Diari 1980
September
Isnin, 1 September
Makan lemang, lopeh dan cucur di rumah Mat Omar. Mat Ki dan sepupunya, Lan juga Anas dan Fadir datang. Kami minum air berais. Kemudiannya, aku pergi tinjau Empangan Jajar dengan mereka dan Mat Omar. Aku pekena "stone" di satu laluan dekat empangan itu sampai pening. Pulang rumah Mat Omar, aku makan limau manis cicah sambal belacan. Mat Omar kemudiannya bagitahu aku yang dia tak reti masak nasi. Dia suruh kak dia masak nasi.
Bersiap untuk pulang ke asrama. Sampai Stesen Bas Butterworth, Mat Ki dan rakan-rakan lain baru sahaja naik bas ke BM. Sampai BM, aku dan Mat Omar bertemu abang Mat Omar, abang Mail lalu beliau beri duit belanja kepada Mat Omar juga beberapa biji limau manis. Mat Omar belanja aku minum air botol di sebuah gerai dekat stesen keretapi. Setelah sampai ke asrama, aku tulis surat kepada Ta Kak Baie, aku tulis yang aku doa semoga anak saudara aku itu berjaya dalam peperiksaan SRP yang turut didudukinya pada tahun ini.
Ke prep malam, study macam biasa. Pulang ke dorm, aku sambung belajar di study room sampai aku rasa mengantuk.
Selasa, 2
September
Hisab Moden, buat kerja sendiri. English, belajar sentence connectors. Seorang rakan sekelas dipanggil Pengetua. Sains Paduan ke makmal study sendiri. Cikgu Jalgit Singh warning aku kerana bercakap dengan Abdul Rahman. Rehat. I.A. Cikgu tunjukkan bahagian gear dalam mesin. Sejarah, relax kerana cikgu tak mai. Agama, belajar sendiri dan ustazah sedikit hot kerana beberapa pelajar buat bising. Ilmu Alam, belajar Barat daya Asia. Main petang, seorang rakan bercerita yang ramai pelajar dalam kelasnya – termasuk dia - suka tidur dalam kelas. Prep malam, cikgu Mazlan datang periksa kelas. Study malam di study room, aku baca Ilmu Alam.
Aku catat juga di muka surat 2 September: 1. Aku pakai semula jam tangan yang telah lama aku biarkan sahaja. 2. Aku kongsi beli objective pad dan subjective pad dengan Pak Mat, Sabri dan Khairul Nazmi.
Rabu, 3
September
Peperiksaan percubaan SRP bermula hari ini. Ujian percubaan BM kertas 1.Rehat. Makan teh dan roti kering. Ujian percubaan BM kertas 2. Diikuti ujian Hisab Moden. Main petang, duduk di tepi padang dan berbual-bual dengan beberapa rakan. Prep malam, belajar Sejarah. Belajar malam di study room, aku belajar Sejarah lagi. Celahan kerusi kayu mengepit peha aku semasa aku study!
Khamis, 4
September
Ujian percubaan English kertas 1 dan kertas 2. Kelas petang, ujian percubaan Sejarah. Main petang, aku main bola sepak. Makan malam, aku makan berdekatan seorang pelajar perempuan Cina Form 5. Selepas pulang prep malam, aku study Agama di study room bersama Fauzi sampai jam 2 AM. [Ada 2 orang bernama Fauzi dalam Form 3. Aku tak pasti yang mana satu menemani aku study sehingga dinihari.]
Jumaat, 5
September
Ujian percubaan Agama. Aku kena marah dengan Pengetua kerana letak buku dalam meja. Sebenarnya, ujian belum dimulakan lagi. Beliau kata aku nak meniru. Prep petang, study Ilmu Alam. Jamil dan Zailan datang berbual dengan aku.
[Oleh kerana SRP sudah dekat, semua pelajar Form 3 dikecualikan sejak beberapa minggu sebelum September 1980 daripada aktiviti persatuan seperti Persatuan Catur, AVA atau PBBM pada Isnin, manakala aktiviti persatuan pakaian seragam seperti Silat Kalimah, Silat Gayung, scouts, girl guides dan Persatuan Bulan Sabit Merah pada Jumaat.]
Main petang, aku main bola sepak. Kemudiannya, aku pergi tonton perlawanan badminton antara pasangan Form 3, Subki dan Raden menentang pasangan Form 2, Goik dan “Cina Lembik.” Subki dan Raden menang tapi kemudiannya kalah kepada pasangan Azmi Mat Dom dan rakan setingkatannya. Azman dan Amiruddin pula kalah kepada pasangan Form 1. Lalu, Azmi Mat Dom dan rakan setingkatannya lawan pasangan Form 1 ini. Akhirnya, Azmi Mat Dom dan pasangannya menentang pasangan Form 3, Rajan dan Abdul Jalil pada peringkat final. Pada Kejohanan Badminton SMSPP Under 15 ini, Abdul Jalil dari 3 Putih turut beraksi dalam acara single.
[Aku tak main badminton di sekolah menengah walau aku kerap juga main sukan ini di kampung kerana aku tak ada raket dan aku pula tidak begitu "cergas" untuk bersaing dengan rakan-rakan setingkatan aku. Aku main di kampung pun sekadar untuk keluar peluh dan tak pernah mewakili kampung aku dalam perlawanan persahabatan dengan kampung-kampung berdekatan. Waktu Cuti Penggal Ketiga ketika aku dalam darjah 6, aku berkunjung ke KL dan bekerja basuh pinggan di sebuah kedai makan dekat Pasar Chow Kit, lalu aku mula kenal sukan billiards meja kecil. Setiap pemain ada 4 bola – aku tak pasti jumlah bola tapi mungkin juga seorang 3 bola sahaja - sama ada merah atau putih, lalu berusaha menonjol mana-mana bola sendiri ke arah mana-mana bola lawan bagi memasukkan semua bola lawan ke dalam poket untuk menang. Jika meja billiards kecil, snooker atau pool ada di sekolah, pasti aku berentap sakan kerana aku tersangat minat ketiga-tiga permainan ini! Kini, rasanya billiards meja kecil sudah tidak dimainkan lagi di negara ini. Malah, sekarang aku sekadar tonton Youtube bagi mengetahui perkembangan snooker dan pool peringkat antarabangsa kerana tiada kesempatan untuk berentap seperti waktu aku berusia 20-an dulu.]
Pulang prep malam, aku terus tidur kerana berasa sangat mengantuk.
Sabtu, 6
September
Bangun lewat kerana hujan lebat. Makan roti waktu hampir 7:30 AM. Ke prep pagi, lalu aku study Ilmu Alam. Malam, ke dewan besar tonton filem, The Devil’s 8. Pulang dorm, pergi belajar sehingga 1 AM lebih. Hujan lebat lalu aku pulang tidur. Aku jumpa sebatang pen ballpoint dekat tangga ke tingkat 2.
Ahad, 7
September
Inspection, hanya ketua-ketua penuntut cek. Study Ilmu Alam selepas inspection. Baca akhbar selepas makan tengahari. Ada beberapa rencana mengenai Dasar Apartheid di Afrika Selatan, Pattaya sebagai tempat pelancong-pelancong bersuka ria kerana wanita-wanitanya manja, Damsyik yang kelihatan sebagai tempat orang mengira biji tasbih sambil mengorat dan main pakau di kedai minuman, serta lain-lain. Selepas prep malam, sambung belajar Ilmu Alam di study room di Blok A sehingga 1 AM. Aku duduk berdekatan Raden.
Isnin, 8
September
Assembly. Johan Kuiz Sejarah bagi Form 1, Form 2 dan Form 3 dapat hadiah. Pasukan rugby A dapat medal kerana berjaya mendapat tempat baik pada peringkat negeri. Pelajar Form 3 pula kena warning sebab dianggap the crookedest! Ujian percubaan Sains dan dikuti Ilmu Alam. Susah betul! Main petang, tonton perlawanan bola sepak, keputusannya Zamrud 1 Nilam 3. Kop Bahari score sebiji, manakala Kok Gee, 2 dan Wan Maizul 1.
Prep malam, study Seni Perusahaan. Berdiskusi dengan Jamil, Amiruddin dan Wan Yazman. Seorang rakan berbahas dengan Ricky mengenai babi sehingga melarat bab lain membabitkan Islam. Ricky sebut nama seorang pemimpin negara yang minum arak sebelum era kemunculan Abim. Rakan aku yang Islam berkenaan tidak melanjutkan perdebatan lalu pergi ke study room. Fadir datang lalu tengok album foto aku lalu kami berdua berbual-bual mengenai beberapa band atau kumpulan muzik yang berpangkalan di KL.
Aku catat di bahagian atas muka surat 8 September ini, Mat Omar belanja aku minum Kickapoo dan cucur gelang di kantin.
Selasa, 9 September
Ujian Seni Perusahaan. Bincang soalan ujian ini
masa dalam kelas I.A. dan aku salah 30 lebih! Apa boleh buat. Main petang,
perlawanan hoki menengah atas - Under
17 kerana pelajar Form 5 tak ikut
serta - antara Zamrud lawan Nilam. Di sebelah padang hoki, ada perlawanan
kriket antara SMSPP dengan SMS Kedah. Sekolah aku kalah 42-43. Sementara itu,
di padang bola sepak ada perlawanan antara pelajar menengah bawah, Under 14
kerana pelajar Form 3 tak ikut serta. Rancak juga. Pulang dorm, aku baca surat dari anak penakan aku, Ta yang mendoakan aku
selamat menempuh SRP.
Prep malam, study
I.A. Pulang dorm, dan selepas lampu
ditutup kerana waktu tidur, beberapa rakan bercerita mengenai marka setelah
mereka berkumpul empat orang atas tilam dan katil yang sama. [Aku tulis
nama-nama mereka dalam Diari 1980 tapi aku tak taip nama mereka di sini.] Aku
sekadar mendengar, kemudiannya aku pergi ke study
room.
Rabu, 10 September
P.E. Main hoki. Pasukan yang terdiri ahli
pasukan sekolah lawan bukan ahli pasukan sekolah. Pasukan sekolah kalah 1-0!
Jaringan di minit pertama. Kesalahan aku yang main di bahagian pertahanan
kerana aku keluar padang untuk buka kasut! Sivik, ke library. Selain buku, aku
baca Mastika jilid 1975. Dapat markah Sains Paduan 88. Rehat. Ilmu Alam, cek kertas
ujian. B.M. Dapat markah karangan 28/40 dan cikgu komplen tentang rangkai kata
“peluru sesat.” Agama ke library.
English, relax di kelas. Cikgu Zaitun
masuk lalu suruh tandatangan borang peperiksaan SRP sebanyak tiga salinan.
Hisab Moden, aku dapat 60.
Main petang, ke padang dalam kesejukan hujan.
Lihat perlawanan bolasepak Under 17. Delima 4 Mutiara 0. Hoki Under 14 pula
pertarungan Nilam dengan Zamrud. Selepas waktu main petang, aku terus pergi
mandi di bilik air bawah bangunan sekolah. Aku ambil sebiji jambu batu dari
pokok dekat bilik air berkenaan. Malam, selepas prep, aku terus tidur kerana
terlalu mengantuk!
Khamis, 11 September
Ilmu Alam, jawab soalan-soalan latihan. Muzik,
relax di kelas. Cikgu Barbara tak ajar. English, buat karangan mengenai Hari
Kebangsaan. Sejarah, dapat kertas soalan lalu buat latihan dengan menjawab
soalan-soalannya. Rehat. Agama, buat latihan menjawab soalan-soalan percubaan
SRP terdahulu. Seni Lukis, buat lukisan banjir. Hisab Moden, ulangkaji
soalan-soalan percubaan SRP terdahulu. I.A. Belajar melarik tepat, kasar dan
halus. B.M. Jawab soalan-soalan percubaan SRP terdahulu.
Main petang, ke padang bola tengok perlawanan
Under 14 antara Zamrud dan Nilam. Nilam menang walaupun semua penyerangnya Form
1. Perlawanan hoki Under 17 pula, Delima 4 Mutiara 1. Study malam, sekejap
sahaja lalu pulang ke dorm kerana mengantuk.
Pada muka surat 11 September ini, aku catat di
ruang kosong di bahagian atas, aku nak berusaha main secergas mungkin setelah
melihat pelajar-pelajar lain bersemangat bersukan. Aku turut catat aku menerima
surat berdaftar daripada ayah di kampung yang berisi duit tunai RM15.
Jumaat, 12 September
B.M. Berlatih jawab soalan-soalan. P.E. Main
hoki dan keputusannya 2-2. Hari ini, semua pasukan sukan sekolah ambil gambar
untuk dimasukkan ke dalam majalah tahunan sekolah, Puncak. Pada waktu Hisab Moden, aku
balik ke dorm untuk ambil tali leher.
Selepas itu, aku sertai pasukan hoki sekolah bergambar dengan cikgu Zaki Taha
di padang hoki, berdekatan pintu gol. Pulang ke asrama selepas itu, aku mandi
sebelum minum rehat. Sains Paduan, bincang soalan-soalan. Sejarah, cikgu
jelaskan beberapa hal membabitkan persamaan Sejarah dengan Sains.
Penolong Kanan periksa siapa lewat ke dewan
besar untuk solat Jumaat. Ke prep petang tapi kena panggil cikgu Zaki yang
persoalkan kenapa tak ke perhimpunan scouts.
Bagaimanapun, sebagai jalan penyelesaian, Penolong Kanan kata kami boleh ke
prep petang sehingga periksa sebenar SRP berakhir dengan syarat kami kena score sekurang-kurangnya 13 unit dalam SRP kelak.
Main petang, main bola sepak. Kemudiannya, aku main volleyball bersama-sama
Amir, Norali dan Fairuz. Prep malam, aku buat latihan Hisab Moden. Ketua
penuntut, Aziz jaga kelas dan beliau tolong ajar aku dan beberapa rakan. Pulang
dorm, ke study room di Blok A. Aku baca Sejarah dan Agama.
Sabtu, 13 September
Ke prep pagi. Study Agama dan buat nota I.A. Pulang ke dorm, aku baca majalah Selekta sebelum study Fekah Form 3 sehingga selesai. Zailan tegur
aku, beliau kata aku solat – [rasanya Asar] - sebelum masuk waktu sedangkan
sewaktu aku solat kedengaran azan dilaungkan dari Musala Blok B. Maghrib, aku
solat berjamaah di atas katil bersama-sama Juraimi dan Mat Ki.
Tonton TV. Centennial, The Crime II.
Kemudiannya, Getaran Jiwa yang dihos Latif Ibrahim. Artis undangan ialah
Rosnah Abdul Rahman dan lain-lain. Ada diceritakan mengenai lakonan pertama
Latif Ibrahim dalam sebuah drama semasa beliau kecil.
Malam, belajar di study room di Blok A bersama-sama Fauzi Rahman. Penolong Kanan
datang periksa dorm.
Ahad, 14 September
Makan nasi lemak dengan ikan bilis. Aku tambah. Inspection, aku duti cuci tingkap. Prep
malam, aku baca buku Ilmu Alam sehingga selesai. Pulang dorm, aku ke study room buat nota Seni Perusahaan di
samping Fauzi Rahman.
Aku turut catat di bahagian bawah muka surat 14
September ini: 1. aku basuh kasut, sarung kaki dan seluar dalam pada hari ini.
2. Mat Omar bagi aku setongkol jagung yang dibawa ayahnya semasa melawat
asrama.
Isnin, 15 September
Perhimpunan. Semua pemenang Kejohanan Badminton
SMSPP terima hadiah. Dua orang matrik “tarpan” sebab datang nak ambil hadiah
sedangkan johan bagi acara regu belum pun menerima hadiah masing-masing.
[Tarpan ini istilah bagi malu.] Hisab Moden, ulangkaji. Kemudiannya, ke depan
dewan besar, tangkap gambar kelas dengan cikgu Anuar dan Penolong Kanan untuk
Puncak. B.M. Belajar ungkapan. Rehat. Sains Paduan, beberapa rakan kena warning
dengan cikgu Jalgit Singh sebab kacau pelajar perempuan. English, ke library dua masa.
Prep petang, buat nota Seni Perusahaan. Amran
datang berbual di tepi aku. Main petang, perlawanan bola sepak Under 17. Mutiara 1 Nilam 0. Prep malam,
buat nota Seni Perusahaan lagi.
Selasa, 16 September
Hisab Moden, buat latihan. English, baca Lady of the Lamp. Sains Paduan, buat
soalan-soalan SRP tahun-tahun lalu. Rehat. Seni Perusahaan, belajar guna mesin
melarik bagi bentuk tirus, bahu dan penampang. Kelas petang. Sejarah, kuiz
dengan dibahagikan kepada tiga kumpulan. Dapat markah Agama, 80 iaitu A2. Ilmu
Alam pula 71 juga A2.
Main petang. Perlawanan bolasepak Under 14. Zamrud benam Delima 3-0.
Penjaga gawang Delima tak cekap. Hoki Under
17, Nilam kalahkan Mutiara. Study malam,
ke study room macam biasalah!
Rabu, 17 September
P.E. Main hoki, 1-1. Sivik, forum mengenai Buah
Tempatan Lebih Baik Daripada Buah Luar Negeri [Luar Negara]. Ahli panel Amir
Zakee, Adey dan Yim lawan Subki, Jat dan Haizal. Sains Paduan, ke makmal bincang
soalan. Rehat. Ilmu Alam, belajar semula New Zealand. B.M. Karangan mengenai
pengalaman. Aku mulakan dengan tajuk: “Kisah Yang Tak Dapat Aku Lupakan.”
Agama, buat kerja sendiri. English, belajar penggunaan as dan while. Hisab
Moden, buat latihan sendiri dan cikgu terang lebih lanjut mengenai Persamaan
Linear.
Main petang, tengok perlawanan bola sepak Delima
dengan Zamrud. Delima menang, manakala jaringan-jaringan Bang Lee cantik betul.
Bola sepakannya terkena palang lalu jatuh ke atas garisan gol lalu bergolek ke
jaring, manakala satu lagi beliau lambung bola ke pintu gol, terkena pemain
lawan, lalu masuk ke dalam gawang. Hujan, aku bergegas ke asrama lalu baca
akhbar. Mandi petang, aku ke bilik air bangunan sekolah dengan Putat.
Malam, study di bilik belajar Blok A dengan
Fauzi. Beberapa pelajar matrik riuh berbincang dalam Bahasa Inggeris. [Ketika
ini, pelajar-pelajar matrikulasi USM di sekolah aku belajar dalam Bahasa
Inggeris. Aku dan rakan-rakan lain pula belajar dalam Bahasa Melayu untuk
mengambil SRP. Sebelumnya, sehingga penghujung 1970-an, pelajar-pelajar Form 3
di SMSPP masih menduduki peperiksaan dalam Bahasa Inggeris yang dikenali
sebagai LCE, manakala MCE bagi Form 5. LCE dimansuhkan lalu ditukar kepada SRP,
manakala SPM menggantikan MCE.]
Pada muka surat 17 September ini, aku catat di
bahagian atas, Jamal tanya tarikh perlawanan hoki Under 15 dengan Asuncion lalu aku cari dengan menyelak Diari 1980
ini. Aku turut catat yang aku tulis surat kepada abang Cid di Kuala Lumpur, bagitahu beliau keputusan percubaan SRP aku.
Khamis, 18 September
Ilmu Alam, ulangkaji Australia dan Tasmania.
Muzik, relax di kelas dan Mr Lee
datang jadi guru ganti kerana cikgu Barbara tak mai. English, belajar buat ayat
menggunakan perkataan while. Sejarah,
cikgu bagi nota dan kemudiannya beliau periksa buku rampaian kami. Rehat.
Agama. Ulangkaji Fekah Form 1, termasuk bab najis. Amir Zakee dan Abdul Razak,
tulis nota di papan hitam dengan menggunakan tulisan Jawi. Lukisan, lukis
abstrak yang menggambarkan persatuan-persatuan di SMSPP. Kelas petang. Hisab Moden, buat
latihan. Hujan sekejap. I.A. tak pi makmal kerana Pak Rashid tak mai. B.M.
Belajar mengenai cakap ajuk dan cakap pindah. Hari ini Pak Hussin kata kepada
salah seorang rakan aku yang duduk di meja belakang: “Stim seorang dan khayal
nak tidur.”
Main petang. Perlawanan bola sepak menengah
bawah. Nilam menang apabila pemainnya, Jalut score satu, manakala satu lagi fullback
Mutiara, Aziz tersilap tendang! Namun, kami yang menonton riuh bersorak apabila
Man Robot melompat kegirangan setelah beliau menjaringkan gol untuk rumah
Mutiara. Hoki Under 17 pula, Delima 1
Zamrud 0.
Makan malam, menu ayam, dan ustaz [rasanya ustaz
Muhamad Hussin] nasihat Form 3 supaya
pi musala bagi menenangkan jiwa untuk ambil SRP. Tak ke dewan besar, aku terus
ke prep kerana penceramah tak mai. Balik dorm,
aku terus tidur kerana sangat mengantuk.
Jumaat, 19 September
B.M. Buat latihan. P.E. main hoki. Kumpulan aku
kalah 1-0. Hisab Moden, buat latihan. English, macam biasa. Depa gelak apabila
aku kata, “Thank you, Anuar.” Setelah dia “rescue”
aku. [Mungkin, Anuar bantu aku jawab soalan cikgu.] Rehat. Sains Paduan, duduk
di kelas kerana cikgu pergi cabut gigi. Seorang cikgu perempuan Cina mai ganti.
[Mungkin, cikgu matrikulasi.] Sejarah, ke library. Sementara itu, aku jemur
baju dan seluar main di penyidai dekat Home
Science Lab.
Ke dewan besar untuk solat Jumaat. Ustaz Muhamad
[Mungkin ustaz Muhamad Hussin] jadi khatib dan beliau memakai baju labuh. [Mungkin jubah pendek.] Prep
petang, study Seni Perusahaan. Main
petang, main bola sepak. Kemudiannya, tengok perlawanan bola sepak
persahabatan, Form 4 kalahkan Form 5 dengan jaringan 1-0. Prep malam,
suasana riuh kerana beberapa pelajar-pelajar 3 Biru datang tengok gambar kelas
aku, 3 Merah yang kelihatan ramai rakan-rakan sekelas aku – paling ketara Jamil
- sedang gelak.
Sabtu, 20 September
Prep pagi, baca buku Seni Perusahaan. Pulang
dorm, baca buku di atas katil pulak! Ada persembahan Sambutan Hari Wanita di
dewan besar. Isteri Sardon Jubir datang merasmikannya. Ada kawalan polis,
disambut dengan permaidani merah. Petang, ke dewan besar untuk lihat
persembahan sekejap bersama-sama Degeh dan Tok Moh. Sekolah aku persembahkan
koir. Ada dua tiga pemberita di situ.
Malam, tengok TV rancangan Centennial,
kemudiannya perlawanan bola sepak di Kuwait. Malaysia 2 Arab Saudi 0. Jaringan Abdah Alif dan Tukiman Bahari. Hujan lebat dengan petir sabung
menyabung sehingga bekalan elektrik terputus. Aku tak sempat ke study room,
malah aku solat dalam suram. Tak lama kemudian, bekalan elektrik kembali ada, tapi aku sudah terlalu mengantuk untuk sambung belajar malam.
Pada muka surat 20 September ini, aku catat
bahawa sekeping kaca tingkap di sebelah tepi katil aku pecah sebaik sahaja aku
turun katil aku. Bola tampar yang ditendang Yaakob terjah ke situ.
Ahad, 21 September
Duti bersihkan koridor. Aku bertugas
bersama-sama Zailan, Mat Ki, Syed Saha, Siron dan lain-lain. Waktu inspection,
aku dimarahi Zamani kerana minyak rambut dalam bekas sedikit sangat. Cikgu
Fadir rampas tali leher aku sebab tak kemas. Kena pi tuntut nanti dari ketua
penuntut. [Aku maki. ❤❤❤ Tak nak tulis.] Cikgu Zaki pula datang cek
lalu bagi amaran supaya kami semua bersiap sedia dan sudah kemas sewaktu beliau datang periksa
pada minggu depan. Makan tengahari lauk celup. Fed up la! Dengar radio. [Rasanya radio Juraimi.] Drama sempena
Hari Wanita mengenai seorang perempuan dari sebuah kampung pergi ke KL dan dia
hampir dirogol setelah diperdaya seorang kawannya.
Basuh baju dengan Siron, kemudiannya aku mandi
di bilik air Form 1. Paip air yang
aku buka kemudiannya tertutup sendiri. Waktu prep malam, aku bercerita mengenai
pengalaman aku ini kepada teman sebelah meja aku, Amiruddin dan juga Awang
Mahmud. Aku study Seni Perusahaan
sewaktu prep malam. Aku sambung belajar Seni Perusahaan ketika study malam. Aku baca bab elektrik dan
kaji daya kuasa sehingga selesai.
Isnin, 22 September
Assembly, Form
3 kena tunggu satu period lebih
kerana Pengetua bagi ceramah mengenai persediaan menduduki SRP. Beliau turut
kata Form 3 tahun ini paling biadap.
Turut ada ketika Pengetua bagi ceramah ialah Penolong Kanan. B.M. Belajar
perkataan berganda serupa dan berganda berubah, serta setengah ganda seperti
dedaun. Rehat. Sains Paduan, kena jawab kuiz. English, ke AVA Room lalu buat
latihan grammar. Prep petang. Hujan
disertai ribut bagai puting beliung sehingga sebahagian kecil bumbung sekolah
berterbangan! Aku buat latihan membabitkan soalan-soalan Ilmu Alam. Minum
petang, aku makan cucur gelang lima setengah ketul. Tak main petang kerana
hujan renyai berterusan.
Prep malam, buat latihan Ilmu Alam dengan
menggunakan buku Karangkraf sehingga habis. Seorang rakan aku kata beliau akan score Sejarah A1 dan sekiranya dia gagal
aku boleh maki beliau secara bertulis. Jadi siap! [Aku tak tulis namanya di
sini.] Study malam, aku buat latihan
Hisab Moden di musala. Jamil nyenyak tidur di sebelah aku. Aku pulang ke dorm
12:30 AM lebih.
Aku catat di bahagian atas muka surat 22
September ini: Aku dan Mat Omar ke pejabat sekolah. Kami tulis nama untuk
dapatkan borang masuk ke sekolah teknik. Ramai yang buat begini, dan aku orang
ke-29 dalam senarai.
Selasa, 23 September
Hisab Moden. Kira markah dan aku dapat 68.9%,
nombor dalam kelas 13/32. English, buat latihan khusus silibus Form 1. Sains Paduan, berebut-rebut ketika masuk Bilik
TV untuk tengok rencana TV Pendidikan, Elektrik – Pengaliran Sehala. Rehat.
I.A. Bincang soalan-soalan SRP. Dan, hari ini, semua pelajar Form 3 dapat
jadual waktu untuk SRP dan kertas yang perlu dilekat di hujung meja. Sejarah,
aku salin nota mengenai Darurat yang ditulis oleh Fadir dan Jamil. Agama,
belajar cara jawab soalan mengenai tayamum dan waktu solat. Ilmu Alam, cikgu
suruh jawab soalan mengenai Australia. Hujan lebat, dan pulang untuk makan
tengahari dalam hujan lebat. Tak turun main petang kerana hujan lebat
berterusan.
Prep malam, study
Fekah Form 2. Pulang dorm, aku mandi di bilik air Form 2 kerana air sudah kurang di bilik
air Form 3. Study malam, aku belajar Agama. Aku pinjam buku rampaian Sabri Yusuf kerana nak naikkan semangat aku. [Rasanya, beliau dapat 8A dalam ujian percubaan SRP.]
Rabu, 24 September
P.E. Main sofbal. Pak Mat tangkap bola dengan
bergaya sekali. [Pak Mat juga seorang penjaga gol bola sepak, killer sepak takraw serta boleh bermain
badminton.] Sivik, cikgu buka perbincangan bertajuk: “Dapatkan LPN menstabilkan
harga beras?” Ahli panelnya ialah Syukor, Aidy, Wan Azahari, Juraimi dan Kamal.
Pengerusinya Ad Mid, manakala pengulasnya Mat Ki. Abdul Razak turut bercakap
sebagai pemberi pendapat. Sains Paduan, labelkan gambarajah. Ilmu Alam, belajar
Amerika Selatan. B.M. Cikgu bacakan rencana Cara-cara Menjawab Karangan yang
ditulis Adibah Amin.
[Sewaktu aku bekerja di Harian Metro KL, Adibah
Amin pernah minta kebenaran untuk menggunakan komputer aku kerana beliau mungkin
ketika itu perlu segera tulis rencana untuk disiar dalam NST. Waktu awal petang
pula, biasanya, semua pemberita kalut, dan oleh itu mungkin semua komputer di ofis
NST sedang diguna ketika itu. Aku pula tiada masalah sangat untuk menaip kerana
aku mempunyai password – bukan semua pemberita ada password - bagi menggunakan komputer lebih
canggih, Hi-Tech di meja editor atau
bahagian layout.
Dengan menggunakan password ini, aku juga boleh baca pelbagai berita terkini yang
disalurkan pelbagai agensi dalam dan luar negara seperti Bernama, AFP, AP, dan
lain-lain serta membaca tulisan semua pemberita Berita Harian, Harian Metro, Malay
Mail dan NST sebaik sahaja ia diedit oleh pengarang tertentu. Akhbar Cina tak
masuk dalam senarai! Aku pernah dedah password
aku kepada Wak Saring yang ketika itu mengetuai Harian Tengah setelah beliau mengadu
kepada aku yang beliau susah elak di-scoop.
Tapi, aku pesan kepadanya supaya tidak menggunakan password aku di komputer Hi-Tech jika beliau lihat aku menggunakan komputer
jenama sama di bahagian layout Harian
Metro bagi mengelak, kemungkinan, kerja aku “terganggu.”
Seorang rakan yang bertugas di meja jenayah –
beliau tiada password peribadi - pula
pernah membisikkan kepada aku yang beliau dapat mengingati password seorang pengarang kanan Berita Harian sewaktu memerhati
individu terbabit on komputer Hi-Tech
di mejanya. Suatu hari, rakan aku ini telah menggunakan komputer Hi-Tech secara
diam-diam – mungkin di bahagian layout
Berita Harian – lalu mengaktifkan password
pengarang kanan terbabit. Wow! Pelbagai maklumat dia dapat termasuk nombor-nombor
telefon dan puluhan ribu ringgit yang dituntut daripada syarikat.
Sekarang, sejak berusia separuh abad, aku sering
pula lupa beberapa password yang aku
aktifkan bagi membuka blog peribadi, facebook, whatsApp dan lain-lain sehingga terlajak
menyusahkan aku pula apabila aku terpaksa tukar password lantas menyebabkan timbul masalah-masalah lain, khususnya
kehilangan pelbagai maklumat penting!
Kembali kepada Adibah Amin, beliau bersuara “halus”
keanak-anakan dan tidak meninggi diri. Beliau cekap menulis sekurang-kurangnya dalam
dua bahasa: Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris. Dalam pada itu, seorang rakan sewaktu aku mula bertugas di
Berita Harian pada akhir 1991 mampu menulis dalam tiga
bahasa: Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan Bahasa Perancis.]
Tengahari makan nasi dengan menu ayam. Kelas
petang. Agama, belajar mengenai solat. English, cikgu buat soalan berasaskan
novel, Ranjau Sepanjang Jalan karya Shahnon Ahmad yang diterjemahkan ke Bahasa
Inggeris. Hisab Moden, relax di kelas
kerana cikgu tak mai. Main petang, tengok perlawanan bola sepak menengah atas, Zamrud
8 Mutiara 1. Johan jatuh kepada Delima, diikuti Zamrud tempat kedua. Selain
menonton perlawanan bola sepak, kami yang duduk berkumpul di tepi padang pada
petang ini “usyar” seorang cikgu Cina perempuan. Seorang guru Melayu lelaki yang
masih muda datang lalu berjenaka dengan berkata kepada seorang daripada kami bahawa
kawan kami ini minat cikgu Cina perempuan berkenaan. Kami sebenarnya turut “usyar”
Juliana yang sedang main tenis. Dalam pada itu, seorang rakan pula bercerita
dengan gembira bahawa beliau akan terima sijil kerana beliau turut bermain dalam
kejohanan bola sepak antara rumah sukan meskipun kebanyakan kami tidak lagi aktif
bersukan kerana Peperiksaan SRP akan bermula 11 hari lagi.
Prep malam, aku study Agama hingga selesai bab yang aku tetapkan. Ustaz mai round!
[Mungkin ustaz Muhamad Hussin] Pulang dorm,
aku study Seni Perusahaan di bilik
belajar Blok A. Bagaimanapun, aku pulang cepat kerana tersangat mengantuk!
Khamis, 25 September
Ilmu Alam, belajar mengenai Afrika serta buat latihan soalan-soalan SRP tahun-tahun terdahulu. Muzik, cikgu Zaki masuk ganti lalu ajar Hisab Moden. Beliau juga suruh aku buang sampah. English, relax di kelas juga kerana cikgu Mat Nor tak mai. Sejarah, ke library. Aku baca buku sajak karya Shamsudin Jaafar yang diterbitkan pada pada 1960-an. Rehat. Agama, belajar ayat al-Quran dan Hadis dan ustazah berikan soalan yang mungkin keluar dalam SRP kelak. Seni Lukis, buat lukisan seperti minggu lepas lalu warnakan. Beberapa rakan meluahkan kepada cikgu Surinah bahawa ketua penuntut, Rashid Hamzah "menekan" mereka. Hisab Moden, buat ujian semacam SRP sehingga masuk waktu B.M. Seorang rakan diarah cikgu Fadhil ke bilik air dan basuh muka.
Minum petang, aku "rush" bersama-sama beberapa
kawan lalu capai dua karipap dan satu cucur kodok. Main petang, aku main bola sepak. Zul Ahmad pula kelihatan pamer skil gimnastiknya. Ada
perlawanan bola sepak dan hoki, tapi aku tak ambil kisah.
Jumaat, 26 September
B.M. Belajar mengenai perkataan penyambung. P.E. Main volleyball, belah aku menang. Ada sekali aku smash kena jaring lalu bola terpelanting ke dalam kawasan lawan. Aku buat mata menanglah!
[Seperti kebanyakan sukan lain yang memerlukan kecergasan badan, aku juga bukannya reti sangat main volleyball. Sewaktu di universiti, aku pernah bermain dengan beberapa rakan lelaki, kemudiannya seorang pelajar perempuan kulit putih yang tinggi lampai join. Melihat cara dia melakukan smash yang terlalu kuat dan tajam membuatkan aku keluar gelanggang dengan alasan nak rehat! Begitu juga bola keranjang, aku tak terkejar pelajar-pelajar kulit hitam yang melontar dan berlari dengan amat pantas!]
Hisab Moden ke library kerana
cikgu Anuar beri test kepada 3 Hijau. Kelas English. Rehat. Sains Paduan, kena
tulis 15 kali: “Mesti berdisiplin dalam makmal.” Ada pelajar ketuk pintu bilik
guru-guru sains sedang bermesyuarat tapi tak mengaku! Sejarah, ke library. Main petang, turun main sekejap
lalu pulang ke dorm kerana hujan. Lani kan musim hujan? Study malam seperti biasa.
Sabtu, 27 September
Prep pagi. Pulang lalu dapat bungkusan yang dikirim ayah dari kampung. G tulis alamat sekolah aku pada lapisan luar kotak sabun yang berbalut dengan kertas putih. Ayah letak di dalamnya beberapa butir "gula-gula semangat" untuk SRP.
[Gula-gula ini dibacakan ayat-ayat al-Quran, rasanya. Ayah juga ajar aku beberapa doa selepas solat yang dikhaskan untuk "menguatkan badan." Aku kurang faham Bahasa Arab dan ayah terjemah doa-doa berkenaan ke dalam Bahasa Melayu. Aku sebenarnya tidak lancar baca al-Quran. Namun, sekarang sewaktu aku baca al-Quran perlahan-lahan atau dengar ayat-ayat kitab suci ini dalam Youtube, barulah aku tahu yang kebanyakan doa-doa yang ayah aku ajar itu sebenarnya ayat-ayat al-Quran. Sayang, ayah! Al-Fatihah.]
Hari ini aku keluar ke BM. Aku beli pen dakwat
Pilot, pensil 2B, pemadam, minyak rambut Code 10 dan bedak Cleopatra. Makan di
Selera Jaya RM1.10. Aku beli Watan yang ada kisah Jambatan Sanyo yang sudah tua,
dan berita mengenai krisis Samad Idris letak jawatan setelah anaknya diperli menggunakan
kedudukannya untuk berniaga.
Malam, aku ke dewan besar tapi van tayang filem
belum tiba lalu aku pulang, tonton TV rancangan Getaran Jiwa. Kemudiannya, aku
ke dewan besar semula. Aku tonton horror movie,
Ruby yang ditayang pada dinding bangunan sekolah. [Istilah yang diguna beberapa
pelajar kelahiran Pulau Pinang, termasuk Mat Omar, agak pelik. Mereka sebut
tengok gambaq atau gambar, bukannya wayang!] Kisah roh manusia menuntut
pembelaan terhadap kematiannya. Wayang tamat 11 PM lebih. Aku pulang dan terus
tidur selepas basuh kasut, stoking dan seluar dalam, keseorangan di bilik
membasuh, dalam cuaca yang agak sejuk dan seram kerana teringat-ingat beberapa babak dalam filem tadi. Aku tidur
dengan bantal tak bersarung, manakala tilam tak bercadar. Lena jugak akhirnya!
Ahad, 28 September
Minggu ini aku duti sapu sawang. Tapi, aku
relax, aku tak buat duti. Cikgu Mazlan mai cek. Mak dan ayah Mat Omar datang
lalu dia ajak aku ke kantin. Kami makan bersama-sama: Air botol FN Grape, roti
canai, bihun goreng, nasi gulai daging, jambu susu dan kek. Pulang ke dorm lalu Mat Omar tolong gunting rambut
aku. Kemudiannya, aku study atas
katil.
Petang, tonton TV – wawancara dengan Rabuan Pit
dan seorang individu yang mengurus peserta-peserta ke Sukan Piala Sueharto. Prep malam, study English. Kemudiannya,
aku baca sebuah buku cerita Bahasa Inggeris yang aku pinjam daripada Degeh. Pulang dorm, Mat Omar datang bersembang sambil
kami duduk atas katil aku. Belajar malam, aku study Sejarah di bilik belajar Blok B. Kemudiannya, aku dan Mat
Omat bersiar-siar, keliling koridor sambil makan jagung, mempelam dan pulut
udang. Seorang pelajar Matrik tegur kami yang sedang berihat di tepi koridor
dekat musala Blok A. Beliau sangka kami adalah kawan-kawannya!
Isnin, 29 September
Sarapan bihun goreng. Menu hari ini biasanya roti.
Assembly, Pengetua puji Form 3 kerana lebih tiga orang dapat 5
agregat dalam ujian percubaan SRP. Hisab Moden, cikgu tak mai.Relax di kelas 2 masa. B.M. Baca buku
sahaja. Rehat. Sains Paduan, buat latihan melabelkan gambarajah. English ke AVA
Room dan cikgu Mat Nor kata, hari ini adalah kali terakhir bagi Set 3 guna bilik berkenaan pada 1980. [Oh! Aku
pernah berada di Set 3 dan bukannya memanjang di kelas English tercorot, Set 4
setiap tahun.]
Prep petang, aku study Sejarah. Main petang, aku
sekadar duduk-duduk di penjuru padang sambil lihat Zul Ahmad, Pian dan lain-lain
melakukan gerakan gimnastik. Ada perlawanan bola sepak persahabatan antara Matrik dan Form 4. Matrik menang. Prep malam, aku study Sejarah lagi. Pulang dorm,
aku sambung belajar Sejarah jugak sehingga 12 AM. Aku sudah selesai belajar
subjek ini tapi hati aku berasa kecut juga untuk hadapi SRP! Aku kemudiannya sapu
ubat gatal ke celah tertentu lalu tidur nyenyak kerana hujan. [Sehingga
sekarang, aku jarang sangat bermimpi sewaktu tidur malam. Aku sebaliknya sering
bermimpi – kebiasaannya orang sebut mengigau – jika tidur waktu siang!]
Selasa, 30 September
Mandi pagi di pili I.A. Lab kerana air di asrama
kekurangan. Sarapan pagi, ramai yang datang lewat hanya makan roti benggali
dengan air sahaja kerana bihun goreng habis. Hisab Moden, cikgu tak mai kelas.
English, berlatih jawab kertas soalan tahun-tahun lepas. Sains Paduan, belajar
mengenai fungsi jantung dan beberapa anggota badan lain. Rehat. Seni
Perusahaan, jawab soalan-soalan dan aku dapat markah 69/90. Cek semua untuk pastikan jumlah jawapan yang
betul dan cikgu kemudiannya bagi “sebuku” soalan lagi untuk dijawab sebagai
kerja rumah. [Sebuku maknanya banyak sangat!]
Kelas petang. Sejarah, cikgu tak mai. Relax di
kelas. Agama, buat latihan dengan menggunakan kertas soalan yang dikirim Ustaz
Muhamad Hussin dari Kelantan. [Mungkin Ustaz Muhamad pulang bercuti!] Ilmu
Alam, Pak Hussien tanya mengenai Afrika. Aku kena denda berdiri dalam kelas kerana
salah jawab. Ada beberapa pelajar perempuan dari kelas lain yang lalu di
koridor tengok aku!
Main petang, main bola sepak dan aku terseliuh
di pergelangan kaki kanan menyebabkan aku terhinggut-hinggut sewaktu solat.
[Terhinggut-hinggut ini loghat Utara Semenanjung, khususnya Kedah yang
bermaksud bergoyang-goyang.] Prep malam, aku buat latihan soalan Sains Paduan
yang aku ambil dari buku Longman, pengarangnya Lau Hut Yee. Pulang dorm, aku solat bermakmum kepada Mat Ki
di atas katil. [Kebiasaannya, aku dan beberapa rakan lain yang tak ke musala akan
solat atas lantai di penjuru dorm. Mungkin
katil ini kosong tanpa penghuni dan tiada tilam. Sekarang setelah 40 tahun
berlalu, aku gagal mengingatkan kisah yang sebenar!] Aku tak ke study room malam ini, aku terus tidur.
Di bahagian notes
pada helaian berikutnya, aku catat:
1. Tiga campuran warna utama iaitu merah+biru+hijau
akan menjadikan putih. Merah+biru=magenta, merah+hijau=kuning manakala
hijau+biru=terkois di mana magenta,
kuning dan terkois ialah warna keduaan atau sekunder. Merah+terkois=putih,
hijau+magenta=putih juga biru+kuning=putih di mana putih ini warna penepat.
2. Spektrum yang dibalikkan jika dihalang
sesuatu warna: A. Jika dihalang dengan warna utama akan menghasilkan warna itu
juga. B. Dihalang dengan warna keduaan akan menghasilkan warna itu juga atau
warna-warna yang membentuknya. C. Dihalang dengan putih akan serap semua warna,
begitu juga jika dihalang dengan hitam.
3. A. Dua penuras warna utama tak benar warna
melewatinya. Hanya membenarkan warna sepunyanya sahaja iaitu hitam. B. Dua
warna sekunder akan biaskan warna sepunya atau warna utama. C. Imbangan badang dikawal
oleh salur separuh bulat dan serebelum. Serebelum ialah otak kecil yang terletak di
belakang kepala.
[Kemudiannya, aku lukis gambarajah mengenai
warna=warna ini. Sekarang, setelah 40 tahun berlalu, aku tak faham nota yang
aku tulis ini. Aku juga buta warna!]
Di muka surat berikutnya, September Account aku tulis:
Nak beli sebelum periksa SRP – pen dakwat, pensil 2B dua batang, pemadam, Brycream dan dakwat Pilot warna hitam. [Zaman aku mula belajar di menengah rendah, pen dakwat cair masih diguna di sekolah. Dakwatnya seperti yang dipakai dalam kaligrafi Cina. Dakwatnya juga semacam dakwat mengundi ketika pilihan raya! Aku ketika itu guna pen dakwat murah. Oleh itu, aku elak letak pen jenis ini dalam poket kerana dakwatnya boleh terkeluar lalu membasahi baju. Tak lama kemudian, pen ballpoint jenama seperti Bic dan Stabilo mulai popular di pasaran tempatan.] Aku juga catat benda-benda aku nak beli pada cuti Hari Raya Haji iaitu ubat gigi serta ration berbentuk roti benggali dan peanut butter.
Comments
Post a Comment