Semasa saya belajar di sebuah sekolah menengah berasrama penuh dari 1978 sampai 1982, arwah ayah
saya pernah ajar saya bacaan beberapa ayat selepas solat Subuh. 1. Arwah ayah saya sebut Subuh sebab dia tahu berapa kerat sangat orang
muda solat Subuh! Maksudnya, ayah suruh saya jangan tinggal solat 5 waktu!
2. Kenapa pula ayah yang fasih Bahasa Arab, Banjar, Cina dan Orang Asli ni
suruh saya baca ayat-ayat tertentu yang beliau tulis tanpa menyalin daripada
mana-mana kitab? Yang ni ayat supaya Allah bagi badan hang kuat dan yang ni
supaya setan takut! Masa tu, saya baru masuk sekolah menengah, tentulah ayah
saya kata macam tu, kan? Ayah juga letak baris setelah saya bagitahu saya susah
nak baca jika tulisan tu sekadar huruf kosong! Dah tua ni, bila saya dengar sikit-sikit
al-Quran dalam YouTube: “Allahu akbar! Boleh di kata semua ayat yang ayah tulis dan suruh
hafal ni ayat al-Quran!” Al-Fatihah untuk arwah ayah, mak, mak besar, tok wan, beberapa tok nek dan semua yang telah pergi mendahului saya!
Sejak kecil juga – saya dah tulis sebelum ni di blog ni –
orang kampung saya amal zikir kuat juga laju dan makin laju - begitu juga ketika
baca satu dua kitab syair - tapi sebutannya penuh. Solat sunat Tarawikh 20 rakaat biasanya imam baca al-Fatihah dan surah-surah pendek lain senafas, gerakan
solat turut cepat tapi bukan kelam kabut tanpa tuma'ninah semacam beberapa video yang viral di internet tu! Baru-baru
ni, saya tonton sikit ja ulasan seorang ustaz muda mengenai sebuah buku nipis
mengenai zikir Hu kerana video tu sejam lebih. Saya dapati ayat-ayat Bahasa
Melayu yang diguna dalam buku ni tak ikut cara penulisan yang betul. Sebagai seorang
bekas wartawan, saya dilatih untuk tulis bagi orang senang faham dan cepat baca.
Seperti cara bercakap Mandarin: Saya nak pergi ke Kuala Lumpur iaitu wo yao qui Jilongpo. Inilah struktur ayat yang paling popular diamal mereka yang bercakap loghat Cina ini. Tidak ada penutur Mandarin yang akan cakap seperti Kuala Lumpurlah agaknya saya bakal pergi yang kelihatan berserabut, kan? Elak guna perkataan bombastik
yakni sedap di telinga tapi gagal membawa makna yang jelas. Tapi, perkataan
seperti lestari yang bererti tak berubah – bukan saya petik dari buku nipis tu – sebagai contoh sebaliknya boleh diguna kerana ia sudah popular dan ia
lebih pendek lalu jimat ruang dalam buku! Tapi, saya faham, penulisnya
seorang ustaz lulusan universiti di Timur Tengah yang tentunya lebih
terpengaruh dengan gaya bahasa kitab-kitab berbahasa Arab. Masalah bahasa ni
tak berapa penting!
Masalah utama ialah buku kecil ni semacam disah mufti Negeri Sembilan kerana ada tulisannya berbentuk introduksi. Saya malas nak ulas panjang-panjang atau menggali maklumat dari kitab-kitab Hadis dan lain-lain kerana saya bukannya seorang yang faham Bahasa Arab. Tapi, saya nak soal kenapa zikir Hu tu nak ditonjolkan kepada masyarakat sedangkan kat sekolah malah kat mana-mana universiti seluruh dunia pun rasanya takdak sapa diwajibkan belajar, kan? Apakah Islam masih ada amalan “tersembunyi” yang semua orang kena tahu? Apakah zikir Hu ni satu keperluan yang jika tak diamal akan mencacatkan Islam seseorang? Kalau nak pertahan amalan zikir Hu ni pun kenapa perlu buat buku yang nanti akan tambah masalah apabila orang kebanyakan yang kurang ilmu akan terpengaruh sedangkan amalan wajib lain pun mereka berkenaan masih bercempera? Apakah buku ni sebagai suatu tagan untuk mempamerkan semangat "Jom Lawan Perlis" atau "negeri-negeri yang tak sewaktu” dengan Negeri Sembilan? Kenapa nak timbulkan perbalahan sedangkan setahu saya segelintir “golongan sufi tertentu” sahaja yang suka berzikir Hu ni dan bukankah majoriti golongan sufi tak suka kepada sebarang bentuk usaha yang membawa kepada perbahasan dengan pihak lain? Pada saya, lebih baik buku nipis ni ditarik balik dari pasaran dan mana-mana pihak berkuasa di Negeri Sembilan toksah cakap apa-apa kerana nak buat apa berdebat lebih panjang mengenai hal ini? Apa kebaikannya?
Comments
Post a Comment