Saya ke library Selasa, 11 Oktober lalu. Petugas di kaunter tu kata, “Boleh renew melalui telefon tapi sekali saja.” Gadis hitam manis tu mungkin seusia anak sulung saya kata begitu sebab saya pinjam balik Psikologi Sufi dan serah yang lain, atau sebab dia dah tahu saya sering ke library pada hari Ahad, dua minggu sekali. Ikut slip pinjaman memang kena hantar 11 Oktober kerana cuti Maulid Nabi, dua hari library tutup - Ahad dan Isnin lalu. Saya diam sambil letak sebuah majalah dan empat buku yang baru saya pilih. Seperti para petugas lain, dia ucap terima kasih kepada saya. Sepatutnya, saya yang ucap terima kasih. Begitupun, saya ucap terima kasih juga. Nak sebut kembali rasa macam Bahasa Melayu baku la sangat! Sebenarnya, bahan bacaan yang saya pinjam minggu lepas saya tak baca teliti pun! Saya selak-selak ja! Perangai saya memang suka pinjam banyak bahan tapi baca belum tentu! Namun, Psikologi Sufi saya pinjam kembali, saya nak baca secara teliti kerana buku terjemahan Hasmiyah Rauf dalam Bahasa Indonesia ini agak menarik perhatian saya. Baru saya tahu, ada kalanya seseorang tak semestinya beragama Islam jika ingin menyertai sesebuah kumpulan sufi tertentu! Nanti saya habis baca buku ni, insya-Allah saya ulas sikit. Bahan baru yang saya pinjam: 1. Majalah Time April 25/May 2, 2022 yang di dalamnya beri tumpuan kepada sengketa Ukraine-Russia dan masalah perubahan cuaca yang berkaitan tumbuh-tumbuhan. 2. Antologi cerpen Buruan Dosa yang diterjemah Yusoff Zaky Yacob [1925-99], seorang berpendidikan Universiti Azhar, Mesir tapi beliau tak habis belajar kerana terpaksa pulang kerana ibunya rindukannya. Beliau yang betul-betul belajar kerana menimba ilmu, bukan untuk segulung ijazah bagi membolehkannya berjawatan tinggi, kemudiannya mendirikan Pustaka Dian Press di Kota Bharu pada 2 Mac 1957. 3. Sang Pemanah karya Paulo Coelho terjemahan Hasri Hasan. Coelho yang berfahaman Kristian Katolik ni pernah masuk pusat sakit jiwa semasa muda tapi jangan main-main tulisannya amat hebat. Insya-Allah, pasti terlajak syahdu apabila anda baca. Bukunya sudah dijual 320 juta naskhah di seluruh dunia dan diterjemah ke dalam 88 bahasa asing! Wow! 4. Di Situ Langit Dijunjung karya Hanna Alkaf yang diterjemah Fahmi Mustaffa. Hanna ni orang Malaysia dan dia memiliki ijazah kewartawanan dari Northwestern University, Illinois pada 2007 dan pernah bertugas di majalah Marie Claire. Buku terbitan Fixi Verso ni saya teringin baca kerana kat luar buku yang tajuk asalnya The Weight of Our Sky ni ada ayat, “Orang Melayu dengan Orang Cina, mereka ni tengah membunuh sesama mereka!” Lain macam dia punya cerita. Pasai 13 Mei ka? Nanti saya baca dulu. 5. Projek Seram KERUSI gabungan tulisan 3 penulis. Buku ni diterbitkan pada 2016 tapi kelihatan macam baru cetak, mungkin dihantar terus dari gudang! Biasa la orang bisnes! 

Comments