleh dapat jualan lebih 50 ringgit. Dah boleh untung,” katanya
sewaktu saya menemuinya pada suatu hari raya beberapa tahun lalu. Sekarang harga barang mentah dah naik, jadi harga roti canai dan kadar keuntungan pasti turut naik! Orang berniaga suka menangguk di air keruh, kan? “Ya, bagus cadangan
ko, Pri,” kata saya dalam loghat Perak kampung saya lalu saya minta resepinya
yang menggunakan air soda, Seven Up. Tapi, semasa saya sekali-sekala buat roti
canai kat rumah saya, saya tak menggunakan air botol ni kerana bagi saya ia tak
begitu melembutkan tapi merangupkan roti canai sahaja! Namun, saya tetap
berterima kasih di atas kesudian Jefri memberi resepi caranya itu. Selain
bercakap loghat Perak, saya, Jefri dan lain-lain yang mak bapak tulen Perak turut
boleh mengajuk cara cakap orang-orang Kedah dan Pulau Pinang yang ramai tinggal
di kampung kami. Cuma Banjar yang susah nak diajuk sehingga kawan-kawan Banjar
ni terpaksa pula bercakap ala Perak atau kedua-dua loghat utara berkenaan walaupun
agak pelik bunyinya!
Selepas tiba tepi jalan raya dan berjalan melepasi sebuah rumah di situ,
beberapa petugas PAS mengangkat tangan kepada kami termasuk beberapa muslimat.
Saya dan isteri sekadar melambai tangan dan terus berjalan nak cepat kerana
kampung saya ni sering sangat hujan! Sewaktu nak masuk pagar sekolah, Imam
Ramli datang bersalam dengan saya dan cakap pangkah nombor 1. Saya cakap,
insya-ALLAH dan segera jalan mendaki laluan berbukit. Hanya ada tiga empat
orang beratur depan saya dan isteri saya di saluran 2. Datang seorang kakak
bertongkat dipimpin seorang perempuan lain lalu saya suruh mereka berdiri depan
saya di belakang seorang perempuan Cina berbaju T dan berseluar panjang.
Perempuan terbabit saya tahu Cina kerana dia tengok skrin henfon bertulisan
Cina walau diam. Entah-entah kalau dia bersuara lidah Perak dia lebih tebal
daripada saya! HeHeHe. Tiga anggota keselamatan, pakaian macam polis, kemudiannya
segera datang membantu meletakkan kakak yang bertongkat tu ke atas kerusi roda.
Lalu mengarah perempuan yang memimpinnya tolak terus ke dalam bilik darjah.
Tiba-tiba, muncul sekumpulan lelaki datang beratur dekat saya – rakan
sekolah rendah bernama Cop Pak Lang Nan, Shahrul anak sedara Cop yang suka
memancing kat Jambatan Pulau Pinang dan entah bila dia sampai dari Pulau Pinang,
Hamdi anak sedara saya dan lain-lain lalu kami bersalaman dan saya bisik kat
Cop: “Ada peluang. Kat Penang dah lain macam,” kata saya. Sebelum ni, sewaktu
kerajaan Pakatan Harapan (PH) jatuh, saya ada cakap mengenai suatu isu yang
bertentangan dengan pandangan pimpinan PAS tapi Cop yang sering memperolehi kontrak
daripada TNB tentu faham saya bukan bermaksud sampai ke tahap memperlekeh atau
nak berpatah arang dengan PAS.
Dengan henfon saya dan henfon isteri saya saya letak dalam kocek seluar,
saya masuk bilik darjah, cek lis nama dan mykad, celup jari telunjuk kiri ke
dalam botol dakwat dan disuruh tekan lebih dalam, ambil 2 kertas undi lantas saya
berjalan ke satu daripada dua tempat memangkah. Seorang petugas parti yang
duduk kat kerusi bermeja, saya tahu dia ni Umno tapi mesra semua pihak tapi tak
tahu la kalau beliau dah beralih arah pulak, menyapa saya dengan kuat –
biasalah orang kampung mana kira peraturan sangat. “Ustaz Man,” katanya. Nak
panggil ustaz panggillah sedangkan saya ni mengaji al-Quran pun
tersangkut-sangkut. Saya sekadar senyum ja sambil angkat tangan sikit lalu ke
tempat pangkah. Mata saya agak kabur sekarang ni, tapi saya dapati ada 4 kotak
di kedua-dua kertas tu. Setelah habis pangkah, saya menuju ke peti undi tapi
terbuka salah satu kertas undi sebelum saya masukkan ke dalam peti lutsinar.
“Hei! Hei! Jangan tunjuk,” kata lelaki tu lagi sementara seorang petugas parti
lain yang saya tak kenal - lelaki juga - diam sahaja. Mana pergi dua petugas
lain – ada 4 nama iaitu PAS dan Bersatu mewakili PN, 2 Umno mewakili Barisan
Nasional (BN), 2 PKR mewakili PH dan 2 Pejuang! Something wrong somewhere, fikir saya. Saya kemudiannya bertanya
kepada seorang perempuan India yang berdiri dekat peti-peti undi berkenaan.
Yang mana satu saya nak letak kertas undi kerana saya color blind!
Masa turun jalan berbukit untuk pulang ke rumah kampung saya, saya bertembung
rakan sedarjah sekolah saya dulu, Husin yang kelihatan terengkat-rengkat
berjalan berpelukan dengan seorang lelaki berkacamata hitam. Saya ingatkan dia
sakit tetapi Husin sebenarnya sedang memimpin seorang lelaki cacat penglihatan
yang turut bersalam dengan saya. Kami tak bercakap banyak lalu saya meneruskan
perjalanan. Saya tak jadi singgah “Rumah PAS” yang saya lalu tadi walaupun
seorang anak sepupu saya, Hamdi yang beratur untuk mengundi tadi tu tanya saya
dah makan nasik ka, paksu? semasa saya turut temuinya naik motosikal waktu saya
dan isteri saya dalam perjalanan ke sekolah rendah. Saya kata, belum. “Satgi pi
rumah tepi tu ada jamu nasik,” katanya. Saya jalan ja tak masuk laman rumah tu masa
pulang sebab tak ada yang ajak, cuma perati saya dan isteri saya ja, jadi saya
rasa segan (malu) la pulak. Mereka diam mungkin juga kerana terasa hati kerana
saya tak singgah cek nama ka apa benda selain makan nasik sebelum masuk kawasan
sekolah tadi. Takpa la lain kali paksu mai makan. Paksu sayang hampa walau tak
berapa nak ingat dah nama masin-masin!
2
Saya mula kenal politik pilihan raya
sewaktu kecil, masih di sekolah rendah pada 1974, kerana saya pernah tengok
poster kecil gambar matahari, Parti Keadilan Masyarakat Malaysia (Pekemas) selain
dacing yang disebarkan di serata pelusuk kampung saya menjelang PRU-4. Ia
ditempek kat pokok kelapa dan pokok-pokok lain atau dinding rumah dengan gam
tepung ubikayu. Lagu Mari Mengundi nyanyian Jamaluddin Alias pula berkumandang dari radio jenama Singer
di rumah kecil saya yang terletak terkepit di antara bendang padi dan sebatang sungai
sempit. Selain kedua-dua ni, saya masih ingat arwah emak saya kata beliau balik naik kereta dihantar entah petugas parti mana dengan diberi dua bungkus kecil kertas akhbar berisi serbuk kopi dan gula. Kebiasaannya, gula dan serbuk kopi ni diletak dalam dua gelas kaca yang setiap satu dibungkus dengan sapu tangan baru lalu "disedekah" kepada orang-orang dewasa yang duduk atas tikar mengkuang baca talkin. Budak-budak zaman 1970-an "seronok juga" bila ada orang meninggal dunia kerana akan "disedekah" sekupang dua jika turut beratib di tepi kubur. Zaman sekarang tak ada dah amalan ini! Pekemas ditubuh pada 1971 tapi dibubarkan pada 1979. Ia adalah parti
serpihan Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) yang menyertai Barisan
Nasional (BN). Pekemas ditubuhkan oleh Tan Chee Khoon dan Syed Hussien Al-Atas.
Pagi 20 November 2022, saya terpanggil untuk meneliti mengenai kenapa
parti-parti politik di Malaysia sehingga ini masih perlu bergabung jika ingin
mudah menerajui kerajaan. Sebelum ni, beberapa tahun lalu, seorang ustaz PAS
dari Perak pernah saya persoal dalam Facebook macam mana PAS nak menang tanpa
sokongan parti-parti dokongan bukan Islam atau kaum bukan Melayu jika PAS solo?
Beliau jump to the conclusion dengan
berkata anta kena hadir tamrin. Beliau mungkin ingat saya ahli PAS sedangkan
saya bukan ahli tapi dah jadi penyokong PAS sejak beliau belum lahir lagi.
Beliau juga mungkin rasa saya tak faham berkenaan kaedah berpolitik PAS kerana
beliau tak tahu saya pernah bekerja di sebuah syarikat penerbitan berkaitan
parti yang diperjuangkannya ini. Tak mengapalah! Beliau tak tahu ada pemimpin
PAS yang lebih tinggi daripada beliau pun sudi dengar pandangan saya, malah ada
yang baca teks tulisan saya secara verbatim ketika berceramah!
Sebenarnya, banyak parti politik sudah
ditubuhkan khususnya sejak era 1940-an bagi berjuang demi menuntut kemerdekaan
negara ini daripada penjajah British. Sebagai contoh Pertubuhan Kebangsaan
Melayu Bersatu (UMNO) ditubuhkan pada Mei 1946. Dalam pada itu, kaum lain juga
berpendapat sedemikian lalu Pertubuhan Cina Tanah Melayu (MCA) yang ditubuhkan
pada Februari 1949 bertindak bergabung dengan UMNO. Gabungan ini teruji buat
kali pertama pada tahun 1952 ketika Pilihanraya Majlis Bandaraya Kuala Lumpur yang
menyaksikan Parti Perikatan ini mencapai kemenangan.
Konsep penggabungan yang menghasilkan
kejayaan ini menarik Kongres India Tanah Melayu (MIC) yang ditubuhkan pada Ogos
1946 untuk memasuki Parti Perikatan ini. Parti Perikatan ini kemudiannya
bertanding dalam Pilihanraya Umum Pertama pada 27 Julai 1955 dan memenangi 51
kerusi daripada 52 kerusi yang dipertandingkan lalu tertubuhlah kerajaan di
bawah pimpinan Tunku Abdul Rahman sebagai PM pertama. Pada 30 Oktober
1957, Parti Perikatan yang dianggotai UMNO, MCA dan MIC dengan rasminya
didaftarkan sebagai sebuah pertubuhan politik seterusnya berada dalam arus perdana setelah Tanah Melayu merdeka daripada cengkaman penjajah British.
Namun begitu, sejarah turut menyaksikan
beberapa parti lain turut tumbuh seiring memperjuangkan kemerdekaan negara ini.
Contoh utama ialah Hizbul Muslimin pimpinan Ustaz Abu Bakar al-Baqir. Ustaz Abu Bakar malah pernah dilantik menjadi
ahli Dewan Negara Perak oleh Sultan Perak. Saya sebut nama beliau
kerana arwah ayah saya yang lebih muda tiga atau empat tahun daripada beliau
adalah rakan sepengajiannya di sebuah sekolah pondok di Gunung Semanggol semasa
mereka remaja. Ayah saya dilahirkan pada 1911 atau lebih awal dari tahun ini
kerana zaman dahulu tidak mementingkan sangat tarikh sebenar kelahiran
seseorang. Menurut ayah saya, beliau berhenti belajar di situ berikutan terbabit
dengan pergaduhan. Ayah tak mahu kembali belajar walau dipujuk oleh ustaz yang
datang menemui datuk saya dengan beri alasan hukum bergaduh kena buang sekolah.
Ayah saya, yang fasih Bahasa Arab dan Banjar serta mahir membaca al-Quran
secara berlagu, sebenarnya pernah tinggal sekali dengan sebuah keluarga seorang
ustaz malah arwah ayah saya bagitahu saya beliau menjaga anak-anak ustaz
berkenaan yang masih kecil. Akhirnya, Ustaz Abu Bakar menjadi seorang pendidik,
manakala ayah saya bekerja kampung, nelayan dan seterusnya mengangkat senjata
menjadi seorang askar dalam Home Guards.
Selanjutnya, bagi memenuhi hasrat orang
Melayu mempunyai wadah politik yang bertujuan mencapai kemerdekaan, maka
pada 13 sehingga 14 Mac 1948, sebuah persidangan telah diadakan di al-Ihya
al-Syarif yang dihadiri lebih kurang 5,000 orang. Antara yang hadir ialah
Burhanuddin al-Helmi. Persidangan ini telah mengambil keputusan untuk
menubuhkan sebuah parti politik yang berasaskan Islam, diberi nama Hizbul
Muslimin (HAMIM). Parti ini ditubuhkan pada 14 Mac 1948. Nama ini
dicadangkan oleh Ustaz Abu Bakar al-Baqir, dan beliau jugalah yang
mengetuainya. Ayah saya bagitahu saya Ustaz Abu Bakar memeluk dan memanggilnya
Ya Aqi sewaktu ayah saya menyerah wang kutipan derma daripada kalangan pasukannya pada suatu ceramah. Ketika itu ayah saya pakai seragam
tentera!
Berhubung suara dan sikapnya yang lantang
menuntut kemerdekaan, maka HAMIM ditakuti pihak berkuasa, terutama penjajah
British. Maka dilemparkanlah kepadanya pelbagai tuduhan. Antaranya dituduh
sebagai “parti merah" yang bermaksud komunis. Dato’ Onn Jaafar, yang pada
masa itu memimpin UMNO, dengan secara sindiran mengatakan HAMIM adalah suatu
bahaya dari gunung yang patut diawasi, jelas wikipedia.org lagi.
Ketakutan pihak berkuasa British terhadap
perkembangan cita-cita Islam dalam politik memuncak pada 29 Julai 1948, 12
tengah hari apabila tiga pemimpin utama HAMIM ditangkap – Ustaz Abu Bakar
al-Baqir, Ustaz Abdul Rabb al-Tamimi dan Ustaz Abdul Rauf Nur. Ustaz Abu Bakar
dibebaskan daripada tahanan pada Oktober 1952. Ekoran daripada penahanan ini,
HAMIM lumpuh dan akhirnya terkubur. Namun, semangat perjuangannya untuk menegakkan
Islam di bumi Tanah Melayu diwarisi parti baru, Parti Islam Se-Malaya sekarang
Parti Islam Se-Malaysia (PAS).
Dacing
atau BN pula muncul pada 1 Januari 1973 sebagai gabungan parti-parti pengganti
Parti Perikatan. Gabungan BN ini mengamalkan model
pentadbiran yang sama sebagaimana Parti Perikatan tetapi dengan lebih
banyak parti komponen. Kaedahnya bergabung amat berkesan sehingga BN mampu menguasai
politik Malaysia selama lebih tiga puluh tahun selepas ia diasaskan, tetapi
sejak 2008 BN menghadapi cabaran lebih kuat daripada parti-parti pembangkang,
terutamanya Pakatan Harapan dan pesaing barunya Perikatan Nasional. Apa-apa
pun, BN boleh dianggap sebagai sebuah parti gabungan pemerintah yang berusia paling
lama dalam dunia. Sebelum kalah pada PRU-15, BN memiliki 4 parti komponen yang
utama iaitu UMNO, MCA, MIC dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS).
Sebenarnya, BN telah diwujudkan selepas
PRU 1969 yang memercikkan rusuhan 13 Mei. Parti Perikatan menjadi lemah berbanding
parti-parti pembangkang, khususnya sebuah parti baru Parti Tindakan Demokratik (DAP),
Gerakan dan PAS. Walaupun Perikatan menang majoriti kerusi, ia mendapat
kurang daripada separuh undi popular, dan ketegangan antara kaum menyebabkan
rusuhan dan pengisytiharan darurat. Selepas Parlimen disusun semula
pada 1971, rundingan bermula dengan bekas parti pembangkang seperti Gerakan dan
Parti Progresif, kedua-duanya menyertai Perikatan pada 1972, diikuti PAS. Pada 1973,
Parti Perikatan diganti dengan nama BN yang turut disertai parti-parti tempatan
dari Sabah dan Sarawak iaitu Parti Perikatan Sabah, Parti rakyat Bersatu
Sarawak (SUPP), Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), dibentuk
sebagai gabungan besar 11 parti di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Tun Abdul
Razak. Ia didaftarkan pada Jun 1974 untuk bertanding pada PRU 1974 yang dimenanginya
dengan kejayaan besar.
Pada tahun 1977, PAS diusir keluar BN. Wikipedia.org memperjelaskan bahawa peristiwa pahit ini berlaku berikutan
pemberontakan di dalam badan perundangan negeri Kelantan terhadap ketua
menteri yang dilantik oleh kerajaan persekutuan. Begitupun, BN menang PRU 1978 dengan
meyakinkan, dan terus menguasai politik Malaysia pada era 1980-an dan 1990-an
walaupun terdapat kelemahan apabila kalah dalam beberapa pilihan raya negeri seperti
kehilangan Kelantan kepada PAS dan Sabah kepada Parti Bersatu Sabah (PBS). Menjelang
2003, BN berkembang menjadi gabungan lebih sedozen parti politik sehinggalah BN
berupaya menang 198 daripada 219 kerusi pada PRU 2004. Ganjil sikit sistem
persempadanan kawasan pilihan raya di Malaysia berikutan meskipun BN tak pernah
mencapai lebih daripada 67 peratus undi popular pada setiap PRU dari 1974
hingga 2008, ia mengekalkan dua pertiga majoriti kerusi berturut-turut di Dewan
Rakyat dalam tempoh berkenaan.
Hanya pada PRU 2008 barulah BN
kehilangan lebih satu pertiga daripada kerusi Parlimen kepada Pakatan
Rakyat, satu pakatan longgar parti-parti pembangkang. Ini menandakan kegagalan
pertama BN untuk memenangi dua pertiga majoriti besar di Parlimen sejak 1969.
Lima kerajaan negeri – Kelantan, Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor -
jatuh kepada Pakatan Rakyat. Perak, bagaimanapun, kemudiannya dikembalikan
kepada kerajaan UMNO melalui keputusan mahkamah berikutan krisis perlembagaan. Kerugian
terus berlaku pada PRU13 apabila BN mencatatkan keputusan pilihan raya terburuk.
BN kembali ke Kedah, tetapi kehilangan beberapa kerusi di Parlimen dan undi
popular kepada Pakatan Rakyat. Ia hanya memperolehi 47 peratus undi popular, namun ia
berjaya memperoleh 60 peratus daripada 222 kerusi Parlimen.
Protes BERSIH 5 di Kuala Lumpur
dilancarkan pada 2016 melaungkan keinginan rakyat untuk mengakhiri kerakusan
kuasa dan penyelewengan di Malaysia. Protes ini tertumpu di kawasan bandar
sedangkan BN tersebar di seluruh kawasan desa. Bagaimanapun, isu-isu seperti korupsi
1MDB, Tabung Haji dan Felda mendapat perhatian umum dan sokongan rakyat terhadap
BN menurun.
Semasa PRU-14, BN kehilangan kawalan Parlimen
kepada PH, hanya memenangi 78 kerusi parlimen dari jumlah 222 sekaligus
menamatkan pemerintahan BN selama 41 tahun lantas membuka jalan bagi perubahan corak
politik pertama kali dalam sejarah Malaysia. BN memenangi hanya 34 peratus undi
popular selain gagal mendapatkan semula kerajaan negeri Pulau Pinang, Selangor
dan Kelantan manakala enam kerajaan negeri iaitu Johor, Melaka, Negeri
Sembilan, Perak, Kedah dan Sabah jatuh kepada PH dan Warisan manakala
Terengganu juga jatuh ke Gagasan Sejahtera (GS). Berikutan itu,
beberapa parti komponen di Sabah mengumumkan meninggalkan Barisan Nasional
iaitu UPKO, LDP dan PBRS, Malah, Parti Progresif Penduduk juga mengisytiharkan
keluar BN pada 27 Mei 2018. Pada 12 Jun 2018, PBB, SUPP, PRS dan SPDP keluar
BN secara rasmi lalu membentuk pakatan politik yang dikenali sebagai Gabungan
Parti Sarawak (GPS) dan kekal sebagai pembangkang kerajaan.
Pada 23 Jun 2018, Gerakan mengumumkan
keluar BN selepas kalah pada PRU-14 dan menjadi sebagai pembangkang
kerajaan. Ahli Parlimen Bagan Serai daripada UMNO, Datuk Dr Noor Azmi
Ghazali meninggalkan parti itu untuk menjadi ahli Parlimen bebas dan memberi
sokongan kepada kerajaan PH pada hari berikutnya. Lebih lanjut pada 27
Jun, Ahli Parlimen Bukit Gantang UMNO, Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul
Fasal mengumumkan beliau keluar parti itu untuk menjadi ahli
bebas. Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin,
mengumumkan keluar UMNO pada 2 Julai 2018. Hal ini mengurangkan kerusi parlimen
BN kepada hanya 54 kerusi.
Pada 1 Januari 2019, beberapa cawangan
UMNO dan BN di Sabah telah ditutup dan dibubarkan secara rasmi,
meninggalkan satu cawangan sahaja yang masih terbuka. Beberapa ketua cawangan
BN juga telah meninggalkan gabungan tersebut. Hal sedemikian adalah untuk
memberi ruang terhadap pakatan baru, Persatuan Perikatan Parti Malaysia (PPPM) yang
kini dikenali secara rasmi sebagai PN. Ini kemudian mengurangkan lagi
keseluruhan kerusi parlimen BN kepada hanya 41 kerusi manakala kerusi UMNO berkurang
kepada 38 kerusi. Pada 14 Mei 2020, Setiausaha Agung BN, Tan Sri Annuar Musa
memaklumkan PBRS tidak pernah secara rasmi keluar daripada BN dan Mesyuarat
Dewan Tertinggi BN sebelum ini telah dimaklumkan perkara tersebut. Justeru,
PBRS terus kekal sebagai anggota BN dan kini gabungan parti tersebut terdiri daripada
UMNO, MCA, MIC dan PBRS. Ini menjadikan kerusi BN keseluruhannya adalah 42
kerusi Parlimen dengan tambahan kerusi Parlimen PBRS di Pensiangan, Sabah
setakat 15 Mei 2020.
Pun
begitu, saya lebih tertarik kepada PAS kerana arwah ayah dan arwah mak saya
penyokong tegar parti ini kerana mengikut amanat arwah datuk saya, Tuan Guru
Haji Abdul Rahman Abdul Wahid Sungai Tuntung, Pantai Remis yang menitikberatkan
Islam. Datuk saya yakni ayah kepada ayah saya ni difahamkan pernah belajar
agama di Makkah sewaktu era Bani Saud menjatuhkan Kerajaan Hasyimiah pada 1932.
Sebelum itu, Kerajaan Hasyimiah mula memerintah Hijaz pada 1916 apabila
pemimpinnya, Syarif Makkah berperang dengan bantuan British yang berniat untuk menjatuhkan
Empayar Uthmaniyah semasa Perang Dunia Pertama. Dikatakan juga, British
kemudiannya turut membantu Bani Saud menjatuhkan Kerajaan Hasyimiah.
3
Semasa di sekolah menengah dari
1978-1982, hanya saya dan beberapa pelajar lagi yang menyokong PAS. Yang lain
UMNO belaka! Oleh itu, saya tak bercerita sangat tentang politik. Yang pasti, saya
hanya mula terbabit dengan politik secara lebih dekat pada PRU 1986 apabila
saya dilantik menjadi polling agent
untuk PAS walaupun saya bukan ahli parti berkenaan. Namun, ketika itu, saya
agak rapat dengan beberapa peniaga-peniaga lebih tua di Chow Kit Road, Kuala
Lumpur yang berjuang dalam PAS. Oleh kerana ahli di situ tak ramai maka saya
ditawar untuk membantu melakukan kerja menanda kehadiran pengundi-pengundi
mengikut senarai nama seperti yang dilakukan lelaki yang memanggil saya Ustaz
Man di atas tadi.
Pada PRU-12 yang diadakan pada 1986 ini saya bertugas di pusat mengundi
Jalan Raja Muda. Zaman ini zaman rock, rambut saya sampai ke bahu dan kuat
merokok. Tapi, saya tetap bertahan berjam-jam di kerusi untuk membantu PAS yang
saya sudah kenali sejak kecil. Malah, saya tolong tandakan pada kertas senarai pengundi seorang lelaki Cina berpakaian seluar panjang dan kemeja pendek putih yang
bertugas untuk DAP apabila beliau ingin berehat atau ke tandas kerana beliau seorang
sahaja bertugas di situ. Seorang lelaki lain, belia Melayu petugas BN, diam tak cakap apa-apapun! Bagaimanapun, rasanya beliau telah mengganti seseorang lain seperti saya yang mengambil alih tugas abang saya yang rasanya ketika itu sudah menjadi ahli PAS. Entah kenapa dah tahu DAP bakal kalah kenapa letak
calon di situ? DAP sekadar nak buat kajian rasanya! Ada tiga calon yang
bertanding: Dato’ Dr Haji Abbas Alias dari PAS memperolehi 4,215 undi, Yee Kai
Wah dari DAP memperolehi 9,199 undi dan Suleiman Mohamed menang dengan 20,976
undi. Jumlah pengundi 62,511 dan hanya 55.44 peratus sahaja datang mengundi
dengan 267 kertas undi ditolak. PAS dan DAP hilang wang pertaruhan!
Yang menarik pada petang sehari sebelum mengundi, saya dan rakan-rakan
telah diberi pihak PAS poster-poster calon DAP untuk ditampal atau diagihkan ke
seluruh kawasan sekitar Chow Kit sehingga Pertama Kompleks tanpa sebarang upah.
Peniaga-peniaga Cina begitu gembira menerima poster berkenaan. Saya tak bagi
pun kepada orang Melayu kerana saya tahu akan menimbulkan masalah. Malah,
sekumpulan lelaki berparang panjang mengejar kami yang sedang melekatkan poster
berkenaan di sekitar Jalan TAR. HeHeHe. Saya ketika itu boleh faham kenapa kami
diarah “menabur” poster berkenaan kerana tindakan itu takkan menjejaskan
prestasi PAS! Lagi menarik hati saya ialah “kakak-kakak PAS” yang
datang membawa nasi untuk saya dan rakan-rakan bertugas di Jalan Raja Muda.
Seorang daripadanya berniqab mungkin untuk menyorok identitinya yang mungkin
seorang siswi universiti. Beberapa minggu lalu bila lihat kakak-kakak PAS yang
beraksi di TikTok menjelang PRU-15 saya terus teringat kakak-kakak PAS yang bertungkus
lumus menyediakan makanan untuk saya dan rakan-rakan lain pada PRU-12. Sama
tapi tak serupa!
Dato’ Dr Haji Abbas adalah bekas Yang Dipertua Agung PAS ke-2 dari 1953
hingga 1956. Beliau mengambil alih kepimpinan Haji Ahmad Fuad Hassan yang letak
jawatan untuk menyertai Parti Negara pimpinan Dato’ Onn Jaafar. Tapi beliau tak
begitu berkesan memimpin PAS kerana beliau bertugas sebagai seorang doktor di
Hospital Kuala Lumpur serta menjadi pegawai perubatan jemaah haji Malaya. Jasa
Dr Haji Abbas yang ahli-ahli PAS perlu tahu ialah beliaulah yang
mendaftar PAS dengan Pendaftar Pertubuhan sebelum menyertai Pilihan Raya Pertama
Persekutuan pada Julai 1955.
4
Sebelum saya sambung belajar ke ITM pada
Julai 1987, saya pulang duduk di kampung bersama arwah ayah dan ibu saya serta
Paksu Ca iaitu abang sepupu saya yang turut pulang dari Kuala Lumpur untuk menjalankan
usaha menanam pisang tapi projek ini gagal. Ketika ini juga beberapa pegawai
SPR datang untuk melakukan pendaftaran pengundi di dewan orang ramai lalu saya
ambil kesempatan untuk mendaftar sebagai pengundi. Itulah sebab kenapa saya
mengundi di kampung. Dan, cuba lihat sokongan terhadap PAS ketika zaman 1980-an
di tengah bandar!
Saya pertama kali mengundi pada PRU 1990. Ketika tu, Dun Batu Hampar menampilkan dua calon. Cikgu Haji Ali [suami kepada kak pupu saya] yang mewakili UMNO untuk BN menang dengan 7,631 undi menewaskan Mohd Nor Harun yang mewakili PAS dari gabungan tak rasmi Angkatan Perpaduan Ummah (APU) yang mendapat 3,646. Jumlah pengundi 17,295, kertas undi tolak 513, peratus keluar mengundi 68.17 manakala majoriti kemenangan 3,985. Parlimen pula ketika itu Kuala Kangsar yang menampilkan dua calon. Dato' Seri Datin Paduka Rafidah Aziz yang mewakili UMNO untuk BN menang dengan 16,548 undi menewaskan Jamaluddin Mohd Din yang mewakili Parti Melayu Semangat 46 (S46) dari gabungan tak rasmi APU yang mendapat 8,544. Kertas undi ditolak 824, peratus keluar mengundi 68.84 manakala majoriti kemenangan 7,994.
Apa yang saya masih ingat ialah ketika itu, APU menang bergaya merampas Kelantan. Saya juga bersalam dengan Rafidah yang hulur tangan sewaktu saya berdiri di perhentian bas depan pusat mengundi yang sama pada PRU 2022. Seorang wanita berusia, mungkin Banjar, memakai baju kurung seragam UMNO yang merah pekat sewaktu merayu undi pula dipeluk erat Rafidah depan saya. Saya ketika itu orang terbuka minda. Takkan tak nak sambut tangan beliau pulak! Dan, waktu itu, saya tetap puas hati walau dua-dua pilihan saya tewas!
APU adalah satu perikatan politik di Malaysia yang bergiat dari 1990 hingga 1996 tetapi tak berdaftar, oleh itu parti-parti komponennya bertanding di bawah nama masing-masing. APU terdiri daripada PAS, S46, Barisan Jemaah Islamiah (BERJASA), Parti Hizbul Muslimin Malaysia (HAMIM) dan Kongres India Muslim Malaysia (KIMMA). Pada PRU 1990, APU turut berkait dengan Gagasan Rakyat yang terdiri daripada DAP, Parti Bersatu Sabah (PBS), Indian Progressive Front (IPF) dan Parti Rakyat Malaysia (PRM) kerana S46 menyertainya. APU lenyap dari arena politik negara ini pada 1996 selepas pemimpin S46 membuat keputusan parti itu dibubarkan. Sebahagian ahlinya menyertai UMNO, sementara sebahagian lagi menyertai PAS. Apa-apa pun, bentuk kerjasama di kalangan parti-parti dalam APU dan Gagasan Rakyat amat longgar dan tidak mendapat sokongan penduduk Malaysia bukan Islam. Ketika itu PAS pula jelas enggan bekerjasama dengan DAP dan seumpamanya. Ramai juga yang membantah penyatuan PAS dengan APU. Antaranya Cikgu Musa Salleh, bekas Yang Dipertua PAS Kawasan Pasir Puteh dan Wan Ismail Wan Ahmad, bekas AJK Dewan Ulama PAS Kelantan. Mereka menuduh Pas telah lari daripada prinsip perjuangan asal sejak penubuhannya pada 1951 kerana bergabung dengan S46 yang dianggap parti sekular sama seperti UMNO. Kumpulan itu menggelar mereka sebagai 'PAS 51' sebelum ditukar kepada Islah. Cikgu Musa kemudian menubuhkan Angkatan Keadilan Insan Malaysia (Akim).
Dalam pada itu, semasa berkereta keluar kampung setelah pulangkan sebuah
buku sajak karya Muhammad Haji Salleh milik abang saya yang saya pinjam dulu
dan ambil pula tiga novel kat rak dalam rumah kampung saya: Naga-naga karya
Zakry Abadi, Memburu Cita-cita karya Intan Jaafar dan Perhimpunan Griot karya
Massa M Diabate diterjemah Ruhanas Harun, isteri saya mengingatkan hajat saya
untuk ziarah makam emak, ayah dan lain-lain. Saya berhenti kereta lalu parkir
dekat bangunan kecil tepi jalan raya dekat masjid yang dulunya pernah diguna
untuk ceramah Maulid Nabi. Beberapa pemuda termasuk seorang anak lelaki seorang abang sepupu
saya sedang duduk di ruangan berkerusi tempat minum kopi. Saya dengar mereka
mempersoal kenapa orang luar tidak mengundi di tempat tinggal masing-masing
sedangkan semua calon bertanding di kampung adalah Melayu? Mungkin mereka
berkata demikian kerana melihat kedatangan saya. Saya malas singgah untuk
berbual dan bagi jawapan kerana saya perlu segera balik ke Pulau Pinang.
Saya baca Yasin dan berdoa di depan kubur ibu saya, di sebelahnya kubur
Kak Midah isteri abang sepupu saya, Ustaz Abas Abu Bakar. Ustaz Abas, usia awal 70-an, dulu ahli PAS tapi tak bergiat lagi dalam parti ini setelah Krisis Datuk Asri Muda. Beliau kemudiannya terbabit dengan UMNO. Saya tak tahu pendirian Ustaz Abas sekarang tapi apa-apa pun parti yang beliau undi saya tetap hormati beliau yang menjadi penjamin saya sewaktu saya memohon biasiswa JPA. Beliau dan Imam Ramli - kedua-duanya imam masjid kampung saya - adalah bekas pelajar Sekolah Izzudin Shah, Ipoh sezaman dengan sasterawan negara, Abdul Rahman Napiah atau nama pena, Mana Sikana. Dan, sebelah kubur Kak
Midah ada sebuah kubur baru yang masih berada di bawah khemah. Kubur itu adalah
kubur Kak Awi, berusia awal 60-an, isteri kedua Ustaz Abas yang baru saja meninggal dunia kira-kira dua minggu lalu setelah mengalami serangan strok. Saya kemudiannya terus
pulang dalam rasa bercampur baur kerana tak dapat bersembang lebih lama. Saya hanya
sempat bercakap tak sampai 5 minit pun dengan kebanyakan penduduk yang saya
temui termasuk Ella, dan seorang lagi rasanya Tipah yang kini berniqab – kedua-duanya
anak makcik Selamah jiran sebelah rumah kampung saya - sewaktu saya bagitahu saya
ambil beberapa biji rambutan milik mereka.
Sewaktu dalam perjalanan pulang di lebuh raya, hujan lebat sehingga
isteri saya suruh saya pasang lampu depan dan jangan potong kenderaan. Hmmm …
Beginilah perangai isteri bila dah berkahwin dekat 25 tahun. Suami kena sabar
dalam semua situasi! Malam, sampai ke dinihari 4 pagi, saya tunggu keputusan PRU 2022 - khususnya Parlimen - tapi tak dapat penuh! Saya pasti tentu sebab tiada yang memperolehi 2/3 majoriti di kalangan PN, BN atau PH. Saya hanya tahu Nurul Izzah tewas dan Anwar dikatakan kalah juga lalu saya yang bekas wartawan politik ni pun terpengaruh sehingga menulis komen dalam kumpulan WhatsApp sekolah menengah bahawa Zahid dan Anwar kena undur diri. Zahid kerana UMNO tewas paling teruk dalam sejarah perjuangannya manakala Anwar sebab beliau kecundang! Rupanya semua "wayang", termasuk SPR yang bagi keputusan sekerat-sekerat! Saya tengok sehari kemudian, beberapa rakan-rakan sekolah yang sudah tentu punya citarasa politik berbeza masih meluahkan rasa kejengkelan dalam kumpulan Whats App kami dan saya sekadar tekan simbol ibu jari kat komen seorang usahawan wanita yang kata dia tak mahu pening memikirkan hal pembentukan kerajaan baru dan biarkan ahli-ahli politik terbabit yang menentukannya.
Comments
Post a Comment