oleh
Chimamanda Ngozi Adichie
Hang fikir semua
orang di Amerika ada kereta dan senjata api; pak cik-pak cik dan mak cik-mak
cik serta sepupu-sepupu hang fikir begitu juga. Sebaik sahaja hang menang
loteri berupa visa ke Amerika, depa kata: Dalam tempoh sebulan, hang akan ada
sebuah kereta besar. Sedikit masa lepas tu, sebuah rumah besar. Tapi, jangan
beli senjata api seperti warga-warga Amerika berkenaan.
Depa secara berkumpulan, serbu bilik di Lagos, di mana hang tinggal
dengan ayah dan mak juga tiga saudara kandung hang, depa bersandar pada dinding
yang tak bercat, sebab tidak cukup kerusi, untuk ucap selamat tinggal dengan
suara kuat, tapi cakap perlahan mengenai apa yang depa hendak hang kirimkan kepada
depa. Berlainan dengan kereta dan rumah besar (dan mungkin juga senjata api),
benda-benda yang depa hendak adalah kecil - beg tangan, kasut, minyak wangi dan
pakaian. Hang kata okey, tak ada masalah.
Seorang pak cik hang di Amerika, yang dulu letak nama semua ahli
keluarga hang dalam peraduan loteri untuk dapatkan visa ke Amerika, kata hang
boleh tinggal dengan dia sehinggalah hang boleh berdikari. Dia ambil hang di
lapangan terbang lalu belikan hang hot
dog besar bersalut mustard kuning
yang meloyakan tekak hang. Salam pengenalan Amerika, dia kata sambil ketawa.
Dia tinggal di sebuah pekan kecil dipenuhi orang kulit putih, di Maine, di
sebuah rumah berusia 30 tahun, di pinggir sebuah tasik. Dia beritahu hang yang
syarikat tempat dia kerja telah tawarkan dia beberapa ribu melebihi gaji biasa,
ditambah dengan pilihan memiliki saham kerana depa terdesak untuk
mempelbagaikan perniagaan depa. Depa letak gambar dia dalam setiap brosur,
termasuk yang tak berkenaan dengan unit tempat dia bekerja. Dia ketawa dan kata
kerjanya bagus, berbaloi tinggal di sebuah bandar keseluruhan penduduknya orang
kulit putih meskipun isterinya pernah pandu satu jam untuk cari kedai dandan
rambut perempuan kulit hitam. Muslihatnya ialah memahami Amerika, faham Amerika
bermaksud perlu tahu apa yang patut diberi dan apa yang patut diterima. Hang
lepaskan banyak benda tapi hang peroleh banyak benda lain pula.
Dia ajar hang cara pohon kerja sebagai juruwang stesen minyak di Main Street dan dia daftar nama hang di sebuah
kolej komuniti, di mana perempuan-perempuan berpeha montok dan kuku bercat
dengan pengilat merah terang serta depa sapu krim gelap seperti kena sinaran
matahari yang membuatkan kulit depa kelihatan oren. Depa tanya di mana hang
belajar Bahasa Inggeris dan adakah hang memang ada rumah yang sempurna di
Afrika dan adakah hang pernah tengok kereta sebelum hang datang ke Amerika.
Depa ternganga tatkala memerhati rambut hang. Adakah ia terpacak atau jatuh
berjurai apabila hang lepaskan tocang? Depa nak tahu sangat. Semuanya tercacak?
Macam mana? Kenapa? Hang guna sikat tak? Hang senyum ketat-ketat apabila depa
tanya soalan-soalan itu. Pak cik hang bagitahu, hang patut jangka semua soalan
berkenaan; campuran jahil dengan sombong, katanya. Kemudiannya dia bagitahu hang
mengenai ucapan jiran-jirannya, beberapa bulan setelah dia pindah ke rumahnya, bahawa
tupai-tupai mulai lenyap. Depa pernah dengar orang kata yang warga Afrika makan
pelbagai jenis binatang liar.
Hang ketawa sakan bersama-sama pak cik hang dan hang rasa bagaikan di
kampung halaman semasa berada di rumahnya, isterinya panggil hang nwanne, adik perempuan, manakala dua
anaknya yang masih bersekolah panggil hang mak cik. Depa bertutur Igbo dan makan garri di waktu tengahari dan suasana memang bagaikan di kampung
halaman. Sehinggalah pak cik hang ceroboh ruang bawah tanah yang sesak, di mana
hang tidur bersebelahan kotak-kotak dan kadbod lama, lalu rangkul hang secara
paksa, ramas punggung hang, dia juga mengerang. Dia bukannya pak cik hang yang
sebenar; dia adalah abang kepada suami kakak ayah hang, tiada hubungan darah.
Setelah hang tolak dia, dia duduk atas katil hang - sementelah rumah itu rumah
dia - lalu tersenyum dan berkata hang bukan lagi seorang budak-budak apabila
berusia dua puluh dua. Jika hang terima dia, dia akan buat banyak perkara untuk
hang. Perempuan bijak buat begitu setiap masa. Apa hang fikir mengenai perlakuan
semua perempuan di kampung halaman hang di Lagos yang berjaya dapat pekerjaan
bergaji tinggi? Malah, perempuan-perempuan di bandaraya New York?
Hang duduk dalam bilik mandi berkunci sehinggalah dia kembali ke atas,
dan pagi esoknya, hang keluar, berjalan di laluan yang panjang dalam
tiupan angin, menyedut bau anak ikan dari tasik. Hang lihat dia pandu laju -
dia sentiasa, sebelum itu, tumpangkan hang ke Main Street - dan dia tak bunyikan hon. Hang terfikir-fikir apa
yang dia akan bagitahu isterinya, kenapa hang keluar. Dan, hang teringat ayat yang
dia pernah kata, Amerika adalah apa yang patut diberi dan apa yang patut diterima.
Perjalanan hang berakhir di Connecticut,
di sebuah bandar kecil lain, kerana ia adalah hentian terakhir bas Greyhound yang hang naik. Hang masuk ke
dalam restoran yang jerijinya berkilauan dan bersih, lalu bagitahu hang sanggup
kerja bergaji kurang dua dollar
berbanding pelayan-pelayan lain. Pengurusnya, Juan, rambutnya warna dakwat
hitam manakala senyumannya memperlihatkan sebatang gigi emas. Dia kata dia tak
pernah punya kakitangan Nigeria tapi semua pendatang kerja kuat. Dia tahu, dia
pun pernah begitu. Dia akan bayar upah kurang satu dollar, tapi cara bawah meja, dia tak suka dengan pelbagai cukai
yang depa arah dia bayar.
Hang tak mampu untuk ke sekolah, kerana hang perlu bayar sewa sebuah
bilik kecil dengan permaidani dipalit kotoran. Selain itu, bandar kecil di
Connecticut tiada kolej komuniti, manakala bayaran untuk ambil kredit di sebarang
universiti di negeri ini terlampau mahal. Oleh itu, hang ke perpustakaan awam,
hang selidik sukatan pelajaran dalam beberapa laman sesawang sekolah dan baca beberapa
buah buku. Kadang-kadang, hang duduk atas tilam yang rasanya berketul-ketul, di
katil kembar hang, lantas terkenang kampung halaman - mak cik-mak cik hang yang
jaja ikan kering dan buah-buahan, pujuk pelanggan-pelanggan dan kemudiannya
jerit makian apabila depa enggan beli; pak cik-pak cik hang yang minum gin tempatan tapi sesakkan
keluarga-keluarga depa dengan tinggal dalam bilik-bilik single; kawan-kawan hang yang datang untuk ucapkan selamat jalan
sebelum hang berangkat, untuk meraikan hang menang loteri visa ke Amerika,
untuk beri pengakuan yang depa cemburu; ibu bapa hang yang sering berpegangan tangan
sewaktu depa ke gereja pagi-pagi Ahad, jiran-jiran dari bilik sebelah ketawa
dan menyakat depa; bapa hang yang bawa balik akhbar-akhbar lama bosnya dan
paksa saudara-saudara lelaki hang baca; mak hang yang gajinya sekadar cukup
untuk bayar yuran sekolah menengah saudara-saudara lelaki hang, di mana
cikgu-cikgu bagi A apabila seseorang selit sekeping sampul surat coklat.
Hang tak pernah perlu bayar untuk dapatkan A, tak pernah selit sampul
surat coklat kepada seorang cikgu pun semasa di sekolah menengah. Namun, hang
guna sampul surat coklat panjang untuk hantar separuh daripada gaji bulanan
kepada ibu bapa hang dengan gunakan alamat parastatal
di mana mak hang pernah kerja sebagai tukang cuci; hang sering guna duit kertas
dollar yang diberi Juan kerana ia tak
berkerunyut, bukan seperti wang tip. Setiap bulan. Hang balut duit baik-baik
dalam kertas putih, tapi hang tak tulis surat. Tak ada apa-apa yang nak
ditulis.
Minggu-minggu berikutnya, bagaimanapun, hang hendak tulis surat kerana
hang ada cerita yang hendak diberitahu. Hang berasa nak tulis mengenai kejutan
membabitkan sikap terbuka di Amerika, bagaimana bersungguh-sungguh depa
bagitahu hang mengenai mak depa lawan kanser, mengenai kak ipar depa yang
keguguran, perkara-perkara yang seseorang sepatutnya rahsia atau dedah hanya
kepada ahli-ahli keluarga yang bakal berdoa supaya pihak yang berkenaan kembali
sihat. Hang nak tulis mengenai sikap pelanggan-pelanggan yang tinggalkan banyak
sangat sisa makanan di atas pinggan-pinggan depa dan renyukkan beberapa duit
kertas satu dollar, bagai ia suatu
bahan sembahan untuk tebus dosa kerana membazir. Hang nak tulis mengenai
kanak-kanak yang menangis sambil tarik-tarik rambut perangnya dan tolak kad
menu jatuh meja dan ibu bapanya tak arah dia diam, tapi pujuk rayu dia, kanak-kanak mungkin
lima tahun, kemudiannya depa semua
bangkit lalu beredar. Hang nak tulis mengenai orang kaya yang pakai pakaian
selekeh dan berkasut sukan buruk, kelihatan bagai seorang jaga waktu malam di
sebuah kawasan luas di Lagos. Hang nak tulis mengenai orang kaya Amerika yang
kurus, manakala orang miskin Amerika yang gemuk, dan ramai yang tak ada rumah
dan tak ada kereta besar; hang masih tidak yakin mengenai senjata api kerana ia
mungkin ada dalam poket depa.
Bukan hanya kepada ibu bapa hang yang hang nak tulis, ia juga untuk
kawan-kawan hang, dan sepupu-sepupu dan mak cik-mak cik serta pak cik-pak cik
hang. Tapi hang tak mampu dapatkan minyak wangi dan pakaian dan beg tangan dan
kasut, cukup untuk sertakannya, kerana hang masih bayar sewa dengan upah kerja
pelayan, dan oleh itu hang tak tulis kepada sesiapa pun.
Tiada yang tahu hang berada di mana kerana hang tak bagitahu sesiapa
pun. Kadang-kadang, hang berasa semacam orang halimunan lantas cuba berjalan
menembusi dinding bilik hang ke laluan dalam bangunan, dan apabila terhantuk ke
dinding, ia meninggalkan bengkak-bengkak di lengan hang. Sekali, Juan tanya
jika ada lelaki yang pukul hang kerana dia akan tolong belasah, lalu hang
lontarkan ketawa misteri hang.
Di waktu malam, sesuatu akan belit leher hang, sesuatu yang hampir cekik
hang sebelum hang tidur.
Ramai pelanggan
restoran tanya bila hang sampai dari Jamaica, kerana depa fikir setiap orang
kulit hitam berloghat asing adalah warga Jamaica. Atau, segelintir yang teka
hang orang Afrika, bagitahu hang yang depa suka gajah-gajah dan berhasrat untuk
menyertai safari.
Oleh itu, apabila seorang lelaki tanya hang, dalam kesuraman restoran
setelah hang lafaz menu istimewa hari berkenaan, negara Afrika mana hang
berasal, hang kata Nigeria dan jangka dia sudah derma duit untuk memerangi AIDS
di Botswana. Tapi, dia tanya pula sama ada hang Yoruba atau Igbo, kerana
wajah hang tak kelihatan seperti Fulani. Hang terkejut - hang fikir dia mungkin seorang pensyarah antropologi di
universiti tempatan, sedikit muda dalam usia kira-kira akhir 20-an, tapi apa
nak dikata? Igbo, kata hang. Dia
tanya nama hang lalu kata Akunna adalah nama yang cantik. Dia tak tanya
maksudnya, mujur juga dia tak tanya, kerana hang meluat apabila orang berkata,
"Harta Ayah? Maksud awak, ayah awak akan jual awak kepada seorang
suami?"
Dia beritahu hang dia pernah ke Ghana dan Uganda dan Tanzania, minat
sajak Okot p'Bitek serta novel-novel Amos Tutuola dan telah banyak baca mengenai
negara-negara Afrika Sahara, sejarah-sejarahnya, kekompleksannya. Hang sebenarnya
ingin terasa dihina, untuk membolehkan hang memperlihatkan reaksi hang sewaktu
hang hantar pesanan, kerana perangai orang kulit putih yang terlajak suka
Afrika dan depa yang suka Afrika sikit-sikit adalah serupa - depa gemar melakukan
hal yang merendahkan martabat. Tapi, dia tak geleng kepala bagai seorang yang berkuasa
sebagaimana Profesor Cobbledick lakukan sewaktu hang di kolej komuniti di Maine
semasa perbincangan dalam kelas mengenai
pembebasan daripada penjajahan di Afrika. Dia tak pamer gaya Profesor
Cobbledick, gaya seorang yang berasa dia lebih bagus daripada kaum-kaum hampa yang
dia tahu. Dia datang keesokan harinya dan duduk di meja yang sama dan apabila
hang tanya sama ada ayam rasa okey, dia tanya sama ada hang dibesarkan di
Lagos. Dia datang hari ketiga dan mulai bercakap sebelum dia buat pesanan
bahawa dia sudah lawat Mumbai dan kini hendak lawat Lagos, untuk lihat
bagaimana orang di sana hidup, seperti di penempatan melarat, berikutan dia tak
pernah lakukan perbuatan bodoh pelancong sewaktu dia di negara asing. Dia cakap
dan cakap, dan hang terpaksa bagitahu dia bahawa ia bertentangan dengan dasar restoran.
Dia tempuh tangan hang tatkala hang letak gelas air. Hari keempat, apabila hang
lihat dia sampai, hang bagitahu Juan hang tak mahu layan pelanggan di meja itu
lagi. Selepas syif malam itu, dia tunggu di luar, pakai fon telinga, ajak hang
keluar dengan dia kerana nama hang seirama dengan hakuna matata, dan The Lion
King adalah satu-satunya filem sedih yang dia suka. Hang tak tahu apa benda
The Lion King. Hang tenung dia dalam cahaya terang dan dapati matanya
berwarna minyak extra-virgin, hijau
keemasan. Minyak zaitun extra-virgin
adalah satu-satunya benda yang hang suka, amat suka, di Amerika.
Dia seorang senior di sebuah
universiti tempatan. Dia bagitahu umur dia dan hang tanya kenapa dia tak tamat
belajar lagi. Ini Amerika tentunya tak seperti kampung halaman hang, di mana
universiti-universiti sering ditutup sehingga pelajar-pelajar tambah tiga tahun
kepada tempoh biasa belajar manakala pensyarah-pensyarah tak habis-habis tunjuk
perasaan dan masih juga tak dibayar gaji. Dia jelaskan dia guna tempoh beberapa
tahun untuk mencari diri dia dan melancong, kebanyakannya ke Afrika dan Asia.
Hang tanya di mana dia akhirnya menemui dirinya lalu dia ketawa. Hang tak
ketawa. Hang tak tahu yang seseorang boleh pilih begitu sahaja untuk tak pergi
belajar, seseorang boleh tetapkan kehidupannya. Hang telah biasa dengan
menerima apa yang kehidupan beri kepada hang, bagai menyalin tulis apa yang
kehidupan berikan kepada hang.
Hang kata tak nak keluar dengan dia, selama empat hari selanjutnya,
kerana hang kurang selesa cara dia pandang wajah hang, amat tegang, menghadapi
cara dia melihat ke muka hang membuatkan hang nak kata selamat jalan kepada dia
tapi ia turut membuatkan hang teragak-agak untuk meninggalkannya. Dan kemudian,
pada malam kelima, hang berasa panik apabila dia tak berdiri di depan pintu
selepas syif hang habis. Hang berdoa buat pertama kali sejak suatu tempoh sudah
lama hang tak berdoa, lalu dia datang dari arah belakang hang lalu jerit hoi, hang kata ya, hang akan keluar
dengan dia, sebelum dia tanya hang. Hang berasa gusar dia tak akan tanya lagi.
Esoknya, dia bawa hang pergi makan malam di Restoran Chang dan fortune cookie hang ada ada dua cebisan
kertas. Kedua-duanya kosong.
Hang tahu yang hang
mulai berasa selesa apabila hang bagitahu dia yang hang tonton Jeopardy yang muncul di kaca TV restoran
dan mendapati hang berasal-usul mengikut turutan berikut: perempuan-perempuan
berkulit ada warna, lelaki-lelaki kulit hitam, dan perempuan-perempuan kulit
putih, sebelum akhirnya lelaki-lelaki kulit putih, yang bererti hang tak pernah
berasal-usul untuk membolehkan hang rapat dengan lelaki-lelaki kulit putih. Dia
ketawa dan bagitahu hang yang dia sudah biasa untuk tidak dikaitkan dengan
asal-usul, mak dia mengajar pengajian mengenai wanita.
Dan hang tahu yang hang semakin rapat dengan dia apabila hang bagitahu
dia yang bapa hang bukan sebenarnya seorang cikgu sekolah di Lagos, dia seorang
yang baru kerja sebagai pemandu di sebuah syarikat pembinaan. Dan hang bagitahu
dia mengenai suatu hari di jalan di Lagos, bapa hang pandu Peugeot 504 yang sudah goyah; ketika itu hujan dan tempat duduk
hang basah kerana ada lubang akibat karat di bumbung. Lalu lintas sibuk, lalu
lintas sentiasa sibuk di Lagos, dan apabila hujan ia menjadi huru-hara.
Jalan-jalan dipenuhi lopak-lopak berlumpur lalu kereta-kereta tersekat dan
beberapa orang sepupu hang keluar dan buat duit dengan menolak kereta-kereta
yang tersekat itu. Hujan, jalanan digenangi air, fikir hang, membuatkan bapa
hang terlambat menekan brek pada hari itu. Hang dengar bunyi hentaman sebelum
hang berasa gegarannya. Kereta yang bapa hang rempuh itu besar, keluaran luar
negara dan berwarna hijau gelap, dengan lampu depan keemasan bagai mata seekor
harimau bintang. Bapa hang mula menangis dan malah meminta ampun sebelum dia
keluar kereta lalu rebah tubuhnya rata di atas jalan, menyebabkan bunyi hon
bertalu-talu kedengaran. Minta maaf tuan, minta maaf tuan, dia berdikir. Jika
tuan jual saya dan keluarga saya pun, tuan tak boleh beli walau sebiji tayar
kereta tuan. Minta maaf tuan.
Lelaki Besar yang duduk di belakang tidak muncul, tapi pemandunya
keluar, memeriksa kerosakan, lihat melalui hujung matanya ke arah bapa hang
yang terbongkang bagaikan permohonan ampun itu suatu bentuk pornografi, suatu persembahan
yang dia segan akui yang dia suka. Akhirnya dia lepaskan ayah hang. Dia lambai
tangannya menyuruh ayah hang pergi. Bunyi hon kereta-kereta lain kedengaran
manakala pemandu-pemandu menyumpah seranah. Apabila bapa hang kembali ke dalam
kereta, hang enggan melihat bapa hang kerana dia macam babi-babi yang berkubang
dalam paya-paya di sekitar pasar. Bapa hang kelihatan seperti nsi. Najis.
Setelah hang bagitahu bapa hang mengenainya, dia kerutkan bibir, pegang
tangan hang lalu berkata dia faham apa yang hang rasa. Hang tarik untuk
bebaskan tangan hang, tiba-tiba berasa jengkel kerana bapa hang fikir dunia
adalah, atau sepatutnya, penuh dengan manusia seperti bapa hang. Hang bagitahu
bapa hang bahawa tiada apa yang perlu difahamkan, ia adalah kejadian yang
sering berlaku.
Dia temui kedai
Afrika itu melalui Hartford yellow pages
lalu pandu hang ke sana. Dek kerana cara dia berjalan ke sana-sini,
mencondongkan botol wain kelapa untuk melihat berapa banyak keladak, pemilik
kedai Ghana itu tanya dia sama ada dia orang Afrika, seperti mana orang kulit
putih Kenya atau Afrika Selatan, dan dia jawab ya, tapi dia sudah lama berada
di Amerika. Dia kelihatan gembira kerana pemilik kedai itu percayakannya. Hang
masak petang itu dengan menggunakan apa yang hang beli, dan setelah dia makan garri dan sup onughu, dia muntah di sinki. Begitupun, hang tidak kisah, kerana hang
boleh masak sup onughu campur daging
pula.
Dia tak makan daging kerana dia percaya bahawa cara depa bunuh binatang
adalah salah, dia kata depa sebarkan toksin penakut ke tubuh binatang lalu
toksin itu membuatkan manusia paranoid. Di kampung halaman hang, kepingan
daging yang hang makan, ketika ada bekalan, cuma bersaiz separuh daripada jari
hang. Tapi hang tak bagitahu mengenainya. Hang juga tak bagitahu dia bahawa
kiub-kiub dawadawa yang mak hang guna
untuk masak apa-apa sahaja, kerana kari dan thyme
terlalu mahal, ada MSG, sebenarnya MSG. Dia kata MSG menyebabkan kanser, itulah
sebab dia suka ke Restoran Chang; Restoran Chang tak guna MSG.
Suatu hari, di Restoran Chang, dia beritahu pelayan yang dia baru sahaja
melawat Shanghai, dia boleh bercakap beberapa patah perkataan Mandarin. Pelayan
itu sedia dirinya lalu tanya apa sup paling sedap dan kemudiannya tanya dia,
"Awak ada kawan perempuan di Shanghai sekarang?" Dia senyum dan tidak
jawab apa-apa pun.
Hang hilang selera, kawasan dalam dada hang berasa tersekat. Malam itu,
hang tak mengerang ketika tidur bersama dengannya, hang gigit bibir hang dan
pura-pura hang tak sampai ke puncak kerana hang tahu dia akan risau. Kemudiannya, hang
bagitahu dia kenapa fikiran hang terganggu, walaupun hang sering ke Restoran
Chang bersama-sama dia. Meskipun hampa bercium sebelum kad menu tiba, lelaki
China itu mungkin beranggapan hang bukan teman wanita dia, dan dia tersenyum
tanpa kata apa-apa. Sebelum dia minta maaf, dia renung hang lama, kosong, dan
hang tahu yang dia tak faham apa yang hang maksudkan.
Dia belikan hang
hadiah dan apabila hang bantah mengenai harganya, dia kata datuk dia di Boston
orang kaya tapi dia segera menokok yang orang tua itu banyak bagi derma dan
oleh itu dana amanah dia tak besar. Hadiah-hadiahnya membingungkan hang. Sebiji
bola sebesar penumbuk yang hang perlu goncang untuk lihat benda kecil seperti
patung berwarna merah jambu berputar-putar ke sana ke mari. Seketul batu
berkilauan yang warna permukaannya menjadi sama dengan apa-apa pun yang
menyentuhnya. Sehelai selendang mahal yang dilukis coraknya dari Mexico.
Akhirnya, hang bagitahu dia, suara hang tegang dalam ironi, bahawa sepanjang hidup
hang hadiah-hadiah adalah benda-benda yang ada guna. Batu, sebagai contoh, ada
maknanya jika hang boleh kisar sesuatu benda dengannya. Dia ketawa panjang dan
kuat tapi hang tak ketawa. Hang sedar bahawa cara kehidupannya ialah dia boleh
beli hadiah-hadiah asal sahaja ia adalah hadiah-hadiah dan tiada sebab lain,
bukan kerana kegunaannya. Apabila dia mula belikan kasut dan pakaian serta
buku-buku, hang bagitahu dia supaya tak buat begitu, hang tak mahu apa-apa
hadiah langsung. Dia beli juga lalu hang simpan untuk sepupu-sepupu dan pak
cik-pak cik serta mak cik-mak cik hang, suatu hari nanti hang akan berpeluang
lawat depa, walaupun hang tak tahu bagaimana hang akan mampu beli tiket
selain bayar sewa.Dia kata dia amat teringin lihat Nigeria dan dia mampu
bayar untuk hampa berdua ke sana. Hang
tak nak dia belanja untuk membolehkan hang lawat kampung halaman hang. Hang tak
mahu dia pergi ke Nigeria demi menambahkan lagi nama negara dalam senarai di
mana dia ternganga, melopong atau melongo melihat kehidupan orang miskin
sedangkan orang miskin berkenaan tak boleh ternganga, melopong atau melongo
melihat kehidupan sebenar dia. Hang bagitahu dia mengenainya, pada suatu hari
yang menyaksikan matahari terang benderang sewaktu dia bawa hang melawat Long Island Sound, dan kedua-dua hampa
bertengkar, suara hang kuat kedengaran sewaktu hang berjalan di pinggir air
yang tenang. Dia kata hang salah apabila anggap dia bersifat lebih membenarkan
diri dia sendiri. Hang balas, dia sebenarnya salah apabila anggap hanya orang
miskin di Mumbai adalah orang India yang sebenar. Adakah ini bermakna dia bukan
warga Amerika asli berikutan dia tak seperti orang miskin yang gemuk yang hang dan
dia pernah lihat depa semasa hampa di Hartford? Dia bersegera mendahului hang,
bahagian tubuh atas dia terdedah serta pucat, selipar dia memercikkan sedikit
pasir, tapi kemudiannya dia kembali dan menghulur tangan ke arah hang. Hampa
kembali mesra, bermadu kasih dan hang menyentuh rambut dia dan dia menyentuh
rambut hang, rambutnya lembut dan kuning serta berumbai seperti jagung,
manakala rambut hang gelap dan melambung-lambung bagai isi bantal. Dia terdedah
kepada cahaya matahari dan kulit dia menjadi warna tembikai masak lalu hang
cium belakangnya sebelum hang sapu losyen ke atasnya.
Benda yang dengan sendiri belit leher hang,
hampir cekik hang sebelum hang tertidur, mulai longgar, beransur-ansur melepaskan
hang.
Hang perasan
terhadap reaksi orang sekeliling yang lihat hampa berdua ganjil - yang teruk
bersikap terlalu teruk, manakala yang baik bersikap terlalu baik. Ramai lelaki
dan perempuan tua kulit putih mengomel dan merenung dia, lelaki kulit hitam
menggeleng kepala sewaktu memandang ke arah hang, wanita kulit hitam dengan
mata belas kasihan mempamerkan keluhan yang hang tiada maruah, depa lihat hang
sebagai seorang yang benci diri sendiri. Atau, wanita kulit hitam yang berikan senyum
solidariti; lelaki kulit hitam yang berusaha untuk memaafkan hang dengan
ucapkan hai! kepada dia; lelaki dan perempuan kulit putih yang berkata
"Pasangan Menarik" terlalu jelas, terlalu kuat, bagai depa nak
buktikan sifat keterbukaan depa kepada diri masing-masing.
Namun bagi ibu bapa dia; depa hampir membuatkan hang fikir ia normal.
Mak dia bagitahu hang yang dia tak pernah bawa balik seorang perempuan pun untuk
menemui depa, melainkan pasangan prom
semasa sekolah menengah, dia terkerisin dan kaku sambil memegang tangan hang.
Kain alas meja melindungkan tangan-tangan hampa yang digenggam bersama-sama.
Dia ramas tangan hang dan hang ramas tangan dia kembali dan tertanya-tanya
kenapa dia begitu kaku, kenapa matanya yang berwarna minyak zaitun extra-virgin jadi malap ketika dia bercakap
dengan ibu bapa dia. Mak dia gembira apabila dia tanya hang sama ada hang pernah
baca karya Nawal el-Saadawi dan hang kata ya. Bapa dia tanya sejauh mana
makanan India sama rasa dengan makanan Nigeria dan usik hang mengenai
pembayaran bil. Hang tatap depa dan rasa lega apabila depa tak memerhati hang
bagai trofi eksotik, seperti gading gajah.
Selepas itu, dia bagitahu hang mengenai masalah dia dengan ibu bapa dia,
bagaimana depa bahagikan kasih sayang seperti kek harijadi, bagaimana depa akan
bagi dia potongan yang lebih besar jika dia setuju melanjutkan pelajaran dalam
jurusan perundangan. Hang berasa ingin simpati. Tapi hang menjadi marah.
Hang bertambah marah apabila dia bagitahu hang dia enggan ke Kanada
bersama depa seminggu dua, ke kotej musim panas di kawasan pedalaman Quebec.
Depa, malah, minta dia bawa hang. Dia tunjukkan gambar-gambar kotej itu dan
hang tertanya-tanya kenapa ia digelar kotej sedangkan bangunan-bangunan sebesar
itu di kampung halaman hang adalah bank dan gereja. Hang jatuhkan sebiji gelas lalu
pecah berderai atas lantai kayu keras pangsapuri dia dan dia tanya hang ada
apa-apa masalah, namun hang diam, hang mulai menangis. Hang renung air yang
tumpah bercampur dengan tetesan air mata hang dan hang tak tahu kenapa hang
menangis.
Hang akhirnya
tulis surat ke kampung halaman hang. Surat pendek kepada ibu bapa hang,
terselit di antara helaian dollar
keras, dan hang tulis alamat hang. Hang terima jawapan beberapa hari kemudian,
dengan courier. Emak hang tulis
sendiri; hang perasan melalui tulisan cakar ayam, perkataan-perkataan salah
ejaan.
Bapa hang sudah meninggal dunia; bapa hang tersembam atas stereng kereta
syarikat. Lima bulan lalu, mak hang tulis. Depa telah guna sebahagian wang yang
hang kirim untuk menganjurkan upacara pengkebumian terbaik: Depa sembelih
seekor kambing untuk jamuan kepada tetamu dan kebumikan ayah hang dalam sebuah
keranda cantik. Hang meringkuk atas katil, tekan lutut ke dada hang, dan cuba
ingat apa yang hang telah lakukan sewaktu bapa hang meninggal dunia, apa yang
hang telah lakukan dalam bulan-bulan selepas bapa hang meninggal dunia. Mungkin
bapa hang meninggal dunia pada hari hang berasa meremang bulu roma di seluruh
tubuh, keras bagai beras belum dimasak, yang hang tak mampu perjelaskan, Juan
usik hang mengenai hang patut ambil alih tugas tukang masak supaya haba di
dapur dapat hangatkan tubuh hang. Mungkin bapa hang meninggal dunia pada salah
satu daripada hari-hari hang memandu ke Mystic atau menonton drama di Manchester
atau menikmati makan malam di Restoran Chang.
Dia peluk hang sewaktu hang menangis, betulkan rambut hang, dan dia
tawar kepada hang dia beli tiket untuk dia pergi bersama hang ziarah keluarga
hang. Hang kata tidak, hang perlu pergi sendirian. Dia tanya adakah hang akan
datang kembali lantas hang ingatkan dia yang hang ada green card dan hang akan kehilangannya jika hang tak datang dalam
tempoh setahun. Dia kata hang tahu apa yang dia maksudkan, adakah hang akan
datang kembali, datang kembali?
Hang berpaling ke arah lain tanpa kata apa-apa, dan apabila dia memandu
kereta ke lapangan terbang, hang peluk dia erat-erat untuk tempoh yang lama,
lama sangat, dan kemudian hang lepaskan dia.
Nota:
1.
Parastatal ialah organisasi atau
industri, khususnya di beberapa negara
di
Afrika, yang memiliki kuasa politik untuk berkhidmat secara tak langsung kepada
rakyat.
2.
Prom ialah majlis meraikan tamat
sekolah menengah di Amerika. Pada malam berkenaan, semua pelajar lelaki dan
perempuan datang dengan pasangan masing-masing. Bagaimanapun, adat ini tak
sesuai diikut oleh mana-mana pihak di Malaysia.
3.
Green card ialah kad pendaftaran,
dulunya berwarna hijau, yang membenarkan seseorang pendatang asing tinggal dan
bekerja di Amerika.
4. Cerpen di atas asalnya di tulis dalam Bahasa Inggeris dengan tajuk, The Thing Around Your Neck. Penulisnya adalah seorang feminist, dan sudah tentu perjuangannya itu tak mengikut citarasa saya. Namun, saya pernah baca novelnya, Half of a Yellow Sun yang berkisar mengenai peperangan saudara di Nigeria, dan pada pandangan saya, gaya penceritaannya amat baik.
5. Berdasarkan carian dalam internet, saya temui maklumat berikut ini. Chimamanda dilahirkan pada 15 September 1977
dalam sebuah keluarga besar kaum Igbo. Ibu bapanya bekerja di Universiti
Nigeria, Nsukka. Ayahnya, James seorang pensyarah statistik, manakala
maknya, Grace sebagai pendaftar. Sejak zaman kanak-kanak, dia minat buku dan pembelajaran, jadi tidak menghairankan bahawa
perjalanan pendidikannya adalah sesuatu yang menarik. Beliau mulanya belajar dalam bidang perubatan seiring mengedit majalah,The Compass di universiti di mana ibu bapanya bekerja. Dia sedar
dia tak sesuai menceburi bidang perubatan lalu bertekad tukar arah. Pada 1997,
Chimamanda ke Amerika Syarikat. Dia asalnya belajar sains politik dan
komunikasi di Universiti Drexel, Philadelphia, tetapi kemudiannya melanjutkan
pelajaran ke Universiti Connecticut Timur untuk tinggal lebih dekat dengan
kakaknya. Ketika inilah dia mula merasa dia berbeza kerana warna kulitnya,
sebagaimana yang diceritakannya dalam novelnya, Americanah. Pada 2001, dia lulus dari Universiti Connecticut
Timur dengan ijazah sarjana muda. Dua tahun kemudian, dia mendapat ijazah sarjana dalam penulisan kreatif dari Universiti Johns Hopkins, dan kemudiannya
menerima ijazah sarjana dalam kajian Afrika dari Universiti Yale pada 2008. Sejak
dia remaja, Chimamanda suka menulis. Pada tahun 1997, dia menghasilkan koleksi
puisi bertajuk 'Keputusan', dan setahun kemudian, dia menerbitkan drama 'For Love of Biafra'. Selepas itu,
cerpen-cerpennya mendapat pengiktirafan antarabangsa apabila 'You in America' disenarai pendek
untuk menerima Caine Prize pada 2002, 'The
Harmattan Morning' menjadi pemenang bersama BBC World Service Short Story Awards pada tahun yang sama, dan 'Kedutaan Amerika' menang Anugerah O. Henry pada 2003. Novel Adichie juga
berjaya mendapat sambutan di seluruh dunia. 'Purple
Hibiscus', novel pertama Chimamanda yang diterbitkan pada 2003,
memenangi pelbagai anugerah, termasuk Hadiah Komanwel 2005 untuk Buku Terbaik. Beliau seterusnya menerbitkan 'Half of a Yellow Sun'
pada 2006, 'The Thing Around Your Neck' pada 2009, 'Americanah' pada 2013, 'We
Should All Be Feminists' pada 2014 dan 'Dear
Ijeawele, Manifesto Lima Belas Perkara'
pada 2017. Setiap buku atau kisahnya telah diiktiraf secara kritikal sehingga namanya
dimasukkan ke dalam beberapa senarai orang yang paling berpengaruh, termasuk Time 2015. Dia muncul berceramah di TED dua kali, pertama dengan kuliahnya
mengenai 'Bahaya Cerita Tunggal' pada 2009, dan kemudian 'Kita semua harus
menjadi feminis' pada 2014 yang kemudiannya diubahsuai menjadi sebuah buku. Biografi
Chimamanda tidak lengkap tanpa menyebut nama suaminya, Ivara Esege. Orang mengatakan
bahawa di sebalik setiap lelaki yang berjaya ada seorang wanita, tetapi dalam
kesnya, Esege adalah penyokong terbesar Chimamanda. Suaminya yang dilahirkan pada 4 Ogos 1967 adalah seorang profesional dalam bidang perubatan di Pusat Perubatan Universiti Maryland. Dia dan Chimamanda
tinggal di Amerika Syarikat, tetapi Chimamanda sering pulang ke Nigeria. Chimamanda sering menggambarkan Esege sebagai suami dan ayah yang sempurna. Kedua-dua
mereka bertemu melalui ibu bapa masing-masing ketika mereka masih muda, dan pada 2009 mereka memutuskan untuk mengikat hubungan. Pada 2016, mereka peroleh seorang
bayi perempuan, namanya masih dirahsiakan. Esege mengambil cuti untuk
menjaga anak mereka semasa bulan pertama hidupnya.
Comments
Post a Comment