Kerajaan macam pembangkang, pembangkang macam kerajaan

A. Tak dinafikan, PN dengan terasnya Bersatu+BN+PAS dibantu beberapa parti politik lain khususnya di Sarawak dan Sabah adalah gabungan terbaik untuk satu lawan satu dengan PH pada PRU-15. Statistiknya amat jelas! Begitupun, oleh kerana UMNO sukar untuk menyerah kerusi yang telah dilarikan oleh YB-YB UMNO yang “khianat” kepada Bersatu maka sukarlah tercapai hasrat murni berkenaan. Parti-parti kecil lain di Malaysia Barat dan bebas boleh diabaikan kerana mereka terbabit tak begitu terserlah jika kita baca sejarah semua PRU di negara ini. Dan, toksah sibuk sangat tentang janji-janji dalam manifesto kelak jika perkara asas mengenai perpaduan sesama blok parti politik pun tak menemui jalan terbaik.

Zaman wujud Semangat 46 dulu lain kerana, walaupun KuLi berkawan dengan DAP selain PAS, kerusi yang dipertandingkan adalah berbeza jenisnya dan tak sama seperti yang dihadapi PN ketika ini. PAS ketika itu takkan lawan dengan DAP di BM, begitu juga Semangat 46 takkan bertanding dengan DAP di Kepong. PAS pula cuma perlu mengagihkan kerusi dengan Semangat 46! Parti-parti tempelan lain ketika itu tak banyak songeh! Zaman itu tentulah mudah untuk membahagikan kerusi! Hal BN kekal memerintah sehingga hanya kalah pada PRU-14, itu cerita lain.

Sekarang, tolak ketepi kisah PH – kononnya ada segerombolan pemimpinnya nak berbaik dengan UMNO - atau pihak-pihak yang menjadi “musuh” kepada PN. Baiklah. Apa yang bakal berlaku jika UMNO berpatah arang dengan Bersatu ialah: 1. PAS duduk dengan Bersatu dalam PN 2. PAS rapat dengan BN 3. PAS sendirian 4. BN sendirian 5. Bersatu terus jaja PN dengan mungkin disokong parti politik jelmaan iaitu Pejuang. Maknanya, setelah diumum keputusan PRU-15 baru fikir cara nak bentuk kerajaan! Dalam pada itu, sebagai contoh, kalaupun PAS cuba bereksperimen dengan berkawan dengan Bersatu untuk menobatkan PN dalam PRU-15, ramai pengundi berkemungkinan beralih angin kepada PH walau BN mampu mereka ketepikan. Amacam pemimpin-pemimpin UMNO? Berani anda nafi kekuatan akar umbi PAS? Amacam PAS? Berani bagi kelebihan kepada PH jika anda kekal dalam PN tanpa BN? Semua bersendirian, lagilah PH berpesta sakan! Apa yang saya tulis ni bukannya 100 peratus bakal berlaku. Saya bersikap kritikal dalam keadaan saya lebih suka semua parti berteras Islam berpadu. Saya sekadar mengingatkan!

B. Saya menonton di YouTube interbiu bersama seorang MB baru-baru ni. Ada satu dua isu yang tak beliau ketengahkan. Sebagai seorang bekas wartawan, saya faham situasi ini. Takkan semua benda nak dibincangkan. Saya juga faham ramai “Orang Utara” bercakap semacam kasar walaupun hatinya baik. Cuma, MB berkenaan kena lembutkan sikit istilah yang dipergunakannya semasa bercakap dengan sesiapa pun, khususnya pihak wartawan. Sebagai contoh, orang kampung saya panggil orang berasal India yang beragama Hindu sebagai orang Hindu. Takkan saya sebut istilah ini apabila saya bercakap secara formal?

Sama juga, apabila ada pemimpin lain mengibaratkan “buaya” kepada mereka tertentu yang berada dalam sistem perundangan. Tak kena sangat apabila letak nama binatang apabila menulis secara formal mengenai seseorang atau mana-mana kumpulan! Tulislah apa benda yang menyebabkan hakim terbabit silap fikir supaya benda yang membabitkan undang-undang berkenaan boleh dipinda atau dibuang! Saya rasa, semua orang tahu mengenai sejarah Perlembagaan negara ini. Budak-budak sekolah pun tahu! Semua orang tahu bahawa mana-mana akta boleh dipinda atau dihapuskan jika pihak yang mengusulkannya mempunyai 2/3 sokongan ahli Parlimen. Oleh itu, kenapa "hina" hakim yang memutuskan sesuatu kes sedangkan anda sendiri adalah seseorang yang mempunyai “kuasa” untuk menggubal, meminda, malah membuang mana-mana akta yang dirasakan draconian, ketinggalan zaman, tak selaras Islam dan tak sesuai kerana lain-lain sebab? Malah, ada beberapa akta yang semacam tak pernah disentuh mana-mana hakim pun sebab ia tak ada apa-apa kepentingan! Malaysia bukan seperti Brunei kerana negara kita amal demokrasi berparlimen dan prinsip raja berperlembagaan. Ya la, sekarang parti berjiwa Islam kemungkinan tak cukup bilang untuk usul sesuatu kerana YB-YB Islam dalam kerajaan pun tak sependapat, tak payah cerita mengenai PH, MIC, MCA, PBS dan lain-lain. Begitupun, bukankah Islam dijanji Allah pasti menang? Jadi, bersabar dan buatlah apa yang boleh dibuat tanpa mempamerkan emosi keterlaluan!

Sebab itu, saya cenderung kepada pihak yang mahukan Parlimen bersidang supaya kerajaan sekarang boleh kurangkan aktiviti politik menghentam lawan secara tak ketahuan yang sedang berlaku di luar Dewan Rakyat! Usul tak percaya PM!!! Tak cukup bilang? La kut mana pun, PRU-15 dah sukar nak dilewat-lewatkan lagi! Saya juga berasa “lemas” sekarang ni apabila lihat kelakuan beberapa pemimpin politik pro-kerajaan bertindak bagai pembangkang, sedangkan pihak di blok pembangkang kelihatan agak tenang bagaikan mereka itu di pihak kerajaan! Selain itu, pihak kerajaan seharusnya kena elak bersikap terlalu menjawab persoalan didesak lawan sebaliknya perlu bercakap hal baru. Apa nak buat? Apa nak buat? Apa nak buat? Jangan pula bila dah cakap sesuatu tapi kemudiannya sat macam ni, sat macam tu. Minda saya kadang-kadang terasuk apabila berasa menteri yang nak ubah 10 hari jadi 3 tu sekadar disuruh pihak tertentu bercakap begitu demi melemahkan kerajaan PN! Takkan semua orang tak nampak seperti mana yang saya nampak! Selain tu, permainan politik hang kata kat aku, aku kata kat hang macam seorang YB dari Perak dan seorang YB dari Kelantan pun satu hal! Rakyat memerhati!!!

C. Saya tak ada kerja tetap sejak bertahun-tahun lalu. Ada sedikit duit saya dapat melalui sumber tertentu yang tak banyak mana pun. Mujur isteri saya tak ambil kisah hal saya. ❤❤❤ Tapi, cuba bayangkan mereka - mungkin lebih sejuta di luar sana - yang benar-benar tiada pekerjaan. Duit rumah, bayaran kereta, bil air dan api, belanja anak sekolah. Amacam? Saya sendiri pun berasa nak cari kerja tetap, mereka yang baru kena buang atau berhenti kerja lagilah “psiko.” Saya ada seorang rakan OKU yang curhat mengenai masalahnya tak dapat bantuan. Beliau buat permohonan tapi ditolak kerana tiada akaun bank tertentu yang sudah ditetapkan mengikut prosedur jabatan kebajikan negeri berkenaan. Beliau tak boleh buka akaun di bank terbabit disebabkan nama beliau telah disenarai hitam! Allahu akbar. Saya tak mampu tolong beliau sebab tu saya tulis dalam blog saya ni. Hal sebegini adalah sesuatu yang kerajaan sekarang perlu bertindak dengan prinsip: APA NAK BUAT? Takkan longgarkan prosedur dengan membolehkan kawan saya ni buka akaun di bank lain pun tak boleh? Biar betul!!!

Comments