(nota saya: Contoh perlambangan yang tak demokratik. Bandingkan gambar paling atas dengan dua di bawahnya. Ada perbezaan, kan? Anak-anak tu tak terbabit dalam perbandingan ini, okey! Gambar di atas tu, saya ambil di sebuah sekolah menengah di Perak. Kali terakhir saya ke sekolah ni, saya dapati semua gambar di dinding ni dah tiada! Namun,  warna dindingnya pula dah dicat lain macam! Saya buta warna tapi tahu kerana saya tanya isteri saya. Dua gambar paling bawah pula, aksi  saya di sebuah sekolah rendah di Pulau Pinang. Lama tak pi dah sekolah ni pasai anak bongsu saya pun dah Tingkatan 4.  Ada ka lagi atau berubah secara demokratik, saya tak tau!)

Analisa ringkas dan santai PRN Melaka 20 Nov 2021

1. 

Bila 4 ketua "katak" lompat keluar dari mana-mana kolam, sudah tentulah kolam yang dijadikan premis barunya akan lebih ramai penghuni. Betul. Tapi, masalahnya berapa ribu orang bala tentera ikut bersama-sama ketua-ketua "katak" tu? Kira mudah ja, jika kekuatan sokongan ahli parti ketua-ketua "katak" itu ketika mereka jadi calon dulu dijadikan semacam pemboleh ubah utama, katalah dulu menang dengan majoriti 500, sahkah individu berkenaan dapat bawa lari semua pengundinya kecuali 250 orang? Tunjukkan macam orang awam lompat atau baru masuk parti yang dikumpulkan berpuluh-puluh malah beratus-ratus orang dalam sesuatu majlis. Saya tak suka sikap ketua malah ahli biasa mana-mana parti yang lompat melompat termasuk orang ramai baru masuk parti tertentu waktu dekat pilihan raya sama ada negeri atau umum tapi sekurang-kurangnya maneuver sebegini kena tunjuk dengan jelas dalam bentuk angka. Senaraikan nama orang awam yang dijangka mengundi "katak" terbabit jika beliau jadi calon dengan tiket parti lain atau bebas, barulah mengerikan! Bagaimana nak kira? Jangan suruh pakar matematiks pulak tapi minta orang yang buat peta rumah setiap kampung dengan kecenderungan berpolitik penghuninya. Kiraan ni tak babit subjek kalkulus pun tapi susah jugak bagi orang yang tak arif subjek perang saraf. 

2. 

Bab lambang parti, saya pernah tulis yang saya tak berapa setuju PAS pakai lambang lain pada PRN Melaka baru-baru ni. PAS kena uji dulu lambang PN tu kat PRK. Kat Sabah sebelum ni rasanya PAS tak bertanding, bukan? Dan, sampai lani saya tak tahu - orang lain pun sama, bukan? -  apakah bendanya simbol bagi PN atau PH tu? Selama ini, ada lambang mata, bulan mengambang, kapal layar, dacing, tengkolok, kepala seladang, roket, kunci dan lain-lain. Tulisan PN dan PH ja yang dok nampak kat akhbar, tv dan internet tapi lambang atau simbol tu entah pi mana? Sekolah saya dulu masa ditubuhkan pada awal 1974 namanya Sekolah Menengah Sains Pulau Pinang, tukar pada rasanya 1980 atau awal 1980-an ke Sekolah Tun Syed Sheh Shahabudin, lani dikenali sebagai Sekolah Sains Tun Syed Sheh Shahabudin pulak! Awat orang tak tau ka sekolah tu aliran sains sampai kena pi bubuh macam-macam nama. Pasai setiap pengetua baru nak glamour kot? Bubuh nama seseorang berpengaruh pun dah cukup macam nama yang kedua tu! Tapi, nama satu hal, mujur lambang lencana tak ditukar. Kalau ditukar, memang tak kenai la saya dengan "anak-anak" yang bersekolah di sekolah menengah saya ni dulu jika terserempak di mana-mana. Panggilan mudah bagi sekolah menengah saya ni dulu pula senang tangkap di kepala iaitu sekolah sains atau "Science Penang." Fikir la kritis sikit. Nabokov ada tulis cerpen Signs and Symbols. Cerpen ni pun ada kekeliruan sikit kerana ada orang kata tajuknya ialah Symbols and Signs. Dan, ada juga guna simbol & untuk perkataan di tengah-tengah! Mana satu betul? Sastera lainlah, lagi keliru lagi menarik dan popular! Bercerita mengenai Nabokov, sasterawan ni boleh bercakap dan menulis dengan bagus sekali dalam tiga bahasa: Rusia, Perancis dan Bahasa Inggeris.

Ada suatu cerita, dan saya rasa saya pernah cerita tapi takpa la diulang sebagai pengajaran. Ada seorang ahli PAS. Beliau kalau cerita politik sampai bersembang kat tangga batu pintu masjid pun boleh tahan hentam kerajaan BN. Ok-lah demokrasi, saya tak kisah kerana jika sosialis atau komunis tu Islam kata boleh ikut, saya pilih yang belakang sekali tu bukannya UMNO waima PAS! Orang kampung saya pula tak berapa kisah sangat kerana beliau ni memang perangai macam tu. Suatu hari, saya tanya beliau sewaktu kami duduk bersembang berdua di bangsal motorsikal sebelah masjid yang ada beberapa bangku kayu. Selalunya, ramai lelaki hisap rokok dan minum kopi atau teh di situ: "Depa kata abang pangkah BN baru-baru ni, betoi ka?" Saya cakap mesra gaya utara dengannya bagi mengelak beliau marah kerana beliau tinggal di kampung seberang jalan bertentang masjid yang penuh dengan "diaspora" Pulau Pinang dan Kedah. Rumah saya di sebelah belakang masjid, dan majoriti kami bercakap Perak ala Kuala Kangsar. "Aku geram kat UMNO, aku terpangkah BN!" Macam tu pulak dah? Apa-apa pun, beliau istiqamah pergi masjid dan jadi bilal sampai akhir hayat! Al-Fatihah.

3. Pasai Bahasa Kebangsaan. Saya pernah ulas sebelum ni. Tapi, saya nak ulas sikit lagi. Pi la Kelantan, saya tak pernah jumpa orang bukan Melayu Kelantan yang tak reti dialek negeri tu. Bekas YB Bukit Bintang, Wee Choo Keong sewaktu bersembang malah ketika berbahas di Parlimen sering tergeliat lidahnya sebut perkataan dalam loghat Kelantan. Wartawan-wartawan dari negeri Cik Siti Wan Kembang ni - termasuk bukan Melayu - pun sama! Saya  tak tau sekarang, tapi zaman saya kerja wartawan awal 1990-an, ramai wartawan yang menulis dalam Bahasa Inggeris amat fasih berbahasa Melayu! Ada juga pelat sikit, tapi tetap mereka bersembang dengan saya dalam Bahasa Melayu, sedangkan bukannya saya ni tak reti English langsung! Ada seorang rakan wanita berketurunan India di NSTP - kali terakhir saya baca tulisan beliau dalam STAR, rasanya beliau editor Business Section - pernah kata kepada saya dalam bahasa Melayu: "Datuk tolong ajar saya Bahasa Melayu, boleh?" Saya faham, beliau sekadar berbasa-basi dan maksudnya saya bantu dalam hal mencari maklumat dalam penulisan berita bukannya mengajar Bahasa Melayu macam di sekolah kerana beliau fasih berbahasa Melayu. 

Wartawan-wartawan sebenarnya adalah makhluk yang biasanya faham hal persekitaran. Saya sendiri pernah kemukakan soalan dalam Bahasa Inggeris kepada seorang Timbalan Menteri Kewangan pada suatu sidang akhbar - beliau YB Melayu berasal dari Johor kemudiannya jadi Menteri Besar - kerana semua wartawan bertanya dalam Bahasa Inggeris. Ada seorang wartawan wanita Melayu dari Business Times bersuara semacam memperlekeh saya sedangkan jika ayat yang saya cakap tu tak betul pun, dia boleh kritik kemudian. YB berkenaan tak ada masalah untuk faham soalan saya lalu beliau jawab dalam English dengan selesa. Dalam keadaan lain, semua wartawan akan bercakap dalam Bahasa Melayu jika kami tahu ahli politik atau sesiapa pun yang kami tanya itu tak fasih atau tak suka berbahasa Inggeris. Oleh itu, kenapa seorang wartawan boleh "buli" seorang ustaz yang jelas tak fasih Bahasa Inggeris dengan bercakap dalam English? Tapi, jangan salah anggap semua ustaz tak fasih English. Rasanya, bekas Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharudin Mat Isa fasih English dan Perancis selain Melayu dan Arab. Reti tak tak reti Bahasa Inggeris tak penting! Berapa ramai pemimpin Rusia cakap English? Negara kuasa besar dunia tu! Akhir leteran, jika seseorang pemimpin politik tak fasih English, jawab ja dalam Bahasa Melayu. Kalau tak faham soalan, katalah yang tanya tu minah dari USA (Amerika Syarikat ikut nahu sebenar jika dipendekkan ialah The USA atau The United States of America bukan tiga huruf USA ni saja tapi saya tulis di sini ikut kaedah yang ramai orang sebut. Tapi, jika kita ucap ayat penuh dalam English, lebih baik sebut The USA supaya kedengaran mantap! Saya bukan bagus sangat English, saya sekadar kongsi ilmu bahasa sikit.) atau wartawan tempatan sekali pun, suruh wartawan yang berdiri di sebelahnya translate. Tak ada masalah pun! Saya dulu pernah juga tolong bagi penerangan mengenai sesuatu kes jenayah kepada beberapa rakan wartawan akhbar Cina yang kurang faham apa yang dicakap oleh wakil-wakil dari jabatan tertentu. Apa-apa pun, jangan buat perangai macam kebanyakan orang Melayu di Pantai Barat Semenanjung. Suka sangat ajuk cara cakap orang bukan Melayu yang tak fasih Bahasa Melayu seperti ayat "lu mau pigi mana, tauke apa maciam itu punya celita dan lain-lain lagi" bila bercakap dengan mereka terbabit. Sekali-sekala takpa, tapi elak buat perangai begitu di hadapan rakaman video!

(nota lagi: Kat bawah ni video mengenai penterjemah Erdogan. Tak salah PAS tiru kerana hal kebaikan, kan? Tapi, saya rasa, lebih baik penterjemah lelaki bertugas untuk pemimpin lelaki begitu juga penterjemah perempuan bertugas untuk pemimpin perempuan. Guna masa perlu ja seperti jika ke Eropah, Amerika Selatan, China atau hadir mesyuarat dengan pelbagai pemimpin dunia untuk jimat duit rakyat! Kaedah part-time translators lebih bagus!)

Comments