Di bawah ini, sajak-sajak penyair luar negara, termasuk karya penulis bukan Islam seperti Kahlil Gibran, penganut Kristian Maronite. Kalau pun seagama Islam, aliran pemikiran mungkin pula tak sama, seperti Rumi, seorang tokoh sufi. Mungkin juga ada di kalangan mereka ini berfikiran terlalu liberal. Bagi saya, sastera adalah universal, dan nikmatilah dengan menggunakan akal. Jangan mudah terpengaruh! Dunia kini di akhir zaman, gigitlah pegangan akidah Islam dengan kekuatan geraham, bukan sekadar gigi.

Hari Penamat 

Pada hari penamat nanti tatkala keranda aku diusung pergi, jangan fikir jiwa aku akan terus mendiami dunia ini. Jangan meratap demi aku,menangis. Tragedi, tragedi. Kau hanya akan tersungkur ke dalam jerat-jerat khayalan - inilah sebenarnya tragedi. 

Sewaktu kau lihat tubuh tak bernyawa aku bergerak pergi, jangan seru aku. Sudah berlalu, sudah berlalu. Ini masanya aku bersatu. Ini ketikanya aku menghampiri pelukan abadi Kekasih aku. 

Semasa aku diturunkan ke dalam liang lahat, jangan ucap, selamat tinggal, selamat tinggal. Kerana pusara hanyalah sehelai kelubung yang menutup kemegahan syurga. 

Setelah melihat kejatuhan, pertimbangkan kemunculan. Adakah keburukan pernah muncul disebabkan tenggelamnya matahari atau bulan? Apa yang kelihatan kepada kau sebagai tenggelam, pada aku suatu kemunculan.Apa yang kelihatan kepada kau sebagai sebuah penjara, pada jiwa aku adalah sebuah taman abadi.

Setiap biji benih yang menembusi muka bumi akan tumbuh. Patutkah ia berbeza dengan sebutir biji benih manusia? Setiap timba yang dihulur ke dalam telaga akan kemudiannya muncul penuh. Patutkah aku merungut apabila bukannya air tapi aku tarik Yusuf ke atas?

Jangan cari perkataan-perkataan kau di sini. Cari di sana. Senandungkan aku di dalam hati kau yang sunyi, dan aku akan bangkit untuk mendengar lagu kemenangan kau.






Aku Telah Datang Untuk Menyinarkan 

Aku telah datang untuk berganding tangan dengan kau dan bawa kau kepada diri Aku.
Aku telah datang untuk menyinarkan laluan kau sewaktu kau berjalan di lorong ini.
Aku akan membuatkan kau berasa tidak bersalah, Aku akan membuatkan kau berasa berani, kemudiannya Aku akan letak kau di tempat paling terang dalam alam semesta.
Aku telah datang bagai bayu musim bunga menyapa padang kau yang penuh bermacam bunga, oleh itu Aku boleh pegang kau di sisi Aku, lalu memeluk kau erat.
Aku telah datang untuk berganding tangan dengan kau dan bawa kau kepada diri Aku.
Aku telah datang untuk menyinarkan laluan kau sewaktu kau berjalan di lorong ini.
Bagai rayuan tangis kekasih-kekasih, Aku akan tolong kau gapai akar ke langit.
Daripada habuk di bumi sehinggalah ke manusia, terdapat seribu langkah-langkah.
Aku telah bersama kau menelusuri langkah-langkah ini, Aku telah berganding tangan dengan kau dan berjalan di samping kau.
Dan Aku akan bersama kau sewaktu kau bergerak ke sebalik ruang meninggalkan bentuk manusia lantas melompat tinggi ke langit paling atas.


Kita Boleh Lihat Kebenaran

Sejak lama dulu kau datang dan pergi menyemarakkan khayalan ini. Sejak lama dulu kau melarikan diri dari kesakitan dan melucutkan kegembiraan. Oleh itu, marilah kembali ke akar kepada akar jiwa kau. 
Walaupun kau muncul dalam bentuk duniawi, intipati kau adalah kesedaran tulen. Kau adalah penjaga berani cahaya Ilahi. Oleh itu, marilah kembali ke akar kepada akar jiwa kau. 
Apabila kau hilang semua perasaan terhadap diri sendiri, ikatan seribu rantai akan hilang. Hilangkan diri kau seluruhnya, kembali ke akar kepada akar jiwa kau. 
Kau berasal daripada Adam dengan kesucian kata Tuhan, tapi kau berpaling arah penglihatan ke hiburan kosong dunia. Bagaimana kau akan puas dengan jumlah yang sedikit? Oleh itu, marilah kembali ke akar kepada akar jiwa kau. 
Kenapa kau begitu terpesona dengan dunia sedangkan sebuah lombong emas terhampar dalam diri kau sendiri? Buka kedua-dua mata kau dan marilah - kembali ke akar kepada akar jiwa kau. 
Kau dilahirkan daripada sinaran-sinaran keagungan Tuhan apabila bintang-bintang berada tepat di kedudukannya. Berapa lama kau akan menderita akibat hentaman tangan ghaib? Oleh itu, marilah kembali ke akar kepada akar jiwa kau. 
Kau adalah permata delima tersorok dalam batu granit. Berapa lama kau akan memperdayakan kami dengan pameran luaran? Oh kawan, kami dapat lihat kebenaran di dalam kedua-dua bola mata kau! Oleh itu, marilah kembali ke akar kepada akar jiwa kau. 
Setelah seketika bersama rakan yang terpuji, kau menjadi penyayang, muka berseri-seri dan gembira. Kedua-dua bola mata kau kelihatan manis dan penuh dengan api membara. Marilah kembali ke akar kepada akar jiwa kau. kepada 
Shams Tabriz, raja premis makan minum dan penginapan, telah hulur kepada kamu cawan abadi, dan Tuhan dengan keagungan-Nya sedang menuang wain. Oleh itu, mari minum! Kembali ke akar kepada akar jiwa kau. 
Jiwa kepada jiwa-jiwa, kehidupan kepada segala kehidupan - kaulah itu. Dilihat dan tak dapat dilihat, bergerak dan tak bergerak - kaulah itu. Jalan menuju ke bandar tiada penghujung, pergilah tanpa kepala dan kaki-kaki dan kau akan sampai ke sana. Apa lagi yang kau ingin? - kaulah itu.


Jangan Tidur

Oh sang pencari, dengarkan kerinduan mendalam hati kau.
Jangan tidur!
Serah satu malam dalam hidup kau untuk berjaga.
Jangan tidur!
Kau telah lalui seribu malam tidur dalam buaian.
Aku pohon satu malam demi persahabatan.
Jangan tidur!
Saksi Penyayang tak pernah tidur malam, ikuti cara Dia: Serahkan diri kau kepada Dia.
Jangan tidur!
Berjaga-jaga akan malam sengsara apabila kau berseru dalam derita: "Oh Tuhan."
Jangan tidur!
Malam apabila kematian menjemput kau di malam menakutkan, oh yang memenatkan.
Jangan tidur!
Batu-batu pun berteriak apabila dibelenggu dengan rantai-rantai berat itu. 
Kau bukan batu.
Ingat selalu batu-batu itu.
Jangan tidur!
Meski malam menggoda kau bagai seorang gadis cantik, jangan hirup minuman dalam cawannya.
Takuti pagi berikutnya.
Jangan tidur!
Tuhan berkata, "Kekasih-kekasih Aku akan berjaga malam bersama Aku."
Jika kau dengar kata-kata ini.
Jangan tidur!
Takutlah suatu malam dahsyat apabila tiada perlindungan dapat dicari.
Sedia bekalan malam ini!
Berjaga-jaga!
Jangan tidur!
Wali-wali menemui harta karun mereka ketika dunia ini tidur nyenyak.
Demi curahan kasih berpanjangan.
Jangan tidur!
Apabila semangat kau sudah tua dan lusuh, Dia akan beri sebuah yang baru.
Kemudian kau berubah setelah memperoleh semangat paling tulen.
Oh kau yang damba harapan.
Jangan tidur!
Aku telah bagitahu kau lagi dan lagi.
Tembus ke dalam kesunyian!
Tapi kau masih enggan dengar kata-kata Aku.
Berikan Aku satu malam dan Aku akan anugerah seribu malam sebagai balasan.
Jangan tidur!



Kembali

Jiwa aku ingin terbang jauh tatkala kehadiran Kau memanggil aku dengan manis.
Jiwa aku ingin menaiki penerbangan apabila Kau berbisik, "Bangkit."
Seekor ikan ingin meluncur dari daratan kering ke samudera dalam ketika mendengar deruan ombak.
Seekor helang ingin kembali dari hutan ke pergelangan tangan raja sewaktu mendengar pukulan gendang "Kembali."
Seorang sufi, berkilauan dengan cahaya, ingin menari seperti cahaya matahari tatkala kegelapan mengelilingi diri dia.
Oh Tuhan - Kau menghargai dan Kau cantik, Kau cinta paling tinggi, Kau pemberi kehidupan.
Kesengsaraan dan kesukaran mendatangi mereka yang berpaling daripada Kau!
Oh burung, terbang kembali ke tanah asal kau.
Kau telah bebas dari sangkar.
Sayap-sayap kau berhasrat benar untuk terbang.
Terbang dari lopak tak menyenangkan ke aliran perairan kehidupan!
Tinggalkan bilik mereka yang meletak capal-capal kotor dan kembali ke singgahsana jiwa!
Tinggalkan saja! Tinggalkan saja!
Oh jiwa, tinggalkan dunia perpecahan dan mari bersama kami di dunia kesatuan.
Berapa lama kau akan bermain di dunia berdebu bagai seorang kanak-kanak mengisi skirt dengan batu-batu tak bernilai?
Hamparkan jauh bebanan bumi dan terbang ke atas menuju langit!
Jauhkan sifat keanak-anakan kau dan hadir jamuan mewah.
Lihat pelbagai cara tubuh memerangkap kau! Rungkai pegangan maut.
Bangkitlah. Angkat kepala kau bebas daripada khayalan.
Capai kitab suci dengan tangan kanan kau.
Kau bukan seperti seorang kanak-kanak yang tak tahu membeza kanan dan kiri.
Tuhan berkata kepada fikiran, "Kembali dari tempat asal kau."
Dia berkata kepada tangan kematian, "Berkas pecinta-pecinta dunia."
Dia berkata kepada jiwa, "Terbang kepada yang ghaib. Ambil segala harta yang kau mampu bawa dan jangan menangis lagi."
Kau bertanya, "Siapa raja?"
Bagitahu dunia yang kau adalah raja!
Ilmu pengetahuan kau melontarkan soalan ini dan kelembutan diri kau telah memberikan jawapan.


Jangan Pergi Tanpa Aku

Menari keghairahan kau pergi, jiwa aku antara jiwa-jiwa -
Jangan pergi tanpa aku.
Ketawa bersama rakan-rakan kau, kau masuk ke dalam taman -
Jangan pergi tanpa aku.
Jangan biar langit membelok tanpa aku.
Jangan biar bulan bersinar tanpa aku.
Jangan biar bumi berputar tanpa aku.
Jangan biar hari-hari berlalu tanpa aku.
Dua dunia bergembira kerana kau.
Jangan duduk di dunia ini tanpa aku.
Jangan pergi ke dunia selanjutnya tanpa aku.
Jangan biar kedua mata kau melihat tanpa aku.
Jangan biar lidah kau bercakap tanpa aku. 
Jangan biar kedua tangan kau memegang tanpa aku.
Jangan biar jiwa kau bergerak tanpa aku.
Cahaya bulan menyerlahkan wajah langit yang terang.
Aku cahaya, kau bulan -
Jangan bangkit tanpa aku.
Duri dijaga oleh bunga mawar.
Kau bunga mawar, aku duri -
Jangan tonjolkan kecantikan kau tanpa aku.
Aku adalah lengkungan pada tukul kayu kau, serpihan-serpihan batu di bawah pahat kau.
Jangan pukul batu itu tanpa aku. 
Jangan gores pahat tanpa aku.
Oh peneman bergembira raja, jangan minum tanpa aku. 
Oh penjaga di atas bumbung, jangan tak tidur tanpa aku.
Sengsara mereka yang bepergian seorang diri ... 
Kau mahir semua tanda, kau telah berjalan kaki di setiap lorong -
Jangan pergi tanpa aku.
Sesetengah orang panggil kau cinta, aku gelar kau raja cinta.
Kau mengatasi batas khayalan, membawa aku ke tempat-tempat yang aku tak terimpikan.
Oh pemerintah hati aku, ke mana pun kau pergi ...  
Jangan pergi tanpa aku.


Ku Pilih Untuk Mencintai Kau 

Ku pilih mencintai kau secara senyap 
kerana kesenyapan menemukanku kepada tiada penolakan. 
Ku pilih mencintai kau dalam kesepian 
kerana kesepian membuatkan tiada siapa memiliki kau melainkanku. 
Ku pilih memuja kau dari jauh kerana jarak jauh akan melindungiku daripada kesakitan. 
Ku pilih mencium kau dalam hembusan angin kerana angin lebih lemah lembut berbanding kedua-dua ulas bibirku. 
Ku pilih merangkul kau dalam mimpi kerana dalam mimpiku kau tiada penghujung.


Kawan Paling Aku Sayang 

Raja paling hebat berada dalam lingkungan diri aku. Dia adalah kawan paling aku sayang. Jangan renung muka aku yang pucat. Lihat bagaimana aku berdiri dengan kaki-kaki besi! Sentiasa berpusing ke arah pihak yang memberi aku kehidupan. Aku adalah matahari gemilang. Lautan sarat dengan mutiara. 
Dalam lingkungan hati aku adalah keagungan syurga. Di luar, bumi yang merendah diri. 
Aku bepergian di dunia ini bagai seekor lebah di dalam balang. Tapi jangan dengar dengungan aku yang sengsara - rumah aku penuh dengan madu!
Oh hati, jika kau ingin menyertai kami, bangkitlah kau menuju ke kubah di dalam langit. Tembusi kubu lalu tiada siapa boleh binasakan.
Perairan yang luas terbentang dan berkuasa menggerakkan batu pengisar syurga. Aku adalah roda agung yang menjerit syahdu. Berpusing mengikut aliran air yang deras.
Lelaki-lelaki, hantu-hantu dan roh-roh mengikut arahan aku. Adakah kau lihat aku ialah Sulaiman dengan cap mohor berkilauan pada cincin aku? 
Kenapa aku perlu berpenat lelah apabila setiap sel dalam badan aku meletuskan kehidupan?
Kenapa aku perlu menjadi haba keldai apabila aku sendiri menunggang seekor kuda hikmat? Kenapa perlu kurang hebat daripada bulan apabila tiada kala jengking-kala jengking di kaki-kaki aku.
Kenapa aku perlu duduk di dasar telaga apabila ada seutas tali kuat dalam tangan aku?
Aku telah bina sebuah tempat untuk helang-helang jiwa aku - Terbang arah ini burung-burung roh kerana aku dikelilingi seratus menara kukuh!
Aku adalah simbahan cahaya matahari yang menari-nari melalui tingkap-tingkap setiap rumah. Aku adalah permata cernelian, emas dan batu delima walaupun tubuh ini diperbuat daripada air dan tanah liat. 
Apa pun jenis mutiara yang kau cari, dapatkan mutiara yang terselit di celah mutiara-mutiara lain. Permukaan bumi berkata , "Harta karun berada dalam lingkungan." Batu permata bercahaya berkata, "Jangan terpedaya dengan kecantikan. Cahaya muka aku datang dari lilin roh aku."
Apa lagi aku boleh cakap? Kau hanya akan dengar apa yang kau sedia untuk dengar. Jangan angguk kepala kau. Jangan cuba permainkan aku. Kebenaran apa yang kau lihat tertulis di seluruh muka kau!


Ya Aku dan Bukan Aku 

Aku basah kuyup dalam banjir yang akan melanda. 
Aku terikat dalam penjara yang belum dibina.
Belum pun main catur, aku sudah disyahmat.
Belum pun mencicip secawan wain kau berikan, aku sudah mabuk.
Belum pun masuk medan perang, aku telah cedera dan dibunuh.
Aku sudah tak tahu perbezaan antara imej dan realiti.
Bagaikan bayang-bayang, ya aku dan bukan aku.



















Pahit Manis

Dalam khayalan aku, aku lihat taman bunga kekasih aku.
Dalam kegayatan aku, dalam kepeningan aku, dalam kabus kemabukan aku, berputar-putar dan menari seperti roda, aku telah lihat diri aku sebagai sumber kewujudan. Aku telah berada di permulaan sebagai semangat cinta.
Sekarang aku siuman. Hanya sakit kepala kesan minum arak, dan memori cinta, dan hanya dukacita. Aku damba kegembiraan. Aku minta pertolongan. Aku mahukan belas kasihan.
Dan, kekasih aku berkata lihat kepada aku dan dengarkan aku kerana aku di sini demi itu semua. Aku adalah bulan kau, dan juga cahaya bulan kau. Aku adalah taman bunga kau, dan juga air kau. Aku telah datang sejauh ini demi hasrat untuk kau tanpa kasut atau selendang. Aku mahu kau ketawa untuk membunuh segala kerisauan kau, untuk mencintai kau, untuk menyuburkan kau.


Cinta Sebagai Bukti

Berapa lama kau terus meratap, "Di mana ubat aku? Di mana penyembuh aku?" Siapa pun yang membuat kau mencari ubat, carilah dia. Berapa lama kau perlu terus terperangkap dalam kesedihan.
Mengeluh.
Dukacita telah merentap jiwa aku jauh. Apakah jiwa? Kenapa kau tak cuba cari jiwa? Sudahkan kau hidu bau sebuku roti? Pergi ke arah bau itu, bau itu akan bagitahu kau apa sahaja yang kau perlu tahu mengenai roti. 
Jika kau jatuh cinta, sayang kau adalah bukti & ia sudah cukup. Jika kau tak bercinta, apa perlu bukti? 
Berapa lama kau akan terus meratap, "Di mana ubat aku? Di mana penyembuh aku?" Siapa pun yang membuat kau mencari ubat, carilah dia. Kenapa kau tak cuba cari?



Kebenaran Berpanjangan 

Kecantikan yang hebat berikan kita segalanya. Salah siapa jika kita beredar dengan tangan kosong? Jangan kecewa jika orang berdaya memikat menjadi orang tanpa belas kasihan - sesiapa yang pernah melihat Dia akan bertindak bukan begitu? Kasih-Nya cukup bergula meski ia tak beri sedikit pun gula. Kecantikan-Nya cukup menjanjikan meski apabila ia membuatkan kau memungkiri janji. Tunjukkan saya sebuah rumah di mana cahaya-Nya tidak bersinar. Tunjukkan saya sebuah taman di mana kelembutan-Nya tidak memekar. Mata dan lampu adalah cahaya-cahaya yang berbeza tapi apabila mereka bersatu tiada siapa yang dapat membezakannya. Apa makna kebenaran? Apa makna kebatilan? Cahaya matahari-Nya tak pernah menyinari semua yang melintas lalu tanpa memberi kesan abadi.


Orang Yang Kerat Leher Kau 

Orang yang kerat leher kau adalah orang yang menderita kesedihan kau.
Orang yang memahkotakan kau ialah orang yang memperdayakan kau dan menyorokkan kesopanan kau. 
Orang yang memuatkan kau dengan kebendaan adalah orang yang membebankan kau. 
Kawan sebenar kau ialah orang yang menarik kau keluar daripada diri kau.


Yang Satu 

Aku bosan dengan rintihan mereka yang mengeluh ini.
Aku hendak dengar ngauman dan pekikan pemabuk.
Aku bernyanyi lebih sedap daripada burung-burung bulbul tapi mulut aku ditutup kerana setiap orang iri hati. 
Namun, aku ingin menjerit.
Sang juragan berlari-lari keliling bandar dengan sebatang lilin, dia berkata, "Aku bosan dengan unta-unta dan gergasi-gergasi. Aku hendak melihat seorang lelaki."
Mereka menjawab, "Kami mencari, tapi tak berjaya menemui dia."
Dia berkata, "Yang Satu kamu semua tidak berjaya cari adalah yang Satu aku mahu."



























Bacaan versi wanita di atas ni tak sama dengan versi lelaki lat beberapa video di atasnya, kan? Maknanya, sajak difahami mengikut tafsiran masing-masing☺












































Comments