oleh Sulaiman
Abdullah
21
Sept 2019, lewat pagi, Esah, isteriku, tunjuk isi WhatsApp Anak cucu cicit
Abdullah, Kamal letak gambar ayahnya sedang kritikal di Katil 23 Wad 8A, HTAR
Klang. Berdasarkan pengamatan aku yang pernah lawat seorang abang ipar dan seorang abang biras yang tidak
sedar beberapa hari di hospital, aku berasa aku perlu segera ziarah ayah Kamal,
yang juga abang sebapa denganku itu, setelah aku teliti gambar berkenaan. Tambah-tambah
lagi, ayah Kamal yang aku panggil Abang Mi ini sudah berusia awal 80-an. Sebelum
itu, Esah bagitahu aku seorang ahli Parlimen di Johor, berusia 42 tahun, baru
sahaja meninggal dunia. PRK yang bakal dianjur seawal Okt depan terserlah menguji
kecenderungan pengundi di sana terhadap Piagam Muafakat Nasional - ditunjangi
PAS dan UMNO - yang ditandatangani kedua-dua parti politik ini pada 14 Sep
lalu.
Ke
pejabat jual tiket bas, dekat Pasaraya Fajar yang sudah lama ditutup, dengan
kereta Citra Naza yang dipandu Esah. Sebelum ini, sejak Raya Haji lalu, dia
pakai kereta Vios 1.6, juga kenderaan
terpakai, yang dipinjamkan seorang pemuda Melayu, jurujual kereta, berikutan
kereta baru 7 tempat duduk yang dia pesan, Ezora Premium warna putih, belum
sampai. Kami terpaksa dapatkan kereta lain kerana Proton Saga 1.3 yang sudahpun
habis dibayar hutang itu tak dapat memuatkan aku dan Esah serta 3 anak kami dan
mak aku yang bakal capai usia 85 tahun Dis ini. Mak merungut kakinya sakit
kerana terpaksa berhimpit dengan cucu-cucu perempuannya di belakang kereta lalu
Esah dengan bersemangat bagitahu mak, "Nanti kita beli kereta baru
..." Memang, sebelum itupun, Esah berkali-kali kata kepada aku yang dia
nak pakai kereta baru. Dia guru Bahasa Inggeris, Esah boleh dikata sebagai guru veteran,
sering ke mesyuarat - khususnya membabitkan sekumpulan guru yang cek kertas
Bahasa Inggeris SPM serta hal membabitkan buku teks. Malah, dia juga pernah cek
kertas MUET yang diambil pelajar-pelajar Ting Enam selain kertas Bahasa Inggeris PMR. Sejumlah
mereka berkenaan datang dengan kereta agak mewah, takkan Esah masih berkereta lama! Rakan karib Esah, Kak Sal, ustazah
lulusan al-Azhar, juga terpengaruh, hendak tukar MyVi-nya kepada Honda CRV!
(Sebenarnya, ramai guru
Bahasa Inggeris tak mahu cek kertas soalan kerana ia mengganggu masa cuti
penggal, malah ramai suami yang larang. Selain itu, bukan senang hendak cek
beratus-ratus kertas dengan skima yang rumit. Setiap tahun, simbol tanda
perenggan dan lain-lain kebiasaannya diubah entah siapa! Selain
itu, jawapan yang sebelumnya betul, tiba-tiba datang seorang ketua kawasan kata
salah atau yang salah dibetulkannya pula sehingga kena semak kembali semua
kertas soalan. Pada suatu tahun, penggunaan ejaan ala Amerika Syarikat
dibenarkan! Aku tahu ini kerana setiap tahun aku dengar rungutan Esah!
Selain itu, ada juga guru yang malas dan sekadar cek kerana "dipaksa"
lalu dia buat hal sehingga kertas-kertas yang sepatutnya dia cek
"terpaksa" pula dibahagikan kepada sesama pemeriksa-pemeriksa lain.
Aku sebelum ini, pernah menjadi "editor" beberapa majalah dan akhbar,
dan aku rasa tugas aku tak seteruk cek kertas jawapan peperiksaan! Pada
1990, Nash, pengarang berita BH, pernah sekali suruh aku taip kembali - guna
komputer - tulisan arwah Pak Samad dalam ruangan, Bila Sauh Dilabuh. Pak Samad pakai
mesin taip dan kertas taip zaman dulu-dulu! Ceritanya minggu itu mengenai Operasi Nyah 2, membabitkan penahanan pendatang asing, khususnya warga Indonesia. Tulisannya ok
cuma ada satu ayat yang agak mengelirukan sehingga aku terpaksa buang terus
ayat berkenaan bagi mengelak aku dihentam Nash. Tapi, aku cuak juga, takut Pak
Samad yang turut terkenal garang bakal membantah. Bagaimanapun, beliau tak buat
demikian kerana Pak Samad seorang wartawan profesional.)
"Bawak
kereta deras sikit. Jangan meleret macam kapal masa belok makan jalan kat simpang.
Laju lagi ..."
(Aku berleter semacam seorang pegawai JPJ lelaki yang uji
aku sewaktu aku ambil lesen memandu di Wangsa Maju, KL pada 1990 yang kata,
"Ingat melancongkah?" Aku tekan kuat pedal minyak Datsun 120Y yang
sudah "buruk" atau "usang" terbabit bagi melancarkan
gerakannya setelah aku tukar gear tertinggi iaitu 4 lalu aku hampir tersondol
bontot sebuah bas mini. Mujur aku lulus. Namun, beberapa hari sebelum itu, aku telah
diuji oleh seorang pegawai JPJ wanita yang terus gagalkan aku apabila kereta
yang aku pandu berada di tengah-tengah simpang keluar Kompleks JPJ manakala
lampu yang tadinya hijau sudah bertukar daripada kuning ke warna merah! Lalu
lintas sesak bangat ketika itu. Dan, kakitangan kerajaan, khususnya perempuan,
memang susah bertolak ansur bab peraturan! Namun, pegawai perempuan berkenaan
suruh aku pandu terus ke arah Jaya Jusco dan kembali ke Kompleks JPJ. Sewaktu
melalui jalan lurus, aku tekan pedal minyak sampai habis dan aku kerling
pegawai perempuan berkenaan yang kelihatan agak takut sehingga tidak berkata
apa-apa! Alang-alang sudah digagalkan, lebih baik aku belasah selaju mungkin!)
Selepas
Esah parkir kereta, kami jalan melintas sebuah restoran mamak 24 jam, lalu beli
tiket 12.15 AM ke Klang, berharga RM40 kerana jika naik bas jam 10 PM, aku
bakal sampai terlalu awal. Esah minta tempat duduk solo yang dijawab penjual
tiket wanita itu hanya tinggal dua - satu paling depan, satu paling belakang.
Aku pilih yang depan, betul-betul terletak di belakang pemandu. Esah "takut"
aku duduk sebelah perempuan? Dia tak berasa begitu aku fikir. Dan, aku pula tak
kisah siapapun duduk sebelah aku asal tidak buat perkara jelik. Aku pernah
lihat seorang perempuan duduk di sebelah arwah
TGNA di kerusi pemerhati dalam Parlimen dan yang penting perempuan yang kelihatan
seperti Melayu itu yang datang duduk di sebelah TGNA, bukan TGNA yang sengaja berbuat
demikian. Dan, tak lama selepas itu kelibat TGNA lenyap!
Masa
masih panjang, lalu aku habiskan masa berbual dengan mak setelah kami berdua
kembali ke rumah. "Mak jangan ambil hati kerana anak-anak aku walau depa semua perempuan tapi depa tak berapa suka berbual dengan mak. Mak ajak depa duduk
sembang bawah ni, depa tak nak.Depa lebih suka duk kat atas. Tolong ketip kuku
mak juga depa tak nak. Ajak tido kat bawah lagilah depa tak nak. Oleh kerana
tu, malam ni Esah tido kat katil sofa aku ni. Nanti aku balik, aku tido kat
atas katil sofa ni pulak. Mak nak apa-apa, nanti boleh la mak panggil aku tau
..." "Pagi esok sapa nak buat susu mak." "Pagi esok Esah la
buat. Nanti aku balik, aku buat kat mak." "Berapa hari hang
pegi." "Paling kuat, hari Selasa aku balik." "Hang kata tadi nak buat roti canai." "Ok, aku buat satgi."
(Aku membahasakan diri sebagai aku kerana perkataan cek hanya orang Pulau Pinang pekat yang guna dan kami sekeluarga pula bukan orang Pulau Pinangpun! Perkataan saya pula terasa amat tak sesuai kerana terlalu ke-Kay El-an, ke-Bahasa Melayu-an atau ke-selatan-an.)
Aku
ambil tepung gandum, aku timbang guna penimbang untuk memasak. Malangnya
tinggal 150 gram sahaja dalam bekas. Ikut resepi "sempoi" kena pakai
telur sebiji, garam sesudu teh, margerin dua sudu besar, susu pekat dua sudu
besar, tepung 500 gram dan sedikit air sejuk yang diambil dari peti ais. Aku
guna tak sampai sesudu teh garam, begitu juga margerin serta susu pekat tak
sampai sesudu besar, sikit telur, dan tambah sedikit oat - aku telah kisar
untuk buat air minuman campuran - selepas uli apabila aku lihat doh terlalu lembik. Aku uli, perap kejap, uli lagi
lalu buat bulat-bulat 3 ketul lalu sapu margerin. Perap sejam dua dalam bekas
pelastik sebelum lenyek nipis atas talam besi, tarik bagi lebar dan lebih nipis
lalu lipat buat bentuk 4 segi atas talam besi sebelum masak atas pan. Esah tolong keratkan atas alas
kayu, dan beri beberapa keping kepada mak. Mak makan begitu sahaja tanpa cicah
dengan apa-apapun dan mak kata sedap lalu minta tambah. Esah dengan muka serius
letak lagi beberapa keping. Aku kemudiannya berkata, "Nanti balik aku beli
tepung gandum dan buat lagi tau ..."
(Pada cuti Raya Haji lalu, sewaktu minum kopi susu juga makan bihun goreng di hadapan masjid di kampung aku, Kampung Batu 26, dalam ruangan untuk menjamu selera, bersama beberapa orang kampung yang kebanyakannya sudah tua, selepas solat Maghrib, aku disapa seorang lelaki berusia 60-an. Dia kata, dia pernah bekerja bersama-sama abang G, abang aku, di kilang kelapa sawit dekat Sungei Rotan pada akhir 1980-an. Dia bersara selepas berusia lebih 60 tahun. Dia yang pekat bercakap loghat Kuala Kangsar beritahu aku dia menantu bekas ketua kampung, arwah abang Ajid. Dia kini buka gerai roti canai di Kampung Batu 23. Semasa dia mula duduk di kawasan perkampungan dekat kampung aku ini, dia terkejut kerana berjumpa dengan Muhammad, seorang berketurunan India, yang merupakan kawannya semasa bekerja di sebuah restoran mamak di Bangsar, KL. "Masa itu, sekitar zaman berlaku 13 Mei 1969. Umur saya 15 tahun. Saya dan arwah mat kerja buat roti canai. Kami uli berguni-guni tepung gandum masa awal pagi bersama-sama seorang lagi kawan. Guna berbelas-belas tin susu pekat. Kami bahagi adunan sorang sikit dan uli atas meja." Aku bagitahu dia resepi aku buat roti canai dan tanya kenapa roti canai yang aku buat tak lembut dan tak anjal seperti yang aku makan di gerai atau restoran. "Sebelum letak atas kuali lepas lipat empat segi tu, jangan tekan tapi tarik kat tepi kalau nak bagi beso saiz. Lagi satu, tambah susu pekat tiga camca lagi." Dia kini berniaga dengan dibantu isterinya kerana semua anaknya tidak minat berniaga.)
(Pada cuti Raya Haji lalu, sewaktu minum kopi susu juga makan bihun goreng di hadapan masjid di kampung aku, Kampung Batu 26, dalam ruangan untuk menjamu selera, bersama beberapa orang kampung yang kebanyakannya sudah tua, selepas solat Maghrib, aku disapa seorang lelaki berusia 60-an. Dia kata, dia pernah bekerja bersama-sama abang G, abang aku, di kilang kelapa sawit dekat Sungei Rotan pada akhir 1980-an. Dia bersara selepas berusia lebih 60 tahun. Dia yang pekat bercakap loghat Kuala Kangsar beritahu aku dia menantu bekas ketua kampung, arwah abang Ajid. Dia kini buka gerai roti canai di Kampung Batu 23. Semasa dia mula duduk di kawasan perkampungan dekat kampung aku ini, dia terkejut kerana berjumpa dengan Muhammad, seorang berketurunan India, yang merupakan kawannya semasa bekerja di sebuah restoran mamak di Bangsar, KL. "Masa itu, sekitar zaman berlaku 13 Mei 1969. Umur saya 15 tahun. Saya dan arwah mat kerja buat roti canai. Kami uli berguni-guni tepung gandum masa awal pagi bersama-sama seorang lagi kawan. Guna berbelas-belas tin susu pekat. Kami bahagi adunan sorang sikit dan uli atas meja." Aku bagitahu dia resepi aku buat roti canai dan tanya kenapa roti canai yang aku buat tak lembut dan tak anjal seperti yang aku makan di gerai atau restoran. "Sebelum letak atas kuali lepas lipat empat segi tu, jangan tekan tapi tarik kat tepi kalau nak bagi beso saiz. Lagi satu, tambah susu pekat tiga camca lagi." Dia kini berniaga dengan dibantu isterinya kerana semua anaknya tidak minat berniaga.)
Mak
tidur mengerekot di atas katil sofa aku sewaktu aku nak keluar dengan dihantar Esah
dan Nurul Sofiyah, anak bongsu aku. "Mak aku nak pegi dah. Aku minta maaf
la kerana aku selalu cakap kasar dengan mak," aku ucap dengan rasa
bersalah sambil kucup tepi dahi mak.
Aku
sebenarnya cakap kuat bukan kerana mak kurang dengar tapi untuk desak mak makan
atau minum tanpa terlalu ikut petua entah siapa yang bagitahu. Mak minum hanya
air masak serta susu tepung. Kopi O katanya sembelit, sedangkan tak sampai setahun
lalu, mak buat kopi O hari-hari siap bubuh dalam flask. Sejak mak di bawa berjumpa doktor ketika mak tinggal sekejap
di rumah cucunya, Intan Suhaila di Kampar, Perak dan diberitahu doktor di situ
mak ada sedikit kencing manis dan perlu makan ubat setiap hari, mak terus henti
minum kopi O. Aku nasihat mak: "Mak minum la kopi tapi kurang gula
sikit." Mak minum selepas aku tegur tapi hanya sekali dua, lalu aku suruh
dia minum Milo O pula. Pesan mak pula, "Toksah bubuh gula langsung tau
..." Buah juga mak tak mahu makan, aku pujuk lalu mak makan rambutan
sebiji dua tapi mak langsung tak mahu makan dokong, mempelam, durian, manggis
serta yang lain-lain, yang dulunya mak aku makan. Kata mak, pisang banyak
angin. Tapi, aku paksa juga mak makan pisang sehingga mak kelihatan
"ketakutan." "Tak sakit
perut, bukan?" Kata aku setelah sejam dua berlalu. Esah beberapa hari kemudian
dapatkan betik di pasar setelah dia pula aku "paksa" beli buah. Selalunya,
Esah suka beli apum balik, ketayap, karipap, sepera, bengkang, lepat, nasi
lemak, roti canai selain ikan, ayam dan sayur, khususnya pada hari cuti. Hanya
aku yang asyik beli buah-buahan terutamanya mempelam dan delima di pasar malam,
hari Ahad tak jauh dari rumah aku. Mak bagaimanapun boleh makan betik dan terlajak
suka pula lalu asyik bertanya mana betik? "2 kedai runcit mamak depan tu
tak jual buah. Kedai runcit Acheh tu pulak jual pisang ja." Aku tunjuk
pisang berangan yang aku beli pada harga RM6 sekilogram! "Market
jauh, esok lusa Esah pegi beli," pujuk aku. Aku paksa mak makan buah
kerana mak sembelit teruk sangat minggu
lalu walaupun mak makan sayur bayam berkuah air serta sup kaki ayam - yang sangat digemari mak - setiap hari. Mak juga suka nanas masak lemak kuning serta ayam dan ikan goreng, juga telur dadar. Tapi, mak tak suka pedas! Tapi, aku curi-curi, letak cabai besar semasa aku masak pada waktu siang, untuk uji kepekaan mak, dan aku dapati mak tak perasan langsungpun rasa pedas dalam kuah masakan berkenaan. Disebabkan mak pada suatu hari tiba-tiba mengadu sukar buang air besar, Esah beli ubat dan
mak keesokan harinya terkincit kerana tak sempat ke bilik air bawah yang terletak di
tepi bilik mak tidur. Setelah direndam tuala, kain batik dan yang berkenaan
dalam timba bersama sabun serbuk, aku sendiri berus beberapa jam kemudian kerana
aku tahu Esah tak berapa "lalu" nak lakukan. Lagipun, mak aku
sendiri, mak aku yang dulunya tentu bersusah payah menjaga aku semasa aku
kecil. Moga aku kekal tiada masalah untuk hadap situasi sebegini pada masa
depan, insya-Allah!
(Jangan dok main hentam
kalau cakap loghat Pulau Pinang kerana depa sebut market bukannya pasaq, tau!
Nanti, terasa pulak depa macam seseorang tu nak kutuk cara depa bercakap. Kat
Pulau Pinang juga memang depa sebut pi bukannya pegi. Tapi, apa yang aku tulis
di sini adalah gaya bahasa aku bercakap dengan mak aku!)
Sewaktu
aku nak langkah keluar pintu kaca rumah pada jam 11:45 PM, mak toleh lalu cakap,
"Kirim salam kat depa. Mak tak larat jalan."
(Mak bengkak air
di kaki selain menghidap varicose vein
seperti aku. Oleh itu, mak terkini perlu makan tiga jenis ubat, selain ubat kencing
manis yang mak telan setiap hari - pagi dan malam- sejak beberapa bulan lalu. Sementara itu, aku terlupa
cakap kepada sesiapa pun yang mak aku kirim salam sewaktu aku berada sehari di
Selangor. Sesiapa berkenaan diharap jawab salam Tok Teh jika baca tulisan pak
su ni, ok? Dalam pada itu, mak aku ada ramai cicit juga!)
***
Aku
lambai tangan kepada Esah dan Nurul Sofiyah yang berdiri di tepi jalan sewaktu
bas meluncur tepat jam 12.17 AM seperti tertera pada jam elektronik yang
terletak dekat bumbung di belakang pemandu bas. Hanya anak bongsu aku yang
melambai tangannya kepada aku. Di skrin kecil sebelah kiri pemandu kelihatan
nombor 97.10 dan ketika itu radio Sinar FM sedang menyiarkan lagu RIO, "Bunga
cinta yang dulu mekar mewangi kini layu di pusara bumi ..." Ia diikuti
lagu Roxette, "It must have been love but it's over now
..." Kedengaran jelas walau agak perlahan bunyinya. Bas menuju ke arah BM
untuk ambil penumpang lain, tak kurang daripada 5 orang. Aku terdengar pembantu
pemandu bercakap kepada pemandu ala Indonesia mengenai sebuah kereta, di hadapan bas ekspres yang aku naiki
itu, mengganggu laluan: "Gara-gara dialah ..." Tepat 12:50 AM bas
mencecah lebuh raya. Ketika ini juga pembantu pemandu datang berdiri di lorong
tepi aku lalu bercakap lancar ala pegawai bas pelancong atau seorang DJ tanpa
sedikitpun berloghat Indonesia pula dengan berkata hanya ada satu kerusi
penumpang kosong diikuti pesannya, "Bas ini menyediakan selimut. Tapi,
jangan bawa pulang. Jika hendak, sila beritahu pemandu." Pada sekitar jam
1:50 AM, nombor di skrin bertukar kepada 69.90 dan siaran radio Sinar FM terus
berkemundang. Aku
tak dapat tidur kerana belakang aku berasa sakit.
(Beberapa tahun lalu, aku
pernah di X-ray dan kelihatan suatu regangan yang terletak di antara tulang
belakang nombor 3 dan 4 atau 4 dan 5. Aku telah lupa di celah yang mana satu.
Aku terbujur di rumah, atas katil yang diletak betul-betul tepi bilik air bawah kira-kira
seminggu. Anak sulung aku, Nurul Izzah dan anak kedua, Nurul Asyikin tolong
sapu air ke bahagian tertentu tubuh aku ketika aku hendak ambil air sembahyang.
Aku merangkak bersusah payah seorang diri ke bilik air apabila Esah serta semua
anak aku ke sekolah. Nurul Sofiyah yang ketika itu masih kecil pula cakap:
"Mak mandikan ayah macam baby!" Aku tak boleh sabun sendiri kerana
kedua-dua tangan aku perlu paut jamban duduk bagi mengurangkan rasa sakit!)
Jam
2:50 AM bas masuk terowong kecil, dan kira-kira 5 minit kemudian kelihatan
papan tanda, IPOH. Pada jam 3:00 AM bas berhenti sebentar untuk semua penumpang
ke bilik air atau beli minuman dan makanan di sebuah stesen minyak, rasanya
Petronas. Aku tak turun bas. 4:30 AM bas sampai ke tol memasuki KL. 4:35 AM sampai
Stesen Bas Ekpres Jalan Duta. 4:41 AM tiba KL Central. 5:00 AM cecah Terminal
Bersepadu Selatan. 5:51 stesen bas di Shah Alam aku tempuh. Aku tiba Klang
Central sewaktu radio dalam bas mengalunkan azan Subuh. Ia ditutup setelah bas
melewati Perak, tapi di-ON semula
setelah hampir tiba ke destinasi. Ada beberapa pemandu teksi menawarkan khidmat
tetapi ramai penumpang bas tak ambil termasuk aku. Aku berjalan ke arah beberapa gerai
atau restoran yang terletak di tepi bangunan. Semua pekerja yang aku temui
adalah warga asing - pelayan wanita semuanya warga Indonesia manakala tukang
masak dan pembuat air minuman ramai yang aku dengar bersuara seperti warga
Bangladesh, termasuk penebar roti canai.
Aku masuk ke dalam bangunan yang agak
suram tanpa cahaya terang lalu ternampak tulisan surau pada papan tanda. Dengan
beg pakaian yang aku jinjing, aku terus ke sana. Aku terus solat dengan
kira-kira sepuluh orang lelaki di surau itu tanpa ambil air sembahyang sekali
lagi kerana aku yakin wuduk aku belum batal. Setelah itu, aku keluar ke depan
bangunan - tempat aku masuk tadi - lalu bertanya dengan seorang lelaki
berjanggut sejemput berusia sekitar 40-an mengenai bagaimana cara aku hendak
pergi ke HTAR. "Saya sedang tunggu kawan di sini," jawabnya dan terus
diam. Aku lalu duduk di sebuah kerusi yang terletak di tepi sebuah restoran
lalu lihat persekitarannya yang kotor. Terdapat puting-puting rokok di merata-rata
tempat. Malah, aku lihat seorang pemuda sekitar usia 20-an menjentik puting rokoknya yang
sekadar dihisap separuh ke atas lantai simen. Tak lama kemudian, aku lihat dua perempuan, kelihatan seperti warga Indonesia, bercakap-cakap dalam ruangan bangunan. Seorang datang dengan memegang penyapu ke arah aku, lalu sapu sampah termasuk puting-puting rokok. Aku bangun untuk memudahkan kerjanya, seterusnya masuk bangunan
semula, jalan berpusing-pusing sebelum aku nampak ramai orang sedang duduk di
kerusi dalam ruang yang ada beberapa pengawal keselamatan berpakaian seragam yang sah
berketurunan India. Seorang daripada pengawal keselamatan itu - perempuan - tutup suis beberapa lampu
di siling yang tinggi kerana hari semakin cerah.
Aku
bergerak ke arah yang aku datang tadi lalu masuk ke sebuah kedai menjual
barangan seperti pemetik api, roti, keropok dan lain-lain. Aku ambil sebungkus
roti coklat Gardenia. "90 sen," kata lelaki Melayu penjaga kedai -
mungkin tauke - yang aku jangka berusia akhir 40-an atau awal 50-an berasaskan
wajah serta rambutnya yang sudah beruban. Seorang perempuan, mungkin isterinya,
duduk di bangku yang berada ke dalam sedikit. "Abang boleh bagitahu tak
macam mana nak ke HTAR?" "Kat luar tu abang tunggu bas bayar RM2.
Sampai Klang, abang naik bas hala ke Banting bayar RM1. Kalau abang naik bas
yang ada tanda percuma untuk warganegara Malaysia pun boleh." "Pagi-pagi
lagi dah ada bas?" "Ini bukan kampung, bang. 6:30 AM pun dah ada bas
lalu." "Bukankah pelancong dan warga emas yang tak perlu bayar." "Mana boleh
orang luar free. Mereka datang ke
sini dan sepatutnya bagi keuntungan kepada negara ini," balas abang, yang
sapa aku sebagai abang juga, dengan ramah. Oleh kerana tiada pelanggan lain di
situ, aku terus berbual dengannya, "Kat sini bas sekolah free jugak, kan?" "Mana ada free, mahal bang tambang bas sekolah.
Itu cerita orang politik ja bang!" Tak semena-mena dia bagi tazkirah, "Orang
politik banyak makan duit bang. Tengoklah tu Mat Sabu gaji dia RM50,000 campur
elaun dapat RM80,000. Mana dia ada berjuang untuk orang bawah macam masa dulu
lagi. Banyak isu dia tutup mulut." Kata-katanya tentang jumlah gaji dan
elaun Menteri Pertahanan, aku tak berapa pasti. Tapi, demi untuk mendengar
keluhan golongan marhaen, aku "perangat" hatinya sedikit supaya abang
yang ramah ini terus beri tazkirah kepada aku. "Dah ada peluang tentu
begitulah sikap orang politik berkenaan. Dalam buku sejarah, banyak cerita
mengenai pemimpin terdahulu yang kebendaan. Anak Tun Perak yang nak mengamuk tak jadi mengamuk setelah
dinasihati sedangkan isterinya diperlaku sumbang oleh raja. Dia lari ke arah
selatan." "Saya orang Melaka bang. Tun Perak tu pula lari ke sebelah sinilah
dulu-dulu," balas abang yang ramah itu pula lalu menceritakan mengenai
Hang Jebat. "Hang Jebat tu tak bersalah. Yang bersalah tu Hang Kasturi,"katanya. "Orang kata ramai penulis sejarah berketurunan
India yang telah menulis cerita tak betul mengenai sejarah dulu-dulu, bang.
Dalam novel Pramoedya Ananta Toer, Arus Balik yang saya baca ada menceritakan
seorang shahbandar Melaka berketurunan India lari ke Indonesia bersama-sama
ketulan batu permata setelah negeri ini diserang penjajah Barat, rasa saya
Portugis. Sejarah dulu kini berulang," balas aku. "Itulah, sepatutnya UMNO buang
Najib sebelum PRU14," kata abang ini, semakin menusuk jiwa. Makin
bersemangat kami berbual dan seterusnya berlegar kepada isu lebih sensitif
mengenai skandal seks dan duit derma yang aku tak berapa seronok untuk kongsi
dalam catatan ini. Namun, aku beritahu beliau yang aku dulu seorang wartawan
dan sempat berkata bahawa semua orang yang bercakap mengenai politik perlu elak
terpengaruh dengan cara percakapan yang menghina pemimpin seperti guna
perkataan tak baik seperti bodoh, bangang dan seumpamanya kerana cara ini tentu
tidak mampu mendapatkan sokongan keseluruhan warganegara Malaysia walaupun apa
yang dikatakan orang yang sedang "marah" itu benar. Abang yang baik ini
sebenarnya tak menggunakan sebarang perkataan-perkataan buruk berkenaanpun! Aku
sekadar memperingatinya! Seorang lelaki datang beli pemetik api lalu aku ucap
terima kasih kepada penjaga kedai atau tauke yang berfikiran terbuka ini, lalu
keluar ke tepi jalan.
Aku
bertemu seorang kakak, mungkin adik, berketurunan India - terdapat tanda di
dahinya - lalu aku tanya mengenai cara ke HRAR. "Sekejap lagi bas datang.
Nanti sampai Kelang, naik bas ke Banting. Ada orang panggil
penumpang-penumpang," jawab kakak yang turut ramah ini.
Bas
tiba. Aku pilih tempat duduk yang ada 2 kerusi kosong, di tengah-tengah bas,
setelah ambil tiket daripada pemandunya yang berbangsa Cina. Aku lihat tak
ramai orang berketurunan Melayu berbanding Cina atau India. Dan, rasanya warga
asing lebih ramai daripada penduduk tempatan. Bas 704 Meru-Batu 8 1/2-Klang ini
bergerak perlahan-lahan. Sampai Stesen Bas Klang, aku cari akhbar tapi tiada.
Aku memandang-mandang ke beberapa bas di depan bangunan yang menempatkan
beberapa kedai menjual beg serta restoran, tapi tiada yang menghala ke Banting.
Setelah beberapa minit menunggu, aku tanya kepada beberapa lelaki yang sedang berehat di kerusi-kerusi depan sebuah kedai. Seorang daripada mereka - berkulit cerah seperti berketurunan Pakistan - sedang pegang kertas mungkin jadual atau catatan pergerakan bas. "Kena tunggu kat
belakang lorong tu, bang!" Celah seorang lelaki yang bersuara
"lembut", tapi aku agak pasti dia insya-Allah bukannya mak nyah. Dia
sedang mengunyah kudapan dengan seorang anak saudara lelakinya yang aku pasti
masih di sekolah rendah.
Aku
berjalan ke lorong yang dipenuhi dengan gerai kuih. Berdasarkan pengalaman aku
berniaga di Chow Kit, KL aku rasa ramai pekerja perempuan di gerai-gerai di
sini bukan warga tempatan meskipun suaranya kedengaran seperti Jawa. Aku hendak
naik bas ke Banting tetapi seorang lelaki yang memegang loudhailer mengarah aku naik sebuah bas lain. Aku lihat tercatat
HTAR dan beberapa destinasi lain di dinding bas. Aku terus beri RM1 kepada
pemandunya yang bertubuh kecil, bertopi besbol. Aku duduk betul-betul di
belakang kerusinya. Dia menyalakan rokok Gudang Garam - aku kenal kerana aku
dulu pernah ketagih rokok jenis ini - lalu menghisap dengan rakus. Kemudian dia
bercakap kuat di telefon bimbitnya dengan loghat Sumatera, Indonesia. Dia
bertengkar dengan seseorang yang mungkin saudaranya mengenai masalah wang.
Habis sebatang, dia nyalakan sebatang lagi, dengan tangan kanannya yang memegang
rokok terjuntai di tingkap, namun asapnya tetap menerjah ke dalam bas sehingga amat "memeningkan" aku. Jam
elektronik dekat ruang memandu sudah menunjukkan 8:51 AM, dan aku telah duduk
di situ lebih 10 minit. Seorang perempuan berwajah Melayu, naik lalu duduk di
kerusi sebelah kiri paling depan. Dia bertanya sesuatu kepada pemandu, dan
suaranya kedengaran pelik dan aku rasa dia warga Filipina atau sekurang-kurangnya
Sabah. Dia mengeluarkan failnya yang aku lihat ada nota dan lukisan jahitan
pakaian. Mungkin dia guru mengajar orang menjahit atau dia sendiri yang sedang belajar
kerana usianya sekitar lewat 20-an atau awal 30-an. Dia memakai pakaian
menampakkan betis serta tak bertudung. Bas bergerak setelah seorang lelaki di
bawah, kakitangan syarikat pengangkutan ini agaknya, suruh jalan. Perempuan di
sisi aku itu turun setelah bas tiba di hadapan sebuah sekolah. Aku mengambil
tempat duduknya lalu berkata kepada pemandu, "Tolong henti HTAR ya!"
Pemandu itu sekadar angguk.
Tiba
di sebuah jejantas, pemandu itu suruh aku turun. "Abang naik jejantas ni.
Itu sebelah sana HTAR." Aku ucap terima kasih lalu bergegas turun. Aku
menuju ke depan bangunan yang kelihatan ramai orang. Rupa-rupanya, di situ
tempat kecemasan. Aku tanya seorang pegawai keselamatan Melayu bertudung,
dia suruh pergi ke bangunan sebelah yang ada beberapa ambulans. Aku ke arah
yang ditunjukkan lalu tanya seorang pegawai keselamatan lelaki Melayu yang
duduk di kerusi dan meja kecil di depannya lalu dia suruh ke arah kanan. Aku
bergegas ke arah yang ditunjuknya lalu bertemu tempat kaunter pesakit luar,
manakala kantin di sebelahnya. Aku tanya seorang lelaki tempatan yang datang ke hospital dengan isterinya dan beberapa anak kecil, cara cakapnya
mengesahkan dia berketurunan Jawa, usia sekitar 40-an, lalu dia tunjuk lorong
ke wad berkenaan. Terdapat seorang pegawai keselamatan masih belia turut duduk di kerusi berdepan
meja kecil - juga lelaki Melayu - di tepi lorong lalu aku tanya di mana Wad 8A.
"Abang pergi ke sana tu. Kat situ ada kakitangan. Abang boleh tanya."
Aku berjalan lagi, lalu nampak kawasan seperti tempat penyambut tetamu lalu tanya seorang perempuan di situ lalu dia suruh aku naik lif yang berdekatan ke tingkat 8. Orang tak ramai
kerana waktu melawat sekitar 12:30 PM. Ia tak sama dengan Hospital Seberang
Jaya, Pulau Pinang yang dibuka sepanjang siang pada hari cuti umum. Namun,
pegawai-pegawai keselamatan terbabit tak halang aku masuk mungkin melihat cara
aku tergesa-gesa dengan menyandang beg pakaian sederhana besar di bahu. Dalam
lif ada seorang perempuan seusia dengan aku. "Lif ni macam dah lama saya
rasa," kata aku. Sampai di depan pintu masuk wad 8A aku temui pegawai
keselamatan lagi. Ada sebuah buku besar, mungkin senarai nama pesakit serta katil
masing-masing. Aku terus sebut nama abang aku, "Hussien Abdullah."
Dia mencari lalu membaca: "Katil 25 Mohamad Hussien Abdul ..."
"Ya ... betul tu," kata aku terus masuk untuk mencari abang Mi
sehingga lupa nombor katil sebenar bukannya 23.
Aku ke depan, ke arah tempat
jururawat berkumpul dan kembali ke arah pintu masuk dua kali kerana bukan abang
Mi di katil 23. Tiba-tiba, aku terserempak Aida, anak abang Mi. Dia sapa aku,
"Pak Tamkan?" lalu kami bersalam. Bukan sekadar gelaran, malah memang
sering adik beradik atau orang kampung silap panggil nama aku dan aku tak ambil
berat hal ini. Aida pernah bertugas di Amerika Syarikat sebagai jurutera Shell tapi
sekarang dia bertugas secara kontrak dengan Petronas di Johor setelah lama "berehat"
melahirkan anak sulung lelakinya setelah dia berkahwin kira-kira 10 tahun. Aida dan aku ke katil 25, tepi sekali. Sebelum
itu, aku keliru mencari katil abang Mi disebabkan ada nombor 13A saiz besar
tertampal di dinding panel penghalang di belakang katilnya. Aida lap muka
ayahnya dengan tuala kecil sambil bercerita sedikit-sebanyak dan aku faham
ayahnya sedang tenat. "Pak Su nak apa-apa nanti kakak Nazriah boleh
belikan," kata Aida sambil memegang telefon bimbitnya. Dia kini sudah perasan
dia tersalah sebut tadi. "Beli surat khabar," kata aku. Selepas itu,
Aida beredar, mungkin dia nak membolehkan aku berdua dengan abang Mi, ayahnya
itu. Tapi, abang Mi sudah tidak sedar, bernafas pun hanya menggunakan saluran
oksigen. Ada banyak saluran lain untuk susu, air dan ubat cecair.
Aku
sapa seorang bibik yang menjaga seorang lelaki Cina berusia 75 tahun, difahamkan dia baharu lepas dibedah, yang
terlentang di sebelah katil abang Mi. "Banyak burung merpati," kata
aku apabila aku lihat seekor yang berwarna putih, manakala seekor lagi berwarna
gelap sedang berjalan-jalan cari sisa makanan di celah-celah kaki katil, malah
kaki pelawat-pelawat yang ada kad kebenaran untuk menunggu ahli keluarga
sepanjang malam sebelumnya sehingga ke pagi. Jururawat ramai. Doktor juga ramai sama ada yang
berpakaian seragam atau preman. Bibik bernama Anastasia, dipanggil Lily, itu sekejap-sekejap
menyuakan air dari botol air mineral ke mulut lelaki Cina itu dengan
menggunakan straw. Dia genit tapi
sebenarnya agak berusia kerana kelihatan jambulnya sudah beruban. Ada sebuah
katil di sebelah hujung kaki lelaki Cina itu yang diduduki seorang pemuda Myanmar
yang fasih bertutur dalam Bahasa Melayu - berusia sekitar 20-an, penuh tatoo di belakang dan kakinya, aku dapat lihat kerana dia sekadar memakai kain hospital. Di sebelahnya,
di belakang kaki abang Mi terlantar pula seorang lelaki tua Cina yang berusia mungkin 60 atau awal 70-an, kelihatan
diam, tidur seperti kanak-kanak. Lelaki Myanmar itu tiada siapa yang jaga. Manakala
seorang perempuan Cina, bercermin mata, berseluar jeans pendek menampakkan sebahagian pahanya, menjaga ayahnya, Cina
tua pendiam itu. Dia bercakap dengan lemah lembut, sewaktu
menyapu minyak panas ke kaki ayahnya, dalam dialek Kantonis. Namun, apabila dia
menjawab telefon, mungkin panggilan rakan sekerjanya, loghatnya bertukar kepada
gaya percakapan kebanyakan Cina Pulau Pinang. Rambutnya pendek tanpa sehelaipun
uban, walaupun dia kelihatan paling kurang berusia lewat 40-an. "Ayah kena
strok. Kaki kiri tak boleh gerak. Tapi, dia sebenarnya masuk hospital kerana
demam," katanya fasih dalam Bahasa Melayu. Tiba-tiba, Cina tua yang
terlantar di sebelah katil abang Mi, meraung: "Indonesia ... Indonesia
..." "Syyh ... Suijiao," kata Lily sepatah dalam Mandarin yang
bermaksud tidur. Aku tanya bibik itu kenapa dia sebut Indonesia, bukannya
namanya. "Dia kalau panggil saya, dia sebut Indonesia. Mahu minum air
biasa dia cakap Langkawi. Tadi, dia minta kelapa sawit, saya cakap nanti
isterinya bawakan air kelapa yang dia hendak. Dia kalau mahu air barli,
disebutnya kompleks sukan." Fikir
aku, Cina tua ini mungkin sudah nyanyuk, dan benda yang disebut itu ada kaitan
dengan apa yang dia hendak. Sebagai contoh, dia sebelum ini mungkin sering minum
air barli di sebuah gerai di kompleks sukan. Lelaki Myanmar itu bangun dari
katil setelah memarahi Cina tua itu dalam Bahasa Melayu kerana tidak tahan mendengar suaranya
yang berkumandang tak henti-henti, katanya,
sejak awal pagi sedangkan dia hendak berehat. Apa pula penyakit lelaki muda
Myanmar itu, aku tak tahu kerana aku tak berapa ingin bercakap dengannya yang
kelihatan seperti seorang samseng. Perempuan Cina itu kemudiannya cuba alih
kedudukan ayahnya yang mungkin tak berapa selesa. "Belakang ayah ada kudis
sikit. Bau busuk," katanya kepada aku. Namun, aku tak terbau sebarang yang
kurang menyenangkan walaupun aku duduk di atas bangku pelastik, amat dekat
dengan mereka berdua. Ketiga-tiga mereka - kecuali pemuda Myanmar itu - memakai
lampin pakai buang. Dalam pada itu, Wad 8A ini turut menempatkan ramai pesakit berketurunan India yang aku lihat di
kelompok-kelompok katil lain. Aku tenung ke arah luar melepasi sliding door
kaca yang luas terbuka dan kelihatan jerebu masih ada, tapi tidak terlalu
tebal. Seekor burung gagak kelihatan bertenggek di tepi koridor. Terdapat
jeriji - di sebalik sliding door kaca yang dibuka luas - di tepi katil abang Mi. Ia dimanggakan mungkin bagi mengelak
pesakit yang mengalami kemurungan buat sesuatu di luar jangkaan. Namun, burung-burung
merpati yang jinak boleh masuk melalui ruang celah batang-batang besi jeriji yang
agak luas. Sementara itu, kipas-kipas di siling dalam Wad 8A kelihatan laju berputar bagi meredakan hari yang semakin panas.
Isteri
Cina tua yang baru dibedah itu tiba tak lama kemudian. Dia suap kanji ke mulut
suaminya. Dia memakai seluar panjang dan kelihatan agak bergaya serta kemas.
Selepas beri suaminya makan, dia menjawab panggilan telefon setelah irama lagu
China, "Dayung Sampan" kedengaran beberapa saat. Perempuan Cina yang
menjaga ayahnya yang pendiam itu cuit bahu aku: "Tengok tu takut isteri.
Bila isteri datang tak jerit lagi."
Tak
lama kemudian, Kamal, anak paling tua abang Mi tiba dengan isteri, dikuti
Nazriah bersama anak perempuan sulungnya. Kamal, Nazriah dan anaknya bersalam
dengan aku. Mereka baca al-Quran menggunakan telefon masing-masing di sisi
abang Mi. Seperti Aida, Kamal juga seorang jurutera, dan sebelum ini, dia
pernah bertugas, juga dalam bidang pengeluaran minyak, di Iraq.
(Aku sudah
bertahun-tahun tidak guna telefon bimbit. Oleh kerana ini, aku tak sertai
kumpulan Whats App melainkan punya laman facebook dan blog peribadi yang aku
hanya jengok pada setiap hujung bulan sahaja. Aku difahamkan, banyak medium
lain termasuk Whats App yang boleh dioperasikan dengan komputer, tapi aku lebih
selesa tumpu membaca laman sesawang akhbar dalam dan luar negara serta blog
tertentu.)
Aku
ke bilik air yang tertulis untuk PESAKIT tapi seorang perempuan seusia aku yang
berada dekat situ beritahu aku boleh guna. Aku lihat beberapa helai pakaian
tersidai di tembok - baju, seluar dan tuala. Mungkin milik pelawat atau pesakit
tertentu.
***
Seorang
pengawal keselamatan, pemuda Melayu, masuk ke dalam Wad 8A lalu beritahu orang
ramai masa melawat sudah tamat. Kamal
ajak aku turun makan di kantin bersama-sama isterinya. Kantin terlalu
sesak, lalu Kamal pandu kereta ke Shah Alam untuk menjamu selera di sebuah
restoran. Aku yakin ia milik orang utara kerana ada dua kuali gulai daging di
letak di hadapan muka restorannya. Kuah gulai dalam kedua-dua kuali itu
menggelegak kerana dapur di bawahnya berapi.
Selepas
itu, Kamal berkata dia turut hendak ziarah Abang Din, bekas suami arwah kakak
aku yang kini menghidap gout setelah aku beritahu hala tuju aku selanjutnya.
Abang Din yang kini hanya boleh duduk mengesot serta memakai lampin pakai buang
tinggal di Sungai Cincin, Gombak dengan anak lelaki bongsunya, Amin. Amin sudah
berkahwin dan mempunyai seorang anak
perempuan masih kecil. Abang Din berasal dari Negeri Sembilan, dan mungkin
kerana itu juga dia selesa tinggal di situ, di kawasan yang majoriti
penduduknya berketurunan dari Sumatera, Indonesia. Amin difahamkan menjalankan
perniagaan jeruk buah yang dibuatnya sendiri. Aku solat jamak di rumah sebelah,
rumah ayah mentua Amin. Dan, aku lihat di sekeliling rumah Amin banyak blok
rumah bertingkat yang masih dalam pembinaan.
Aku
pada asalnya - selain melawat abang Mi - turut bercadang hendak melawat
beberapa orang rakan di Chow Kit serta seorang dua wartawan di Harakah serta
sebuah syarikat penerbitan majalah dekat Hospital Tawakal, Jalan Pahang yang difahamkan
bakal ditutup. Aku juga hendak pergi ke HBKL untuk jalani rawatan kecil yang
tidak ditawarkan Hospital Seberang Jaya, Pulau Pinang. Beberapa tahun lalu, aku
kerap ke KL untuk menemani isteri aku yang membuat rawatan yang sama dan kami
tidur satu malam di hotel murah di situ. Bagaimanapun, pinggang aku terasa
berdenyut lalu setelah ditanya Kamal, aku terus beritahu aku hendak ke Stesen Bas
Jalan Duta untuk pulang ke Seberang Jaya, Pulau Pinang.

Tak lama kemudian, bas mula bergerak. Ia seterusnya meluncur semakin laju, potong banyak kenderaan, tapi aku rasa bas yang aku naiki semasa aku menuju ke KL malam semalam, bergerak lebih laju. 8:20 PM bas berhenti, juga di sebelah stesen minyak, tapi kali ini Shell. Aku segera solat jamak sendiri di situ. Semua pelancong remaja dari Eropah yang duduk di kerusi-kerusi paling depan turut turun untuk ke bilik air. Remaja-remaja perempuannya memakai seluar pendek, lalu mengingatkan aku kepada perempuan Cina yang lemah-lembut di HTAR. Mereka berkenaan juga memakai singlet, mungkin cuaca sejuk kira-kira 19 Celcius dalam bas tidak ada kesan kepada tubuh mereka. Aku pula sekadar memakai baju T lengan panjang, yang aku pakai sejak aku naik bas menuju ke KL malam sebelumnya.
Bas
menuju ke Sungai Nibong, di sebelah pulau sana, sebelum kembali ke Seberang
Perai. Aku minta pemandu hentikan kenderaan depan sebuah kuil Hindu, dekat Pacific Mall. Aku ucap terima kasih
sebelum turun seorang diri. Aku lintas jalan tanpa guna jejantas kerana malam
sudah menjangkau 10:30 PM. Aku pernah terserempak dengan seorang lelaki mencurigakan semasa aku menaiki jejantas ini pada waktu malam suatu masa dulu. Walaupun ketika itu aku tak diganggu olehnya, aku tetap tidak berasa selesa! Aku telusuri tepi bangunan menghala ke Lebuh Raya
Utara-Selatan, membacakan al-Fatihah apabila aku memandang tanah perkuburan
yang terletak di sebelah kiri aku. Aku lintas lebuh raya terbabit dengan
berjalan di jejantas merintanginya, dekat Masjid Jamek Seberang Jaya lalu sampai
ke rumah 11 PM lebih. Seperti biasa, seekor anjing yang "ramah"
menyalak sewaktu aku melintas di hadapan rumah tuannya. Aku terlupa bawa kunci
rumah, lalu aku ketuk pagar. Nurul Izzah muncul di sebalik kaca sliding door, diikuti Nurul Sofiyah. Kemudian,
Esah kelihatan memakai tudung lalu keluar ke laman.
"Kenapa
tak call?" Tanya Esah."Mana
ada telefon awam sekarang!" Seperti yang ditaip tadi, aku tak pakai
telefon bimbit, tapi aku ada tulis atas kertas kecil empat nombor telefon anak
saudara aku yang aku simpan dalam dompet, dan aku hanya akan call jika terdesak sangat! "Abang
Mi meninggal dunia pukul 5 petang tadi," kata Esah yang pastinya tahu
menerusi WhatsApp Anak cucu cicit Abdullah. Aku lihat emak yang sedang duduk
diam di sofa satu lagi, yang bukan katil sofa, lalu tanya, "Mak tahu
dah?" "Dah!" Jawab Esah. Aku masak air, rendam terus mee segera
kari; terlalu penat untuk tumis bawang, masukkan sayur, daging dan telur. Aku
buat nescafe panas se-mug, kemudian makan seorang diri setelah
mak aku masuk ke bilik bawah untuk tidur. Kemudian aku minum 100 plus berais kerana terlalu dahaga. Aku
gerak Esah yang tidur atas katil sofa "keramat" aku, bagi telefon
bimbitnya yang sudah dicaj penuh. Esah naik ke bilik utama di atas, manakala
aku ganti Esah tidur di bawah, untuk "memerhati" mak yang sering
bangun kira-kira 3AM untuk ke bilik air. Aku baring atas katil sofa aku yang
keras sambil mengenangkan kebaikan arwah abang Mi. Beliau pernah berikan sejumlah wang untuk membayar yuran semester semasa aku belajar di ITM pada akhir 1980-an. Dan, aku memikirkan juga tentang anak-anak abang Mi - Kamal; Nazriah, pernah belajar di ITM sebelum menekuni kitab di sebuah pondok di BM; Aida; Aini yang berkelulusan Ekonomi dari UIA kini bekerja di LHDN, "Kenit" lepasan bidang kejuruteraan dari ITM tapi kini berhenti kerja lalu menceburi bidang bisnes - katanya inap desa dan cuci kenderaan - bersama-sama suaminya dan Doktor Fadzil, lepasan dari UK, kini bertugas di Kementerian Kesihatan - yang kini bakal menjaga mak mereka, kak Mah.
Comments
Post a Comment