Dulu-dulu, sekitar awal 1980-an, saya ada la juga beberapa orang kawan yang terdiri daripada belia dan beliawanis dari satu dua negara Barat seperti Switzerland, Jerman dan Amerika Syarikat. Saya dan kekawan Melayu sekali-sekala ajar mereka Bahasa Melayu manakala mereka ajar pula beberapa bahasa popular di peringkat antarabangsa seperti Bahasa Perancis dan Inggeris. Ada sekali tu, seorang belia Amerika Syarikat bernama David ajar saya perkataan carut dan maki dalam Bahasa Inggeris lalu dia soal saya sama ada saya tahu perkataan-perkataan lain yang berunsur carutan dan makian. Saya carut dan maki bertalu-talu dalam English depan kekasihnya, Mary lalu dia bagitahu saya yang dia nak ajar benda lain pula! HeHeHe. Di sini, saya turut terjemah beberapa sajak Charles Bukowski (1920-1994) ikut apa yang saya faham. Oleh itu, jika saya silap, tolong bagitahu. Tak bagitahu pun tak apa! Jika saya perasan saya silap setelah beberapa hari atau minggu atau bulan saya terjemah, saya akan betulkan kelak. Saya juga insya-Allah akan guna perkataan-perkataan yang lebih sesuai sewaktu terjemah perkataan-perkataan carut dan maki yang suka sangat dipakai oleh Charles Bukowski ni. Saya sebenarnya tak nak galak anda tonton, tambah-tambah lagi pelajari, tulisan dia ni kerana banyak sangat dia mencarut dan maki hamun. Namun, semua karyanya jelas mencerminkan realiti kehidupan di Amerika Syarikat ketika mendiang hidup, khususnya sewaktu dia berusia 50-an. Sewaktu mendeklamasi satu dua sajaknya, Charles Bukowski telah menukar beberapa perkataan. Oleh itu, jika saya perasan ada sebarang perubahan perkataan, saya akan pilih apa yang tertulis dalam bukunya berbanding apa yang disebutnya dalam video-video yang saya letak di bawah ni kerana dia insan biasa, mungkin dia tersilap!


benda-benda ni

benda-benda ni yang kita pertahan sungguh-sungguh tak ada kena mengena dengan kita pun

dan kita lakukannya hanya kerana bosan atau takut atau wang atau hilang kewarasan

lingkaran kita dan cahaya lilin kita kecil, amat kecil, tak cukup untuk terangi kita

kita lontar idea lalu kehilangan sumbu di bahagian tengah lilin

dan kita nampak nama-nama yang suatu ketika dulu bermakna bijaksana bagai papan tanda-papan tanda ke bandar-bandar yang ditinggalkan

dan yang nyata hanya kubur-kubur 





Botol bir

Suatu kejadian ajaib baru sahaja berlaku.

Botol bir aku tumbang ke arah belakang

lalu bahagian bawahnya mendarat ke atas lantai,

dan aku telah letak baik-baik atas meja untuk mengurangkan gejolak buih,

tapi foto-foto tak begitu bertuah hari ini

dan ada kesan torehan kecil pada kulit kasut

kiri aku, tapi semuanya perkara mudah:

kita tak boleh memperolehi banyak sangat: ada undang-undang

kita tak pernah tahu, segala cara untuk menyenggol

menyediakan kita untuk dibakar atau alami kesejukan; apa yang sediakan untuk

burung hitam di dalam mulut kucing itu

bukan untuk kita memperkatakannya, atau kenapa sebilangan lelaki

dipenjara seperti tupai-tupai belaan

ketika yang lain menggesek tetek-tetek besar

sepanjang malam-malam tak kesudahan – ini adalah

tugas dan suatu yang menggerunkan, dan kita tak

diajar kenapa. Masih, bertuah dek kerana botol itu

mendarat betul-betul tegak sama seperti kedudukan asal, dan meskipun

aku punya sebotol wain dan sebotol lagi wiski,

kejadian ini meramalkan, begitupun, malam yang selamat

dan mungkin esok hidung aku semakin panjang:

kasut baru, kurang hujan, lebih sajak.



kebenaran

Satu kata azimat hebat Lorca ialah "penderitaan, sering saja penderitaan ..." Fikirkan ini ketika kau bunuh seekor lipas atau capai pisau belit untuk bercukur atau bangkit pagi untuk memandang mentari.






Duit tu magik

Saya tak ada sebab untuk menentang penggunaan duit. Beri sebanyak mana yang awak mahu, saya takkan tolak. Kerana saya dulu hidup melarat banyak kali dah. Saya pernah hidup melarat, kelaparan sekian lama. Saya memahami nilai duit. Duit suatu yang amat magik, saya akan terima sebanyak mana yang saya boleh dapat. Saya harap, saya takkan gagal menikmati makanan lagi. 



Rahsia ketahanan mental saya

Saya masih menerima surat bersama bahan-bahan kiriman pos lain, kebanyakannya daripada mereka yang emosi tertekan. Lelaki-lelaki yang tinggal di bilik-bilik kecil bekerja kilang atau tiada pekerjaan yang hidup bersama pelacur-pelacur atau tanpa punya pasangan perempuan langsung, tiada masa depan, hanya arak dan kegilaan. Kebanyakan surat-surat mereka ditulis guna kertas bergaris. Ditulis dengan pensel yang tidak diasah atau dakwat dalam tulisan kecil condong ke kiri dan kertasnya kerap koyak, kebiasaannya sehingga bahagian tengah. Dan, mereka kata, mereka suka karya saya. Saya telah menulis dengan memberi tumpuan kepada gaya sendiri dan mereka benar-benar mengenalinya. Sungguh, saya telah beri mereka peluang kedua, sedikit pengiktirafan ke atas kehidupan mereka. Memang benar, saya pernah berada di sana, lebih teruk daripada kebanyakan mereka.

Tapi, saya tertanya-tanya, adakah mereka tahu di mana surat-surat mereka sampai?Sebenarnya, ia dimasukkan ke dalam kotak di belakang pagar pokok-pokok renek setinggi enam kaki dengan lorong masuk hala ke garaj dua kereta, taman bunga mawar, pokok-pokok buah, binatang-binatang peliharaan, seorang perempuan cantik, kediaman yang sudah dibayar separuh nilai gadaian setelah tinggal selama setahun, sebuah kereta baru, sebuah pendiangan dan permaidani hijau setebal dua inci dengan seorang budak lelaki untuk bantu menulis karya saya sekarang. Saya kurung dia di dalam sangkar seluas sepuluh kaki dengan sebuah mesin taip, hidang dia wiski dan pelacur-pelacur ganas, pukul dia agak kuat dengan kancing tali pinggang tiga atau empat kali seminggu. Saya berusia 59 tahun sekarang dan para pengkritik kata karya saya semakin bagus berbanding sebelumnya.


Jangan datang tapi jika kau datang

ya pasti, aku akan ada melainkan aku keluar. Jangan ketuk jika lampu-lampu dipadam atau kau dengan suara-suara atau mungkin ketika itu aku sedang baca karya Proust jika seseorang telah menyelit karya Proust di bawah pintu bilik aku atau salah satu tulang-tulangnya untuk aku rebus. Dan, aku tak boleh pinjamkan duit atau telefon atau apa-apa yang tertinggal di kereta walau kau boleh ambil akhbar semalam, sepasang baju lama atau roti lapis bologna atau tidur di sofa jika kau tak menjerit di waktu malam dan kau boleh bercerita tentang diri kau yang merupakan suatu kebiasaan. Ujian dunia dialami semua kita. Cuma, aku bukannya nak menyara sebuah keluarga untuk hantar ke Harvard atau beli kawasan untuk berburu. Sasaran aku tak tinggi, aku sekadar berusaha untuk kekal hidup buat sedikit masa lagi. Oleh itu, jika kau kadang kala ketuk dan aku tak jawab dan tiada seorang perempuan pun di dalam, mungkin rahang aku patah dan aku sedang mencari wayar atau aku mengejar rama-rama yang ada dalam kertas dinding, maksud aku jika aku tak jawab aku tak jawablah dan alasannya ialah aku belum bersedia untuk bunuh kau atau sayangi kau, atau malah terima kau. Ia bermakna aku tak mahu berbual, aku sibuk, aku marah, aku dalam kegembiraan atau mungkin aku sedang gantung tali. Oleh itu, jika lampu-lampu terpasang pun dan kau dengar dengusan bagai orang bernafas atau berdoa atau bernyanyi, bunyi radio atau golekan dadu atau seseorang menaip, beredar sahajalah, bukan harinya, malamnya, jamnya. Ini bukan suatu kejahilan atau kebiadapan, aku tak berniat untuk menyakitkan apa-apa, malah seekor pijat. Tapi, kadang kala aku kumpul bukti yang perlu dihadam, dan mata biru kau, jika ia biru. Dan, rambut kau jika kau memiliki sedikit atau fikiran kau, semuanya tak boleh masuk sampai tali dikerat atau disimpulkan atau aku sudah bercukur depan cermin baru sehingga dunia berhenti atau terpelahang selamanya.

 













































Laman sekolah abadi

 

Dulu laman sekolah adalah sebuah pertunjukan ngeri: kaki-kaki buli, kepala-kepala samseng, orang-orang aneh, pukulan-pukulan menghala ke pagar wayar, mata rakan-rakan dengan kesyukuran kerana mereka bukan mangsa-mangsa. Kami betul-betul kena sesah dan kemudiannya diejek sepanjang perjalanan pulang ke rumah neraka yang penuh dengan pukulan-pukulan lagi. Kaki-kaki buli berkuasa di laman sekolah manakala di bilik-bilik air, di mesin-mesin pancutan air mereka memiliki kami atau boleh menafikan. Tapi, cara kami, kami tak pernah merayu belas kasihan, kami terima deraan secara diam, kami dilatih secara ngeri. Kengerian yang akhirnya membantu kami apabila kami membesar dalam pelbagai keadaan. Apabila zaman berubah, kejadian buli semakin berkurangan, kehilangan kuasa. Sekolah rendah, sekolah menengah. Kami membesar bagai pokok-pokok aneh yang mengumpulkan khasiat memekar lalu kaki-kaki buli cuba berkawan dengan kami tapi kami tolak hasrat mereka. Di universiti, kaki-kaki buli mencair terkena curahan cahaya mentari yang liar dan berkuasa. Kami dulu menjadi mangsa, kini tidak lagi menjadi mangsa. Namun, wujud kaki-kaki buli baru iaitu pensyarah-pensyarah yang mengajar ilmu melampaui ahli falsafah Kant.  

Kami bersemangat gila, ia hebat tapi mudah. Gadis-gadis universiti kecewa dengan perjudian kami tapi kami berpandangan jauh daripada mereka kepada perjuangan lebih besar di luar sana. Tapi, apabila kami tiba di luar sana, suasana kembali menghala ke pagar wayar: kaki-kaki buli baru yang amat dalam berakar umbi tapi mereka tak layak. Mereka menekan kami berdekad-dekad. Kami perlu bermula kembali di jalan-jalan dan bilik-bilik kecil kegilaan. Ia berakhir dan berakhir begitu tapi latihan kami dengan kengerian mempertahankan kami dan setelah tempoh yang lama kami mengambil tindakan menyerong daripada benda yang serupa. Kami temui terowong di hujung cahaya. Ia suatu kemenangan minoriti, tanpa lagu-lagu bongkak. Kami tahu, kami menang amat sedikit menentang sekumpulan kecil. Perubahan masa dan ilusi menewaskan semua orang. Kami bertempur dengan masalah-masalah yang sukar hanya demi sedikit kemanisannya. Malah, kini kami masih dapat lihat penjaga bangunan dengan penyapunya dengan seragam belang dan muka mengantuknya. Kami masih dapat lihat kanak-kanak perempuan berambut kerinting, rambut mereka dicuci cermat dan bersinar. Dan, muka guru-guru yang jatuh dan terselindung. Loceng rehat. Batu kelikir di padang besbol. Jaring bola tampar. Cahaya mentari sentiasa di atas dan mencurahkan ke atas kami bagai jus limau tangerin besar dan penumbuk Herbie Ashcroft menujah ke arah kami yang terperangkap oleh pagar keluli sewaktu kami mendengar bunyi kenderaan-kenderaan melintas berdekatan tapi tak berhenti. Dunia melakukan apa yang pernah ia lakukan, kami tak meminta belas kasihan dan kami datang kembali esok hari, dan lagi dan lagi. Kanak-kanak perempuan itu bagai magik, mereka duduk amat tegak di kerusi masing-masing dalam bilik yang ada papan hitam-papan hitam dan kapur. Kami bermula teruk dan sering dihina dengan perlakuan yang masih tertanam melalui dentingan loceng-loceng baru dan kaedah-kaedah yang tersangkut dengannya: dunia sekolah rendah meskipun Herbie Ashcroft sudah meninggal dunia.



aku dah silap

aku capai ke bahagian atas gerobok dan ambil sepasang seluar dalam dan tunjuk kepadanya lalu tanya, “ini kau punya?” dan perempuan itu lihat dan kata, “tak, ia kepunyaan seekor anjing.” dia pergi selepas itu dan aku tak pernah lihat dia lagi sejak hari itu. dia tiada di kediamannya. aku sentiasa ke sana, tinggalkan nota-nota diselit celah pintu. aku pergi lagi dan nota-nota itu masih ada di sana. aku ambil salib Malta, kerat, turunkan dari cermin kereta, ikat pada tombol pintu dengan tali kasut, tinggalkan sebuah buku sajak. apabila aku pergi kembali malam berikutnya semuanya masih ada di sana. aku cekal menyusuri jalan-jalan untuk mencari kapal perang berwarna wain merah darah yang dia pandu dengan bateri lemah dan pintu-pintu yang tergantung pada engsel-engsel yang patah. aku meronda seluruh jalan seinci lagi mahu menangis, malu dengan sentimentalitiku dan kemungkinan cinta. seorang tua yang keliru memandu dalam hujan tertanya-tanya ke mana nasib baik telah pergi.



Mama

Aku di sini dalam tanah. Mulutku terbuka dan aku tak boleh pun sebut mama dan anjing-anjing berlari-lari lintas lalu berhenti dan kencing membasahi nesanku. Aku terima semua melainkan mentari dan pakaianku kelihatan kotor dan semalam lengan terakhir aku menghilang. Amat sedikit yang tinggal, semua bagai kecapi tanpa muzik.

Sekurang-kurangnya, mabuk di atas katil sambil merokok mungkin menyebabkan kemunculan lima kenderaan bomba dan 33 lelaki.

Aku tak boleh buat apa-apa. Tapi, ada lagi – Hector Richmond dalam makam di sebelah sentiasa fikir mengenai Mozart dan gula-gula beluncas. Dia seorang teman berperangai buruk.

 





Sesetengah orang tak pernah hilang akal

Sesetengah orang tak pernah hilang akal. Aku, kadang-kadang aku baring di atas sofa 3 atau 4 hari. Mereka akan menemui aku di sana. Ini anak montel, mereka akan kata, lalu mereka curah wain ke dalam tekak aku, gosok dada aku, renjis aku dengan minyak. Kemudiannya, aku bangkit dengan ngauman, cakap mengarut serta berang – menyumpah mereka juga alam semesta sewaktu aku menghalau mereka bertaburan di serata laman. Aku akan berasa lebih lega, duduk menikmati roti bakar dan telur, melontarkan sedikit lagu, tiba-tiba menjadi mesra bagai seekor paus merah jambu terlebih makan. Sesetengah orang tak pernah hilang akal. Betapa teruknya kehidupan yang mereka lalui.

[nota saya: Saya buta warna tapi rasanya paus berwarna biru. Istilah paus merah jambu atau dalam Bahasa Portugis disebut Baleia Rosa adalah suatu cabaran sejak beberapa tahun lalu untuk membuktikan internet boleh mem-viral-kan sesuatu fakta yang tak betul tapi boleh memberi kebaikan atau menggembirakan orang ramai.]


Kawan-kawan dalam kegelapan

Aku mampu ingat peristiwa kelaparan dalam sebuah bilik di sebuah bandar pelik, tarik tirai tingkap, dengar muzik klasik. Aku masih muda, aku amat muda lalu ia menyakitkan bagai ada sebilah pisau dalam badan berikutan tiada pilihan lain melainkan menyorok selama yang boleh – bukan sebab kesiankan diri sendiri tapi kecewa dengan peluang terhad: cuba berhubung.

Penggubah-penggubah lama – hanya Mozart, Bach, Beethoven, Brahms yang bercakap dengan aku dan mereka sudah meninggal dunia.

Akhirnya, kebulur dan tewas, aku terpaksa ke jalan raya untuk temuduga kerja upah rendah dan tugas yang membosankan oleh lelaki-lelaki pelik di sebalik meja-meja. Lelaki-lelaki tanpa mata tanpa wajah yang akan merampas masa aku berjam-jam lalu patahkannya, kencing ke atasnya.

Kini, aku bekerja dengan editor-editor, pembaca-pembaca dan pengkritik-pengkritik. Tapi, masih melepak dan minum bersama Mozart, Bach, Brahms dan Bee. Beberapa teman rapat, beberapa lelaki. Kadang kala apa yang kita perlu untuk meneruskan hidup keseorangan ialah mereka yang telah meninggal dunia menggegarkan dinding-dinding yang memenjarakan kita.



Burung biru  

 

Ada seekor burung biru dalam hati aku yang ingin keluar tapi aku terlalu gagah untuk dia berjaya melakukannya. Aku kata, kekal duduk dalam sana, aku tak nak biar sesiapa pun lihat kau. Ada seekor burung biru dalam hati aku yang ingin keluar tapi aku curah wiski ke mukanya lantas sedut asap rokok lalu pelacur-pelacur dan pelayan-pelayan bar dan pekerja-pekerja kedai runcit tak pernah tahu yang dia ada di sana.

 

Ada seekor burung biru dalam hati aku yang ingin keluar tapi aku terlalu gagah untuk dia berjaya melakukannya. Aku kata, kekal duduk dalam sana. Adakah kau cuba mengganggu aku? Kau nak merosakkan tugasan ini? Kau nak melelong-rancakkan jualan buku aku di Eropah? Ada seekor burung biru dalam hati aku yang ingin keluar tapi aku amat bijak. Aku hanya biar dia keluar pada waktu malam kadang-kadang tika semua orang sedang nyenyak tidur. Aku kata, aku tahu kau ada di dalam sana, oleh itu jangan bersedih. Kemudian, aku letak dia kembali tapi sesekali dia bersenandung di dalam sana. Aku belum bersedia untuk membiarkan dia mati lalu kami tidur bersama-sama begitu dengan kekalkan pakatan rahsia dan rasa agak seronok untuk membuatkan seorang lelaki meratap hiba, tapi aku tak suka meratap hiba, kau suka?




Kuku-kuku jari tangan, lubang-lubang hidung, tali-tali kasut

Saluran gas bocor, burung terlepas keluar sangkar, langit nampak bertitik-titik dipenuhi burung-burung nasar, Benny akhirnya bebas dadah sementara Betty kini punya pekerjaan sebagai pelayan, dan seorang lelaki mengekek ketawa sewaktu dia dengan cermat mencuci sambil memanjat serombong. Aku berjalan berbatu-batu sepanjang bandar dan tak kenal sesiapa ketika seekor haiwan berkuku besar menikmati makanan di atas perutku manakala isi kepalaku berasa kosong bagaikan aku bakal gila. Sesuatu yang lebih utama bahawa tak punya apa-apa bererti apa sahaja tapi lebih daripada itu ia kekal bermaksud tak punya apa-apa. Tiada apa-apa diperkenalkan, hanya pendeta-pendeta dan dewa-dewa yang melantik diri mereka sendiri dan jurujual-jurujual. Makin ramai orang-orang bercakap, makin berkurangan perkara yang hendak diperkatakan. Malah, buku-buku terbaik adalah habuk papan kering. Aku tonton perlawanan-perlawanan tinju dan mencatat hal yang boleh disalin mengenai hal sia-sia. Kemudian, pintu pagar kembali terbuka dan kelihatan helaian sutera cantik dan kuda-kuda gagah ditunggang membelah langit. Sedih apabila semua benda cuba menerobosi kembang bunga-bungaan. Setiap hari sepatutnya suatu keajaiban bukannya berbentuk muslihat. Dalam genggaman aku ada seekor burung biru terakhir. Kawasan-kawasan teduh mengaum bagai singa-singa manakala dinding-dinding bergegar, menari-nari sekeliling kepala aku. Kemudiannya, mata perempuan itu memandang aku lantas cinta mematahkan tulang-tulang aku dan aku ketawa.







Comments