Sekuntum Mawar Untuk Emily oleh William Faulkner 

1

KETIKA Cik Emily Gierson meninggal dunia, seluruh bandar menghadiri upacara pemakamannya, para lelaki semacam terdorong oleh rasa sayang dan hormat kepada tugu peringatan yang tumbang, kebanyakan perempuan pula kerana rasa ingin tahu yang menggelitik sangat hendak melihat isi rumahnya yang tak didiami orang lain kecuali seorang lelaki tua iaitu pembantu merangkap tukang kebun dan juru masak yang sudah kelihatan di situ sekurang-kurangnya sepuluh tahun.

Rumah besar itu berbingkai persegi yang dulunya pernah dicat putih, dihiasi dengan kubah dan menara serta balkoni berukiran gaya 1870-an yang sarat, menghala ke jalan yang paling elit. Akan tetapi banyak bengkel dan tempat pemintal kapas telah menyeruak dan melenyapkan bahkan nama-nama masyhur sekitar wilayah ini. Cuma rumah Cik Emily yang masih seperti dulu, bertahan dengan tegar dan mengada-ada di antara kereta pengangkut kapas dan pam gasolin: perosak pemandangan antara sekian perosak pemandangan lainnya. Dan, kini Cik Emily telah tiada, pergi menyatukan dirinya dengan penyandang-penyandang nama besar yang terbaring dalam pekuburan di bawah naungan pohon-pohon sedar di antara nesan-nesan askar pasukan Kesatuan dan Bersekutu, perwira-perwira yang tewas dalam pertempuran di Jefferson. 

Semasa hidupnya, Cik Emily punya tradisi, kewajiban dan urusan, semacam balas budi yang diwajibkan pada kota itu, sejak 1894 ketika datuk bandar, Kolonel Sartoris, orang yang membuat aturan agar tak seorang pun perempuan Negro boleh muncul di jalan tanpa memakai apron, membebaskan Cik Emily daripada membayar cukai. Pengecualian itu dimulai dari hari kematian ayahnya dan kekal sampai bila-bila. Itu tidaklah berarti Cik Emily mendapat bantuan kebajikan. Kolonel Sartoris menemukan kisah yang menyatakan bahwa ayah Cik Emily meminjamkan wangnya kepada pihak bandar sehingga sesuai dengan aturan dagang, bandar itu harus membayar kembali dalam bentuk sedemikian. Hanya ada seorang lelaki dari generasi Kolonel Sartoris yang tahu tentang kisah itu dan hanya ada seorang perempuan yang mungkin mempercayainya.  

Ketika orang-orang dari generasi selanjutnya dengan pikiran yang lebih moden menjadi datuk bandar dan anggota majlis perbandaran, penetapan hak istimewa seperti itu melahirkan sedikit ketidakpuasan hati. Pada tahun pertama, mereka mengirimkan peringatan untuk membayar cukai melalui pos. Bulan Februari tiba, tak ada jawapan. 

Mereka kirimkan surat rasmi, meminta agar dia datang ke pejabat sherif pada bila-bila hari dia berkenan. Seminggu kemudian, datuk bandar sendiri menulis surat kepadanya tawar beliau sendiri datang menjemput atau beliau hantar kenderaannya untuk menjemputnya. Jawapan diberikan berupa catatan yang ditulis dengan tulisan pudar seperti kaligrafi pada kertas usang yang menyatakan dia tak akan datang. Peringatan tentang pembayaran cukai turut disertakan tanpa ulasan. 

Mereka mengadakan mesyuarat khas majlis perbandaran. 

Sekumpulan utusan dikirim, ketukan pun terdengar di pintu yang tak pernah dimasuki pengunjung sejak Cik Emily menghentikan pengajaran melukis lukisan gaya Cina lapan atau sepuluh tahun sebelumnya. Orang-orang itu dibawa Negro tua ke sebuah ruangan kelam di mana terdapat sebuah tangga ke ruangan yang lebih gelap. Terdapat bau debu dan benda tak diguna yang dihidu berdekatan mereka dalam udara yang lembap. Negro itu membawa mereka ke ruang tamu yang diisi dengan perabot berat bersalut kulit. Ketika Negro itu membuka bidai sebuah jendela, mereka dapat melihat kulit penyalut perabot sudah pecah-pecah, dan ketika mereka duduk, nampak debu berterbangan ke paha, berputar-putar perlahan-lahan disinari sejalur cahaya matahari. Di depan pendiangan pada tripod yang sudah tercemar tersandar potret krayon ayah Cik Emily. 

Mereka bangkit ketika dia muncul, seorang bertubuh kecil, perempuan gemuk berpakaian hitam dengan rantai emas tipis mencecah pinggang lalu menyelit ke bawah tali pinggangnya. Dia bertopangkan tongkat kayu hitam berkepala emas. Rangka badannya kurus kecil, karena itulah dipandang sekali imbas kelihatan gebu sedangkan beratnya yang berlebihan. Badannya kembung seperti terlalu lama berendam dalam air tenang, warnanya pucat. 

Matanya tenggelam dalam wajah yang sembap, nampak seperti dua butir arang yang ditekan ke dalam seketul doh sewaktu bergerak dari satu wajah ke wajah lain ketika para tetamu itu menyatakan maksud kedatangan mereka. 

Dia tidak mengajak mereka duduk. Dia tetap berdiri di pintu, mendengar baik-baik sehingga jurucakap berkenaan tiba-tiba berhenti berbicara. Lalu terdengar bunyi detak-detik jam yang tersembunyi di hujung rantai emasnya.  

Suara perempuan itu tak begitu mesra. “Saya tak dikenakan cukai di Jefferson. Kolonel Sartoris mengatakan begitu. Sebaiknya seorang antara kalian lihat rekod majlis perbandaran supaya anda puas hati.” 

“Tapi, itu sudah kami lakukan. Kami ini pihak berkuasa bandar ini, Cik Emily. Tidakkah awak menerima notis daripada sherif yang ditandatanganinya?” 

“Saya ada terima surat, ya,” kata Cik Emily. “Agaknya orang itu anggap dirinya sendiri sebagai sherif … Saya tak dikenakan cukai di Jefferson.” 

“Tapi, tak ada senarai untuk membuktikannya, awak tahu. Kami kena ikut ...” 

“Pergi jumpa Kolonel Sartoris. Saya tak dikenakan cukai di Jefferson.” 

“Tapi, Cik Emily.” 

“Pergi jumpa Kolonel Sartoris.” (Kolonel Sartoris telah meninggal dunia hampir sepuluh tahun lalu.) “Saya tidak dikenakan cukai di Jefferson. Tobe!” Negro berkenaan muncul. “Tunjukkan tuan-tuan ini jalan keluar.” 

2 

DEMIKIANLAH dia menundukkan orang-orang itu seperti dulu dia menundukkan ayah-ayah mereka tiga puluh tahun yang lalu gara-gara bau busuk. Ketika itu ayahnya sudah dua tahun meninggal dan tak lama setelah dia ditinggalkan kekasihnya yang kononnya akan mengawininya. Sejak kematian ayahnya, dia jarang keluar manakala setelah ditinggalkan kekasihnya, orang jarang sekali melihatnya. Beberapa orang perempuan nekad datang hendak menemuinya, tapi tak diterima, dan satu-satunya tanda kehidupan di kediaman itu ialah seorang lelaki Negro, ketika itu masih muda lagi, keluar masuk rumah menjinjing bakul pasar. 

“Bagaikan seorang lelaki, siapa pun orangnya, dapat mengurus dapur dengan baik,” kata perempuan-perempuan itu. Jadi, mereka tak hairan bau busuk itu mulai mengganggu. Ada kaitan lain tentang kebusukan iaitu dunia yang padat dengan keluarga Gierson yang bermartabat dan berkuasa. 

Seorang jiran, seorang perempuan, mengadu kepada datuk bandar, Judge Stevens yang berusia lapan puluh tahun. 

“Tapi, puan, apa yang awak mahu saya buat?” Soalnya. 

“Kenapa?” Beri peringatan kepadanya agar menghilangkan bau itu,” kata perempuan itu. “Kan ada peraturan?” 

“Saya pasti ia tak perlu,” kata Judge Stevens. 

“Bau itu mungkin bangkai ular atau tikus yang dibunuh pembantunya di laman rumah. Saya akan bagitahu dia mengenai hal ini.” 

Hari berikutnya dia menerima dua pengaduan lagi. Satu daripada seorang lelaki kurang keyakinan. “Kita benar-benar perlu buat sesuatu tentang hal ni, Judge. Aku mungkin orang terakhir di dunia ni yang nak menyusahkan Cik Emily tapi kita kena buat sesuatu.” Malam itu, para anggota majlis perbandaran bertemu: Tiga orang janggut sudah kelabu manakala seorang lagi ialah lelaki muda mewakili generasi baru yang mulai berpengaruh. 

“Mudah ja,” kata lelaki muda itu. “Kita hantar arahan supaya dia bersihkan kediamannya. Beri masa sedikit, dan jika dia enggan ..” 

“Tak guna, tuan,” kata Judge Stevens, “adakah awak harus secara berdepan menyalahkan seorang perempuan mengenai bau busuk?” 

Oleh itu, malam berikutnya, melewati tengah malam, empat orang lelaki secara senyap-senyap seperti pencuri memasuki laman rumah Cik Emily sambil menghidu-hidu di sepanjang bahagian bawah tembok dan pintu masuk ruang bawah tanah, seorang daripada mereka menaburkan isi guni yang tergantung di bahunya. Mereka bongkar pintu ruang bawah tanah dan tabur serbuk kapur di sekitar tempat itu serta di luarnya. Ketika mereka menyeberang semula laman rumah, jendela yang tadinya gelap, tiba-tiba terang benderang dan kelihatan Cik Emily duduk di situ. Cahaya lampu di belakang yang menyinari perempuan itu memperlihatkan sosoknya seperti patung kaku tanpa kepala. Perlahan-lahan keempat bayangan itu merangkak menyeberangi laman rumah dan hilang dalam bayangan gelap di antara pohon-pohon yang berderet di sepanjang jalan. Setelah seminggu dua, bau busuk itu pun lenyap. 

Ketika itulah orang-orang mulai berasa kasihan kepadanya. Penduduk bandar kami masih ingat bagaimana wanita tua bernama Wyatt, mak saudara kepada orang tuanya benar-benar kegilaan akhirnya apabila menganggap keluarga Grierson terlalu membanggakan darah dan keturunannya. Tak seorang pun pemuda yang berhasil merebut hati Cik Emily. Lama kami membayangkan keadaan tersebut seperti sebuah tablo. Cik Emily, yang langsing berpakaian putih berada di bahagian latar belakang, ayahnya dalam bentuk bayangan terbelah berada di hadapan, belakangnya menghadap Cik Emily dan ayahnya sedang memegang tali kekang, kedua-dua mereka terbingkai oleh pintu depan yang terbuka lebar. Lalu, ketika usianya sudah mencapai tiga puluh tahun dan masih tetap sendiri, kami sebenarnya tak berasa senang hati, tapi mengesahkan. Meski wujud sakit mental dalam keluarga ini, dia tak perlu sampai menolak semua pinangan jika ia sesuatu yang benar-benar wujud. 

Setelah ayahnya meninggal dunia, satu-satunya harta pusaka baginya ialah rumah itu, dan dari satu sudut, hal itu menggembirakan semua penduduk. Akhirnya, mereka dapat berasa belas kasihan  kepada Cik Emily. Mungkin selepas menjadi sebatang kara, dan menjadi miskin, dia akan lebih berperikemanusiaan. Kini baru dia juga tahu betapa sukar dan pahitnya hidup.  

Sehari setelah kematian ayahnya, para wanita datang ziarah dan menyampaikan takziah serta memberi bantuan mengikut adat kami. 

Cik Emily bertemu mereka di muka pintu dengan berpakaian seperti biasa tanpa memperlihatkan air muka orang bersedih. Dia mengatakan kepada mereka, ayahnya tidak mati. Dia berkelakuan seperti itu selama tiga hari. Beberapa paderi cuba menenangkannya, beberapa doktor pula memujuknya agar jenazah ayahnya dikuburkan. Ketika hampir saja kekerasan digunakan, barulah dia gagal mengawal perasaan lalu melolong menangis, dan dengan segera mereka menguburkan ayahnya.  

Kami tak anggap dia gila ketika itu. Kami fikir hal itu dilakukannya kerana terpaksa. Kami masih ingat lelaki-lelaki yang pernah diusir ayahnya, dan kami juga faham sebagai seorang yang tidak punya apa-apa lagi, dia perlu berpaut kepada sesuatu yang merompaknya, seperti mana yang akan dilakukan oleh orang-orang lain. 

3

DIA sakit agak lama. Ketika kami melihatnya semula, rambutnya sudah dipotong pendek, raut mukanya seperti seorang budak perempuan bak gambar bidadari yang terpampang di tingkap-tingkap gereja, kelihatan penuh tragedi tapi tenang. 

Majlis perbandaran baru sahaja meluluskan kontrak melebarkan lorong pejalan kaki, dan pelaksanaannya dimulai pada musim panas setelah ayah Cik Emily meninggal dunia. Syarikat pembinaan muncul dengan orang-orang Negro, keldai-keldai, jentera dan seorang mandor Yankee bernama Homer Barron yang berbadan besar, kulit agak gelap, sedia bertindak, bersuara parau, dan penglihatannya tajam berbanding kegarangan wajahnya. Budak-budak lelaki datang berkumpulan untuk mendengar dia memaki orang-orang Negro, dan orang-orang berkulit hitam itu terus cekal menghayun cangkul sambil bernyanyi. Tak lama kemudian, dia kenal hampir semua penduduk bandar. Terdengar sahaja gelak ketawa di suatu tempat lapang, sentiasa Homer berada di tengah-tengah kumpulan itu. Kami mulai melihat dia bersama Cik Emily menaiki kereta beroda kuning pada petang-petang Ahad dengan ditarik sepasang kuda sepadan yang disewa dari sebuah kandang kuda. 

Mulanya, kami berasa gembira Cik Emily berubah seperti itu berikutan semua wanita berkata, “Tentu saja seorang anggota keluarga Gierson tak akan memilih seorang lelaki dari utara yang bekerja sebagai buruh.” 

Tapi, ada sebilangan yang lain, wanita-wanita lebih tua, mengatakan bahawa kesedihan tak dapat menyebabkan seorang wanita tulen melupakan kepentingan darjat walaupun cuba mengabaikan makna kepentingan darjat. Mereka sekadar berkata, “Kasihan, Emily! Kaum kerabatnya sepatutnya datang menziarahinya.” Dia mempunyai beberapa saudara di Alabama, tapi beberapa tahun lalu ayahnya telah berselisih faham dengan mereka mengenai harta pusaka wanita tua bernama Wyatt, perempuan tua gila, dan sejak itu hubungan kedua-dua keluarga itu terputus. 

Mereka bahkan tak menghadiri upacara pemakaman ayahnya.  

Sejak golongan tua berkata, “Kasihan, Emily,” desas-desus bermula. “Adakah kau kira benar begitu?” Mereka kata sesama sendiri. “Dah tentu. Apa lagi yang akan …” Jawapan dengan menutup mulut di sebalik tangan. Desiran kain sutera dan satin kedengaran di sebalik jendela yang tertutup bagi mengelak sinaran matahari tengahari Ahad apabila bunyi detak-detuk pantas sepasukan kuda kurus sepadan berlalu pergi: “Kasihan, Emily!” 

Dia tetap mendongak meskipun kami yakin sebenarnya dia telah jatuh terjerebab. Bagaikan dia menginginkan dirinya lebih dihormati sebagai anggota keluarga Gierson terakhir, semua itu sebagai sentuhan jelas mengenai dirinya yang tak boleh ditembusi. Contohnya, sewaktu dia beli racun tikus, arsenik. 

Masa itu, setahun setelah mereka mula berkata “Kasihan, Emily,” dan ketika dua orang sepupu perempuannya melawatnya. 

“Saya perlu sedikit racun,” katanya kepada ahli farmasi. Ketika itu, umurnya lebih tiga puluh tahun, masih ramping walau lebih kurus daripada kebiasaan, tanpa emosi dengan mata hitam kelihatan sombong pada mukanya, ketegangan pelipis dan lubang matanya boleh anda gambar sebagaimana sepatutnya wajah seorang penjaga rumah api. “Saya perlu sedikit racun,” katanya. 

“Ya, Cik Emily. Jenis apa? Untuk tikus atau yang berkaitan? Saya syor ...” 

“Saya perlu racun terbaik yang awak ada. Saya tak peduli jenis apa.” 

Ahli farmasi berkenaan  sebut nama beberapa jenis. “Semuanya boleh bunuh macam-macam, termasuk gajah. Tapi awak perlukan …” 

“Arsenik,” kata Cik Emily. “Bagus tak?” 

“Ia … arsenik? Baik, cik. Tapi, apa yang kau mahu …” 

“Aku nak arsenik.” 

Ahli farmasi itu bongkok memandangnya. Dia menentang balik pandangan lelaki itu, tegak, wajahnya seperti kerutan bendera. “Kenapa, sudah tentu?” Kata ahli farmasi berkenaan. “Jika itu yang kau mahu. Tapi, undang-undang mewajibkan kau bagitahu untuk apa kegunaannya.” 

Cik Emily hanya menatap tajam, kepala disenget ke belakang untuk merenung ke arah mata sehingga lelaki itu mengalihkan pandangan lalu pergi mengambil arsenik lantas membungkusnya. Seorang budak Negro menghantar bungkusan itu kepada Cik Emily. Ahli farmasi itu tak muncul kembali. Apabila dia buka bungkusan itu setiba di rumah, ada tulisan di kotaknya, di bawah gambar tengkorak dan tulang bersilang: “Untuk Tikus.” 

4

OLEH ITU, esoknya kami semua berkata, “Dia akan bunuh diri.” Dan, kami ucap, itulah yang terbaik. Ketika kali pertama dia berjalan-jalan dengan Homer Barron dulu, kami kata, “Dia akan berkahwin dengan lelaki itu.” Kemudiannya, kami kata, “Dia akan merayu lelaki itu,” kerana Homer sendiri menyatakan dia suka sesama lelaki, dan semua orang tahu dia sering minum arak dengan anak-anak muda di Elk’s Club dan perkahwinan tidak sesuai baginya. Kemudiannya, kami berkata, “Kasihan, Emily” dari balik jendela sewaktu mereka berdua melintas pada tengahari Ahad dengan kereta kuda, Cik Emily dengan kepala tegak manakala Homer Barron dengan topi senget, sebatang cerut digigit di bibirnya, tangan bersarung tangan kuning mencengkam cambuk dan tali kekang.  

Setelah itu, beberapa wanita mulai mengatakan bahawa semua itu merupakan hal yang mengaibkan seluruh bandar dan contoh buruk bagi anak-anak muda. Para lelaki tak mahu masuk campur, tapi akhirnya wanita-wanita berkenaan memaksa paderi pembaptis - ahli keluarga Cik Emily adalah anggota Episkopal - melawatinya. Paderi itu tak pernah menceritakan hasil pertemuannya, tapi ia tak mau mengulangi pertemuan itu. Ahad berikutnya, mereka masih menelusuri jalan-jalan lalu hari berikutnya isteri paderi berkenaan tulis surat kepada kerabat Cik Emily di Alabama. 

Ekoran itu, dia kembali mempunyai ahli keluarga di bawah satu bumbung dan kami menanti perkembangannya. Mula-mulanya, tak ada apa yang terjadi. 

Ketika itu, kami yakin benar mereka akan berkahwin. Kami tahu Cik Emily pergi ke kedai emas untuk memesan set mengemas diri lelaki dibuat daripada perak dengan lakaran H.B. pada setiap peralatan. 

Dua hari kemudian, kami tahu dia telah membeli sepasang pakaian lelaki, termasuk baju tidur, dan kami berkata, “Mereka kahwin.” Kami benar-benar gembira. Kami gembira kerana ternyata dua sepupu perempuannya bahkan kelihatan kini lebih bersemangat sebagai ahli keluarga Grierson berbanding yang pernah dialami Cik Emily sendiri. 

Jadi, kami tidak terkejut apabila Homer Barron menghilangkan diri berikutan projek pelebaran sudah siap. Kami hanya sedikit kecewa kerana penduduk bandar diabaikan tapi kami percaya permergiannya demi membolehkan Cik Emily membuat persiapan atau beri kesempatan untuk dia menyingkirkan kedua-dua saudara sepupunya. (Waktu itu seperti ada suatu komplot rahsia dan kami menjadi sekutu Cik Emily dalam usaha menyingkirkan dua perempuan itu.) Hampir pasti, seminggu selepas kejadian itu, mereka pula pergi. Dan, seperti yang kami jangka, tiga hari kemudiannya, Homer Barron datang kembali. Seorang jiran lihat lelaki Negro itu mempersilakannya masuk mengikut pintu dapur pada waktu senja.  

Dan, itulah kali terakhir kami melihat Homer Barron. Dan, Cik Emily untuk beberapa waktu. Lelaki Negro itu keluar masuk rumah sambil menjinjing bakul pasar, tapi pintu depan rumah itu tak pernah dibuka. 

Kadang-kadang, kami lihat dia berdiri dekat tingkap seperti dulu dilihat oleh lelaki-lelaki yang menabur serbuk kapur, tapi selama hampir enam bulan dia tak pernah muncul di jalanan. Kemudiannya, kami tahu bahwa semua ini juga seperti yang sudah diduga berikutan nilai-nilai berbisa dan berang yang dipegang ayahnya telah menyekat kehidupan anaknya sebagai seorang perempuan banyak kali sehingga sulit untuk dilenyapkan. 

Apabila kami kemudiannya lihat Cik Emily, dia telah menjadi gemuk dan rambutnya sudah kelabu. Beberapa tahun kemudian, warna kelabu itu terus bertambah-tambah kelabu sampai ke tahap sama rata bagai campuran serbuk lada dan garam yang berwarna kelabu besi. Di hari kematiannya pada usia tujuh puluh empat tahun pun masih berwarna kelabu besi seperti warna rambut seorang lelaki aktif. 

Sejak itu juga, pintu depan rumah terus tertutup, kecuali bagi tempoh enam atau tujuh tahun ketika dia berumur empat puluh tahun sewaktu dia mengajar lukisan Cina. Dia menjadikan salah satu daripada bilik-bilik bawah rumahnya sebagai studio, tempat anak-anak dan cucu-cucu Kolonel Sartoris dengan bersemangat belajar melukis seperti tekunnya mereka pergi ke gereja pada hari minggu sambil membawa dua puluh lima sen untuk bersedekah. Ketika itu, bayaran cukainya dikecualikan. 

Generasi berikutnya muncul menjadi tulang belakang dan semangat baru bandar kami, anak-anak yang dulunya belajar lukisan Cina sudah dewasa, semakin tak lagi mengunjunginya dan tak lagi membawa kotak cat, berus yang membosankan serta guntingan gambar dari majalah-majalah wanita. Pintu depan rumah kekal ditutup. Ketika bandar kami mendapat perkhidmatan pos percuma, cuma Cik Emily yang melarang mereka terbabit menempel nombor diperbuat daripada logam di bahagian atas pintu dan meletakkan kotak surat di situ. Dia tak menghiraukan pandangan mereka. 

Hari, bulan, tahun. Kami lihat lelaki Negro itu bertambah tua dan bongkok, keluar masuk rumah sambil menjinjing bakul pasar. Setiap Disember kami mengirim notis percukaian ke rumahnya, tapi seminggu kemudian ia dikembalikan, tak dituntut. Sekali-sekala, dia kelihatan di salah satu tingkat bawah. Terbukti dia menutup ruang ke tingkat atas bagai gambar patung yang selesa diukir pada badan, sama ada dia lihat atau tak lihat kami, kita tak boleh tentukan yang mana satu. Begitulah kehidupannya melewati satu generasi ke generasi selanjutnya: disayangi amat, tak dapat dielakkan, tak boleh dipengaruhi, tenang dan berfikiran songsang. 

Dan, dia meninggal dunia. Jatuh sakit di dalam rumah yang penuh dengan debu dan bayang-bayang, hanya berteman seorang lelaki Negro yang terhegeh-hegeh bergerak untuk menjaganya. 

Kami semua tak tahu pun dia jatuh sakit, memang sudah lama kami putus asa untuk mendapatkan maklumat daripada Negro itu. Lelaki itu tak bercakap dengan sesiapa, mungkin tak juga dengan Cik Emily karena suaranya kedengaran serak dan berkarat seperti sudah lama tak digunakan.  

Dia meninggal dalam salah sebuah kamar di tingkat bawah, di atas sebuah katil berat yang diperbuat daripada kayu walnut, dilengkapi kelambu, kepala kelabunya terletak di atas sebiji bantal, kuning dan bercendawan kerana sudah berusia dan tak terdedah kepada cahaya matahari. 

5 

NEGRO itu menyambut kumpulan pertama pelawat wanita di muka pintu depan dan membenarkan mereka masuk. Dalam keheningan, mereka bercakap secara berbisik dengan pandangan pantas serta rasa ingin tahu, dan kemudiannya lelaki itu pergi. Dia berjalan melintasi ruang rumah ke arah belakang, keluar melalui pintu dapur seterusnya lenyap tanpa dilihat lagi selama-lamanya. 

Kedua-dua sepupu perempuan datang serentak. Mereka mengurus pemakaman pada hari kedua, disaksikan oleh penduduk bandar yang datang berbondong-bondong untuk melihat Cik Emily di bawah timbunan bunga yang dibeli, dengan lukisan krayon wajah ayahnya berfikir mendalam terletak mengatasi tempat meletak keranda. Di anjung dan laman rumah, beberapa lelaki tua, ada yang memakai seragam tentera Bersekutu, berbual mengenai Cik Emily seolah-olah perempuan itu hidup bersama-sama mereka, berkhayal mereka pernah menari dengannya, bahkan pernah memikatnya. Mereka begitu keliru tentang perhitungan dan urutan waktu seperti yang biasa terjadi kepada orang-orang yang sudah terlalu tua. Bagi mereka, semua yang terjadi di masa lampau bukan seperti sebatang jalan yang semakin tiada kepentingan sebaliknya adalah suatu padang rumput yang luas yang tidak disentuh musim dingin, tersisih daripada mereka sekarang oleh kesempitan masa beberapa dekad kebelakangan. 

Sudah kami ketahui, memang ada sebuah kamar di loteng yang tak pernah dilihat sesiapapun selama tempoh empat puluh tahun dan ia harus dibuka secara paksa. Mereka menunggu sehingga jenazah Cik Emily selesai dikebumikan sebelum membukanya.  

Gegaran pintu yang dibuka secara paksa menyebabkan seluruh kamar itu berselerak penuh debu. Kain rahap tipis berbau tajam seperti pada keranda nampak menutup barang-barang di ruangan itu yang dihias seperti kamar pengantin: kelambu yang warna merahnya sudah luntur, lampu-lampu dibayangi warna ros, meja solek, susunan cantik kristal dan peralatan berkemas lelaki bersalut perak yang sudah kusam, peraknya begitu kusam sehingga huruf yang diukir kelihatan samar. Di antara itu semua terdapat kolar dan tali leher seperti baru ditanggalkan yang sebaik sahaja diangkat terdapat bekas bulan sabit pucat di kelilingi debu. Pada sebuah kerusi tersidai sepasang sut terlipat rapi, di bawahnya ada sepasang kasut bisu dan sarung kaki yang telah dicampak buang. 

Tubuh lelaki itu terbaring di katil. 

Lama kami sekadar berdiri di situ, tunduk memandang sengihan mendalam tanpa daging. Nampaknya, tubuh itu sebelum itu baring berpelukan, namun tidur yang abadi telah mengatasi cinta, malah telah menakluk ringisan cinta, menduakan lelaki itu. Apa yang masih tersisa hanyalah pakaian tidur yang melekat sebati dengan ranjang tempatnya terbujur. Dan, di atasnya dan pada bantal di sampingnya melekat lapisan debu. 

Kemudiannya kami dapati, pada bantal kedua ada bekas kepala. Salah seorang daripada kami kutip sesuatu dari situ, sambil menyandar ke depan. Dalam kelam debu sukar dilihat, manakala cuaca kering berbau tajam menusuk hidung, kami nampak sehelai rambut panjang berwarna kelabu besi. 

William Faulkner (1897-1962) adalah pemenang Hadiah Nobel Kesusasteraan 1949. Antara novel terkenal beliau ialah Sastoris, The Sound and the Fury, Absalom, absalom, Light in August, Intruder in the Dust, As I Lay Dying, Requiem for a Nun dan The Hamlet. Faulkner dilahir dan dibesarkan di New Albany, Mississippi. Beliau tiada kelulusan tahap universiti tapi pernah menjadi juruterbang dan wartawan. Faulkner berjaya menghasilkan novel sulungnya berikutan rakannya, Sherwood Anderson mendesaknya supaya berusaha menyelesaikan karyanya, Soldier’s Pay. Cerpen yang diterjemah di atas ni, bagi saya, amat menarik kerana Faulkner menggunakan banyak ungkapan berbentuk metafora seperti kasut bisu, tugu peringatan, dan lain-lain. Cerpen ni juga menggambarkan sikap ahli politik berkaitan JANJI, Cik Emily yang gila tapi berprinsip, jiran-jiran yang tak lapor kepada pihak berkuasa mengenai kemungkinan jenayah berlaku di rumah Cik Emily, lelaki Negro yang pendiam pun satu hal, dan lain-lain. Apa-apapun, cerpen ni adalah karya Faulkner yang paling popular sehingga ia sering dibaca di hadapan para pengunjung rumah yang didiami Faulkner selama 32 tahun. Rumah ni sekarang dikenali sebagai Muzium Faulkner.

Comments