Diari 1980

APRIL


Selasa, 1 April

Hisab Moden, buat kerja sendiri. English, baca cerita mengenai seorang yang buta dan pekak bernama Hellen Keller. Sains Paduan, ke makmal, dan kena penance – denda tulis - sebab lambat. Mr Jagjit kemudiannya buat April Fool, dia suruh kami bawa keluar basin berisi air dan tengok gerhana bulan di atas permukaan airnya. Aku tak keluar makmal kerana tahu beliau bohong. Rehat. Seni Perusahaan, Ujian Amali Kayu SRP. Aku kena tolak markah kerana ragum tak bersih dan beberapa kesalahan lain. Kelas Petang. Sejarah, dapat markah 68. Agama 73, manakala Ilmu Alam aku jawab betul semua tapi cikgu bagi 99.

Main bola sepak. Aku berjaya score sebiji. Mi Totiaq yang paling banyak score.

Ke prep malam. Buat nota Ilmu Alam. Seorang rakan kejar aku kerana aku kacau, pukul sedikit badan dia, dan dia kejar sampai waktu pulang ke dorm.

 

Rabu, 2 April

P.E. Lontar cakra dan lompat jauh. Selepas rehat, belajar Ilmu Alam mengenai Burma. B.M. Ke pameran buku anjuran Bagan Book Store. Aku beli buku rujukan Seni Perusahaan dan English. Kelas Petang. Pergi pameran buku sekali lagi semasa English period. Hisab Moden, kira jumlah markah semua subjek.

Main petang. Aku main bola sepak. Ada perlawanan bola sepak persahabatan antara Under 18 dengan guru-guru dan kakitangan sekolah. Malam, aku terus tidur selepas beri kepada Kamal seringgit bagi menjelaskan harga bola hoki.

[Aku rasa ada bola hoki yang hilang sewaktu latihan. Dan, setiap pemain hoki Under 15 kena bayar denda. Latihan hoki pula dihentikan setelah Kejohanan Hoki Under 15 Peringkat Negeri selesai bagi membolehkan semua pelajar Tingkatan 3 beri tumpuan kepada pelajaran.]

 

Khamis, 3 April

Sarapan bihun goreng dengan At Mid. Kami makan double. Ilmu Alam, belajar mengenai Siam. Muzik, cikgu Barbara Pereira hot sebab ramai gagal. Seni Lukis, belajar cara cap warna ketiga kaedah Lino. Kelas Petang. Seni Perusahaan, belajar Kaji Daya Berkuasa mengenai cara pemprosesan minyak mentah. B.M. Baca karangan pilihan.

Main petang, main bola sepak. Malam, dengar ceramah seorang ustazah di dewan besar. Beliau - adik kepada cikgu Nora Lebai Isa - banyak jawab soalan pelajar berbanding berceramah.


Jumaat, 4 April

Hari ini tak belajar. Ke sukan taraf. 100 meter aku tak lari kerana aku tahu aku akan gagal. Aku masuk acara lontar cakra dan lompat jauh, dan aku gagal kedua-duanya.

Selepas solat Jumaat, ke perjumpaan scouts. Aku bagi kad pengakap kepada Penolong Kanan untuk ditandatangani. Selepas itu, ikuti ujian mengembara 6 kilometer. Berjalan ke arah sebuah sekolah di Alma. Diarah kutip bunga, serangga, batu kecil, biji getah, kulit pokok getah dan lain-lain sewaktu berjalan. Waktu minum petang, aku lewat ke dewan makan, lalu aku sekadar minum sahaja!

 

Sabtu, 5 April

Sarapan pagi. Aku dan beberapa rakan makan banyak roti kerana ia berlebihan! Ke prep pagi. Jamil, Yaakob dan Abdul Razak berjenaka dengan aku. Pulang dorm, aku basuh pakaian. Selepas itu, aku sambung baca buku karangan dan surat kiriman Fajar Bakti sehingga tamat.

Makan malam, ada majlis jamuan perpisahan dengan pelajar Matrik. Ada beberapa orang berucap. Selepas makan, tonton TV, rancangan Senada. Tak clear kerana aku tak pakai cermin mata. Kemudiannya, aku pergi study Ilmu Alam mengenai New Zealand. Pulang lalu berbaring sekejap sebelum tidur. Kedengaran suara beberapa rakan se-dorm, rancak bergebang mengenai “marka” iaitu “kawan perempuan.”

 

Ahad, 6 April

Inspection, duti aku bersihkan study room. Lepas makan tengahari baca Mingguan Malaysia. Aku baca kisah yang berlaku di Kuala Kangsar mengenai kehebatan perwira semasa darurat. Aku baca juga mengenai sebuah rumah tradisonal di Pasir Salak yang sudah berusia lebih satu abad.

Minum petang aku “rush” – berebut ambil makanan - lalu dapat 3, 4 biji kuih, dan aku  beri sedikit kepada kawan-kawan. Hujan lebat dan seriat waktu makan malam. Study malam, aku belajar Sejarah di musala Blok B. Seorang pelajar Matrik berasal dari Changlun bernama Wan bercerita bahawa semasa dia mula-mula masuk SMSPP dulu, dia kena panggil dengan cikgu Radin hanya kerana dia senyum.

 

Isnin, 7 April

Hisab Moden, kira markah periksa, dan aku dapat nombor 8 daripada 32 pelajar dalam 3 Merah. B.M. Cikgu Anuar ambil alih period ini. Rehat. Sains Paduan, buat percubaan roket air. English, cikgu Mat Nor tak datang. Ke library, cikgu Anuar panggil aku kerana aku tak hantar balik buku kemajuan. Aku kemudiannya, hantar buku kemajuan aku ke staff room. Dia lepas geram dengan memukul aku dengan buku kemajuan aku itu. Rasa “segan” juga kerana cikgu-cikgu lain perhati.

Makan tengahari, makan nasi dengan ayam serta tiga biji telur. Ke padang, aku masuk sukan taraf. 200 meter, aku tak sempat lepas garisan penamat lagi dua tapak. Lontar lembing, lompat tinggi juga aku tak lepas.

Malam, kaji Sejarah Bab 1 sampai habis.

Hari ini aku catat, Raden bagi semula medal hoki aku yang dirampas cikgu Zaki baru-baru ini.

 

Selasa, 8 April

Bangun pagi awal sedikit. Aku sikat rambut dengan gaya belah tepi semula! Hisab Moden, cikgu bagi kad kemajuan. Dia tak panggil nama aku. Dia masih marah sangat kepada aku yang buat salah kecil baru-baru ini lalu dia tinggalkan kad kemajuan aku begitu sahaja atas meja. English, ke library kerana cikgu Mat Nor dikatakan masih tak sihat. Sains Paduan, tonton TV dengan 3 Putih. Rehat. Makan roti dua ketul. Seni Perusahaan, belajar teori geseran. Lepas itu, buat nota. Cuaca redup macam nak hujan!

Kelas Petang. Agama, hafal hadis. Sejarah, belajar pembentukan negara Malaysia. Ilmu Alam, belajar Indochina – Vietnam, Laos dan Kemboja.

Prep Malam. Ke library, pinjam buku Desa Pingitan karya Ibrahim Omar. Siti Habsah yang jadi pustakawan kata: “Ramai sangat orang pinjam buku ini.” Pulang, aku terus tidur tanpa cadar kerana aku malas pasang cadar.

 

Rabu, 9 April

P.E. Main bola sepak. Cikgu Radin komen aku asyik jatuh masa bermain. Sivik, ada homework untuk dibuat pada cuti penggal nanti. Sains Paduan, buat ujian daya kuasa seseorang. Aku 1,000 lebih joule sesaat. Lompat tangga 3 meter aku ambil masa 1 saat. Rest. Ilmu Alam, sambung belajar Indochina. Cikgu Husin, yang juga cikgu kriket selain ajar Ilmu Alam, panggil nama siapa yang tak turun berlatih kriket. B.M. Baca karangan bertajuk Hari Terbuka di Sekolah Saya yang masing-masing tulis. Cikgu komen, cikgu kata karangan aku tak bagus!

Kelas Petang. Agama, ustazah ajar Tauhid mengenai Nabi dan Rasul. English, dictation. Ilmu Hisab, cikgu bagi borang maklumat untuk Rekod Sulit. Aku tak ke stesen keretapi BM untuk dapatkan warrant tickets pulang Cuti Penggal I kerana tugas aku telah diganti oleh pelajar lain.

Main Petang. Main sepak raga bulatan, kemudiannya aku join main bola sepak. Cuaca mendung, diikuti hujan renyai.

 

Khamis, 10 April

Ilmu Alam, jawab soalan mengenai Indochina membabitkan Thai dan Burma. Muzik, English dan Sejarah, relax di kelas dan kemudiannya ke library. Rehat. Agama dan Seni Lukis juga ke library. Kelas Petang. Ilmu Hisab dan Seni Perusahaan, relax di kelas.

Kawan-kawan berasal dari Pulau Pinang dibenarkan pulang petang ini. Ada juga yang tak pulang. Malam, aku tidur setelah bersembang dengan beberapa rakan.

 

Jumaat, 11 April

Naik keretapi 9 pagi lebih. Aku ke kedai cermin mata untuk betulkan bingkai yang patah setelah tiba Taiping. Kena bayar RM5. Naik bas Blue Omnibus bersama-sama Ayi Pak Cik Mail yang turut pulang Cuti Penggal I. Dia bersekolah di King Edward VII School, Taiping.

Tiada siapa pun di rumah sewaktu aku sampai. Emak kemudiannya sampai dari Batu Hampar. Emak tolong siang ikan di rumah Pak Long Yahya. Ca – sepupu aku - kemudiannya balik sekolah. Dia bersekolah Tingkatan 5 di Sekolah Menengah Raja Shariman, Beruas, dan dia sekarang tinggal di rumah aku. Shaharal dan Syukri datang ke rumah. Mereka try laga ayam sabung mereka dengan “Sewah”, ayam sabung ayah aku. Ayam sabung depa kalah!

[Nama Sewah diambil daripada nama sejenis helang yang sering menyambar anak-anak ayam aku. Aku tak pasti sama ada Sewah ini diberi seorang lelaki Cina kepada ayah aku atau ayah aku dapat cara lain. Yang pasti, seorang lelaki Cina telah bersusah-payah bawa pulang seekor ayam sabung dari Siam untuk diberi kepada ayah aku sebagai hadiah selepas kayap ular yang dialaminya sembuh dengan kehendak Allah setelah dia berubat dengan ayah aku.]

Malam, hujan. Aku pergi tonton TV di rumah Kak Nak Jaapo. Filem bertajuk Setan Kuburan. Selepas itu, aku pergi ke rumah Pak Long Nopiah, tengok Kak Jan sakit. Depa kata, dia sakit jantung atau termakan bisa kerana kukunya hitam. Pulang ke rumah 12 pagi lebih. Tidur!

 

Sabtu, 12 April

Sarapan pagi: ubikayu dan jagung rebus. Hujan lebat sekejap-sekejap. Aku tak ke mana-mana, tapi ayah dan emak ke rumah Pak Long Yahya untuk tolong menyiapkan benda-benda keperluan kerana esok kenduri kahwin Shaharal. Aku baca buku sepanjang hari ini.

Malam, ayah ke rumah Pak Long Yahya lagi. Aku tidur dengan mak di rumah!

 

Ahad, 13 April

Ke kenduri Shaharal di Batu Hampar. Dia kahwin dengan seorang perempuan dari Beruas.

Malam, aku pergi lagi ke sana dengan ayah. Ada persembahan kugiran dari Pantai Remis. Band bernama SYZ. Semua pemuzik dan penyanyinya lelaki. Mereka bermain muzik dan nyanyi atas gelanggang simen sepak takraw depan rumah Pak Long Yahya, bertentang Kedai Runcit Ah Ngau. Beberapa penonton lelaki turut menyanyi termasuk Shaharal sendiri dan seorang abangnya, Sanusi. Pulang dan tidur 12 pagi lebih.

 

Isnin, 14 April

Pagi ini, aku baca buku Desa Pingitan sehingga selesai. Aman Cu Pin datang ke rumah aku, dia kata dia nak beli gitar kotak. Aku buat kerja sekolah, aku lekatkan gambar-gambar ke buku rampaian sekolah aku. Ayah mengadu sakit perut!

Petang, hujan. Aku keluar ke jalan raya. Aku bersembang di tapak bekas kedai makan Abang Majid bersama-sama Ca, Mat Ali, Mat Saad, Cop Pak Lang Nan dan lain-lain.

Malam, aku dengar radio rancangan Dendang Rakyat yang dipersembahan kumpulan seni dari Terengganu. Ada pelbagai lagu yang terdiri daripada irama ghazal, dondang sayang, boria, lagu Melayu asli serta dikir barat. Aku tidur lewat malam.

 

Selasa, 15 April

Mak buat buahulu untuk kak Midah Abas bawa ke kenduri kahwin adiknya, Faridah. Aku ke bendang Cop Pak Lang Nan, dan tolong dia buat soalan Hisab Moden di dangaunya.

 

Rabu, 16 April

Ada kenduri kahwin di sebuah rumah orang Kedah, tapi aku tak pergi. Petang, aku pergi main bola sepak di padang Sekolah Kebangsaa Batu Hampar dengan kawan-kawan. Aku score 2 biji.

Malam, ayah pergi jaga kayu gertak yang hendak dipasang oleh pekerja kontrak Cina. Ayah cakap, beliau dapat upah RM10 semalam.  Aku tidur malam ini awal sedikit.

 

Khamis, 17 April

Sarapan bihun goreng. Dengar radio, rancangan Manis-Manis Garam.

[Aku cari dalam internet dan memang ada rancangan sembang bernama sebegini pada 1980-an!]

Emak jual ayam.

[Biasanya, seorang lelaki Cina datang beli ayam dara, telur ayam, malah nanas yang emak aku tanam. Ayam ditimbang menggunakan dacing dalam ukuran kati dan tahil.]

Ke Batu Hampar selepas dengan radio, rancangan Nombor 5 Persiaran 1. Minum ais kacang.

[Rasanya, aku minum ais kacang di kedai makan Zubaidah, rakan sedarjah aku semasa sekolah rendah. Beliau kini difahamkan berniaga kedai makan di sebuah pekan kecil dekat Batu Gajah. Selain minum ais kacang atau sirap, aku suka makan kuih pak tongkol cicah kuah kari di kedai makannya di Batu Hampar yang terletak di antara kedai runcit Ah Ngau dan kedai runcit Seng Kee. Zubaidah sekeluarga sering bercakap dalam Malayalam atau Tamil ketika berbual sesama ahli keluarga atau ketika melayan pelanggan-pelanggan berketurunan India.

Ada lagi sebuah kedai makan di Batu Hampar, di simpang jalan menghala ke Pantai Remis. Ia dimiliki Syed Lah yang difahamkan berasal dari Kedah. Pau yang dimasak Pak Syed memang sedap! Aku juga beli akhbar di kedai makan Syed Lah, satu-satunya kedai yang menjual akhbar yang aku dan “orang-orang berkenaan” perlu pesan dahulu sebelum ia dikirim dengan bas Blue Omnibus dari Taiping bersama-sama surat-surat orang kampung. Selain ini, kadang-kadang aku tonton TV di ruang berbangku di sebelah kedai makannya - premis ini milik Pak Syed juga - pada waktu malam dengan bayaran 10 sen.]

Hujan lebat sekejap. Mak dan ayah ke rumah Pak Long Yahya, manakala aku ke padang sekolah, main bola sepak, aku score sebiji. Aku gelecek Jefri Pak Ngah Han, tendang kena tiang, lalu bola masuk gawang.

Malam, ayah pergi jaga kayu gertak lagi. Emak kemudiannya pulang dihantar Shaharal dengan sebuah kereta. Mak bawa balik kuih kenduri.

 

Jumaat, 18 April

Solat Jumaat. Khatibnya Ustaz Sulaiman. Petang, main bola sepak lagi, tapi terlalu ramai yang berada dalam padang.

Malam, ke rumah Kak Nah Jaapo, tonton TV filem Kudrat, lakonan Hussien Abu Hassan, Ed Osmera, Sarimah dan lain-lain. Dapat berita, Yid iaitu bapa kepada Basah meninggal dunia.

[Aku baca al-Fatihah sekarang.]

 

Sabtu, 19 April

Pagi, aku ke rumah Yid. Aku berbual dengan Pak Lang Nan. Ke majlis pengkebumian, dan selepas itu aku dan orang ramai dijemput ke rumah Hamdan Kelana untuk makan nasi.

[Aku rasa kenduri ini tak membabitkan secara langsung kepada kematian bapa Basah walaupun kebanyakan penduduk kampung aku ada hubungan darah sesama sendiri disebabkan ikatan perkahwinan. Hamdan Kelana - biasanya dipanggil Pak Su Hamdan - mungkin ingin memudahkan golongan ibu yang menziarah keluarga arwah sehingga mereka terbabit tak sempat masak nasi di rumah masing-masing.]

Petang, pergi main bola sepak. Aku tendang kena tiang, patah balik, lalu aku pass kepada Ramli dan dia tendang terus gol! Minum air manis lepas main bola sepak.

[Air manis ialah sirap berais.]

Hari ini, mak ke Pantai Remis, kenduri Faridah.

 

Ahad, 20 April

Makan ubikayu rebus 10 pagi sebelum mandi sungai dengan Ca dan Din Pak Cik Hamzah. Mereka berdua turut basuh pakaian. Cop Pak Lang Nan pun mandi sama. Lepas mandi, dengar radio, drama berjodol Menahan Badai Berlalu karya Malina Manja. Keluar ke kedai runcit Saari, baca akhbar. Banyak berita mengenai Hari Sastera di Ipoh serta Festival Filem Malaysia.

Pulang rumah, hujan lebat, awan hitam di langit. Aku baca buku Sejarah dan lain-lain.

Selepas hujan seriat, keluar ke jalan raya, bersembang dengan Saari, Aman Round dan Ali Mak Ngah Esah. Ke padang bola sepak Hidden Streams Estate. Ali bawa aku, dia kayuh basikal aku. Pasukan Sungai Rambai, Batu 10, Taiping benam Batu 25 dengan jaringan 11-2.

Malam, dengar radio, rancangan Fajar di Bumi Permata.


Isnin, 21 April

Makan tengahari, kuah asam pedas. Aku makan dua pinggan nasi. Petang, emak ke Beruas gadai barang kemas. Aku sedih. Emak belikan aku pinggan dan kole untuk scouts. Emak beli juga kain untuk buat samping aku, sikat, roti dan lain-lain.

Ayah pula ke Padang Gajah, bawa borang pinjaman buku teks dan borang untuk maklumat sulit testimonial aku, untuk ditandatangan penghulu muda.

Dengar radio, ada kuiz anjuran Persatuan Pengguna Pulau Pinang yang dijuarai Sekolah Teknik Pulau Pinang. Siaran secara langsung dari RTM Pulau Pinang ini disertai juga BM High School, Jit Sin BM dan Sekolah Menengah Georgetown.

 

Selasa, 22 April

Duduk di rumah, baca novel Pulanglah Perantau milik Ca sampai habis. Malam, pergi solat Maghrib di masjid. Aku baca keratan akhbar yang dikumpul G sebelum aku tidur.

 

Rabu, 23 April

Sarapan pagi, tempek nyiur. Abang Abas beri sedikit jagung yang dia tanam. Baca buku Sejarah, Bab 4 Tingkatan 1. Emak dan ayah pergi jaga trektar yang terbenam di Bukit Belia, Ca ke Pantai Remis tonton filem, Sumber Ilhamku. Aku tidur di rumah. Dengar radio, pertandingan akhir bola keranjang belia lelaki yang dimenangi Selangor.

 

Khamis, 24 April

Emak rebus jagung untuk jual, yang rongak buat kami makan. Emak kutip pula sayur asin-asin untuk dijual di kedai Saari. Dapat 6 ikat, harga tolak seikat ialah 10 sen, jadi  dapat 60 sen.

Ca bagitahu dia nak ke Kuala Lumpur. Tapi, dia tak jadi pergi hari ini, dia nak pergi hari lain.

Main bola sepak, Ca tendang bola, aku tahan dengan perut, lalu aku rembat kena tiang sebelah dalam lalu bola masuk gawang. Penjaga gol, Aji tak boleh buat apa-apa. Shaharal dan isteri datang ke rumah aku naik basikal, kami selisih dekat rumah Pak Unggai tapi aku tak kenal dia kerana aku tak pakai cermin mata sewaktu balik main bola sepak.

 

Jumaat, 25 April

Solat Jumaat. Petang main bola sepak lagi.

Malam, ke rumah Kak Nah Jaapo tapi bateri kereta untuk hidupkan TV telah dibawa ke Pantai Remis untuk dicaj. Aku ikut mak dan ayah ke rumah Pak Mat Tongkol. Beliau dan isteri bersembang rabung dalam loghat Kuala Kangsar dengan ayah dan mak. Aku tonton filem Indonesia berjodol Putri Solo.

 

Sabtu, 26 April

Pagi, dengar radio. Lat ceramah dalam rancangan kanak-kanak. Lat mula melukis kartun sejak berusia 13 tahun sekitar 1963-4.

Pasukan bola sepak Kampung 26 ke Matang Acheh untuk perlawanan persahabatan. Gunting rambut lewat kerana Pak Cik Hamzah ke Taiping. Abang Abas bagi jagung kepada aku. Pulang ke rumah, aku kemas pakaian kerana esok aku nak balik asrama.

 

Ahad, 27 April

Sarapan pagi, jagung rebus, ubikayu rebus dan lain-lain. Ke Taiping dengan mak, tapi aku kena tunggu bas lama di tepi jalan raya depan masjid kerana bas dari Beruas ke Taiping yang aku tahan kali pertama penuh. Kali kedua tahan, baru bas Blue Omnibus berkenaan berhenti. Tunggu keretapi dari jam 11 pagi lebih, keretapi tak sampai-sampai, lalu mak pulang sementara aku tunggu di stesen dengan beberapa pelajar lain. 6:30 PM baru keretapi tiba. Ramai askar dalam keretapi. Beberapa rekrut terbabit – baju mereka tiada pangkat – mengusik pelajar-pelajar SMSPP. Sebaik sahaja tiba BM, aku naik kereta seorang bapa pelajar SMSPP yang tolong hantarkan aku ke asrama. Oleh kerana lewat sampai asrama, aku tak pergi prep malam, dan aku rasa lapar sangat kerana tak makan sejak pagi. Aku tonton TV, rancangan drama 10:45 PM, kisah mata-mata gelap menyiasat di Johor Bahru.

Sebelum tidur, makan ration bersama-sama beberapa rakan sebilik. Lan beri aku sedikit lemang dengan daging ayam, Yaakob bawa kek, manakala aku beri mereka jagung rebus yang dibekalkan oleh mak aku. Tidur dalam keadaan badan aku berasa sangat letih.

 

Isnin, 28 April

Kelas Pagi. Ambil meja dari stor kerana meja aku hilang! Perhimpunan, aku berdiri belakang sekali. Ada guru baru datang. Hisab Moden, hantar borang-borang dan kad kemajuan. Selepas itu, belajar andasar 8. B.M. Kena cari rencana dari akhbar. Rehat. Sains Paduan, ke makmal cari pusat graviti pelbagai bentuk kertas kadbod. English, ke AVA Room. Relax. Kemudiannya, ke kelas lalu aku baca The Good Earth karya Pearl S Buck.

Makan ayam. Ke mesyuarat PBBM selepas ke library pinjam novel Tembok Tidak Tinggi, A Samad Ismail. Aktiviti kali ini ialah berbalas pantun berunsurkan kehidupan di asrama sehingga pelajar-pelajar perempuan riuh-rendah. Cikgu Nora tersenyum-senyum!

Petang, main bola sepak. Kawan-kawan buat lawak dengan melondehkan seluar seorang rakan sehingga tinggal seluar dalam. Malam, pakai kali pertama kain pelikat mak beli di Padang Besar. Makan nasi dengan telur kerana lauk habis!

Ke prep malam. Basir Nordin, ketua penuntut, jaga kelas aku. Study malam, ke bilik study matrik bersama-sama Abdul Razak, Zahi dan Amir kerana ada banyak kerusi dan meja kosong. Pulang ke dorm lebih 12 AM.

 

Selasa, 29 April

Sarapan bihun goreng, tak minum kopi O. Hisab Moden. Belajar andasar lagi. English, kena bercerita mengenai kegiatan semasa cuti. Sains Paduan, ke lab lalu buat ujian pusat bumi. Rehat. Seni Perusahaan, Mr Ng kata beliau nak pindah ke sekolah lain. Dan, kami tak belajar pada hari ini.

Kelas Petang. Sejarah, belajar Penyatuan Jerman. Agama, ke Bilik DC, bayar hutang beli buku baru-baru ini kepada wakil Bagan Book Store. Ilmu Alam, belajar Filipina. Main petang. Berbual-bual kosong dengan Abdul Razak, Idrus, Zahi, Ramli, Zulkifli dan lain-lain. Zahi paling rancak berborak!

Makan malam, daging dua ketul. Prep malam, Idris – ketua penuntut – beri amaran kepada pelajar-pelajar kelas aku yang buat bising. Study malam, aku ke Musala Blok A, aku belajar secara duduk atas kerusi di tepi koridor musala. Antara beberapa rakan lain yang study bersama-sama aku ialah Zahi, Zailan, Amir dan Zulkifli.

 

Rabu, 30 April

P.E. Main bola keranjang. Sivik, belajar mengenai YDP Agong, Dewan Rakyat dan Dewan Negara. Sains Paduan, buat soalan dalam buku latihan sehingga habis. Rehat. Ilmu Alam, belajar Filipina lagi. B.M. Buat surat kiriman. Kelas Petang. Agama, belajar mengenai Rasul. English, tulis essay. Ilmu Hisab, cikgu periksa buku-buku teks.

Main Petang. Aku main bola sepak. Seorang rakan tendang punggung aku. Aku tak kisah kerana dia rasanya sekadar melawak, dan dia pun bukannya kerap berkelakuan kasar sebegitu kepada rakan-rakan. Malam ini tiada prep malam kerana esok cuti Hari Buruh. Namun, aku tidur awal.

[Di ruangan notes selepas muka surat 30 April, aku tulis: A. Aku kena buat samping maroon semasa Cuti Penggal I, ambil seluar panjang dan baju T aku atau abang-abang aku jika ianya ada di kampung untuk aku pakai hari-hari di asrama, beli seluar biru dan pisau lipat besar untuk scouts, ambil kasut kanvas hitam abang G atau Cid jika ada, ambil album gambar 3R, tangkap gambar ukuran paspot untuk kad pengakap, beli kole, piring dan pinggan ayan untuk scouts. B. Beli stoking panjang dua pasang. Tak jadi beli seluar main dan buku Keluarga Si Mamat. C. Jumlah wang yang perlu dibawa ke asrama selepas Cuti Penggal I ialah bayaran hutang beli buku kepada Bagan Book Store RM11, poncho Rm5.90, yuran sekolah yang belum aku jelaskan RM20 dan RM30 untuk beli peralatan Scouts seperti baju, scarf dan woogle. Aku juga catatkan dalam April Account yang aku hendak beli sebuah buku Lat yang lain, harganya sekitar RM10.]

Comments