Video-video snuker dan pool saya nak kaji.

1. Walau masih dalam frame 1, remaja yang telah berjaya menjadi juara suatu kejohanan peringkat dunia beberapa bulan lalu, tetap tak menyerah kalah dalam permainan di bawah ni kerana dia yakin dia masih ada peluang menang dengan membuat beberapa snooker dan seterusnya menghabiskan bola-bola yang ada di atas meja. 


2. Tak tahu menari dikatakan lantai jongkang-jongket. Memang betul makna selapis ayat ni dalam permainan snuker dan pool. Sepanjang yang saya tahu, tak pernah ada pemain yang biasa jadi juara dunia snuker jadi juara dunia pool, begitu juga tak pernah juara dunia pool jadi juara dunia snuker. Selain, Jimmy White ramai lagi pemain snuker bertaraf dunia cuba nasib dalam permainan pool tapi semuanya gagal jadi juara dunia. Antaranya: Steve Davis, Judd Trump, Ronnie O'Sullivan dan Tony Drago. Sebab tu, dalam hal politik kepartian, selain padang permainan perlu sama rata, calon terbabit perlu cukup mahir mengendali hal-hal membabitkan masalah orang ramai.


3. Otai berbisa. Video kat bawah. Rasanya, Efren tak pernah melakukan pukulan "lompat" atau istilahnya jump shot sebaliknya dia guna angled shot dengan mengambil kira kedudukan cue ball dengan garisan tepi meja. Jump shot biasanya dipraktik pemain-pemain pool generasi muda. 


4. Di bawah ni, seorang mat salleh yang rasanya dia ni pernah di-whitewashed Efren Reyes suatu ketika dulu, dan beberapa hari lepas dia ditewaskan pula seorang pemain yang berasal dari negara yang sama dengan Efren Reyes. Mengikut kajian saya, Mika ni terlalu mengabaikan safety. Dan, sekarang ni pulak, selain pemain-pemain suka lakukan jump shot apabila bola yang nak dituju tersorok, sistem mengira mata untuk menang jugak dah berubah. Pemain-pemain lawan kejar menang 4 kali dalam dua set, jika seri mereka akan berentap pukulan penalti. Jika set penalti pertama seri, lawan penalti jarak jauh sikit, dan jika masih seri maka pukulan penalti jarak jauh ni diteruskan secara sudden death


5. Terkini! Hebat! Cun gila! Remaja berusia 18 tahun menumpaskan Juara Dunia Snuker.


6. Ketajaman pukulan seorang Juara Dunia. Dah ketinggalan 72-0 masih boleh atasi lawan! Pengalaman manis saya main snuker berlaku pada 1991 di Kompleks Kota Raya, KL apabila saya ketinggalan rasanya 49-0, dan masih ada empat bola merah di atas meja. Saya makan keempat-empat bola merah dengan kesemuanya diikuti bola hitam, seterusnya saya masukkan kuning, hijau, coklat, biru, pink dan hitam ke dalam poket lalu peroleh 59 mata. Dan, itulah ja pun jumlah kutipan mata paling banyak secara sekali harung - istilahnya "saukiu" - yang saya pernah kecapi sepanjang zaman saya bermain snuker dulu-dulu!


7. 8 ball adalah jenis pool yang saya mula-mula belajar. Kemudiannya, saya kenali permainan 6 ball dan 9 Ball, diikuti straight pool dan bank pool. Akhir sekali, saya main pool di atas meja snuker. Undang-undang permainan setiap jenis pool ni macam-macam, tapi selalunya bergantung kepada tempat kita bermain. Banyak jugak la Orang Putih, Arab dan Kulit Hitam yang pernah kalah atau hampir kalah kepada saya. Saya kalah pastilah ada! Kali terakhir saya main pool, saya berentap 8 ball di Hotel Hilton, Khartoum dan semua Orang Putih dan Arab di situ kalah kepada saya! Tapi, saya terpaksa berhenti main walau saya tengah seronok menonjol bola. "I've got a plane to catch," saya bagitahu mereka. Pada saya, lebih mudah main 8 ball berbanding jenis-jenis pool yang lain. Saya juga lebih suka main 8 ball dan oleh itu saya letak video kat bawah ni untuk saya tonton suatu masa nanti. 


8. Video di bawah paling atas - IBSF Snooker Championships U21 Doha 2022. Juara remaja dunia baru! Pemainan tak berapa bagus tapi adegan kejar dan kemudiannya dikejar agak dramatik ditambah ulasan yang begitu romantis. Banyak kali dia ucap: "Where's the white?" Pada kejohanan yang sama, pemain Pakisan, Ahsan Ramzan telah berjaya melakukan maximum break iaitu jumlah mata sebanyak 147 yang dikutip secara berterusan dalam satu frame. Video di bawah di tengah - Seorang pemain Thailand berjaya memperolehi 147 mata pada 2016. Walaupun terbukti hebat, Ahsan tak berjaya ke peringkat final. Dalam apa-apa permainan pun, pertahanan - safety mengikut istilah snuker - amat penting! Video di bawah paling akhir - Final Kejohanan Terbuka Welsh 2022, Joe Perry adalah orang kedua paling tua menjuara snuker dunia, berusia 47 tahun, berjaya mengetepikan pemain lebih muda, Judd Trump 9-5 dengan strategi bertahan yang sudah diketahui umum sering dipergunakannya selama ini. Bagaimanapun, dalam berpolitik pilihan raya, cara bertahan tiada makna. 



Comments