DIARI 1980
Januari
(nota: Diari 1980, milik aku, koyak kulitnya,
malah beberapa helai muka suratnya sudah tertanggal. Bagi mengelak ia “hilang”
begitu sahaja, aku berusaha taip isinya untuk dimasukkan ke dalam blog aku, khusus
untuk tatapan anak-anak aku, adik-beradik, saudara sepermainan dan rakan-rakan
setingkatan semasa aku belajar di Sekolah Menengah Sains Pulau Pinang. Moga
anda semua, juga sesiapa pun yang membaca taipan di bawah ini, dapat menjiwai
suasana 1980, selain dapat mengenali sikap dan sifat aku secara lebih dekat. Aku
juga akan menggunakan sebahagian fakta dalam Diari 1980 ini sewaktu menulis
novel atau cerpen. Begitupun, aku telah menokok, serta membuang fakta tertentu – seperti yang dilakukan seorang editor - yang
pada aku tidak “sesuai.” Aku akan masukkan isi Diari 1980 dari Januari hingga
Disember ke dalam blog aku, sedikit demi sedikit, dengan memulakannya dengan
memuatkan peristiwa-peristiwa yang berlaku sepanjang Januari 1980. Aku juga
akan masukkan foto-foto berkaitan setelah aku berjaya alih foto-foto berkenaan
dari telefon bimbit aku ke komputer peribadi aku ini nanti. Selamat membaca!)
Selasa, 1 Januari
Sarapan aku sekadar jagung rebus, bihun goreng
dan kopi O, aku nikmati sambil dengar dengungan suara yang keluar dari radio tua,
jenama Singer, yang diletak atas rak kecil dipaku pada dinding tepi tingkap
menghala ke arah kiblat. Jika aku berdiri di sisi tingkap ini, aku dapat lihat
dengan jelas, bendang padi kami, terbentang sehingga ke Bukit Belia. Tingkap
itu terpelahang kerana tiada daun-daun tingkapnya, sejak lama dulu. Pada waktu
malam, ruang terbuka tingkap ini ditutup dengan sehelai guni jalur. Entah
kenapa, ayah tiada niat untuk memasang tingkap di tempat beliau sering solat
jika beliau tidak ke masjid. Sedangkan, ayah aku sendirilah yang bersusah-payah
bina rumah aku ini setelah berpindah dari rumah lama di kaki Bukit Belia agar kediaman
kami lebih dekat dengan rumah penduduk-penduduk kampung lain. Pelik! Sebuah
tingkap di bahagian lebar rumah hala sebelah utara dan dua di sebelah memanjang
hala ke timur, ada daun-daun tingkapnya, siap dengan penyelak besi di bahagian
sebelah dalam.
Ah! Ada sebuah lagi tingkap yang terlopong yang
terletak sebelah selatan, berdekatan dapur kayu dan tempat mencuci pinggan
mangkuk. Aku selalu terjun ikut tingkap ini – jarak ke tanah tidak terlalu
tinggi - kerana ingin cepat ke bawah. Tadi, selepas Subuh, sewaktu mak memasak,
aku berdiang di tepi dapur kayu setinggi pinggang aku ini bagi menghilangkan
rasa sejuk badan. Sejuk amat walau tubuh aku berbungkus dengan kain pelikat,
kain pelikat yang turut aku guna sebagai selimut semasa aku tidur malam tadi.
Rumah aku sebenarnya ada sebuah pintu di
bahagian anjung menghala sungai, dengan daun-daun pintunya ada selak besi di
sebelah dalam, seperti daun-daun tingkap. Di bahagian dapur pula, ada sebuah
pintu yang berbentuk sliding door
yang dibuat dengan papan. Ia tiada kunci, dibuka luas pada waktu siang dan
hanya ditarik tutup selepas senja. Batang kayu yang dijadikan rangka pintu itu
kelihatan tersiat-siat kerana sering diragas kucing aku. Kata ayah, kucing itu hendak
tajamkan kuku-kukunya.
Berbanding lantai anjung yang dibuat dengan
papan tebal, sebahagian besar lantai bahagian dapur dibuat dengan belahan
batang pinang atau buluh. Ada para setinggi dada aku, di bahagian atas tingkap
terpelahang di dapur itu, yang dibuat khas untuk letak pinggan, gelas, periuk,
botol kaca, talam ayan dan lain-lain. Atap rumah aku dibuat dengan daun rembia
yang dianyam mak aku, diambil dari sebidang lagi tanah kebun kami yang terletak
di seberang sungai. Mak aku juga mahir menganyam tikar mengkuang, namun beliau
akan beli jika ada penjual datang ke rumah tawar tikar mengkuang. Mungkin mak
nak pelajari bentuk anyaman pihak lain!
Hari ini Selasa, dan radio pada pagi ini
mengumandangkan drama keluarga bersiri, Nombor 5 Pesiaran 1, diikuti rancangan
yang memutarkan lagu-lagu popular semasa, Salam Muhibah yang dikendalikan
bersama Radio Republik Indonesia (RRI) dan Radio Televisyen Malaysia (RTM). Juruhebahnya
Tahir Ramli dan Adibah Baharom. Kemudiannya, rancangan radio berubah kepada
Lagu Top Di Antara 1970 hingga 1979. Aku tidak berganjak dari tempat duduk aku,
aku tetap bersila atas tikar mengkuang sambil bersandar ke tepi papan dinding
dengan sebiji bantal. Sebuah rancangan drama muncul lagi, Drama Khas yang
membawa karya Nuri Angkasa berjodol Jalan Seribu Liku.
“Jom ikut mak ayah pegi bukit ambik pisang,”
tegur mak.
“Sat mak. Lagi tengah jam habis drama radio ni!”
Balas aku.
Cuti penggal ke-3 sekolah belum tamat. Aku
sekadar habiskan masa, mendengar radio menggunakan bateri sel itu. Tiada bekalan air paip
dan elektrik di kampung aku dan itulah sahaja hiburan pada waktu pagi selain aku
baca akhbar, majalah dan novel milik abang-abang aku, Ahmad Tarmizi dan Abdul
Rashid. Aku hanya pergi menonton televisyen – filem Melayu hitam putih - pada
malam Jumaat di rumah beberapa orang kampung yang memiliki televisyen. Tapi,
aku keluar main dengan kawan-kawan sekampung pada sebelah petang. Biasanya kami
bermain bola sepak, sekadar bola pelastik berbelang putih dan merah. Tiang gol
dibuat daripada batang buluh yang dicacak dalam belukar belakang rumah seorang
kawan, Zainal Bahari yang terletak di seberang sungai, sebelah timur rumah aku.
Pokok-pokok renek habis ranap kami kerjakan, sehingga kawasan itu menjadi
padang kecil, seluas kira-kira seperlima saiz sebenar padang bola sepak.
Sebahagian kecil kawasan di situ dijadikan
sebagai gelanggang badminton. Garisan gelanggang itu dibina dengan bilah-bilah
buluh yang dibelah kecil-kecil. Hebat! Tiada tapak kaki sesiapapun yang
tercedera walau ada di kalangan kami tidak berselipar!
Jika musim hujan lebat, air sungai akan naik,
dan di kala ini kami akan menebang pokok pisang untuk dibuat rakit. Rakit, berupa
batang-batang pisang yang disatukan dengan dicucuk dengan dahan-dahan kayu yang
ditajamkan ini, ditanggung ke sebelah atas sungai dekat gertak yang boleh
dilalui kenderaan berat termasuk lori balak. Kakitangan Jabatan Kerja Raya
(JKR) akan datang baiki gertak ini dengan menukar papan tebal atau skru yang
longgar sekiranya ada pihak tertentu buat aduan. Dari gertak ini, kami tauk rakit
ke dalam sungai, lalu kami terjun beramai-ramai lalu berpaut pada rakit ini.
Kami bergembira sewaktu dihanyut arus deras ke arah hilir sungai. Tiada masalah
jika pautan kami pada rakit terlepas kerana semua kami boleh berenang. Namun,
aku sekadar melihat kawan-kawan main gasing pangkah kerana aku tiada kemahiran
untuk memutarkannya dengan tali, begitu juga aku tidak bermain permainan yang
bentuknya seperti besbol yang kami sebut round
dash kerana aku tak mampu berlari pantas.
000
Aku bawa pulang dengan memuatkan empat tandan
pisang awak dan pisang kelat di bahagian pelantar basikal. Ia diikat dengan
pengikat yang dibuat daripada getah bahagian dalam tayar basikal yang telah
pecah, dibelah lalu dijadikan sebagai tali. Kami pergi ke Bukit Belia melalui
laluan jalan raya, kerana batas bendang amat kecil lalu tidak boleh dilalui
dengan basikal. Aku pulang dulu menaiki basikal, manakala mak dan ayah aku berjalan
kaki. Selain pisang, aku bawa pulang anak-anak pisang untuk ditanam keliling
rumah, jantung-jantung pisang yang boleh direbus lalu dicicah dengan sambal
belacan atau buat kerabu, dan sedikit bunga kantan yang dijadikan ramuan asam
pedas ikan.
Sesampai di rumah, Yunus tunjukkan tempat
itik-itik aku bertelur, dalam semak di bahagian bendangnya. Bendang Yunus
terletak di sebelah kiri bendang aku. Ada tujuh biji semuanya. Tak lama
kemudian mak cik Juriah datang untuk berubat dengan ayah, tapi ayah sudah ke
rumah Imam Ramli yang terletak di Kampung Seberang, jauh di sebelah jalan raya,
untuk mengubati seorang gadis yang kesurupan. Imam Ramli berasal dari Bayan
Lepas, Pulau Pinang dan gadis berkenaan adalah saudaranya yang berasal dari negeri berkenaan.
Malah, sebahagian besar penduduk Kampung Seberang berasal dari Pulau Pinang.
Beberapa kampung sekitar kampung aku turut menempatkan ramai penduduk berasal
dari Kedah. Begitu juga, ratusan keluarga berbangsa Banjar. Jawa ada beberapa keluarga,
namun malangnya, tidak seperti Banjar, mereka tidak bertutur dalam bahasa Jawa
lagi.
000
Selepas Maghrib dan makan malam, ayah berkata:
“Dulu sakit mata, sekarang sakit perut pulak.” Ayah ucapkan ini mengenai seekor
burung tekukurnya yang di gantung dalam sangkar dekat tingkap terpelahang di
bahagian anjung yang sudah ditudung dengan guni jalur pada waktu malam. Ayah
seorang yang suka memikat burung. Beliau sering ke sana ke sini memikat burung, kadang-kadang bersama ayah Yunus dan ada masanya dengan seorang anggota polis berpangkat sarjan yang bertugas
di sebuah penempatan kaum Cina di Sungei Rotan, terletak tidak jauh dari kampung
aku. Anggota polis berkenaan turut bernama Abdullah.
Pada malam ini, aku dengar radio, rancangan Pak
Din Pencen. Bas mini laluan dari Kampung Nakhoda, Batu Caves ke Petaling Jaya
dikritik dalam drama bersiri ini kerana mengenakan tambang berganda, apabila
penumpang-penumpang dari Kampung Nakhoda terpaksa bayar 40 sen lagi apabila
tiba di Chow Kit, jika mereka hendak meneruskan perjalanan ke Petaling Jaya.
Aku turut mencatatkan sebuah kata-kata hikmat –
tanpa nama penulisnya - pada bahagian bawah muka surat 1 Januari ini. Dan, aku
taip di sini seperti mana yang aku tulis dulu: “Walau sejahat mana-mana pun
manusia, di dalam hati kecilnya itu tentu terkandung keinginan ingin menjadi
baik.”
Rabu, 2 Januari
Minum kopi O cicah biskut empat segi gula. Tak
jadi mandi di sungai kerana airnya keruh disebabkan air lombong dilepaskan ke
dalam sungai. Aku mandi di telaga. Telaga ini telah dibina dengan bayaran
pampasan yang diberi pihak syarikat lombong bijih timah yang terletak
bersebelahan Kampung Seberang. Pampasan berkenaan diberi berikutan berlaku
banjir lumpur pada akhir 1970-an, penuh dengan kelodak lumpur dari lombong berkenaan
sehingga mematikan pokok padi, kelapa dan lain-lain tumbuhan. Aku sebenarnya
tak berapa suka mandi di telaga ini yang baunya kurang enak kerana terletak di
tepi bendang. Airnya pula keruh sehingga beberapa ketul tawas perlu
dilontar ke dalamnya bagi menjernihkan airnya. Ketika ini, air bagi minuman,
masakan dan basuh pinggan diangkut dengan timba ayan dari telaga abang sepupu
aku, Imam Abas yang terletak di kawasan utama penempatan penduduk kampung aku,
di kawasan yang lebih tinggi di seberang sungai, dapat dilihat dari depan pintu anjung rumah aku. Aku sering
menolong mak aku mengangkut air dari telaga berkenaan dengan timba ayan yang
berpemegang besi. Sakit betul jari-jari aku kerana agak berat, dan aku kadang
kala terpaksa berhenti sebentar di tengah jalan. Aku juga terpaksa meranduk
sungai jika airnya cetek, manakala seimbangkan badan sewaktu melintasi titi
batang kelapa jika air sungai terlalu dalam, melepasi paras pinggang.
Selepas mandi, aku ke kedai runcit Saari yang
terletak di tepi jalan raya, berdekatan masjid. Aku belek sebuah akhbar
berbahasa Melayu yang ada di situ. Aku baca berita menarik: “Polis NS Nafikan
Adanya Penyabit Kepala.” Pada era akhir 1970-an dan awal 1980-an, selalu
terdengar khabar-khabar ingin mengenai penyabit kepala budak-budak yang
kononnya akan dibenam ke bawah tiang jambatan yang sedang banyak dibina di
seluruh negara.
Pada sebelah petang, Mak Yon datang berbual-bual
dengan mak aku. Mak cik Selamah pula lintas depan rumah aku. Beliau sekadar
melaung dari jauh. Beliau hendak ke tanahnya untuk cabut ubikayu. Mak cik
Juriah datang lagi, dan hari ini ayah ada di rumah. Dia datang untuk dapatkan
air penawar. Air penawar ini ialah air sejuk yang dibacakan dengan ayat-ayat suci
al-Quran, kebiasaanya adalah bagi mengubati demam tidak serius. Ayah aku yang
berusia kira-kira 70 tahun ketika ini adalah bekas pelajar sebuah sekolah
pondok di Semanggol. Ayah belajar bersama-sama Ustaz Abu Bakar Baqir, tapi ayah
yang sedikit muda daripada tokoh politik Hizbul Muslimin yang popular pada awal
perjuangan mencapai kemerdekaan negara ini, berhenti menuntut di situ separuh
jalan lalu bekerja sebagai nelayan. Ayah aku fasih berbahasa Arab dan Banjar. Namun,
ayah tidak boleh bertutur bahasa Acheh walaupun ayahnya berasal dari wilayah di
negara seberang berkenaan. Ayah aku pernah dipelawa pihak majlis agama negeri
untuk mengajar kitab kuning kerana kemampuannya membaca kitab tulisan Arab tanpa
baris tapi ayah menolak mungkin kerana masalah tiada pengangkutan.
Sewaktu menjadi nelayan, ayah telah bertemu
jodoh dengan seorang gadis berdarah raja. Gadis berkenaan gering lalu ayah
ubati dan sembuh dengan kehendak Allah. Sebelum berubat ayah aku berikan syarat
yang beliau terpaksa berkahwin dengan gadis berkenaan kerana ayah aku - ketika
itu masih muda - belum pernah mengubati seseorang pesakit dan guru pengubatan
tradisional Islam-nya berkata ayah aku perlu kahwin dengan pesakit pertama yang
dirawatnya jika pesakit itu seorang perempuan. Kejadian ini berlaku sekitar
akhir 1920-an atau awal 1930-an. Ini
berasaskan kepada usia abang sulung seayah dengan aku – dia punya tiga orang
kakak sebelum dia dilahirkan – sudah berusia lebih 40 tahun pada 1980.
Emak aku yang merupakan anak angkat datuk aku pula
telah diserahkan kepada ayah aku untuk menjaga isteri pertama ayah aku itu yang
gering lalu mangkat sekitar akhir 1940-an atau awal 1950-an. Sebelum meninggal
dunia, Raja Mah Raja Faqeh berwasiat supaya ayah aku mengambil mak aku - ketika
itu mak aku masih berusia awal belasan tahun - sebagai isteri. Kakak sulung aku
berusia sekitar awal 20-an pada 1980 sedangkan umur mak aku ketika ini
kira-kira 45 tahun. Maknanya, mak aku telah melahirkan anak sulungnya sewaktu
berusia kira-kira 20 tahun atau paling awal 19 tahun, walaupun mak aku difahamkan
bernikah dengan ayah aku ketika beliau di bawah umur 16 tahun.
Malam, aku dengar radio rancangan Bila Kelopak
Berkembang yang mempersembahkan sebuah drama karya Maslina S, berjodol Pertemuan. Drama ini
mengisahkan masalah seorang pelajar perempuan Melayu di London yang ingin berkahwin.
Khamis, 3 Januari
Sarapan pagi, apum dengan kopi O. Kueh apum ini
mudah dibuat kerana ia menggunakan bahan-bahan seperti tepung gandum, gula
merah dan yis. Setelah dimasak menggunakan kaedah kukus, kelapa parut bercampur
sedikit garam disalut pada kepingan apum yang dikerat menjadi segiempat herot.
Biasanya, apum dikukus dalam bekas ayan bulat yang diletak atas lekar lidi kelapa, yang diletak pula dalam kuali berisi air, lalu ditutup dengan tudung ayan.
Hari ini, aku mandi di sungai kerana airnya agak
jernih. Sekembali ke rumah, aku dengar radio rancangan Nombor 5 Pesiaran 1 yang
mengisahkan Amir dibelasah kerana cuba menolong seorang budak cacat yang dibuli
oleh sekumpulan budak nakal. Aku kemudiannya ke kedai runcit Saari lalu baca
akhbar. Ada satu berita sedih mengenai sebuah keluarga papa yang amat
memerlukan bantuan.
Selepas makan tengahari, aku dan ayah aku
baring-baring di tepi pintu anjung. Tak lama kemudian, ayah suruh aku pijak
badannya. Ayah aku seorang yang agak garang. Anak-anaknya yang lain jarang duduk dekat dengan ayah aku,
melainkan aku. Aku, malah sering disuruh cabut uban yang memutih di seluruh
kepalanya. Aku biasanya menyapu abu dapur pada jari–jari kedua-dua tangan aku
supaya semuanya kesat bagi memudahkan aku menarik uban satu-satu. Aku
kadang-kala menggunakan dua butir padi yang diletak dicelah ibu jari dan
telunjuk kanan ketika menarik uban yang pendek. Ayah akan beri aku sekupang dua
setelah aku cabut berpuluh-puluh ubannya. Malah, sekali-sekala aku memicit
hidung ayah sehingga keluar semacam nanah, manakala aku juga selalu sikat rambut
dan tonyoh kulit kepala ayah yang banyak kelemumur.
Petang. Aku ke sungai lagi untuk mandi, dan
airnya kelihatan cetek. Aku korek pasir di bahagian tepi sungai yang agak
terlindung dengan rumput jawa lari. Lubang akan
dimasuki pasir sungai kembali akibat dilanda aliran arus air jika aku
korek di tengah sungai. Kemudian aku duduk dalam kubang dan menyelam agar aku puas
mandi.
Kak Linda dan kak Yunus, Minah datang hantar
semula bekas bunga telur tembaga yang digunakan semasa kenduri kahwin kak
Linda. Di kampung, sikap suka meminjam barang seperti peralatan dapur dan alat
berkebun seperti periuk, belanga, cangkul, tajak dan parang adalah suatu
kebiasaan. Ayah aku kadang-kadang merungut apabila seseorang meminjam peralatan
berkebunnya sehingga berbulan-bulan tidak dipulangkan kerana tabiat ini
menyusahkan ayah aku yang turut perlukan peralatan berkenaan. Ayah bertambah
marah apabila peralatan seperti tajak yang dihantar kembali tidak diasah, malah
adakalanya sampai sompek matanya dikerjakan individu yang tak bertanggungjawab.
Bebelan ayah berhenti di situ sahaja kerana kebanyakan pemuda atau pemudi di
kampung memanggil ayah aku sebagai “ayah” - bukannya Pak Long disebabkan ayah
adalah anak sulung - kerana itu cara mereka menghormati ayah. Anak-anak saudara
ayah aku memanggil ayah aku dengan panggilan Wa, manakala cucu-cicitnya pula
dengan gelaran Tok Wa.
Jumaat, 4 Januari
Mak masak apum lagi. Aku makan kuih ini bersama
teh O. Mandi di sungai dan lutut aku berasa pedih kerana malam tadi aku garu
sebelum tidur.
Lewat pagi, mak buat kuih buahulu untuk aku bawa
pulang ke asrama: 18 biji telur itik, lima biji telur ayam kampung. Aku tolong
mak pukul adunan di tepi pintu anjung sewaktu matahari terbit. Berhenti, pukul
kembali, berhenti dan pukul kembali sehingga hampir tengahari. Kuih yang sering dimasak sewaktu menyambut Raya Puasa atau Raya Haji ini dimasak secara tradisional. Pasir sungai diletak dalam periuk lama. Ia dipanaskan di atas dapur kayu. Selain kayu api kayu getah, sabut dan tempurung kelapa diguna juga sebagai bahan bakar. Adunan kuih yang dimasuk ke dalam loyang acuannya diletak atas permukaan pasir lalu ditutup dengan kepingan zink. Bara diletak pula diatas kepingan itu. Kaedah memasak cara ini sudah jarang dilakukan sejak kemunculan oven elektrik.
Aku ke kedai Saari untuk baca akhbar secara
percuma. Di kedai runcit ini ada disediakan satu kotak untuk diletakkan surat
kerana tiada khidmat posmen untuk hantar terus surat ke rumah penduduk kampung.
Akhbar berbahasa Melayu yang ada dijual di pekan Batu Hampar serta surat-surat
dihantar melalui bas henti-henti, Blue Omnibus yang berulang-alik,
Taiping-Beruas. Dan, ada sepucuk surat untuk ayah aku. Abang G – Ahmad Tarmizi
- menulis dari Felda Ijok, beritahu yang dia tak jadi pergi melancong ke Padang
Besar. Abang G berada di Felda Ijok kerana menolong kakak sebapa aku, Rokiah serta suaminya, Abang Usop - lebih dikenali di sana dengan nama Hussien - menoreh
getah berikutan ramai anak kakak aku itu masih kecil. Abang Cid – Abdul Rashid
– dan kak Misah – Hamisah @ Hanisah – berniaga kedai makan di premis berasingan
di Jalan Haji Hussien, dekat Pasar Chow Kit, Kuala Lumpur. Sepucuk surat lagi
daripada abang sebapa aku, abang Mie – nama sebenarnya Mohd Hussien – berisi
tiga keping gambar: gambar isterinya, kak Mah dan anak-anak semasa ke bandar
Kelang; gambar aku sedang mandi sungai di kampung bersama-sama anak-anaknya: Noraini,
Nazriah dan Mohd Kamal; serta gambar aku berkepala botak sedang menangguk ikan
di sungai yang sama.
Hari ini ayah tidak pergi ke masjid kerana
demam, lalu aku pergi sendirian. Khatib dan imam solat Jumaat ialah Ustaz
Sulaiman.
Isteri Nordin Tok Abas dan beberapa orang
anaknya, dari Kampung Seberang datang ke rumah aku. Emak jamu mereka kuih
buahulu.
Aku berjalan kaki ke masjid untuk solat Maghrib. Sewaktu pulang ke rumah, aku bertembung dengan Mat Nor anak Nordin Tok Abas yang datang semula
untuk beri beberapa ekor ikan sungai kepada mak. Mak aku tak makan ikan sungai
kerana hanyir, oleh itu pasti beliau akan goreng kunyit sahaja untuk hidangan
ayah dan aku. Aku bergegas ke rumah Sahar – bapa kepada kawan sedarjah aku di
sekolah rendah, Suraya – untuk menonton televisyen. Malam ini, sebuah filem
sedih Indonesia berjodol Sebatang Kara yang dibintangi Ratno Timor ditayangkan di kaca televisyen. Keluarga
Suraya berasal dari Pulau Pinang. Mak Suraya yang bersuara nyaring adalah rakan
kepada pelakon filem Do Re Mi, Wan Cik Daud sewaktu mereka bertugas sebagai
jururawat. Mak Suraya fasih bertutur Bahasa Inggeris dan beliau sering
menterjemah dialog filem atau drama bersiri Amerika Syarikat yang ditayangkan
di kaca televisyen bagi memudahkan kami faham jalan ceritanya. Suraya yang bertubuh
tinggi, rambut kerinting, dan kulit putih seperti semua abang, adik lelaki dan adik perempuannya
itu menyambung pelajaran ke Sekolah Raja Perempuan Taayah,
Ipoh.
Aku diberitahu seseorang semasa aku berada di
rumah Suraya bahawa malam ini ada tayangan filem, Si Badul di padang Sekolah
Kebangsaan Padang Gajah. Penonton dikenakan bayaran: kanak-kanak 50 sen
manakala dewasa seringgit. Aku tidak minat pergi kerana aku terpaksa bayar juga
tambang bas sekolah untuk ke sana walaupun pemilik bas itu adalah adik sebapa
ayah aku, Pak Lang Jak. Lagipun, aku sekadar kena bayar 10 sen jika menonton
televisyen di rumah Suraya. Ia dikutip untuk beli minyak generator.
Ayah kepada ayah aku, Tuan Guru Abdul Rahman
Abdul Wahid dikatakan punya tujuh isteri semasa hidupnya. Beliau belajar di
Makkah semasa zaman Bani Saud baru sahaja hendak mengambil alih pemerintahan
negara Tanah Suci Islam itu, sekitar 1920-an. Beliau digelar Tuan kerana beliau
pernah menjadi pengurus ladang di zaman penjajah British sehingga ramai buruh
dari Sri Lanka memanggilnya Sir. Oleh
itu, kata ayah, gelaran Tuan itu ditukar menjadi Tuan Guru setelah datuk
kembali ke tanah air lalu mengajar di banyak masjid berdekatan. Datuk tinggal
di Sungai Tuntung, dekat Pantai Remis. Ada sebuah surau di situ tempat datuk
sering beribadat selain mengajar agama. Di surau berkenaan ada kolah dan sebuah
telaga yang jernih serta sejuk airnya, dan aku gemar amat mandi di situ jika
aku mengunjungi datuk bersama ayah atau mak aku. Berdekatan surau itu terletak rumah adik sebapa dan seibu ayah bernama Pak Cu Ali manakala di seberang jalan
bertentangan dengan surau itu terletak pula rumah, juga adik sebapa dan seibu ayah, Pak
Lang Hashim. Mak aku - aku juga - lebih suka bermalam di rumah Pak Cu Ali jika
ke Sungai Tuntung, berbanding tidur di rumah datuk aku atau Pak Lang Hashim.
Sabtu, 5 Januari
Hari ini sarapan pagi pisang goreng. Mak dan
ayah aku tak pergi menoreh. Kami ada sebidang tanah lagi yang dipenuhi pokok
getah – milik mak – dekat Kampung Batu Hampar Dalam. Oleh kerana jaraknya jauh
sekitar 5 kilometer, mak dan ayah aku pergi menoreh dengan menaiki basikal. Oleh
kerana tak keluar menoreh, mak menarah rumput di halaman rumah dengan cangkul.
Mak Lang Syamsiyah datang bercerita mengenai
khabar angin bahawa penyabit kepala telah ditangkap orang kampung lalu dihantar
ke Taiping. Bodoh betul, kata ayah. “Orang pukul la.” Mak Lang Syamsiyah
berkata, dua lelaki kena tangkap, manakala dua lelaki lagi berjaya melarikan
diri menerusi hutan dekat Kampung Batu 25.
Aku ke kedai runcit Saari dan mendengar versi
lain mengenai penjenayah yang diperkatakan Mak Lang Syamsiyah. Mereka yang
berada di kedai runcit berkata dua orang “Keling Cangkuk” kena tumbuk dengan
beberapa penduduk kampung dan diserah kepada polis kerana ada dadah dalam
kereta mereka. Aku pulang lalu belah kayu api sampai berpeluh-peluh.
Sebelah petang, ayah dan aku pergi ke rumah
rakan ayah, Pak Mat Tongkol. Di rumahnya ada sebuah televisyen kecil yang
mempunyai pelastik berjalur warna di muka kacanya bagi mencantikkan gambar hitam
putih. Televisyen kecil itu menggunakan kuasa bateri kereta. Kami menonton
final bolasepak Piala Mas Raja-raja: Johor 2 Kelantan 1. Isteri Pak Mat Tongkol
hidangkan teh O.
Ahad, 6 Januari
Mandi di sungai. Baguk dan seorang anak saudara
Yunus mengail ikan sambil berdiri dalam sungai. Aku kemas pakaian lalu ayah aku
teman aku ke Taiping. Ismail Dahlin dari Kampung Batu Hampar Dalam – dia
pelajar Tingkatan 2 di SMSPP - turut ada dalam bas bersama ayahnya. Aku dan
ayah berjalan kaki ke stesen keretapi. Sebelum itu, ayah beli akhbar Berita
Minggu lalu kami minum teh di sebuah gerai dekat Bangunan Seri Larut. Di tepi
bangunan itu, kelihatan seorang lelaki jual besi kuning yang didakwa jika
dipakai boleh menjadikan seseorang kebal.
Tunggu keretapi lama betul. Berdasarkan jam
dinding di stesen, aku naik keretapi 3:16 petang. Ada ramai pelajar MRSM Kulim
serta rekrut askar dalam keretapi. Tiba Bukit Mertajam, aku naik bas sekolah
SMSPP yang tersedia depan stesen untuk ke asrama. Aku ditempatkan di tingkat 3,
Dorm L Blok A, tepi bilik air. Aku dapat katil atas, di tepi tingkap, dan dekat
pintu menghala ke bilik air. Locker
nombor 1.
Waktu makan malam, ada seorang pelajar lelaki
Tingkatan 1 ke dewan makan pakai baju tidur! Sepatutnya, pelajar lelaki pakai kain pelikat, baju Melayu dan bersongkok hitam. Pelajar bukan Islam pula hanya memakai kain pelikat, baju Melayu, tanpa diwajibkan memakai songkok. Semua pelajar perempuan memakai baju kurung. Ramai pelajar perempuan Islam sekadar memakai selendang, manakala pelajar bukan Islam free hair. Pemakaian tudung litup belum popular lagi di zaman awal 1980-an. Ke kelas prep malam. Bersembang-sembang
sahaja! Aku duduk di tepi tingkap sebelah koridor, di belakang sekali, di
sebelah Amirudin. Aku kutip beberapa buku teks yang ditinggalkan dalam kelas
oleh pelajar terdahulu, mungkin boleh aku guna nanti. Pulang asrama pukul 9
malam. Beberapa orang kawan dalam dorm bagi ration,
dan aku bagi mereka pisang goreng yang aku bawa dari kampung! Aku pasang
kelambu dalam keadaan aku berasa panas dan dahaga. Kawan-kawan se-dorm riuh
bersembang.
Isnin, 7 Januari
Bangun awal. Solat Subuh berjemaah di musolla.
Ke perhimpunan. Ramai kena tindakan disiplin kerana berambut panjang. Beli buku
tulis di kedai koperasi. Harganya RM6.70. Seorang ustaz masuk kelas – cikgu baru - beri
ceramah mengenai Islam. Tengahari, makan nasi berlauk ayam.
Waktu petang, aku main hoki. Cikgu Mazlan suruh
pelajar-pelajar Matrik dan Tingkatan 4 yang duduk berbual-bual supaya main
sesuatu.
Pulang kelas prep malam, aku kemas locker, Abdul Razak datang dan baca buku
kartun Lat. Walaupun aku tidak punya duit yang banyak sepanjang tempoh aku
tinggal di asrama, aku sanggup ikat perut untuk dapatkan buku-buku seperti
kartun Lat, majalah, dan kaset lagu yang aku minat. Aku sukar amat untuk makan
di restoran ketika outing melainkan
bersama rakan rapat seperti Ahmad Omar. Kantin sekolah pun sama. Aku hanya
pernah makan di situ sekali dua sepanjang lima tahun aku tinggal di asrama
SMSPP! Itupun bersama Ahmad Omar. Kami suka makan kerang yang
dimasak seperti rendang bersama nasi putih dan orange squash. Aidy Hafizi pula
pernah belanja aku makan kuih waktu rehat pada hari pertama aku masuk kelas
Tingkatan 1 dulu! Aku sebenarnya setiap hari hanya bergantung kepada makanan di
dewan makan meskipun tidak sedap! Aku pernah tulis surat kepada ayah, minta
duit belanja. Ayah balas dengan meletakkan sekeping duit RM5 dalam sampul
surat! Sejak itu, aku sukar amat untuk minta duit daripada ayah, sebaliknya aku
himpun duit upah yang diberi Abang Osman atau Abang Umar sewaktu aku tolong
mereka berniaga di gerai makan mereka dekat Pasar Chow Kit, Kuala Lumpur pada
setiap cuti penggal.
Menu makan malam hari ini ialah “ikan celup.”
Ikan kembung yang sekadar direbus tanpa rasa!
Selasa, 8 Januari
Tuan Pengetua, Mohd Arif datang periksa kelas
aku, Tingkatan 3 Merah, semua pelajar lelaki. Beliau marah seawal pagi ini kerana
bilik kotor. Beliau juga marah kerana kami bising. “Nak suruh saya datang lagi
ka?” Aku kemudiannya tolong guru kelas aku, cikgu Anuar ambil diari, feather duster, kapur tulis dan
lain-lain dari Staff Room. Cikgu
Anuar bagitahu yuran penggal pertama ialah RM89.35, termasuk yuran makan
RM57.60 dan harga diari kecil 50 sen. Setelah tolak biasiswa RM75, aku kena
bayar RM14.35.
Lepas mandi tengahari, ke kelas petang 2 PM - 4
PM. Mr. Lee, guru Bahasa Inggeris, kecewa kerana kerja lebih, tapi gaji kurang.
Rasanya, sekolah kami adalah satu-satunya sekolah yang cikgu mengajar pada sesi
pagi dan pada sesi petang, kecuali Isnin dan Jumaat. Namun, cikgu perlu hadir juga kendalikan persatuan seperti catur, sukan dan bahasa pada petang Isnin, manakala persatuan beruniform seperti silat dan scouts pada petang Jumaat. Sekolah asrama lain, biasanya hari-hari guru mengajar pada waktu pagi
sehingga tengahari dan hanya kelas prep pada waktu petang. Mr. Lee kata dia cadang
hendak tukar ke Sekolah Sains Kuala Pilah.
Selepas Asar, pergi main bola tampar.
Aku buat catatan Sejarah semasa kelas prep
malam. Ketua penuntut – nama khusus bagi setiap pengawas di sekolah aku – Reza Alias marah kerana kelas kami bising.
“Jangan fikir awak Form Three 'dah
besar,” dia kata.
Sebelum tidur, aku menyelinap ke katil bawah
Juraimi yang terletak di tepi tingkap sebelah dalam. Dia bagi aku kacang goreng
semasa kami dengar rancangan ulangan, Bintang RTM 1979 Final. Solo dimenangi
Jamal Abdillah dari Teluk Anson, manakala kumpulan dijuarai D’Fiza dari Pulau
Pinang.
Rabu, 9 Januari
Sarapan pagi roti. Aku tak lalu makan. Roti dimakan
bersama telur rebus. Ke kelas. Dapat buku teks bantuan kerajaan tetapi buruk
sangat! Sains Paduan, dapat buku latihan harga RM2.00. Hari ini mula belajar
dan perkara yang dipelajari membabitkan tenaga elektrik. Zailan kena marah
kerana tarik kerusi sehingga Anas terjatuh ke lantai. Tak jadi tengok
televisyen pada waktu Sains Paduan kerana palam elektrik rosak.
Waktu main petang, sekadar duduk atas dahan
pokok, bersembang dengan Abdul Rahman, Zailan, Man Mail, Awi dan lain-lain. Pelajar
Yayasan Sabah baru tiba ke asrama untuk mula belajar pada penggal pertama. Antaranya
Awang dan Nan.
Malam, makan nasi lauk cuka. Aku tak makan
banyak kerana segan ambil nasi tambah.
Malam ini, Zahi didakwa cikgu Mazlan: 1. Dia
gagal siasat individu-individu yang ambil kembali baju yang telah dirampas
warden. 2. Dia masuk ke kelas 3 Merah pada waktu prep tanpa kebenaran.
Khamis, 10 Januari
Penolong Kanan, Cikgu Mat Nor, masuk ajar Sivik.
Beliau suruh lukis peta Malaysia, tulis nama sultan dan menteri besar, kenali
bendera-bendera negeri serta senaraikan nama-nama anggota Kabinet. Dapat cikgu
baru bagi subjek Lukisan. Baik sangat cikgu perempuan ini. Cikgu Bahasa
Malaysia pula ialah Jiwariah Hassan, berasal dari Pulau Pinang.
Petang lepas minum teh, aku main sepak raga
bulatan dengan beberapa orang Form Two.
Makan malam menu ayam. Lampu dewan makan serta
dorm terpadam sewaktu makan menyebabkan suasana hingar-bingar. Pelajar-pelajar
lelaki bersorak. Kelihatan cahaya lampu picit di hala ke merata-rata arah. Tak
lama kemudian lampu kembali menyala.
Jumaat, 11 Januari
Sarapan pagi, dan aku masih tak lalu makan. Aku
makan sekeping roti sahaja. Ilmu Hisab, belajar takesamaan dan angkubah serta
buat geraf berasas kepada y = mx + c. P.E. kena marah dengan ckgu Radin kerana
turun lambat. Kami belajar main kriket. Sains Paduan, buat ujian elektrik. Ilmu
Alam, cikgu Hussain mula mengajar dan beliau suruh lukis peta Asia. English,
cikgu Mat Nor Ibrahim ganti Mr. Lee.
Solat Jumaat aku pinjam samping Zailan kerana
samping aku hilang.
Main petang. Aku main sepak raga bersama
kawan-kawan, tapi kami menggunakan bola bola sepak. Habis waktu main, aku
berlari untuk mandi di paip I.A. Lab kerana air di asrama sudah tiada. Aku
terlanggar seorang pelajar perempuan yang berada di laluan ke sana, tapi aku
tak lihat muka dia, sebaliknya aku terus berlari untuk segera mandi.
Malam, aku mimpi, aku menangguk ikan dari atas
rumah aku yang dilanda banjir. Ikan yang aku dapat sudah siap disiang!
Sabtu, 12 Januari
Bangun lewat, terlepas waktu Subuh. Pergi
sarapan roti hampir jam 7:30 AM. Pelajar-pelajar berkumpul di gelanggang sepak
takraw. Aku mendaftar masuk Persatuan Bahasa dan Budaya Malaysia. Hari ini aku
tak outing. Aku basuh kasut. Semasa
makan tengahari, aku ambil pisang beberapa biji. Hari ini aku sekadar relax di dorm.
Malam, aku ke bilik televisyen, tonton Bintang
RTM Final, diikuti Little House on Prairie dan konsert Olivia Newton John. Kemudian,
aku belajar di study room sampai 12
malam.
Ahad, 13 Januari
Inspection
pagi.
Ketua-ketua penuntut baru mula menjalankan tugas. Aziz, Zainol dan lain-lain.
Cikgu Zaki datang periksa dorm. Beliau marah kerana, katanya, aku tersengih.
“Sulaiman, kenapa tersengih? Cabut gigi baru tahu.” Cikgu Zaki sengaja buat
lawak kerana gigi aku di bahagian depan atas sudah terlopong! Lepas inspection, study satu bab Ilmu Hisab.
Kemudian main “golf” dengan beberapa orang kawan dengan memukul bola ke celah
sepasang kasut.
Aku ke bilik rehat Blok B dan aku ambil bahagian
kartun dalam akhbar untuk aku simpan. Aku tertarik sangat dengan kartun itu.
Kemudiannya, aku tonton televisyen, rancangan muzikal, Shanana.
Ke prep malam. Aku tulis nama-nama menteri dalam
buku Sivik. Pulang, sambung belajar sehingga 12 tengah malam. Waktu nak tidur,
lena lambat kerana telinga aku sensitif dengan suara beberapa rakan yang
bergebang dalam gelap.
Isnin, 14 Januari
Perhimpunan. Abdul Rahman Arsyad dan Sapawi dari
Tingkatan Lima kena berdiri atas pentas kerana mereka didapati duduk ketika
Pengetua berucap. I.A. ketam kayu untuk buat penyidai tuala. Ilmu Hisab,
belajar selesaikan persamaan. Tengahari makan ayam lalu pergi prep tengahari.
Petang, aku main bolasepak. Tapi, cikgu Zaki
panggil dan suruh ambil kayu hoki dan semua ahli pasukan hoki kena marah kerana
kami tak turun berlatih. Kemudiannya, pasukan kami diarah lawan Under 18. Kami
kalah 3-1. Aku tak main kerana aku pemain simpanan.
Prep malam, aku balut buku teks Agama dan B.M.
dengan kertas akhbar bahagian iklan. Kemudiannya, aku tulis diari ini sebelum
baca buku Sains Paduan.
Selasa, 15 Januari
P.E. main sofbol. B.M. belajar nama betul dan
nama terbitan. Sains Paduan, cikgu marah kerana lambat tiba ke makmal. Agama,
salin ayat al-Quran. Hisab, cikgu tunjukkan cara mematikan persamaan.
Selepas makan tengahari, aku sakit perut teramat
sangat – asyik ke tandas - sehingga tak solat Zuhur ikut waktu dan lambat pergi
ke kelas petang. Kelas Muzik, cikgu Barbara suruh buat latihan dengan menulis
di papan hitam. English, jawab soalan berasaskan karangan mengenai “main
gasing.”
Petang, latihan hoki. Di akhir latihan, diarah
lawan Under 18 lagi, dan kali ini juga tak kalah banyak gol sangat. Cikgu Zaki
suruh aku gantikan Zambri pada posisi sayap kiri.
Prep malam, tulis surat kepada ayah, minta duit
tambahan untuk langsaikan yuran penggal pertama setelah selesaikan kerja
sekolah.
Pulang ke asrama. Reza tampar dada aku kerana
aku tak masuk dorm selepas jam 10:30 malam. Aku bagitahu kepada Mat Ki tindakan
dia itu, dia datang semula lalu kata: “Awak jangan cakap banyak.”
Hari ini aku dapati, buku rampaian Sivik aku
hilang. Hairan! Abdul Rahim juga hilang bukunya.
Rabu, 16 Januari
Post surat kepada ayah.
Pagi. Ilmu Alam belajar mengenai Asia
membabitkan Tanah Tinggi Pusaran Pamir. Sains Paduan, tulis nota mengenai litar
elektrik. B.M., buat karangan bertajuk, Azam Anda Pada Tahun 1980. Rehat. Ilmu
Hisab, belajar mematikan persamaan yang mempunyai pecahan. Sejarah, belum
mulakan pelajaran dengan buku teks. Kelas petang. Agama, belajar erti ayat
al-Quran. Seni Perusahaan, cikgu tunjukkan mesin gergaji bulat. Cikgu bubuh gam
pada papan dan pakukan pula kepada meja kerja.
Petang, main hoki. Ricky dan pelajar-pelajar
Yayasan Sarawak lain tiba. Aku tidur katil atas, maka Ricky di katil bawah.
Khamis, 17 Januari
Harijadi aku yang ke-15 tahun. Aku sebenarnya
tak gemar dengan majlis sambutan harijadi. Kehidupan sebenar manusia adalah di
alam akhirat yang panjang sangatlah tempoh kehidupannya, sedangkan kehidupan di
dunia ini sementara dan tersangatlah singkat nyawa seseorang!
Sivik, baru mula baca buku. Agama, belajar ayat
al-Quran juga. Sejarah, kena buat nota mengenai Tanah Melayu disekutukan pada
1948. Rehat. Ilmu Alam, belajar iklim Asia membabitkan tekanan tinggi dan
rendah. Seni Lukis, lukis pokok getah dengan pensil dan dapat markah 7/10.
Cikgu perempuan yang baik sangat ni puji aku!
Makan tengahari. Sains Paduan, belajar kiraan
Joule. B.M. belajar 5 jenis gantinama: diri, penunjuk, pertanyaan, sendi dan
umum. Ilmu Hisab, cikgu buat soalan sukar tapi aku berjaya menjawabnya. Cikgu
Anuar mengeluh, dia kata, dia pun mengantuk ketika mengajar kami.
Malam, cikgu Shamsudin dan cikgu Mat Nor marah
kerana aku dan Kamal lambat ke prep malam. Kerana lewat, aku juga tak pergi ke
dewan besar untuk ibadat malam Jumaat. Cikgu Shamsudin dan cikgu Mat Nor
– mereka berdua masih muda - kemudiannya datang meronda ke kelas aku, lalu mereka
buat lawak sedikit-sebanyak. Kelas aku semua pelajar lelaki, jadi tiada
halangan sangat untuk berjenaka dengan cikgu-cikgu lelaki.
Jumaat, 18 Januari
Sains Paduan, belajar mengira tenaga elektrik
yang digunakan oleh mentol 5 watt, 24 watt dan 36 watt. Rehat. Aku ambil
makanan dua kali. Perbuatan ini salah tapi aku lapar! Ilmu Alam, masih belajar
iklim Asia. English, belajar letter writing. Aku tulis surat kepada ayah - olok-olok in English - minta duit kerana
aku perlu bayar yuran.
Solat Jumaat di dewan besar, aku pinjam
samping Man Mail. Khatib dan imam ialah cikgu baru, Ustaz Muhammad. Selepas
solat, pergi perjumpaan scouts. Aku
baru masuk bersama Zaini, Mi, Fauzi Napiah dan beberapa rakan lain. Aku diletak
dalam Patrol Buaya. Sebelum ini, aku menjadi ahli Seni Silat Gayung. Aku guna
pakaian seragam ayah yang agak besar dan usang sewaktu berlatih di padang sekolah aku
kerana ayah aku adalah bekas ahli Seni Silat Gayung.
Sewaktu aktif bersilat beberapa tahun lalu, ayah
aku pernah ikut beberapa pesilat dari kampung aku dan sekitarnya ke Istana Perak
untuk buat persembahan. Pada hari itu juga, ayah dilantik sebagai penjaga
gelanggang. Dua pesilat “lelaki” dari Singapura turut buat persembahan depan
Sultan Idris. Bagaimanapun, tengkolok salah seorang daripada mereka tercabut setelah
terkena pukulan lawannya lalu jatuh berjurai rambutnya yang panjang. Perempuan
rupanya! Dek kerana marah, pesilat perempuan itu menyerang dengan keris
bertalu-talu sehingga terpelanting pasu bunga, dan Sultan Idris sangat gembira
melihat pertarungan itu. Ayah dapat menghidu sesuatu yang tak kena lalu ayah
aku melompat ke arah dua pesilat itu lalu mengunci pergerakan pesilat perempuan
itu dari arah belakang sebelum merampas kerisnya. Pesilat lelaki yang seorang
lagi itu hanya bersenjatakan rantai, kata ayah aku. Bagaimanapun, aku berhenti
belajar Silat Gayung kerana aku dapati aku tidak berjaya meningkatkan mutu persilatan
aku. Malah, seorang jurulatih lelaki yang kononnya hendak lompat dari atas
tanah ke tingkat 1 bangunan sekolah – aku sudah jangka dia sengaja cakap besar
– sampai ke sudah tidak dilakukannya pun.
Petang, main hoki, dan aku lihat Pengetua dan
Penolong Kanan berbual-bual di tepi padang rumput.
Sabtu, 19 Januari
Kalut kerana lewat ke dewan makan untuk sarapan.
Pengetua lawat kelas aku semasa prep pagi.
Pelajar-pelajar Form 1 dari Sekolah Sains Kedah
datang untuk mengadakan pertandingan persahabatan bola sepak, bola jaring,
sepak takraw dan badminton. SMSPP kalah 2-1 dalam acara bola sepak. Aku turut
bersorak dan bernyanyi bersama-sama penyokong pasukan sekolah aku.
Petang, aku ke bilik rehat, tonton televisyen
rancangan magic dan Star Soccer,
kemudiannya aku basuh kasut. Cikgu Mazlan datang periksa untuk menangkap
sesiapa yang hisap rokok. Abang Mail Dollah, bekas pelajar Matrik 1978, datang
melawat asrama.
Malam, aku tonton televisyen lagi. Aku tiada
hiburan lain selain menonton televisyen, dan malam ini, Little House on Prairie
mengisahkan Andy meniru semasa belajar di sekolah kerana terikut-ikut perangai
Nellie. Selepas itu, rancangan Frank Sinatra & Friends – John Denver, Real
Martin dan lain-lain. Ini diikuti rancangan Giants of Brazil yang mempamerkan
jaringan-jaringan gol cantik yang dilakukan Pele. Tak tengok sampai habis
rancangan bola sepak ini kerana ketua penuntut, Zamani suruh tutup televisyen.
Ahad, 20 Januari
Ketua penuntut, Aziz Wok marah aku dan Ricky
kerana kami nak guna pintu keluar sewaktu masuk dewan makan untuk sarapan pagi.
Dia juga suruh kami makan di meja tengah. Ricky terpaksa makan di hujung meja
kerana tiada tempat duduk lain di situ.
Inspection, aku tolong Yaakub lap
tingkap. Cikgu Azraie dan cikgu Mazlan datang periksa. Beg-beg turut kena
periksa. Hari ini, aku outing dan
beli poster colour, loytape, buku scouts dan berus lukisan. Gagal beli sketch book kerana tidak ada di Pasaraya BM. Aku minum ais kacang
sebelum pulang asrama. Aku tak sempat makan tengahari di dewan makan.
Minum petang, tiga potong roti bersekaya. Tonton
Shanana dan lain-lain.
Prep malam, balut buku Ilmu Alam. Balik ke
asrama, dan semasa aku hendak tidur, Ahmad Omar, datang ke tepi koridor dekat
katil aku lalu dia hulur tiga keping roti melalui celah tingkap kaca. Aku tulis
roti dalam diari ini yang mungkin bermaksud biskut. Bagaimanapun, aku tulis
diakhir muka surat 20 Januari dengan ungkapan, “Alhamdulillah.”
Isnin, 21 Januari
Bangun lewat! Loceng sudah berbunyi. Air di
bilik air asrama tiada, aku pergi mandi di I.A. Lab. Perhimpunan. Ada majlis
pemberian tauliah kepada ketua penuntut baru yang terdiri daripada
pelajar-pelajar Form 4. Seni Perusahaan, ketam kayu sehingga langkah ke-3.
Rehat. English, teacher buat perlawanan mengeja. Aku Kumpulan B, dan kumpulan
aku menang tipis, 19-15. Ilmu Hisab, cikgu bawa peralatan untuk kelas termasuk feather duster, wallpaper, pasu bunga
dan lain-lain. Tawarikh, mula belajar menggunakan buku teks. Pada zaman ini, istilah tawarikh masih popular selain disebut sejarah!
Pulang makan tengahari menu ayam. Tidak mandi
kerana air hampir tiada. Aku ambil air sembahyang sahaja. Ke prep petang,
beberapa pelajar perempuan Tingkatan 2 Putih terjerit-jerit. Beberapa orang kawan
aku lekatkan wallpaper. Semua cikgu
hadiri mesyuarat pada petang ini.
Main petang, aku ikuti latihan keras hoki Under 15, aku kena pikul cikgu
Zaki sambil berlari-lari anak. Cikgu Zaki marah kerana tak semua pemain Under 18 turun berlatih. Sebelum ke prep malam, terdengar berita
mengenai seorang pelajar Form One cedera
lutut kerana terlanggar marmar bilik basuh.
Selasa, 22 Januari
Pagi. Sains Paduan, kena denda tulis ayat kerana
lewat turun ke lab. P.E. belajar asas permainan kriket. B.M. cikgu Fadhil
Zakaria ganti cikgu Jiwariah. Petang. English, belajar passive voice.
Main petang. Lawan hoki dengan Under 18. Kalah teruk hampir 10 gol.
Malam, kelambu terjatuh sewaktu aku tidur dan
aku terjaga kerana tak selesa bernafas.
Rabu, 23 Januari
Pengetua tahan beberapa pelajar Tingkatan 5
seperti Rajan, Jesmi, Nor Hisham dan BaAa sewaktu berjalan ke kelas pagi. Sains
Paduan, berebut makmal dengan 3 Putih. Kami dapat makmal dekat tangga menuju ke
kelas Tingkatan 3 Merah. Buat latihan mengenai kwj. Tengok televisyen selepas
itu mengenai Dawai Elektrik dan Lampu. B.M. tulis karangan bertajuk, Banjir di
Negara Saya. Rehat. Ilmu Hisab, belajar alihan selepas belajar anjakan. Kelas
petang. Agama, belajar ayat al-Quran mengenai puasa. Seni Perusahaan, belajar
mengenai gergaji jip. Tiga pelajar -
Yaakob, ketua makmal juga aku dan Sufian, penolong Yaakob - telah dibenar
menjadi pelajar pertama mencuba pakai gergaji ini.
Malam, waktu belajar di asrama, aku sekadar
lakar gambar pokok. Pulang ke dorm lalu tidur. Dan, kelambu aku terjatuh lagi.
Aku biarkan sahaja sampai ke pagi.
Khamis, 24 Januari
Pagi. Lukisan, kali ini, warnakan gambar pokok.
Kelas petang. B.M. kena rotan di tangan kerana tak siapkan homework mengenai 31 Simpulan Bahasa. Ilmu Hisab, tonton rancangan
pendidikan di televisyen mengenai Logarithm.
Main petang. Cikgu Zaki marah kerana Lokman
mengeluh panas. Lutut aku berdarah kerana merangkak di bawah kelangkang 14
rakan sewaktu latihan hoki. Rashid Hamzah, pelajar Form 4, hampiri aku lalu
tanya, “Masih gayungkah?” Aku jawab sepatah, “Tidak.”
Malam ini, aku masih tak pergi solat di dewan besar. Pulang sahaja ke asrama selepas prep malam, aku tidur awal.
Jumaat, 25 Januari
Bangun lewat juga walau semalam tidur awal. Tak
solat Subuh ikut waktu. Kelas pagi. Ilmu Hisab, belajar komponen alihan. P.E.
bersenam dengan cara angkat badan rakan sebelum kami main bola sepak. Sains
Paduan, ke makmal dan buat 12 soalan mengenai elektrik. Aku turut berbincang
dengan Ramesh untuk menyelesaikannya. Rehat. Ilmu Alam, belajar gempa bumi dan
gunung berapi. Kemudiannya, semua pelajar hadir mesyuarat rumah sukan. Yusri
Nawawi dilantik sebagi kapten rumah Zamrud.
Solat Jumaat pinjam samping Zailan lagi sekali.
Zailan dengan baik hati beri aku pinjam sepenggal. Aku tahu Zailan tahu - walau
aku tak bagitahu dia - aku tidak cukup duit untuk beli samping baru, sebab aku asyik
pinjam samping dia.
Selepas solat, aku ke perjumpaan scouts, lalu belajar menyanyi lagu Hang
Tuah. Aku pinjam duit Azman untuk beli kad pengakap yang berharga 30 sen. Aku
tak beli skaf kerana sudah habis dibeli pelajar-pelajar lain.
Prep malam. Kerusi aku hilang! Aku terpaksa
duduk di tempat lain. Pulang ke dorm, rombongan pelajar-pelajar Sekolah
Menengah Sains Selangor (SMSS) sampai ke asrama. Aku ke study room, selesaikan latihan Hisab Moden.
Aku tidur dan mimpi macam-macam!
Sabtu, 26 Januari
Bangun lewat tapi aku solat Subuh. Aku sekadar
makan roti kerana makanan lain sudah habis kerana aku terlalu lewat. Aku ke
prep pagi, dan basuh kasut sekembalinya aku ke dorm seperti jadual biasa hari
Sabtu. Waktu makan tengahari, aku ambil lauk serta pisang lebih sedikit kerana
lapar.
Aku berehat di dorm. Zahi tunjukkan boot jenama ADIDAS – Inter yang dia baru
beli. Aku tumpang gembira melihat kasut bola sepaknya yang cantik. Sepanjang
tinggal di asrama, aku tak pernah beli barangan berjenama. Dan, aku tak akan
lupa sindiran cikgu Radin ketika aku berdiri di tepi tangga menuju padang bola
sepak. “Miskin sangatkah?” Cikgu Radin berkata demikian apabila melihat seluar
sekolah abang aku yang aku pakai ketika itu jelas bertampung di bahagian kaki.
Aku minta cikgu Radin bagi aku sedikit masa untuk aku beli seluar baru. Penggal
berikutnya, aku ke sekolah dengan seluar panjang baru. Aku tempah dua pasang
seluar hijau tua itu di sebuah kedai jahit Cina di Beruas pada harga di antara RM50
dan RM60. Aku sudah lupa harga sebenar seluar tempah berkenaan. Mungkin sehelai
berharga RM28. Dan, aku lanyak seluar itu sehingga tamat Tingkatan 5 walaupun
pinggangnya semakin ketat!
Aku tidak marah langsung dengan ucapan pedas
cikgu Radin itu. Cuma, aku berpendirian bahawa aku insya-Allah akan memaafkan
perbuatan atau kata-kata seseorang walau aku sukar melupakannya. Perbuatan atau
kata-kata aku yang tidak eluk pun pastilah ada kerana aku orang biasa seperti
orang lain juga, bukan? Dan, aku harap orang lain memaafkan sebarang
kesalahan aku meskipun anda sukar melupakan perkara buruk yang aku telah
lakukan.
Selain itu, sehelai baju main warna putih
bercetak Wrangler yang aku pakai
setiap petang itu pula sebenarnya telah dibeli oleh mak aku di sebuah pasar siang
di Pantai Remis semasa aku sekolah rendah pada pertengahan 1970-an. Aku pakai
baju T nipis itu sejak sekolah rendah, sepanjang bersekolah di SMSPP, malah aku
masih pakai baju T itu ketika aku masuk Tingkatan Enam Rendah Sains di Maktab
Melayu Kuala Kangsar (MCKK) pada awal 1983. Sewaktu aku pulang ke kampung
ketika pertengahan 90-an, aku lihat ayah aku yang sedang duduk di atas katil
kerana sakit tua pula memakai baju T bukan original itu yang telah aku kerat di
bahagian lengan kerana sempit. Aku telah tertinggalkannya dalam almari di rumah
aku di kampung dan ditemui oleh ayah aku! Maknanya, baju T aku itu telah
dipakai lebih dua dekad! Wow!
000
Aku habiskan waktu petang dengan menonton
televisyen. Gambarnya kelabu. Mungkin aerial-nya
tak berkedudukan betul. Aku tonton rancangan, Di Ambang 80 yang mengetengahkan
Sharifah Aini dan M. Daud Kilau. Selepas itu, ditayangkan perlawanan bola
sepak, sebuah pasukan dari German menentang sebuah pasukan dari Belanda. Keputusannya,
4-0. Malam, aku tidak pergi menonton English
Debate antara SMSPP dan SMSS. Aku terus tidur selepas menonton Little House
on Prairie.
Ahad, 27 Januari
Aku tak melakukan sebarang tugas pada waktu
inspection kerana pasukan hoki aku berlatih dengan pasukan hoki under 18. Kami minum orange squash selepas berlatih.
Makan tengahari, aku kebas pisang. Aktiviti
nakal suka ambil makanan lebih daripada sepatutnya ini turut dilakukan oleh
pelajar lain, sama ada kerana seronok atau memang lapar macam aku! Istilah yang
diguna pakai oleh segelintir rakan-rakan aku bagi kegiatan “tak bermoral” ini
ialah double.
Minum petang, makan “roti benggali” berintikan
nyiur manis. Kemudiannya, aku tonton filem Jepun berjodol Marco.
Semasa bersedia untuk ke dewan makan untuk makan
malam, duit syiling 10 sen aku terjatuh atas lantai dorm lalu hilang. Tapi,
peristiwa ini “ditebus” kembali apabila aku dapat dua ekor ikan semasa makan
malam. Malangnya, aku terjatuh pula sewaktu prep malam. Aku duduk terjongket,
hanya dua kaki bangku bahagian belakang cecah lantai, aku berasa tak stabil
lalu aku pegang meja, tiba-tiba aku terjatuh ke lantai seiring tubuh aku
dihujani buku-buku yang ada banyak atas meja tulis aku.
Cikgu Mat Nor datang periksa dorm dan suruh
susun kasut. Cikgu Samsudin pula marah kerana ada pelajar ketuk dinding bilik
warden kerana tak boleh belajar sebab beliau bising main gitar.
Isnin, 28 Januari
Perhimpunan, Pengetua pesan: “Sapa yang hisap
rokok minta maaf segera dalam masa seminggu.” Seni Perusahaan, ketam kayu. Mr
Ng dan cikgu Rashid kemudiannya keluar ke Bukit Mertajam, beli barang untuk
bengkel. Rehat. Ke pejabat untuk periksa buku simpanan pejabat pos dan ambil
borang untuk keluarkan wang.
Petang, ke mesyuarat Persatuan Bahasa dan Budaya Melayu (PBBMSMSPP). Pengerusi baru,
Akbar Tayob. Setiausaha I, Zaki Mokri.
Main petang, pasukan hoki U-15 lawan U-18. Aku
diarah cikgu Zaki pergi beli orange
squash di kantin. Penolong Kanan main golf di penjuru padang. Pasukan bola
sepak pula marah kerana pasukan hoki - tanpa disengajakan - pakai cawan mereka.
Ke prep selepas makan nasi yang aku berasa tak
cukup! Aku pesan gambar kelas nombor 73B berharga 70 sen. Ketua penuntut,
Rashid marah kerana Tingkatan 3 Merah bising: “Hampa nak kena penampaq kot.”
Selasa, 29 Januari
Sarapan bihun goreng double. Sains Paduan, belajar bab elektrik lagi. P.E. belajar
jimnastik. B.M. baca rencana, Perarakan Hari Kebangsaan. Rehat. Aku cadang
hendak berjumpa Pengetua untuk minta kebenaran ambil wang dari buku simpanan
pejabat pos. Tapi, beliau dikatakan sibuk. Zailan pula tak dapat keluarkan wang
kerana tiada surat kebenaran bapa. Zailan, seperti aku, hendak ambil wang untuk
lunaskan yuran penggal pertama. Agama, baca ayat al-Quran yang membabitkan isu
Apakah Yang Lebih Baik Dan Kekal Di Sisi Allah.
Petang. Muzik, belajar nota piano. English, teacher bagi last warning kepada Kamal, Yim, Mi dan lain-lain.
Ramai pelajar pulang kampung kerana Cuti
Thaipusam dan Maulid Nabi pada 30 dan 31 Januari. Aku baca papan notis. Ada
terpampang surat Dee dari Sheffield, England. Dia bekas pelajar Form 5 tahun 1979. Yaakob, Moktarruddin,
Wan Yuhainis dan ramai lagi pelajar SMSPP sedang belajar di sana ketika ini.
Bekalan elektrik terputus. Semua pelajar makan
malam awal pada 6:30 PM.
Rabu, 30 Januari
Sarapan pagi. Ambil secekak roti dan dua biji
telur bawa pulang ke dorm. Aku dengar Aidy Hafizi main gitarnya. Kemudiannya,
aku buat latihan beberapa soalan Hisab Moden SRP 1979 bersama Adnan, Fauzi dan
Ricky. Zul Ahmad pula rancak berlatih Silat Kalimah bersama Abdul Razak.
Rehat. Makan kek.
Makan tengahari. Aku makan guna tangan kerana
Ketua Penuntut atau Pengawas tak ada. Ikut undang-undang, semua pelajar
dimestikan makan nasi, bihun dan seumpamanya dengan menggunakan sudu dan garfu.
Air tiada, bekalan elektrik juga tiada. Solat
Maghrib, aku pergi ambil air sembahyang guna water cooler dekat dewan besar.
Awal malam, sekitar lepas waktu Isyak, aku dan
Aidy Hafizi bernyanyi dan main gitar dekat bilik peti surat di bawah bangunan.
Ketua Penuntut Tingkatan 5, Anuar Saki datang join main gitar dengan kami.
Kedengaran tepukan warga perempuan dari Blok C, tapi kemudiannya mereka boo. Aku ronda sekitar asrama. Aku lihat
Yazid main gitar dekat tangga menghala ke Dewan Besar. Malam ini, ramai pelajar lelaki bermain
gitar atau mendengar lagu menerusi kaset. Aku tidur lewat.
Khamis, Januari 31
Air masih terputus. Mandi di tangki air dekat
Blok C. Budak-budak perempuan kena “cerca” kerana datang ambil air sedangkan
ramai pelajar lelaki sedang seronok mandi. Sarapan bihun goreng. Dan, hari ini
kelihatan berlebihan.
Ronda-ronda sekitar bangunan asrama dan aku
ambil kartun Lat dari majalah Inggeris yang dibuang.
Bekalan elektrik kembali pulih sebelum minum
petang. Ramai pelajar mulai pulang ke asrama. Minum petang, dan aku bawa naik
beberapa ketul karipap ke dorm. Aku dan Ricky kemudiannya ke Blok B yang menempatkan
dorm-dorm yang dikhaskan untuk pelajar Matrikulasi USM. Masih belum ada pelajar
di situ lalu kami tukarkan bantal kami yang sudah buruk dengan memilih bantal
yang lebih baik di dorm berkenaan.
Makan malam, pekerja dewan makan beri aku dua
ketul ayam kerana mungkin ramai pelajar yang baru pulang tak turun makan kerana
mereka telah dibekalkan dengan makanan dari rumah masing-masing. Aku makan bersama
Kamal di meja berdekatan pelajar-pelajar perempuan. Aku makan sedikit nasi
kerana tak berselera.
Solat Isyak di dewan besar sebelum ke kelas prep
malam. Selepas solat, aku dapati ramai pelajar Form 4 yang datang lewat tak
dapat masuk untuk solat bersama kami yang sudah berada dalam bangunan kerana
pintu – mungkin tanpa disengajakan - telah dikunci oleh seseorang.
(nota: Aku sebenarnya banyak menyimpan diari
lain, novel, komik, majalah dan bahan-bahan berkaitan penerbitan dalam beberapa
kotak di rumah aku di kampung. Namun, mak aku telah memberi kepada orang lain
atau membuangnya sewaktu beliau mengemas. Aku memang selalu beli komik yang
harganya amat murah pada zaman 1970-an dan 1980-an. Sebenarnya, mak aku tak
bersalah apa-apa pun kerana aku sendiri yang jarang balik kampung sewaktu
berusia awal 20-an. Ia bermula apabila, selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia
(SPM), aku melanjutkan pelajaran ke “menara gading” di Amerika Syarikat tapi
tersekat di separuh jalan.
Aku “hidup” di Kuala Lumpur sekitar 1985
sehingga 1987 dengan mencari rezeki sebagai peniaga kecil. Kerja sebagai peniaga
kecil ini bagus, tapi bidang perniagaan yang aku ceburi tiada peningkatan
berbanding beberapa rakan lain yang akhirnya mereka terbabit berjaya membuka sekurang-kurangnya
berpuluh-puluh cawangan gerai tepi jalan. Aku pada mulanya dibenar Jabatan
Perkhidmatan Awam (JPA) untuk menyambung kembali pelajaran - dengan biasiswa - dalam
bidang kejuruteraan di Universiti Malaya (UM) tapi jiwa aku memberontak setelah
mendengar kata-kata “kesat” seorang pegawainya – Misran - lalu aku tolak
tawaran itu.
Bagaimanapun, aku sambung belajar di Institut
Teknologi Mara (ITM) dengan “wang sendiri” setelah seorang rakan setingkatan di
sekolah menengah, Abdul Rahim syor aku belajar di pusat pengajian ini. Seorang
rakan sekampung aku, Anuar Arifin, bekas pelajar STAR, Ipoh pula ajak aku memohon bersama-samanya. Kawan
sekampung aku itu telah menyambung pelajaran ke Universiti Utara Malaysia (UUM)
dalam bidang Perakaunan setelah tamat ITM dalam bidang Perkhidmatan Awam. Sebelum
itu, dia belajar sekejap dalam bidang Pembinaan Bangunan di Politeknik Ungku
Omar, Ipoh. Pun begitu, aku tetap bersyukur dengan pencapaian aku memperolehi
diploma dari ITM dalam bidang Pengurusan
Perniagaan meskipun aku tidak hadir semasa majlis konvokesyen kerana aku tak
mampu bayar yuran penyertaan. Aku sekadar pergi ke pejabat ITM Shah Alam untuk ambil
sijil seperti aku ambil sijil SPM di pejabat sekolah aku sebelum itu. Namun,
aku berasa bertuah kerana “layak” menjadi seorang wartawan setelah diterima
mengikuti kursus kewartawanan di The New Straits Times Press (Malaysia) Bhd
(NSTP) lalu bertugas di Berita Harian serta Harian Metro pada awal 1990. Aku
juga pernah bertugas di akhbar Harakah, majalah Tamadun dan akhbar Wasilah,
selain membantu beberapa rakan wartawan menulis buku-buku politik.
Sebelum masuk NSTP, selain berniaga
kecil-kecilan, aku bekerja di beberapa hotel sekitar Kuala Lumpur dan Petaling
Jaya sebagai part-time waiter selain
“bertungkus-lumus” main snuker pada awal pagi. Pernah juga aku main lebih 20
jam tanpa henti! Malah, aku pergi interbiu untuk masuk kursus di NSTP itu pun dengan
memakai baju putih dan seluar hitam, tapi tak pasti sama ada aku mengenakan bow tie. Aku terus ke
pusat snuker lewat malam selepas habis kerja hotel. Habis main, aku terus pula hadiri interbiu terbabit selepas menonjol bola-bola snuker sehingga terbit matahari. Aku sudah
lama tinggalkan dunia snuker – aku sekadar minat, bukannya main bagus sangat - dan jika sekarang aku diajak main pun, aku
sekadar ingin berkongsi bayar meja bagi mengelak terbabit dengan sebarang
bentuk perjudian. Apa-apa pun, moga anda peroleh manfaat setelah baca mengenai
peristiwa-peristiwa yang aku alami sepanjang Januari 1980 di atas. Februari
1980 akan muncul kembali dalam kehangatan semalam: Alleycats. Tunggu!!!)
Comments
Post a Comment