SAYA
SNIPER KURDISH
oleh
Azad Cudi
A.
Cerita
ini diambil daripada sebuah memoir, Long
Shot: The Inside Story of the Snipers Who Broke ISIS, diterbitkan Atlantic Monthly Press dan telah berada
di pasaran sejak Februari 2019. Ia dipromosi dalam majalah Harper's Magazine edisi Januari 2019 dengan menyiarkan sebahagian
daripada isinya. Namun, cerita ini jelas bias
kerana penulisnya berlatar belakang Kurdish. Sejarah bangsa ini diserlahnya
begitu hebat, manakala kenyataan pemimpinnya, Ocalan diagung-agungkan. Bagi mengelak
anda keliru pula, ungkapan jihadi saya terjemahkan khusus sebagai
ISIS kerana excerpt ini juga secara
khusus memaparkan peperangan antara Kurdish dengan ISIS. Yang pasti, pada
pandangan saya, perkataan perang jihad tak sesuai langsung untuk diganding
dengan cara perjuangan ISIS sepertimana yang secara halus cuba ditonjolkan oleh
penulis cerita ini dengan menggunakan beberapa istilah Islam. Namun begitu, saya
terjemah karyanya kerana gaya penulisannya agak menarik untuk dipelajari. Dalam
pada itu, jika dewasa ini kita pernah dengar ungkapan Budaya Politik Matang
maka sila baca cerita ini - jika anda berminat - dengan amal Budaya Baca
Matang. Azad, 35, seorang warga British, bertugas di sebuah stesen televisen di
Stockholm apabila perang saudara meletus di Syria. Dia kemudiannya mendaftar
sebagai pejuang dalam Tentera Sukarela Kurdish, YPG.
B.
Saya
kadang-kala baca juga bahagian Book
Review dalam akhbar atau majalah
tempatan, begitu juga ulasan buku Bahasa Melayu dalam internet. Kebanyakannya
diulas seseorang wartawan yang mungkin baca secara imbas sebelum mengulas
sehingga bentuk isi sebenar buku terbabit tak jelas. Sebaliknya, jika diulas
oleh golongan intelektual seperti pensyarah, maka ungkapan yang diguna pula mungkin
terlalu akademik atau berbeza langsung dengan gaya bahasa penulis buku yang
beliau ulas. Oleh itu, pada saya lebih baik hanya excerpt sesebuah buku disiar
media massa terbabit dan biar pembaca yakni bakal pembeli menilai sebahagian
tulisan berkenaan dan buat kesimpulan sendiri sama ada karangan penulisnya bagus
atau tidak. Dan, sudah pasti tiada yang bakal tertipu dengan ulasan seseorang wartawan
atau pensyarah berkenaan yang kadang-kadang terlajak memuji.
C.
Bagi
yang ingin baca cerita di bawah, saya syorkan anda baca separuh dan cuba teka jantina Azad.
Insya-Allah, separuh daripada anda akan gagal dalam ujian ini lalu membuktikan
cerita yang ditulisnya ini memang ada style.
Salah teka tak apa kerana ini bukan subjek Sejarah bagi SPM! Jawapannya ada
di bahagian NOTA, di bawah sekali. Baca separuh, teka, baca lagi sampai habis dan baru
tengok jawapannya. Jangan mengelat! Lagi satu, tak komen tak apa. Baca ja la. ☺☺☺
(Peta oleh Enrique Moreiro)
Saya ada
macam-macam nama, tapi sebagai seorang sniper
saya dikenali sebagai Azad yang bermakna "bebas" atau
"merdeka" dalam Bahasa Kurdish. Saya telah berjuang selama 16 bulan
di wilayah Kurdish, di Syria utara apabila pada April 2015 saya diarah
meninggalkan kedudukan saya, ketika itu di medan tempur sebelah timur,
berdekatan sempadan Turki lalu menyertai sebuah pasukan di sebelah barat daya.
Lapan bulan sebelum itu, kami telah diserang sehingga beberapa ratus ela
terakhir menghala ke wilayah kami, dan kami kekurangan askar pada kadar lima
musuh kepada satu kami. Kami cekal bertahan di Kobani. Pada Januari, setelah
empat bulan bertempur di jalanan dan dari bilik ke bilik, kami tawan semula
bandar ini dan terbalikkan suasana sebelumnya yang menyaksikan Kobani sebelum
itu dibanjiri pejuang-pejuang ISIS. Dalam pertempuran-pertempuran seterusnya,
kami berjaya menghalau ISIS agak jauh di pelbagai arah sehingga jika sesiapa
ingin menyeberang ke wilayah kami, mereka terbabit perlu memandu selama lima
jam merentas kawasan yang terdedah. Sewaktu kami bergerak ke utara, saya dapat lihat
puncak bersalji di bahagian selatan Turki, ramai orang mendakwa bahtera Nabi
Noh tersadai di situ. Di bahagian bawahnya, bagai bergulung-gulung bergerak ke
arah kami ialah lembah berumput yang lebar dan hutan pain Mesopotamia, tanah di
antara Tigris dan Euphrates di mana bangsa kami telah hidup sejak 12,000 tahun
lalu.
Kisah
bangsa kami penuh dengan ironi-ironi yang pahit. Bangsa Kurdish adalah salah satu
bangsa yang paling tua dalam dunia, dan perintis kepada bidang pertanian, satu
daripada kemahiran kami paling terkedepan. Walaupun begitu, negara-negara lain
dalam dunia ini terlepas pandang bahawa bangsa Kurdish adalah di kalangan
bangsa-bangsa yang pertama mencipta ketamadunan, sedangkan ada bukti
mengenainya. Pada 1995, seorang ahli arkeologi Jerman gali sebuah kuil di
Gobekli Tepe di Kurdistan utara. Mereka menemui satu stuktur dikapit
tiang-tiang batu berukir dengan gambar-gambar lembu, rubah dan burung jenjang,
dipercayai dibina pada 10,000 BCE.
Pada akhir tempoh Zaman Airbatu, dan 7,000 tahun sebelum Stonehenge atau piramid-piramid di Giza dibina, leluhur kami sudah
tinggal bersama-sama dengan berkerjaya sebagai bomoh, artis, petani dan
jurutera.
Jika
sifat hebat bangsa Kurdish ketika dulu adalah tahan lasak, perkara yang
merosakkannya pula ialah sifat tamak dan malas pihak orang asing, sejauh mana
sejarah dulu mampu diingat kembali, yang dambakan kebun-kebun bangsa kami dan
pasar-pasar kami untuk diri mereka sendiri. Sejak beberapa millennia dulu,
bangsa kami telah dijajah bertukar ganti termasuk Parsi, Rom dan Turki.
Kebangkitan bangsa Kurdish bermula pada tahun 838, diikuti berdozen-dozen lagi
selepas itu. Meskipun punya bahasa dan budaya sendiri dan berpenduduk berjumlah
45 juta orang - setara Argentina dan Uganda dalam senarai 30 negara paling
ramai penduduk di dunia - hari ini, kami masih tidak dinobat sama ada sebagai
satu bangsa atau sebuah negara. Kawasan yang kami duduki sekarang
dipisah-pisahkan mengikut apa orang asing gelarkan Turki selatan, Syria utara,
Iraq utara dan Iran barat laut. Di setiap anggota badan wilayah kami yang
dikerat-kerat ini, bangsa Kurdish ditekan. Undang-undang sekejap-sekejap
dikenakan terhadap kami bagi menghalang penggunaan bahasa kami, cara pakaian,
cerita rakyat, malah nama kami. Di Turki, perkataan "Kurd,"
"Kurdistan," dan "Kurdish" tak dibenarkan. Bangsa kami yang
tingga di sana sebaliknya digelar "Turki Gunung."
Pickup seorang petani tua yang saya naiki
berkondisi buruk - tiada suspension, lampu
atau bunga tayar - manakala jalan-jalan yang licin dipenuhi dengan bekas-bekas
tayar. Saya tak pasti sama ada kami mampu bergerak lebih laju daripada 20 batu
sejam di sepanjang perjalanan itu. Pada suatu tempat, kami melintasi sekumpulan
komrad perempuan yang duduk mengelilingi api lalu kami berhenti untuk menikmati
segelas teh pekat. Akhirnya, jam 11 malam, kami sampai ke sebuah penempatan
kecil dengan 50 rumah berdinding lumpur, sebahagiannya mempamerkan tanda-tanda
pencerobohan: lubang-lubang kesan tembakan, serpihan RPG serta contengan hitam
ISIS. Di sini, saya diberi taklimat oleh Ketua Komrad, General Medya.
Medya
berusia dalam lingkungan 30-an namun dia seorang askar perempuan veteran, lebih
10 tahun terlibat dalam perjuangan bersenjata. Dia ke medan tempur dengan rambut
panjangnya diikat ekor kuda, selendang hijau di kepala, dibelit kejap ke arah
bawah, mendedahkan hanya sebiji mata birunya. Satu perkara, pihak-pihak luar
terkejut dengan pergerakan perjuangan Kurdish ialah penekanan kami bahawa
lelaki dan perempuan adalah sama rata dalam semua hal, termasuk ketika
berperang. Kami percaya kepada ajaran Abdullah Ocalan, pemimpin Parti Pekerja
Kurdistan, PKK yang menulis, "sebuah negara takkan bebas melainkan golongan
perempuan dibebaskan." Dia juga menulis, "sejarah tua 5,000 tahun
ketamadunan pada dasarnya adalah sejarah perhambaan golongan perempuan."
Dia percaya, semua ketidaksamarataan, pemerintah zalim, fasis serta fahaman
mengukuhkan bidang ketenteraan berakar sejak Zaman Neolitik, ketika masyarakat amal
sistem matriark, yang berpunca apabila
golongan lelaki menggunakan kekuatan fizikal untuk "merampas kuasa" seiring
mencela golongan perempuan. Golonan lelaki secara ganas mengubah pengertian
kebajikan kolektif dan hak bersama kepada perusahaan peribadi serta hartanah
milik eksklusif. Bomoh-bomoh dan ramai pemimpin agama mengukuhkan misogyny dan kepercayaan bahawa Tuhan
mentakdirkan penguasaan golongan lelaki. Seterusnya, Ocalan percaya agama
berasaskan kepada satu "Tuhan Lelaki", penguasa-penguasa negeri distrukturkan di kalangan lelaki,
manakala ekonomi dikembangkan dengan kemampuan golongan lelaki untuk memiliki.
Seksisme dan kuasa, manusia sudah arif sejak 5,000 tahun lalu, kelihatan begitu
juga. Apa yang Ocalan gelar "housewifization" ialah suatu bentuk
perhambaan paling tua serta suatu revolusi paling keji yang pernah diusahakan.
Dek sebab yang sama, dia saran, " Penyelesaian-penyelesaian kepada semua
masalah sosial di Timur Tengah perlu menjadikan kedudukan golongan perempuan
sebagai fokus."
(Gambar sebelah: Komander Rojda Felat mengetuai unit YPJ menuju ke medan tempur di Syria - Nov 2016)
Dalam
Unit Perlindungan Awam, seorang sukarelawan mesti berusia 18 tahun untuk
memegang senjata api. Namun, apa yang
kami pentingkan ialah sama ada awak seorang tajam tindakannya dan berguna,
bukannya dari mana awak datang dan pastinya bukan jantina. Lelaki dan perempuan
sama-sama berjuang tapi dalam entiti berbeza. YPJ yakni Yekineyen Parastina Jin
untuk perempuan, manakala YPG iaitu Yekineyen Parastina Gel untuk lelaki. Dan,
golongan perempuan berjuang, membunuh dan terkorban sesukar lelaki, ini diakui
ISIS. Kami sering berbual mengenai kekeliruan ISIS apabila mereka mendapati
seorang perempuan tegak berdiri depan mereka di saat-saat mereka masih hidup.
Jika mereka meninggal dunia dalam penuh kekeliruan, maka ia menggandakan
keyakinan kami bahawa kamilah askar terbaik untuk menumpaskan ISIS.
Medya
mulakan percakapan dengan berkata bahawa hari pembebasan kami telah hampir.
Saat kami rampas kembali kawasan terakhir milik keturunan kami adalah
satu-satunya tindakan penting yang menyelamatkan kesinambungan bangsa kami. Hari
ketamadunan dan kemajuan mengalahkan kemunduran zaman pertengahan yang diajukan
oleh ISIS. Meskipun ISIS tak akui, kami akan capai kejayaan yang Eropah dan
Amerika Syarikat tak mampu lakukan. Dan, dengan kejayaan kami, kami akan
memperoleh perhatian dan sokongan terhadap perjuangan kami untuk menubuhkan
autonomi Kurdistan. Demi memastikan hari cemerlang itu tiba, kata Medya,
serangan terakhir perlu berjaya dilakukan. Sebelum ia dilakukan, objektif segera
yang perlu kami lakukan ialah menguasai pangkalan ISIS yang kian diperkukuhkan
yang terletak di luar sebuah bandar di wilayah Syria utara, Sarrin. Serangan ke
situ perlu dilakukan pada waktu malam, dan kami perlu seorang sniper yang mempunyai teropong menggunakan kuasa haba untuk
mengetuai serangan. "Bukit yang
awak akan tawan itu kira-kira dua kilometer dari sini," Medya beritahu
saya sambil tunjuk arah selatan. "Untuk rampas kembali tempat ini, awak
mulanya kena daki bukit di sebelahnya di mana awak boleh tembak secara
melintang."
Medya
membawa saya menemui sebuah pasukan kecil yang akan saya ketuai. Bersandar ke
dinding, pegang Kalashnikov ialah
Xabat, mungkin berusia 21 tahun, bercakap dengan jelas serta bersemangat, dan
dia awal-awal hari itu telah pergi meninjau kawasan perbukitan yang bakal kami
serang. Ada seorang lelaki lain dengan Kalashnikov
- gelap dan kurus - yang tak kata apa-apa.
Ada seorang perempuan pendek tapi nampak gagah dengan wajah bulat
bernama Havin yang membawa pelancar RPG.
Dia ada seorang tukang isi, lelaki usia 19 tahun yang membawa roket-roket
tambahan serta radio. Menggenapkan pasukan ini ialah seorang lelaki lebih
dewasa, Shiro, berumur 28 atau mungkin 29 tahun, kurus, tinggi, tak bercukur
dengan rambut nipis panjang, yang membawa BKC
iaitu mesingan 7.62 kaliber. Ini dirasakan sebagai sebuah pasukan hebat.
Sesiapa yang
cekap, boleh belajar asas sebagai sniper dalam
tempoh sejam. Ketika guna teropong ikut piawaian yang diletak pada sniper rifle, seseorang akan lihat tanda
pangkah di tengah-tengah, di sebelah kiri ada geraf melengkung, jarak
ditunjukkan pada paksi tegak, garisan datar mewakili permukaan bumi di kaki
langit. Tanda di kaki langit adalah untuk kelajuan angin. Kami bawa jadual
poket ke medan tempur untuk kami kaji berapa jauh kami perlu tembak ke kiri
atau ke kanan, berasas kepada kelajuan angin, arah objek serta jarak.
(Gambar sebelah dan bawah sekali: Pejuang-pejuang YJA-STAR, askar perempuan PKK di Sinjar, Iraq -Nov 2016)
Setiap
senapang berlaras panjang punya sifat serta kekuatan tersendiri, dan seorang sniper perlu belajar tabiat setiap jenis
senjata ini. Setiap perkakasan tambahan pula sesuai untuk tugas-tugas yang
berbeza. M16 diganding dengan teropong kesan haba sesuai waktu malam dan
pertempuran jarak dekat. Dragunovs
untuk waktu siang serta tembakan jarak jauh. Zagros, panjangnya setinggi seorang lelaki dan boleh dikata bahawa
seluruh badannya dibuat dengan menggunakan spare
parts, sesuai diguna waktu siang
bagi tembakan berjarak 1 kilometer atau lebih.
Awak
juga perlu belajar mekanisma tembakan bagi setiap jenis senapang. Mana-mana
senjata api pun boleh jam, dan oleh
kerana memasang lampu pada waktu malam boleh menjadikan kami sebagai mangsa
peluru musuh, kami diajar cara cerai dan pasang semula setiap bahagian senapang
dalam gelap. Berlatih mengenal bahagian-bahagian senapang, merungkai dan
mencantumkan semula berulang-ulang kali memberi kelebihan seiring menekankan
fahaman kenapa sentuhan tangan seorang sniper
adalah perkara kedua terpenting selepas penglihatan. Melalui jari yang menyentuh
picu, awak berkomunikasi dengan senapang awak. Melaluinya juga awak belajar
mengenai aksi berbeza bagi setiap senapang. M16
pantas menembak. Dragunovs ada dua
bahagian yang boleh dipetik - tembakan bertubi-tubi secara perlahan-lahan dan
petikan selanjutnya tembakan tempoh singkat yang terakhir. Picu Zagros pula sangat sensitif. Jari yang
memetik picu sangat penting sehingga setiap sniper
pastikan jari telunjuk masing-masing dibalut dan tak tercalar, dan ramai yang
memotong bahagian telunjuk sarung tangan bagi menambah erat hubungan telunjuk
dengan bahagian senapang berkenaan. Sekejap sahaja, saya belajar untuk mengenal
pasti kehebatan sniper-sniper lain berasaskan
tahap putih, bersih dan lembut jari telunjuk.
Oleh
kerana setiap senapang mempunyai lubang laras atau kaliber yang berlainan, maka
setiap sniper perlu membiasakan diri
dengan perbezaan kesan tembakan. Oleh kerana liang M16 lebih kecil, peluru sering menembusi sasaran tanpa kesan
segera. Beberapa hari kemudian, M16 akan
menjadi bahaya untuk digunakan berikutan kaliber yang sempit amat sukar untuk
dicuci. Peluru Dragunovs yang lebih
besar biasanya mematikan sasaran ketika kena tembak, tetapi jika mangsa mampu
bertahan, peluang untuk kembali sembuh agak cerah. Senapang Zagros bersaiz .50 kaliber,
sama besar dengan lubang pen dakwat, pula memuntahkan peluru yang mampu
menembusi beberapa dinding dan masih bertenaga untuk membunuh awak. Jika awak
ditembak .50, peluang untuk selamat amat
nipis dan jikapun terselamat, biasanya awak perlu menjalani pemotongan anggota
badan seperti lengan atau kaki. Para sniper
secara umumnya merasakan Dragunovs
dan Zagros lebih disanjungi
berbanding M16. Kedua-dua yang pertama ini, dicipta untuk membunuh dengan
tembakan tepat. M16 sekadar mencedera
atau untuk memerangkap musuh yang dalam dilema. Cuba selamatkan seorang rakan
yang cedera dan menghadapi risiko untuk kena tembak atau berselindung lalu
membiarkan rakan kehilangan banyak darah lalu menemui maut.
Saya
mendalami bidang saya di Syria utara selama lapan bulan, saya menembak secara
jarak jauh dan bertukar ganti menggunakan Dragunovs
dan Zagros. Kami menghadapi dua medan tempur, satu menghadap selatan ke Qamishli, satu lagi
ke arah timur serta sempadan Iraq. Di kedua-kedua medan tempur, peperangan
merebak ke kawasan tanah lapang yang tidak dikuasai mana-mana negarapun.
Mulanya saya ditugaskan di al-Yarubiyah, nama kami beri kepada medan tempur
sebelah timur di kawasan gurun berbatu dan sungai kering yang terdampar dalam
bayangan Pergunungan Sinjar. Kami tinggal di rumah tumpangan askar yang
ditempatkan dalam bangunan pentadbiran lima tingkat. Saya bina tempat sembunyi
dalam sebuah tandas yang terletak di atas bumbung. Saya sangkut Zagros pada
siling dengan tali kulit dan oleh itu ia tergantung di udara dengan muncungnya
ke tingkap menghala ke posisi ISIS yang terletak kira-kira 1.5 kilometer.
Sepanjang
hari-hari pertama di medan tempur, bunyi fzzz
peluru berterus-terusan di atas kepala sehingga saya berasa tertekan, manakala
mata saya berkelip-kelip. Sekejap-sekejap, ISIS hantar peluru mortar
bertalu-talu, lalu saya akan genggam senapang lalu lari satu tingkat ke bawah
untuk menyorok dalam bangunan. Malah, apabila saya ada peluang untuk menembak,
saya sering tersasar. Jika saya terkejut semasa menembak, yang sering berlaku
ialah peluru akan melencong ke kiri. Tembakan tergesa-gesa pula akan
menyebabkan peluru condong ke kanan.
Saya
kemudiannya elak berkelip-kelip mata atau berasa gugup. Tapi, menguasai
pernafasan mengambil masa lebih lama. Sewaktu awak sedia untuk menembak,
pernafasan awak perlu bagai orang sedang bermeditasi. Awak mulakan dengan udara
diisi penuh dalam dada. Awak bernafas keluarkan separuh udara ketika awak
pandang ke arah sasaran. Pada ketika itu, awak berhenti bernafas selama enam saat.
Terlalu banyak udara dalam dada akan menyebabkan awak tembak tinggi. Terlalu
sedikit pula, awak condong ke depan lalu peluru akan menuju ke bawah. Matlamatnya ialah memperlahankan denyutan
jantung juga aliran darah supaya tiada apa-apapun, tak juga nadi, akan
menggoyangkan bidikan awak. Kerana sebab yang sama, awak perlu kejap pegang
senapang sampai ke tulang, bukan sekadar daging tubuh. Selama lima atau enam
saat dalam ketenangan, awak kekal fokus terhadap sasaran, picit picu, awak
tembak tanpa awak sedar. Semakin perlahan gerakan dan semakin diam tubuh awak,
lebih tepat peluru meninggalkan lubang laras.
Saya
mula menembak dan kena sasaran selepas kira-kira seminggu. Dari posisi atas
bumbung itu, saya dapat lihat bangunan hospital di Iraq di mana ISIS letak mesingan
Dushka di atas tripod. Peluru Dushka
mampu menembusi beberapa bangunan dan masih boleh membunuh seseorang daripada
kalangan kami. Misi keseluruhan saya ialah untuk menyekat serangan ISIS, oleh
itu keasyikan saya ialah untuk menembak pengendali Dushka. Setiap pagi saya akan tunggu pelindung Dushka dibuka lalu saya tembak untuk menyekat operasinya. Saya
terus tembak ke arah Dushka itu
berminggu-minggu. Saya mungkin sudah berjaya menembak berdozen-dozen lelaki
yang berada di belakangnya.
Saya
ada sasaran lain juga. Suatu ketika, sewaktu kemaraan ISIS, saya tembak lebih
20 kali sebuah pickup yang deras
bergerak ke depan dan ke belakang di sebatang jalan pada jarak lebih satu
kilometer. Sebuah jet Amerika Syarikat
dengan pantas tembak sebutir roket lalu kenderaan itu terpelanting ke udara.
Itulah kali pertama saya tahu yang Amerika Syarikat bantu kami melalui serangan
udara.
Semakin
saya banyak menimba pengalaman, saya dapati aktiviti sniper ini ialah hal mengenai memerhati manusia selain kemahiran
menembak. Dengan teropong, saya belajar menganggar saiz musuh dengan hanya
sekilas pandang: cara dia mengendalikan dirinya, cara dia berjalan, sama ada
dia yakin dengan senapangnya, sama ada dia cermat dalam tindakannya, berapa
panjang janggutnya. Jika saya lihat sekilas pandang seseorang berjalan
bersahaja dan tangan-tangannya tergantung melepasi lututnya dan bahunya jatuh -
seorang yang lemah tanpa harapan dan matlamat - saya tahu itu adalah seseorang
yang akan buat silap dan oleh itu pasukan kami yang mara patut hala serangan
sulung ke posisi mereka terbabit. Sebaliknya, seorang ISIS yang bermatlamat,
bergerak bagai seekor tikus, meloncat ke atas ke bawah dan memeriksa sekeliling
dirinya - dia sukar untuk ditembak, namun dia seorang yang mungkin lebih
berkaliber dan oleh itu dia adalah sasaran utama.
Apabila
saya mencari sasaran yang betul-betul bernilai, seperti seorang sniper seperti saya juga atau pegawai
berpangkat tinggi, saya cuba cipta satu potret sasaran saya: siapa dia,
bagaimana kelakuannya, berapa umurnya, bila dia bangun pagi, sama ada dia suka
kesejukan pagi atu haba pada siang hari. Daripada kajian ini, ia tak mustahil
untuk saya mengagak di mana dan bila musuh saya itu akan mempamerkan dirinya
dan bagaimana saya menentukan posisi saya untuk ambil peluang. Ini memerlukan
penumpuan yang sungguh-sungguh. Saya perlu meneliti semua maklumat yang saya
perolehi, kaji segera lalu lakar satu kesimpulan mengenai di mana dan bila
untuk membidik.
Musuh
saya yang tahu saya sedang memerhatikan mereka sering sahaja cuba mengecewakan
perlakuan saya. Mereka akan terus berlindung, memasang tirai-tirai dan bina
koridor melalui rumah-rumah, tembak melalui lubang pada dinding-dinding. Bagai
bertinju, awak menilai pihak lawan, tunggu peluang, dan akhirnya tembak. Sering
kali saya bertindak mengikut apa yang saya dengar, bukan apa yang boleh saya
lihat. Lebih daripada sekali, sasaran lihat tepat kepada saya, malah
melambai-lambai. Segelintir pula main-main, berlari-lari ke kawasan yang
terdedah kepada pandangan saya, kemudian berhenti sesaaat, kemudian
berlari-lari lagi.
Sering
kali idea kepada main-main ini adalah untuk goda saya supaya saya mendedahkan
posisi saya sewaktu saya menembak. Taktik lain ISIS ialah cuba menakut-nakutkan
kami dengan berdiam diri. Pada waktu ini, setiap bunyi yang dihasilkan oleh
angin - menerjah lubang tempat saya berada, menggegar bumbung usang,
menyebabkan pakaian di ampaian berayun-ayun - akan kedengaran kuat. Idea ini
ialah untuk berikan terlalu banyak masa untuk berfikir. Apa mereka buat? Kenapa
saya tak dengar sesuatu dari arah mereka? Adakah mereka akan menyerang?
Dek
kerana musuh kami pun sedang memerhati kami, kami amal cara manipulasi kami
serta mengelirukan mereka. Kami buat banyak lubang pada dinding-dinding untuk
menembak, kemudian buat lubang-lubang baru di posisi yang tak begitu sesuai,
hampir ke siling atau terlindung bayang-bayang bagi memperbodohkan ISIS
sehingga mereka menembak ke tempat tiada orang. Kami melembapkan lubang-lubang
dengan air supaya tembakan kami tak menghasilkan habuk lalu mendedahkan posisi
kami. Kami pasang dan tutup lampu di tempat-tempat yang kami tak guna. Kami
tinggalkan tanda-tanda ada pergerakan di koridor-koridor yang kami takpun
lalui. Kami, malah, guna patung untuk mengelirukan musuh. Sering juga saya
berjaya mengatur tembakan-tembakan,
kemudian mengajak musuh mengikut pergerakan saya dengan berpura-pura saya berada
di tempat lain. Saya tembak seseorang, dan nanti rakannya berlari keluar.
Setelah
beberapa bulan, saya dapati naluri saya menokok dan semakin tajam. Saya boleh
menilai jarak beberapa meter tanpa bantuan teropong. Saya telah berjaya
mengenal pasti beberapa jenis bunyi, benda yang dilihat serta trajektori
berjenis-jenis peluru. Saya menjejaki musuh dengan mata, telinga malah hidung.
Saya kembangkan teknik saya sendiri ketika mengimbas sesuatu kawasan, berdiri
bertentangan sesuatu jarak lalu tutup mata saya, kemudian buka kembali,
kemudian tutup, kemudian buka. Ulang tiga empat kali, saya dapati teknik camera-shutter akan melekatkan imej dalam fikiran saya,
lantas saya boleh kaji jika ada sesuatu yang tak kena, bagaikan saya melihat
sekeping gambar yang berada di atas tapak tangan.
Bagi serangan di
waktu siang, seseorang sniper akan
pilih tempat tinggi seperti bangunan atau bukit untuk melindungi kemaraan rakan-rakan
sepasukan dari arah belakang. Waktu
malam, sebaliknya, seorang sniper yang memakai peralatan melihat dalam gelap
akan mengetuai serangan kerana hanya dia yang boleh melihat sasaran. Malam kami
tawan pangkalan ISIS di atas sebuah bukit di luar Sarrin, hanya muncul bulan
sabit. Setiap orang dalam pasukan saya menjadi buta, melainkan saya.
Untuk
mara ke bukit pertama, kami ikuti prosedur khas. Saya bergerak di depan 200
atau 300 meter, periksa semua baik, dan selepas menemui tempat berlindung, saya
beri isyarat supaya semua yang lain sertai saya. Kami ulangi pergerakan ini
tujuh atau lapan kali dan kira-kira 500 meter dari bukit pertama itu, kami
dihujani peluru. Saya dengar bunyi tajam, bunyi sesuatu yang keluarga dari
benda berongga di kejauhan. Kemudian fzzz!
Fzzz! Bunyi seperti lebah madu sebaik
peluru-peluru melepasi kepala. Walaupun tembakan bertalu-talu itu mendesak kami merebahkan tubuh untuk
merangkak, ia berguna kerana pendekatan kami ini lebih senyap, bermakna ISIS
perlu peralatan memandang waktu malam untuk menyedari kemaraan kami. Jika
peluru-peluru mereka melepasi kepala-kepala kami, ini bermakna pihak musuh
tiada peralatan berkenaan pada senjata api mereka tetapi sekadar guna teropong
biasa. Bunyi tembakan itu juga memaparkan ada hanya beberapa lelaki, paling
ramai 10 orang. Ini bermaksud kekuatan kami setara mereka.
Pada
1:30 AM, masih terus-terusan ditembak, kami sampai ke puncak bukit pertama.
Saya lihat satu batu tanda, mungkin petani-petani menyusun batu-batu yang
mereka kutip sewaktu mereka membersihkan kawasan tanah mereka. Saya henti
kira-kira 50 atau 60 meter dari timbunan batu itu lalu panggil Xabat. "Ini
mungkin jerangkap samar," dia kata sewaktu merangkak ke arah saya.
Saya
tinggalkan pasukan yang berlindung di sebalik sebongkah batu besar, tegak
berdiri, agak terdedah, dan dalam pandangan pejuang-pejuang ISIS, berjalan pantas
ke batu tanda itu. Apabila saya sampai, saya henti sekejap untuk pastikan mereka
melihat saya. Kemudian saya jatuhkan diri bagaikan saya cuba berlindung di
sebalik batu tanda itu lalu merangkak ke belakang, ke arah saya datang tadi. Di
sebalik bongkah batu, saya tunggu. Jika ISIS telah pasang jerangkap samar,
mereka akan nanti kami berenam berkumpul di sebelahnya sebelum meletupkannya.
Akhirnya, phak ISIS tunggu tujuh minit penuh.
Satu
letupan meletus sehingga terasa kulit dalam telinga terkupas. Beberapa saat
kemudian awak terasa pitam sedikit sebaik gelombang letupan menghentam otak
awak. Awak perlu kekal nganga bagi membolehkan tekanan bergerak melalui tubuh
awak. Jika letupan amat dekat, otak awak mungkin reboot dan mendapati awak melambung ke udara bagai anak patung kain
buruk. Hidung, mata dan mulut akan dipenuhi habuk. Jika awak berada jauh, awak
akan rasa muka bumi menari-nari. Kemudian, muncul batu-batu kerikil jatuh
berguguran.Dalam keadaan kedua-dua di atas, tak ada apa yang boleh dilakukan
melainkan tutup mata dan percaya kepada nasib baik. Jika awak terkorban, ia
berlaku secara pantas kerana awak mungkin terdedah kepada letupan kuat, atau
dihentam serpihan-serpihan, atau terhempas ke dinding atau sebongkah batu. Jika
awak dapati awak sedar sedang memeluk muka bumi, melainkan sesuatu yang berat
mendarat atas belakang awak, awak akan terus hidup.
Menerusi
habuk yang berterbangan, saya dapat lihat Xabat tersengih. "Saya beritahu
awak itu jerangkap samar," katanya.
Semua
anggota pasukan saya menghampiri belakang saya, dan sebagai satu pasukan,
keenam-enam kami bergerak ke depan, ke arah batu tanda.
Di
posisi baru, saya beritahu yang lain supaya letak beberapa bongkah batu di
depan mereka sebagai pelindung. Saya ambil tiga bongkah batu lalu atur di bawah
senapang, ikat ketat selendang di kepala bagi menyembunyikan cahaya yang muncul
daripada peralatan melihat waktu malam. Setelah saya puas hati ia terlindung,
saya pasang suis on.
Saya
terus dapat lihat mereka. Saya lihat sebuah pangkalan musuh bertembok batu di
sebuah kawasan landai tapi condong, dekat puncak bukit menghadap kami,
kira-kira 550 meter jaraknya. Kelihatan tubuh kurus sedang berdiri beberapa
meter di bahagian bawah pangkalan itu, manakala tiga lelaki lain - seorang tinggi,
seorang berketinggian sederhana manakala seorang lagi pendek tegap memakai baju
panjang - duduk berkumpulan beberapa kaki jaraknya dari lelaki seorang tadi.
Lelaki kurus sedang bercakap, yang lain mendengar. Keempat-empat mereka
terdedah di kawasan terbuka.
Lelaki
kurus itu seorang komander. Saya fikir. Dia beri arahan-arahan. Dia yang
mengetuai.
Lima
ratus lima puluh meter adalah dekat bagi seorang sniper. Tak perlu ubah suai keadaan sebelum menembak disebabkan
faktor tiupan angin. Dengan peluru bergerak 762 meter sesaat, si kurus akan
terkena tembakan setelah 3/4 saat peluru keluar dari lubang senapang saya. Saya
sasar kepala Kurus.
Melalui
teropong canggih saya, saya lihat kepala Kurus tersentak, manakala kedua-dua
kakinya jatuh. Kemudiannya, dia tersembam lemah gemalai ke atas sebongkah batu,
kepalanya berada di atas dadanya.
Saya
paling ke arah sekumpulan tiga ISIS. Tinggi cuba berlindung di sebalik beberapa
bongkah batu di sebelah kanan. Saiz Sederhana dan Baju Panjang berlari ke atas,
ke pangkalan. Saiz Sederhana berhenti seketika. Saya sasar dadanya dan tembak.
Saiz Sederhana tumbang.
Baju
Panjang masih berlari ke atas bukit. Saya ikut dia menerusi pandangan saya.
Sewaktu dia berhenti untuk capai selaras mesingan besar, saya sasar badannya. Bunyi tembakan saya bergaung
melepasi batu-batan sewaktu Baju Panjang jatuh.
Saya
cari Tinggi. Dia berada di sebelah kanan, melompat dari satu bongkah batu ke
bongkah batu lain. Dia tembak balas ke arah saya, tapi sekadar rambang. Dia bersembunyi di sebalik batu, tapi saya
dapat lihat sebahagian kepala dan dadanya serta sebelah kakinya. Saya sasar
kaki. Tinggi rebah ke tanah lalu heret tubuhnya untuk berlindung.
Seterusnya,
saya dapat lihat lelaki kelima, tubuhnya pendek tapi gemuk, berada dalam
pangkalan. Sekejap-sekejap dia yang saya gelar Lelaki Besar akan mengintai
melepasi ruang atas tembok, muka bulatnya jelas dalam tempoh sesaat, kemudian
dia menghilang. Saya tembak dua kali, tapi dia terus menghilangkan diri.
Kemudian dia tonjol diri, tembak bertubi-tubi, menghilangkan dirinya, kemudian
muncul di tempat lain, dan tembak lagi.
Saya
ubah pandangan ke arah Tinggi. Dia masih merangkak dalam kepulan habuk. Dia
mungkin cuba kaedah mengapit posisi kami. Saya arah Havin, penembak RPG kami, gerak ke depan supaya pandangannya
jelas untuk tembak ke arah bawah bukit jika Tinggi cuba daki ke arah kami. Saya
tunggu beberapa minit sehingga kepala Tinggi muncul di celah dua bongkah batu,
lalu saya tembak. Kepalanya bersepai, tubuhnya tersentak lalu balik kuang, badannya
berpusing lalu terhempap ke tanah. Tinggi sudah habis.
Pandang
ke kiri, saya lihat Baju Panjang bergerak kembali, cuba berlindung di sebalik
batu. Saya tukar suis M16 saya ke rapid-fire untuk menakut-nakutkannya
sehingga dia terdedah ke tempat terbuka. Saya tembak bertalu-talu, saya tembak
bertalu-talu lagi kali kedua, kemudian ketiga. Tapi, apabila saya ingin tembak
bagi kali keempat, senapang saya tersekat.
Saya
buka magazine, ambil batang pencuci
dari beg askar saya, masukkan ke dalam lubang senapang, lalu tolak peluru
keluar, masukkan magazine semula lalu
tarik mekanisma ke posisi menembak. Sekali lagi, gagal.
Saya
tekan off alat teropong waktu gelap,
duduk melutut, buka selendang kepala lantas hampar eluk-eluk depan saya.
Kemudiannya, saya tutup mata dan hembus nafas. Terus tutup mata seperti sewaktu
saya berlatih dulu. Saya angkat senapang, buka magazine, tanggalkan stock,
picu dan pistol grip daripada laras,
kemudian pisahkan charging handle dan
akhirnya bolt carrier. Saya letak
semuanya di atas selendang ikut turutan. Kemudiannya, saya terbalikkan prosedur
- bolt carrier, charging handle, stock,
picu dan laras - sehingga saya berjaya pasangkan kembali. Sebaik sahaja selesai
pasang kembali senapang saya, Lelaki Besar dapat lihat saya. Dia mula menembak,
peluru-pelurunya menampar batu-batu di sekeling saya, memercikkan jarum-jarum
batu terbakar ke kaki kiri saya.
Kerja
melerai dan memasang semua senapang mengambil masa dua minit. Saya buka mata
dan tarik ke belakang bahagian release.
Tiada masalah senapang saya itu. Saya masukkan kembali magazine, dan di tengah-tengah kebisingan serangan oleh Lelaki
Besar, terdengar bunyi kecil yang datang dari untaian wayar. Ini masalahnya.
Jika spring dalam magazine longgar, ia takkan tolak
kartrij ke dalam belakang laras senapang. Saya tanggalkan magazine rosak itu, letak ke tepi, ambil yang baru, masukkan ke
dalam ruangnya lalu tarik ke belakang bahagian release. Shtick! Bunyi ia
betul-betul masuk.
Tindakan
saya berhenti menembak membolehkan Lelaki Besar dan Baju Panjang peroleh masa
untuk bernafas. Peluru-peluru mereka kekal menyergah. Satu roket berkekuatan
bom tangan bergemuruh terbang atas kepala-kepala kami dan meletup betul-betul
di belakang kami. Letupan itu menghujani kami dengan habuk serta batu-batu
kerikil. Xabat berdiri lalu tembak balas. Shiro mula menembak BKC. Saya balut kembali selendang di
kepala lalu pasang on pada alat
memandang waktu malam.
Baju
Panjang telah bergerak 20 ke 30 meter di bawah bukit. Saya tembak sebaik saya
lihat dia. Dia jatuh, genggam kepala lantas menjerit: "Allahu Akbar!
Allahu Akbar!" Ini adalah laungan semangat perang mereka. Namun, suara
Baju Panjang lemah, dan saya jangka dia mengalami pendarahan.
Ke
arah kiri, saya lihat Kurus bergerak sedikit. Dia terbaring, satu kaki lurus
atas tanah, satu lagi bergerak ke atas ke bawah. Saya tembak kaki yang kaku,
yang lagi satu terus bergerak-gerak, kemudiannya jatuh ke atas tanah. Kurus
sudah habis.
Kami
telah bertempur 50 minit. Empat musuh terkorban. Hanya Lelaki Besar masih
hidup. Saya arah Havin tembak tembok yang mana di belakangnya Lelaki Besar
bersembunyi. Dengan roket pertama, dia menembak penjuru tembok. Tembakan
kemudiannya terlalu ke atas. Yang ketiga agak ke bawah. Saya beritahu Shiro
supaya mara 50 meter ke arah bawah bukit dan terus tembak. Setelah itu, baru
mungkin Lelaki Besar akan balas tembak lalu menampakkan dirinya, lalu saya pula
peroleh kesempatan untuk menewaskannya.
Shiro
buat seperti yang saya katakan, Lelaki Besar berdiri lalu saya tembak, tapi
sekali lagi dia amat pantas tunduk lalu undur sebelum saya menembak. Lelaki
Besar bijak mempertahankan dirinya. Dia saya kagumi dalam hal ini. Semua
rakannya sudah maut, tapi dia tak tinggalkan posisinya.
Xabat
cadang dia dan Shiro merangkak keliling belakang pangkalan lalu serang dengan
menggunakan bom tangan. Mereka ambil masa 20 minit untuk tiba ke kaki bukit.
Saya terus-terusan menembak supaya Lelaki Besar
menunduk lalu tak dapat melihat Xabat dan Shiro. Tapi dia dapat jangka
rancangan terbabit. Ketika Xabat dan Shiro 100 meter di hadapannya, dia
letupkan jerangkap samar lain. Dari posisi saya, letupan itu kelihatan berlaku
di bawah kedudukan mereka berdua. Namun,
setelah asap reda, saya dapat lihat mereka terus merangkak daki bukit, masih
tak tercedera.
Ketika
lelaki-lelaki kami itu mengelilingi di sebelah belakangnya, Lelaki Besar dapat
dengar pergerakan mereka. Dia menjerit panik. Dia terus berlari-lari keluar,
cuba untuk menjejaki mereka dalam kegelapan.
Kemudiannya, berlari-lari masuk
kembali. Saya ikuti pergerakannya dengan menyergahnya dengan letusan-letusan
tembakan bagi memastikan dia tak boleh menembak. Semasa Xabat dan Shiro kurang
30 meter dari pangkalan, mereka beritahu
saya supaya saya tingkatkan usaha menembak.
Sewaktu
saya tembak beberapa kali, Xabat dan Shiro berlari ke arah pangkalan lalu
lontar dua biji bom tangan ke dalamnya. Berlaku dua letupan. Kami tunggu
seminit. Diam.
Saya
angkat senapang saya, berjalan turun bukit dan daki ke posisi pangkalan ISIS.
Kurus, yang saya duga seorang komander, sebaliknya adalah yang paling muda.
Saya telah tembak dia di kepala dan kaki. Tinggi, Saiz Sederhana dan Baju
Panjang, semuanya akhir 30-an. Tinggi kena tembakan saya tiga kali: kaki, dada
dan kepala. Saiz Sederhana ada kesan kena peluru di bahu, buah pinggang, perut
dan lutut. Saya tembak Baju Panjang di kepala dan dada. Apa yang tinggal
setelah Lelaki Besar diserang dengan dua bom tangan menunjukkan dia adalah yang
paling tua, mungkin 50 tahun, dan mungkin juga seorang ketua pasukan. Dia meninggal
dunia sebagai seorang kapten, terkorban bersama-sama anak-anak buahnya.
Medya
menamatkan tugas saya selepas serangan ini, lalu saya berjalan seorang diri
melintasi kawasan perbukitan, melepasi bongkah-bongkah batu dan semak berduri
yang melimpahi lembah yang saya selusuri sehinggalah saya sampai ke kampung di
mana saya meninggalkan pickup yang
saya naiki dulu.Saya kemas peralatan saya, lalu kami meneruskan perjalanan
berkenderaan selama lima jam untuk kembali ke medan tempur sebelah timur.
Langit cerah dan di celah-celah kabus pagi saya dapat lihat bandar Sarrin dari
kejauhan. Di waktu dinihari, dengan pertempuran bersenjata yang semakin
berkurangan, terasa tenang berada di kawasan tanah rata sebelah selatan yang
mendatar sehingga ke Euphrates.
Dalam
pertubuhan kami, kami percaya satu sama lain untuk melakukan perkara yang
benar. Saya tahu tugas saya untuk berjuang. Saya tahu juga bahawa pengalaman
saya amat ditagihkan. Sepanjang tahun lepas, perjuangan kelihatan mudah bagi
saya. Malam berganti malam, siang berganti siang, bulan berganti bulan, saya
telah berbaring di sebelah senapang saya. Sepanjang musim panas yang membara,
dingin musim gugur, musim sejuk yang berpanjangan dan musim bunga yang kaku
dalam kebasahan, saya memerhati pergerakan pihak musuh. Mata saya sakit kerana
asyik melihat. Saya terselamat daripada terkena tembakan sniper-sniper lain, serangan bersenjata, pengebom bunuh diri,
kereta kebal, mortar, roket bom tangan, jerangkap samar, belantik, serangan
udara, meriam, mesingan berat serta bom kawalan jauh. Dengan amalan diet keju,
jem, yogurt dan biskut yang sepatutnya sudah dibuang, berat badan saya menurun
sehingga menjadi seperti seorang budak lelaki berusia 13 tahun. Tanpa cukup
tidur, saya bersembunyi dalam jurang yang dalam dengan keadaan tertekan antara
rembesan adrenalin dan keletihan.Ramai kawan saya telah terkorban lalu saya
punya tugas baru yang tak diidamkan: perlu kekal selamat untuk menghidupkan
memori bersama mereka berkenaan. Memerhati, menunggu dan menembak - saya kumpul
seluruh kehidupan saya dalam kesempitan itu. Jika awak melihat saya ketika
berjuang, menjaga jari pemetik picu senapang di sepanjangan tempoh saya
berperang bagai ia seorang bayi, awak akan faham bahawa manusia boleh harung
sebarang kesulitan jika mereka berkenaan punya matlamat.
Tapi,
akhir-akhir ini, saya mulai berfikir bahawa saya tiada apa-apa lagi. Saya
berasa bagaikan saya sudah guna 30 atau 40 tahun kehidupan saya dalam tempoh
beberapa bulan. Saya hilang keupayaan untuk merasa perubahan hari bertukar
hari. Sekali sahaja silap duga atau terlalu mendesak kebolehan diri maka kegelapan
akan kekal menyelubungi diri saya. Sewaktu mendaki ke pangkalan ISIS di luar
Sarrin dulu, saya pernah terlelap sambil berdiri. Dua kali anggota pasukan saya
terpaksa kejutkan saya sewaktu saya tersasar berjalan ke arah lain. Pada suatu
ketika, Xabat telah menghalakan muncung senapangnya ke arah saya kerana curiga
dengan lembaga yang merayau-rayau di celah-celah batu.
Saya
telah kembali ke posisi asal di medan tempur timur beberapa hari apabila
General Tolin datang melawat. "Bagus awak di sini," dia beritahu
saya. "Kami perlukan awak. Bagaimana keadaan awak?"
"Sedang menyelami suasana di sini," kata saya.
Tolin
mengangguk sambil getap bibir. Dia lihat ke kaki langit. Seketika selepas itu,
perempuan itu berkata,"Selami suasana tak cukup,
Azad."
Saya
cuba yakinkannya. "Saya boleh bertugas di sini," kata saya. "Di
sini okey bagi saya."
Tolin
renung saya sedetik. Dia telah tetapkan pendiriannya.
"Awak
pulang ke Kobani," katanya. "Saya akan bertemu dengan awak di sana
kelak." Dan, dengan begitu sahaja, perang saya habis.
NOTA:
1. BCE adalah satu istilah baru bagi tahun ikut kiraan Barat. Sebelum ini, AD iaitu Anno Domini merujuk kepada tahun yang dikira selepas Nabi Isa a.s. lahir. BC pula dikira ke belakang yakni sebelum Nabi Isa a.s. lahir. Tapi, sekarang CE bermaksud Common Era diguna untuk ganti AD. Contoh, 2019 AD sama dengan 2019 CE. BCE pula bermaksud Before Common Era. Oleh itu, 2019 BC sama 2019 BCE.
2. Fasis ialah sistem pemerintahan seorang diktator pelampau.
2. Fasis ialah sistem pemerintahan seorang diktator pelampau.
3.
Neolitik ialah Zaman Batu Baru.
4.
Seksisme ialah mendiskriminasi sesuatu jantina.
5.
Misogyny ialah lelaki benci
perempuan.
6.
Matriark ialah perempuan mengetuai keluarga.
7.
Trajektori ialah laluan sesuatu benda yang bergerak dengan bertenaga.
8.
Reboot ialah mengoperasikan semula
sistem komputer.
9. Ketiga-tiga gambar di atas di ambil oleh Joey Lawrence yang disiarkan dalam monografnya, We Came From Fire: Kurdistan's Armed Struggle Against ISIS terbitan powerHouse Books. Monograf ialah laporan ilmiah mengenai sesuatu perkara.10.Azad adalah seorang lelaki.
Comments
Post a Comment