Selamat Menyambut Ramadan Seminggu Lagi

SAYA PASTI ADA BUAT SILAP, SAYA MINTA MAAF, OKEY?

1.

Saya agak pilu apabila melihat dalam YouTube, video-video tertentu yang kelihatan menimbulkan lebih banyak masalah, bukannya merungkai masalah-masalah yang dihadapi beberapa kelompok utama penganut Islam di negara kita. Sekarang ni, secara umum, saya tak nak sebut secara terperinci, kita boleh lihat video-video ni dibuat oleh mereka yang datang daripada dua kelompok berbeza: A. kumpulan yang ramai belajar di sekolah pondok yang kebanyakannya mendakwa berpendekatan ASWJ dan satu lagi B. kelompok yang menyokong pendekatan segelintir mereka tertentu yang majoritinya berpendidikan luar negara yang cuba menggalak orang Islam “betul-betul” beramal mengikut hadis nabi serta al-Quran dan bukannya membuta-tuli ikut amalan ulama tertentu. Saya seorang yang berfikiran terbuka. Dua-dua pendekatan pada saya tak salah. Masalahnya, ada individu-individu yang entah datang dari mana, ilmu tak seberapa tapi cuba berdebat bagi pihak ASWJ atau pendekatan keras ikut hadis dan al-Quran tu sehingga tak sedar diri mereka itu sendiri jahil dan memungkinkan penonton YouTube terpengaruh lalu jadi sesat banat pulak! Sehubungan ini, saya berharap sangat pihak berkuasa, seperti majlis agama negeri tertentu, ambil perhatian supaya “ustaz-ustaz segera” kat media sosial tak muncul semacam wabak! Ada seorang tu memakai kopiah dan berjanggut, sebut beberapa patah ayat bahasa Arab sewaktu berceloteh berjam-jam depan kamera namun mencerca kelompok lain ikut suka hati, kadang kala dia ketawa terkekeh-kekeh sambil enak hisap rokok! Pendakwah apa jenis ni? Kalau bercakap tertutup sesama “kumpulan” sebagai contoh dalam WhatsApp kira tak teruk la sangat. Ini bercakap secara terbuka di internet menerusi aplikasi YouTube sampai seluruh dunia boleh tonton “kebodohan” sendiri? Biar betul! 

Saya pernah tonton dalam YouTube, ulasan dalam Bahasa Inggeris seorang pensyarah universiti dalam bidang pengajian Islam, beliau seorang lelaki berbangsa Arab. Beliau mengupas ayat al-Quran dengan berpandu ajaran ulama terdahulu selain menghubungkan syarahannya berkaitan ilmu yang turut dikuasainya. Mungkin beliau juga seorang pakar tumbuh-tumbuhan. Beliau soal kenapa Allah sering beri contoh anggur, kurma, tin, delima dan zaitun dalam al-Quran? Kenapa bukan buah-buah lain? Kenapa? Saya dulu tak tau macam rasanya anda sekarang tenggelam punca, kan? Jawapannya, 5 buah yang sering disebut dalam al-Quran ini dihasilkan oleh pokok-pokok yang boleh hidup sampai beratus-ratus tahun. Malah, zaitun masih boleh hidup sehingga usia 4,000 tahun! Apa yang saya nak cerita di sini – saya muhasabah diri sendiri – jika nak bercerita mengenai Islam biarlah ayat yang diucapkan itu suatu ilmu yang boleh dipegang sampai ke akhir hayat! Bukan suatu penipuan, bukan perkara-perkara salah, bukan sesuatu berbentuk kutukan! 

2. 

Saya sekali-sekala tonton juga secara percuma kat YouTube filem Iran yang ada subtitles – jangan kata saya Syiah pulak – dan saya dapati pelakon-pelakon perempuan mereka cantik-cantik tapi berperangai “senonoh” malah boleh dikatakan semuanya bertudung walau cerita yang saya tonton itu genre thriller, cinta malah jenaka. Dalam bilik tidur pun masih tutup aurat! Jadi, saya hairan, takkan negara ini, yang ramai pemimpin Islam di Parlimen, tak punya satu badan berkuasa untuk memastikan hal-hal tak elok dalam filem tempatan betul-betul dicegah. Saya sendiri minat muzik dan nyanyian. Saya pernah main deram untuk sebuah band semasa pertandingan kugiran di sekolah menengah walau menang sekadar nombor 3 serta main deram juga secara suka-suka dengan sebuah kumpulan muzik ketika di universiti. Ada seorang dua orang putih ajak saya dan beberapa rakan Melayu naik ke pentas main muzik sewaktu saya mengikut beberapa rakan orang putih ke sebuah parti di sebuah rumah yang disewa beberapa orang putih lain. Saya tak berapa nak join kerana mereka memainkan muzik  jenis new wave atau underground yang terlalu heavy! Lirik memberontak gitu! Itulah sekali saya ke situ kerana saya dapati selain pergaulan bebas yakni berpeluk sana, berpeluk sini, ya la kan orang putih bebas duduk serumah lelaki dan perempuan; minuman arak dihidang berlambak-lambak termasuk dalam bentuk punch. Punch ni ialah campuran wain, bir, spirit seperti vodka yakni arak beralkohol tinggi dengan air soda seperti Coke, ditambah pula jus buah seperti oren atau anggur lalu dituang ke dalam ketulan ais macam peniaga jual air minuman dalam balang kat pasar malam tu! Tapi, punch yang sebijik macam makna asalnya penumbuk ni - jika silap bancuh - minum segelas kecil pun boleh membawa maut! Mereka juga mentekedarah ganja yang dihisap seperti cara hisap shisha tu! Sampai ada yang terlentang sana, terlentang sini, tak kira jantan atau perempuan! Biasalah, segelintir pelajar orang putih suka enjoy setiap hujung minggu! Saya difahamkan, hanya mereka berusia atas 18 tahun dibenar beli minuman keras di Amerika Syarikat, manakala dadah pula seperti ganja tak salah dihisap tapi boleh ditangkap polis semasa menjual atau membeli. Macam pelik pulak undang-undang membabitkan dadah di Amerika Syarikat sekitar awal 1980-an, kan? Saya cerita ni semua bukan nak galak hampa pi berkawan lagu ni! Elakkan, okey? Ramai lagi orang putih, kulit hitam atau bangsa-bangsa lain yang baik-baik! 

Selain deram, saya boleh la juga main gitar. Tapi, rasanya, dah berpuluh-puluh tahun saya tak main alat muzik gila-gila. Bila terserempak dengan alat-alat muzik seperti gitar, saya sekadar membelek-belek dan petik satu dua tali lepas gian saja! Namun, saya sehingga ini masih berpegang kepada pendapat ulama yang kata muzik tak haram. Suatu ayat al-Quran yang bererti muzik DAN arak tu haram ditafsir macam-macam oleh ulama-ulama baik punya, bukan ustaz-ustaz yang biasa-biasa. DAN itu dalam pemahaman Bahasa Arab BOLEH diertikan muzik haram jika didengar sambil minum arak, bukannya bermaksud muzik tu haram DAN arak tu haram. Walau begitu, saya cenderung pula kepada pendapat suara perempuan mendayu-dayu tu aurat melainkan sebab tertentu seperti cikgu atau pensyarah perempuan yang terpaksa bersuara lunak ketika mengajar. Contohnya, cikgu perempuan mengajar anak-anak kecil menyanyikan lagu, Negaraku. Tapi, saya tak nak lah sampai nak desak kerajaan haram orang perempuan Islam bernyanyi di negara ini kerana ada ulama yang kata takpa perempuan nyanyi dalam suasana tertentu. Lagipun, budaya orang perempuan nyanyi ni dah lama diamalkan di negara kita ni dan jika nak dihapuskan sekarang pada saya lebih baik dilaksana secara sedikit demi sedikit. 

Macam tutup aurat. Dulu-dulu, mereka yang tutup aurat hanyalah perempuan yang benar-benar alim dan warak seperti ahli keluarga tuan guru seperti Buya Hamka kat Indonesia tu.  Apa-apa pun, pada 1970-an, saya dapati, orang-orang perempuan sama ada anak dara atau dewasa di kampung saya biasanya menjaga aurat mereka dengan menutup rambut dan dada mereka dengan berselubung kain batik bila berjalan-jalan ke seluruh kampung seperti ke rumah jiran untuk minum teh atau kopi, ke sungai basuh pakaian, ke kedai runcit, ke bendang padi, ke kolam lombong untuk mendulang bijih timah atau pergi menoreh getah. Hanya orang perempuan kampung saya yang bertaraf nenek yang balut kain batik kat kepala ala wanita Minangkabau. Namun, mereka terbabit hanya pakai selendang nipis macam yang wanita Sikh pakai tu ketika keluar ke pekan atau kenduri kahwin. Pelajar perempuan Islam sekolah menengah kerajaan ketika itu pula boleh dikatakan semuanya tak bertudung, malah ramai masih pakai skirt paras lutut atau pinafore uniform tu. Awal 1980-an, barulah beberapa pertubuhan pelajar Islam di kebanyakan sekolah menengah di negara ini betul-betul desak supaya pelajar-pelajar perempuan Islam pakai baju kurung dan bertudung, manakala pelajar lelaki Islam berseluar panjang. Zaman ni lah istilah brother yang dipopularkan kelompok Anwar Ibrahim mulai menjelma! Batch saya adalah antara pelajar menengah rendah yang mula pakai seluar panjang hijau di sekolah saya. Sebelum tu, pelajar-pelajar lelaki Tingkatan 1 sampai Tingkatan 3 pakai seluar pendek putih paras lutut, manakala yang perempuan pakai pinafore, atau sekadar berbaju kurung tak bertudung atau turut berselendang nipis atau sekadar skaf menutupi sebahagian rambut. Sekarang ni, suasana dah berubah. Saya pernah ke sebuah sekolah menengah perempuan di Jalan Ipoh, KL yang majoriti pelajarnya bukan Islam. Ramai betul pelajar Cina, India, Sikh dan bukan Islam lain yang mungkin Orang Asli pakai baju kurung walau tak bertudung! Budak-budak perempuan Islam di sekolah rendah sekarang pun dah bertudung dan yang lelaki berseluar panjang walau bukan semuanya dah baligh. Tak pa la mereka berkenaan dibiasakan berpakaian “tutup aurat” begini walau saya dapati budak-budak kecil beragama Islam di kebanyakan negara Arab tak begitu pun! Dalam perkembangan terkini, kisah seperti seorang pelakon lelaki dan seorang lagi perempuan yang viral makan bersuap dan kena dukung macam anak kecil yang viral sekarang ni tu kena dibanteras segera kerana perlakuan sebegini keterlaluan la sangat!

Comments