DIARI 1980
FEBRUARI
Jumaat, 1 Februari
Bangun awal sedikit. Lepas pakai pakaian seragam sekolah,
lencana pula tak jumpa. Kelam-kabut cari lencana besi yang perlu dipakai pada
poket baju putih lengan pendek sekolah. Ilmu Hisab, cikgu jual buku objektif yang
sekadar dicadang, bukan mesti dibeli. P.E. berlatih gerakan jimnastik. Anas
berdarah dagu terhantuk lutut. Sains Paduan, belajar mengenai atom dan letron.
Rehat. Ilmu Alam, belajar mengenai iklim Asia Tenggara. English, baca rencana
mengenai Muzium Negara yang dibuka pada 1963. Solat Jumaat di dewan besar. Aku
ambil risalah, Iqrak yang diberi percuma.
Lepas solat, tukar pakaian lalu ke perhimpunan scouts, kawad keliling padang,
bergolek-golek atas padang, di arah berlari dan latihan keras lain. Letih betul!
Pulang tukar pakaian untuk latihan hoki pula. Lega apabila berpeluang minum orange squash selepas latihan hoki.
Sabtu, 2 Februari
Bangun awal sedikit, Ke prep pagi. Pinjam duit Yaakob RM1
untuk bayar duit gambar 40 sen. Tuan Pengetua dan Penolong Kanan datang meronda
kelas. Pulang, makan dua ketul kuih bom semasa jamuan minum rehat di dewan
makan. Kuih bom adalah seperti jemput-jemput pisang, tapi saiznya besar, hampir sama saiz bola hoki atau tenis.
Basuh kain. Solat Zuhur berjemaah di musala. Aku baca buku
Ilmu Alam Tingkatan 2 dan aku koyak buku itu, buang ke dalam tong sampah,
selepas aku habis baca.
Petang, aku tonton Star Soccer dengan kawan-kawan sekejap
sahaja kerana tiba-tiba gambar di kaca televisyen jadi gelap. Malam, menyertai
ramai pelajar yang berhimpun tepi dewan besar, tonton tayangan filem, Hatari
yang dilakonkan John Wayne dan Richard Burton. Kisah di Kenya, Afrika mengenai
kumpulan pemburu binatang di savanna. Tayangannya kerap tergendala, namun jalan
ceritanya menarik. Selepas habis menonton, pulang dan terus tidur kerana mengantuk
sangat.
Ahad, 3 Februari
Pagi, berlatih hoki dan minum orange squash selepas latihan.
Pulang asrama, minta tolong Syukri beli berus gigi semasa dia pergi outing ke pekan Bukit Mertajam (BM). Ke
bilik rehat lalu baca Berita Minggu, ada siri baru, “Anak Toyol.” Pulang,
pinjam baca majalah Dandy kepunyaan Jamil.
Ke prep malam. Lepas baca buku Sejarah, aku bersembang
dengan Amirudin macam-macam hal.
Isnin, 4 Februari
Semasa berucap di perhimpunan, Pengetua suruh sesiapa yang
hisap rokok menyerah diri dalam tempoh seminggu lagi. Seni Perusahaan, mula buat
tanggam bajang bagi menyiapkan projek penyidai tuala. Rehat. English, tulis essay. Ilmu Hisab, belajar jumlah, hasil
darab dan ganda dua. Sejarah, belajar Darurat 1948 – 1960.
Petang, ke mesyuarat PBBMSMSPP. Kena bayar yuran RM3.00
setahun. Agenda mesyuarat ialah membincangkan projek-projek yang bakal
dilaksanakan.
Main petang, latihan hoki, lawan Under 18. Aku main
pertahanan. Zahrin pukul bola di hadapan aku lalu kayunya terkena tepi lutut
aku. Mujur tak cedera teruk. Lepas main, minum ais kosong.
Pulang mandi lambat kerana air tak banyak, lalu lewat makan.
Oleh kerana lauk habis, pekerja dewan makan gorengkan telur untuk aku.
Pada muka surat 4 Februari ini aku catat: Beli drawing block di Koop pada harga 75 sen
dan 5 sen gula-gula Benson.
Selasa, 5 Februari
Bangun lewat. Terlambat solat Subuh. Sains Paduan, belajar
elektrik statik. Elektroskop ialah alat untuk menentukan bahagian negatif dan positif
benda yang dicaj. P.E. berlatih lompat jauh. B.M. dapat buku catatan. Selain
itu, tulis karangan, "Perjalanan dengan kereta lembu." Ilmu Hisab, belajar
persamaan dan takesamaan. Agama, belajar ayat ke-3 yang bermaksud: “Apakah yang
baik dan kekal di sisi Allah.” Sejarah, tulis nota mengenai Darurat 1948-1960.
Petang. Muzik, cikgu Art, cikgu Sarina yang peramah dan baik itu datang jaga kelas. Aku order daripadanya pen untuk tulis dengan dakwat Cina. English, cikgu kata kepada aku, “Don’t open your mouth. Your teeth will come out.”
[Gigi depan atas aku tiada sebatang sehingga Tingkatan 5. Geraham-geraham pun, banyak tercabut. Aku buat tiga batang gigi palsu diselit di bahagian depan atas ketika aku belajar dalam Tingkatan Enam Rendah Sains di Maktab Melayu Kuala Kangsar (MCKK) pada awal 1983. Lelaki Cina, tauke kedai tanya: "Mau murah, mau mahal?" Aku bagitahu, aku pilih yang mahal. Yang mahal, RM20 sebatang, manakala yang murah rasanya RM15. Aku habis RM60 bukan untuk kelihatan menarik tapi mengelak dikata-kata orang. Tapi, aku sejujurnya tak kisah dengan usikan sesiapapun. Cuma, aku berasa "lemas" sedikit. Gigi palsu aku ini kuat sungguh, jatuh pun tak patah. Namun, ia terjatuh lalu masuk lubang tandas cangkung, yang tiada sekatan air - tak seperti tandas duduk - sewaktu aku mencucinya di rumah sewa aku di Kampung Kerdas, Gombak, rasanya pada tahun 2000. Rumah ini paling pelik yang aku temui di Malaysia kerana di tandas dengan ruang kecil, terletak tepi dapur itulah juga tempat aku dan isteri mandi, dan membasuh pakaian. Sebab itu, setiap kali aku masuk tandas di kebanyakan masjid, aku teringatkan rumah sewa berkenaan. Ketika itu, anak sulung aku baru berusia beberapa bulan. Hari-hari, aku mandikan anak aku dengan meletakkannya dalam sinki dapur! Aku juga teringat perangai aku yang tak suka menunggu giliran mandi di pancuran bilik mandi asrama SMSPP sehingga aku sanggup guna tandas yang saiznya lebih kurang sama dengan kebanyakan tandas di masjid. Untuk cepat, aku akan bawa baldi, cebok pelastik serta sabun, masuk mandi dalam tandas. Tapi, aku pastikan dulu tandas terbabit bersih dan tidak bergenang dengan "air gelap"!]
Tak turun latihan hoki, aku main sepak raga. Sakit kepala
kerana bola rotan masih baru.
Prep malam, buat sendiri buku autograph dan sketch pad
untuk subjek Lukisan. Aku beri nama kepada Ramli Ahmad untuk pergi ke Institut
Teknikal Air Hitam pada Sabtu ini. Pelajar-pelajar diperlukan ikut rombongan ke
sana untuk menyokong acara perbahasan persahabatan.
Rabu, 6 Februari
Sains, ke makmal. Tonton wayang mengenai letron. Cikgu
Jagjit Singh dapat projector dan
gulungan filem berkenaan entah dari mana. Kemudiannya, ke bilik TV, bersama
Tingkatan 3 Putih tonton rencana, “Menjinakkan Elektrik.” B.M. belajar nama
terbitan serta surat kiriman. Rehat. Ilmu Hisab, belajar mendarab angkisi.
Cikgu Anuar, guru Hisab Moden dan juga guru kelas aku, beri borang peperiksaan
Sijil Rendah Pelajaran (SRP). Kami diberi juga kertas panduan mengenai
peperiksaan ini. Kena bayar yuran periksa sebanyak RM51 selewat-lewatnya 11
Februari ini. Kelas petang. Sejarah, mula belajar Bab 4 Mencapai Kemerdekaan
dan Selepasnya. Industrial Art belajar
mesin ketam penyambung. English, belajar buat direct sentences. Hari ini, pak cik India dobi datang ambil pakaian
kotor.
Main petang, latihan hoki hari ini belajar short corner. Minum ais kosong lagi
selepas habis latihan. Ke prep malam. Beberapa minit lampu tiada. Setelah
diperiksa, didapati suis besar tidak on.
Khamis, 7 Februari
Aku kena tahan dengan Pengetua bersama-sama beberapa pelajar
Tingkatan 2, 3 dan 4 lain kerana datang lewat. Kami didenda lari keliling
padang – mujur satu pusingan – dan aku tersungkur dekat tiang gol bola sepak. Sivik,
guru lain ganti Penolong Kanan. Ilmu Alam, mulai belajar mengenai Malaysia.
Lukisan, tajuk bebas. Makan tengahari. Kelas petang. B.M. belajar 1 period dan
terus pulang ke asrama untuk tunggu kedatangan pelajar-pelajar Sekolah Menengah
Sains Kedah.
Petang lawan hoki dengan Sains Kedah. Aku tak main. Under 15 kalah 2-0, tapi Under 18 menang 1-0.
Jumaat. 8 Februari
Ilmu Hisab, belajar dua ganda dua yang utama. P.E. main
sepak raga. Sains Paduan, cikgu tak mengajar, sekadar baca buku sendiri.
Kemudiannya, tonton filem mengenai perjalanan letron dalam hampagas yang
menggunakan voltan yang tinggi. Rehat aku makan double. Ilmu Alam, tulis
nota mengenai iklim Malaysia. English, cikgu buat lawak memanjang! Cikgu Zaki
kemudiannya minta aku hantar papan tulisnya ke Staff Room. Aku kemudiannya disuruh pula cikgu Mat Nor – guru
English juga warden – hantar buku-bukunya ke biliknya di asrama.
Aku solat Jumaat di dewan besar. Ahmad Omar ajak aku ke
rumahnya pada Cuti Raya Cina nanti.
Aku keluarkan duit simpanan pejabat pos sebanyak $35.00 untuk bayar yuran dan hutang kepada kawan. Aku tak ke perjumpaan scouts, tapi aku ke library sekejap.
[Aku seorang yang kuat membaca akhbar dan novel
Melayu. Setiap minggu aku akan pinjam sebuah novel dari library. Aku pernah
memohon menjadi pustakawan, pelajar yang bertugas di library, tapi permohonan aku ditolak. Habis semua buku sasterawan
tempatan dan Indonesia yang ada dalam library
aku pinjam. Antaranya novel-novel tulisan A Samad Ismail, Pak Sako, Shahnon Ahmad,
Khatijah Hashim dan Hamka. Buku Inggeris, aku sekadar baca Enid Blyton,
berikutan ketika ini aku belum mahir Bahasa Inggeris tahap tinggi. Di sekolah
aku, pelajar-pelajar dibahagikan kepada Set 1 sehingga Set 4 bagi kelas Bahasa
Inggeris. Set 1 paling bagus Bahasa Inggeris, manakala Set 4 paling teruk, dan
aku sering tergolong di Set 4 setiap tahun. Rasanya, aku mungkin hanya pernah
sekali dapat masuk Set 3 sepanjang aku bersekolah di SMSPP.]
Main petang, cikgu Shamsudin ambil alih ajar hoki hari ini.
Malam aku tak lalu makan kerana menu ikan celup!
Sabtu, 9 Februari
Aku outing ke BM bersama
Juraimi dan Mat Ki. Mat Ki keluarkan wang pejabat pos dan beli buku ulangkaji.
Juraimi photostat sesuatu. Aku beli
seluar dalam dan sabun. Kami ke Selera Jaya, aku makan mi goreng dan minum "lincikang". Bertemu Zailan yang turut makan di situ. Ke panggung wayang yang terletak
dekat pusat penjaja makanan stesen keretapi itu. Tonton Convoy lakonan Kris
Kristofferson, Ali MacGraw dan lain-lain. Filem mengenai pengembaraan pemandu
trak dari Amerika Syarikat ke Mexico. Ada seorang polis cuba gagalkan
perjalanan konvoi itu. Akhirnya, pemandu-pemandu trak berkenaan disanjung orang ramai. Pulang
asrama sudah petang.
Malam ke dewan besar kerana semua pelajar Islam diwajibkan
menonton musabaqah membaca dan mentafsir al-Quran. Johan Qari – Ahmad Haji
Hassan. Johan Qariah – Habsah Sabli. Johan Pidato Lelaki – Ramli Ahmad. Johan
Pidato Perempuan – Zaiton Form 4.
Pulang asrama lalu tidur sekitar 12 tengah malam.
Ahad, 10 Februari
Makan nasi lemak sambal ikan bilis. Tambah. Sebenarnya
perbuatan tambah makanan ini boleh dikatakan salah tapi pekerja-pekerja dewan
makan sering tak kisah sangat tentang peraturan yang tak begitu penting ini.
Mungkin mereka fikirkan aku dan beberapa pelajar lain seperti anak mereka
sendiri. Ke latihan hoki dan hari ini dimulakan dengan belajar teori. Selepas
itu, kami main. Aku boleh dikatakan tak pernah score kerana ketika berlatih – aku hanya main sekali dua semasa
perlawanan penting - aku sering main di bahagian defence. Tapi, kali ini aku dapat peluang score setelah Shamil tahan bola tak tepat, dapat kepada aku, terus
aku bawa ke pintu gol, lalu aku push
sahaja.
Ke prep malam bersama Ahmad Omar dan dia ajak lagi aku pergi
ke rumahnya.
Isnin, 11 Februari
Mat – Ahmad Omar – gerak aku 6:30 pagi. Mungkin dia buat
begitu untuk “jek” aku supaya aku ke rumahnya nanti. Perhimpunan. Pengetua
bagitahu, 26 pelajar Form 4 baru akan masuk selepas Cuti Raya Cina nanti bagi
menggantikan 26 pelajar yang dikeluarkan. Rasanya, mereka terbabit dikeluarkan
kerana memperoleh keputusan tidak baik dalam SRP. Pemenang membaca dan
mentafsir al-Quran menerima hadiah masing-masing.
Seni Perusahaan, buat tanggam. Apron aku hilang lalu aku
kena denda buka baju semasa bertukang. Rehat. English, baca The Sleeping
Magician diikuti comprehension. Ilmu
Hisab, aku bayar yuran sekolah serta SRP dan pelbagai bayaran lain kepada cikgu
Anuar yang juga guru kelas aku. Semuanya berjumlah RM104.35.
Makan tengahari. Mat bagi separuh ayamnya kepada aku. “Jek”
lagi. Ke perjumpaan PBBMSMSPP. Berlatih deklamasi sajak dan drama.
Main petang. Selepas berlatih, main dengan Under 18. Kami
menang 1-0. Aku main left half.
Tapi, cikgu Zaki mengamuk dengan alasan kami main tidak ada disiplin. Radin
teruk kena marah kerana, kata cikgu Zaki, dia tak bertindak sebagai seorang
kapten yang bertanggungjawab.
Makan malam dan ikan celup lagi. Tak lalu.
Selepas prep malam, aku sambung belajar di study room. Aku belajar sejarah, diikuti
subjek agama. Seorang pelajar matrik tegur aku kerana aku tertidur sewaktu
belajar!
Selasa, 12 Februari
Sains Paduan, periksa penggal pertama. P.E. main sepak raga
di gelanggang, kemudian main baling badan kawan dengan bola bola tampar. B.M.
periksa kefahaman. Hari ini aku tak pergi makan di dewan makan pada waktu
rehat. Ilmu Hisab, cikgu bagitahu esok test.
Hari ini buat latihan dan mengulang kaji sendiri. Agama, ujian susah untuk
dijawab. Sejarah, esok ujian, hari ini belajar Bab 4. Makan tengahari. Muzik, test dan aku main jawab sahaja kerana susah.
English, test.
Main petang, perlawanan bola sepak Under 18 dengan Sekolah
Menengah Simpang Empat ditunda kerana penjaga garisan tak datang. Berlatih hoki
dan kali ini ia diakhiri dengan lawan secara bercampur dengan pemain perempuan.
Aku tak main. Minum ais kosong lagi selepas latihan.
Makan malam bersama Mat, dan Mat ulang lagi ajakan dia
supaya aku pergi ke rumahnya.
[Aku paling rapat dengan Mat dalam beberapa aktiviti “kurang
sihat” sewaktu tinggal di SMSPP. Kami pernah sneak out bersama-sama, dan berdua berjalan kaki balik dari pekan
Bukit Mertajam, daki bukit ikut lorong berdekatan tempat pembakaran mayat
Hindu, merangkak bawah pagar belakang asrama yang sudah dibuat lubang oleh
seseorang lain, lalu masuk dorm senyap-senyap
pada waktu malam.
Mat berjalan agak pelik disebabkan kecacatan yang dialaminya
sejak lahir. Betis Mat kurus melidi, manakala jari-jari kaki dan tangannya tak
sempurna kerana kelihatan semacam kudung. Waktu main petang, dia pakai kasut
jenama Warrior yang selalunya dipakai pelajar-pelajar ketika main bola
keranjang, manakala jika berpakaian seragam sekolah, Mat sentiasa pakai kasut kulit hitam yang ditempah khas
bagi memastikan badannya seimbang.
Aku putus hubungan dengan Mat setelah dia menyambung
pelajaran ke sekolah lain ketika Tingkatan 4. Selepas menerima keputusan SPM,
pada awal 1983, aku pernah ke gerai air tebu yang dimiliki seorang bapa saudara
kepada Mat, terletak di Tingkat 1, Stesen Bas Butterworth, tapi beliau sendiri
tidak mengetahui di mana Mat tinggal. Mat pernah sekali lawat aku di SMSPP
pada awal 1981, dan sejak hari itu, aku tak pernah bertemu lagi dengan Mat Omar atau, nama peliknya iaitu Ahmad bin Omar bin Ahmad.]
Rabu, 13 Februari
Sains Paduan, ulang kaji kertas ujian baru-baru ini. B.M.
belajar perumpamaan. Cikgu bercerita mengenai kejadian kes rogol sewaktu
memperjelas sebuah perumpamaan. Rehat. Ilmu Hisab, test. Aku dapat jawab semua soalan. Sejarah, ke library kerana cikgu Fadzil dan pasukan
bola sepak Under 15 ke Simpang Empat.
Mereka dikatakan menang besar 9–0: Wan Maizul 6, Man Robot 2 dan Mi Totiaq sebiji
gol. Aku baca buku yang ada kisah mengenai Latif Mohiddeen. Seni Perusahaan, test. English, punctuation. Cikgu buat jenaka dengan meniru suara Siron.
Main petang, latihan hoki membabitkan lari keliling padang
dua pusingan. Menjelang solat Maghrib, sebelum ke prep malam, elektrik terputus
sekejap. Pulang asrama, aku naik katil. Pada kira-kira 11.30 malam, aku telah
terhentak cermin tingkap semasa tidur sehingga pecah dua keping. Ricky terjaga
lalu bengang kerana beberapa pecahan kaca bertabur ke atas tilamnya. Suraini
dan Juraimi yang sedang pulang dari bilik bacaan ketika kejadian telah tolong
aku pasangkan cermin tingkap “baru.” Mereka ambil dua keping dari tingkap stor
dekat bilik air.
Khamis, 14 Februari
Sivik, cikgu terang perkataan-perkataan yang dicetak di
bahagian belakang buku yang membabitkan prinsip kenegaraan. English, cikgu
beritahu bahawa 12 pelajar gagal dalam ujian. Agama, ujian bacaan ayat
al-Quran. [Aku dapat baca walaupun sebenarnya aku boleh dikategorikan sebagai
salah seorang pelajar yang tidak cekap membaca kitab suci berkenaan.] Ilmu Alam,
test. Rehat. Senilukis, tulis sajak dan warnakan latar belakangnya dengan krayon. B.M. ujian 20 soalan. Ilmu Hisab, tolong cikgu kira markah Tingkatan 1
Biru. Selepas itu, kami bincang dengan cikgu, soalan ujian Ilmu Hisab yang kami
ambil baru-baru ini.
Cuti Raya Cina bermula esok sampai 18 Februari. Habis kelas
siang, ke BM dengan Mat, kemudian naik bas ke Bagan. Dari Bagan naik bas lagi ke Teluk Labu. Di pertengahan jalan, turun bas, lalu naik basikal yang telah
tersedia di situ untuk masuk kampung Mat. Sampai rumah Mat, hari sudah lewat
petang. Malam, televisyen tayang filem Hindustan, diikuti midnight cerita Sherlock Holmes. Tak best lalu kami tidur dalam bilik. Bilik Mat kemas, dengan sebuah
kipas angin meja. Rumah Mat, rumah papan bertiang kayu, tapi jauh lebih cantik
dan besar berbanding rumah aku di Perak. Ada sebuah bangunan kosong yang dijadikan
sebagai surau untuk keluarga adik-beradik yang tinggal di rumah-rumah berdekatan
rumah Mat. Kawasan kediaman ini dikelilingi bendang padi.
Jumaat, 15 Februari
Bangun lewat 9 pagi lebih. Kami sarapan keledek goreng serta
apum. Semacam sarapan aku di kampung aku juga.
Aku dan Mat solat Jumaat di sebuah masjid berdekatan
rumahnya. Petang kami ke parit yang merintangi bendang Mat. Ayah Mat menjala
dan beberapa ikan tapah tersangkut di jalanya. Di sini, mereka panggil ikan
tapah sebagai ikan selat.
Malah, aku tonton televisyen, ada tayangan gambar Indonesia,
Muhibbah. Selepas rancangan ini, aku tonton, Policewomen, sebuah filem
diterbitkan pada 1974 tentang seorang pegawai polis wanita yang menyusup ke
dalam kumpulan kriminal wanita. Ia ditulis dan diarah oleh Lee Frost,
dibintangi Sondra Currie, Tony Young dan Phil Hoover. Habis tonton filem ini aku
masuk bilik tidur.
Sabtu, 16 Februari
Bangun awal. Makan kuih lopes. Kami ke Sungai Muda bersama
ayah Mat. Ayah Mat jala udang tapi tak dapat kerana aku lihat jalanya jarang
tidak seperti jala ayah aku di kampung. Aku dan Mat pulang lalu panjat pokok "kote mamak" yang terletak di tengah bendang Mat dekat tali air. Aku makan sikit
dan ini kali pertama aku makan buah ini yang pada aku tak sedap. Aku juga
berasa pening kerana aku tak pakai cermin mata ke bendang.
Malam, tonton televisyen, “Hiburan Khas Menyambut Raya
Cina.” Abang Mat bernama Ismail, isteri dan anaknya datang ke rumah Mat. Malam,
aku disuruh tidur di katil kak Mat.
Ahad, 17 Februari
Sarapan pelbagai kuih. Mat bawa aku naik motor ke rumah Mat
Ki, rakan satu tingkatan di SMSPP. Keliling rumah Mat Ki juga ada bendang. Aku
lihat ada sebuah kenderaan membajak
sawah, Kobuta di rumah Mat Ki. Aku dan Mat dihidang teh O panas. Sewaktu
pulang, kami ke kedai runcit, dan Mat beli laksa, mungkin kakak Mat nak masak
nanti.
Petang, aku dan Mat keluar ke jalan raya naik basikal ke
tepi sungai besar. Ke Kota, Kedah di seberang sungai dengan perahu yang didayung seorang lelaki yang berdiri: kanak-kanak 10 sen, manakala
dewasa dikenakan bayaran 20 sen. Naik bas ke Pantai Merdeka, tambangnya 40 sen
seorang. Aku dan Mat mandi di pantai yang dipenuhi ramai pengunjung. Makan
rojak buah dan air laici berais dengan Mat selepas mandi.
Pulang ke Kota naik bas sekolah yang mungkin diberi
kebenaran beri perkhidmatan pada hujung minggu berikutan terlalu ramai
pengunjung yang datang ke Pantai Merdeka. Kemudiannya, naik sampan tadi ke
sebelah Seberang Perai. Perahu dipenuhi penumpang sehingga aku boleh dengar perbualan
seorang remaja perempuan - bertinggung rapat depan aku - dengan rakan perempuan
disisinya mengenai seorang pelajar lelaki yang setingkatan dengan mereka
berdua. Dalam pada itu, walaupun perahu padat dengan penumpang dan terbabas ke
hilir sebelum di kayuh perlahan-lahan di tepi sungai untuk kembali ke pangkalan
sebelah Seberang Perai, aku tak risau sangat kerana aku dan Mat boleh berenang
walau tanpa life jacket jika sesuatu
yang tidak diingini terjadi. Kami ambil basikal yang di letak dekat pangkalan.
Tayarnya kurang angin, Mat kayuh basikal, bawa aku perlahan-lahan.
Selepas makan malam, kami ke Penaga tengok wayang gambar
bergerak: kanak-kanak 40 sen, manakala dewasa 80 sen. Filem berjodol Singa
Betina, dibintangi W. D. Mochtar. Tayangan sering berhenti, mungkin
projector rosak. Kami lewat pulang ke rumah Mat kerana kerap berhenti
bersembang-sembang di tepi jalan sambil menikmati Dunhill. Kami makan gula-gula
Hacks hitam, kononnya untuk mengelak mulut berbau rokok.
Isnin, 18 Februari
Pagi makan pulut udang. Aku melepas hajat dalam petak bendang sebelum mandi di telaga.
[Ada tandas curah dekat rumah Mat tapi aku tak suka terkurung dalam gelap. Di asrama lain kerana tandas tariknya cerah berlampu kalimantang. Oleh itu, aku pilih petak bendang yang sudah agak tinggi pokok padinya. Di kampung, aku tidak menggunakan kaedah petak bendang seperti yang aku lakukan semasa berada di rumah Mat. Kaedahnya lebih menarik! Mungkin aku masukkan kisah mengenai kaedah buang air besar dalam fiksyen - genre cerpen - yang aku akan tulis dalam masa terdekat, insya-Allah. Taklah pelik sangat jika dibanding dengan kebanyakan orang Cina yang sekadar lap dengan kertas, kan?]
Aku
rakam suara aku menyanyikan lagu dipopularkan Alice Sound, “Tiada Cinta Lagi” menggunakan radio kaset
Mat. Selepas itu, kami makan air kelapa dan kuih loyang. Kemas barang selepas
minum kopi O. Kemudiannya, makan nasi. Kelihatan 2 ekor ayam goreng dalam
talam. Selepas itu, kami naik basikal ke perhentian bas. Kami tinggalkan basikal
dekat sebuah rumah di tepi jalan – masa tiba dulu pun kami ambil basikal di
tempat yang sama - lalu naik bas ke Bagan. Kami minum di Tingkat 1, Stesen Bas
Butterworth. Selepas itu, kami naik bas nombor 60 ke rumah abang Ismail, abang
kepada Mat, untuk hantar kasut anaknya yang tertinggal di rumah Mat, selain
hantar kuih. Abang Ismail jamu kami tembikai dan jus anggur. Kami
kemudiannya naik bas ke BM. Kali ini, Mat guna duitnya untuk bayar tambang aku.
Makan malam di asrama, tak ramai turun makan, aku diberi
ayam dua ketul serta tiga hiris tembikai. Aku makan sampai kenyang. Selepas
prep malam, aku solat Isyak lewat sebelum pergi ke dorm Mat, lalu kami makan kuih loyang yang dibawa dari rumah Mat
siang tadi.
Selasa, 19 Februari
Sarapan bihun goreng. Tambah sedikit. Sains Paduan, ke lab
dan kira markah ujian. P.E. belajar cara merejam lembing. B.M. gantinama diri.
Rehat. Ilmu Hisab, dapat markah 68. Jamal dapat 96. Aku kena buat banyak pembetulan.
Agama, belajar ayat ke-4. Sejarah, bincang soalan ujian. Kelas petang. Muzik, dapat
markah 16. Gagal. Aku minat main gitar dan deram tapi aku tidak begitu ambil
berat mengenai teori muzik. Dalam kelas muzik di sekolah aku, kami belajar recorder notes. English, markah
cukup-cukup makan 52.
Main petang. Aku lapor diri ke rumah Zamrud sebelum dibenar
berlatih hoki. Ketika main, aku ambil posisi Jamil dan push masuk sebiji gol. Cikgu Zaki, marah Radin lagi hari ini.
Ungkapan cikgu Zaki agar kasar ketika beliau kata Radin tak cergas. Dalam
fikiran aku, aku lagi tak cergas sebab aku memang tak mampu bergerak laju. Aku
tak pernah lepas sebarang saringan sukan untuk mewakili rumah Zamrud – lari 100
meter, lari jarak jauh, lontar cakra, lontar peluru, lompat jauh, lompat tinggi
dan banyak lagi acara sukan lain – sepanjang aku belajar lima tahun di
SMSPP. Aku hanya pernah mewakili rumah
bagi hoki dan sepak raga sahaja. Mungkin, cikgu Zaki cuba kaedah reverse psychology.
Ke prep lepas makan nasi dua ketul daging dan dua hiris
tembikai. Dek kerana penat, pulang ke dorm,
aku terus tidur selepas solat Isyak.
Rabu, 20 Februari
Kelas pagi. Period ke-2, Sains Paduan, cikgu tak datang,
tapi Pengetua datang dan tanya subjek apa dan siapa guru. Kami kemudiannya di
arah pergi ke library. Aku baca majalah Sekolah Menengah Sains Negeri Sembilan.
B.M. cikgu periksa karangan dan kemudiannya suruh tulis karangan baru bertajuk,
“Pelanggaran yang dahsyat yang pernah saya saksikan.” Rehat. Ilmu Hisab, cikgu
periksa pembetulan Ujian Kemajuan I. Agama, ustazah tak datang ke kelas. Kelas
petang. Seni Perusahaan, sesiapa yang tak ambil ujian kerana pergi pertandingan
bola sepak baru-baru ini diarah ambil ujian hari ini. Aku pula buat tanggam
bajang tapi tersilap.
Main petang. Latihan hoki hari ini berbeza. Kami berlari
keluar kawasan asrama, lari di lorong celah-celah rumah Cina. Amir Zakee dan
Syed Shaharuddin paling akhir sampai ke padang hoki semula.
Prep malam, aku berehat tak buat apa-apa. Pulang ke dorm,
aku ke musala dengan Razak, Subki, Jamil dan Mat Ki untuk siapkan lukisan. Mat Ki
bagi aku seteguk air Milo.
Khamis, 21 Februari
Kelas pagi. Agama, aku dapat markah lisan sebanyak 18. Ilmu
Alam, belajar mengenai tanaman padi di Kedah. Rehat. Seni Lukis, lakar corak
lagi.Kelas petang. B.M. baca kisah Bapa Sastera Melayu Moden, Munshi Abdullah.
Ilmu Hisab, tonton tv pendidikan mengenai mendarab angganda.
Main petang. Latihan hoki, sebiji bola dikongsi dua pelajar.
Prep malam, buat nota Geografi. Pulang ke dorm, aku ke musala belajar Ilmu Alam
tapi baca dua ayat, mengantuk, terus pulang ke dorm. Malam ini, Jamil bagi aku seteguk Milonya pula.
Jumaat, 22 Februari
Kelas pagi. Hisab Moden, dapat markah Ujian Kemajuan I. P.E.
main sepak raga. Sains Paduan, lukis tiub palang maltese, rakam ayun pancaran
katod, tiub buang caj dan lampu kalimantang. Rehat. Belajar sehingga habis
mengenai pertanian di Malaysia. English, aku kena lukis cartoon di papan hitam.
Kawan-kawan ketawa.
Selepas makan tengahari dan solat Zuhur, naik bas sekolah ke
Penang Free School. Pasukan hoki bawah 15 lawan Methodist Boy School. SMSPP
menang 1 – 0. Gol diperolehi menerusi flick
yang dilakukan Kamal. Under 18 kalah kepada Penang Free School 5 – 0. Ke Padang
Kota selepas perlawanan, aku tak beli makanan kerana tiada wang. Pulang dan
makan di dewan makan 8 malam lebih. Mandi dan semua pemain hoki pergi prep
malam walau sudah lewat.
Sabtu, 23 Februari
Ke prep pagi lewat sedikit. Makan roti di dewan makan, makan banyak
juga. Buat nota Ilmu Alam sebelum dengar ceramah Persatuan Pengguna Pulau
Pinang. Selepas prep, berehat di dorm. Aku baca majalah, Gelihati dan Selecta.
Tengok album gambar Jamil. Kemudian, aku ke kelas untuk ambil kertas lukisan.
Balik terus aku melukis.
Petang, tonton televisyen perlawanan badminton antara
Republik Rakyat China menentang Indonesia. Kemudian, aku baca akhbar sebelum
aku pergi basuh pakaian.
Malam, ke dewan besar, tonton filem, “Crazy boys in the
supermarket.” Ceritanya menarik tetapi sekejap sahaja tayangannya.
Ahad, 24 Februari
Ke latihan hoki selepas sarapan nasi lemak ikan bilis dua
pinggan. Cikgu Zaki kemudiannya suruh balik dan kami perlu cepat bersedia untuk
inspection seperti yang biasa dilakukan setiap Ahad. Cikgu Fadzil periksa dan
tegur Zahi yang sematkan lencana “I Love You” pada tali lehernya. Kamal kena
juga sebab dia dikatakan tersengih sewaktu beri salam kepada cikgu. Dengar
radio selepas inspection.
Petang, aku makan roti lima ketul. Tengok televisyen
perlawanan badminton. Republik Rakyat China menewaskan Indonesia 5 -4. Baca
akhbar, ada berita mengenai “pemotong kepala.” Pulang ke dorm, aku guna sikat berpisau cukur jenama Camy untuk menipiskan
rambut aku kerana Osman Form 2 tak
beri aku pinjam guntingnya.
Pulang prep malam, aku buat latihan Hisab Moden. Ketua penuntut
bernama gelaran, Pun ambil nama pelajar yang belajar malam di study room. Mat Ki beri aku Milo sebelum
aku tidur.
Isnin, 25 Februari
Hujan renyai. Masuk dewan makan sewaktu pekerja nak tutup
pintu. Pengetua tegur pelajar-pelajar yang tak ambil test serta ada yang pergi
ke rumah kawan tanpa pengetahuan keluarga masing-masing. Industrial Art, Mr Ng
tak datang. Beliau mengajar mengenai pertukangan kayu, manakala cikgu Rashid mengajar
elektrik. Selain dua bidang ini, kami belajar juga mengenai sistem enjin dan
seni logam. Duduk di library dua period. Rehat. English, berlakon dengan
Rahim, Mi Totiaq dan Anuar. Kami lakonkan iklan, “Guinness Stout Is Good For
You.” Ilmu Hisab, dapat keputusan kedudukan dalam kelas bagi Ujian Kemajuan I.
Sufian nombor 1, Wan Azahari kedua, Aidy ketiga, manakala aku nombor 17.
Petang. Pergi ke perjumpaan PBBMSMSPP. Ada pertandingan
berbahas antara kumpulan pelajar 4 Merah – Zainol Hajeed, Dzulkifly dan seorang
perempuan dengan Tingkatan 5 Merah – Shahir Hashim, Rosli Shahrani dan Roslan
Hakim. 5M menang dan pemidato terbaik ialah Shahir.
Main petang, ke latihan hoki. Bola sepak Under 15 lawan Sekolah Menengah Tunku
Abdul Rahman. SMSPP menang 8-1. Under
18 lawan High School B, SMSPP kalah 2-0.
Hari ini, aku kira, 12 helai bulu mata aku tercabut sewaktu
aku lurut.
Selasa, 26 Februari
Kelas pagi. P.E. belajar lontar cakra. B.M. simpulan bahasa.
Rehat. Hisab Moden, belajar selisih dua ganda dua. Agama belajar ayat mengenai
rahsia kebangkitan Nabi Muhammad S.A.W. Sejarah, ulangkaji soalan-soalan dari
buku teks. Kelas petang. Muzik, cikgu ganti, cikgu Sarina suruh ke library.
English, kena beri penerangan mengenai arah seseorang berjalan.
Main petang, ke latihan hoki kerana perlawanan hoki tidak jadi
diadakan.
Makan malam, pekerja dewan makan beri banyak daging kepada
aku. Ke prep malam dan sambung buat latihan Hisab Moden di musala Blok A.
Zailan tertidur sambil bersandar ke dinding kerana mengantuk dan letih agaknya.
Hari ini, aku lurut bulu mata aku lagi, dan tujuh helai gugur.
Rabu, 27 Februari
Kelas pagi. Sains
Paduan ke makmal lalu buat ujian medan magnet. B.M. cikgu baca rencana tulisan
Adibah Amin mengenai cara menulis karangan. Rehat. Ilmu Hisab, belajar rangkaian-rangkaian
ganda dua dan angkisi-angkisinya. Pemain-pemain utama pasukan hoki Under 15 pulang awal untuk pergi
bertanding di luar asrama. Aku tak ikut kerana mereka pergi naik van yang sudah
tentu tiada cukup ruang.
Ke kelas petang. Sebelum masuk kelas, aku ke kantin, beli
biskut bijan. Di sini, "depa" sebut roti lenga, di kampung aku pun sama sebutannya. Sejarah, buat latihan mengenai Kerajaan Melaka. Seni Perusahaan,
tandatangan borang SRP. Angka giliran aku ialah 1606, manakala nombor meja
adalah 106. Kami diberi nota ringkas mengenai mesin pelarik kayu. English,
penyelia datang buat pemerhatian dan beri kritikan bahawa kami malu untuk
menjawab dan lambat mencari makna perkataan-perkataan dalam rencana, “Bird Man.”
Oleh kerana tiada latihan hoki, aku main bola sepak pada
waktu main petang. Waktu prep malam, aku dapat berita, hoki Under 15 kalah kepada Penang Free School,
5-1. Bagaimanapun, Shamil menjadi penyelamat maruah sekolah aku apabila striker yang sering kelihatan tenang ini sumbat sebiji gol. Pulang prep malam, solat Isyak, dan terus tidur.
Khamis, 28 Februari
Kelas pagi. Agama, belajar hadis pertama mengenai tanaman.
Ilmu Alam, belajar mengenai pembalakan dan perikanan di Malaysia. Rehat. Seni
Lukis, cikgu hari ini marah sangat kerana kelas bising, tapi kemudiannya mesra
kembali. Cikgu kemudiannya tanya siapa hisap rokok dan beliau pesan supaya berwaspada
selalu. Kelas petang. B.M. gantinama umum dan pertanyaan. Hisab Moden, belajar
mengangkisikan angganda.
Main petang, tonton perlawanan hoki Under 18 dengan Vokasional Butterworth B, sekolah aku menang 5-0.
Masuk makan malam lewat, oleh itu, aku diberi dua ketul ayam
dan telor goreng yang berlebihan. Hadir ceramah Ustaz Ishak Ahmad dari Kedah
dengan tajuk Peribadi Muhammad S.A.W. Ustaz bagitahu hadis mengenai jika lalat
jatuh ke dalam gelas, terus minum air itu kerana sebelah sayapnya penawar, dan
sebelah lagi beracun. Ustaz bagitahu petua hindar sakit sopak iaitu jangan
makan ikan sambil minum.
Jumaat, 29 Februari
Kelas pagi. P.E. main sepak raga kemudiannya main seperti tarik
tali tapi dengan cara berpegangan tangan kawan sahaja. Pasukan aku menang.
Sains Paduan, buat percubaan medan magnet. Rehat. Waktu Ilmu Alam, guru kelas, cikgu
Anuar datang sekejap untuk ambil tandatangan penerima biasiswa. Sambung belajar
Ilmu Alam mengenai perlombongan. English, buat ayat dengan menggunakan
perkataan-perkataan: so, neither dan nor.
Hujan tapi aku pergi juga solat Jumaat di dewan besar. Ke
perjumpaan scouts, belajar beberapa
cara ikat tali dan kawad. Seorang mandur sekolah datang ajar cara askar
berkawad.
Main petang, latihan hoki dihentikan bagi membolehkan kami
turut sama bantu sorak pasukan bola sepak Under
18 lawan SMK Bukit Mertajam. SMSPP menang 1-0 hasil tandukan Yazid.
Makan malam, aku diberi dua biji telur rebus. Waktu prep
malam, ketua penuntut bernama Idris marah kerana kelas kami bising. Waktu
belajar malam, aku sketch lukisan di
musala.
000
Dalam dua muka surat kosong ruangan NOTES dan satu muka surat untuk February
Account yang tersedia sebelum catatan March 1980 bermula, aku conteng senarai
filem aku sudah tonton sejak awal 1980. 1.Convoy – Panggung Wayang Cheok Sah,
BM 2.Singa Betina – wayang gambar
bergerak di Penaga.
Aku tulis juga beberapa perkataan dan ayat menarik yang aku
ambil dari Terjebak karya Shahnon Ahmad, diterbitkan pada 1964. Novel ini aku pinjam
dari library sekolah. 1.benju
restoran – restoran jamban 2.jambee hana
male – gajus 3.kreung – sungai 4.aneuk mentuah – anak bertuah 5.konhichi-wa – selamat pagi 6.harakiri – bunuh diri cara Jepun 7.arigato – terima kasih 8.Asia no tame ni – Asia untuk Asia 9.Isshoken mini hatarakimasu – bekerja dengan
kuat 10.tsugi – yang di sebelah 11.wata
kusi wa Ito Sensei desu – saya Ito Sensei
12.sore kara – dari itu 13.radio
taisyo – senaman radio 14.wakatta ka? –
mengertikah? 15.hai wakarimasita – ya,
sudah mengerti. 16.Yoroshi – bagus 17.aso
desu ka – oh, begitu 18.dare ka? –
siapakah? 19.Syonan Koa Kurenzyo – Maksudnya
mungkin membabitkan Singapura yang pernah ditawan Jepun pada Perang Dunia
Kedua.
Selanjutnya, aku tulis beberapa barang yang aku perlu beli
segera: 1.sabun dan seluar dalam RM4.00 2.radio RM16.00
3.buku objektif Sejarah RM6.05 4.buku “Keluarga Si Mamat” karya Lat RM3.50
Aku rombak, dan tulis pula: 1.Sabun dan seluar dalam RM3.00 2.Buku “Keluarga Si Mamat” karya Lat RM3.50.
Aku rombak lagi, lalu tulis: 1.buku objektif Sejarah
diterbit Fajar Bakti RM6.05 2.Buku “Keluarga Si Mamat” karya Lat RM3.50 3.stoking panjang RM3.00 4.shampoo
RM3.00 5.dakwat BIC 35 sen
6.bedak RM3.00 7.tuala mandi RM5.00 8.seluar main
RM4.00 9.poncho jenama Toyo RM6.00 dan 10.sabun Asepso RM1.00, manakala aku
tak jadi beli tali ikat cermin mata RM1.00.
Aku seterusnya catat beberapa perkara yang aku perlu usaha dapatkan
semasa Cuti Penggal Pertama: 1.tempah sepasang baju melayu putih. 2.beli samping maroon sekolah 3.buat sendiri tempat letak pen dengan buluh 4.tali untuk scouts
5.seluar jeans biru 6.pisau lipat besar 7.gambar saiz kad pengenalan untuk Kad Pengakap.
Akhirnya, aku catat juga dua benda yang aku sudah beli: ball pen dan buku objektif Ilmu Alam.
Comments
Post a Comment