UCAPAN-UCAPAN MENARIK
Ambil isi yang baik, tolak yang buruk
Saya berasa
amat dihormati kerana berpeluang bersama-sama anda yang menerima ijazah hari
ini daripada salah sebuah universiti terbaik di dunia. Suatu kenyataan benar, saya tak pernah lulus universiti. Inilah saat paling hampir saya menghadiri
upacara graduasi di universiti. Hari ini, saya ingin menceritakan kepada anda
tiga cerita berdasarkan hidup saya. Ini sahaja! Bukan suatu hal utama sangat,
hanya sekadar tiga cerita.
Cerita pertama adalah mengenai menghubungkan titik-titik. Saya gagal meneruskan pengajian di Reed College setelah 6 bulan pertama, tapi kekal sebagai pelajar tak rasmi selama kurang lebih 18 bulan sebelum saya benar-benar berhenti. Jadi, mengapa saya gagal? Ia bermula sejak sebelum saya dilahirkan. Ibu kandung saya dulu adalah seorang remaja, mahasiswi tidak menikah, dan dia memutuskan memberikan saya kepada sebuah keluarga angkat. Dia mahu sangat-sangat saya dijadikan anak angkat kepada sepasang suami dan isteri lulusan universiti. Oleh itu, semuanya diatur supaya saya dijadikan anak angkat oleh seorang peguam dan isterinya sebaik sahaja saya dilahirkan. Sebaliknya, sewaktu saya muncul ke dunia, mereka mengambil keputusan saat-saat akhir bahawa mereka amat inginkan seorang bayi perempuan.
Oleh itu,
kedua-dua orang tua saya yang sedang dalam senarai menunggu anak angkat mendapat
suatu panggilan telefon tengah malam yang menanyakan: “Kami tak terduga
memperolehi seorang bayi lelaki. Adakah anda menginginkannya?” Mereka berkata:
“Sudah tentu.” Ibu kandung saya kemudian mengetahui bahawa ibu angkat saya tidak
pernah lulus universiti dan ayah angkat saya pula tidak pernah tamat
sekolah menengah. Ibu kandung saya menolak menandatangani kertas-kertas perjanjian
pengambilan anak angkat. Beliau hanya mengalah beberapa bulan kemudian setelah
bakal ibu bapa saya berjanji akan menyekolahkan saya sampai ke universiti. Inilah
permulaan kepada kehidupan saya.
Dan, 17
tahun kemudian saya masuk universiti. Tapi, secara naifnya saya memilih sebuah
universiti yang hampir sama mahal dengan Stanford, dan semua wang simpanan
daripada gaji kedua-dua orang tua saya dihabiskan membayar yuran universiti. Setelah
6 bulan berlalu, saya tidak nampak sesuatu yang berharga dalam tindakan ini. Saya
tidak mempunyai idea mengenai apa yang saya mahu buat dalam kehidupan saya dan
saya tiada idea mengenai apa yang universiti akan bantu saya untuk mencari
kaedah untuk menyelesaikan masalah saya. Dan, di sini saya hanya menghabiskan
semua wang ibu bapa saya yang mereka kumpulkan seumur hidup mereka. Jadi, saya
memutuskan untuk berhenti belajar dan yakin semuanya bakal okey. Hal ini agak
menakutkan pada waktu itu, tetapi imbas kembali kenangan ini, sekarang saya
melihatnya bahwa hal tersebut adalah yang terbaik yang saya pernah buat. Sebaik
sahaja berhenti belajar, saya berhenti mengikuti kelas pengajian yang
diwajibkan yang tidak menarik minat saya, sebaliknya saya mulai menyertai kelas
pengajian yang lebih menarik.
Itu semua tidak romantis, saya tidak mempunyai bilik di asrama, saya tidur di
atas lantai di sebuah bilik kawan saya. Saya jual botol-botol coke dengan
keuntungan 5 sen setiap pemulangan dan saya guna untuk beli makanan, dan saya akan
berjalan tujuh batu setiap malam Ahad untuk mendapatkan satu hidangan makanan mingguan
di kuil Hare Krishna. Saya menyukainya. Banyak perkara yang saya temui ketika
itu. Dan, tindakan saya mengikuti rasa ingin tahu dan gerak hati saya sendiri ternyata sangat
berharga di hari-hari kemudian.
Saya beri satu
contoh: Reed College pada waktu itu mungkin menawarkan pengajian kaligrafi
terbaik dalam negara. Di seluruh kampus, setiap poster, setiap label pada
setiap laci terdapat tulisan tangan indah berbentuk kaligrafi. Disebabkan saya
telah berhenti belajar dan tidak ada keperluan untuk mengikuti kelas-kelas biasa
maka saya memutuskan untuk mengikuti kelas kaligrafi untuk mempelajari
bagaimana melakukan seni ini.
Saya
belajar bentuk-bentuk tulisan serif dan
san serif, tentang membezakan luas ruang
di antara kombinasi-kombinasi huruf yang berbeda, mengenai apa yang membuat tipografi
hebat itu begitu hebat. Ia indah, bersejarah, nilai artistiknya halus sehingga tidak
tergambar oleh sains, dan saya merasakankan hal ini mempesonakan. Namun, tak
satu pun daripadanya boleh diharap untuk diguna pakai secara praktikal dalam kehidupan
saya. Tapi, 10 tahun kemudian, ketika kami mereka cipta komputer sulung
Macintosh, semuanya datang kembali pada saya. Dan, kami guna ilmu kaligrafi
sewaktu mereka bentuk Mac. Ia adalah komputer pertama dengan tipografi yang
indah. Jika saya tidak pernah masuk kelas kaligrafi sewaktu di universiti, Mac
tidak akan memiliki pelbagai bentuk tulisan atau kadar ruang di antara
huruf-huruf cetak yang seimbang. Dan, disebabkan Windows menciplak Mac, maka
tidak ada komputer peribadi yang serupa seperti kedua-duanya.
Jika saya
tidak pernah berhenti belajar di universiti, saya tidak akan mengikuti kelas kaligrafi
ini, dan komputer peribadi mungkin tidak akan memiliki tipografi yang indah
seperti sekarang. Tentulah rasa mustahil untuk menghubungkan titik-titik ini di
masa depan sewaktu saya di universiti dahulu. Tapi, sangat jelas sewaktu 10
tahun kemudian apabila saya melihat ke arah belakang. Sekali lagi, anda tidak
akan dapat menghubungkan titik-titik jika anda lihat ke arah depan. Anda hanya
dapat menghubungkan titik-titik dengan melihat ke arah belakang. Jadi, anda
mesti percaya bahawa titik-titik berkenaan akan tersambung pada suatu masa
depan. Anda harus percayakan sesuatu, keyakinan diri anda, takdir, kehidupan,
karma, apa-apa pun. Kerana, percaya bahawa titik-titik akan berhubung dalam
kehidupan mendatang bakal memberi keyakinan kepada anda supaya mengikut gerak
hati meskipun ia mendorong anda keluar dari lorong sedia ada dan inilah yang
bakal menjadi suatu kelainan.
Cerita kedua saya adalah tentang
cinta dan kehilangan. Saya beruntung. Saya menemukan apa yang saya suka ketika saya masih
muda. Woz dan saya memulakan Apple di
dalam garaj ibu bapa saya semasa saya berusia 20 tahun. Kami kerja keras dan
dalam tempoh 10 tahun Apple tumbuh dari hanya ketika kami berdua di dalam garaj menjadi perusahaan 2 bilion dolar dengan
lebih daripada 4000 kakitangan. Kami baru sahaja mengeluarkan produk terbaik
kami, Macintosh satu tahun lebih dulu dan saya baru berumur 30 tahun.
Selanjutnya, saya dipecat. Bagaimana anda dipecat oleh syarikat yang anda
sendiri tubuh? Dalam pertumbuhan Apple, kami mengambil seorang yang saya fikir sangat
berbakat untuk menjalankan syarikat dengan saya dan sekitar tahun pertama,
semua berjalan dengan sangat baik. Tapi, kemudiannya visi-visi masa depan kami
semakin menyimpang dan kami bertengkar. Ketika itu, ahli-ahli lembaga pengarah condong kepadanya. Oleh itu, sewaktu berusia 30 tahun, saya keluar. Dan, diketahui umum
saya telah meninggalkan syarikat ini. Apa yang menjadi fokus sepanjang peringkat
dewasa saya akhirnya musnah dan hal ini amat membinasakan.
Saya benar-benar
tidak tahu apa yang hendak saya buat selama beberapa bulan. Saya berasa bahawa
saya mengecewakan generasi usahawan-usahawan terdahulu bagaikan saya
menjatuhkan baton yang dihulurkan kepada saya. Saya menemui David Packard dan
Bob Noyce dan saya mencuba minta maaf kerana saya telah menimbulkan kekacauan
keterlaluan sangat. Saya terdedah sebagai seorang yang gagal pada pandangan
masyarakat, malah saya berfikir untuk meninggalkan lembah berkenaan. Tapi,
perlahan-lahan saya mulai faham. Saya masih suka apa yang saya telah lakukan. Kejadian
buruk di Apple tidak mengubahkannya. Saya telah ditolak tapi saya masih cinta.
Oleh itu, saya bercadang untuk memulakannya kembali.
Saya tidak jelas
ketika itu, tetapi didapati pemecatan saya oleh Apple adalah hal terbaik yang
pernah terjadi pada diri saya. Beban berat menjadi orang berjaya digantikan
dengan yang ringan akibat saya menjadi seorang baru bermula kembali,
kurang yakin tentang segala hal. Hal itu membebaskan saya untuk memasuki peringkat
paling kreatif dalam hidup saya. Sepanjang lima 5 tahun berikutnya, saya memulakan
sebuah syarikat, NeXT dan sebuah syarikat lain bernama Pixar, dan saya jatuh
cinta kepada seorang wanita luar biasa yang bakal menjadi isteri saya. Pixar
menerbitkan filem animasi komputer pertama di dunia berjodol Toy Story, dan
sekarang ia adalah sebuah studio animasi paling berjaya di dunia. Suatu
peristiwa luar biasa sebaliknya terjadi apabila Apple beli NeXT, saya kembali
ke Apple, dan teknologi yang kami kembangkan di NeXT menjadi jantung kepada perubahan
Apple. Manakala, Laurene dan saya memiliki sebuah keluarga luar biasa. Saya
yakin, semua ini tidak akan terjadi jika saya tidak dipecat Apple. Ini adalah
obat pahit, namun saya rasa seorang pesakit memerlukannya.
Cerita ketiga adalah tentang
kematian. Semasa saya berumur 17 tahun, saya baca sebuah kata-kata hikmat yang
berbunyi seperti ini : “Jika kamu hidup setiap hari seolah-olah ia adalah hari
terakhir kamu, maka suatu saat nanti pandangan kamu ini akan menjadi suatu
kebenaran.” Hal tersebut memberi kesan terhadap diri saya, dan sejak itu selama 33
tahun, saya lihat cermin setiap pagi dan soal diri sendiri: “Jika hari ini
adalah hari terakhir saya, apakah saya ingin melakukan apa yang akan saya
lakukan hari ini?” Dan, bila sahaja jawapannya “tak” dalam beberapa hari
berturut-turut, saya tahu saya perlu ubah sesuatu.
Mengingatkan
bahawa saya akan segera mati adalah alat paling penting yang saya temukan untuk
membantu membuat keputusan-keputusan besar dalam hidup. Kerana hampir segala benda,
semua jangkaan luaran, semua yang dibanggakan, semua rasa takut malu atau gagal,
semua perkara ini akan menjadi berkurangan saat menghadapi kematian,
meninggalkan hanya apa yang benar-benar penting. Mengingati anda akan menemui
ajal adalah cara terbaik yang saya tahu untuk menghindari perangkap fikiran
bahawa anda akan kehilangan sesuatu. Anda sudah telanjang. Tiada alasan lagi untuk
tidak mengikuti gerak hati anda.
Sekitar
setahun lalu saya disahkan menghidap barah. Saya diimbas 7:30 pagi dan hasilnya
jelas menunjukkan saya memiliki tumor di pankreas. Saya bahkan tidak tahu apa
itu pankreas. Doktor-doktor mengatakan kepada saya bahwa hampir pasti ia
sejenis barah tak dapat diubati, dan saya dijangka dapat hidup tidak lebih dari
tiga sehingga enam bulan. Doktor saya menasihati saya pulang ke rumah dan menyelesaikan
tanggung jawab saya mengikut aturan kepentingan iaitu isyarat doktor kepada
saya supaya bersiap sedia untuk mati. Ini bererti cuba dan beritahu anak-anak
semua benda yang anda fikir anda punya
tempoh sepuluh tahun ke depan untuk beritahu mereka hanya dalam beberapa bulan.
Ini bererti untuk memastikan segalanya diatur kemas sehingga memudahkan
keluarga anda. Ini bererti untuk anda mengucapkan selamat tinggal.
Saya hidup
dengan diagnosis ini sepanjang hari. Kemudiannya, malam itu saya dibiopsi, mereka
masukkan endoskop ke dalam tekak saya, melalui perut terus ke dalam usus saya,
memasukkan sebatang jarum ke pankreas saya lalu ambil beberapa sel di bahagian tumor
berkenaan. Saya dibius, namun isteri saya, yang ada di sana, mengatakan bahawa
ketika mereka lihat sel-sel itu di bawah mikroskop, doktor-doktor mulai
menangis kerana barah ini ialah sejenis barah pankreas yang jarang-jarang
berlaku dan yang boleh disembuhkan dengan pembedahan. Saya telah dibedah dan syukur
saya sudah sihat sekarang.
Ini adalah
peristiwa saya paling hampir dengan kematian, dan saya berharap ia kekal paling
dekat dengan saya untuk beberapa dekad lagi. Setelah melalui pengalaman
tersebut, sekarang saya boleh kata kepada anda dengan sedikit kepastian bahawa kematian
adalah konsep yang berguna dalam bentuk intelektual: Tidak ada orang yang ingin
mati. Bahkan orang-orang yang ingin masuk syurga pun tidak ingin mati dulu
untuk mencapainya. Namun, kematian adalah destinasi yang kita kongsi bersama.
Tiada siapa pun boleh mengelak. Dan, memang ia harus demikian kerana kematian bagaikan
satu-satunya ciptaan terbaik kehidupan. Ia adalah agen perubahan kehidupan. Ia
menghapuskan yang lama untuk memberi jalan kepada yang baru. Sekarang yang baru
adalah anda, tapi suatu hari nanti tidak terlalu lama dari sekarang, anda
secara bertahap akan menjadi tua dan dihapuskan. Maaf kerana terlalu dramatik,
tetapi ini betul.
Waktu anda
terbatas, jadi jangan sia-siakannya dengan menjalani kehidupan orang lain.
Jangan terjebak oleh dogma iaitu hidup dengan pemikiran yang diputuskan orang
lain. Jangan biarkan suara pendapat-pendapat orang lain menenggelamkan suara
batin anda. Dan, paling penting, miliki keberanian untuk mengikuti hati dan gerak
hati. Kedua-duanya dalam keadaan tertentu sudah tahu apa sebenarnya yang anda
inginkan. Semua yang lain adalah pilihan kedua.
Ketika saya
masih muda, ada suatu bahan penerbitan menakjubkan bernama The Whole Earth
Catalog, yang merupakan salah satu kitab-kitab suci generasi saya. Ia dicipta oleh seorang bernama Stewart Brand yang tinggal tidak jauh dari sini di Menlo
Park, dan dia mempersembahkannya kepada kehidupan dengan sentuhan puitisnya.
Ini di akhir 1960-an, sebelum wujud komputer peribadi dan desktop publishing, jadi semuanya dibuat dengan mesin taip, gunting,
dan kamera polaroid. Ia bagaikan Google dalam bentuk buku berkulit nipis, 35
tahun sebelum kelahiran Google: isinya idealis, dan penuh dengan peralatan
kemas dan konsep kepercayaan hebat. Stewart dan pasukannya menerbitkan beberapa
edisi The Whole Earth Catalog, dan ketika mencapai titik ajalnya, mereka menerbitkan
edisi terakhir. Di kala itu pertengahan 1970-an, dan saya ketika itu seusia anda
sekarang. Di kulit belakang edisi terakhir itu ada satu foto sebatang jalan kampung
pada waktu pagi, jalan yang mungkin anda lalui sewaktu mengembara dengan
menumpang kenderaan orang lain jika anda seorang yang suka bertualang. Di
bawahnya ada kata-kata: “Stay Hungry.
Stay Foolish.” Itu adalah pesan perpisahan mereka ketika mereka memutuskan
hubungan. Stay Hungry. Stay Foolish.
Dan, saya selalu berniat begitu untuk diri saya sendiri. Dan sekarang, anda sudah lulus untuk memulai kehidupan cara
baru, saya berniat ungkapan itu untuk anda. Stay
Hungry. Stay Foolish. Terima kasih amat sangat saya ucap kepada anda semua.
[nota: Video
di atas memaparkan Steve Jobs (24 Februari 1955- 5 Oktober 2011) sedang berucap
di Stanford University pada 12 Jun 2005. Beliau adalah salah seorang pengasas
syarikat gergasi komputer, Apple Inc. Biopsi ialah pembedahan untuk mengambil
tisu dalam badan untuk dibuat kajian bagi mencari punca penyakit. Stay hungry bukan bererti kekal kelaparan tapi bermaksud berusaha bersungguh-sunguh
kerana inginkan sesuatu, stay foolish
pula bukannya bererti kekal “kurang bijak” tapi bermakna terus mencuba
perkara-perkara baru atau sanggup keluar dari zon selesa. Bagaimanapun, dalam
kehidupan peribadi Steve Jobs pula, pepatah, Stay Hungry. Stay Foolish ini seolah-olah memberi makna negatif berikutan
keobsesan beliau terhadap bidang komputer telah merenggangkan hubungan beliau
dengan ahli-ahli keluarga, khususnya anak perempuannya, Lisa.]
Comments
Post a Comment