Beberapa cubit kisah mengenai bahasa 

1.

Aku punya seorang rakan sekolah rendah, arwah Joi - nama sebenar Idris - yang dulu tinggal di sebuah estet getah di Batu 25, Jalan Taiping-Beruas. Dia sedikit gagap apabila bercakap Melayu, tapi bila dia menyanyi lagu Tamil, hilang pula kegagapannya. Cakap Tamil lagilah lauk bagi dia. Rafi pula, fasih Cina kerana rumahnya tak jauh dari kawasan Kampung Baru Sungei Rotan. Ramai lagi rakan-rakan Melayu aku kat kampung yang reti cakap Cina atau Tamil, tau! Kawan-kawan Banjar aku pula ada yang fasih bila bercakap loghat Utara, tak nampak langsung mereka tu berketurunan Banjar. Tapi, ada juga yang sedikit pelat sehingga panggilan Leman kedengaran seperti Niman. Jawa ada, orang Parit ada juga tapi kerana terlalu sedikit lalu mereka seolah-olah hilang dari radar sebab kami biasanya bercakap loghat utara sesama sendiri dengan gaya Taiping. Sebutan Taiping ikut cara kami ialah Taypain jika dieja dalam bahasa Inggeris. Orang dari Kuala Kangsar ramai juga tapi kebiasaannya mereka turut bercakap gaya Taypain dan hanya bercakap sesama ahli keluarga mereka sahaja ikut loghat Kuale Kangsor. Aku? Ayah aku campuran Banjar dan Acheh, manakala mak aku campuran Jawa dan Pakistan. Jadi, percakapan aku di rumah berbaur-baur dengan pelbagai bahasa tapi hampir 90 peratus aku bercakap gaya Taypain di rumah melainkan dengan jiran orang Kuale Kangsor. Pelik bukan? Maknanya Taypain dan daerah sekitarnya dijajah di segi bahasa oleh Kedah, Pulau Pinang malah Perlis. Oh! Ada juga yang cakap pelat Kelantan kerana datang dari Pengkalan Hulu, Perak. Bile dengor die cakap Perak atau loghat utare rase lawak le pulak! Bahasa Batak langsung aku tak faham dan keluarga Batak berkenaan pindah entah ke mana tak lama selepas mereka menetap di kampung aku beberapa bulan! Bagaimana pula penduduk kampung aku yang berbangsa bukan Melayu - Cina, Malabari dan India? Ramai masih pekat atau keras lidah, dan apabila bercakap macam Bangla baru sampai Malaysia. Tapi, ramai juga yang fasih bahasa Melayu gaya Taypain atau Kuale Kangsor sehingga korang yang baca tulisan aku ni - aku jamin insya-Allah - ingat mereka ni Melayu jika tak tengok kad pengenalan mereka berkenaan. 

2. 

Baru-baru ni, aku tengok video YouTube ucapan seorang pemimpin UMNO yang teruk betul sebutan Inggerisnya. Ramai nitizen kutuk kerana dia ni tak sepatutnya begitu kerana dulu beliau belajar di luar negara. Belajar undang-undang pulak tu! Nanti dulu, dengar sini baik-baik, hampa yang kutuk tu pernah pi belajar kat luar negara ka? Orang kulit hitam yang kat Afrika tu ada yang bercakap teruk betul sebutannya dalam English. Tapi, depa tu boleh tulis novel dalam bahasa Inggeris dan betul pulak nahunya. Hampa boleh ka tulaih novel macam orang Afrika berkenaan? Jangankan hampa, aku pun tak mampu tulis semuka surat dalam bahasa Inggeris tanpa ada kesilapan. HeHeHe. Pemimpin Malaysia yang cakap gaya Afrika tu boleh ka tulaih macam orang Afrika terbabit tulaih novel? Mana la aku tahu tapi takkan beliau boleh jadi lawyer kalau subjek English tak lulus, kan? Makna kata, setiap orang ada kelemahan. Ada yang cuma pandai menulis, ada yang cuma pandai bercakap dan ada yang pandai kedua-duanya. Tapi, kalau lahir kat Nigeria tapi tak faham salah satu loghat kaum di sana, barulah patut dikecam gila! Betul tak? Apa-apa pun, sepanjang yang aku perhati pemimpin terbabit berbahas dalam bahasa Melayu di Dewan Rakyat atau memberi ucapan dalam bahasa Melayu di majlis-majlis tertentu, aku dapati sebutannya seakan-akan tersekat-sekat. Makna kata ucapannya tak lancar serta bunyi yang dikeluarkan tak jelas. Itulah kelemahan sebenar beliau. Oleh itu, cadangan supaya diguna penterjemah bagus juga jika mereka yang hadir tak faham apa yang beliau ucap. Jika mereka yang hadir di majlis berkenaan mampu faham apa yang pemimpin politik berkenaan ucapkan, tiada masalah beliau berucap dalam bahasa Inggeris. Nak malu apa cakap tak lancar, beliau bukan orang putih! Aku di sini pula bukan nak bersifat perkauman tapi kat negara ni kan ramai yang lahir di Malaysia tapi tak reti bahasa Melayu! Jangankan bangsa-bangsa bukan Melayu, orang Melayu pun sama! Menulis lagi la ke laut! Begitupun, aku amat menghormati beberapa wartawan tempatan pelbagai bangsa yang menulis dalam bahasa Inggeris tapi begitu merendah diri apabila bercakap dengan aku menggunakan bahasa Melayu yang amat baik. Aku pernah tanya seorang wartawan Melayu macam mana dia boleh tulis bagus sangat dalam bahasa Inggeris apabila dia ulas mengenai hal ekonomi. Dia tersenyum sambil jawab, "La! Aku dilahirkan dan bersekolah kat England, Man." 

[nota: Aku kat blog ni sering tulaih gaya percakapan harian aku kerana aku rasa bosan pulak jika terlalu ikut bahasa baku. Aku hanya menggunakan bahasa baku jika aku tulis laporan rasmi sahaja. Dalam cerpen pulak, aku kebiasaannya guna loghat utara atau sebutan mana-mana negeri hanya dalam ucapan. Contohnya: "Hang nak pi mana?" Lokman berkata sambil melihat ke arah aliran air sungai yang semakin deras akibat hujan lebat kira-kira sejam tadi. Dalam hal yang berbeza, aku sering bukak dan kemudiannya segera kesampingkan blog aku ni apabila aku ada hal lain yang perlu aku buat. Kali terakhir aku bukak blog aku ni, jumlah orang yang baca dah bertambah daripada 1 kepada 3 orang. Jadilah asal ada orang baca. "Not bad," kata orang putih! ☺☺☺]

Comments