Diari 1980
Jun
Ahad, 1 Jun
Inspection, cikgu
Mat Nor Rahim cek. Penolong Kanan pula suruh basuh pintu dorm hingga bersih. Baring atas katil selepas inspection. Petang, ke bilik rehat tonton TV, rancangan, From the Apennines
to the Andes. Marco bertemu dengan ibunya. Selepas itu, tonton Shanana. Prep
malam, belajar Sejarah. Pulang, lalu sambung study malam.
Isnin, 2 Jun
Assembly,
seorang pelajar lelaki kena public warning
kerana ponteng kelas. Dia juga orang pertama pada Penggal II dihukum
rotan oleh Pengetua. Hisab Moden, tonton TV mengenai tajuk Perangkaan. B.M.
Belajar jenis ayat. Rehat. Sains Paduan, cikgu tak datang. Ke library dua
period. English, cikgu juga tak datang lalu ke AVA Room, main-main di celah
kawasan pelajar-pelajar duduk, serta berlatih bercakap dan mendengar melalui
sistem elektronik. Ke kelas selepas ini lalu aku baca buku Sejarah. Pelajar
matrikulasi baru – mereka bersekolah di sekolah lain sewaktu Tingkatan 5 – mula
melaporkan diri.
Hujan awal petang, tapi aku ke prep petang dengan memakai poncho. Tak ke mana-mana, duduk dalam
kelas, baca buku Sejarah. Main petang, aku jatuh 2, 3 kali kerana padang licin.
Selasa, 3 Jun
Hisab Moden, cikgu periksa buku latihan. English, cikgu ajar
perkara-perkara yang akan masuk dalam peperiksaan. Sains Paduan, tonton TV
mengenai silika dan silikat. Rehat. Seni Perusahaan, belajar Jangka Elektrik.
Buat latihan mengenai litar selari berturut-turut. Agama, memahami ayat
al-Quran. Sejarah, cikgu ajar ideologi. Ilmu Alam, buat latihan mengenai Thai.
Waktu kawan-kawan pulang makan tengahari, aku, Mat Omar dan seorang rakan lelaki setingkatan keluar kawasan sekolah, kami turun ikut laluan tepi bangunan.
[Aku ketika ini, sudah lama tahu ada “lubang rahsia” di
sebalik rumpunan pokok-pokok renek di situ, di mana pagar sudah digunting entah oleh
siapa. Aku masih ingat, aku jelaskan kepada rakan berkenaan yang pada suatu hari
dengan serius tanya aku cara untuk sneak
out waktu siang. Kenapa dia sanggup buat kesalahan “lari dari
sekolah” sedangkan dia seorang yang berkelakuan baik, aku tak pasti! Mungkin dia berasa nak pulang ke rumahnya kerana hari esoknya cuti. Kami turun ikut tebing
tak jauh dari rumah Rajan, lalu berjalan pantas ke jalan raya lalu naik bas
Kulim-BM. Ini dilakukan sebaik sahaja kawasan sekolah sunyi sepi setelah semua
pelajar sudah pulang makan tengah hari. Aku dan Mat Omar berpisah dengan rakan kami berkenaan yang pulang seorang diri ke rumahnya. Pada suatu hari lain, aku pernah diajak Rajan ke rumahnya pada waktu main petang.
Petang itu, aku pergi bersama seorang rakan lain pula ke rumah Rajan. Ayah Rajan
tak bercakap banyak, begitu juga mak Rajan, tapi mereka kelihatan ragu-ragu dan
kelihatan berbincang tak jauh dari kami bertiga yang duduk di ruang anjung rumah. Tak
lama kemudian, mak Rajan hidang nasi dengan kari kacal dal kosong serta telur
dadar.]
Aku dan Mat Omar naik bas 60 ke Bagan sebelum naik bas lain
ke Kuala Muda. Aku dan Mat Omar tunggu pelajar-pelajar pulang sekolah petang
untuk tumpang basikal ke rumah Mat Omar yang agak jauh dari jalan raya. Sampai
rumah Mat Omar, kami makan angggur dan manggis yang kami beli di BM. Malam, aku
tonton TV, Salvage I sebelum tidur.
Rabu, 4 Jun
Sarapan pagi, makan durian dengan pulut bersantan bersama
ayah Mat Omar. Lepas itu, aku relax dalam bilik Mat Omar, dengar tape recorder. Kemudiannya, kami berdua
naik bas ke BM dan tiba 12 PM lebih. Kami ronda ke First Supermarket. Aku dan Mat
Omar minum cendol di sebuah gerai mamak dekat Bangunan MARA. Harganya semangkuk
20 sen. Kami kemudiannya ke asrama. Kami sempat makan nasi tengahari.
Petang, aku tonton TV dan baca akhbar. Rakan-rakan riuh
bercerita dan mempersoalkan kenapa aku diam-diam sneak out.
[Aku masih ingat, Ricky berkata dia agak gelabah, risau ditanya cikgu mana pelajar katil atas, ketika
berdiri tepi katil 2 tingkat kami, sewaktu cikgu buat spot
check. Aku diam kerana aku tahu aku bersalah.]
Prep malam, aku belajar Sejarah. Seorang pelajar Form 5 memarahi seorang pelajar matrik
yang tidak padamkan lampu bilik. Aku berasa kesian melihat dia diherdik kerana
walaupun dia baru duduk asrama, dia berusia lebih tua. Aku sambung study Sejarah di asrama sebelum tidur.
Khamis, 5 Jun
Ujian Pertengahan Tahun bermula: English I dan English II.
Pengetua marah kerana buku-buku masih ada dalam meja sewaktu ujian. Dengar
khabar, seorang pelajar Form 4 “kena”
dengan Pengetua kerana baca buku sewaktu ujian. Sebenarnya, pelajar berkenaan
telah hantar kertas jawapan. Ekoran ini, cikgu Mustafa perlu buat soalan-soalan
Hisab Moden yang baru. Beliau dan pelajar berkenaan telah teraniaya.
Petang, aku tak turun main kerana hujan. Malam, pergi solat
di dewan besar. Prep malam, study
Seni Perusahaan kerana esok test.
Jumaat, 6 Jun
Periksa Seni Perusahaan dari 8 AM hingga 9 AM. Ke dewan
besar solat Jumaat yang diikuti solat jenazah ghaib. Aku tak sertai solat
jenazah ghaib kerana aku tak pasti kaedah ibadat ini kerana aku belum pernah
lakukannya.
Petang, semua pelajar Form
3 boikot perjumpaan scouts. Cikgu
Zaki datang, cari kami, kami lari menyorok di sekeliling bangunan sekolah.
Akhirnya, kami terpaksa juga pergi ke perjumpaan scouts dan didera merangkak sewaktu melintas depan GSM! Cikgu Zaki
kemudiannya menceritakan sejarah Baden Powell.
Main petang, main bolasepak sekejap. Bersembang sambil lihat
beberapa pelajar matrik baru lari keliling padang. Kemudiannya, aku lihat
mereka berkenaan berhenti berlari dekat kawasan pelajar perempuan main bola
jaring - mungkin kerana keletihan - lalu bertinggung!
Prep malam, study Sejarah.
Pulang, terus naik katil, tidur.
Sabtu, 7 Jun
Ke prep pagi, belajar Sejarah. Mengantuk sangat! Rehat. Aku
makan 3 ketul cucur badak. Lepas itu, basuh baju. Tak lama kemudian hujan.
Jamil beli sabun daripada aku yang aku jual pada harga 35 sen. [Aku tak pasti
sekarang, sama ada sabun basuh ketul atau sabun mandi.]
Malam, tonton TV. Centennial, diikuti Hart to Hart. Zamani
datang, aku pulang dorm, lalu study
Sejarah lagi.
Ahad, 8 Jun
Makan pagi nasi lemak ikan bilis, aku tambah. Inspection, aku duti cuci tingkap. Cikgu Mat Nor Rahim datang cek. Cikgu Zaki pula ikat beberapa rakan lalu disuruh berjalan ke dorm-dorm Form 1, dan sebut, “Kami lembu.” Lepas inspection, aku pergi baca akhbar. Yasmin Yusoff, seorang model serta juruhebah berwajah orang putih kata dia perlu belajar Bahasa Malaysia. Aku baca juga rencana mengenai pembedahan untuk mencantikkan badan. Minum petang, aku makan 4 ketul roti kelapa. [Alahai! Lapaqnya aku.] Tonton TV – Shanana dan From Appenines to Andes. Mat Ki bagi setiap kawan sebiji pisang. [Beliau bawa dari kampung atau beli, aku tak pasti.] Bersembang mengenai ikan jelawat. Ada berita baru-baru ini, sebuah keluarga makan ikan jelawat di sebuah kedai makan di Pahang kena bayar RM200!
Prep malam seperti biasa. Pulang, study malam, aku baca buku Sejarah lagi! Man Mail yang duduk di
sebelah aku asyik bergebang.
Isnin, 9 Jun
Pemain takraw dan bola jaring Under 15 dapat medal sewaktu
assembly. Ujian Bahasa Malaysia I, cikgu Fadzil pertikai aku pakai test pad
ujian objektif jenis lama yang bersaiz
panjang. Kelas petang, aku tak sertai perbarisan di padang. Aku study
Sejarah dalam kelas. Main petang, aku main bola sepak tapi terlalu ramai
pelajar sehingga macam ikan sardin dalam tin. Study malam, aku belajar Sejarah.
[Aku memang suka baca novel, dan buku Sejarah kelihatan
bagai sebuah novel. Walaupun aku tak dapat markah tinggi dalam subjek ini kerana aku sukar hafal
fakta, aku amat minat Sejarah selain Ilmu Alam.]
Selasa, 10 Jun
Ujian – Hisab Moden, Agama dan Sejarah. Main petang, main
bola sepak. Prep malam, ketua penuntut, Idris marah sebab kami bising. Selepas
dia pergi, Abdul Rahim ajuk kata-kata Idris. Ketua penuntut, kak Maria yang
jaga kelas aku ketika prep malam ini ketawa. Kak Maria kelihatan tak begitu
ambil kisah suasana kelas kami yang agak riuh-rendah malam ini. Pulang dorm, aku study Ilmu Alam.
Rabu, 11 Jun
Ujian Sains Paduan dan Ilmu Alam. Waktu kelas petang, aku
tak pakai sarung kaki kerana kaki aku sakit. Aku kemudiannya sertai raptai
perbarisan untuk hari sukan, dan aku sertai rumah Zamrud.
[Semasa baru masuk ke asrama, nama aku telah secara silap diletak
ke dalam rumah sukan Nilam. Namun, pada suatu hari - mungkin tahun 1980 ini
atau tahun-tahun sebelumnya - “cikgu Tan Komunis” telah soal mengenai nombor
pelajar aku. Aku beritahu 781403 yang bermaksud aku mula masuk SMSPP pada tahun
1978 dan aku adalah pelajar ke 1403 yang tersenarai dalam daftar penuntut
SMSPP. Beliau kemudiannya tanya aku rumah apa. Aku jawab, Nilam. Beliau yang
juga guru Ilmu Hisab Tambahan dan salah seorang guru rumah sukan Zamrud telah
menyuruh aku masuk rumah Zamrud kerana berdasarkan pembahagian 1403 dengan
nombor 4, aku sah ahli rumah Zamrud! Selain Nilam dan Zamrud ada dua lagi rumah
sukan iaitu Mutiara dan Delima.]
Prep malam, study
Seni Perusahaan. Aku study pula
Sejarah setelah pulang ke asrama. Ia diselangi berbual kosong dengan Raden mengenai
masalah sembelit dan pemakanan julap.
Khamis, 12 Jun
Ujian Muzik. Aku terpaksa guna pen dakwat hitam kerana tiada
pen dakwat warna lain lalu kena tolak markah! Ujian Seni Lukis membabitkan
lukisan dimensi benda-benda. Beberapa rakan puji lukisan aku! Kelas petang.
Agama, relax. Hisab Moden, cek kertas
ujian. Seni Perusahaan, belajar janaletrik mengenai arus ulang-alik. B.M. Cikgu
bincang mengenai kertas ujian. Cikgu turut bacakan kertas ujian Form 1.
Main petang, main bola sepak sekejap. Prep malam, kak Maria
yang jaga kelas aku riuh berbual dengan Anuar, Amir Zakee dan lain-lain. Pulang
asrama, segera tidur.
Jumaat, 13 Jun
Ada latihan perbarisan waktu pagi, tapi aku tidak sertai
lalu aku ke kelas. Waktu raptai perbarisan selepas solat Jumaat barulah aku
sertai dengan mewakili rumah Zamrud. Waktu prep malam, aku duduk di library sampai waktu balik ke asrama.
Aku guna masa di library dengan
membaca majalah Dewan Siswa dan Sarina. Sebelum pulang ke dorm, aku pinjam buku, 72 Hari
Mengembara dari Singapura ke London, karya Kalam Hamidi. Pulang asrama, aku
terus tidur kerana mengantuk sangat!
Sabtu, 14 Jun
Pagi, makan roti. Ada inspection. Selepas itu, beratur
sepanjang jalan ke dewan besar, tunggu Tun Syed Barakbah. Pulang ke dorm, baca
buku cerita sekejap. Makan tengahari, menu ayam. Lepas solat Zuhur, ke upacara
sukan tahunan. Dapat kupon dan makanan yang disediakan penganjur: limau manis,
gula-gula, kek, cokelat dan air kotak soya jenama Drinho. Ahli-ahli Gayung
mempamerkan kemahiran silat mereka. Abang Mail dan abang Zaki yang kini
menuntut di USM datang memperlihatkan kaedah berlawan guna parang. Dengar
khabar, Basir Nordin berdarah pipi, terturis pisau oleh Rashid Hamzah. Rumah
Zamrud menjadi juara pada kali ini.
Abang Amin Sulaiman menceritakan mengenai seorang pelajar lelaki telah dikeluarkan dari SMSPP baru-baru ini.
Tonton TV, Centennial. Isteri Levi hampir dirogol oleh
pemandu keluarga mereka yang sudah tua, namun dia gagal kerana dipatuk seekor
ular lalu mati. Ke dewan besar, tonton wayang mengenai syaitan yang cuba menghancurkan semua manusia.
Ahad, 15 Jun
Inspection, aku
tidak ada duti kali ini. Baca akhbar, aku baca berita mengenai Majlis
Penyampaian Hadiah ke-6 dalam “Bintang Timur.” Ada gambar Ramli Ahmad terima
hadiah. Prep malam, baca Sejarah. Pulang asrama, study Sejarah lagi di Study Room A.
Aku lukis di bahagian bawah muka surat 15 Jun, gambar seorang
lelaki memakai tengkolok dengan kapsyen: ANAK DAGANG DI RANTAUAN, SAMPAI WAKTU
KEMBALI JUA.
Isnin, 16 Jun
Kelas Pagi. Pergi ke library
dua tiga kali. Waktu prep, aku ke library
lagi lalu pinjam novel Menimba Yang Jernih karya A Samad Ismail. Study malam, aku baca Sejarah.
Aku lukis di bahagian bawah muka surat 16 Jun, gambar
pelbagai bentuk hablur: kuprum sulfat, natrium klorida, plumbum nitrat, kaliam
nitrat, monoklinik sulfur dan sulfur rombik.
Selasa, 17 Jun
Kelas pagi, tak belajar beberapa period. Seni Perusahaan,
belajar mengenai motor. Cikgu buat lawak sedikit-sebanyak kerana kami
mengantuk. Malam, tidur awal kerana esok periksa oral Bahasa Inggeris.
Aku
catat di bahagian bawah muka surat 17 Jun:
1. Dalam badan manusia, sel merah lebih banyak daripada sel putih.
2. Sel
putih mengeluarkan anti toksin untuk
menutralkan bahan beracun.
3.
Fibrinogen bantu membekukan darah.
Pemilik jenis darah ini, boleh terima derma darah jenis darah ini:
A – A dan O, B – B dan O, AB – A, B, AB dan O, dan O – O
sahaja.
Pasangan yang berkahwin jenis darah ini, takkan mendapat
anak yang berdarah jenis ini pula: (Aku catat: Jika Tuhan mahu, jadi juga!)
A+A – takkan dapat anak berdarah AB atau B; A+B – anak boleh
berdarah jenis apa-apapun; A+AB – O; A+O - AB atau B; B+B – A atau AB; B+AB –
O; B+O – A atau AB; AB+AB – O; AB+O – AB atau O; manakala O+O takkan dapat anak
sama ada A,B atau AB.
Rabu, 18 Jun
Oral Bahasa Inggeris, aku peserta ke-6. Pemeriksa tanya aku
mengenai library. Selain itu, aku
kena baca Passage 40. Ada pameran buku di sebelah bilik tempat kami menunggu
untuk menghadapi peperiksaan oral ini yang diadakan di dewan besar. Selepas
periksa oral, aku ke pameran buku Syarikat Harfa ini tapi aku tak beli kerana
tak cukup duit. Makan malam, aku dan beberapa yang lain yang datang lewat,
dijamu nasi dengan ikan bilis goreng kerana telur sudah habis. Malam ini, aku study sekejap sahaja.
Khamis, 19 Jun
Malam ini, ceramah seorang ustaz dari SMKBM bertajuk Ilmu
Asas Takwa. Lepas itu, Akbar bagi ceramah pula dengan penuh semangat. Aku
kemudiannya pergi berborak dengan beberapa rakan di luar dewan besar. Seorang
rakan kata dia ditegur Zamani baru-baru ini kerana dia keluar awal sewaktu outing dan dia bawa “marka.” Study malam, belajar Sejarah sampai
tersengguk-sengguk kerana mengantuk!
Jumaat, 20 Jun
Perjumpaan scouts.
Belajar nyanyi lagu dalam Bahasa Inggeris 3 buah dan Siam 2 buah. Prep malam,
aku ke library sekejap, pinjam buku
terjemahan, Angin Timur, Angin Barat karya Pearl S. Buck.
Sabtu, 21 Jun
Prep pagi, ramai rakan sekelas tiada kerana mereka ke
latihan rugger serta perlawanan kriket dengan BM High School. Hari ini, aku
tonton Hart to Hart, cerita mengenai penipuan dalam penyelenggaraan berlian
bernilai $7 juta serta anjing yang cerdik. Yaakob belah durian yang dimakan
dengan nasi. Selepas itu, aku pergi belajar di Study Room A sehingga tinggal
aku seorang belajar dalam bilik itu.
Ahad, 22 Jun
Makan nasi lemak ikan bilis. Garfu aku hilang. Aku
tertinggal atas meja makan, aku pergi semula nak ambil, garfu aku itu sudah
tiada. Inspection, aku duti sapu dorm. Cikgu Mazlan arah siapa yang tak
jemur pakaian dengan betul di stor supaya ambil pakaian itu dan lain kali
hendaklah sidai dengan lebih kemas.
Minum petang, aku makan 4 ketul roti! Tengok TV sambil baca
akhbar. Rancangan From Appenines to Andes telah tamat dan kini diganti dengan
animasi Sinbad.
Isnin, 23 Jun
Tak ramai hadir perjumpaan PBBM – kecuali beberapa pelajar
perempuan – lalu aku ke library, pinjam sebuah koleksi cerpen 60-an, Panorama,
kata pengantar oleh A Samad Said. Pengetua kejar beberapa pelajar yang lambat
ke aktiviti kor-kurikulum.
Main petang. Perlawanan rugby under 15 antara Team B SMSPP tentang Team B BM High School. Man
Mail dan Zaini cedera di tangan, manakala Damanhuri berdarah hidung. Lokman nak
berkelahi! Keputusannya SMSPP kalah. Bagaimanapun, perlawanan Rugby Under 15
membabitkan Team A sekolah aku dengan Team A sekolah yang sama berakhir dengan
kemenangan SMSPP 49-3.
Malam, aku belajar melepasi tengah malam, pulang aku
terlanggar meja yang diletak di koridor dekat dorm aku kerana aku mengantuk dan suasana malam ini gelap sangat.
Selasa, 24 Jun
Seni Perusahaan, cikgu Abdul Rashid tak mai, pergi library.
Aku ambil peluang baca sebuah antologi cerpen penulis wanita 50-an, tebal lebih
100 muka surat, sehingga selesai.
[Di bahagian bawah muka surat 24 Jun ini aku tulis lirik
lagu Jamal Abdillah, Keluhan Perantau. Masa baru belajar gitar, aku suka main lagu
ini. Sepanjang 80-an, pada aku, kebanyakan lagu Jamal tidak terlalu tinggi
nadanya berbanding lagu-lagunya pada era 90-an dan ke atas. Aku rasa, Jamal
terpaksa meninggikan nada suaranya sehingga garuknya semakin hilang demi bersaing
dengan penyanyi rock seperti Amy Search, Nash, Awie, Mus May dan lain-lain yang
suka menjerit!]
Rabu, 25 Jun
Kelas pagi. P.E. dibatalkan kerana hujan. Main petang, ada
perlawanan kriket di tengah padang. Sukan ini baru saja diperkenalkan di sekolah
aku.
Khamis, 26 Jun
Sarapan bihun goreng. Tambah. Aku terpaksa berlari ke kelas
kerana Pengetua sudah tunggu dekat simpang menuju ke gerbang sekolah. Minta
markah Sejarah, cikgu Shamsuddin kata nak bagi sat lagi! Namun, beliau tidak
bagi kemudiannya. Lukisan, belajar lukis tangan. Hujan lebat.
Makan malam, ayam dimasak cara lain, kuahnya style lain.
Pergi solat di dewan besar, dan aku solat dekat dengan pelajar-pelajar
perempuan kerana lewat.
Jumaat, 27 Jun
Kelas pagi. Cikgu ajar peribahasa dan sajak. P.E. Main sofbal. Ilmu Hisab, kira markah periksa. 675 dan nombor 13/32. English, cikgu bercerita mengenai hantu yang mengacaunya!
[Ada seorang guru English lain - rasanya pernah ajar aku semasa aku di Tingkatan 1 - gemar memperuntukkan beberapa minit untuk bercerita kisah hantu dalam Bahasa Melayu ketika dia mengajar, dan ceritanya itu disukai pula oleh ramai pelajar yang mendengarnya. Tajuk ceritanya yang aku masih ingat ialah DAWAI BERKARAT.]
Sains
Paduan, belajar mengenai tanah. Sejarah, cikgu beri penerangan mengenai sebuah
drama yang akan dipersembahkan oleh Persatuan Sejarah pada Malam Budaya, 5
Julai depan.
Ke perjumpaan scouts.
Lawan permainan kuda Arab dengan Form 4. Bagaimanapun, ramai tak datang kerana
main rugger. Pasukan Under 15 sekolah
aku ditewaskan oleh Free School. Tetapi, pasukan Under 18 berjaya tumpaskan Free School. Pemain Under 18 lawan yang berambut afro telah menendang seorang pemain SMSPP
sehingga berlaku pergaduhan kecil.
Ke prep malam, dan kedengaran riuh suara pelajar-pelajar
yang berlatih untuk menjayakan Malam Budaya di dewan besar. Kedengaran suara
seorang perempuan yang menyanyi dengan suara lantang. Sementara itu, seorang rakan sekelas
kena marah dengan Zamani sebab tak pakai songkok. Dia jawab secara sinis
sewaktu Zamani “denda tulis” sehingga Zamani yang berdiri di koridor
memekik-mekik nama rakan sekelas aku ini. [Masalahnya, ada ketua penuntut yang
tak menunjukkan contoh yang baik kerana individu berkenaan pun tak sentiasa
memakai songkok!]
Sabtu, 28 Jun
Prep pagi, aku tidur sekejap atas bangku yang dicantumkan kerana
mengantuk. Kemudiannya, aku study Sejarah. Pulang dorm, Zainol Zakaria bagi sedikit rambutan. Aku pergi ke Study Room
B, sambung belajar Sejarah. Aku nampak seorang pelajar senior perempuan berjalan ke arah dewan makan dengan memakai seluar jeans, manakala bajunya kelihatan rugged. Aku baca buku Sejarah sehingga
tamat bab-bab Tingkatan 1.
Malam, tengok TV, Centennial. Lepas itu, ke dewan besar
tonton wayang bertajuk Music Machine, kisah anak-anak muda gila disko. Pulang
asrama, tadi Zainol, kini Mat Ki pula bagi aku rambutan sebelum aku ke bilik
belajar.
Ahad, 29 Jun
Inspection, cikgu
warning kepada sesiapa yang sepuk
pakaian di stor. Ke padang, tonton persembahan Silat Gayung dan Silat Kalimah. Tok Guru Gayung, Meor
Abdul Rahman datang dari Perak sebagai tetamu terhormat. Malam, study dan aku sedikit
terganggu kerana depa bukak lampu koridor. [Mungkin bunyi yang dikeluarkan atau
lampu itu sekejap terang sekejap malap!]
Isnin, 30 Jun
Kelas pagi. Ilmu Hisab, tonton TV, “Kira-kira Harian.” B.M.
Jamil baca rencana, “Patutkah bomoh dihapuskan di zaman moden ini.” Amiruddin, Aidy,
Zainol Zakaria, Ricky dan Amir Zakee duduk dalam kumpulan yang membangkang bomoh dihapuskan sewaktu berbincang mengenai rencana berkenaan. Sains
Paduan, buat ujikaji mengenai garam. English, ke AVA Room dan aku tulis sebuah
karangan mengenai hantu. Guna earphone sekejap. Kemudiannya aku ligan Ad Mid
dalam AVA Room sehingga kena denda dengan cikgu.
Ke library, pinjam Terdedah karya Shahnon Ahmad sebelum ke
mesyuarat PBBM yang membincangkan hal Malam Budaya, penjualan kad hariraya
serta yuran yang belum dibayar. Main petang, pasukan A rugby under 15 berlawan
dengan pasukan B. Pasukan A menang, Wan Maizul tercedera di muka sehingga kena balut
dengan kain. Aku pula, pergi main bola sepak dan jadi penjaga gol kerana tak ada
orang lain yang biasanya duduk di posisi ini. Malam, aku terus “ban” yakni
tidur.
[Di bahagian notes aku salin kata-kata Zailan kepada aku: “Don’t think about puasa or raya. Just imagine 98 steps to
S.R.P.” Aku turut salin sebuah sajak karya Kartanegara ditulis pada 19 Disember
1980. Maknanya, aku salin sajak ini di muka surat 30 Jun ini paling awal beberapa bulan kemudian. Perenggan
akhir berbunyi: “Di dalam mencari, yang beriman ke sejadah bertaubat. Yang
khayal terus meneroka alam yang tiada kehabisan dengan penipuan.” Di bahagian
June Account pula aku catat benda-benda yang aku nak beli: selipar RM1.60,
sabun mandi RM1.35, ubat gigi 85 sen dan tuala RM3.00. Jumlah RM6.80]
Comments
Post a Comment