Kisah Aku Main Catur
Aku
tidak tahu apa dah jadi dengan gadis itu. Dia lakukan satu gerakan, dia tahan
nafas beberapa saat, kemudian jangkau tangannya ke arah papan catur semula lalu
sentuh buah yang dia baru letak sebelum itu, bagai mengusap-ngusap atau menjemput
bahagian atas buah itu dengan jari-jarinya yang pucat dan kemudiannya putarkannya
sedikit, gerakkan beberapa milimeter, bisik "J'adoube" dengan
suara mesra, agak tercekik lantas merebahkan kepala berambut perangnya ke atas
tapak tangannya yang montok.
Dia lakukan itu selepas setiap gerakan. Bukan
buah-buahnya sahaja yang dia betulkan kedudukan, dia lakukan terhadap buah-buah
aku juga. Walau aku letak betul-betul, dengan cermat, di tengah-tengah petak,
dia masih ubah sedikit. Fikiran aku mulai terganggu setiap kali aku gerak buah.
Aku tak mampu fikir dengan tepat. Setiap pilihan yang aku ambil kira, segala
kombinasi yang telah aku fikir menjadi kabur. Waktu itu, semua perhatian aku
terfokus kepada bagaimana gadis itu menggerakkan tangannya untuk capai buah
yang telah aku letak, sentuhnya, belainya, angkat sedikit ke udara, lalu letak
di petak yang sama, lantas sebut dalam suara bernada pelik, "J'adoube …"
Ia adalah suatu peraturan. Pemain-pemain boleh ubah
sedikit buah-buah caturnya, malah buah-buah lawan, dengan syarat mereka sebut
perkataan-perkataan magis berkenaan sewaktu melakukannya. Jika mereka tak sebut
perkataan-perkataan itu, peraturan main catur memaksa mereka gerak mana-mana
buah yang mereka sentuh (jika ia buah mereka) atau tawan (jika ia buah lawan),
berasaskan perbuatan terbabit adalah mengikut peraturan main catur yang sedia
ada. Malangnya, tiada dalam peraturan mengenai berapa kali seseorang pemain
boleh gerak sedikit sebarang buah, oleh itu gadis itu mempergunakan haknya pada
setiap gerakan. Malah, kadang-kadang dia lakukan beberapa kali pada selang-seli
gerakan: Dia sentuh kuda putih, atau gajah hitam, atau askar-askar kedua-dua
warna … Tangannya akan menjelajah ke seluruh papan catur, merayap ke sebiji
buah sewaktu dia mengalunkan suaranya bagai dalam keadaan khayal: "J'adoube, j'adoube, j'adoube …"
Dan perlahan-lahan kepala aku diselaputi kabus dan seterusnya kabus itu
bertambah tebal, lalu aku mulai lakukan kesalahan bodoh … dan setiap kali
selepas itu, aku akan kalah kepadanya.
Aku tiba-tiba teringat gadis itu sewaktu aku sedang menghadiri
syarahan Grandmaster Alexei Suetin mengenai
persediaan serta penggunaan taktik psikologi ketika bermain catur. Sewaktu dia
memperjelaskan teori ini, dia berikan banyak contoh bagi membuktikan kebenaran
pendapatnya. Dia beri pelbagai contoh mengenai seorang pemain catur yang
menggunakan taktik psikologi untuk mengalahkan musuhnya. Sebagai contoh: "Ada
seorang pemain catur yang renung tepat mata lawannya pada minit awal dia gerak
buah. Dia tetap pandang ke mata lawannya tanpa hala ke lain, dan dia akan gerak
balas gerakan buah lawannya secepat mungkin, hanya untuk membolehkan dia terus
renung mata lawannya. Tiada peraturan mengenai renung lawan, awak tahu, oleh
itu pihak lawannya tidak boleh mengadu kepada penganjur."
Sebaik sahaja dia berkata mengenainya semuanya menjadi
jelas. Aku dapati tabiat gadis itu yang gerak sedikit buah-buah adalah suatu
strategi pintar untuk meresahkan lawannya. Atau, itulah yang aku fikir dulu;
realitinya tiada sebab seorang gadis berusia 12 tahun mampu untuk memikirkan
strategi seperti itu. Ia lebih kepada suatu bentuk neurosis - keperluan untuk
menyentuh setiap benda secara senyap. Atau dia telah diajar bermain catur oleh
seorang ayah yang buta; sementelah, ramai pemain buta menyertai setiap
pertandingan. Mereka duduk di sebelah dan sering sahaja ramai menonton mereka
berbanding pemain-pemain normal, dan setiap kali lawan mereka gerak buah,
mereka akan raba ke seluruh petak untuk pastikan buah apa yang bergerak dan ke
mana ia digerakkan. Setelah itu, mereka akan duduk diam dengan merenung ke arah bumbung dewan
pertandingan dengan wajah sedih yang membosankan, atau selalunya juga pandang ke
arah pihak lawan yang mereka tidak dapat lihat. Dan, selepas itu mereka akan
raba ke seluruh petak sekali lagi lalu gerak buah mereka.
Dan, sering kali juga pemain buta kalahkan aku, walaupun
tidaklah selalu sangat. Kadang-kadang selepas bermain, seorang daripada mereka
akan minta aku hantar ke perhentian bas terdekat. Mereka akan lipat papan catur
yang ada lubang pada setiap petak, lalu selit di celah sebelah lengan, lalu
tangan satu lagi pegang tangan aku supaya aku boleh pandu mereka ke perhentian
bas-perhentian bas yang terletak berhadapan sebuah dewan orkestra. Aku akan
bagitahu mereka nombor-nombor setiap bas yang berhenti di situ sehingga aku
sebut nombor bas yang mereka akan naik. Aku akan bantu mereka naik bas dan
kemudiannya, setelah baru sahaja kalah kepada seorang pemain buta, akupun
pulang …
Apa-apapun boleh berlaku ketika dulu sewaktu bermain
mengikut sistem pertandingan Swiss. Ada suatu hari itu seorang askar Russia
muncul. Dia berpipi kemerah-merahan, datang dari sebuah wilayah pedalaman. Dia
datang terus sertai pertandingan dari garison. Dia lewat, dan masih
tercungap-cungap sewaktu duduk menghadap papan catur lalu menewaskan semua
orang, pusingan demi pusingan … Dia kalahkan semua: pemain-pemain buta, gadis
yang suka gerak sedikit buah, malah pemain-pemain paling hebat dan mereka yang
akhirnya bertaraf grandmaster. Dia
tinggalkan kami, memusnahkan maruah kami dengan sering kali muncul sebagai
juara. Dan, suatu hari dia kembali ke garison dan itulah kali terakhir kami
lihat dia. Dia mungkin sudah tamat berkhidmat untuk negara dan dia dihantar
pulang ke wilayah pedalaman di mana dia datang dulu. Kini, dia mungkin sedang
duduk-duduk, sudah tua, seorang pemabuk, yang akan menang sebotol vodka dalam
pertandingan catur dengan seorang penduduk tempatan, setiap kali dia kehabisan
arak berkenaan.
Kenapa aku memikirkan mengenai askar Russia itu
sekarang? Ia adalah disebabkan ada seorang lain yang aku perkatakan: Grandmaster Suetin, mengajar kanak-kanak
dalam kelas catur mengenai persediaan psikologi lalu bermain catur secara
serentak dengan murid-muridnya. Aku turut duduk di situ. Aku gerak satu
langkah, kemudian gerak lagi. Grandmaster
Suetin berjalan keliling, menjelajah segenap ruang bilik. Dia ada dua puluh
atau dua puluh lima murid untuk diatasi, tewaskan seluruh murid dalam kelas itu
secara seorang diri. Grandmaster
Suetin adalah seorang yang bertubuh sasa - seseorang mungkin kata dia gemuk -
tapi hal ini bukan suatu masalah; catur mungkin suatu bentuk sukan, tapi ia
bukan seperti olahraga yang memerlukan bentuk tubuh yang sesuai. Grandmaster Suetin punya semuanya, dan
dia ada keyakinan yang ditonjolkan dalam gaya dia bergerak agak cemerkap ke
meja-meja catur yang diatur dalam bentuk segi empat tepat. Ada sesuatu yang
ketara: sekali dua sewaktu dia berjalan ke arah aku, aku lihat ke atas dan aku
dapati bahawa di sebalik kacamata besar yang bertenggek di atas batang
hidungnya, di belakang cermin bagai kaca bekas jem, bola matanya kelihatan
lebih besar dan tertonjol keluar berbanding kebiasaannya. Dan, melihat mata itu
tiba-tiba menimbul suatu idea putar-belit! Aku fikir mengenai apa yang Grandmaster Suetin beritahu kami, pemain
yang menang dengan cara merenung pihak lawan semasa bertanding, dan aku
tiba-tiba juga dapati dek kerana taktik bagus ini wujud, dan kerana tiada cara
yang boleh dilakukan oleh pihak lawan untuk menghentikannya, maka tiada alasan
terbaik untuk menafikan aku mengamalkannya, pada masa itu.
Sebaik sahaja sampai giliran aku, aku angkat kepala
lalu renung mata Grandmaster Suetin. Dia lihat ke bawah kepada aku, gerak buahnya
lantas berlalu pergi, kelihatan tidak tergugat. Dia melangkah dalam bentuk
janggal keliling bilik, dengan tenang gerak buahnya, dan terus berpusing. Aku
meningkatkan tahap renungan, dengan bosan ke arah belakang, kemudian kepala,
dan kemudian ke sebelah mukanya. Apabila dia kembali ke meja aku, dia
mengerling ikut tepi, buat gerakan selanjutnya lalu berlalu ke arah sebelumnya.
Aku lihat ke papan catur. Ia adalah permainan gaya Sepanyol. Aku mahir cara
bermain begitu. Aku membuat keputusan secara pantas lalu meneruskan permainan,
gerakkan buah aku dan kembali memandang tajam ke arah belakangnya …
Dan, sewaktu aku buat begitu, aku fikir mengenai gadis
yang sering gerak sedikit buah-buah catur: "Aku tak sabar untuk main
dengan awak tak lama lagi," fikir aku. "Aku akan tunjukkan kepada
kau! Aku akan tenung ke dalam mata kau sehingga kau benar-benar gelabah, kesian
kau, dan kau takkan dapat fokus kepada papan catur dan tangan kau mula terketar-ketar dan suara
kau akan pecah, dan kau takkan dapat fikir sebarang gerakan bagus, dan kau
malah takkan mampu menyebut 'J'adoube’ dengan suara tercekik kau, dan
kemudiannya kau akan lihat, kau akan lihat aku kembali memperolehi kekuatan
diri, kau akan lihat aku membelasah kau - tanpa belas kasihan! …”
Tapi, ketika itu bukan masanya untuk aku fikir
mengenai seorang gadis. Aku sedang bermain dengan seorang grandmaster. Bukan masanya juga ketika aku bermain pada peringkat permainan
berkenaan. Bukan ketika aku - kebiasaannya diam, bersopan santun, minat belajar
- tiba-tiba menjadi seorang yang amat berani, mengatasi sifat aku yang sering
malu, mulai menggerakkan buah tanpa ragu-ragu, tak langsung mengalihkan
pandangan terhadap pihak lawan, malah sehingga aku cuba bertentang dengan mata
pihak lawan yang merenung di sebalik kacamata yang besar berkenaan. Sekali
sekala aku berjaya melakukannya, dan aku lihat matanya memaparkan perasaan
marah, tiada perasaan belas kasihan. Dan, apa lagi yang boleh dia bertindak
balas setelah dia ajar murid-muridnya suatu taktik baru, terus sahaja seorang
budak yang baru menerima ilmu itu tanpa rasa malu gunakannya untuk menentang
gurunya tidak sampai setengah jam kemudian!
Kami di peringkat pertengahan permainan. Aku lihat
bawah ke papan catur dan tidak percaya kepada apa yang aku pandang. Jelas aku punya
kelebihan; malah aku hampir pasti dalam posisi menang. "Ia memang
berguna!" Aku berfikir dalam fikiranku sendiri. Grandmaster Suetin datang semula, berhenti sejenak depan papan
catur aku. Aku pandang kepadanya dengan wajah degil. Dia bongkok lalu
menggerakkan buahnya, sewaktu dia buat begitu dia semakin condongkan badannya
ke arah aku lalu bercakap mendesis ke telinga aku secara agresif, tapi dengan
perlahan supaya tiada sesiapa dapat mendengarnya: "Berhenti renung
saya!"
Aku jadi takut.
Tiba-tiba aku menjadi seorang budak yang bersifat
selamba, malu, kuat belajar kembali. Aku menundukkan kepala dan merenung kasut.
Aku berasa Grandmaster Suetin beredar,
dan setelah itu aku sekadar lihat diam-diam papan catur aku. Aku hendak lihat
gerakannya. Namun, sekeliling aku kabur. Aku fokus tenungan aku sehingga aku
boleh lihat posisi buah-buah catur. Aku jatuhkan kepala kembali lalu merenung
kasut. Aku fikir pilihan-pilihan gerakan balas dalam kepala. Aku cuba fikir
bagaimana aku hendak kembali berjuang …
Dia kembali ke arah aku … Aku fikir aku sudah dapat
jawapannya …
Dia berdiri depan aku … Aku renung ke atas, cuma
sedikit, lalu gerakkan buah aku. Dia bertindak balas dengan menghentak satu
buahnya ke atas papan catur lalu berjalan pergi. Dia selesai pusingan
selanjutnya sebelum aku angkat kepala aku. Dan, kemudiannya. Dan, kemudiannya.
Aku sudah kalah. Aku telah hilang kelebihan yang aku miliki sebelumnya. Dan,
aku dengar dia bercakap mendesis ke telinga aku sekali lagi: "Berhenti
renung saya!"
Dan, tiba-tiba aku berasa marah! Aku marah! Apa hak
yang dia ada? Kenapa dia bagitahu aku supaya berhenti lakukannya? Dia sendiri
kata: Saya tidak langgar sebarang peraturan? Dan, sekarang dia langgar
peraturan! Atau mungkin tidak. Mungkin dia sekadar cuba guna psikologi …
Seperti mana yang aku lakukan terhadapnya …
Dan, tiba-tiba aku tak lagi berasa ditakut-takutkan,
dan aku dengan bangga angkat kepala untuk lihat dia. Dia sudah bergerak kembali
ke arah aku. Dan, seorang budak yang mengikut kata bagaimanapun merenung dengan
keras hati menentang mata seorang grandmaster
yang terbuka luas. Dia tidak alih pandangannya terhadap aku. Dia datang ke arah
aku lalu menjegil marah kepada aku, aku tahu yang ketika itu adalah masa untuk
aku kukuh mempertahankan diri aku … dan, aku lakukannya. Dia datang ke papan
catur aku. Dia berdiri depan aku. Dia lihat ke bawah ke arah aku. Dia menelan
tubuh aku dengan matanya. Aku renung dia.
Grandmaster Suetin tak lihat pun ke papan catur. Dia renung ke bawah, ke
dalam mata aku, melahap badan aku … Aku renung dia kembali. Aku terketar-ketar,
tapi aku masih merenungnya. Mata aku tak berkelip …
Dan, aku berjaya akhirnya. Aku mengatasi renungan
matanya. Dia alih pandangan, dia lihat ke papan catur, dan dengan hentakan
keras buah ke atas papan catur, dia gerak buahnya lantas berpaling pergi.
Ketika itu, hanya beberapa orang daripada semua murid yang masih bermain,
mungkin sekitar tujuh. Ia sudah berakhir buat mereka yang lain. Dan, ini
bermakna dia kembali ke papan catur aku lebih cepat. Aku terus renung dia,
dengan selamba, dan terus bermain dengan gaya mengingkarinya … dan aku menang.
Dalam permainan catur, yang kalah akan menyalami
tangan pihak yang menang sebagai isyarat mereka mengaku kalah. Ia adalah suatu
bentuk adat dan persoalan membabitkan etika. Tapi, ada cara lain, kaedah tak
rasmi, juga untuk menamatkan permainan - seseorang berkata ia cara kurang
bersopan santun - iaitu merebahkan raja ke atas papan catur apabila seseorang
berasa dia akan kalah.
Grandmaster Suetin menjatuhkan rajanya - atau menghentak rajanya
- ke atas papan catur lalu berjalan keluar tanpa bersalam dengan aku …
Aku renung dia buat kali terakhir.
Ia mungkin kemenangan paling bermakna dalam hidup aku.
Aku kemudiannya tak lagi berpengalaman untuk menang seperti itu.
Bagi gadis yang sering gerak sedikit buah di atas
papan catur, aku tak pernah bermain dengannya lagi. Kami sering bertanding
dalam kejohanan yang sama, tapi takdir - atau lebih tepat adalah kerana undian
- menyebabkan kami tidak pernah bermain bersama lagi. Aku bermain buah putih
sewaktu dia bermain buah putih, atau aku berada pada rank lebih tinggi manakala gadis itu lebih rendah, atau gadis itu
berada pada rank lebih tinggi
manakala aku lebih rendah. Dan, aku berasa ingin sangat main catur bersamanya …
Aku tak dapat menahan rasa ingin sangat bermain dengannya … Aku sudah sedia
untuk guna taktik renung …
Tapi, seringkali gadis kecil berambut perang itu duduk
bertentangan dengan orang lain, menggerak-gerak sedikit buah-buah pihak
lawannya bukan buah-buah aku, menewaskan orang lain atau mungkin - siapa tahu?
- dia kalah … Dan, suatu hari, beberapa
budak lelaki menarik aku keluar Chess
Place lalu belasah aku. Tiada siapa pernah pukul aku sebelum itu. Ia adalah
pengalaman aku dipukul dengan teruk.
Aku tak ingat kenapa budak-budak lelaki itu henyak
aku, adakah kerana mereka tidak sukakan aku, apa yang aku telah lakukan
terhadap mereka … tapi aku buat kesimpulan kemudiannya bahawa mereka mengajar
aku kerana tak suka dengan perangai aku. Aku kena hentam sebab kebiadapan aku
kepada Grandmaster Suetin.
Mengaku kalah dalam permainan catur lantas
meninggalkan Chess Place begitu
sahaja telah memalukannya. Dan selepas itu, pada suatu kejohanan, aku berada
pada kedudukan tercorot dalam enam belas peserta - dengan hanya mendapat
setengah mata. Aku seterusnya datang lagi lalu kalah … muncul semula, lalu
tewas … Aku berlawan dengan perasaan marah dan kecewa, tetapi entah kenapa aku
sering sahaja kalah. Aku mula bersembunyi di dalam rumah aku. Ketika itu, aku
sentiasa tipu ayah aku. Kadang-kadang aku beritahunya aku dapat keputusan seri,
atau menang. Ayah aku berasa amat seronok setiap kali aku menang, bagaimana
kecil kemenangan berkenaan, disebabkan dialah yang memperkenalkan catur kepada
aku dan dia begitu berharap aku boleh bermain dengan baik. Aku tak mahu
melukakan hatinya dengan mendedahkan betapa teruk kekalahan yang aku hadapi.
Aku peroleh setengah mata yang malang itu sewaktu
bermain dengan seorang berketurunan India. Mereka terbabit mengejek aku secara
berdepan: "Orang India itu fikir kau adalah seorang pemain yang amat
hebat, dan inilah satu-satunya sebab dia terima permohonan seri. Dia dapat
kalahkan kau jika dia tahu perkara sebenar!"
Aku main permainan terakhir aku lalu berlari keluar
sepantas mana kaki aku dapat melonjak. Aku tak lihat ke belakang langsung.
Aku mulai benci permainan ini. Aku mulai benci catur.
Semua perkara itu terasa bagaikan suatu kekalahan amat
besar ketika itu. Kekalahan kepada seorang gadis yang gerak-gerak sedikit
buah-buah catur, dikalahkan oleh pemain buta, dibelasah di hadapan Chess Palace, setengah mata yang celaka,
tempat tercorot dalam kejohanan, mereka yang memperlekeh aku …
Kenapa satu kemenangan besar aku mengalahkan Grandmaster Suetin membawa kepada bentuk ganti rugi semua itu?
Tapi, suatu hari aku sedar bahawa catur boleh
menyebabkan kekalahan lebih teruk, dan hari itu ialah hari aku mendengar khabar
kematian jurulatih pertama aku, Shota Intskirveli. Dia telah melatih ramai
juara dunia, tapi dia ditemui meninggal dunia dalam sebuah rumah yang
tingkap-tingkapnya pecah pada era 90-an. Dia mati kerana kesejukan dan
kelaparan …
Sewaktu kami masih kanak-kanak, dia sering letak si
kecil periang, Keti Abashidze atas lututnya ketika dia memberi nasihat mengenai
cara permainan kami, dan ajar kami pelbagai cara gerak mula permainan serta
taktik. Setiap kali aku lihat si kecil periang itu, aku tak boleh berfikir tepat
dan hilang pedoman terhadap apa yang diperkatakan jurulatih itu mengenai posisi
buah-buah di atas papan catur.
Dan, setiap kali dia melagakan Keti Abashidze menentang
aku, aku akan kalah, seperti mana yang telah aku hadapi sewaktu berlawan dengan
gadis yang suka menggerak sedikit buah-buah catur berkenaan.
Aku bertemu semula si kecil periang itu setelah aku
tamat universiti. Dia masih periang seperti dulu-dulu. Perempuan itu jemput aku
ke rumahnya di Vake. Aku pergi. Kami minum teh, mengenangkan kembali kisah masa
kecil, lalu dia berkata "Jika kita nak lawati masa silam kita …"
lantas kami duduk main catur. Yang kelakar ialah dia belasah aku lagi, kemudian
dia tersenyum bagai memperli aku dan berkata "Kenapa aku sentiasa kalahkan
kau?"

Nota saya: Diterjemah
berasaskan terjemahan Elizabeth Heighway bertajuk My Story of Chess.
Karya asal bukan fiksyen ini ditulis dalam Bahasa Georgia. Gambar di sebelah kiri atas ialah Grandmaster Alexei Suetin.
Comments
Post a Comment