Diari 1980

Disember


Isnin, 1 Disember

Sarapan roti benggali dengan kuah durian.

 

Selasa, 2 Disember

Ke kebun di darat dengan ayah dan emak. Makan durian. Banyak juga yang tak berapa elok kerana gugur agak muda atau masak di bawah pokok. Isinya sahaja kelihatan seperti dah masak. Mat Udin dan ahli keluarganya datang cari kayu api berdekatan kebun aku. Kemudiannya, Kak Midah Abas bagi macang dua biji. Malam, dengar radio, Pak Din Pencen. Ayah terpaksa pegang punat stesen radio, kemudiannya sendal dengan kotak mancis bagi mengelak ia berputar sendiri. Malam ini, aku tidur seorang diri.

 

Rabu, 3 Disember

Makan durian waktu  pagi. Mak bagitahu aku, Ca tolong cari durian bersamanya di kebun kat darat tadi. Aku baca buku, Abang Co datang, lalu aku makan nasi dengannya. Lauk sotong kicap dan gulai nanas. Lepas itu, makan serawa macang. Isi macang dipotong jalur lalu dicampur dengan santan serta gula pasir tanpa perlu dimasak. Awal petang, aku ke padang sekolah, main bola sepak. Pasukan aku kalah. Pulang naik basikal dengan Abang Co. Hantar Abang Co setakat kedai makan Abang Majid. Sewaktu lintas rumah Tok Dak - beliau bersangkutan dengan emak aku - beliau jamu aku air tebu.

[Air tebu Tok Dak fresh kerana baru sahaja diperah dengan menggunakan alat penggelek batang balak bulat yang digulingkan di atas sebatang kayu balak lain yang berpermukaan rata. Biasanya, air tebu itu – selain terus minum - Tok Dak masak untuk jadikan misan tebu. Misan tebu itu pula diguna untuk buat pelbagai jenis kuih yang Tok Dak jual. Tok Dak letak kuih-muihnya di kedai makan Abang Majid. Aku pernah baca rencana mengenai sekumpulan saintis Malaysia buat tepung guna biji nangka. Mereka kata, banyak khasiat tepung nangka ini. Tok Dak pula dah guna tepung cempedak yang dibuat beliau dengan biji cempedak. Yang menariknya, Tok Dak goreng cempedak guna tepung cempedak!

Tok Dak kadang kala dipanggil dengan gelaran Opah oleh 4  anak angkatnya - Miah, Ani, Mat Desa dan Jaafar. Abang Co tinggal di Sentul Pasar Dalam, KL bersama-sama emaknya, Kak Son dan tiga adiknya. Beliau yang lebih muda beberapa tahun daripada aku pulang cuti sekolah penggal ketiga 1980 dan duduk di rumah Kak Midah Abas. Tok Dak dan suaminya, Tok Sudin sudah meninggal dunia. Begitu juga Abang Co, Kak Midah Abas dan Abang Majid. Al-Fatihah.]

 

Khamis, 4 Disember

Hujan renyai sejak awal pagi menyebabkan aku mandi di sungai setelah rembang. Pak Mat - datuk kepada Duan Abang Nan – sedang mengembala lembu-lembunya di tepi sungai. Pulang ke rumah, Zawiyah anak Abang Majid datang beli tebu. Makan tengahari, mak bakar ikan termenung. [termenung=ikan kembung] Baca majalah hiburan, Varia Pop. Dua orang polis datang beli ayam sabung ayah. Seekor berharga RM10. [Boleh dikata, setiap anggota polis di Balai Polis Sungei Rotan, yang terletak berdekatan sebuah kampung baru Cina itu, rapat dengan arwah ayah aku. Ayah aku sering dirujuk apabila mereka hendak menyelesaikan sesuatu kes yang rumit kerana ayah antara “orang disegani” di kampung aku serta sekitarnya.]

Malam, hujan tak lebat, namun air sungai naik sampai tebing. Aku dan emak berjalan kaki ikut jalan jauh melintas jalan raya dan gertak untuk ke kebun di darat. [Gertak ialah istilah bagi jambatan kayu yang sering rosak akibat laluan kenderaan berat seperti lori-lori balak. Sejak jambatan konkrit di bina, masalah ini sudah selesai. Ketika akhir 1970-an, ketika banjir atau air sungai naik ke tebing akibat hujan lebat, aku dan rakan-rakan suka terjun ke sungai dari sisi gertak hala ke hilir lalu berenang ke tebing untuk panjat lalu ulang aksi terjunan dengan pelbagai gaya.] Kami ke rumah Ayi Pak Cik Mail yang terletak dekat kebun aku dulu. Aku sempat tonton TV, filem Hindustan bertajuk Double Cross dan sebahagian rancangan koboi bersiri, High Chaparral sebelum aku dan mak ke kebun durian. Kami cari durian yang gugur dengan menggunakan lampu suluh. Pulang ke rumah, aku tanggung guni jalur berisi 7 biji durian. Sampai rumah, aku makan sedikit durian sebelum tidur.

 

Jumaat, 5 Disember

Sarapan pagi. Makan pisang goreng, keropok dan kuah durian. Mak kemudiannya masak santan kelapa sekuali besar atas dapur kayu untuk buat minyak kelapa. [Zaman ini, kebanyakan orang kampung aku masih menggunakan minyak masak buatan sendiri untuk menggoreng atau menumis. Dan, mana ada dapur gas macam sekarang!] Aku baca novel, Kunang-Kunang sehingga habis. Selepas itu, aku baca sebuah cerpen. [Cerpen ini mungkin ada dalam akhbar atau majalah tertentu.]

Solat Jumaat. Khatib dan imamnya ialah Abang Abas. Selepas solat, Abang Abas umum Ustaz Jailani akan datang mengajar pada petang Isnin depan. Pak Lang Don pula kemudiannya bangun untuk beritahu ada seorang Cina mualaf dari Kedah yang dalam kesulitan dan memohon orang kampung memberi derma kepada individu terbabit. Pulang ke rumah, aku baca pula novel, Bertiup angin, beralihlah awan karya Yahya Samah.

 

Sabtu, 6 Disember

Pagi, baca buku cerita. Petang, pergi ke darat. Tolong angkut papan ke bawah rumah Mak Dak Pin. Berhenti angkut papan apabila hujan lalu aku pulang ke rumah. Emak ke rumah seorang penduduk kampung, mak ambil lampu kalimantang yang dipesannya. Lampu yang bakal menggunakan bateri kereta sebagai sumber elektrik itu digantung dekat bendul rumah aku. Baca buku Bertiup angin, beralihlah awan sehingga selesai. Aku kemudiannya dengar radio, Pertandingan Akhir Perbahasan Sekolah-Sekolah Berasrama Penuh: Bagi Bahasa Melayu – Johan ialah MCKK, Kuala Kangsar dan Naib Johan ialah SDAR, Negeri Sembilan.  Bagi Bahasa Inggeris – Johan ialah STAR, Ipoh dan Naib Johan ialah Tun Fatimah, Johor. Pemidato terbaik bagi Bahasa Melayu – Saifuddin Abdullah, MCKK manakala pemidato terbaik bagi Bahasa Inggeris – Ahmad Ghazali Anuar, STAR. Sementara itu, pemenang perbahasan dalam Bahasa Inggeris bagi Aliran Kebangsaan: Johan ialah Seri Puteri, Kuala Lumpur dan Naib Johan ialah Sekolah Sultan Abdul Halim, Jitra. Pemidato terbaik ialah Harlina Abu Hassan, Seri Puteri.

 

Ahad, 7 Disember

Sebelum mandi pagi, aku makan cucur ubi keledek. [Kebanyak orang kampung aku akan sebut beberapa jenis kuih terutama yang digoreng sebagai cucur atau cucor atau cucoq. Istilah pisang goreng yang aku tulis dalam diari ini sebenarnya tidak begitu tepat dengan loghat kampung aku. Oleh itu, cucur ubi keledek itu sebenarnya keledek goreng. Dalam pada itu, istilah seperti goreng pisang atau goreng keledek tak betul kerana maknanya lebih kepada suatu bentuk perbuatan dan bukannya nama.]

Ke darat, angkat papan lagi. Pak Itam dan keluarganya datang ke rumah Pak Cik Mail. Aku pulang ke rumah berbasikal dengan membawa seguni durian. Makan tengahari dengan jantung pisang rebus cicah sambal belacan. Aku tolong mak dan ayah gantung lampu kalimantang. Hassan datang beritahu beliau nak borong durian mak. Aku kemudiannya baca akhbar yang memaparkan rencana mengenai pembedahan ganti jantung manusia. Aku baca juga sebuah cerpen yang ditulis oleh penulis Cina. Ada juga kisah H.B. Yassin mengambil masa 15 tahun untuk terjemah al-Quran. Petang, ayah tidur dekat pintu anjung sewaktu hujan renyai.

Malam, masih hujan renyai. Ke rumah Kak Midah Abas, tonton TV, The Incredible Hulk. Diikuti, drama berjodol Apa Lagi Yang Kau Cari karya Othman Haji Zainuddin. Lakonan Fetty Zul, Marlia Musa dan lain-lain.

 

Isnin, 8 Disember

Sarapan pagi, cucur durian. Ayah bawa pulang rambutan yang dibelinya di gerai buah Pak Mat Cop yang terletak dekat bus stop bertentangan kedai runcit Saari. Abang Co datang lalu beliau makan nasi di rumah aku. Budak-budak datang ke rumah aku, termasuk seorang cucu Pak Cik Hamzah. Hujan lebat menyebabkan aku tak boleh keluar rumah. Menjelang senja dan hujan sudah seriat, mak cu, bekas isteri adik ayah aku seibu dan sebapa, Pak Cu Ali datang ke rumah bersama anaknya Bedah, serta seorang anak lelaki masih kecil, Rusdi yakni anak Mak Cu dengan suami barunya, Abu. Malam, aku bersama mak pergi ke kebun di darat untuk cari durian.

[Perlu cari durian setiap malam dan selepas Subuh kerana pencuri-pencuri durian selalunya bergiat pada waktu malam. Sekurang-kurangnya, mereka terbabit tidak dapat mencuri terlalu banyak durian aku. Difahamkan, pencuri-penduri berkenaan akan pergi ke setiap kebun penduduk kampung lalu mereka terbabit menarik guni jalur atas rumput lantas memungut buah durian yang tersangkut kerana lampu suluh tidak boleh dipasang bagi mengelak dilihat penduduk-penduduk kampung yang tinggal berdekatan.]

 

Selasa, 9 Disember

Bangun awal sikit, 6:30 AM. Sarapan cucur kodok. [Di kampung aku, cucur kodok atau sebutan lebih tepat coq kodok ialah jemput-jemput pisang. Yang lain, contohnya, cucur durian yang turut berbentuk bola ping-pong sama seperti cucur kodok tapi tak disebut cucur kodok.] Mak, ayah, mak cu dan Bedah keluar. Tinggal aku seorang di rumah, jaga Rusdi. Dia menangis selepas kencing. Aku dodoikan dalam buaian pun dia tak mahu diam. Petang, mak cu dan dua anaknya pulang ke Pantai Remis. Malam, singgah rumah Kak Midah Abas, tengok B J and The Bear sebelum cari durian. Hero tolong selamatkan penghuni rumah kebajikan yang sering disiksa. Pulang, lampu suluh mak tak menyala kerana telah dirosakkan Khairi.


Rabu, 10 Disember

Hari ini, hanya mak dan ayah ke kebun durian di darat sesudah Subuh. Sarapan pagi, makan cucur kodok dan durian lagi! Dengar radio, rancangan Nombor 5 Persiaran 1 mengenai Amir bercita-cita nak melanjutkan pelajaran ke universiti seperti kak dia. Dalam drama bersiri berkenaan, kak dia puji kartun Lat, Keluarga Si Mamat yang amat menggelikan hati serta mampu membentuk masyarakat Malaysia ke arah kebaikan.

Petang, aku ke kedai runcit Saari. Baca akhbar. Sementara itu, Saari menceritakan masalah yang dihadapi penduduk dekat Pantai Remis akibat penternakan babi. Aku ke kebun durian di darat lalu bawa pulang sebeg durian serta dua biji kelapa dengan menunggang basikal. Malam, ke kebun durian di darat lagi tapi tak banyak durian gugur. Sebaik sahaja kami nak pulang, berdebuk, sebiji durian gugur lalu mak dan aku patah balik ke kebun durian. Setibanya di rumah, aku ambil tiga keping sabut kelapa yang disimpan di bawah rumah kerana mak aku nak masak tempek pisang.

[Kalau tak silap, tempek ini suatu istilah lucah dalam Bahasa Jawa. Tapi, penduduk kampung aku tak sebut lempeng. Tempek pisang dibuat dengan melenyek pisang lalu dicampur tepung gandum seperti kita buat cucur kodok, kemudiannya ditambah sedikit gula merah. Adunan ini diratakan atas daun pisang, tabur kelapa parut bergaram, lalu dipanaskan atas kuali.]

Sementara itu, ayah kata, harimau belang makan durian di satu lagi dusun kami dekat Bukit Belia. Ayah berkata begitu kerana beliau lihat biji-biji durian diletak elok-elok setumpuk tepi buah durian yang sudah dikopek sewaktu ayah aku pergi cari durian di sana.

Hari ini juga, ada seorang lelaki kampung aku datang minta ubat pengasih. Mengikut pandangan ayah, bacaan doa minta pertolongan daripada Allah supaya seseorang menyukai kita adalah dibolehkan mengikut Islam tetapi perbuatan menggunakan khidmat bomoh, tambah-tambah lagi dengan menggunakan minyak calit dengan jampi yang bukan-bukan adalah dilarang Islam. Berjumpa bomoh untuk membuatkan seorang itu benci kepada seseorang lain turut dilarang keras mengikut hukum Islam.

 

Khamis, 11 Disember

Cerah sahaja matahari pagi, tiga lelaki dewasa datang ke rumah. Mat Desa, seorang lelaki Banjar dan abang kepada Mat Saad Co. Mereka tengok ayam-ayam sabung ayah. Lepas itu, ayah bercerita mengenai anaknya bersama isteri terdahulu, Ahmad yang pernah tinggal di Singapura pada awal 1960-an dan terbabit dengan rusuhan sewaktu sambutan Maulid Nabi. Ayah tunjukkan foto hitam putih Abang Mad bersama teman-temannya kepada tiga tetamu yang datang itu.

[Arwah Abang Mad difahamkan telah ditahan oleh sekumpulan samseng ketika rusuhan itu dan dicabut kuku-kuku jari tangannya tetapi beliau berjaya melepaskan diri. Agak pelik abang aku ini kerana beliau fasih bertutur Jawa sedangkan beliau tiada langsung “darah” Jawa dalam tubuhnya. Mungkin kerana pergaulan serta pengalamannya merantau ke Jawa, Indonesia. Seorang penduduk kampung aku, Wak Mus mengakui kebolehan abang aku ini. Wak Mus malah tak mampu bercakap Jawa dengan Abang Mad apabila abang aku ini bercakap dalam loghat Jawa Halus. 

Abang Mad pernah bekerja sebagai kelasi dan bertugas sebagai tukang kimpal membaiki bahagian bawah kapal di dalam air. Abang Mad juga pernah kerja di Amerika Syarikat di sebuah kilang membuat peluru berpandu. Abang Mad beritahu aku yang beliau telah dipelawa menjadi warganegara Amerika Syarikat atau Sepanyol tetapi beliau menolak setelah ayah aku menghalang beliau berbuat demikian. Beliau, semasa akhir hayatnya, tinggal di Johor. Kali terakhir aku bertemu beliau ialah ketika Abang Mad pulang seorang diri ke kampung pada akhir 1980-an. Anak-anak dan cucu-cucu Abang Mad kini kebanyakannya menetap di Johor dan aku sekadar berhubung dengan mereka melalui facebook dan whatsApp. Kali terakhir aku melihat isteri dan anak-anak Abang Mad ialah ketika Abang Mad bawa mereka pulang pada pertengahan 1970-an. Entah bila aku akan bertemu saudara-saudara aku di Johor ini!]

Keluar ke darat, lalu angkut papan-papan ke kebun durian. Dollah Mak Yun tolong aku. [Ayah beli papan-papan dan tiang kayu untuk buat rumah papan baru di darat kerana rumah kami di kawasan bendang sering dilanda banjir dan hanya kami sekeluarga masih tinggal di situ setelah Pak Long Nopiah dan keluarganya pindah ke darat.] Aku kemudiannya berbual dengan rakan sedarjah di sekolah rendah, Abdul Razak yang terserempak dengan aku setelah beliau menziarah Mat Udin. Petang, aku tak main bola sepak, manakala malamnya, aku ke kenduri arwah di rumah Mak Dak Pin. Tetamu di jamu pulut dengan kuah durian.

 

Jumaat, 12 Disember

Pagi ini, ayah marah Neh kerana diam-diam bawa adiknya ke rumah kami kerana ayah takut mereka digigit anjing. Aku ke masjid lalu berbual dengan Abdul Razak dan Hussien, dua rakan sedarjah aku yang ambil SRP tahun ini di Sekolah Menengah Raja Shahriman, Beruas. Khatib ialah ustaz kami semasa sekolah rendah dulu, Ustaz Mokhtar, manakala imamnya, Abang Abas Kak Midah. Ayah terus ke rumah Omar Tom kerana ada kenduri berendoi. Aku makan tengahari seorang diri di rumah sebelum ke kebun di darat lalu kutip sebiji durian. Aku tonton TV, drama ulangan, Apa Lagi Yang Kau Cari di rumah Kak Midah Abas. Mak ada di sana bersama-sama Kak Midah Abas dan anak-anaknya. Cik Rodiah, bidan kampung, datang ke rumah Kak Midah Abas lalu jemput makan kenduri di rumah abangnya.

Malam, aku ke rumah Kak Midah Abas lagi lalu tengok cerita Indon, Maria, Maria, Maria yang dibintangi Citra Dewi, Tuty Kirana, Dicky Zulkarnain dan lain-lain. Malam ini juga, Ayi Pak Cik Mail pakai baju dan seluar besar putih, ketayapnya juga putih, serta menyapu bedak pada mukanya lalu menerpa ke arah budak-budak sehingga mereka lari ketakutan. Dollah Mak Yun yang dah dewasa turut terkejut!

 

Sabtu, 13 Disember

Makan pagi, cucur pisang dan durian. Ke Beruas dengan ayah. Mak Long Miah turut ke sana. [Mak Long Miah ini berketurunan Cina. Jika tidak kerana beliau sering memakai baju kurung atau kebaya, berkain batik serta berselendang atau berselubung dengan kain batik di kepala sudah pasti beliau kelihatan seperti kebanyakan wanita Cina lain. Wanita-wanita berusia di kampung aku juga suka letak kain batik di kepala seperti lelaki pakai serban ketika mereka berkenaan pergi menoreh getah, ke bendang, memancing atau ke kebun. Mak Long Miah ramah bercakap dalam loghat Kuala Kangsar. Aku pula - juga ayah aku - akan bercakap ala Kuala Kangsar, atau tukar ke gaya Kedah atau Tanjung apabila berbual dengan individu tertentu. Cuma, aku tak pernah "mengajuk" cara bercakap beberapa penduduk kampung yang menggunakan loghat Parit kerana amat sukar cara sebutannya. Semasa aku kecil, ada satu keluarga berketurunan Batak "tersesat" lalu duduk di kampung aku. Seperti Bahasa Jawa, aku tak faham langsung Bahasa Batak! Ayah aku pula amat fasih Banjar selain boleh baca tulisan Arab tanpa baris kerana beliau pernah belajar pondok di Gunung Semanggol. Ayah juga boleh berkomunikasi dalam Bahasa Cina, rasanya loghat Hokien. Apa yang aku tak boleh lupa ialah kesedapan tapai pulut yang dibuat arwah Mak Long Miah, khususnya pada setiap Hari Raya Haji atau Hari Raya Puasa. Al-Fatihah.]

Beli akhbar dan majalah sukan. Tempah dua pasang seluar dan baju sekolah di kedai jahit seorang wanita Cina dekat kedai akhbar mamak. Beli ubat pening di kedai ubat Cina berharga RM1. [Aku dan mak aku sering pening apabila naik bas. Rasanya, ubat ini untuk mak aku kerana aku tak lagi pening apabila naik bas setelah aku bersekolah menengah. Namun, penyakit ini kini dialami pula anak kedua aku yang belajar di MRSM Parit. Hanya dia seorang, dua anak aku yang lain tiada masalah pening naik kenderaan ini. Tak lama lagi SPM bermula, ayah doa Nurul Asyikin berjaya menjawab soalan-soalan peperiksaan dengan tepat dan mencapai keputusan cemerlang. Amin. ❤❤❤] 

Ke Kedai Makan Haris. Aku minum teh dan makan dua lepat liat. Beli ikan di pasar sebelum pulang. [Pada aku, mi goreng dan mi rebus Haris - kedainya dulu terletak berdekatan Pejabat Pos Beruas - adalah mi yang paling sedap aku pernah makan sepanjang hidup aku! Sebagai contoh, aku pernah makan pelbagai resepi mi rebus mamak di Pulau Pinang, begitu juga mi rebus Pak Wahid di Johor Bahru, tapi pada aku, tiada yang dapat menandingi kesedapan masakan pak cik Haris. Difahamkan, beliau seorang perantau dari Negeri Sembilan. Di zaman 1970-an dan awal 1980-an, pelanggan-pelanggan hanya beli bawa balik mi goreng Haris yang dibungkus dengan sejenis daun lebar, rasanya daun ketapang. Bungkusan daun ketapang itu dibalut dengan kertas akhbar lalu diikat dengan tali pisang.]

Ayah dan emak ke masjid, dengar pengajian agama yang disampaikan oleh seorang naib khadi. Aku bertemu dengan Azman lalu berbual-bual dengannya.

[Azman adalah rakan sedarjah semasa aku sekolah rendah dan aku kerap ke rumahnya sewaktu remaja. Aku berlatih main gitar dengannya sambil kami hisap rokok daun tembakau jawa. Beliau yang lebih dikenali sebagai Aman Cu Pin kini difahamkan bergiat dalam bidang pembinaan rumah di Rawang. Walaupun Aman tidak meneruskan pelajaran ke sekolah menengah - selain membina rumah - beliau berkemahiran membaiki radio, TV, mesin basuh dan lain-lain. Beliau pernah bekerja di luar negara kerana kebolehannya membaiki peralatan membabitkan elektrik. Emak Aman yang aku panggil Mak Cu pula bercakap mengikut loghat Parit. Aman dan keluarganya telah lama meninggalkan rumahnya yang terletak dua tiga kilometer dari kampung aku. Aman mempunyai pertalian darah dengan Tok Dak, dan oleh itu beliau adalah saudara sedarah aku juga. Dan, kebanyakan penduduk kampung aku mempunyai hubungan kekeluargaan meskipun sekadar bau-bau bacang.]

Selepas itu, aku ke rumah Pak Cik Mail lalu tonton filem Hindustan. Fatimah, rakan sedarjah semasa aku sekolah rendah, tiba-tiba muncul. [Fatimah yang lebih dikenali dengan nama panggilan Gayah rasanya menetap di Ipoh sampai sekarang.]

Malam, aku ke rumah Kak Midah Abas selepas cari durian yang gugur. Aku tonton TV rancangan Peristiwa yang memaparkan pembuatan kraftangan dengan menggunakan daun pandan serta kisah suasana tamu atau pasar minggu di Sabah. Selepas itu, aku tonton rancangan hiburan, Sarinada. Kemudiannya, aku pergi cari durian sekali lagi sebelum pulang tidur.

 

Ahad, 14 Disember

Makan pagi, ubi rebus serta durian. Baca beberapa rencana dalam akhbar yang aku belum baca semalam. Selepas itu, aku baca majalah sukan. Di radio, kedengaran pengumuman nama peladang wanita dan lelaki terbaik negara. Acara ini berlangsung di Alor Setar dan dirasmikan oleh Doktor Mahathir Mohamad. Aku kemudiannya makan buah manggis yang diberi Kak Midah Abas. Dan, seterusnya aku turun rumah lalu belah kayu api. Kedengaran pula di radio, rancangan berbalas pantun antara Kelab Bank Bumiputera dengan Cawangan Bahasa Maktab Perguruan Perempuan Melayu Melaka.

Makan tengahari, pajeri nanas. Ayah pulang dengan membawa Utusan Zaman. Ada sebuah cerpen Zahari Affandi dalam akhbar Jawi ini. [Aku boleh baca Jawi walaupun aku tidak lancar baca al-Quran.] Selepas itu, aku keluar ke kedai runcit Saari untuk baca Mingguan Malaysia. Selepas itu, aku solat Asar di masjid sebelum pulang ke rumah. Hampir Maghrib, aku dan ayah ke masjid. Selepas solat, ayah dan aku ke rumah Kak Nah Jaapo untuk suruh beliau jahit pakaian dan sarung bantal. [Aku pernah tempah sepasang baju melayu putih ketika mula masuk asrama penuh. Ia dipakai bersama sampin maroon -  warna rasmi sekolah aku – yang aku beli di Kedai Koop. Kalau aku tak silap, upah yang dikenakan oleh Kak Nah Jaapo bagi sepasang baju melayu sangat murah iaitu sekadar RM2. Al-Fatihah, aku baca sekarang, untuk arwah Kak Nah dan arwah Abang Jaapo.] Kemudiannya, kami ziarah Mat Udin lalu kami dijamu kopi O panas. Pulang rumah, aku makan durian sebelum tidur.

 

Isnin, 15 Disember

Bangun awal, tidur semula selepas solat. Abang Co, Atan Mat Udin dan seorang remaja aku tak kenal datang lalu aku bagi mereka tebu. [Aku tak pasti tebu apa yang aku beri kerana ada dua jenis tebu yang ditanam di keliling rumah aku: Satu, tebu jenis yang diproses untuk buat gula pasir. Dua, tebu morris yang berwarna kuning dan kebiasaannya diguna untuk buat air tebu yang dijual di gerai minuman.] Kemudiannya, aku keluar, tengok Pak Mat Cop jual rambutan di tepi jalan raya. Pulang makan tengahari. Din Pak Cik Hamzah datang pinjam basikal aku untuk ke Sungei Rotan beli getah dalam tayar motorsikalnya. Selepas itu, Jan anak perempuan Pak Long Nopiah yang diteman seorang anak Hassan datang ke rumah dan minta tebu. Aman Cu Pin kemudiannya datang lalu baca Gila-Gila.

[Orang lain bersekolah menengah, tapi Aman dan abangnya, Azmi alias Atan Cu Pin serta adiknya, Azhar tekun bekerja kampung menyara ahli keluarganya: Mak Cu Pin, seorang kakak dan seorang adik lelaki OKU. Aman kerja meracun di sekitar daerah berdekatan dengan seorang tauke Cina. Aku pernah cuba angkat tong tembaga kosong tanpa air racun. Wow! Beratnya. Suatu hari, Aman curhat kepada aku - istilah Indonesia bagi curahan hati - yang dia masih tak lancar membaca. Dia belajar setakat Darjah 3, paling tinggi Darjah 4. Semasa di Darjah 3, cikgu Azizah pernah suruh aku ajar tiga rakan lelaki, termasuk Aman, yang tidak lancar membaca. Suraya pula ajar beberapa pelajar perempuan. Kalau tak silap, aku malah, pernah tolong tulis surat cinta untuk Aman. Setelah Aman curhat, aku berusaha setakat mampu untuk kembali ajar Aman sedikit-sedikit dan aku suruh dia beli majalah kartun seperti Gelihati atau Gila-Gila bagi membangkitkan minat membaca dalam dirinya. Dia, malah, beli buku lirik lagu – tanpa aku suruh - yang kami guna sewaktu main gitar bersama-sama, dan alhamdulillah, Aman kini rasanya sudah boleh membaca dan menulis dengan limpahan berkat Allah di atas usahanya! Tahniah, Aman!]

Jam 5:30PM, langit mendung diikuti hujan renyai. Aku makan malam jam 9PM lalu tidur. Ayah sudah ke Felda Lasah Sungai Siput.

[Ayah aku sering dijemput sehingga ke KL, Pulau Pinang dan lain-lain negeri untuk berubat secara Islam. Ayah mungkin ke kawasan pedalaman Perak berkenaan demi tujuan yang serupa. Ayah aku sebenarnya sering dipanggil untuk mengubati pesakit membabitkan penyakit mental yang gagal ditangani doktor perubatan seperti saka. Baru-baru ini, viral dalam medsos seorang perempuan buang beg pelastik ke dalam sungai di Kelantan, dipercayai buang saka. Mengikut ayah aku, buang saka dengan menghanyutkan sesuatu ke dalam arus sungai adalah syirik kerana selalunya perbuatan itu dibuat kerana mengikut arahan makhluk halus jahat terbabit. Sebagai contoh, makhluk jahat terbabit minta telur rebus dan pulut kuning dibubuh ke dalam bahan buangan itu untuk dia “lahap” jika seseorang mahu dia pergi ke tempat lain. Perbuatan mengikut kata makhluk jahat terbabit telah menyebabkan kita lupa akan kekuasaan Allah!]

 

Selasa, 16 Disember

Abang Co, Nan Bahari dan Lan - mereka lebih muda beberapa tahun daripada aku - datang nak beli tebu. Nan nak 20 sen, manakala Lan sekadar 10 sen. Mereka ambil tebu dulu dan akan bayar kemudian. Abang Co kemudiannya bercerita hal kegarangan guru-gurunya di sebuah sekolah rendah di Pusing, Ipoh serta Sentul Pasar Dalam, KL. Seorang daripada mereka bernama Cikgu Param. Nan pula cerita mengenai Cikgu Bahari - [ditakdir nama cikgu ni sama dengan nama bapa Nan] - yang mengajar di sekolah rendah kampung kami. [Cikgu Bahari mengajar di sekolah kampung aku semasa aku bersekolah di situ tetapi beliau tak pernah mengajar aku. Nan - nama betulnya Zainal - orangnya kacak, tak hisap rokok dan amat peramah. Ramai betul perempuan yang terpikat dengan Nan ni!] Aku dan Lan sekadar pasang telinga.

Mandi sungai setelah tiga budak lelaki itu pulang. Abang Co kemudiannya muncul kembali dan kali ini bersama Mi Abang Abas. Mi mengadu dipukul kerana punggah barang ayahnya sedangkan yang lakukannya ialah Khairi. Mi makan tebu. Abang Co pula ke darat sekejap untuk ambil getah lastik daripada Dollah Mak Yun. [Getah lastik dibuat daripada getah dalam tayar basikal.] Aman Tu Round datang nak beli ayam aku. [Tok Aman sering kata Aman tu round sesaje! Maksudnya suka berjalan ke sana ke sini. Jadi, lekat namanya Aman Tu Round. Aman yang bernikah sekitar usia 17 tahun, rasanya, masih berusia bawah 20 tahun pada 1980!]

Aku solat Maghrib di masjid, begitu juga Isyak. Aku terlewat dua rakaat waktu solat Isyak. Selepas itu kenduri arwah di rumah Mat Tongkol atau disebut Mat Tongkoi. Din Pak Cik Hamzah bercerita yang Mail anak Mat Tongkol yang kerja pandu lori kayu terlibat dalam suatu kemalangan di Kedah. Selepas kenduri, aku ke darat cari mak di rumah Kak Midah Abas tapi mak aku berada di rumah Tok Dak. Aku pulang ke rumah, dan sewaktu aku sampai, Kumbang sondol aku, lalu aku sertu kain pelikat yang aku pakai sebelum naik rumah lalu tidur.

 

Rabu, 17 Disember

Mak ke Taiping untuk ambil geran tanah bersama Pak Unggal dan anak angkatnya, Isa. Aku duduk di rumah lalu aku masak nasi. Mak pulang 3PM lebih. Mak bawa balik limau manis, anggur, mi goreng dan kacang goreng. Mak beli juga payung, kasut dan beg. Aku ke kebun di darat lalu bawa balik empat biji durian. Ayah pula tiba dari Felda Lasah dengan membawa pulang sedikit baja dan racun lalang. Malam, aku dengar radio rancangan, Bila Kelopak Berkembang. Kali ini drama bertajuk Wajah-Wajah Tersayang karya Hisham Anuar dari Bukit Mertajam, Seberang Perai. Kaca kiri cermin mata aku pecah kerana aku terpijak sewaktu aku ambil wuduk di telaga.

 

Khamis, 18 Disember

Hussien, saudara Mak Unggal yang tinggal di Gunung Semanggol, datang pinjam parang penebas. Hari ini aku pening kerana tak pakai cermin mata. Makan tengahari, makan gulai lemak masam, sepat goreng yang diberi Hussien, jantung pisang rebus dan sambal tempoyak cabai butang yang pedas betul. Aku tambah dua kali sehingga habis nasi! Petang, emak dan ayah ke darat. Apabila emak dan ayah balik, aku makan durian lalu pergi solat Maghrib di masjid. Imamnya Ramli Mat Cop. Di kanan aku Saari, di kiri aku Tok Sudin. Malam, ayah dan emak ke darat tengok durian lagi, aku sekadar dengar radio sebelum tidur.

 

Jumaat, 19 Disember

Makan durian, kopi O dan tempek nyiur. [Orang Kedah biasanya sebut peknga.]

Ke lorong yang diguna sebagai laluan ke jalan raya. Tebas rumput biasa yang sudah panjang. Begitu juga, rumput jawa lari yang menjalar. Emak basuh lantai dekat kawasan dapur kayu. Aku ke masjid untuk solat Jumaat, Abang Co datang duduk di sebelah aku. Khatib dan imam ialah Abang Abas Kak Midah. Isi khutbah ialah kewajipan menutup aurat. Hujan renyai sewaktu aku ke rumah Kak Midah Abas. Tengok filem Sayang Si Buta dengan memakai kaca mata yang pecah sebelah cermin. Lakonan Dayang Sopia, Sarimah, Aziz Jaafar, Jins Shamsudin, Ibrahim Pendek dan lain-lain. Selepas itu, Abang Co ikut aku pulang rumah di bendang. Dia dan aku tidur selepas kami makan durian dua biji.

 

Sabtu, 20 Disember

Sarapan pagi, makan nasi goreng. Hujan dalam keredupan. Mi Abang Abas datang kerana ahli keluarganya yang lain pergi kenduri. [Kenduri kahwin rasanya.] Ayah terima surat daripada Din Abang Syad dari Segamat, Johor. Habiskan masa dengan membaca akhbar. Makan nasi sayur kobis lemak putih serta ikan dan udang goreng. Selain itu, aku makan petai cicah sambal tempoyak. Malam, ke kebun di darat. Ada juga jatuh beberapa biji durian. Emak bawa pulang sebeg, manakala aku pula jinjing tiga biji durian.

 

Ahad, 21 Disember

Ke rumah Pak Long Yahya , aku tengok Abang Co dan enam tujuh budak-budak lain yang baru selesai masuk jawi. Aku makan pulut yang dimasak sempena majlis masuk jawi atau bersunat berkenaan. [Pada 1980-an, Pak Long Yahya masih menjadi Tok Mudim bagi kawasan sekitar Batu Hampar. Selain itu, beliau yang merupakan adik ipar ayah aku adalah imam masjid kampung aku merangkap jurunikah bertauliah yang orang kampung aku panggil Tok Kadi. Pak Long Yahya minat burung tekukur dan merbuk seperti ayah aku, beliau juga bergiat dalam bidang perubatan Islam seperti ayah aku.]

Ke kedai runcit Saari, baca akhbar. Pak Cik Hamzah turut membaca sebahagian akhbar berkenaan. Hujan amat lebat. Aku pulang setelah aku habis baca akhbar dan hujan dah sidang. [Sidang bermaksud reda atau seriat. Sidang juga bermaksud semakin pulih daripada sesuatu penyakit. Tok sidang pula ialah ketua kampung.] Ayah pergi ke Beruas kerana ziarah seorang saudara kami yang sakit. Setelah ayah pulang ke rumah, seorang anggota polis di Balai Polis Sungei Rotan, Roslee pula datang jemput ayah ke rumahnya kerana isterinya, Yah sakit.

Malam, aku tak lalu makan nasi. Ke dusun di darat cari durian. Singgah di rumah Kak Midah Abas, tonton drama TV bertajuk Pelari yang dilakonkan Khalid Salleh, Marlia Arsyad dan lain-lain. Aku juga lihat gambar senior aku, Abang Mail Dollah bersama rakan-rakan sebiliknya di USM dalam Peristiwa. Mereka ketika itu sedang mengalu-alukan ketibaan adik-adik angkat. Ada juga berita mengenai perasmian bangunan baru, Balai Polis Pantai Remis dalam rancangan TV berkenaan. Pulang dengan membimbit seguni kecil durian. Sampai rumah, aku makan durian sebiji lebih. Aku dengar radio sekejap sebelum aku tidur.

 

Isnin, 22 Disember

Sarapan pagi, cucur durian. Baca majalah UFF milik abang G sambil dengar radio, Pentas Radio dengan cerita bertajuk Kayangan. Mi Kak Midah Abas kena kejar dengan Kumbang lalu dia acah nak pukul dengan batang ubi kayu. Mujur aku sempat terjun ke tanah untuk panggil Kumbang. Joyah atau Zawiyah yang datang bersamanya lari ke laluan tepi tebing sungai. Mereka berdua kemudiannya diberi makan tebu. Mi kena tengking dengan ayah aku apabila Mi terjatuh sewaktu duduk atas tangga berhadapan pintu anjung rumah.

[Arwah Zawiyah semasa kecil suka berkawan dengan budak-budak lelaki. Kerana terpengaruh dengan petinju Muhamad Ali - pada 1970-an popular dengan kelincahannya bertinju dengan Joe Frazier, George Foreman, malah dalam pertarungan “pelik” dengan ahli gusti Jepun, Antonio Inoki - beberapa budak lelaki di kampung aku bertinju sesama sendiri dengan membalut tangan dengan baju masing-masing sebagai pengganti glove. Zawiyah turut bertinju dengan seorang budak lelaki dan Zawiyah tidak kalah!]

Malam, ayah keluar ke rumah Pak Long Yahya, tengok lagi sekali Abang Co yang baru bersunat. Aku dan mak ke dusun durian di darat. Dapat sedikit durian, namun mak beri beberapa biji durian kepada Jan Pak Long Nopiah sewaktu singgah di rumah Taharin. Sewaktu jalan pulang dan melintas depan rumah Tok Dak, kami bertembung dengan seekor ular katam tebu. Mujur mak nampak walaupun lampu suluhnya tidak di-on


Selasa, 23 Disember

Mak ke rumah Pak Long Yahya kerana ada kenduri bersunat lagi. Mak bagi aku RM20 untuk tempah cermin mata baru di Taiping. Aku naik bas bersama Safri yang membawa Awo dan kakaknya, Manja berjalan-jalan ke Taiping. Terus ke Kedai Cermin Mata Leow untuk buat specs berharga RM49. Aku bayar cengkeram RM20. Selepas itu aku tonton wayang, Go Tell The Spartans. Aku tertinggal dalam panggung kalendar percuma yang aku dapat semasa tempah specs. Ia sudah tiada sewaktu aku masuk semula ke panggung wayang untuk mengambilnya. Aku naik bas pulang dan terpaksa berdiri kerana bas penuh. Sampai di rumah, Abang G dan Abang Cid sudah ada di rumah. Depa baru sahaja sampai dari KL.

Malam, aku ke dusun di darat untuk kutip durian. Aku ambil juga durian aku yang telah dikutip oleh ahli keluarga Abang Majid Kak Son lalu mereka letak di bawah rumah mereka. Rumah mereka terletak di tepi kebun aku. Setelah pulang ke rumah aku, aku makan durian Si Tepung yang agak besar saiznya. Ada tiga pokok durian di kebun aku di darat ini. Satu pokok besar menghasilkan beratus-ratus buah yang rasa dan teksturnya adalah seperti kebanyakan durian kampung lain. Sebatang pokok lagi isi buahnya berwarna agak kuning dan amat sedap rasanya. Buah pokok ketiga yang digelar Si Tepung ini berisi putih dan rasanya boleh dikata sederhana. Pulang lalu aku tidur atas katil dengan abang Cid. Abang Cid berlapik tikar mengkuang, manakala aku atas gulungan tilam nipis. Aku terjatuh katil sewaktu nyenyak tidur.

 

Rabu, 24 Disember

Makan tempek nyiur cicah isi durian.

[Musim durian, hari-hari makan durian atau kuah durian yang dimakan dengan roti kirai, malah dibuat bubur kacang durian. Cucur durian juga enak dan ia bulat-bulat apabila dimasak kerana buah ini mengandungi gas lalu tak perlu pakai yis. Begitupun, pada akhir 1982, sewaktu aku menunggu keputusan SPM, aku mengalami masalah tidak “lalu” makan durian. Ketika itu, aku kerap bersama Ca menunggu durian di kebun familinya yang terletak tak jauh dari Sungei Rotan tapi aku tak makan seulas pun walau durian itu jenis isi kunyit dan sangat sedap.

Aku masih ingat Abang Din Kak Misah berhadapan dengan detik cemas apabila beliau bertembung dengan seekor ular tendung selar yang jatuh dari pokok durian pada suatu malam. Ingatkan durian yang gugur! Tadi petang, hampir 5PM, bersamaan 24 Januari 2021, aku diberitahu isteri aku: “Abang Din sudah meninggal dunia.” Aku terus terkenang kebaikan abang ipar aku ini yang amat memahami kesukaran hidup yang aku tempuh pada usia aku awal 20-an. Beliau tidak mengeluh sewaktu aku tinggal sekejap bersama-sama dia dan ahli keluarganya di Kampung Kolam – kampung ini jika masih ada sudah tentu berjiran dengan KLCC - meskipun beliau bukannya seorang yang berkemampuan. Al-Fatihah. Aku baca sekarang buat arwah Abang Din dan arwah kakak sulung aku, Kak Misah.]

Dengan abang G, aku ke kedai runcit Saari untuk baca akhbar percuma. Tengok Padin Cik Rodiah jual rambutan berdekatan tapak jualan Pak Mat Cop. Pak Mat Cop tak jual rambutan hari ini. Pe dan Ali asyik mengusik-ngusik Padin.

Pulang ke rumah, Kak Miah Tok Dak datang lalu dikejar Kumbang. Abang Co pula kedengaran menjerit-jerit di sebelah sana sungai. Dia tak bolehkah duduk diam di rumah Kak Midah Abas kerana dia baru sahaja bersunat? Waktu awal petang, mak kepada Saad Co datang minta ubat. Makan malam, makan di anjung dan bukannya di dapur kerana jumlah orang yang ada di rumah lebih ramai daripada biasa. Malam ini, aku tidur berdekatan meja dan kerusi tulis.

 

Khamis, 25 Disember

Bakar buku-buku lama Abang Cid dan Abang G di tepi sungai. Lepas makan tengahari, ke rumah Pak Cik Hamzah. Abang G sudah ada di sana, lalu berbual dengan abang G dan anak-anak Pak Cik Hamzah sambil dengar lagu Sweet Charity. [Anak-anak Pak Cik Hamzah ini mungkin Ya atau Mat Isa atau Din atau ketiga-tiganya sekali, manakala lagu itu mungkin didengar melalui kaset.] Seorang menantu Pak Cik Hamzah dan Nopiah datang berbual sama. [Mungkin Nopiah ini menantu Pak Long Nopiah atau Pak Long Nopiah sendiri. Nama mereka sama.] Kami berbual mengenai pengalaman sebagai anggota polis atau tentera, kenangan bersama arwah Benggali Karim yakni  jiran sebelah rumah Pak Cik Hamzah yang merupakan satu-satunya penduduk kampung yang memiliki kereta, perkembangan umat Islam dan lain-lain. Tak lama kemudian, aku ke rumah Kak Midah Abas. Tonton sebuah filem koboi, serta rancangan Sarinada yang disertai Rosemaria, Anita Sarawak, Sudirman, Cathy, D J Dave, Latif Ibrahim dan lain-lain.

Selepas solat Maghrib dan Isyak, Mat Yasin datang lalu ajak Abang Cid ke Pantai Remis. Selepas Abang Cid pulang, beliau, Abang G, emak dan aku pergi ke rumah Kak Midah Abas. Aku tonton Peristiwa yang memaparkan kisah sebuah orkes simfoni di Pulau Pinang serta rancangan sempena Krismas yang disertai Jennifer Yen, Kenny Lim, Salimah, Tatoo and Kids, pasukan gamelan, Penari Sayang dan lain-lain. Abang Man adik Abang Abas, Ila dan Nor anak Kak Son serta anak Pak Lang Don sampai ke rumah Kak Midah Abas dari KL pada 11PM. Aku dan ahli-ahli keluarga aku yang lain pulang ke rumah aku lalu aku makan durian sedikit sebelum aku tidur, berdekatan meja lagi. [Anak perempuan Pak Lang Don yang pulang kampung pada 25 Disember 1980 ialah sama ada Putih atau Ayang. Rumah Pak Lang Don pula sebenarnya terletak berdekatan rumah Kak Midah Abas.] 

 

Jumaat, 26 Disember

Mandi di sungai, Ayi Pak Cik Mail dan adiknya, Tipah bermain di bahagian tepi sungai. Mereka asyik korek pasir sungai. Selepas siap berpakaian, aku keluar ke jalan raya untuk pergi Beruas. Aku terpaksa tunggu lama kerana aku baru sahaja terlepas bas sebaik sahaja tiba di perhentian bas. Tiba Beruas, aku terpaksa berjalan ke kedai jahit kerana bas berhenti depan pejabat pos dan bukannya di perhentian bas sebenar kerana jalan raya di tengah-tengah pekan dikorek. Aku ambil dua pasang seluar dan baju sekolah yang sebelum ini ditempah di kedai jahit berkenaan lalu ke kedai buah Cina. Aku beli sedikit anggur dan buah lai.

Pulang ke rumah, Abang Co, Ila, Nor dan Nan datang makan durian. Kemudiannya, aku ke darat, tolong buat bangsal bawah rumah Pak Lang Don dan balai makan dengan menggunakan batang buluh. Ramai yang membantu: Jaafar, Cik Nu, Abang Cid, Abang G, Bakar dan Cop Pak Lang Nan, Abang Beso, Wahid Pak Lang Don dan lain-lain. Malam, ada majlis khatam al-Quran Kak Jijah. Abang Abas menjadi “kepala” majlis dengan menggunakan mikrofon. Aku ke rumah Kak Midah Abas tonton TV, “Jakarta, Hong Kong dan Macao.” Filem ini dilakonkan Ratno Timoer, Farouk Afero, Rahayu Affendy dan lain-lain. Sewaktu pulang, aku masih dengar nyanyian yang berkumandang dari pembesar suara yang digantung tinggi, berdekatan rumah Pak Lang Don.

Di bahagian atas muka surat 26 Disember ini aku catat: Aku bernazar untuk botak kepala aku jika aku dapat 10 agregat dan ke bawah, dan aku akan puasa sehari bagi setiap keputusan A1 yang aku dapat. [Abang G telah cukur rambut aku. Dan, aku masih ingat, kepala aku berdarah terkena pisau cukur!]

 

Sabtu, 27 Disember

Aku paling akhir keluar rumah untuk pergi makan kenduri kahwin Kak Jijah. Selepas makan nasi kenduri - lauk termenung, ayam, jelatah dan pajeri nanas - Aman Cu Pin ajak aku ke rumahnya untuk dengar lagu menerusi kaset Sweet Charity, A Ramlee, Boney M dan lain-lain. Malam, selepas solat Maghrib dan Isyak di masjid, aku ke rumah Pak Lang Don kerana ada majlis burdah. Aku dan beberapa yang lain sekadar mengikut-ngikut “bernyanyi” dengan suara lantang. Selepas tamat majlis, tetamu diberi makan nasi serta telur rebus yang diletak dalam bekas yang dibuat daripada kotak rokok Dunhill dan Rothmans. Setelah pulang ke rumah, aku makan sedikit durian sebelum tidur dalam kelambu - seperti sebelumnya - dipasang berdekatan meja.

 

Ahad, 28 Disember

Pagi, Abang Majid datang lalu ajak ayah ke rumahnya kerana anak perempuannya, Kak Nab sakit angin memulas. Aku sekadar duduk di rumah dan baca akhbar ayah beli sebentar tadi di Batu Hampar. Aku kemudiannya dengar radio, berbalas pantun antara Pusat Pemulihan Wanita Kuala Terengganu yang diwakili Khalsom Abdullah, Hashim Salleh dan Jamilah Yusuf menentang Ladang Sungai Tong yang diwakili Fatimah Awang, Abdul Razak Awang dan Yusuf Awang. Tidur seketika semasa hujan.

Ayah lastik musang yang dikatanya makan buah juga anak ayam. Binatang itu jatuh apabila terkena batu lastik dan tak boleh bergerak. Kumbang menyalak, gigit lalu gonggong musang malang itu. Aku segera ambil bangkai musang itu daripada kumbang lalu campak ke dalam sungai. Emak masak serawa pisang. Aku dengar radio, Final Hoki Bawah 19 Tahun Piala Razak. Perak berjersi kuning menewaskan Melaka berjersi putih, 2-1. Aku seterusnya ke rumah Kak Midah Abas tonton drama TV berjodol Rahsia Hati, lakonan Shasha, Nancie Foo, Yunus Abu dan lain-lain.

 

Isnin, 29 Disember

Pagi, aku ke Taiping dengan Abang G dan Abang Cid. Aku pakai baju jenama Arrow dengan seluar sekolah yang aku baru tempah. Ke bazar, baiki kasut John Travolta milik Abang Cid, kena RM6. Makan di bawah Bangunan Seri Larut: mi rebus, nasi campur dan air kelapa. Ke pawagam Calton, tonton Jejak Bertapak lakonan M Jamil, Jamaliah Arsyad, Sarimah, Kuswadinata dan lain-lain. Blur kerana tak pakai cermin mata. Kemudiannya, beli seluar main, seluar dalam dan buku tulis di Larut Matang Supermarket. Akhirnya pulang ke kampung setelah cermin mata tak sempat disiapkan setelah kami tunggu sehingga 4:45PM. Hujan lebat dan Abang Cid beli kacang dan buah lai sebelum naik bas. Dalam bas, kelihatan rakan sekolah Abang Cid bernama Maznah tetapi Abang Cid tidak tegur kerana Abang Cid seorang pendiam. Ada seorang budak memerap kerana nak turun bas. Aku tidur awal malam ini kerana letih.

 

Selasa, 30 Disember

Pagi, aku ke rumah Kak Midah Abas lalu makan manggis. Ke rumah Jefri, dan beliau sudah bersiap untuk ke KL. Aku pulang ke rumah lalu tebang pokok pisang awak lalu batangnya aku letak ke dalam petak bendang berdekatan. Kemudiannya, aku ke jalan raya untuk hantar Abang Cid, Abang G dan Jefri yang bersama-sama ke KL. Ayah pula pulang dari Balai Polis Sungei Rotan setelah tolong angkat barang ke dalam lori kerana Roslee diarah pindah ke Bukit Aman, KL.

Petang, tolong emak buang daun pisang. Seorang lelaki Hindu dari Hidden Streams Estate dekat Batu 25 datang beli ayam dan minta batang bunga ros untuk ditanam di rumahnya. Malam, dengar radio rancangan Pak Din Pencen yang menyelitkan kisah Kemboja ditawan Vietnam. Tidur 10PM selepas memilih beberapa keping foto yang akan aku bawa ke SMSPP kelak.


Rabu, 31 Disember

Sarapan, nasi goreng dan kopi O. Mandi 8AM. Dan, aku mandi lama kerana aku cuci belakang aku yang berbintat-bintat. Aku tak ke mana-mana hari ini. Aku selongkar almari untuk mencari bahan bacaan. Ayah pulang lalu bagitahu aku, Pak Syed - tauke kedai makan di Batu Hampar – meninggal dunia dan akan dikebumikan esok. Awal petang, aku makan rambutan yang telah diambil dari kebun di darat, seterusnya mandi sungai lalu keluar ke jalan raya. Aku berbual-bual dengan Ali, Abang Beso dan Cop. Cop bagitahu keputusan peperiksaan SRP yang diperolehinya serta Mat Ali. 

[Rasanya, Mat Ali - turut lulus - ulang periksa SRP kerana beliau lebih tua dua tahun berbanding umur Cop dan aku. Aku pula sebenarnya lahir pada 1964, dan bukannya seperti didaftar pada 1965. Mat Ali pernah bekerja di Penjara Pudu dan difahamkan bertugas di bahagian hukuman gantung. Beliau dikatakan berniaga kecil-kecilan di Pasar Pudu dan seterusnya berhenti kerja setelah perniagaannya maju apabila beliau mula membekalkan beg pelastik dan pembungkus makanan ke sekitar KL selain terus kekal berniaga di tapak perniagaannya di Pasar Pudu.]

Ke kebun di darat. Ayah tebas semak. Selepas itu, aku bawa pulang ke rumah dua biji nyiur. Sampai rumah, tolong mak buang daun pisang dan korek ubi kayu. Pak Lang Nan dengan seorang lelaki lain datang dari arah bendang Pak Lang Don setelah mereka berada di situ menjebak burung tekukur. Malam, aku dengar radio, rancangan Bila Kelopak Berkembang dengan drama berjodol Datangnya Sebuah Harapan karya Hisyam Anuar dari Bukit Mertajam. Selepas itu, keputusan SRP seluruh negara diumumkan. SMSPP 100 peratus lulus! Alhamdulillah. Sebelum tidur, aku dengar ucapan sempena tahun baru oleh Perdana Menteri Malaysia, Hussien Onn.

Di bahagian MAR CASH A/C dalam Diari 1980 ini aku coret:

none kucingku, tidur terlentang, makan berpantang, dengan kumbang sering berperang, none kucingku, mengapa begitu, tidur dalam kelambu, takut nyamuk dan manja selalu, makanan kau serupa aku, cuma tak mengunyah ulam, lauk masin tak kau sentuh, lagak kau macam ratu, kumbang lahap sisa dan tulang, tetap cergas juga garang, sewah takut junam melayang, tapi kau diam terlentang - Kampung Masjid Batu 26, 19 Disember 1980

Comments