Diari 1980

Oktober


Rabu, 1 Oktober

P.E. berlatih gimnastik dalam dewan besar. Lepas itu, main permainan semacam bola keranjang. Sivik. Perbincangan tajuk: “Bahaya Penganggur Kepada Ekonomi Negara.” Sains Paduan, ke makmal dan study sendiri setelah cikgu Jalgit ulangkaji mengenai eletroskop. Rehat. Ilmu Alam, cikgu tanya lagi mengenai Afrika. B.M. Belajar berasaskan majalah, Dewan Sastera. Pulang makan tengahari, ayam kecil. Aku tak mandi sebelum ke kelas petang kerana air kurang.

Agama, jawab soalan Fekah. English belajar summary kemudiannya jawab soalan kertas SRP terdahulu. Hisab Moden, buat soalan yang diberi cikgu. Tak habis jawab lalu kena buat sebagai kerja rumah.

Main petang, perlawanan persahabatan rugby antara Form 3 dan Form 4. Form 4 menang. Berlaku pertelingkahan antara penyokong dan pemain. Beberapa rakan aku mengutuk permainan Aziz dan Pak Aq. Aziz nasihat supaya jangan kacau players. Aku kemudiannya main bola sepak. Prep malam, Jamil datang bersembang dengan aku, Amiruddin dan Awang. Zailan tidak ke prep malam kerana beliau demam. Balik dorm, aku terus tidur.

 

Khamis, 2 Oktober

Sarapan bihun goreng – double. Ilmu Alam, belajar mengenai kontor. Muzik, cikgu Zaki suruh kami ke library. English, seorang rakan kena warning kerana rambut panjang. Sejarah, cikgu ajar cara-cara jawab soalan SRP. Rehat. Makan roti – double lagi! Agama, ustazah ajar doa penerang hati. [Aku amal doa ini sehingga sekarang. Namun, aku hanya hafal dalam Bahasa Arab tapi sudah lupa maksud sebenarnya dalam Bahasa Melayu. Apa-apa pun, terima kasih, ustazah Maryam.] Seni Lukis, lakar logo persatuan di SMSPP. Aku nampak rakan yang kena tegur tadi - kami sama dalam kelas English tetapi tidak sama dalam kelas subjek-subjek lain - rambutnya dipotong oleh Pengetua dengan disaksikan Penolong Kanan. Rakan-rakan berjenaka dengan cikgu Surinah yang ramah. Aidy tanya bila cikgu nak bertunang? Hisab Moden, tandatangan borang biasiswa. I.A. Buat soalan SRP 1978. B.M. Belajar peribahasa. Aku diarah buat soalan lalu aku tanya apa erti bergolok bergadai?

Main petang, main bola sepak. Kemudiannya, aku tengok perlawanan bola sepak persahabatan. Form 4 kalahkan Matrik dengan jaringan 2-1. Apa-apa pun, cara penjaga gawang matrik dive agak menarik. Prep malam, aku baca Seni Perusahaan. Pulang dorm, aku sambung study sehingga 11:30 PM.

 

Jumaat, 3 Oktober

B.M. Cikgu cerita mengenai bentuk soalan yang akan keluar dalam SRP. P.E. Main sofbal. Hisab Moden, dapat kertas soalan. English, tulis comment terhadap cara pengajaran cikgu Mat Noor sempena hari-hari terakhir kami bersama beliau pada tahun ini. Rehat. Sains Paduan, ke makmal dan berlatih jawab soalan. Sejarah, relax di kelas kerana cikgu tak mai. Cikgu Anuar datang lalu beri borang kegiatan pelajar.

Aku mandi di bilik air sekolah kerana air kekurangan di bilik air asrama. Aku ambil jambu 4 biji. Masih putik dan rasanya kelat bukan main! Aku hanya mampu makan 2 setengah biji! Solat Jumaat, khatib ustaz Muhamad yang berceramah mengenai cara solat. Aku kena cubit dengan ketua penuntut, Aziz Jaafar kerana tak ke barisan hujung sewaktu makan tengahari.

Prep petang, aku belajar Seni Perusahaan. Yim, Fadir dan beberapa yang lain bawa bantal lalu tidur atas kerusi malah di lantai! Prep malam, aku ulangkaji Indirect Speech dan Article. Pulang ke dorm, aku pergi solat Isyak di musala. Kemudiannya, aku study di study room Blok A. Aku baca Seni Perusahaan Form 3 sehingga selesai.


Sabtu, 4 Oktober

Ke prep, study English. Pulang dorm, sambung study. Mengantuk lalu tidur. Petang. Subki bagi agar-agar. Emak Juraimi datang tapi beliau tiada dalam dorm lalu kami kalut cari Juraimi. Finally, Juraimi muncul.

Tengok TV rancangan Centennial, diikuti Getaran Jiwa dihoskan Sudirman Haji Arshad. Artis undangan ialah Yusni, Norlia Ramli, Noor Kumalasari, Frances Yip, The Channel dan lain-lain. Ada babak Sudirman berlakon. Selepas tonton TV, aku basuh kasut main warna putih, dan kemudiannya gilap kasut hitam jenama Bata dengan Evershine. Study larut malam, aku study English kerana aku amat lemah dalam subjek ini dan oleh kerana ini aku perlu berusaha sedaya mungkin. Hujan lebat sehingga tubuh aku menggigil kesejukan di malam yang sunyi.

 

Ahad, 5 Oktober

Makan pagi menu biasa, nasi lemak ikan bilis. Aku bertugas cuci tingkap. Cikgu Mazlan dan cikgu Zaki datang cek. Zamani datang periksa tangan dan katuk tangan sesiapa yang berkuku panjang. Zamani kelihatan gembira kerana aku difahamkan beliau adalah salah seorang daripada 13 pelajar Tingkatan 5 yang bakal dihantar ke Australia. Makan tengahari, Suraini bagi sedikit ayam gorengnya kepada aku. Aku kemudiannya, ke bilik rehat, baca Mingguan Malaysia. Banyak cerita "lucah" serta rencana mengenai pergolakan politik di Asia Barat Daya. Entahlah dunia!

Minum petang, tak sempat nak rush. Prep malam, beberapa rakan conteng papan hitam sebagai melepas tension kerana esok SRP bermula. Anuar Saki bagi kata-kata akhir mengenai cara menulis karangan. Aku pula ulangkaji English dan membunyikan “murtabak” sehingga Amiruddin riuh sedikit. [murtabak=buang angin] Malam ini aku tidur awal dengan mengenakan tracksuit.

Di bahagian kosong atas muka surat 5 Oktober ini aku tulis: “Semoga esok cerah dengan sinaran suria pagi yang indah.”

 

Isnin, 6 Oktober

Aku bangun awal, tapi pi mandi lambat. Air paip dah kurang laju. Hujan renyai sewaktu aku ke dewan besar untuk ambil periksa B.M. kertas 1 8:15AM-9:45AM dan B.M. kertas 2 10:15AM-11:45AM. Pulang dorm. Mandi selepas makan tengahari menu ayam. Ke prep petang, study sendiri kerana cikgu tak datang. Pulang dorm, aku bertinju olok-olok dengan Jamil sehingga berpeluh sebelum turun main petang. Aku sekadar duduk di hujung padang lalu renung ke bawah bukit. Ada pertunjukan wayang Cina. Aku dan beberapa rakan acah-acah main baling tanah liat. Aku bersama beberapa rakan lain di atas, manakala At Long, Kot dan Lokman berada di tebing bukit, bawah sedikit.

Prep malam, berbincang dengan Zul Saad, Yim, Abdul Rahman, Wan Maizul dan beberapa pelajar lain. Ustaz datang beri amaran tetapi kedengaran kelakar. Dalam perjalanan pulang ke dorm, seorang rakan sekelas terjatuh ke dalam longkang dekat I.A. Lab. Segera tidur dengan memakai tracksuit kerana cuaca agak sejuk. [Aku sehingga sekarang, sebenarnya, tidak tahan angin kipas terlalu kuat. Oleh itu, aku pakai tracksuit yang diberi abang aku, abang Cid sewaktu aku tidur malam.]

 

Selasa, 7 Oktober

Pengetua warning beberapa pelajar termasuk aku kerana lambat pi kelas. Kemudiannya, beliau mempertikai kebersihan kelas aku seiring menyuruh kami tetap ke kelas ketika tiada exam. Aku ambil peperiksaan Bahasa Inggeris kertas 1 8:15AM-10:00AM dan Bahasa Inggeris kerta 2 10:30AM-12:00PM. Pulang asrama awal, oleh itu, makan tengahari turut awal. Oleh kerana tiada ketua-ketua penuntut, aku dan beberapa rakan lain ambil peluang makan guna tangan, bukan sudu dan garfu seperti yang “diwajibkan” mengikut undang-undang sekolah. Ke dewan besar semula untuk periksa Sejarah 2:10PM-3:40PM. Perah otak dalam suasana panas!

Main petang, main bola sepak. Jefri ambil bola yang melantun ke tebing bukit, lalu jatuh dekat laman sebuah rumah Cina. Kami yang lain berlari ke tangga turun ke padang bola, kami berkumpul di situ. Rakan-rakan ketawa berdekah-dekah setelah nampak beliau bawa balik bola. Konon-konon, Jefri tak nampak kami duduk di tangga dan berasa beliau ditinggalkan seorang diri.

Prep malam, kelas riuh-rendah kerana beberapa orang rakan berlakon jual buku rujukan menengah rendah yang kami tak pakai lagi pada tahun depan. Pulang dorm, aku tidur awal seperti semalam.

 

Rabu, 8 Oktober

Ke kelas dengan Mat Omar. Ke bilik air kerana aku sakit perut. Kemudiannya, periksa Sains Paduan 8:10AM-9:40AM. Susah jugak! Habis periksa balik ke dorm, relax di atas katil sekejap sebelum mandi. Beberapa pelajar lelaki Form 3 buat huru-hara kerana dewan makan lambat dibuka untuk makan tengahari.

Main petang, aku main bola sepak. Fauzi terpecah cermin matanya sewaktu berlawak dengan Idrus. Aku dan beberapa rakan pulang asrama lebih awal. Hari kelihatan gelap walaupun loceng habis waktu main belum berbunyi. Aku ke bilik rehat, baca akhbar mengenai peperangan di Barat Daya Asia. Cikgu Mazlan datang cek asrama lalu semua pelajar kalut melarikan diri.

Prep malam, aku berjaya jual buku Sejarah terbitan Fajar Bakti milik aku kepada seorang pelajar Form 2 pada harga RM4.50 dan selepas itu aku study I.A.

 

Khamis, 9 Oktober

Aku ke library. Rehat. Double roti planta. Waktu Seni Lukis, aku tolong buat bekas telur untuk majlis perkahwinan cikgu Mat Noor Abd Rahim. Selepas makan tengahari, ke kelas petang walau hujan. Main-main lepas tension di kelas. Baling kapur tulis pendek ke “longkang” tempat letak kapur tulis dan duster pada papan hitam. Wan Maizul paling hebat kerana berjaya tiga kali.

Main petang, ada friendly match. Perlawanan bola sepak kakitangan pejabat dan dewan makan SMSPP lawan kelab luar. Aku tonton sambil duduk di atas rangka besi tempat berlatih bola keranjang. Hujan renyai.

Prep malam, aku study I.A. Begitu juga setelah pulang ke dorm, aku pergi study room ulangkaji I.A.

 

Jumaat, 10 Oktober

Kelas pagi, aku relax  sahaja di kelas. Waktu Sejarah, aku pi library. Aku pulang makan tengahari ikut short cut. Masih awal, jadi aku mandi sebelum ke prep petang. Aku dengar beberapa rakan ingin mohon masuk Maktab Tentera Diraja atau lebih terkenal dengan panggilan RMC atau Royal Military College Sungei Besi. Ah! Tahun depan tinggal sedikitlah rakan sejak Form 1.

Solat Jumaat, ustaz Zakaria jadi khatib. Main petang, main sepak raga bulatan, kemudiannya aku dan rakan-rakan main bola sepak dengan menggunakan bola sepak raga. Kumpulan aku terdiri daripada Suraini, Zambri dan Jamal, manakala kumpulan lawan ialah Putat, Fairuz, Jamil dan Zawawi. Kumpulan aku menang. Aku berpeluh-peluh selepas main. Malam, aku study sekejap sahaja. Aku tidur awal tapi aku makan dulu roti telur yang aku beli tadi di kantin.

 

Sabtu, 11 Oktober

Ke prep pagi, aku masih study Seni Perusahaan. Kemudiannya, aku bersembang dengan rakan-rakan. Wan Maizul bercerita mengenai pak ciknya yang bekerja sebagai broker serta rancangannya untuk pergi KL. Yim lantas cuba bercakap gaya KL, sekadar berjenaka. Pulang dorm, aku tidur sekejap selepas minum teh waktu rehat pagi di dewan makan. Setelah bangun tidur, aku pergi bagi duit baki 50 sen kepada pelajar Form 2 yang dah beli buku Sejarah aku. Kemudiannya, aku basuh baju. Aku tonton TV selepas pergi minum petang bersama Fadir. TV rosak lalu aku tonton sekejap sahaja Kejohanan Sukan Islam di Barat Daya Asia. Malam, aku tonton Centennial, selepas itu Getaran Jiwa yang dihos Uji Rashid. Sebelum tamat rancangan aku pulang ke dorm kerana rangkaian TV tergendala. Aku kemas almari sebelum aku tidur.

 

Ahad, 12 Oktober

Makan nasi lemak sambal ikan bilis. Mereka yang datang lewat sekadar makan roti bulat. Inspection, aku jalankan duti mengemas locker besar. Beberapa pelajar Form 4 dihukum menjerit "Kami Lembu" di koridor. Ketua penuntut, Deris datang lalu tanya siapa ada hilang sesuatu. Cikgu Fadil datang cek dorm dan kemudiannya memberi kata semangat supaya kami jawab SRP bersungguh-sungguh dan beliau ucap Selamat Menyambut Hari Raya Aidil-Adha.

Ke prep malam dan aku order gambar pasukan hoki daripada jurufoto sekolah, Shamil. Selepas prep malam, ustaz panggil semua pelajar Islam lelaki berhimpun di bilik rehat Blok A. Ustaz nasihat supaya kami solat berjamaah setiap waktu. Form 1 dan Form 2 di Musala A, Form 3 dan Form 5 di Bilik Rehat A, manakala Form 4 dan Matrik di Musala B. Selepas pertemuan itu, aku study Ilmu Alam hingga 12:30AM lebih. Sebelum tidur, aku lihat seorang rakan sedang ketuk-ketuk rokok ke atas tebing koridor. 

[Ketika bersekolah menengah, pada aku, hisap rokok sedap la sangat! Tambah-tambah lagi jika pekena selepas makan nasi. Begitu juga semasa di universiti atau pusat pengajian tinggi. Setelah aku mula bekerja tetap, hisap rokok dan jadi suatu tabiat sehingga aku rasa rimas jika tiada kotak rokok dalam poket seluar. Aku cuba berhenti rokok berkali-kali setelah aku berkahwin. Punca utama aku cuba berhenti ialah aku kekurangan duit sedangkan harga rokok mencanak naik setiap kali belanjawan negara diumumkan. Aku pernah berhenti mungkin lebih setahun tetapi aku hisap kembali setelah sepupu aku, Syukri anak Pak Long Yahya hulur sebatang rokok semasa aku beraya di rumahnya di Batu Hampar. Selepas itu, aku giat menghisap rokok kembali dengan beralih daripada Dunhill atau Gudang Garam kepada rokok balut koboi yang agak jimat kerana sebungkus tembakau import berharga kira-kira RM20 boleh tahan seminggu, dan kadang-kadang aku hisap rokok daun dengan tembakau jawa jika aku benar-benar tak cukup duit. Pada suatu malam, esoknya hari pertama orang Islam puasa Ramadan, aku bertekat berhenti hisap rokok. Aku tak hisap rokok lagi sampai sekarang, dan tanpa diduga berat aku meningkat dari 60 kilogram kepada kira-kira 80 kilogram, manakala saiz pinggang aku yang dulunya 29, tapi kini 35!]

 

Isnin, 13 Oktober

Bangun awal sedikit kerana Ustaz Muhamad Hussin datang gerak. Aku pergi solat Subuh di Bilik Rehat A. Pulang dorm, Ricky yang duduk di katil tingkat bawah naik hot kerana aku melepaskan “murtabak.” Aku yang turut berasa sakit perut lalu ke tandas sebelum ke kelas. Patutlah Ricky marah sangat sebab ada bau! Sampai kelas, Pengetua datang cek. Aku yang risau ditahan kerana rambut lebih had panjang sekadar duduk tegak. Kemudiannya, aku ke dewan besar kerana periksa Seni Perusahaan. Sebahagian pelajar perempuan menduduki exam Sains Rumah Tangga. Peperiksaan Seni Perusahaan bermula 8:10AM sehingga 9:40AM. Minum rehat di dewan makan, teh dengan ondeh-ondeh. Selepas rehat, pelajar yang ambil Perdagangan pergi ke dewan besar untuk periksa subjek ini.

Makan tengahari. staf dewan makan, Pak Ya warning, sesiapa pun tak boleh ambil ayam lebih. Solat Zuhur di musala. Bilalnya Wan Maizul, manakala imam, Abdul Razak. Selepas itu, ke dewan besar periksa Agama 2:30PM-4:00PM. Aku berasa sukar sehingga tangan aku menggeletar sewaktu menulis. Main petang, main bola sepak. Cuaca redup kerana hujan renyai semasa periksa Agama tadi. Aidy pula kelihatan berbincang serius dengan Nawiral mengenai soalan dalam periksa Agama tadi. Prep malam, aku buat latihan Hisab Moden. Pulang, aku pergi solat di Bilik Rehat A. Selepas itu, aku tonton sedutan perlawanan bola keranjang. Tempat pertama, Arab Saudi. Kedua, Iraq. Ketiga, Malaysia.

 

Selasa, 14 Oktober

Ustaz mai gerak lagi awal pagi. Aku pergi solat di Bilik Rehat A. Berdebar-debar semasa periksa Hisab Moden 8:10AM-9:40AM. Aku ambil masa sejam lebih sikit untuk selesaikan. Selepas itu, aku cek jawapan dua kali sebelum aku berserah kepada-Nya. Setelah pulang ke dorm, aku, Mat Omar dan seorang lagi kawan ke musala untuk hisap rokok. Seorang yang ada di situ turut diberi rokok oleh Mat Omar. Kami ke musala kerana merasakan keberangkalian untuk kami ditangkap hisap rokok di situ amat tipis.

Makan tengahari, menu ikan masin. Deris mai warning kerana Form 3 makan dengan “garfu asli.” Aku kemudiannya pergi solat Zuhur di Musala B. Kelas petang, pergi library dua period. Selepas itu, cikgu Ilmu Alam, Pak Husin datang kelas dan suruh belajar untuk periksa esok dan tak perlu bincang lagi kertas periksa SRP dulu-dulu. Pulang dorm, suasana kelam, kemudian hujan agak lebat, jadi tak turun mainlah!

Ke prep malam, study Ilmu Alam. Rakan-rakan dalam kelas aku bising sehingga Deris datang warning dua tiga kali. Pulang dorm, aku pergi study di bilik belajar sehingga 12:30AM

 

Rabu, 15 Oktober

Ke sekolah study Ilmu Alam. Periksa Ilmu Alam 8:10AM-9:40AM. Selepas periksa, bersalam dengan guru pengawas. Pulang dengan gembira kerana periksa dah habis tapi aku berasa aku ada buat careless mistakes. Nasiblah! Kita dah berusaha. Kelas petang, aku ke library. Main petang, main bola sepak sekejap sahaja kerana hujan. Pulang, mandi awal. Padamkan kesan pensil pada kertas soalan SRP. Aku nak bawa pulang ke kampung kelak. Prep malam, rakan-rakan riuh berbual.

Pulang dorm dan aku dengar pekikan beberapa pelajar lelaki. Mereka yang rasanya sedang mendengar ulasan sukan di radio teruja apabila diberitahu pengulas berkenaan bahawa penyerang pasukan bola sepak Malaysia berjaya menjaringkan gol sewaktu bermain dengan Maghribi dalam usaha merebut Piala Merdeka. Aku pula baca buku Terjebak karya Abdullah Hussain yang baru aku pinjam sewaktu aku ke library sebelum ke kelas prep malam tadi. Malam ini aku tidur awal. Namun, ramai rakan yang mundar-mandir di koridor dan keluar-masuk dorm kerana SRP sudah selesai.

 

Khamis, 16 Oktober

Ke kelas. Aku habiskan masa hari ini dengan duduk di kelas selain ke library. Ketika di kelas, aku baca buku cerita. Aku turut potong muka surat kosong buku rampaian untuk difailkan, nanti aku boleh guna sebagai “buku nota.” Waktu Lukisan, cikgu Surinah suruh buat tinjauan mengenai seorang pelukis tempatan dan tulis dalam bentuk karangan.

Main petang, main sekejap kerana hujan. Makan malam, cawan tiada! Penolong Kanan datang memeriksa. Ke dewan besar, tapi tak boleh masuk solat Isyak kerana ruang sudah penuh. Cikgu Zaki pula tak benar solat di Bilik Rehat A. Aku difahamkan, ada acara baca Yasin di dewan besar.

Setelah aku pulang ke dorm, aku kemas almari aku. Kemudiannya, aku pergi ke Dorm J dan terserempak pula dengan Penolong Kanan yang sedang melakukan pemeriksaan. Bagaimanapun, Penolong Kanan tidak berbuat sesuatu kepada aku. Malam ini, hujan lebat diiringi ribut. Aku tidur dalam kesejukan malam yang mencengkam.

 

Jumaat, 17 Oktober

Ricky berkemas kerana beliau nak naik keretapi ke KL. Selepas itu, Ricky bagitahu aku, beliau akan naik kapal terbang ke Sarawak. Aku bermaaf-maafan dengannya, teman sekatil dengan aku sepanjang tahun ini. Aku atas, Ricky bawah. Kemudiannya, aku ke kelas pagi, baca novel yang aku pinjam dari library baru-baru ni. Beberapa rakan sekelas, keluar kelas, pergi main di padang, sampai selut berlumuran pada baju dan seluar mereka.

Selepas solat Zuhur dan makan tengahari, aku ke BM naik bas sekolah aku, kemudiannya naik bas awam ke Bagan, hisap rokok dua kali, sekali dalam tandas atas, sekali lagi dalam tandas bawah. Aku kena bayar 20 sen untuk dua kali guna tandas. Selepas itu, aku naik bas Ekoba yang kelihatan masih baru dengan plet AAL. Aku naik bersama-sama Zailan, Jamal dan beberapa pelajar Form 4 dan Form 5. Mereka semua nak balik ke Kuala Kangsar tapi tiada tiket bas terus ke Kuala Kangsar sehingga mereka terbabit terpaksa naik bas ke Taiping dulu. Zailan duduk di sebelah aku. Sampai Taiping hampir 6PM. Aku beli fail di pasaraya, dan limau nipis di kedai buah dekat Bangunan Seri Larut.

Malam, aku tonton TV di rumah Kak Midah Abas. Perlawanan bola sepak, Kuwait menentang New Zealand. Ca, sepupu aku, ada di sana. Dollah Mak Yun pun ada. Aku dijamu teh dan kuih raya. Kak Midah sedang buat ketupat pulut sewaktu aku pulang ke rumah.

 

Sabtu, 18 Oktober

Sarapan pagi, pisang goreng dan keropok. Mak buat peneram. Aku pula baca buku cerita abang G sambil dengar radio. Makan tengahari, lauk cuka dan telur goreng. Keluar ke kedai runcit Saari. Mat Yasin dan Ali Mak Ngah Esah ada di sana. Aku baca akhbar sambil menunggu abang Cid pulang dari KL. Cop Pak Lang Nan, rakan sedarjah di sekolah rendah, tanya aku tentang SRP. 

[Cop belajar di Sekolah Menengah Raja Shariman, Beruas sebelum sambung belajar dalam bidang kejuruteraan eletrik, rasanya di IKM Perak selepas Tingkatan 5. Dia pernah bekerja di Majlis Perbandaran Ipoh sebelum berniaga. Pada aku, beliau adalah salah seorang rakan sekampung yang berjaya dalam bidang perniagaan. Cop terbabit dalam bidang pendawaian elektrik dan kini mampu memiliki kereta mewah dan membina rumah besar. Aku amat berbangga dengan pencapaiannya.]

Oleh kerana abang Cid tak muncul, aku ke rumah Jefri Borhan. [Jefri seorang pendiam tapi boleh bermain gitar. Aku sering juga bermain gitar bersama-sama beliau apabila aku pulang ke kampung.] Kemudiannya, aku ke padang bola sepak lalu bermain bersama-sama Jali, Ya, Ali, Nyet, Nan, Jak, Cop, Padin, Mat Ali, Kefli dan lain-lain. Tamat permainan, pasukan aku menang. Dan, aku terus pulang. Aku dapati abang Cid, abang G, Kak Misah, Bang Long dan Zehan sudah ada di rumah aku.

Ayah bercerita bahawa semalam seorang budak lemas setelah terjatuh ke dalam sungai depan rumah aku. Ayah juga bagaitahu aku - mungkin Pak lang Nan bagitahu ayah aku – Cop mungkin tak sambung belajar tahun depan walaupun lulus kerana keluarganya tak mampu. Aku tulis catatan sebenar aku di muka surat 18 Oktober ini: “Ayah kata Cop tahun depan tak ngaji walaupun pass kerana tak mampu. Aku berdoa tidak akan berlaku. Kerana aku mahu kawanku berjaya mencapai taraf yang tinggi daripadaku!”

 

Ahad, 19 Oktober

Bangun awal. Ke masjid. Orang tidak begitu ramai. Selepas solat Hari Raya Haji, aku ziarah rumah Ya Hamzah, Hasnah Benggali Karim, Mat Yassin, kak Bayah, Pak Lang Don, abang Abas dan Zul Majid. Pulang ke rumah dan dapati ramai yang datang berhari-raya. Petang, aku ke rumah kak Midah Abas tonton TV. Cerita Mastura, lakonan Hussien Abu Hassan, Maznah Ahmad, Norizan dan lain-lain. Ke padang. Main bola sepak. Aku jadi penjaga gawang. Malam, terus tidur kerana abang Cid tak nak pergi ke rumah kak Midah Abas kerana beliau mengantuk.

 

Isnin, 20 Oktober

Sarapan ubi kayu. Duduk di rumah sahaja. Petang baru aku main bola sepak sampai berpeluh-peluh. Abang Cid jadi penjaga gawang. Best juga tengok abang Cid “terbang” untuk menangkap bola. Aku berjaya score sebiji hasil hantaran Mat Ali. Malam, dengar radio, perlawanan bola sepak, Morocco seri dengan Burma, 2-2. Malaysia seri juga dengan Thailand, 2-2. Kesilapan mudah yang membawa seri kepada Malaysia. Malam ini, tidur dengan abang Cid atas katil.


Selasa, 21 Oktober

Makan pagi, nasi lemak. Ke Taiping naik bas Blue Omnibus bersama-sama ayah, abang Cid dan abang G. Din [Aku tak pasti sama ada Din Majid atau Din Pak Cik Hamzah. Rasanya Din Majid] dan seorang anak Yang Jengkot ada dalam bas yang sama. Seorang pelajar matrik sekolah aku turut naik bas yang sama, dan dia - aku tak mesra dengan dia di sekolah aku - mungkin tinggal di Beruas. Makan nasi kandar sebelum ayah dan abang-abang aku naik bas dari Taiping ke Felda Ijok pada 1:30PM. Aku beli ubat gigi Raiya di Larut Matang Supermarket, harga RM1.10. Aku juga gunting rambut ala komando di sebuah kedai di Bangunan Seri Larut. Aku naik bas Ekoba pada 2:30PM. Nampak seorang perempuan anak Saad Baserah naik bas yang sama dengan aku ke Bagan. Beberapa pelajar SMSPP lain turut naik bas bersama-sama aku untuk pulang ke asrama. Sampai Bagan, naik bas 60 ke BM. Sampai ke BM 4:00PM lebih. Aku lihat beberapa pelajar SMSPP, termasuk rakan setingkatan sedang enak menghisap rokok.

Prep malam, aku ke library, pinjam Peristiwa karya Abdullah Hussain. Buku ini sambungan kepada Terjebak. Ke kelas. Rakan-rakan riuh dalam kelas. Pulang dorm, makan ration bersama-sama beberapa rakan se-dorm. Aku beri cucur ubi kayu, depa kata best. Aku pergi minta duit jualan buku English daripada pelajar Form 1 bernama Bahrain. Ronda-ronda sekeliling koridor sebelum aku tidur.

 

Rabu, 22 Oktober

P.E. Tak turun main. Relax, baca buku dan “ban.” Rehat. Naik ke dorm sekejap sebelum ke kelas petang. Main petang, main macam biasa. Ustaz ronda dengan motorsikal ke tempat Form 3 main bola sepak. Malam, ke prep, dan tiada apa yang hendak dicoretkan.

 

Khamis, 23 Oktober

Sarapan bihun goreng. Banyak lebih, tapi aku makan sedikit sahaja kerana tiada selera. Ada perlawanan bola sepak. Under 15 pasukan sekolah A kalahkan pasukan sekolah B, 3-0. Ikut pulang ke dorm dengan pemain-pemain untuk mandi. Ke kelas semula, cikgu Surinah main mastermind perkataan dengan Fadir. Main petang, main bola sepak. Pulang awal lalu mandi bersama-sama beberapa rakan di bilik air Form 5 di Blok B. Sabun mandi aku hilang, dan Anas cakap Ramesh yang ambil. [Masa remaja, memang kawan-kawan suka main-main begini. Ramesh pula seorang yang baik dan aku tak kisah pun jika benar-benar beliau ambil sabun aku.]

Ke prep malam, tak solat di dewan besar. Pulang dorm, aku dan Mat Omar main dam dan kemudiannya catur. Aku menang main dam, tapi kalah catur kerana aku tak reti main.

[Semasa tinggal di KL, aku sering tengok orang main catur di merata-rata tempat. Aku tak tahu sekarang kerana sudah lama tak ke KL tapi pada era 1990-an, Jalan Raja Alang adalah tempat yang agak top bagi kaki catur, khususnya warga Indonesia, yang suka berjudi. Seorang kulit putih, namanya John rasanya, sering berentap di situ. Seorang lelaki Indonesia bergelar Menteri adalah seorang "penghuni tetap" di situ dan merupakan pecatur yang paling hebat. Paling akhir aku lihat orang main catur ialah seorang rakan yang bekerja sebagai broker bisnes, Ali Sadikin Mohd Noor, bekas pelajar Sekolah Menengah Sains Taiping main catur di stesen bas Ipoh. Ali Sadikin sering menyertai pertandingan catur tempatan dan beliau pernah dihalang bertanding di Ipoh apabila pihak penganjur mendapati namanya termasuk 300 pemain terbaik Malaysia dan oleh itu beliau tak sesuai bertanding pada peringkat terlalu amatur! 

Aku pula benar-benar terjebak dengan catur setelah aku lihat ada program main catur dalam komputer isteri aku. Aku cuba main dan berasa seronok lalu aku baca beberapa buku di perpustakaan Seberang Jaya. Baru aku tahu dengan lebih jelas mengenai peraturan sebenar main catur, pelbagai cara mula gerakan bidak, taktik dan strategi, nama-nama bagi cara bertahan, malah cara mencatat gerakan catur supaya boleh kita kaji – sama ada menang atau kalah - setelah permainan tamat. Aku memerlukan masa juga untuk faham kenapa pemain-pemain hebat - terutamanya grandmaster -mengaku kalah sebelum habis main kerana individu berkenaan sudah dapat kesan yang beliau bakal kalah, antaranya disebabkan oleh posisi buah-buahnya berkecamuk.]

Baca buku Peristiwa sehingga habis. Kemudiannya, aku bersembang dengan Mat Omar. Aku tidur sekatil dengan Mat Omar setelah kami berlawak dengan Putat. Beberapa rakan lain turut tidur berdua setelah bersembang-sembang. [Aku dan Mat Omar adalah kawan rapat, begitu juga rakan-rakan lain. Hubungan sekadar setakat itu. Tapi, setelah aku dewasa dan kenal dengan pelbagai "bentuk" manusia, aku berpendirian bahawa amalan tidur sebegini patut dielak kerana takut berlaku perkara sumbang!]

 

Jumaat, 24 Oktober

Makan nasi lauk ikan bilis. Ke AVA Room. Ada debate antara 3 Merah, diwakil Sufian, Ramesh dan Aidy manakala 3 Hijau, diwakil oleh Rashid, Azizah dan Shamsida. 3 Hijau menang. Azizah dipilih sebagai The Best Speaker. Selepas tonton debate, aku ke library, baca buku bertajuk, Sorong Makan Tarik Makan.

Ke dewan besar, solat Jumaat. Air kurang sewaktu aku ambil wuduk berdekatan I.A. Lab. Ustaz Zakaria sebagai khatib. Makan tengahari, berlauk sardin dan sayur kacang. Selepas makan, pergi perjumpaan scouts dekat gelanggang tenis. Cikgu Zaki warning aku kerana aku tak boleh jawab mengenai apa yang dia cakapkan. Kami kemudiannya bergerak ke belakang asrama untuk tebang buluh. Ramesh, Non dan Anuar kena kejar dengan seorang staf lelaki dewan makan sebab nak “ambil” buah nangka.

Ke prep malam, aku ke library dulu, pinjam Salah Pilih karya Nur Sutan Iskandar. Pulang dorm, aku hisap Saratoga dua batang. Sebatang di tandas matrik bersama Mat Omar, sebatang lagi semasa aku dan Mat Omar di atas katil aku. Aku difahamkan, beberapa rakan telah pergi semula ke belakang dewan makan dan “ambil” buah nangka yang telah masak itu. Depa ambik dua biji pulak tu! Aku terlalu mengantuk lalu tidur di samping Mat Omar sekitar jam 1AM atau 2AM.

 

Sabtu, 25 Oktober

Ke prep pagi, “ban” pasai mengantuk. Pulang, dan relax di dorm sebelum kembali ke perkarangan sekolah untuk bina khemah dengan buluh. Aku dan Mat Ki, Zaini, Siron, Kamal, Radual dan Adenan ikut cikgu Zaki pi ambil buluh lagi dekat Cerok Tok Kun. Seorang pak cik datang lalu ajar cara tebang buluh. Bawa pulang dua batang buluh. Dan, terus pi makan tengahari. Ketua penuntut, Aziz marah sebab ramai makan tanpa guna sudu dan garfu. Selepas makan tengahari, aku basuh seluar, tuala, seluar dalam dan stoking, juga kasut main.

Tonton TV, bola sepak, Malaysia lawan Indonesia sekejap. Pulang ke dorm lalu bersembang dengan Mat Omar. Aku turun tidur di tilam Ricky, Mat Omar tidur atas tilam aku. Aku tak berapa selesa tidur berdua.


Ahad, 26 Oktober

Ke perkarangan bangunan sekolah waktu inspection. Buat peralatan khemah. Kami yang ke sana terlepas daripada melakukan duti mingguan di dorm masing-masing. Aku, Mat Omar dan seorang lagi kawan bercerita mengenai perancangan outing hari ini. 

Kami bertiga ke Jeti. Dari situ naik bas Titi Timbul 141. Kami pergi ke panggung wayang, Rex dan Cathay. Kami akhirnya beli tiket untuk tonton The Great Heroes di Rex. Kemudiannya, kami ke Grand Supermarket, aku beli sabun 999, harganya tiga ketul RM1.10. Selepas itu, baru kami masuk panggung wayang. Sewaktu menonton filem, aku hisap rokok 6 batang, seorang rakan berkenaan sekadar 5 batang, manakala Mat Omar hisap 7 batang. Selepas tonton wayang, kami meronda-ronda ke arah rumah sakit daerah dan Pantai Road.

Ke Selera Jaya. Aku makan mi rebus dan ais kacang. Pulang ke asrama, aku pi mandi dengan Mat Omar pakai sabun baru. Kemudiannya, aku ralit tengok Jamil main gitar yang dibawanya ke asrama baru-baru ini. Prep malam, aku baca buku cerita. Pulang ke dorm, berdisko sakan dengan rakan-rakan dengan iringan laungan kaset seorang rakan. Damanhuri datang warning kerana kami buat bising. Aku kemudiannya pergi tandas Form 1 bersama Mat Omar dan seorang rakan lain. Aku hisap rokok, tiba-tiba aku disampuk mabuk tembakau, jalan melelong-lelong. Aku terus balik ke dorm lalu baring di katil aku kerana aku berasa tersangat pening, lalu aku terus tidur. Kawan-kawan lain kembali berdansa!’

 

Isnin, 27 Oktober

Perhimpunan tiada kerana pelajar-pelajar matrik menduduki Ujian Semester Pertama di dewan besar. Cikgu Fadhil bawa ke kelas berikat-ikat majalah untuk kami baca. Ke AVA Room kerana ada debate, Adakah boleh dilakukan disiplin yang tegas terhadap murid sekolah. Wan Yazman, Jameelah Banu dan Hafilah menjadi wakil 3 Putih, manakala Zambri, Fauziah dan Faizah wakil 3 Biru.

[Aku rasa, aku sendiri yang terjemah tajuk debate sewaktu tulis dalam Diari 1980 ini. Sekarang, setelah aku perhati betul-betul, murid memang bersekolah jadi tak betul diterjemah murid sekolah. Murid pula lebih sesuai untuk budak-budak sekolah rendah, sepatutnya pelajar bagi yang bersekolah menengah atau peringkat universiti. Mahasiswa sesuai juga diguna untuk pelajar peringkat universiti tapi pada aku istilah ini terlampau usang. Dalam pada itu, jika aku terjemah tajuk debate berkenaan sekarang, aku akan tulis: “Bolehkah guru bertindak tegas terhadap pelajar-pelajar yang tidak berdisiplin?”]

Mandi tengahari lewat. Aku ke prep petang lalu ke library baca Sorong Makan, Tarik Makan sampai habis. Lepas itu, aku pinjam Puntong Hanyut karya Nora (Ali Haji Ahmad). Tonton pula, perbahasan Bahasa Melayu antara 3 Biru dan 3 Merah. 3 Merah menang tapi pemidato terbaik jatuh kepada Mohd Khir. 3 Merah diwakili Abdul Razak, Aidy dan Abdul Rahman. 3 Biru pula, Mohd Khir, Idha dan Raden.

Main petang, ada perlawanan bola sepak antara Under 15 tahun 1980 menentang bakal Under 15 tahun 1981. Under 15 tahun 1980 menang, 2-0 dengan kedua-dua jaringan dilakukan oleh Bang Lee. Satu, beliau gelecek bola depan penjaga gawang. Dua, tendangan jarak jauh. Hujan, aku segera pulang. Solat Maghrib berjemaah dengan Jamil di atas sebuah katil di dorm kami, Dorm L. Prep malam, aku baca buku cerita. Pulang dorm, aku solat Isyak, lalu aku terus tidur kerana mengantuk sangat.


Selasa, 28 Oktober

Ramai kena denda kawad kerana lewat, antaranya Shukor, Abdul Rahman dan Abdul Rahim. Perlawanan bola sepak interclass, 3 Merah kalahkan 3 Biru, 1-0. Haizal yang score. Pak Mat, penjaga gawang, dive cantik sewaktu menghalang sepakan pemain lawan. Bagaimanapun, Zambri, penjaga gawang 3 Biru berdarah hidung dan cedera dekat mata setelah berlanggar dengan lutut Yaakob yang cuba mengelak dengan melompat sewaktu Zambri hendak tangkap bola. Zambri dihantar ke hospital oleh cikgu Mat Noor Rahim. Hujan, lalu semua pelajar ke kelas. Rehat. Rehat di dorm sekejap sebelum ke kelas petang. Aku habiskan masa terluang dengan membaca Puntong Hanyut sehingga selesai. Mandi petang lewat.

Prep malam, ke library, pinjam Interlok karya Abdullah Hussain. Pulang dorm, cikgu Shamsudin buat spot check. Juraimi tertangkap kerana ada mancis di atas almarinya. Sebenarnya, milik orang lain yang turut kelam-kabut sorok rokok. Juraimi, sepanjang yang aku tahu, bukan seorang penghisap rokok. Aku kemudiannya pasang cadar dan sapu ubat gatal ke bahagian tertentu tubuh aku. Aku selepas itu  join beberapa rakan, berdisko se-round sebelum tidur.

 

Rabu, 29 Oktober

Hujan amat lebat menyebabkan aku lewat bangun. Aku ke sekolah tanpa sarapan pagi. Aku ikut rombongan pasukan bola sepak Form 3 ke SMKBM kerana menjadi penyokong perlawanan persahabatan. SMSPP menang 3-1. Wan Maizul melakukan jaringan hat-trick. Aku tonton dengan memakai poncho kerana hujan. Pelajar-pelajar perempuan Form 3 yang ikut sama pula bertarung bola jaring dan SMSPP kalah tipis, 8-5.

[Sekarang, hat-trick bermaksud seorang pemain bola sepak menjaring tiga gol sepanjang tempoh separuh masa dan separuh masa kedua walaupun tidak berturut-turut. Ikut sejarah bola sepak pula, “perfect hat-trick” ialah seorang pemain yang menjaringkan tiga gol: satu dengan kaki kanan, satu dengan kaki kiri dan satu lagi dengan tandukan. Sementara itu, di Jerman dan Austria disebut “flawless hat-trick” atau “pure hat-trick” disebut di Belanda, bermaksud seorang pemain jaring 3 gol berturut-turut dalam tempoh separuh masa yakni tidak dijaring dalam tempoh masa yang satu lagi setelah masa rehat dan ia dilakukan berturut-turut tanpa ada selingan jaringan gol pihak lawan.]

Ramai juga rakan yang beli rokok sebelum pulang. Sewaktu hendak makan tengahari, beberapa pelajar buat kecoh depan pintu dewan makan yang tidak dibuka. Beberapa rakan bernyanyi: “Pak Ya, Pak Ya buka pintu.” Aku difahamkan, pelajar-pelajar matrik makan dulu kerana mereka baharu sahaja tamat periksa. Prep malam, aku baca buku cerita lagi. Pulang dorm, aku tak sempat sapu ubat gatal kerana terlena tidur.

 

Khamis, 30 Oktober

Air tiada. Hanya dua tiga titik air paip jatuh atas kepala aku. Ada perlawanan persahabatan Form 3 dengan Sekolah Menengah Simpang Empat dalam acara bola sepak dan bola jaring. Bola sepak, SMSPP menang 2-1 dengan jaringan Zaini dan Abu Bakar. Wan Maizul pula mengalami kecederaan lutut.

Tengahari setelah selesai perlawanan persahabatan, ramai pi mandi kolam di luar kawasan sekolah, tapi aku tak pi, aku sebelum itu telah pi mandi di tangki kecil dekat Blok C. Ke kelas petang, murid-murid sekolah rendah berhampiran datang mengutip derma Hari Pahlawan.

Selepas prep malam, Mat Omar datang ke dorm aku lalu kami berbual sambil hisap rokok sampai aku berasa pening. Aku dan Mat Omar habiskan dodol raya, aku bawa baru-baru ini dari kampung, sebelum tidur berdua di katil aku.

 

Jumaat, 31 Oktober

Ke kelas pagi, baca buku cerita. Kemudiannya, tengok perlawanan bola sepak. 3 Biru tewaskan 3 Hijau, 5-0. Ramai rakan-rakan naik hot kerana Mi Totiaq sering elak berlari dalam lumpur sewaktu dribble bola. Selepas itu, 3 Merah menewaskan pula 3 Putih. Aku dan Mat Omar kemudiannya ke bilik percetakan untuk melihat perkembangan kerja menerbitkan majalah persatuan pelajar-pelajar Islam, Al-Nur. Kami dapati, Ramli sudah bertugas di dalam bilik berkenaan. Pulang ke dorm, Zamani arah semua Form 3 turun ke Bilik Rehat A kerana ketua-ketua penuntut nak cek semua dorm setelah jam tangan seorang rakan – jenama Dalil - telah hilang. Rakan-rakan tertentu kelam-kabut sorok rokok masing-masing.

Solat Jumaat di dewan besar. Ustaz Muhamad sampaikan khutbah mengenai isu umat Islam masa kini. Selepas makan tengahari, aku dan Mat Omar jalan kaki ke BM. [Mungkin kami tak sabar tunggu bas awam.] Letih sungguh kerana jaraknya lebih 1 Batu. Sampai BM, Aku dan Mat Omar tonton cerita mengenai pencuri kereta di Cathay BM. Selepas itu, kami berdua naik bas nombor 60 ke Bagan. Dalam bas, ada rakan-rakan: Anuar, Rozlee, Jamil, Aidy, Mi Totiaq dan lain-lain. Sebelum kami berdua naik bas dari Bagan hala ke Kepala Batas, Mat Omar bagi tiga batang rokok kepada salah seorang rakan berkenaan. Kami tak habis hisap sewaktu kami tengok wayang tadi.

Setelah turun bas, tumpang basikal seorang rakan Mat Omar lalu Mat Omar bagi RM1 setelah tiba rumah Mat Omar sebagai penghargaan terhadap pertolongan rakan kampungnya itu. Kami kemudiannya, makan mempelam dan apum balik yang kami beli tadi selain dijamu dengan kuih raya sebaik sahaja naik rumah Mat Omar. Ayam daging pula disembelih. Malam, tonton TV, filem berjodol Bunga-bunga Berguguran lakonan Ratno Timoer dan Rima Melati. Tak best! [Awal remaja suka filem aksi, bukannya filem cinta, kan?] Selepas itu, tonton perlawanan bola sepak ulangan sebelum tidur. New Zealand 0 Malaysia 2.

Aku catat di bahagian atas muka surat 31 Oktober: Cuti sehingga 2 November tapi aku dan Mat Omar lajak sampai 6 November. Mujur tak kena tangkap.


Comments