DIARI 1980

MAC

Sabtu, 1 Mac

Pasukan Bahas Kolej Islam Kelang datang.  Aku ke prep pagi dalam suasana hujan renyai tanpa pakai stoking. SMSPP kalah pertandingan bahas. Pulang prep, buat lukisan untuk hantar minggu depan. Makan tengahari, lauk cuka. Pulang ke dorm, terkena cucuk dengan jarum jangkalukis sewaktu aku angkat beg ke atas katil. Jarum itu tertembus beg yang aku angkat. Mujur cucuk ke badan. Basuh baju, lepas itu baca akhbar di bilik rehat, ambil kartun Lat yang disiar akhbar NST.

Malam tengok Little House on Prairie. Kisah kasih sayang antara kanak-kanak dengan golongan tua yang amat mengasyikan. Lepas itu, tengok rancangan baru, SENADA. Persembahan sulungnya diungguli S. M. Salim dan Nada Budaya. Artis undangan ialah K. Vellu, Othman Hamzah, Yunizar Hussien, dan Mazuin Hamzah dengan kumpulan Quinary M. Belajar malam, aku ke musala, buat nota Ilmu Alam mengenai perlombongan di Malaysia.

 

Ahad, 2 Mac

Inspection, aku dan beberapa kawan lain buat duti luar: sapu koridor, kemas stor dan cuci tandas. Ravi dan Zaini berbalah sedikit kerana mereka tidak puas hati dengan duti masing-masing. Ustaz Muhammad Hussin datang periksa.

[Ustaz Muhammad pernah menggalas tugas sebagai Ahli Dewan Undangan Gaal. Beliau akhirnya keluar PAS untuk masuk Amanah. Beliau dilantik sebagai Pengerusi Amanah Kelantan pada 2019 untuk tempoh sehingga 2022.

Sewaktu aku Tingkatan 1, Ustaz Muhammad pernah hayun batang penyapu ke punggung aku dan Ng Weng Fei setelah kami diarah berdiri tepi dinding bangunan asrama. Aku, dan Weng Fei yang berasal dari BM, sebenarnya tak bersalah. Ditakdirkan, kami berdua berdiri dalam dorm sedangkan kawan-kawan lain duduk – buat diam - di katil masing-masing sebaik sahaja Ustaz Muhammad masuk. Aku masih ingat lagi nombor katil dan locker aku: B23E yang bermaksud Blok B, nombor katil dan almari 23 dan Dorm E. Aku sebenarnya seorang pendiam, manakala Weng Fei sedikit gagap.

Aku bertemu Ustaz Muhammad sewaktu aku bertugas sebagai wakil Harakah dalam Mesyuarat Dewan Ulama PAS pada suatu muktamar parti ini pada pertengahan 1990-an. Aku duduk di kerusi pemerhati, begitu juga Husam Musa yang duduk depan aku, dan pemimpin muda PAS ini tak kenal aku kerana aku bekerja di Kuala Lumpur sedangkan beliau beri tumpuan kepada masalah politik Kelantan. Beliau segak berbaju Melayu, kalau tak silap hijau muda atau kuning cair. Aku tak pasti warnanya kerana aku colour blind. Mat Sabu, Mahfuz Omar dan Salahudin Ayub adalah pemimpin-pemimpin muda yang paling banyak beri kerjasama untuk memudahkan aku menulis berita sepanjang aku bertugas di akhbar berkenaan. Aku turut agak rapat dengan beberapa pemimpin lebih berusia – ramai sudah meninggal dunia - tetapi mereka terbabit tidak berapa suka aku tulis berita berdasarkan kepada ulasan mereka. Malah, mereka berkenaan kebanyakannya amat merendah diri dan gemar bercerita mengenai hal bukan politik sewaktu berbual berdua dengan aku sewaktu makan di restoran atau berkereta ke tempat ceramah politik, Dewan Undangan Negeri atau Parlimen.

Sewaktu aku menulis komentar ini, ada cadangan supaya Tengku Razaleigh Hamzah atau Ku Li diletak sebagai “Perdana Menteri Sementara.” Aku rasakan itu sukar direalisasikan bukan kerana masalah perundangan iaitu PM kena letak jawatan dahulu tetapi Ku Li sendiri kelihatan tidak bersemangat untuk duduk di kerusi panas berkenaan. Sewaktu pertengahan 1990-an, aku sendiri telah “mendesak” supaya Ku Li dilantik sebagai Ketua Pembangkang di Parlimen bagi menggantikan Lim Kit Siang. Ketika itu, DAP tak banyak kerusi, manakala Semangat 46 dan PAS lebih dominan. Tidak lama selepas itu, aku menemani seorang pemimpin tinggi PAS, berdua dalam bilik khas pimpinan parti di Pejabat Harakah dan seterusnya kami makan berdua di Restoran Haslam, namun tak sebutir pun perkataan mengenai Ku Li atau saranan aku itu, muncul dari mulut pemimpin tinggi PAS berkenaan. Aku dapat rasa, dan bacaan politik aku rasanya betul, Ku Li tak berhasrat menjadi Ketua Pembangkang di Parlimen.

Aku tegur Ustaz Muhammad dan beliau beberapa minit kemudian beritahu aku yang beliau telah dikapak di kepala tapi mujur tak cedera teruk. Aku hairan ada individu di Kelantan serang Ustaz Muhammad yang pada aku seorang berwatak lembut. Namun, beliau terbabit dengan penubuhan Persatuan Silat Kalimah semasa di SMSPP, selain beliau adalah guru penasihat kelab ping pong.

Ustaz Muhammad juga adalah warden asrama yang pada suatu ketika memegang buku simpanan wang pejabat pos aku. Peraturan ini – pelajar-pelajar tidak boleh pegang sendiri “buku bank” berkenaan - dibuat bagi mengelak mereka terbabit belanja ikut suka hati. Malah, aku pernah beri duit tunai aku untuk disimpan Ustaz Muhammad kerana aku takut hilang. Aku hanya minta balik apabila aku betul-betul putus wang. Aku tak cerita mengenai kesilapan beliau hukum aku dan Weng Fei semasa dulu-dulu kerana itu perkara kecil dan tak sakit sangat pun!]

Penolong Kanan masuk dorm-dorm Form 4, kelihatan dari jauh beliau memeriksa rambut pelajar-pelajar berkenaan. Setelah habis inspection, Syed Shaharudin ambil gambar kami beramai-ramai. Kemudiannya, pak cik dobi datang, lalu aku hantar pakaian kotor. Lepas itu, aku kemas kembali katil serta locker.

Hujan masih renyai. Makan malam, aku ambil ikan goreng tiga ekor dan beberapa potong tembikai. [Selalunya, pekerja bahagian menghidang akan suruh aku dan rakan-rakan yang datang lewat supaya tambah atau bawa keluar makanan jika ia masih banyak bagi mengelak pembaziran.] Ke prep juga walaupun hujan. Cikgu Mazlan suruh sesiapa yang guna akhbar untuk menudung kepala supaya memungut semula kertas-kertas yang telah dicampakkan ke merata-rata tempat. Belajar menjelang tengah malam, study Sains Paduan di musala. Tidur selepas itu tanpa selimut sebab hantar dobi. Sejuk bukan main. Sejuknya terasa di hujung kaki!

 

Isnin, 3 Mac

Perhimpunan. Seorang pelajar lelaki Tingkatan 3 kena public warning kerana ditangkap hisap rokok. Beliau tak boleh outing, dikenakan kelas tahanan, serta mesti pakai tali leher setiap hari selama setahun. B.M. belajar peribahasa. Rehat. Sains Paduan ke makmal dan cikgu periksa buku latihan. English, ke AVA Room. Baca buku David Cofferfield. Balik awal ke asrama untuk ikut pasukan hoki berlawan di luar sekolah. Makan tengahari menu ayam. Ke PFS dengan van sekolah, dipenuhi 17 pemain hoki. SMSPP lawan sekolah dari Jelutong. Menang 6-0. Kamal 2, Shamil 2, manakala Jamil dan Zaharin masing-masing sebiji. Minum air laici di Padang Kota.

Hujan masih renyai sewaktu kami pulang. Aku dan beberapa pelajar lain dalam van terpaksa tunduk sewaktu masuk perkarangan sekolah kerana takut Pengetua cam van melebihi had muatan. Selepas ke prep malam, aku ke bilik rehat dan ambil kartun Lat. Belajar malam, aku baca buku, “Karangan Untuk SRP.” Tak tahan, mengantuk sangat, lalu balik dorm.

 

Selasa, 4 Mac

Bangun lewat sewaktu loceng makan berdering. Sempat makan bihun goreng, dan tambah. Hisab Moden, belajar menggunakan angkisi untuk memudahkan rangkaian pecahan. English, composition. Sains, buat percubaan mengenai letromagnet. Rehat. Cikgu Mat Nor warning kerana pelajar-pelajar dalam kelas aku bising. Seni Perusahaan, sambung buat tanggam bajang. Makan tengahari tak berselera. Sejarah, cikgu Samsudin ganti cikgu Fadzil. Waktu Agama, Zainol tertidur lalu ustazah benarkan ke tandas beramai-ramai, basuh muka, untuk hilangkan rasa mengantuk. Ilmu Alam, belajar mengenai perusahaan kilang di Malaysia.

Latihan hoki kena sampai ke padang sebelum 4:15 PM. Oleh itu, tak sempat solat Asar. Tapi, aku pulang awal kerana ada perlawanan hoki antara Form 4 dan Form 5.  Segera mandi lalu terus solat Asar. Baca surat daripada ayah bertarikh 29 Februari 1980. Ada sekeping wang kertas RM10 dalam surat. Sedih bercampur gembira. Aku faham situasi ayah yang tetap gagah mengguna tenaga beliau yang masih ada di kala usianya sudah mencapai 70 tahun untuk menyara aku dan semua ahli keluarga lain. [Umur ayah paling kurang 69 tahun pada 1980 berasas kad pengenalannya yang tercatat beliau dilahirkan pada 1911. Namun, kata ayah, beliau sekadar agak-agak tarikh beliau lahir sewaktu isi maklumat untuk buat kad pengenalannya suatu ketika dulu.] Aku kemudiannya terus balas surat ayah. 

Ke prep malam, buat nota Ilmu Alam dan Seni Perusahaan, juga buat homework Hisab Moden. Pulang dorm, study malam, aku buat latihan Hisab Moden lagi.

Hari ini, Zakine tulis nama aku sebagai pemain simpanan pasukan sepak raga mewakili rumah sukan, Zamrud. Bersyukur, aku berpeluang untuk menonjol sedikit dalam bidang sukan.

 

Rabu, 5 Mac

P.E. berlatih lontar peluru. Sivik, cikgu Said pula masuk mengajar. Rehat. Ilmu Alam, belajar sistem pengangkutan di Malaysia. B.M. baca rencana bertajuk, “Mencegah banjir di Pulau Pinang.” Makan tengahari tak lalu langsung kerana ikan celup. Pergi Koop, beli ball pen, juga gula-gula Hacks hitam 5 sen. Agama, tak belajar kerana ramai sangat pergi lawan bola sepak di SMKBM. Kami buat kerja sendiri. English, tulis dialog membabitkan ungkapan: I hope so, I think so, I afraid not dan lain-lain.

Main petang. Turun latihan hoki 4:15 PM tapi cikgu Zaki tak datang. Abdul Razak dan Shamil “berbincang” sama ada kami perlu pergi beri sokongan pasukan bola sepak Under 15 yang bertarung di SMKBM. Akhirnya, kami tak pergi. SMSPP menang 1-0.

Prep malam, buat kerja-kerja Ilmu Alam dan Agama. Kemudiannya, aku ke bilik air lalu ambil air sembahyang kerana risau air tiada di asrama. Selalunya air paip di sebelah makmal Seni Perusahaan dan bilik air bangunan sekolah masih mengalir walaupun asrama sudah tiada air berikutan kedudukan asrama – terutama Blok C yang dihuni pelajar-pelajar perempuan – berada di paras lebih tinggi.

 

Khamis, 6 Mac

Kelas pagi. Ilmu Alam, tamat belajar mengenai Malaysia. Muzik, aku bertugas padam papan hitam. Sejarah, cikgu mengarahkan kami melakonkan kembali kisah, Baling Talks

[Wikipedia menjelaskan mengenai Baling Talks atau Rundingan Damai Baling ini sebagai perundingan antara Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu dengan Parti Komunis Malaya (PKM). Berikut ialah penjelasan Wikipedia:

Rundingan ini diadakan di Baling English School (sekarang Sekolah Kebangsaan Tunku Putra) di Baling, Kedah pada 28 dan 29 Disember 1955. Wakil parti perikatan terdiri daripada Tunku Abdul RahmanTun Tan Cheng Lock dan David Marshall, sementara wakil PKM ialah Chin PengChien Tien dan Rashid Maidin.

Kerajaan Perikatan berjaya dalam pilihan raya di Tanah Melayu pada bulan Julai 1955. Pada bulan September 1955, kerajaan menabur 40 juta risalah "Tawaran Menyerah Diri" serta 12,000 pas pengampunan beramai-ramai ke dalam hutan melalui kapal terbang. Tawarannya berbunyi: "Kalau kamu menyerah diri, keluar dari hutan, kamu tidak akan dihukum kerana kesalahan yang kamu lakukan berhubung darurat. Pada September 1955, sepucuk surat dihantar oleh Parti Komunis Malaya dan ditandatangani oleh Ng Heng dari Kampung Kelian Intan, Keroh di Perak. Surat itu menyatakan tawaran rundingan kepada Ketua Menteri Persekutuan Tanah MelayuTunku Abdul Rahman. Ng Heng sebenarnya ialah nama samaran Chin Peng. Proses rundingan antara Kerajaan Perikatan dengan PKM kemudian berlangsung selama dua hari pada 28 dan 29 Disember di Baling, Kedah. Chin Peng berjanji meletakkan senjata jika PKM diiktiraf dan kebebasan mereka tidak disekat. Tunku bagaimanapun menegaskan PKM perlu menyerah kalah.

Tawaran Chin Peng juga tidak dihiraukan oleh Kerajaan Perikatan kerana PKM sudah lemah. Tambahan pula, kerajaan dengan bantuan tentera negara-negara Komanwel hampir melumpuhkan pemberontakan bersenjata komunis di dalam hutan. Rundingan dengan komunis yang mahu PKM diiktiraf sebagai sebuah parti bebas dianggap tidak wajar oleh Kerajaan Perikatan. Tiada kata sepakat dicapai selepas rundingan kerana PKM enggan menerima pelan damai kerajaan dan meneruskan gerakan bersenjata. Tunku telah menarik balik tawaran pengampunan pada bulan Februari 1956.

Proses rundingan di Baling itu boleh dianggap sebagai antara usaha terakhir Kerajaan Perikatan menyakinkan pihak British bahawa rakyat tempatan layak memerintah dan bersedia untuk menuntut kemerdekaan. Selepas beberapa hari pertemuan bersejarah itu berlangsung, Tunku terus berangkat ke London untuk meneruskan rundingan kemerdekaan dengan British. Selain itu, sekiranya Parti Komunis Malaya memberi tekanan kepada pihak British, sudah pasti pihak British tidak akan melepaskan Tanah Melayu untuk merdeka kerana sekiranya Tanah Melayu jatuh ke tangan komunis, hal ini akan menjejaskan bekalan bahan mentah yang amat diperlukan British bagi membangunkan semula industri mereka selepas Perang Dunia II.]

Hujan sekejap sebelum rehat. Agama, belajar pelajaran ke-6 membabitkan hadis. Seni Lukis, mula melorek kayu. Hisab Moden, cikgu tolong buat soalan susah. Industrial Arts, kena ketuk kepala sendiri dengan tukul jika salah jawab ketika ulang kaji. B.M. perumpamaan.

Main petang, cikgu Zaki tak datang lagi. Ada perlawanan hoki Under 18 dengan SMJK Jelutong. SMSPP menang 3-0. Li Wok dua, manakala Amir sebiji. Makan malam, ayam dua ketul. Seorang pelajar lelaki Tingkatan 3 Hijau cerita mengenai “perangai” beberapa pelajar perempuan kelasnya.

 

Jumaat, 7 Mac

B.M. buat latihan peribahasa. P.E. main bola sepak dengan Wan Maizul sebagai kapten pasukan aku. Kami kalah 1-0. English, beberapa orang kena denda tulis 1,000 perkataan kerana booing. Rehat, Sains Paduan, ke lab. Lihat dan periksa loceng elektrik serta buat nota mengenainya. Sejarah, belajar pula mengenai rundingan mencapai kemerdekaan. Solat Jumaat di dewan besar. Ustaz Zakaria sampaikan khutbah. Ke perjumpaan scouts, dan berlatih suasana perang. Usung “orang cedera” di tengah padang. Main petang, ke latihan hoki, diikuti main dengan dibahagi kepada dua pasukan. Aku main wing. Minum ais kosong selepas tamat main. Ke prep selepas makan malam nasi lauk ikan bilis dan sardin.

 

Sabtu, 8 Mac

Persatuan Sejarah lawat Lembah Bujang, Kedah. Awal pagi, selepas Subuh, pemain  hoki Under 15 lari jarak semacam baru-baru ini. Ke Alma, BM melintasi landasan keretapi. Masuk ke asrama melalui tepi Blok C ke gerbang. Seperti baru-baru ini juga, aku dalam kelompok paling lewat kembali ke asrama. Kamal, Anas dan Abdul Razak tidak ikut larian hari ini. Bagaimanapun, Rashid Hamzah, ketua penuntut, marah kerana aku lambat ke prep pagi. Ada beberapa orang sahaja dalam kelas! Seorang rakan kena penampar Pengetua yang “nampak” dia jatuhkan cermin tingkap sedangkan dia ingin perbetulkannya.

Pulang prep pagi, basuh baju. Makanan tak sedaplah sangat hari ini! Ke bilik rehat, baca akhbar. Ambil kartun Lat dalam NST. Baring-baring, pak cik dobi berketurunan India, rasanya bukan Islam, dengan seorang pekerjanya – mungkin anak lelakinya - datang. Aku hanya hantar pakaian tertentu seperti baju dan seluar sekolah, baju dan seluar dipakai di asrama, kain pelikat, selimut, cadar dan baju melayu. Stoking, seluar dalam dan pakaian tertentu aku basuh sendiri. Pergi minum petang, makan roti. Jalan pulang ke dorm, aku lihat beberapa khemah didirikan Form 4 di halaman rumah Penolong Kanan. Banyak khemah jenama “Toyo” itu turut ditegakkan Form 4 dan Form 5, di bawah pepohon ru, dekat padang hoki.

 

Ahad, 9 Mac

Lari lepas Subuh lagi. Kali ini ke Alma bersama-sama pasukan hoki dan bola sepak under 15. Selepas itu, turun ke padang berlatih. Scouts yang camping di bawah pepohon ru dekat padang hoki – Form 4 dan Form 5 – kemas untuk pulang.

Aku keluar outing hari ini. Cikgu Mat Nor, warden yang juga guru Bahasa Inggeris aku, tumpangkan aku naik motorsikalnya sampai pagar sekolah. Aku beli buku Sejarah Fajar Bakti dan Ilmu Alam Karang Kraf, jumlahnya bernilai RM8.75, dan aku beli juga akhbar. Makan mi dan ais kacang – jumlah nilainya RM1 – dengan Nasir dan Fauzi Napiah di Selera Jaya. Pulang. Baca paper di bilik rehat walau aku dah beli akhbar tadi. Aku baca NST dan akhbar lain yang aku tak beli. Makan tengahari, tak lalulah pula.

Pulang. Letih lalu tidur sampai lewat petang. Aku tak pergi minum petang. Juraimi bawa pulang ration. Lemang dicicah dengan gula tumbuk. Aku tulis dalam diari ini: Alhamdulillah! Lepas prep, aku pergi belajar di musala.

Aku tulis catatan di muka surat ini, “Kalau jadi outing mesti beli tali ikat cermin mata, buku Sejarah Fajar Bakti, Objektif Ilmu Alam. Lebih kurang $12.00.” Aku sepatutnya selit perkataan insya-Allah dalam ayat ini.

 

Isnin, 10 Mac

Assembly lama betul. Seorang pelajar Form 4 pitam. Hisab Moden, tonton televisyen tajuk Vektor dengan Form 2 Putih. B.M. buat surat kiriman lagi. Rehat. Sains Paduan ke makmal. Aku dan semua rakan sekelas terima majalah sekolah baru sampai, Puncak 1979. English, ke library.

Makan tengahari lauk ayam. Ke "pulau" dengan pasukan hoki under 15, serta pasukan hoki dan bola tampar under 18. Bas rosak tengah jalan, sampai “walk over.” Frust  kerana Under 15 tak dapat main hoki, lalu ke sebuah sekolah Cina, tengok perlawanan Under 18 dengan sebuah sekolah dari Georgetown. SMSPP menang. Ada sebuah pasukan lain  yang kelihatan diwakili beberapa pelajar orang putih. Solat Maghrib di Masjid Bagan Ajam sebelum pulang. Makan malam, mandi lalu ke prep malam. Baca cerita mengenai Baharuddin Haji Zainal. Eh! Bukan Zainal tapi Omar. Pulang, ke musala dan baca akhbar Watan yang aku beli semalam.

 

Selasa, 11 Mac

Hisab Moden, buat latihan mengenai vektor. English, belajar Past Perfect Tense. Sains Paduan, ke bilik TV lalu tonton bersama-sama 3 Putih. Seni Perusahaan, siap buat tanggam bajang dengan kayu bulat. Rehat. Sejarah, buat catatan mengenai Sarawak. Agama, belajar: “Malu adalah sebahagian iman.” Ilmu Alam, buat kerja sendiri dan baca buku mengenai Singapura. Cikgu Hussien kata, beliau nak ke KL.

Petang perlawanan sepak takraw antara rumah. Aku main untuk pasukan ketiga mewakili Zamrud dan kami menang ketiga-tiga perlawanan. Malam sebelum tidur, aku sambung baca Watan dengan teliti.

 

Rabu, 12 Mac

P.E. berlatih lompat tinggi. Sivik, belajar zaman pra-sejarah. Sains Paduan, ke makmal buat ujian mengenai dynamo. Aku kena ketuk ketampi 10 kali dan duduk atas lantai simen kerana gendang meja. Rehat. Ilmu Alam, rehat tanpa buat apa-apa. B.M. jawab soalan kefahaman pelajaran 5 dan 6. Kelas petang, Agama, belajar perkara yang sama sebelum ini. English, dengar tape perbualan mengenai nak hantar telegram. Ilmu Hisab, buat latihan mengenai vektor.

Main petang, latihan hoki diakhiri minum ais kosong yang dicampur dengan glukos. Bola sepak Under 15 kalah dengan Sungai Ara 3-2. Malam, pulang prep terus tidur kerana keletihan!

 

Khamis, 13 Mac

[Dipenjuru kanan muka surat ini aku tulis nombor 30 iaitu jumlah hari yang aku perlu harung sebelum Cuti Penggal I.]

Ilmu Alam, Pengetua marah kerana bising sebab guru tiada. Mr Lee Fock Mun datang jadi guru ganti. Muzik, ke bilik muzik. English, belajar Past Tense dan Past Perfect Tense lagi. Sejarah, cikgu mengadu sakit tekak sewaktu mengajar mengenai Sarawak. Rehat. Agama, ustazah tak datang lalu aku ke bilik air. Seni Lukis, menekap ke kertas lukisan. Tiga bentuk cetakan dengan warna biru muda. Kelas petang. Ilmu Hisab, belajar vektor lagi. Seni Perusahaan, ke library kerana Mr Ng ikut pasukan bola tampar Under 15 lawan luar asrama. B.M. cikgu periksa buku karangan tatkala hujan rintik-rintik diselangi guruh sekali-sekala.

Main petang, latihan hoki diikuti minum air sirap. Pasukan aku main suka-suka dengan Under 18 dan kalah 2-0. Prep malam, ke dewan besar, tonton ceramah seorang ustaz dari sekolah agama, Maahad Bukit Mertajam. Hari ini, ustaz Muhammad marah kerana aku tak beri salam kepadanya.

 

Jumaat, 14 Mac

B.M. belajar perkataan berimbuhan “ber.” P.E. main bola sepak. Hisab Moden, belajar mendarab vektor. English, dengar tape perbualan seorang reporter dengan seorang pelancong, dan Ali dengan bapanya. Ianya lakonan cikgu Mat Nor dengan cikgu Shamsudin. Rehat. Sejarah belajar pembentukan Borneo.

Solat Jumaat di Dewan Besar. Khatibnya ialah Ustaz Muhammad. Mengantuk betul!

Ke perjumpaan scouts, bayar yuran 20 sen. Berlatih kawad. Pulang asrama, hantar pakaian dobi. Main petang, ke latihan hoki tapi cikgu tak datang. Malam, ke prep lepas makan ikan celup. Tak lalulah! Aku tulis dalam diari aku.

 

Sabtu, 15 Mac

Jat gerak aku 5 AM lebih. Lepas solat Subuh, pasukan hoki Under 15 berlari ke Alma. Lepas sarapan, pergi berlatih hoki di padang. Zakine dan Aidy terkena bola hoki yang dipukul secara “undercutting” oleh Kamal. Tiada kecederaan serius. Habis latihan 9 AM lebih. Berehat atas katil sekejap. Basuh baju lalu aku tak pergi minum rehat. Baca buku karangan untuk SRP selepas itu.

Petang pergi pasang khemah di bawah pepohon ru, dekat padang hoki. Aku pasang bersama Ahmad Fauzi Napiah. Setelah makan malam, aku ke khemah lagi. Oleh itu, aku tak pergi tengok wayang yang ditayang dekat tepi dewan besar dengan tembok bangunan sekolah sebagai layar, dikatakan sebuah filem China. Di padang hoki dan bawah pepohon ru, kami main cari belalang yang dibuat daripada tali rafia, lawan kuda arab, kejar piring terbang dan lain-lain. Selepas itu, ke gelanggang tenis, kami buat aktiviti campfire dengan hanya meletakkan lampu gasolin di tengah bulatan. Kami berlakon, bernyanyi dan tiru iklan TV. Cikgu Zaki dan Penolong Kanan tonton persembahan kami. Tidur dalam khemah 12 AM lebih. Sejuk betul. “Mat Pauzi” beri aku separuh kuih bom yang dibelinya di kantin.

 

Ahad, 16 Mac

Bangun awal pulang ke dorm, mandi dan solat Subuh lalu bersegera ke khemah semula. Main lari bawa kertas akhbar yang dijadikan bola. Patrol Gajah menang nombor satu dua kali dan sekali nombor 3. Makan nasi lemak dengan bilis yang diambil dari dewan makan. Kena makan sampai licin pinggan. Kenyang betul! Ke rumah Penolong Kanan yang terletak tak jauh dari situ lalu belajar cara mendirikan khemah. Kemudian, ke latihan hoki pula. Cikgu Zaki datang.

Baca paper. Makan tengahari tak best. Tidur sehingga kedengaran loceng minum petang. Aku tak sempat ke dewan makan untuk makan roti. Tengok TV cerita Marco dan Shanana. Lepas tu, Abdul Rahim gunting rambut aku, kemudian dia gunting rambut Shahrizad sampai “sagoq” yang bermaksud tak sama panjang dan pendek. 

[Aku juga berkemahiran gunting rambut sejak sekolah menengah. Aku pernah gunting rambut seorang jiran yang juga pensyarah IKM sewaktu aku menetap di Seri Manjung. Beliau bagi aku pinjam alat memasak. Aku jual sate ketika itu, jadi aku gunting rambutnya yang kelihatan agak panjang. Aku malah sampai sekarang gunting rambut anak-anak perempuan serta isteri aku. Di sekolah, tempat isteri aku bertugas, ramai juga pelajar perempuan yang ambil kursus rawatan wajah serta gunting rambut. Cikgu-cikgu adalah "target market" mereka. Baru-baru ini, aku tegur isteri aku - kali pertama rambutnya digunting pelajar perempuan - supaya suruh pelajar berkenaan nipiskan bahagian tepi. "Potong style rambut amoi okey, tapi muka awak 'dah tak kurus macam dulu. Nampak tersangat tembam jika potong pendek paras atas leher tanpa nipiskan bahagian tepi!" Kata aku.]

Hujan lalu ke prep malam pakai poncho Toyo. Pulang terasa letih sangat lalu aku tidur cepat. Terjaga kerana sejuk lalu aku ambil selimut dari dalam locker lalu tidur semula.

 

Isnin, 17 Mac

Perhimpunan. Empat guru beri ucapan. Penolong Kanan, cikgu Fadzil, cikgu Anuar dan cikgu Mazlan. Penolong Kanan berucap mengenai makanan dan umum Bola Jaring Under 15 Naib Johan Pulau Pinang. Ilmu Hisab, belajar vektor lagi membabitkan kedudukan. B.M. Ambil beberapa perenggan dari buku teks dan akhbar, tulis di papan hitam. Kemudian, tandakan imbuhan-imbuhan. Rehat. Sains Paduan, ckgu Jagjit suruh kami ke library. English, ke AVA Room, kena “tumbuk” dengan cikgu kerana aku masuk ke tempat larangan.

Ke library, pinjam buku, Cherita2 Pendek DBP, dihasilkan pada 1957. Ke perjumpaan Kelab Persatuan Bahasa dan Budaya Melayu. Ada acara pantun. Pulang ke latihan hoki. Anas “rasmi” butnya hari ini. Ke prep lepas makan “lauk biawak.” Ikan yang berkulit keras ini lebih popular disebut sebagai “ikan jaket.”

 

Selasa, 18 Mac

Ilmu Hisab, cikgu tak datang. English, buat essay. Sains Paduan, cikgu suruh aku dan Ramesh basuh muka. Rehat. Seni Perusahaan, paku kayu sehingga projek siap! Lepas itu, pergi makan tengahari awal sedikit kerana nak pergi "pulau" dengan pasukan hoki dan bola sepak Under 15. Hoki, SMSPP tewaskan MBS 1-0. Shamil score. Bola sepak juga menang, tumpaskan BMHS 4-2. Ke Pantai Road, dan aku sekadar makan angin sahaja!

Makan nasi malam berkuah daging. Pedas betul! Tak ke prep malam. “Relax” di dorm. [Perbuatan ini salah kerana tak ikut peraturan!] Nyamuk banyak la sangat! Terus tidur selepas solat Isyak.

  

Rabu, 19 Mac

P.E. Lompat kijang. Sivik, buat latihan perbendaharaan kata. Sains Paduan, buat latihan mengenai daya. Lepas itu, ke library satu period. Baca majalah Sekolah Alam Shah, Selangor. Rehat. Makan kek tiga ketul. Aku sakit perut. Ilmu Alam, belajar mengenai Singapura. B.M. Belajar tulisan jawi. Kelas petang. Agama, ustazah bagitahu ujian Selasa depan. Ujian Kemajuan II bagi Agama merangkumi pilihan sama ada jawab ayat al-Quran atau hadis bagi Seksyen A, manakala pilih satu soalan Feqah daripada Seksyen B dan satu soalan Tauhid daripada Seksyen C. English, test Rabu, pada minggu depan. Hisab Moden, belajar vektor mengenai kedudukan lagi.

Main petang, latihan hoki. Minum air Horlicks susu selepas latihan. Pulang prep malam, terus tidur.

Aku tulis di bahagian atas muka surat 19 Mac ini: “Dapat surat drp. ayah ada $10 di dlm.nya. Alhamdulillah!”

[Ini rasanya surat terakhir ayah hantar berisi wang kertas kepada aku. Aku tak kirim surat minta duit lagi selepas ini kerana aku mulai faham keadaan ayah di kampung. Aku sebaliknya berusaha sendiri seperti bekerja di sebuah kedai makan di KL atau jual buah durian dan lain-lain di kampung sewaktu cuti penggal sekolah.]

 

Khamis, 20 Mac

Ilmu Alam, selesai belajar mengenai Singapura. Muzik, belajar sendiri. English, cikgu Mat Nor tak datang. Relax di kelas dan Mr Lee datang jaga kelas tak lama kemudian. Sejarah, belajar mengenai konfrontasi Indonesia-Malaysia disebabkan ura-ura penubuhan Malaysia. Rehat. Makan roti tiga ketul. Agama, ustazah tak datang. Seni Lukis, tajuk bagi Ujian Kemajuan II ialah Menyambut Hari Perayaan. Lukis dengan krayon.

Zamani marah kerana ramai pelajar 3 Merah masuk dewan makan ikut pintu belakang.

Kelas petang. Hisab Moden, belajar kira jarak dua titik. Seni Perusahaan, ambil ujian tapi Mr Ng kata tak akan dipakai kerana beliau dakwa kami sudah perolehi maklumat daripada 3 Putih yang sudah duduki ujian yang sama, sedangkan kami tak dapat soalan bocor. B.M. Belajar simpulan bahasa.

Main petang. Ke gelanggang sepak takraw. Zamrud lawan Delima, kami menang 2-1. Regu aku menang rubber set. Secara keseluruhan, Zamrud dinobatkan sebagai Juara Sepak Takraw Under 15. Malam, makan ayam. Cikgu Jiwariah beri ayam lebih tapi aku tak dapat kerana aku duduk jauh. Ke prep tanpa solat di dewan besar.

 

Jumaat, 21 Mac

Lewat turun sarapan. Ambil roti, sumbat ke dalam beg, lalu terus ke kelas pagi. B.M. Cikgu baca rencana, kami jawab soalan kefahaman mengenainya. P.E. Berlatih lompat tinggi. Aku tak tahu cara betul lompat dan aku gagal walau pada ketinggian minimum. Hisab Moden, jawab soalan-soalan. English, cikgu Mat Nor tak ajar, kami relax. Rehat. Sains Paduan, ke makmal dan buat ulangkaji berasaskan buku teks. Sejarah. Bahagian belakang kerusi aku tercabut!

Lepas makan tengahari dan solat Zuhur, ke PFS bersama pasukan hoki Under 15. Siron yang bukan ahli pasukan hoki Under 15 ikut sekali sebagai penyokong, aku pula pemain simpanan yang sekadar tukang angkat baldi air minuman dengan bantuan Ramli. Lawan Asuncion High School dan kalah 3-1. Ramesh score satu. Depa flick satu, short corner satu dan semasa kalut depan pintu gol satu lagi. Ke Padang Kota selepas perlawanan. Bertemu – aku tulis jumpa dalam diari ini dan perkataan berkenaan salah kerana jumpa itu kalau kita cari – Lan Shuib dan Zul, mereka Form 5 semasa 1978. Depa bersembang dengan cikgu Zaki. Minum air kelapa. Makan mi pula dengan beberapa rakan lain tapi tak bayar, buat don’t know. Orang cakap belum baligh tak berdosa, dan aku semasa awal Tingkatan 3 masih belum “cukup umur” lagi!

Pulang ke asrama, aku tak ke prep malam. Relax di asrama dan terus tidur. Aku pasang kelambu dulu kerana tak tahan nyamuk banyak sangat!

 

Sabtu, 22 Mac

Ke latihan hoki waktu pagi. Cikgu Zaki datang kemudian. Beberapa pelajar olahraga lumba lari, pasukan kriket dan bola sepak turut turun berlatih. Ada perlawanan tenis dengan Sekolah Menengah Jit Sin. Selepas latihan hoki, aku basuh baju lalu baca akhbar di bilik rehat.

Ke PFS naik van dipandu Pak Harun. Lawan BMHS seri 2-2. Radin dan Kamal score seorang sebiji. Tambah masa diikuti penalty flick. Radin, Kamal, Zahrin, Shamil dan Jamil berjaya lakukannya. Pihak lawan hanya berjaya dapatkan dua gol. Satu diselamatkan oleh Syed Saha, manakala dua lagi terbabas ke tepi. Keputusannya kami menang 7-4. Kami semua sebenarnya pakai jersi pasukan bola sepak Under 18 sewaktu perlawanan. Ke Botanical Garden. Pak Harun baca doa selamat selepas turun van, dan beberapa orang rakan kelihatan “merah mata” kerana gembira kami menang. Aku basuh muka di air terjun. Dan, kasut aku basah kerana aku tak lepas lompat parit. Ke Padang Kota, Jamil bagi aku dan Anas seorang RM1.00 lalu aku beli air jagung serta kacang rebus. Cikgu Zaki pula beli epal untuk kami semua. Sampai asrama, kami senyap sahaja. Cikgu Zaki makan nasi – makan malam - bersama-sama kami di dewan makan. Aku tonton Senada selepas sembahyang kemudiannya aku basuh kasut di bilik air Form 2. Selepas itu, aku ke musala untuk belajar malam.

 

Ahad, 23 Mac

Duti inspection, aku bersihkan koridor. Cikgu Mat Nor Rahim kata tingkap tak dicuci, manakala cikgu Fadzil “tendang” – acah-acah sahaja rasanya kerana cikgu ini seorang yang “baik” walau serius - seorang rakan yang tidak letak sudu dan garfu serta buku undang-undang di atas tilam di hujung katil sebelah luar. Selain dua benda ini, semua pelajar perlu letak sabun mandi ketul dalam bekasnya, sikat, minyak rambut, berus gigi dan ubat gigi.

Outing, aku beli seluar main pendek, ubat gigi Darkie, berus gigi, sabun mandi ketul Dettol, dan sampul surat. Makan mi goreng dan lincikang dengan Mat Ki dan Jamil di Selera Jaya. Pulang, study hadis.

 

Isnin, 24 Mac

Assembly terakhir Penggal Satu kerana peperiksaan Higher School Certificate (HSC) akan diadakan dalam dewan besar tak lama lagi. Hisab Moden, test. B.M. Baca rencana, Lebuh Raya Timur-Barat. Rehat. Sains Paduan, ke makmal. Test mengenai gambar rajah sahaja! English, ke library kerana tak dapat buka peti buku cerita di AVA Room.

Ke “pulau” dengan mengenakan tie untuk terima medal tempat ketiga pertandingan hoki Under 15. Johan ialah PFS, manakala tempat kedua, Asuncion. Kami mendapat berita pasukan bola sepak Under 15 sekolah aku dinobat sebagai "Johan Negeri" apabila menumpaskan Dato Onn 5-0 di Stadium Bandaraya Pulau Pinang. Ke Dawood Restaurant, ada nasi beriani, ayam goreng dan lain-lain. Pertama kali aku makan nasi jenis beriani yang sedap serta seroi. Pengetua, Penolong Kanan dan cikgu Shamsudin makan bersama-sama, meraikan kemenangan pasukan kami. Aku, Ramli dan lain-lain yang tak main kerana sekadar pemain simpanan tetap bergembira dengan kejayaan ini.

[Inilah juga kali pertama aku menerima anugerah medal – tanpa main satu perlawanan pun sepanjang kejohanan hoki Under 15 pada 1980 - dalam mana-mana acara sukan sepanjang hidup aku! Aku masih simpan medal itu yang kini mungkin tersorok dalam salah satu kotak dalam stor rumah aku. Aku juga simpan beberapa sijil kemenangan. Antaranya pasukan sepak takraw yang aku sertai menang pada peringkat Rumah. Aku juga pernah menang nombor tiga sewaktu menyertai pertandingan muzik bersama-sama beberapa rakan setingkatan sewaktu di sekolah menengah, dan aku dapat sebuah buku catatan yang masih aku simpan sehingga hari ini walaupun sudah koyak. Arwah ayah aku telah mengarang surat menggunakan buku catatan berkenaan selain menulis beberapa petua perubatan Islam dengan menyertakan beberapa ayat al-Quran untuk aku amalkan setiap kali selesai solat Subuh.

Sewaktu sekolah rendah juga, aku tak pernah menang apa-apa acara sukan tahunan. Aku hampir menang pertandingan berlari ikat kaki sewaktu berpasangan dengan seorang rakan, Ali. Setiap kali, semasa berlatih sebelum hari sukan, kami sentiasa menang. Namun, pada hari pertandingan, Ali terjatuh lalu kami kalah! Kami gagal dapat hadiah yang pada masa itu sekadar bekas makanan, bekas air, sabun mandi ketul dan lain-lain! Aku hanya pernah menang hadiah saguhati berupa beg sandang sewaktu menyertai pertandingan baca sajak English di Taiping. Beg itu aku bagi kepada ayah yang semasa itu bekerja di sebuah ladang kelapa sawit di Changkat Jong, dekat Teluk Anson. Ayah bertungkus-lumus belajar bahasa Orang Asli untuk memudahkan pekerjaannya di sana. Ayah tulis ayat-ayat bahasa berkenaan dalam sebuah buku rampaian sekolah untuk memudahkan beliau hafal. Antara ayat-ayat yang aku masih ingat: Nok hek oi rakan? Kawan nak pergi mana? Mamah bercek. Mandi sungai. Aing ho ngot kopi sengit. Saya nak minum kopi sejuk. Cak me ma. Makan mi goreng. Ayah kata, beliau ada seorang anak angkat perempuan Orang Asli yang belajar di sebuah sekolah menengah agama di Gunung Rapat, Ipoh. Ayah baik dengan seorang Tok Batin yang juga seorang bomoh. Oleh itu, gadis berkenaan diberi kepada ayah sebagai anak angkat. "Kakak angkat" aku ini selain menjaga neneknya yang bukan Islam, turut sering membasuh pakaian ayah aku. Ayah pula ambil kesempatan belajar mengenai akar kayu dan herba hutan daripada Tok Batin. Sewaktu berubat, Tok Batin, kata ayah, sebut ayat Bismillah. Ayah tanya, bagaimana beliau tahu sebut perkataan itu. "Dengar dalam mimpi," kata Tok Batin berkenaan. Sebenarnya, ayah aku mula baik dengan Tok Batin berkenaan setelah ayah aku melakukan rawatan secara Islam ke atas seorang pesakit Orang Asli dan dengan izin Allah dia sembuh. Sebelum itu, Tok Batin, yang bukan Islam itu, telah gagal mengubatinya dengan kaedah "Upacara Sewang."

Sewaktu belajar di Amerika Syarikat, aku begitu minat main pool. Aku, pernah main di sebuah pub dan aku kalahkan semua pengunjung yang berentap dengan aku di situ. Aku masuk pertandingan winner takes all – rasanya konsep pertandingan ini berunsur perjudian - anjuran sebuah tempat main pool di universiti. Bayaran dikenakan sekadar 10 dollar. Aku bukan minat hadiah duit sangat, yang pastinya berjumlah ratusan dollar, tapi juara akan menjadi wakil universiti untuk bertanding di Florida. Malang sekali, aku kalah 3-2 pada peringkat separuh akhir. Aku sudah leading 2-0, namun break yang aku lakukan pada kali ketiga tidak memasukkan sebiji bola pun ke dalam poket, lalu lawan aku berjaya memasukkan semua bola yang diperlukan sebelum menonjol bola nombor 8 ke dalam poket. Lawan aku yang merupakan jurulatih bagi subjek pool di universiti berjaya mengawal suasana lalu menang tiga set berturut-turut lalu dia masuk final dan berjaya jadi juara, manakala aku yang kalah pada peringkat kalah mati, keluar bangunan, berjalan seorang diri hala ke rumah dalam kesejukan malam. Bagaimanapun, aku puas hati kerana aku sudah berusaha semampu mungkin untuk bersaing acara Eight Ball dengan pelbagai bangsa – mat salih, Arab, kulit hitam dan lain-lain – sejak pagi.

Bila pulang Malaysia, aku terpaksa main snuker yang aku tak begitu minat kerana mejanya besar, bolanya banyak, manakala aku sukar beri tumpuan kerana aku tak boleh bezakan bola cokelat dengan bola-bola merah kerana aku colour blind. Apabila main pool pula, cara permainan di Malaysia ketika itu masih menggunakan meja snuker walaupun bola-bolanya adalah bola-bola pool. Lubang poket meja snuker kebiasaannya lebih kecil berbanding saiz poket meja pool, manakala saiz bola pool pula lebih besar sedikit daripada bola snuker. Oleh itu, cara aku bermain pool terpaksa diubah kerana seseorang perlu menitik-beratkan faktor ketepatan semasa menuju bola pool di atas meja snuker. Selain itu, peraturannya pula berbeza amat dengan apa yang aku pelajari sebelum itu. Aku tetap main kerana minat meskipun rasa agak kurang selesa sebab sering membabitkan perjudian. Di kala ini – awal 2020 - pada peringkat antarabangsa, selain acara Eight Ball, permainan Nine Ball dan Ten Ball amat popular. Dulu-dulu, pada zaman awal 1980, acara Six Ball dan Straight Pool kerap juga dianjurkan pada peringkat professional. Sekarang, menurut pemerhatian aku melalui YouTube, acara Six Ball dan Straight Pool semacam sudah diabaikan langsung.] 

Cikgu Zaki naik hot apabila kami tiba asrama kerana segelintir anggota pasukan hoki Under 15 makan tembikai yang dikhaskan untuk makan malam pasukan bola sepak. Sebenarnya, pasukan kami tak booking untuk makan malam di dewan makan. Cikgu Zaki rampas medal-medal pemain simpanan serta beberapa pemain utama. Aku tidur malam ini dengan perasaan sedikit kecewa.

 

Selasa, 25 Mac

Hisab Moden, cek soalan. Aku banyak buat kesilapan mudah! English, Composition Test. Sains Paduan, tonton TV dengan 3 Putih mengenai “Daya dan Geseran.” Seni Perusahaan, Mr Ng tak datang, kami relax di kelas sahaja. Kelas Petang. Sejarah, cikgu Shamsudin tak datang, cikgu Rahman ganti. Agama, test. Ilmu Alam, belajar mengenai Thai.

Main petang. Main sepak raga bulatan, diselangi berbual dengan Zailan yang beritahu aku adiknya - berusia empat tahun - telah tercekik daging. [Aku, ketika ini, merasakan ceritanya pelik kerana aku hanya pernah tercekik tulang ikan.]

Prep malam, study Sejarah. Belajar malam, juga Sejarah. Hujan sekejap, dan aku rasa mengantuk lalu pulang ke dorm. Sebelum aku tidur, Mat Ki berikan aku “sekokak” epal.

 

Rabu, 26 Mac

P.E. Belajar kaedah lari 100 meter dan 200 meter. Sains Paduan, buat ujikaji mengenai daya. Rehat. Ilmu Alam. Buat nota mengenai Thai. B.M. Periksa karangan dan tanda bacaan. Kelas Petang. Agama, test. English, Oral Test. Hisab Moden, aku dapat 81.5 peratus.

Main Petang. Aku yang tidak bijak main sepak takraw sekadar tengok pemain utama berentap.

Prep malam. At datang lalu duduk atas kerusi aku. Kerusi aku tiba-tiba patah!

Belajar malam sampai kira-kira 2:10 pagi. Mat Omar turut study bersama aku dan beberapa rakan lain di musala.

 

Khamis, 27 Mac

Ilmu Alam, test. Muzik, test. English, grammar test. Sejarah, juga test. Rehat. Waktu Agama, study Seni Perusahaan sedikit. Seni Lukis, cikgu marah kerana beliau dengar seseorang sebut perkataan yang diistilahkan tak baik.

[Perkataan yang tak baik itu mungkin carutan atau berbentuk makian. Aku, sepanjang belajar di SMSPP, sering mendengar beberapa patah perkataan tak baik disebut, malah kadang-kadang aku sendiri turut menyebutnya kerana aku dan kawan-kawan di kampung sering juga memaki dan mencarut seperti mana gaya percakapan segelintir penduduk Pulau Pinang. Oleh itu, secara peribadi, aku tak kisah dengan carutan dan makian jika ia disebut ketika berbual dalam kelompok tertentu, khususnya sesama rakan rapat. Tapi, aku tak bersetuju dengan pendapat bahawa perkataan carutan atau makian berkenaan adalah sesuatu yang lumrah bagi sesebuah masyarakat, negeri atau negara sehingga pihak berwajib tidak perlu ambil perhatian berat untuk mencegah amalannya.]

Kelas Petang. Ilmu Hisab. Dua orang rakan tak dapat masuk kelas kerana Pengetua tahan mereka kerana lewat ke sekolah sesi petang. B.M. Seorang rakan dikenakan second warning daripada cikgu Fadzil kerana main-main. Cikgu Fadzil bagitahu yang dia akan penampar jika buat kali ketiga.

Main petang. Aku main sepak raga bulatan sahaja. Ada perlawanan persahabatan pasukan hoki Under 18 dengan sebuah persatuan belia dari Sungei Petani, Kedah.

 

Jumaat, 28 Mac

Sarapan pagi. Ambil empat keping roti dan tiga biji telur rebus, letak dalam beg, bawa ke kelas. B.M. Kami buat kerja bertulis mengenai tajuk rencana, “Pemandu Teksi Yang Jujur.” P.E. Main bola sepak. Pelajar-pelajar dipecah-pecahkan kepada beberapa kumpulan. Kumpulan aku main di padang hoki. Ilmu Hisab, ulang belajar sistem perduaan. English, Comprehension Test. Rehat. Sains Paduan, ke makmal lalu buat ujikaji timbang benda-benda. Kami masih belajar bab mengenai “Daya.” Sejarah, berbahas mengenai tajuk, “Campur tangan British mempercepat kemerdekaan Malaysia.” Pencadang – Abdul Razak, Zailan dan Kamal, manakala pembangkang –Syukor, Anuar dan Aidy. Cikgu isytihar pembangkang menang.

Solat Jumaat lewat serakaat kerana wuduk batal lalu aku pergi ambil air sembahyang sekali lagi. Perjumpaan scouts, main sepak raga di bawah pokok. Tiada aktiviti. Main petang, main sepak raga bulatan lagi. Kami main tendang kuat ke arah kawan-kawan, dan aku tertendang bola ke muka seorang rakan tanpa disengajakan!

Selepas prep malam, pulang ke dorm terus tidur.


Sabtu, 29 Mac

Sarapan. Ambil beberapa keeping roti lalu bergegas ke kelas prep pagi. Ke dewan besar, dengar ceramah Pengetua Pusat Pemulihan Dadah BM. Pulang, basuh kain, makan tengahari ikan celup. Aku makan pisang banyak kerana kurang lalu makan nasi. Baca akhbar, baca berita mengenai perlawanan bola sepak pra-olimpik.

Ke kelas lalu baca buku di bilik Tingkatan 2 Hijau bersama Zaki dan Zailan. Tengok tempat perkhemahan scouts Form 5.

Malam, tonton ancangan TV, Senada. Antara artis undangan ialah Jefry Din, Bob Khalil  serta sebuah band, The Channels. Selepas itu, tonton perlawanan bola sepak pra-olimpik, Jepun lawan Indonesia.

 

Ahad, 30 Mac

Inspection, tugas aku ialah bersihkan bilik air. Penolong Kanan bersama cikgu Mazlan datang periksa, lalu pelajar-pelajar yang telah ditugaskan cuci tingkap disuruh lakukan sekali lagi kerana tingkap-tingkap tak bersih. Ke bilik rehat, baca akhbar. Makan tengahari. Ke bangunan sekolah, belajar bersama-sama Zailan di bilik 3 Merah. Pulang lalu tonton Marco dan Shanana. Malam ke prep seperti biasa, sambung study Ilmu Alam di musala selepas baca majalah, Dakwah.

 

Isnin, 31 Mac

Hisab Moden, cikgu Anuar tanya markah Seni Perusahaan dan subjek-subjek lain. Selepas itu, aku hantar buku pembetulan Ujian Kemajuan II kepada cikgu Anuar. B.M. Ulangkaji. Rehat. Sains Paduan, ke makmal lalu buat latihan membabitkan cara mencari berat dan jarak dengan menggunakan Hukum Daya. English, ke AVA Room dan dapat markah 58. Aku ambil sebuah buku cerita English lalu terus baca.

Waktu petang yang diperuntukkan bagi mesyuarat persatuan, aku ke sukan tara lumba lari 400 meter. Aku gagal atasi masa kelayakan. Pulang ke dorm rehat. Lepas itu, pergi ke padang semula untuk masuk lontar peluru. Aku tak lepas jarak yang ditetapkan.

Ke prep, pulang, aku terus tidur selepas solat Isyak.

[Aku catat di ruangan March Account bahawa aku dapat nombor 8 daripada seluruh 32 pelajar Tingkatan 3 Merah dalam Ujian Kemajuan II. Aku berjaya majukan diri aku. Berbanding Ujian Kemajuan I yang kurang bagus kerana aku gagal Muzik, kali ini aku lulus semua subjek: Seni Lukis – 75, Hisab Moden – 82, Seni Perusahaan – 82, English – 58, Sejarah – 68, Sains Paduan – 51, Muzik – 42, Agama Islam – 74, Geografi – 99, B.M. – 70.  Tiga subjek aku dapat A1, manakala dua subjek A2. OK-lah, kan?]

Comments