Diari 1980

November


Sabtu, 1 November

Jam sudah 8AM. Hujan lebat. Makan pulut udang. Keluar ke kedai runcit tepi jalan dan cuba telefon abang Mat Omar, Ismail tapi tak dapat. Tunggu bas ke Jeti, sejam baru dapat naik bas. Sampai Jeti, cuba telefon sekali lagi di Stesen KTM, tak dapat jugak. Begitu juga apabila kami telefon di Iqbal Restaurant. Oleh itu, kami ke pejabat kesihatan, tempat kerja abang Ismail, lalu Mat Omar bercakap dengannya.

Sebelum naik feri, beli stone. [Istilah diguna beberapa rakan sekolah=rokok] Bertemu cikgu Hussain di atas feri. Sampai ke sebelah Tanjung, naik bas nombor 4. Ke Cathay tonton, The Black Hole. Berjumpa dengan sekumpulan rakan setingkatan: Syed Saha, Kamal, Sazali dan Mat Ki. Ke Fajar Harapan, pekena stone lagi. Nampak beberapa pelajar SMSPP lain seperti Anuar Saki, Din Salak dan Fadir di situ. Berjalan-jalan lagi lalu bertemu Aspa Murni, rakan sedarjah semasa aku sekolah rendah di kampung aku, dia bersiar-siar bersama seorang rakan perempuannya. Aspa Murni adalah seorang yang bijak kerana mendapat 4A1B dalam Peperiksaan Penilaian Darjah 5. Beliau beritahu aku, dia belajar di St George.

Jalan kaki lagi ke arah pangkalan feri sambil pekena stone. Lihat budak-budak Hindu berkelahi kerana berebut kad permainan. 

[Hindu ini adalah istilah kebanyakan orang Pulau Pinang - begitu juga orang kampung aku - bagi membezakan orang berdarah keturunan India dari segi agama, sama ada Islam atau Hindu. Bukan suatu istilah penghinaan. Orang India Muslim – lelaki agak tua - pula dipanggil sebagai mamak. Mamak itu pula sebenarnya bermaksud pak cik. Perkataan mamak turut diguna pakai sebilangan kaum Minang di Perak. Arwah abang ipar aku dipanggil Mamak oleh anak-anak penakannya. 

Kad permainan ini pula semacam daun terup, tapi ia sekadar ada gambar menarik seperti watak Ultraman, kartun dan lain-lain. Cara mainnya, kebiasaannya, dua pemain pegang kad dalam tapak tangan kanan masing-masing lalu tepuk ke arah tangan lawan. Pemilik kad yang gambarnya hala ke langit setelah jatuh ke tanah adalah pemenang dan boleh ambil kad lawan. Jika sama gambar dongak ke langit atau cium bumi, permainan ini seri. Oleh itu, pelbagai petua diamalkan, antaranya membengkokkan sedikit kad supaya bahagian gambarnya sukar jatuh mencium bumi.]

Naik feri, pekena stone lagi. Kelihatan seniors di SMSPP, Yusri dan Anuar. Sampai ke Jeti, makan nasi goreng Kuala Kangsar dan air botol Fanta. Selepas itu, kami berdua bergerak ke premis permainan dekat Pawagam Wan. Ramai pelajar SMSPP berada di situ: Mi Totiaq, Yazman, Jan, Nazri, Iskandar, Zaini dan lain-lain. Aku main billiards meja kecil dengan Kamal. Setelah berpisah dengan rakan-rakan sekolah, aku dan Mat Omar naik bas ke rumah Mat Omar. Fadir dan Mat Ki juga naik bas yang sama, mungkin Fadir hendak bermalam di rumah Mat Ki.

Turun bas, lihat basikal sudah berubah tempat, mujur tak hilang! Beli mi segera, dan kami masak sendiri setelah sampai rumah Mat Omar. Aku tonton TV rancangan Getaran Jiwa dengan artis Rafeah Buang sebagai teraju utama. Tonton bola sepak selepas itu, Maghribi lawan Kuwait. Separuh permainan, aku tertidur depan TV. 

 

Ahad, 2 November

Awal pagi, aku terjaga kerana sejuk akibat baring atas tikar getah. Masuk ke bilik lalu sambung tidur atas katil. Sarapan pagi, makan cucur udang. Setelah itu, tonton TV siaran Siam, perlawanan bola sepak kelab di German. Bayern Munich menang 4-2. Aku kemudiannya ke dapur lalu tunjukkan secara praktikal kepada Mat Omar bagaimana masak nasi goreng ala Chow Kit Road, Kuala Lumpur. Aku makan nasi goreng dan Kuala Kangsar gelas besar. [Pada zaman ini, zaman aku bekerja kedai makan di Chow Kit jika aku ke KL semasa cuti penggal, sebutan Kuala Kangsar bermaksud teh O] Aku kemudiannya mandi jam 11AM lebih.

Petang, aku dan Mat Omar masak roti telur.] Pukul telur lalu sapu ke roti benggali sebelum digoreng dalam sedikit minyak.] Ada seorang perempuan sudah berusia datang menjaja keropok. Aku tak komplen apa-apa apabila Mat Omar bagitahu aku yang perempuan terbabit bela hantu! [Sepanjang aku berkawan dengan ramai warga Pulau Pinang dan dari lain-lain negeri, rakan-rakan dari Pulau Pinang kebanyakannya suka sangat bercerita yang bukan-bukan sehingga sukar nak membezakan sama ada dia cakap betul atau tidak! Ini pemerhatian aku, orang lain mungkin berbeza pandangan.]

Malam, tonton TV, final Piala Merdeka ke-24. Malaysia kecundang di tangan Maghribi, 2-1. Namun, Shukor Salleh diberi penghormatan kerana bermain kali ke-200 untuk pasukan kebangsaan Malaysia.


Isnin, 3 November

Petang, ke Penaga dengan Mat Omar, beli barang dapur. Pekena stone sewaktu atas basikal. Makan mi rebus di Restoran Ratu Emas. Gula kurang. Jenuh pi cari merata. [Jenuh di sini membawa maksud bosan.] Malam, tonton Mission Impossible. Lepas tu, Sumbangsih yang dijayakan Kombo RTM Sarawak dengan penyanyi-penyanyi Bumi Kenyalang. Turut diseri dengan persembahan sebuah band tentera. Tidur selepas menonton gusti.

 

Selasa, 4 November

Duduk rumah sahaja. Makan nasi lauk ayam fresh kerana baru disembelih. Malam, tonton TV cerita kekeluargaan, diikuti Bintang RTM di Sarawak. Aku tidur awal kerana tiada rancangan menarik.

 

Rabu, 5 November

Sarapan nasi goreng jam 10AM, kemudiannya baru mandi. Makan tengahari di bawah rumah. Ada kerabu jantung pisang dan ulam pucuk ubi. Aku basuh kasut kemudiannya makan dodol yang baru sahaja dimasak bersama teh O. Letrik terputus sehingga 3PM. Tolong ayah Mat Omar angkat tong padi di bawah rumah dengan bantuan Mat Omar dan kakaknya, Azizah. Cuba baiki lampu yang tak menyala, periksa fius, lalu Mat Omar cuba letak wayar baru ke dalam fius itu. Elektrik kembali ada, lalu tonton TV, My world on the wheels, motorsikal scrambler. Kemudiannya, tengok cerita Cina, The Detective, kisah pembunuhan yang disiasat penyiasat persendirian. Tidur 12AM lebih.

 

Khamis, 6 November

Pagi, tengok Rasa Sayang Deepavali sekejap sahaja kerana elektrik terputus lagi. Makan nangka muda - belum betul-betul masak - cicah sambal pedas gila. Mandi jam 12:30PM sebelum ke perhentian bas dengan Mat Omar dengan ditemani dua kakaknya. Mat Omar beli stone di sebuah kedai setelah sampai Jeti. Aku baru perasan kad pengenalan aku tiada sewaktu buka dompet. Sampai hostel, aku bersyukur kepada Tuhan kerana aku sebenarnya tertinggal kad pengenalan aku dalam locker.

Malam, ke dewan besar. Ustaz Muhamad [Ustaz Muhamad Hussain rasanya] ceramah mengenai KITA yakni umat Islam masa kini yang lalai dengan pembangunan komunis China. [Aku tulis China dalam Diari 1980 ini, bukan Cina. Berbeza sangat dua perkataan ini!] Ustaz turut bercerita mengenai perkembangan di Indonesia di mana paderi bebas menjalankan “tugas.” Ustaz turut beri penjelasan mengenai suasana di Filipina, Vietnam, Iran dan lain-lain.

Pulang dorm, beberapa rakan berbahas mengenai bangkangan seorang senior terhadap usaha pihak tertentu dalam Form 3 yang hendak buat jamuan semacam parti perpisahan kerana kami mungkin tidak lagi menyambung persekolahan di SMSPP pada tahun depan. Aku sekadar dengar kerana aku seorang yang tidak petah bersuara. Sungguhpun begitu, aku tulis semula di sini seperti apa yang aku catat dalam Diari 1980 aku di bahagian atas muka surat 6 November: “Duit party sudah beri pada Yaacob Bahari.” Aku sapu ubat gatal dan terus tidur.

 

Jumaat, 7 November

Waktu B.M. Baca majalah-majalah yang cikgu Fadhil bawa baru-baru ini. P.E. Relax dalam kelas. Hisab Moden, cikgu bagi kad laporan sulit untuk diisi maklumat peribadi. Seterusnya, duduk sahaja dalam kelas sebelum ke library pada waktu terakhir. Aku baca buku bertajuk, Rintis dan hantar balik buku Interlok yang aku pinjam baru-baru ini.

Solat Jumaat, khatib Ustaz Zakaria, manakala imamnya, Pengetua. Selepas solat, ramai rakan, khususnya orang Pulau Pinang pulang ke rumah masing-masing. Beberapa orang pula pekena stone dalam dorm. Saja cari pasai! Aku pi bilik rehat, tonton drama bertajuk Suara Laut, lakonan Ahmad Tarmimi Siregar, Asmahani Hussien, Ahmad B dan lain-lain. Beberapa rakan pula bermain - seronok-seronok - tikam duit kertas palsu. Pintu locker jadi mangsa sebagai tempat letak wang palsu yang dipertaruhkan. Malam ini aku tidur cepat kerana esok pagi aku nak ikut rombongan pasukan kriket ke Kuala Kangsar.

 

Sabtu, 8 November

Ke MCKK dengan pasukan kriket. Hujan dalam perjalanan, ramai yang pekena stone kat kerusi belakang bas sekolah. Cikgu pengiring ialah cikgu Hussain. Beliau ditemani seorang staf dewan makan, selain pak cik driver. Ronda-ronda di pekan KK bersama-sama beberapa rakan lalu masuk kedai makan. Aku makan roti canai serta minum teh. Selepas itu, ke padang MCKK, tengok perlawanan MCKK dengan RMC. Kemudiannya, ke pekan semula sehingga 2PM. Aku dan beberapa rakan pergi ke tebing Sungai Perak, tengok bot bawa penumpang menyeberang Sungai Perak ke Sayong rasanya. Aku minum semangkuk cendol dengan harga 25 sen. 6PM baru kami bertolak pulang. Pasukan sekolah aku dapat piala berbentuk cenderamata sahaja.

Berhenti makan di Bagan Serai pada 8PM. Ayah Abdul Rahim datang dengan anak kecilnya. Aku minum air Sunkist dan makan nasi bekal bersama Abdul Rashid dan Anas. Tiba hostel 9PM lebih. Aku terus mandi dan solat 15 rakaat, termasuk solat qada. [Pada zaman ini, aku jarang-jarang amal solat jamak kerana kurang faham mengenai kelebihannya kerana aku masih remaja.] Ke dewan besar untuk lihat persediaan party atau jamuan perpisahan malam esok.

 

Ahad, 9 November

Tak makan nasi lemak sambal ikan bilis kerana sudah habis sewaktu aku masuk dewan makan. Relax di dorm dalam kelaparan. Aku berpeluang baca surat layang yang mengkritik Majlis Perpisahan Tingkatan 3. Cuaca mendung, hujan sekejap. Mat Omar beri Camel, lalu aku pekena la! Semua yang terbabit dengan persembahan malam ini bersedia dengan alat kelengkapan dan kostum masing-masing.

Aku tak makan malam di dewan makan, sebaliknya terus ke dewan besar. Cikgu lambat datang. Aku dan rakan-rakan terus jamah nasi goreng, pisang, sandwic sardin dan orange squash. Cikgu Zawiyah tiba paling awal. Kemudiannya, ustazah Mariam, cikgu Anuar, cikgu Shamsudin Ayob, cikgu Mazlan, cikgu Zaki, cikgu Jiwariah, Pengetua dan lain-lain. Banyak cenderamata yang masih tidak diberi kepada cikgu-cikgu. Persembahan malam ini: pasukan tarian Jentayu, kumpulan boria, dikir barat, tarian zapin serta Band Ees Pee Charity SMSPP yang terdiri daripada Jamil, Aidy dan Fadir. Rakan-rakan yang nyanyi: Abdul Razak, Siron, Fauziah, Shamsida dan lain-lain. Tamu jemputan yang nyanyi pula: cikgu Zoyah, cikgu Fadhil Zakaria, seorang kakak matrik dan Fazidah. Turut diundang ke majlis ini: Amir RMC, seorang pelajar Form 1, Man Robot dan lain-lain. Pulang setelah bersihkan sampah-sarap, termasuk di luar dewan besar. Ada beberapa rakan yang ambil gambar bersama-sama marka atau rakan karib masing-masing. Pulang ke dorm, aku mandi, solat, lalu tidur.

[Aku tidak terbabit dalam persembahan walau sebenarnya aku boleh la juga nyanyi, main gitar dan gendang. Kat kampung aku, aku pernah join sekali dua kumpulan boria – sekadar suka-suka - sewaktu sekolah rendah. Aku dan yang lain berlatih nyanyi dan joget sakan sehingga bergegar beranda sebuah rumah jiran sekampung. Seorang yang lebih tua daripada aku main gitar. Seorang lagi main tamborin. Dan, seorang lagi pula menepuk lantai. Aku masih ingat kurang-lebih rangkap pertama lagu: “Salam bahagia kami ucapkan, penonton-pendengar yang budiman; salam persembahan kami ucapkan, salah dan silap harap maafkan.” Mungkin rakan-rakan SMSPP tidak tahu kebolehan aku? Atau, aku tak suka ke depan? Tak berapa kacak, kot? Gigi depan aku patah sebatang! Tambah-tambah lagi aku duduk dalam kelas semua lelaki dan aku seorang pendiam. Perwatakan aku yang paling akhir ini pernah disuarakan oleh seorang rakan perempuan setingkatan dalam grup whatsApp Alumni SMSPP 1978-82. Namun begitu, semasa sekolah menengah rendah dulu, ada la juga seorang perempuan SMSPP yang jadi marka aku walau sekejap!]

 

Isnin, 10 November

Cuti Awal Muharram. Makan roti di dewan makan, kemudiannya aku tidur sehingga tak sempat makan waktu rehat. Berbual-bual dengan rakan-rakan Dorm K. Balik ke dorm aku, Dorm L. Tidur dan hanya bangun untuk makan tengahari.

Makan malam di dewan makan, ada Majlis Perpisahan Form 5, dengan tambahan menu, buah epal. Ramai cikgu datang. Beberapa pelajar Form 5 berpidato: Akbar, Khairi [Aku pernah interbiu Khairi yang memperkenalkan Program Jadual Waktu, khususnya untuk sekolah atau universiti. Program komputer ini memudahkan kita tahu di mana guru tertentu berada. Cutikah? Menjadi guru gantikah? Manakala, waktu sesuatu subjek juga mudah untuk dielak bertembung antara satu sama. Aku masukkan ke dalam ruangan Ekonomi dalam Harian Metro sekitar 1991.] dan Roslan Hakim. Guru yang berucap: Penolong Kanan, Ustaz Muhamad dan Pengetua. Akbar bercakap amat menarik kerana pekat Tanjung ketika menceritakan kisahnya masuk Form 1. Hadirin-hadirat kebanyakannya ketawa berdekah-dekah. Pengetua pula umum malam ini tiada prep malam. Aku ke dorm Mat Omar. Dia beri dodol. Beberapa rakan bercerita mengenai tayangan filem "panas" di Pawagam Wan. Poster kat luar lain, filem yang ditayang lain!

[Zaman berubah. Dan, aku sekarang tak tahu keadaan sebenar sekitar Pulau Pinang, termasuk Seberang Perai. Jika aku masih bekerja sebagai wartawan jenayah, besar kemungkinan, aku tahu selok belok sisi gelap di negeri ini. Bagaimanapun, ketika aku bersekolah dahulu, ada sebuah panggung wayang mini yang menayangkan cerita tanpa censor di pekan BM. Ada seorang amoi jual tiket seperti mana panggung wayang biasa. Ada juga di BM sebuah pusat hiburan malam yang sediakan penari-penari joget dan pengunjung yang mahu menari boleh beli kupon. Di Chai Leng Park pula ada sebuah bar yang menayangkan video “panas" di siang hari tanpa perlu beli tiket atau kupon, sekadar order minuman seperti segelas coke yang berharga tak sampai RM10. Remaja bawah umur turut dibenar masuk!

Sementara itu, aku difahamkan, filem “panas” turut ditayangkan di sebuah panggung wayang di Pantai Remis, Perak pada akhir 1980-an dan awal 1990-an. Memang menjelang 1990-an, bisnes panggung wayang terjejas teruk – malah banyak yang ditutup – kerana kemunculan video tape. Ya, zaman berubah, tapi masalah sosial sampai lani seakan-akan sama sahaja disebabkan tiada “political will and commitment” dalam menangani masalah ini pada peringkat pimpinan tinggi negara ini. Sedih!]

Aku pulang lalu tidur. Tanpa diduga, ada fire drill pada 1AM. Depa bakaq apa ka benda tah kat bawah bangunan sebagai isyarat. Semua pelajar kena marah sebab turun lambat. Yang menariknya, perempuan ambil masa 10 minit, mungkin sebab bersolek, kot? Keh!Keh!Keh! Yang jantan, tu dia haih, sampai ambik masa 15 minit?

 

Selasa, 11 November

Makan bihun double yang bermaksud tambah lagi. Loceng masuk kelas berbunyi lalu aku berlari ikut short cut bagi mengelak ditahan Pengetua yang rajin berdiri tunggu pelajar-pelajar – biasanya pelajar-pelajar lelaki – di tepi jalan tar menuju ke kelas. Malangnya, aku terserempak dengan Penolong Kanan yang mengintai di sebalik bangunan dekat library. Aku dikenakan penance: Tulis ayat berupa saya takkan datang lewat lagi – insya-Allah tak tulis rasanya – sebanyak 700 baris. Pengetua pula datang ke kelas aku dan marah. Katanya, ramai sangat pelajar Form 3 tiada dalam kelas. 3 Merah sahaja tak cukup 10 orang! Aku pula tekun menulis denda lalu hantar waktu kelas petang. Penolong Kanan bagitahu aku, beliau tak masukkan kesalahan aku ini ke dalam rekod.

Petang hujan. Tak turun main. Malam pula tiada prep kerana Pengetua batalkan sehingga Cuti Penggal Ketiga. Aku baca novel, Gadis itu bernama Ina karya Azizi Haji Abdullah, milik Ramli Said sehingga habis. Mat Omar mai tidur dengan aku lagi!

 

Rabu, 12 November

Sebelum rehat, baca buku adventure, Tawanan Tengah Malam karya Shahidan Md Noh aku pinjam daripada Peter Tan. Lepas tu, aku baca, Minah dan Imran Dua Anak Yang Saleh karya penulis Indonesia, Samsudi yang memaparkan semangat kebangsaan. [Rasanya aku pinjam kat library buku ini.] Kelas petang, tolong cikgu Anuar hantar buku teks ke stor. Main petang, tonton friendly match bola sepak, Matrik lawan Form 5. Lan Tek score jaringan pertama.

 

Khamis, 13 November

Dapat foto 3 Merah setelah bayar 30 sen. Aku tolong bayarkan untuk Juraimi dan Azman. Main petang, Form 3 lawan bola sepak dengan Matrik, 2-2. Adey dan Wan Maizul score untuk Form 3, manakala Khairi dan Murad penjaring bagi Matrik. Mandi dekat I.A. Lab. Tonton TV, cerita Barry iaitu seekor anjing gereja yang bijak. Bersembang dengan Zailan dan beliau menceritakan pengalamannya masuk Hospital Kuala Kangsar semasa Form 2.

 

Jumaat, 14 November

Ke kelas pagi, tapi semua pelajar Sabah, termasuk Awang dan Adnan pulang ke kampung mereka hari ini. Ustaz Muhamad juga pulang ke Kelantan pada hari ini. Ambil alamat kawan-kawan, mana tahu boleh guna suatu hari nanti. Beberapa rakan pekena stone dalam kelas. Hari ini, hari terakhir belajar tahun 1980, lalu kami pulang beramai-ramai ikut jalan tar melintasi rumah Pengetua dan Penolong Kanan. Kami nyanyi lagu sekolah dengan riang sekali. Aku naik bas ke Cerok Tok Kun. Pi ke sebuah masjid di sana kerana lama sangat aku tak solat Jumaat di luar asrama. Aku dan Mat Omar serta Idha pi juga ke rumah Awi yang terletak tak jauh dari masjid berkenaan. Lepas makan tengahari di rumah Awi, baru kami pulang ke sekolah. Dalam perjalanan, pekena stone. Sampai ke asrama, aku jelajah dari satu dorm ke satu dorm dan aku dapati ramai rakan dah balik kampung. Waktu Isyak, aku merayau ke bangunan sekolah bersama Jamal, Idrus dan Abdul Rahim. Aku pungut beberapa buku cerita yang ditinggalkan entah siapa untuk aku baca kemudian hari.

Pulang ke dorm, aku ke bilik rehat tonton filem, Ratapan Si Anak Tiri. Pergi ke Dorm J lalu bersembang dengan seorang senior bernama Salim. Pulang dorm aku lalu tidur, dan tak lama kemudian Mat Omar datang tidur di sebelah aku.

 

Sabtu, 15 November

Berkemas waktu pagi. Mat Omar tanya aku, apa yang aku nak bagi pada dia. [Aku tak ingat sekarang sekiranya aku ada bagi apa-apa benda kepada Mat Omar sebagai kenang-kenangan. Kemungkinan besar aku tak bagi apa-apa pun kerana aku jangka awal 1981 aku bakal bertemu dia kembali. Tapi, tidak, Mat Omar tak sambung belajar di SMSPP pada tahun berikutnya.]

Bawa satu beg sekolah dan satu lagi beg pakaian besar. Aku naik bas sekolah berhimpit-himpit kerana banyak beg sehingga kaki aku berasa pedih. Aku kemudiannya naik keretapi tepat 9:33AM mengikut jam di Stesen Keretapi BM setelah Mat Omar dan Shahril ucap selamat jalan kepada aku. Aku duduk disamping Zailan, kemudiannya Jamal pula duduk di sebelah aku. [Mungkin keretapi penuh lalu kami berganti-ganti duduk dan berdiri.] Kawan-kawan tolong hulurkan beg sewaktu aku turun di Taiping. Oleh kerana beg aku berat, aku naik beca ke stesen bas dengan bayaran RM1.50. Naik bas ke kampung aku pada 12PM. Tambangnya $1.65. Aku terpaksa berdiri agak lama juga kerana bas penuh!

Sampai rumah, aku dapati Kak Misah dan dua anak kecilnya, Zailan dan Zehan ada di rumah. Mereka tunggu aku kerana mereka ingin balik ke KL bersama-sama aku. Zehan tak berapa sihat dan baru sahaja kebah demam. Aku solat sebelum keluar ke jalan raya lalu berbual dengan Pak Cu Nu. Safri – bekerja sebagai kelasi kapal - turut kelihatan di sana. Ke dewan orang ramai tengok sekumpulan orang kampung bersukan di gelanggang diguna untuk main badminton atau sepak takraw. [Aku dah lupa apa yang mereka main pada 15 November 1980 tapi besar kemungkinan sepak takraw kerana aku sering juga join mereka main sukan tradisi ini sekali-sekala jika mereka tidak cukup pemain.]  

Pulang ke rumah, aku makan tebu morris dan selepas itu aku ke Batu Hampar bersama-sama Ca dan Pe. Kami tonton TV filem orang putih di kedai makan Syed Lah. Ca belanja aku bihun goreng dengan teh. Safri turut ada di sana. Pulang rumah, kak Misah kelihatan melayan anak-anaknya yang tak mahu tidur!

 

Ahad, 16 November

Bangun lalu solat Subuh. Tak lama kemudian aku makan tempek pisang. Hari ini aku sekadar duduk di rumah. Aku baca akhbar, Mingguan Malaysia dan majalah, Gila-Gila. Petang, aku bubuh ubat seperti cuka pada kulit aku yang gatal sehingga aku turun berlari-lari di lorong depan rumah aku kerana kepedihan yang amat sangat! Malam, emak masak lepat pisang.

 

Isnin, 17 November

Aku solat Subuh kira-kira 6:20AM. Ayah dan emak hantar aku yang menemani kak Misah dan dua anaknya ke Bruas. Terlepas bas ke Ipoh kerana Zailan sibuk nak beli air. Sampai Ipoh 11:30AM. Tak sempat beli tiket bas ekspres biasa, lalu naik bas pesiaran yang dipandu oleh seorang wanita. Aku berasa yakin, gambar dan berita mengenai pemandu ini pernah masuk dalam akhbar. Tambangnya RM14, maknanya hanya aku dan kak Misah yang kena bayar seorang RM7, tapi entah mengapa pemandu wanita ini enggan ambil duit tambang! 

Zailan memerap sepanjang perjalanan. [memerap=merengek] Berhenti sekejap dekat pekan Tanjung Malim. Aku beli air kotak Magnolia berharga 50 sen. Zailan makan nasi, anak saudara aku ni kelaparan rupanya! [Sepanjang yang aku tahu, sejak remaja Zailan tak makan nasi, sebaliknya suka makan roti. Begitupun, Zailan suka menyertai acara larian. Namanya diberi berdasarkan nama ayahnya yang bermula dengan huruf Z dan tanpa diduga sama dengan nama seorang rakan sekelas dan setingkatan aku.]

Sampai KL 6PM. Naik teksi ke Chow Kit Road dan dikenakan tambang RM1.30. Relax di rumah kak Misah. Anak saudara aku, Din Abang Syad datang lalu aku, Din dan abang G ke Federal, tonton filem komedi romantik, 10 lakonan Bo Derek, Dudley Moore, Julie Andrews dan Robbert Webber. Filem yang ditulis, diterbit dan diarah Blake Edwards ini mendapat sambutan paling hangat pada 1979 di Amerika Syarikat serta menjadi sebagai trendsetter. Selepas tengok wayang, aku ke flet abang Omar, sepupu aku yang berniaga sate, lalu berbual-bual dengan Alias, Jefri, Atan dan lain-lain. Aku tidur hampir 3AM.

 

Selasa, 18 November

Selepas mandi kira-kira 10AM, aku tolong Alias angkat barang ke kedai makan. Selepas itu, aku ke rumah kak Misah lalu baca sebuah majalah. Kemudiannya, aku dan Alias pergi ke Campbell Complex dan meronda juga ke tempat lain. Pulang ke rumah kak Misah, makan nasi. Abang G ada di sana. Kak Misah dan ahli keluarganya ke rumah abang Hassan, saudara sebelah suaminya, lalu aku tinggal seorang di rumahnya. Ke sebuah kedai buku di Jalan TAR lalu beli Kunang-Kunang karya Zahari Affandi. Pulang ke rumah kak Misah, abang G ada di sana, lalu beliau tolong sapukan ubat kulit gatal aku. Selepas itu, aku pergi tengok kedai makan. Masih tiada apa yang perlu aku lakukan lalu aku ke flet abang Omar. Aku berbual-bual sekejap bersama abang G, kemudiannya aku tidur.

 

Rabu, 19 November

Mandi 11AM. Aku tak jadi basuh baju. Ke rumah kak Misah lalu makan nasi. Selepas itu, aku ke Odeon. Kemudiannya, aku melepak sekejap di Pertama Complex sebelum tonton filem komedi mengenai aktiviti mencuri, Hot Stuff. Ke gerai makan semula. Hujan. Aku meronda pula ke Keramat Supermarket. Pulang ke flet abang Omar kira-kira 11PM. Abang Omar berbual-bual dengan Salleh, abang Deris, Din dan Atan mengenai kisah kemalangan yang pernah mereka alami dulu. Aku tidur nyenyak kerana keletihan.

 

Khamis, 20 November

Hari ini, aku lihat pekerja DBKL merobohkan struktur belakang Far East Supermarket. Mungkin bahagian belakang premis berkenaan tidak mendapat kebenaran DBKL untuk dibina atau menyalahi peraturan. Jentolak, malah kren, diguna untuk mempercepat kerja mereka. Malam, aku tolong buat sesuatu di kedai makan. Aku ambil kesempatan suasana kedai yang tidak begitu sibuk dengan merayau ke Panggung Sky bersama-sama abang G. Kami tonton filem kung fu pedang, Keperiwiraan Sejati pada 9:15PM. Pulang ke flet bersama-sama Alias. Kemudiannya, aku berbual-bual dengan Mansor, Jefri dan Atan sampai ketawa berdekah-dekah.

 

Jumaat, 21 November

Makan nasi di flet. Kawan-kawan bujang yang masak. Hari ini aku tak solat Jumaat. Aku tolong Alias angkat barang ke kedai makan. Alias ajak seorang amoi tengok wayang Ahad ini dan amoi itu setuju. Sekadar berjenaka dengan amoi Pasar Chow Kit yang hantar sayur terus ke kedai makan. Ke rumah kak, baca buku yang aku baru beli dan makan nasi lagi. Malam, aku dan abang G ke Hawaii Hotel. [Ramai pekerja lelaki  sekitar Chow Kit tinggal menyewa ikut bulan di hotel ini atau tumpang mandi dengan dikenakan bayaran tertentu. Bagaimanapun, aku tak pernah sekali pun tinggal atau mandi berbayar di Hawaii Hotel sewaktu aku berniaga di Pasar Chow Kit sekitar akhir 1980-an dan awal 1990-an.] Aku ambil peluang tonton TV di ruang legar hotel ini, filem Tunggal lakonan S Kadarisman, Noor Azizah, Mahyon, Ahmad Mahmud, Norizan dan lain-lain.

Pulang ke flet, dan berlaku pergaduhan betul-betul - bukan cubaan - antara geng Hussien Abu Hassan dengan sekumpulan samseng. Riuh kedengaran, tapi aku tak dapat lihat kerana aku berada dalam bilik. Rakan-rakan bujang cerita kisah ini sebaik mereka pulang ke flet abang Omar. Abang Deris dengan bergaya tunjukkan cara memukul bola golf. Beliau sebelum ini pernah berkecimpung dalam arena golf di Desaru Golf Resort.

 

Sabtu, 22 November

Ke kedai makan dengan Alias. Minum air di kedai makan sebelum pulang ke flet abang Omar lalu makan nasi bungkus ayam. Selepas itu, aku berjalan-jalan dengan Jefri dan Jefri beli dua helai seluar main dekat kedai, Hong Kong. Hujan sehingga aku tergelincir dekat kawasan parkir. Aku ke rumah kak Misah lalu tidur. Din Abang Syad bawa Azhar dan Jamilah ke rumah kak Misah. Lepas makan nasi goreng, aku kembali ke flet abang Omar dan terus tidur. Abang Beso tidur di atas katil spring.

[Arwah abang Beso - anak paling tua - ialah panggilan kepada Saari yang berniaga kedai runcit di kampung aku. Aku tak pasti sejak bila, tapi Abang Beso telah berniaga gerai buah di Pasar Chow Kit pada akhir 1980-an. Rumah kampungnya ditinggalkan, manakala kedai runcitnya diambil alih Jaapo Kak Nah setelah Abang Beso sekeluarga pindah ke Kampung Medan, Petaling Jaya. Gaya cakap Mak Ngah Esah, emak kepada Abang Beso, berat ke arah Kuala Kangsar. Oleh itu, nama-nama anaknya disebut dalam loghat Perak.]

 

Ahad, 23 November

Hari ini kedai makan, Anuar Bersaudara cuti. Bangun awal. Ke Zoo Negara bersama-sama abang G, Alias, abang Cid, Mansor dan Jefri setelah beli filem 126 untuk kamera di sebuah kedai gambar di Jalan TAR. Sampai zoo, aku naik sampan dengan Jefri dan Alias – bayaran RM2 – tempoh masanya 15 minit, lima minit sebelum cukup masa, kami dayung balik ke pangkalan kerana hujan. Pulang, seperti datang naik bas tadi, naik bas ke Chow Kit. Beli ikan goreng dan telur goreng di sebuah kedai lalu aku makan nasi bersama-sama abang G dan abang Cid di rumah kak Misah. Malam, hujan lagi, aku masuk ke bilik Alias lalu makan roti canai bersama-sama geng bujang. Aku dan Alias kemudiannya ke Federal, tonton filem, Flying Carpet, sebuah cerita berasaskan kepada dongeng Arab.

 

Isnin, 24 November

Hari ini cuti lagi. Kedai tak buka. Kami pi Muzium Negara. Mula-mula, sarapan di Kedai Harun Roti Canai. Aku makan roti canai biasa dengan teh.

[Sekarang top roti canai ditebar melayang-layang dilambung  ke udara, tapi Harun Roti Canai dulu terkenal dengan roti yang dah masak dilambung ke arah pelayan yang menanti dekat meja pelanggan. Roti dan kuahnya, pada aku, boleh dikategorikan sebagai sedap. Aku turut pernah makan roti canai ini yang dihidang di suatu jamuan hari raya di sebuah rumah seorang pemimpin politik yang kini bertaraf mantan Perdana Menteri. Dulu, kedai Harun Roti Canai terletak di tepi Jalan TAR di sebuah lorong menuju Hock Ann Mansion. Kini, ada dua kedai roti canai berasingan tauke di situ dan kedua-duanya difahamkan milik bekas pekerja Harun Roti Canai.]

Jalan kaki ke Tugu Kebangsaan. Hujan lebat sewaktu kami menuju ke Tasik Perdana. Kami seterusnya ke Muzium Negara. Pulang ikut Tasik Perdana dan aku asyik lihat ramai orang jogging. Kami singgah di sebuah gerai makan lalu aku makan cucur udang sepinggan 40 sen. Kami kemudiannya berjalan kaki menuju Jalan TAR kembali. Kami masuk Mun Loong dan seterusnya ke Pawagam P Ramlee lalu tonton Perjuangan dan Dosa, sebuah filem berbentuk dakwah. Bagaimanapun, pada aku, filem ini entah apa-apa! Ke Kedai Makan Wahid – taukenya orang kampung aku dan ibu bapanya berasal dari Kuala Kangsar - yang terletak lat beberapa kedai dengan Anuar Bersaudara. Ramai anggota RELA dari kampung aku berkumpul di situ. Mungkin mereka mengadakan lawatan ke KL. Ayah aku turut ada dalam kumpulan berkenaan. Antara orang kampung yang datang ke KL: Nordin Tok Abas, Pak Cik Mail, Ayub, Simah dan Bakyah. Mereka semua menginap di Tropicana Hotel. Ayah ke rumah Kak Son, kakak abang Omar yang terletak di Sentul Pasar Dalam. Aku ke rumah kak Misah dengan abang G dan Jefri lalu makan nasi bersama ahli keluarga kak Misah, termasuk suaminya, abang Din. Jefri kemudiannya pergi kemas kedai makan Anuar Bersaudara bersama Alias dan Mansor. Aku tidur kira-kira 12AM.

 

Selasa, 25 November

Waktu aku nak keluar, abang Omar pesan supaya pakai kasut atau selipar semasa berada di luar rumah. Aku ke rumah kak Misah dan aku dapati kedua-dua anaknya menangis. Hujan lebat lalu aku tolong tadah air dari cucuran atap rumah kak Misah. Kemudiannya, aku ke kedai makan Anuar Bersaudara. Aku tolong belikan pen ballpoint berharga 50 sen untuk tulis jumlah belanja dan jualan harian dalam buku akaun. Aku kemudian berjalan-jalan seorang diri sampai ke Odeon dalam hujan renyai sebelum berpatah balik. Kumpulan orang kampung aku yang melawat KL itu berada di kedai makan Anuar Bersaudara pula. Mereka dijamu makan, percuma rasanya. Esok mereka berkenaan akan pulang ke kampung.

 

Rabu, 26 November

Ke rumah kak Misah 2:40PM. Ke kedai makan Anuar Bersaudara dan selepas itu ke “Kedai Hantu” beli arang sate 12 kati. [Entah kenapa, kedai Cina ini dipanggil dengan nama pelik! Kalau tak silap aku, nama yang tertera pada papan iklan ialah Kedai Seng Hoe. Semasa aku berniaga sate dengan Ca pada pertengahan 1980-an, aku turut beli arang sate di kedai yang dijaga oleh seorang lelaki dan seorang perempuan usia lebih 50 tahun ini, mungkin mereka sepasang suami isteri.] 

Aku kemudiannya ke rumah abang Omar untuk ambil timun, laici dalam tin dan duit syiling. Kemudiannya, aku bersama-sama abang G meronda-ronda ke Batu Road Supermarket dan Plaza Selangor. Kemudiannya aku ke kedai makan kak Misah, aku makan kuetiau goreng. Zailan menangis lagi dan kali ini kerana nak gula-gula.

[Kedai makan kak Misah terletak di deretan yang sama dan tidak jauh dari kedai makan Anuar Bersaudara dan Kedai Makan Wahid. Sekarang - agak lama dah aku tak pergi KL - aku difahamkan kedai makan Anuar Bersaudara sudah bertukar wajah menjadi kedai menjual kain dan tudung di bawah nama Syarikat Cahaya Iman dan masih dimiliki abang Omar. Kedai Makan Wahid pula kini dimiliki Safri – orang kampung aku yang pernah bekerja sebagai kelasi kapal - yang menjual ubat-ubatan serta jamu kocok. Kedai makan kak Misah dan  rumahnya sudah tiada kerana tapak dua premis itu sudah dibangunkan menjadi Brisdale Hotel, hotel bertaraf tiga bintang. Aku pula jarang-jarang membantu kak Misah di kedai makannya pada 1980 kerana seorang dua adik lelaki abang Din – mereka lebih tua daripada aku - sudah ada membantu kak Misah di situ.]

 

Khamis, 27 November

Aku tolong Alias angkat barang ke kedai makan Anuar Bersaudara. Selepas itu, aku makan nasi bersama-sama ayah dan abang Din. Aku ke sebuah coffee house yang terletak dekat kaunter South East Asia Hotel. Berdekatannya ialah sebuah supermarket milik Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad, Angkasa dan panggung wayang, Panggong Sky. Aku beli 3 buku kartun Lat di coffee house itu: Keluarga Si Mamat, Lots of Lat dan With a Little Bit of Lat, kesemuanya berharga RM12.50. Alias turut beli sebuah buku cerita berharga RM4 dengan menggunakan duit aku. Ke rumah Kak Son bersama-sama abang G. Kami dijamu air teh dan biskut kapal. Pulang ke flet abang Omar lalu aku tidur bersama beberapa orang bujang dalam bilik, atas lantai simen, dan aku terhimpit di tepi sekali!

 

Jumaat, 28 November

Aku ke rumah kak Misah dan ayah telah ada di sana. Dengan kemunculan ayah di sini, aku berasa ingin pulang ke kampung ikut ayah tak lama lagi. Ini kerana, aku berasa kedatangan aku ke KL kali ini semacam tiada keperluan sangat kerana kedai-kedai makan milik orang kampung aku di Chow Kit Road semacam tidak memerlukan tenaga aku walaupun sekadar kerja basuh pinggan. Sebagai contoh, kedai makan Anuar Bersaudara semacam berlebih pekerja apabila Alias, seorang daripada rakan yang rapat dengan aku di kampung sudah ada sebagai pembancuh air, Jefri yang sering main gitar dengan aku di kampung pula kerja cucuk sate, manakala Mansor dari Kedah membantu hal-hal lain. Tukang masak nasi goreng dan lain-lain seperti bihun, laksa dan kuetiau pula dikuasai abang Cid dan abang kepada Omar, abang Osman. Malam ini, aku tidur dengan memakai seluar dan baju harian kerana aku tinggalkan kain pelikat dan seluar main di rumah kak Misah. Aku terhimpit lagi di sebelah Jefri dan berasa sejuk amat kerana tidur di atas lantai simen.

 

Sabtu, 29 November

Ke rumah kak Misah, aku baca Lot’s of Lat sampai habis. Makan nasi seorang diri di rumah kak Misah. Petang, aku berehat di atas katil spring di flet abang Omar sekejap sebelum meronda-ronda di sekeliling Chow Kit Road. Aku kemudiannya pulang ke flet abang Omar untuk melelapkan mata.

 

Ahad, 30 November

Bangun awal. Ke Hentian Puduraya bersama-sama ayah, abang Cid dan abang G. Baca Mingguan Malaysia semasa menanti bas pesiaran bertolak 7:30AM. [Ketika 1980-an, bas pesiaran – mungkin diberi permit khas semasa cuti tertentu – turut beroperasi seperti bas express.] Selamat Tinggal KL! Abang Cid belikan aku buah lai dan berikan aku RM10. Sampai Ipoh, aku masuk tandas awam dengan dikenakan bayaran 10 sen. Sewaktu aku tunggu ayah di kerusi dekat tempat bas express Jasaramai berhenti, aku dengar radio orang sebelah yang menyiarkan rancangan berbalas pantun antara IPP Parit dengan IKM Lumut. Aku kemudiannya beli majalah, Dewan Sastera. Sampai sahaja kampung, abang Co yakni anak saudara aku, datang ke rumah aku. Kami pergi main bola di padang sekolah rendah, dan orang lebih dewasa seperti Sudin, Din Hamzah dan Atan Pak Lang Don pun turut main. Malam, aku tidur selepas makan durian kampung yang baru luruh serta dengar sebuah drama di radio. Abang Co atau Yan atau nama betulnya, Muhamad Asri ini anak sulung kak Son. Kak Son yang tinggal di Sentul Pasar Dalam. Yan tidur buas sangat sehingga aku sukar nyenyak!

[Di ruangan notes muka sebelah, aku catat beberapa benda aku nak beli: gitar kapok, radio, kasut hitam, shampoo dan lencana kain di Kedai Koop SMSPP. Aku juga lukis di situ karikatur seorang pemimpin politik serta tulisan: I BELIEVE IN BEING SIMPLE, SINCERE AND NOT TRYING TO BE CLEVER – TUNKU ABDUL RAHMAN, 77 YEARS OLD.]

Comments