Mama's
Haven oleh Mary Morris
gambar yang disertakan ialah Pelabuhan Lama Marseille
gambar yang disertakan ialah Pelabuhan Lama Marseille
Sewaktu
berada dalam keretapi baru Marni sedar dia tiada alamat. Dia ada sejumlah arahan
15 muka surat, termasuk macam mana hendak guna mesin basuh, bagaimana mahu
sidai pakaian di bahagian luar supaya kering. Dia diberi amaran mengenai
burung-burung merpati yang bersarang di atas pintu bilik tidur dan permohonan
maaf berikutan anak-anak tangga yang rosak serta laluan dalam bangunan yang
sedang diperbaiki. Dia ada bermuka-muka surat maklumat mengenai di mana boleh
beli buah-buahan dan sayur-sayuran, dan wain, dan Pasar Arab di kaki bukit yang
ada tamar terbaik serta buah zaitun (kerana tuan rumah telah tulis yang kediaman
mereka hampir dengan Afrika Utara, jangan lupa). Mereka ada kunci-kunci untuk
memasuki bangunan serta pangsapuri. Tapi, tiada alamat.
Tak mungkin, dia fikir berkenaan dirinya
sendiri. Dan lagi, Trevor akan marah saya.
Mereka berada dalam TGV, untuk ke Marseille,
yang mana mereka hampir-hampir terlepas. Awak kena berada di sana, ejen
pelancongan beritahu mereka, 20 minit sebelum ia dijadual bertolak. Tapi, lalu
lintas di Paris amat teruk, dan sepanjang perjalanan Trevor asyik merungut
bahawa mereka sepatutnya naik metro tapi
mereka bawa banyak sangat barang. Buku-buku dan komputer riba-komputer riba
serta barang-barang yang diangkut bersama-sama mereka. Dek kerana itu, mereka
berkejar ke Gare de Lyon, tapi mereka
lupa yang warga Perancis gelar hujung minggu itu sebagai "black weekend." Sewaktu semua orang
yang bercuti meninggalkan Paris - ramai warga Paris turut menyelamatkan diri ke
arah selatan.
Disebabkan itu, platform-platform dipenuhi
ramai penumpang dan pegawai tiket bersikap acuh tak acuh, seperti sikap
kebiasaan warga Perancis lain, dan mereka sukar mencari tempat duduk.
Sebenarnya, mereka sekadar meredah, berjaya juga akhirnya, lalu melayangkan
badan mereka ke dalam tempat duduk masing-masing, yang sudah tentunya,
menghadap arah salah, Marni sudah berdoa ia tidak begitu, berikutan dia
kadang-kadang mengalami masalah pening sehingga boleh muntah.
Begitupun, mereka menjiwai suasana itu dan
malah sedikit teruja dengan pemandangan di depan mata mereka. Seorang ahli
perniagaan Perancis berpakaian satu sut dengan tali leher letak beg bimbit di
ruang terletak atas kepalanya manakala seorang lelaki Afrika dengan kepala
dicukur dan badan berbau tajam, memakai wife-beater,
duduk di sisinya. Ahli perniagaan itu tak dapat melindung rasa kurang senangnya
sehingga Marni berbisik kepada Trevor, "Sebab perkauman, kelainan kelas
atau sekadar masalah kebersihan badan?" Mereka ketawa kecil. Akhirnya
mereka boleh bersantai, setelah berlari-lari sekitar Paris. Selain itu, ia
suatu yang sukar untuk diakui, mereka sedikit resah berada di Paris, berhati-hati,
teragak-agak untuk menaiki metro atau
lawat Notre-Dame. Tapi terkini mereka menuju ke Marseille untuk menikmati
suasana melancong sebenar berbanding keseluruhan jadual percutian mereka, itu
pun jika seseorang boleh membeza-bezakan perkara-perkara terbabit sebegitu.
Keretapi berdesing meluncur, Marni kembali
menyelak muka surat-muka surat lagi dan lagi. Dia tak begitu meneliti nota-nota
itu. Dia tahu dia patut lakukan sebelum itu, tapi dia terlalu percaya Danielle telah
beri semua maklumat yang diperlukan melalui fail yang dihantar melalui email terakhir, dengan tajuk "Happy Marseille." Selain itu,
Danielle bekerja dengan Michelin Guides,
bukan? Dan sebab itu Danielle telah hantar bermuka surat-muka surat nota, yang
bakal terbukti tak berguna jika mereka gagal mencari pangsapuri yang mereka
telah sewa untuk tempoh seminggu.
Sebenarnya Marnilah yang merancang
perjalanan itu. Marni mencari pangsapuri-pangsapuri dan hotel-hotel, dia
menempah tiket penerbangan. Dia seorang yang cermat. Dia pastikan mereka dapat dua
tempat duduk di barisan tepi, bukan tengah, apabila terbang dengan kelas
ekonomi. Dia cuba meningkatkan tahap perkhidmatan yang diperolehi jika dia
berpeluang. Dia cari penempatan ditawarkan melalui Airbnb di bandar-bandar
seperti Barcelona dan Rome, terletak tak terlalu hampir dengan pusat bandar dan
tempat-tempat pelancongan. Dia mengambil masa berbulan-bulan untuk rancang
setiap perjalanan yang mereka bakal lalui. Tapi dia tak lihat maklumat yang
dihantar Danielle sehinggalah ke saat akhir. Dia sebelum itu sangat sibuk, ada
sahaja perkara-perkara tertentu yang perlu dilakukannya
Apa
benda terburuk yang mungkin berlaku? Marni tanya dirinya sendiri. Ia adalah
seperti yang pernah dikata bapanya: Apa
benda yang terburuk? Ia bukannya kemarahan Trevor. Dia tak begitu, betul-betul
tidak. Tapi dia bersikap tegas. Dia boleh bertindak kejam terhadap Marni,
kadang-kadang. Tapi dia tak boleh mengelak hal sebegitu. Dia perlu beritahunya.
Dia paling ke arah Trevor. "Saya tak tahu di mana kita bakal tinggal. Saya
fikir Danielle lupa untuk beri kita alamat."
"Mustahil," kata Trevor, letak
bukunya.
Marni terketar-ketar. "Mungkin awak
boleh carikannya?" Dia duduk lihat Trevor, seorang peguam, menyelak muka
surat-muka surat perlahan-lahan, dengan berhati-hati, bagaikan ia suatu
keterangan bersumpah yang baru sahaja diterimanya. Setelah kira-kira lima minit
dia berpaling kembali ke arah Marni. "Awak betul. Kita tak tahu di mana
kita nak tinggal."
Marni cuba menghantar mesej kepada
Danielle, yang mereka belum pernah bersua dan ketika itu dia sendiri sedang
bercuti di suatu tempat, di Greece, mungkin, walaupun Marni tak begitu pasti.
Bagaimanapun tiada talian untuk guna telefon dalam keretapi. "Apa yang
kita nak buat?" Ini bukan perkara paling buruk yang bakal berlaku, bukan?
Ia suatu yang menyulitkan dan mungkin mereka terpaksa guna lebih duit, tapi ia
bukannya teruk sangat, melainkan mereka berasa tak berapa baik. Dan Marni tiada
idea mengenai apa yang mereka hendak lakukan.
SEPANJANG PERJALANAN ke Marseille mereka
terlepas pandang bunga matahari dan lavender, kota-kota istana dan kubu-kubu di
perbukitan. Mereka juga tidak melihat Banjaran Alp - semua kerana mereka sedang
cuba mengkaji ke mana mereka akan pergi. Mereka mengimbas dokumen 15 muka
surat, mencari sebarang petunjuk. Koordinat, tanda-tanda tempat. Cara-cara
untuk sekurang-kurangnya menghampiri pangsapuri yang bakal mereka sewa untuk
tempoh seminggu depan. Terletak perhentian metro
dekat dengan bangunan: Cours Julien. Jadi mereka tahu kawasan terbabit secara
umum. Ada disebut juga sebuah kedai buku hebat "di hujung lorong,"
oleh itu mungkin maklumat ini dapat membantu mereka mencari lokasi pangsapuri
berkenaan secara lebih tepat.
Kemudian mereka lihat yang Danielle telah
beritahu mereka mengenai sebuah hotel yang baru dibina bersebelahannya. Ia
suatu malapetaka, tulis Danielle, dan dia sedang mengambil tindakan
undang-undang terhadap pemiliknya kerana tapak bangunan kediaman Danielle rosak
semasa hotel itu dibina. Restorannya ada taman besar dengan bar luar bangunan
yang mungkin bising, dan hingar-bingar bakal berlarutan sehingga awal pagi.
Hotel itu bernama Mama's Haven, dan dia telah berikan nombor telefon bimbit
pengurusnya. "Awak boleh telefon dia," Danielle tulis, "jika
bunyi terlalu kuat."
"Jadi," kata Trevor, "kita
akan pergi ke Mama's Haven dan mulakan pencarian dari situ."
"Jika timbul lagi masalah, kita akan
bermalam di hotel itu."
Ia dipersetujui. Mereka sekurang-kurangnya
punya suatu rancangan.
Apabila keretapi berhenti di Marseille,
Marni cuba hubungi Danielle, tapi tiada jawapan. "Awak berjaya hubungi
telefon bimbit Danielle. Saya berada jauh dari meja kerja ..." Marni
terbayang-bayang sama ada nombor yang dia miliki itu telefon bimbitnya, atau
talian pejabat. Dan kemudiannya meragui sama ada semua itu adalah rancangan jahat.
Dia pernah baca mengenainya. Beberapa orang bayar $1,000 bagi pangsapuri di New
York, hanya menemui kawasan parkir. Atau lelaki terbabit yang dikurung oleh
hosnya di Brussels. Tapi Danielle memaparkan secara jelas tawarannya. Kediamannya
di Marseille peroleh 60 ulasan wargamaya.
Marni tak pasti kenapa mereka pilih Marseille.
Ia kelihatan seperti pilihan Trevor. Dia gemar bandar-bandar yang berkerikil.
Dan dia damba selatan. Dia suka Paris, London, Rome, Tokyo, tapi dia lebih
berminat kawasan tepi, pinggir bandar. Bukanlah Marseille terletak di kawasan
pedalaman sangat, tapi anda boleh mengherot perjalanan ke Afrika Utara,
Tunisia, Libya, Algeria yang tak terlalu jauh dari situ. Suasana bagaikan
berada di penghujung tanpa ruang untuk berpatah balik. Oleh itu, mereka
berkompromi, seperti mana mereka lakukan dalam banyak keadaan. Mereka bijak
dalam hal berkompromi. Mereka kongsi sebahagian hidangan di restoran. Mereka
bergilir-gilir keluar bersosial dengan Trevor bersama rakan-rakanya pada malam
Jumaat manakala Marni pada Sabtu. Atau jika mereka berada di rumah pada sesuatu
hari (Trevor suka duduk di rumah), mereka akan keluar bersama-sama keesokan
harinya (Marni suka aktiviti ini). Dalam perjalanan paling terkini ini ialah
50-50. Seminggu di Paris, dan selanjutnya seminggu di Marseille.
Mereka telah, sudah tentu, rancang perjalanan
ini sebelum Serangan Bataclan. Marni fikir mereka tak mungkin buat selepas kejadian
itu, tetapi mereka sudah membeli tiket-tiket. Ia adalah suatu yang buruk,
sebuah tragedi, tapi ia kelihatan bahawa kehidupan perlu diteruskan dan Paris
tetap Paris, dan selain itu, mereka tiada insurans perjalanan. Ini bukannya alasan
tunggal mereka meneruskan percutian mereka, meskipun
ia
satu faktor.
SEBAIK SAHAJA MEREKA
MENINGGALKAN stesen,
mereka terdedah kepada sergahan udara panas, mendidih-didih. Bau busuk bandar
itu, pekung, sesuatu mereput, mengejutkan mereka. Dan cahaya. Ia bagaikan
mereka muncul dari gua. Cahaya amat terang sehingga hampir membakar mereka.
Patutlah van Gogh, Matisse, Cezanne pergi ke Provence untuk melukis. Ia cahaya
dan juga bayang-bayang. Namun, mereka berasa seperti mereka berjalan ke dalam
alat pembakar. Mereka menempuh perjalanan yang panjang, panas dalam keretapi,
sungguh-sungguh panas, dan dengan halangan dalam perancangan mereka dan menaiki
keretapi dengan duduk arah mengundur, mereka kepenatan.
Mereka berdiri dalam barisan menunggu
teksi. Danielle telah memberi mereka amaran bahawa pangsapuri berkenaan agak
dekat dengan tempat-tempat yang disebut dalam dokumen arahan.
Marni beritahu lelaki yang mengiringi
penumpang-penumpang ke teksi, "Mama's Haven." Dia bertubuh kecil dan kurus
macam tiang dengan kulit berminyak, dan dia hampir tidak langsung melihat
kepadanya. "Dua puluh euro, " katanya. Dia bercakap dalam Bahasa
Perancis yang mereka sukar faham. Ia semestinya loghat Midi yang pernah dia
baca mengenainya.
Marni goyang-goyang kepalanya. Dia tahu bagaimana untuk tawar menawar.
"Saya tahu perjalanan ini 10 euro."
Lelaki kecil itu, kelihatan bagai seorang
samseng, pusing tubuhnya ke arah Marni. "Dua puluh dari sini."
Kemudian Trevor mencelah. "Jika dia
fikir dia boleh tipu saya, dia bakal hadapi masalah." Bunyi bagai seorang
koboi cakap sebelum bertarung tembak menembak. Trevor tak pernah berkelakuan sebegitu,
tapi dia kelihatan bersuara sepenuh hati sehingga Marni hampir ketawa.
Sebaliknya mereka beredar dari perhentian teksi menuju ke jalan sibuk, di mana
kenderaan-kenderaan berdesing-desing bergerak. Mereka cuba melaung ke arah
sebuah teksi, tapi kenderaan yang mereka tahan itu tak berhenti tapi sebaliknya
ia dipandu menuju ke perhentian teksi, di mana lelaki yang sama sedang
berkawal. Akhirnya, berasa kalah, mereka serah diri. "Baiklah," kata
Trevor, "bawa kami ke Mama's Haven."
Masalah prinsip yang menghantui mereka,
tentunya. Seterusnya, berapa nilai perjalanan berkenaan? Tak lebih daripada
$20. Tetap juga, ia mengenangkan Marni sewaktu berada di Fez apabila pemandu
pelancong yang disediakan pihak hotel telah merugikan mereka, dan mereka
akhirnya beli hamparan yang kekal tersepuk dalam almari. "Ia dibuat dengan
darah janda-janda," pemandu pelancong mereka terus-terusan berkata.
Perangkap yang anda masuk kerana anda berada di tempat aneh dan mudah ditipu
dan anda tak tahu semua peraturan setempat.
Lelaki kulit berminyak itu sendiri membawa
mereka, dan mereka ketika itu tahu yang dia sedang merobek tubuh mereka
sehingga berkecai-kecai. Hal ini amat menyakitkan hati mereka seperti mana
masalah-masalah lain yang mereka hadapi, tapi mereka terlalu letih untuk
bertekak. Bahang panas tetap terasa dalam SUV hitam itu sewaktu lelaki itu pandu
mengikut laluan berpusing-pusing melalui kawasan lama Marseille, masuk dan
keluar jalan sehala-jalan sehala yang berliku-liku bagai mereka tak akan dapat
tembus, dan semasa dia memandu Marni hantar mesej kepada Danielle, "SEGERA.
TOLONG. JAWAB." Marni tak begitu pasti berapa kali pusing dan belok mereka
lalui, jemuran yang tersidai di luar rumah untuk dikeringkan, jalan-jalan yang
kotor, bangunan-bangunan lama di tepi laut.
Tiada
masalah, fikir Marni. Kami akan
sampai ke hotel, di mana kami akan meneguk teh ais dan kembali berpadu sebagai satu
kumpulan. Danielle akan balas mesej. Mereka akan peroleh alamat dan, voila, mereka bakal berada dalam
pangsapuri itu. Marni teruja dengan gambar-gambar terbabit. Dinding-dinding
putih, pintu-pintu Perancis yang terbuka menghala ke laman rumah-rumah lama, balkoni-balkoni
kecil. Rak-rak dibarisi dengan buku-buku dan piring hitam-piring hitam. Ia
tempat terbaik untuk mengasingkan diri dan beristirahat. Mereka akan ke laut
dan lawat tempat terkemuka, Calanques (Trevor kekal rujuk sebagai Colonics kerana
dia tak tahu cara menyebut nama itu), mungkin berada sehari di Cassis. Semuanya
itu menanti mereka.
"MAMA'S HAVEN," kata pemandu berkenaan. Dia tak keluar bantu mereka, dan Trevor
tak beri tip, walaupun di seluruh
Eropah anda tak perlu bagi tip
sebenarnya, anda berikah? Selain itu, anda tak akan beri tip kepada seseorang yang telah merobek anda. Mereka berjalan dari
kawasan panas pijar ke lobi hotel yang agak sejuk. Pada awalnya kedua-dua
mereka tak dapat melihat dalam kegelapan. Anggota berderia pada badan yang
rasanya berfungsi ketika itu ialah telinga-telinga mereka. Muzik disko
meletup-letup bunyinya. Perlahan-lahan kedua-dua biji mata mereka menyesuaikan
keadaan. Arah kiri mereka adalah sebuah
bar yang luas yang hanya diterangi lampu-lampu biru gelap yang mengingatkan
Marni kepada akuarium. Kira-kira 30 orang sedang menikmati koktel meskipun
masih awal tengahari. Dalam suasana serius di lobi, sukar untuk memastikan di
mana lantai hitam berakhir dan dinding-dinding hitam bermula.
Disebabkan Trevor lebih baik penguasaan
Bahasa Perancisnya berbanding Marni, dia pilih dirinya sendiri untuk pergi ke
meja penyambut tetamu, di mana dia bersusah payah menjelaskan masalah mereka. Kerani
berkenaan dengar dan kemudiannya, tanpa bersuara, mula menaip. Sebentar
kemudian lelaki itu jawab dalam Bahasa Inggeris, "Saya ada satu bilik
kosong untuk malam ini, tuan. Harganya 350 euro." Trevor memukul kepala
dengan tangannya. Dia pusing ke arah Marni. ""Apa yang awak nak buat?"
"Ini satu-satunya bilik yang ada,"
kata penyambut tetamu berkenaan, kelihatan bercampur sedikit kebencian. Marni tak pasti ia adalah bilik terakhir.
"Boleh kami tinggalkan beg-beg kami
di sini seminit untuk kami bincang? Boleh tak awak jangan bagi kepada orang
lain bilik ini untuk tempoh 10 minit?"
Ketika itu penyambut tetamu tak melihat ke
arah mereka. "Sepuluh minit."
Semuanya terasa bagai suatu penipuan. Mereka
baru setengah jam berada di Marseille, dan mereka telah dua kali ditipu. Tapi
apa alternatif yang mereka ada? Trevor dan Marni menuju ke jalan. "Saya
benci apabila saya bercakap dalam Bahasa Perancis dan mereka jawab dalam Bahasa
Inggeris."
Marni angguk. Kenapa dia ambil berat
perkara kecil ketika itu? "Saya tahu," kata Marni. "Warga
Perancis memang begitu ..." Dan memang betul pun mereka begitu. Setiap
orang tahu bagaimana sikap warga Perancis mengenai makanan dan bahasa mereka.
Bagaimana sombong dan dalam sesuatu keadaan mereka amat tegas tanpa sebab jelas.
Mereka hampir memutuskan untuk tak datang
ke Perancis. Batalkan semua benda, tak kisah rugi. Kejadian tahun lalu telah merencatkan
mereka sejenak. Trevor adalah salah seorang yang terselamat, akhirnya. Dia
sepatutnya berada di World Trade Center pada 9/11. Mesyuarat sambil sarapan
pagi yang sepatutnya dia sertai di sana telah dibatalkan pada saat-saat akhir. Seseorang
sakit gigi. Sewaktu di suatu majlis makan malam dia menggeleng-gelengkan
kepalanya. "Bukan sebab pelantikan jawatan di Samarra," dia kata, dan
kebanyakan orang tak berfikir sungguh-sungguh, walaupun Marni sering berasa
yang mereka tak tahu apa yang Trevor maksudkan dengan ayat itu, dan amat
janggal untuk memperjelaskan mengenai pekerja-pekerja di situ yang menemui ajal
dan lain-lain.
Marni periksa telefon bimbitnya sekali
lagi. Tiada mesej daripada Danielle. "Apa yang awak nak buat?"
Trevor geleng kepala, cuba elak kelihatan
terganggu. "Kita berdua bertanggungjawab untuk melihat apa yang dia hantar
kepada kita, bukan? Saya maksudkan, saya sudah terbiasa dengan awak yang
melakukan pemeriksaan, tapi awak sibuk."
"Ini salah saya," kata Marni.
"Saya sepatutnya sudah periksa ..."
"Kita berdua bertanggungjawab." Dia
mengeluh. "Ia tak masuk akal." Mereka kembali ke hotel lalu sewa
bilik itu.
BILIK MEREKA berwarna hitam dan putih, dengan pelbagai suis lampu kompleks dan kepala
paip-kepala paip yang sukar dikenal pasti. Keletihan, mereka letak semua
barangan mereka dan kedua-duanya pergi mandi. Kemudian mereka rebah atas katil
saiz King dalam bilik tersangat moden
berbeza dengan di luar sana, kelihatan bangunan-bangunan lama yang kelihatan
bagaikan hendak runtuh. Sedangkan Marni berharap untuk duduk dalam bangunan bentuk
Eropah zaman dulu. Mereka tertidur, dan bangun beberapa jam kemudian. Sudah
pukul 10 lebih dan hari sudah gelap. Marni periksa telefon bimbitnya untuk
lihat sama ada dia terima mesej dari Danielle, tapi tiada apa-apa pun. "Dia
mungkin di pantai tersorok entah di mana. Di Crete atau di mana-mana tempat
yang tiada cara untuk berhubung dengan
tempat lain."
"Saya ada idea," kata Trevor sewaktu
dia memakai seluar, kasutnya. "Waktu pagi kita boleh pergi pintu ke pintu
dan lihat sama ada kunci muat untuk mana-mana bangunan. Lagipun, tiada masalah
kerana Mama's Haven cukup dekat dengan tempat berkenaan dan keadaan di sini
berbunyi bising sehingga mengganggu penghuni di situ, bukan?"
Marni angguk. "Bagus, Sherlock!"
Trevor tersenyum lalu mencapai tangan
Marni. Mereka amat lapar ketika itu. Terlalu lapar untuk berjalan-jalan di
kawasan sekitar, oleh itu mereka bercadang untuk makan di bawah, di mana tanpa
perlu disoal mereka adalah pasangan paling tua di restoran berkenaan, dan
mereka belum pun lagi mencecah usia 40 tahun!
Makanan
lambat tiba, dan mereka habiskan kebanyakan masa dengan melihat satu pasangan
lain, dengan dua anak yang sepatutnya berada atas katil tapi sebaliknya
mengamuk di meja sebelah mereka. Mereka berniat untuk pindah ke meja lain, tapi
Marni fikir tindakan itu mungkin kelihatan biadab dan ibu bapa berkenaan
mungkin terasa kerana membiarkan anak-anak mereka berjaga sehingga hampir pukul
11 malam.
Mereka telah berkahwin selama lima tahun. Tanpa
anak-anak. Mereka ke sana ke mari, tapi akhirnya mereka tak fikir mereka mahu
anak-anak. Trevor adalah seorang peguam industri hiburan, dan Marni pula
arkitek yang pakar dalam bidang baik pulih batu-bata. Mereka berkarier. Dunia
harian mereka merangkumi bidang-bidang berkenaan atau kelas yoga. Mereka sering
makan di luar. Seperti ramai rakan mereka, mereka tak mahu menanggung beban. Anjing
pun tiada. Selain itu, mereka suka mengembara.
Akhirnya makanan sampai. Ia dihidang di
atas pinggan kayu. Ikan dan salad. Ikan itu digoreng, tak disebut secara jelas
cara masakannya dalam menu. Mereka pantas makan lalu menuju ke atas. Mereka
fikir mereka sukar untuk tidur kerana mereka tidur lama pada waktu tengahari,
tapi sekejap sahaja mereka terus hanyut di alam mimpi.
MEREKA BANGUN AWAL, cuba anak
kunci besar untuk buka pintu-pintu beberapa bangunan berdekatan hotel. Mereka
rancang secara strategik, bergerak dari satu bangunan ke bangunan lain yang
semakin menjauhi Mama's Haven. Amat mengejutkan kerana jalan yang dilalui
kotor, sampah merata-rata. Mereka perlu berhati-hati apabila melangkah. Cahaya
matahari Afrika Utara pula panas membahang. Setelah anak kunci tak muat untuk
dua kunci yang mula-mula dicuba, mereka teruskan usaha di bangunan-bangunan
lebih jauh. Sewaktu Trevor mencucuk-cucuk anak kunci, Marni bersandar di tembok
secara bersahaja, cuba mengelak kelihatan seperti orang yang dicurigai. Sudah
tentu sukar untuk memberi penjelasan yang mereka bukan penjenayah yang cuba
memecah masuk rumah penduduk di situ. "Saya tak fikir tahap Bahasa
Perancis saya cukup bagus untuk beri penjelasan," kata Trevor.
"Kita boleh saja berlakon seperti
pelancong bodoh yang tak ingat tempat kediaman yang kita sewa."
"Nous
sommes perdus," kata Trevor. "Kami sesat." Dia tersenyum
kerana bangga dia pantas mengingati ungkapan Bahasa Perancis yang dipelajarinya
semasa di kolej. Di bangunan kelima, anak kunci berjaya buka pintu depan. "Bingo," Marni menjerit. Mereka masuk
laluan dalam bangunan yang anak-anak tangganya sudah pecah, dengan
kelompok-kelompok serpihan batu-batu berada di atas lantai. Ia kelihatan
seperti tapak pembinaan. Marni secara samar-samar mengingati huraian magnum opus Danielle mengenai laluan dalam bangunan yang terabai. "Jangan
kecewa," dia tulis.
Mereka ketika itu sudah menemui bangunan
terbabit, tapi ia setinggi enam tingkat. Adakah mereka perlu cuba buka semua
pintu rumah? "Kita tak boleh terus pergi dari satu pintu ke pintu lain,
sumbat anak kunci ke dalam lubang-lubang kunci rumah. Bagaimana jika penghuni
ada di dalamnya?"
Mereka memutuskan untuk mengetuk
pintu-pintu kediaman. Jika seseorang jawab, maka sudah tentu ia bukan
pangsapuri yang dicari. Seorang wanita tua muncul di muka pintu pertama dan
menjegil mereka. "Excusez-moi,
Madame," ucap Marni, hampir tunduk tanda hormat. Mereka sambung di
tingkat atas. Seorang ibu muda menjawab, kemudian seorang remaja, seorang
lelaki berseluar pendek. Marni mengetuai serbuan ke pintu-pintu manakala Trevor
membantu di belakang.
"Mungkin ini bukan caranya."
Trevor menjerit ke arah Marni. Dia berada setingkat di bawah, enggan mendaki
lebih tinggi. Akhirnya, di tingkat empat, Marni ketuk-ketuk dan tiada jawapan. Dia
teragak-agak masukkan anak kunci ke dalam lubang kunci, dan pintu terbuka. "Eureka!" Dia menjerit. Sewaktu Trevor
datang termengah-mengah daki anak-anak tangga ke tingkat berkenaan, Marni berjalan
masuk pangsapuri putih yang kelihatan dalam keadaan asal, gelap sedikit kerana
mengikut gaya Mediterranean, semua tingkap diselak. Ia panas melemaskan -
kediaman itu telah ditutup berminggu-minggu. Panas sangat sehingga Marni fikir
dia akan pengsan. Dia bergerak ke seluruh ruang pangsapuri, buka
tingkap-tingkap bagi memastikan udara beredar. Dia teringat apa yang ditulis Danielle
dalam manifestonya. "Marseille sentiasa lebih sejuk daripada Paris, terutama
ketika angin bertiup dari arah laut."
Dia menarik langsir baldu tebal di bilik
tidur, menolak kuat pintu-pintu Perancis sehingga terbuka seluas mungkin. Dia
ke dapur dan ruang tamu, besar dan putih dan tak ternoda. Pangsapuri itu cantik,
dan dia buka penutup tingkap-penutup tingkap dan tingkap-tingkap, dan
pemandangan luar pangsapuri itu ialah pelabuhan Marseille yang menakjubkan dan
lama dan usang dan menarik walau ganjil seperti yang diagaknya, namun tiada
hembusan bayu dari laut. Tiada angin langsung. Yang pasti, udara tak bergerak.
Trevor, yang baru masuk pangsapuri, lihat
dia menggeledah ke sana ke mari. "Apa awak buat?"
"Saya cari kipas angin. Danielle kata
dia ada kipas besar."
Terselit di penjuru yang Marni anggap
bilik kanak-kanak, kelihatan kipas berdiri, tapi ia bukannya besar pun. Tinggi,
tapi kecil. Marni tekan suis on.
Kipas itu menghembuskan angin panas ke mukanya. Marni dapati bahawa jika dia
berdiri betul-betul depan kipas, dia akan berasa hembusan angin. Dia bawa ke ruang tamu. Mereka kembali ke Mama's
Haven lalu bawa barangan mereka ke kediaman baru mereka. Marni sukakan
pangsapuri itu. Tirai putih bergelombang dipuput angin panas yang sekali-sekala
datang dari arah Afrika Utara. Warnanya
putih mulus berbeza amat dengan Mama's Haven. Marni menggigil. "Tu dia
neraka."
"Ya," aku Trevor, "tapi
tenang."
Trevor hampiri belakangnya lantas letak
kedua-dua tangan ke atas setiap belah bahunya. "Suatu hari kelak kita akan
ketawa apabila mengenang hal ini."
"Saya percaya kita akan tak
habis-habis ketawa mengenai hal ini pada minggu depan."
"Kita menikmati makan malam bagi
meraikan kejayaan kita ini," Trevor kata, tarik dia lebih dekat meskipun
panas, cium dia, gerak jari-jarinya ke seluruh pelusuk rambut coklat tebalnya.
Setelah itu Marni mengeluarkan isi beg. Semasa dia menggantung pakaiannya, dia dapati
dia tak bawa baju musim panas berwarna biru, baju yang dia cadang untuk pakai
apabila mereka bersiar-siar di tepi laut. Dia meradang kepada diri sendiri kerana
terlupa. Ia terbaik untuk dipakai di Marseille. Dia terdengar suara merpati
yang Danielle kata burung-burung itu tidur di bahagian cucur atap.
HARI MASIH AWAL sewaktu mereka
keluar. Mereka berhenti di Place Paul Cezanne untuk minum kopi. Kedai kopi ini sebenarnya tempat berjudi di
luar padang lumba kuda yang dilesenkan, dan di sekeliling mereka ramai lelaki
bertaruh. Mereka kemudiannya menuju ke kaki bukit, ke kawasan pasar-pasar yang
dipenuhi ramai peniaga yang kebanyakannya berasal dari Afrika Utara, di mana
dalam notanya Danielle menjanjikan mereka akan jumpa pelbagai jenis tamar dan
rempah-ratus dan ayam-ayam panggang. Terasa hembusan bayu sewaktu mereka berjalan
turun melalui laluan tepi dua bangunan, rue
d'Aubagne menuju ke kawasan lorong panjang, Capucins. Dari puncak bukit mereka dapat lihat seluruh pelabuhan,
laut dan bumbung-bumbung rumah di kawasan lama Marseille.
Semakin mereka gerak ke bawah, semakin dunia
sekeliling mereka bertukar wajah. Jalan-jalan tak bersemangat dan kotor
kelihatan sudah bersih dicuci dan disental dengan penanam-penanam bersama-sama bunga
geranium mekar berada depan setiap kedai. Mereka melewati salun-salun rambut
dengan gambar-gambar lelaki Afrika, rambut gaya New York pada 1980. Seorang
lelaki kulit hitam tinggi, kacak sedang menyapu depan sebuah restoran Ivory
Coast. Mereka seterusnya tiba ke dunia rempah-ratus, berwarna-warni, berbagai
bau, serbuk kari, kunyit, buah-buahan manisan, buah-buahan kering, kekacang,
teh dari Sri Lanka, China dan Indonesia. Terdapat kedai-kedai menjual sabun,
juga kedai menjual bijirin. Di sebuah kedai rempah mereka beli sebeg tamar yang
paling manis mereka pernah rasa. Mereka turut
beli buah zaitun dan keju. Mereka makan kuih dadar Arab yang dicelup madu.
Mereka membelok ke jalan lebih besar yang
lebih sesak, dan tiba-tiba mereka ditenggelami lautan, tsunami, banjir kilat
manusia sejagat yang memeranjatkan mereka. Ia datang entah dari mana lalu
mengepung sekeliling mereka, melepasi mereka, mengelilingi dan menenggelami dan
membawa mereka bersama-sama. Kerumunan yang boleh melemaskan mereka atau
sekadar memilih untuk mengabaikan mereka. Jalan dipenuhi golongan remaja, orang
lapar, kumpulan melepak. Ia seakan-akan dengan satu langkah mereka telah
meninggalkan Eropah lalu mengharungi jalan di Algeria, Tangier, Tunisia. Afrika hanya berjarak satu perjalanan dengan
bot.
Wanita-wanita dari Mali dengan pakaian
berbungkus dan terhurai, di kepala-kepala, mereka junjung raga yang dipenuhi
buah-buah berwarna kuning yang disusun bagai bunga. Wanita-wanita Islam dengan selendang
putih dan kuning kehijauan dan merah jambu pudar menarik anak-anak melalui
celah orang ramai. Warga Arab menjaja barang-barang jualan, menawarkan sarung
kaki, kipas, jam, beg Louis Vuitton and Prada palsu, selipar, replika kecil Eiffel
Towers, rantai kunci, selendang. Sebahagian
bertutur pelbagai loghat dari Afrika, Arab. Yang lain bercakap dalam Bahasa
Perancis dan Liguria, Itali dan Sepanyol. Seorang lelaki mendodoi seorang bayi
yang menjerit-jerit dengan lampin basah yang dia tak akan tukar. Seorang lelaki
lain duduk dalam kerusi roda, kaki kanannya terangkat dan ada balutan. Sebelah
kakinya lagi sudah tiada. Teman wanitanya, seorang penagih dadah, menolak.
Kedua-duanya terpekik-pekik menerusi telefon bimbit masing-masing. Sementara
itu, golongan tua cuba mendorong kereta sorong berniaga mereka melalui limpahan
manusia.
Seorang Arab membawa sebuah kipas elektrik besar, dan dalam masa singkat
Marni berhasrat untuk menawarkannya duit untuk memilikinya. Wanita-wanita
mengandung meraba-raba perut mereka. Wanita-wanita Asia memakai seluar pendek
dengan rambut diwarnakan merah, ketawa berdekit-dekit di selekoh jalan. Setiap
orang berurus niaga, jual sesuatu. Tiada yang tahu apa yang bakal berlaku
keesokan hari.
Di sini kemalangan berlaku, di mana seseorang akan menjerit ke telinga
anda atau meludah ke muka anda atau mencuri beg anda. Terdetik di fikiran Marni
sewaktu mereka bergerak turun ke pasar jalanan bahawa mereka tiada beza. Mereka sekadar dua daripada jutaan yang jatuh
dan bangun dan dipaksa melarikan diri ke luar negara dan secara rela menjadi
pelarian yang datang menghentam bagai ombak besar menghempas pantai di situ. Mereka
datang menghentam anda, membawa anda bersama-sama, dan tiada apa yang boleh anda
lakukan, meskipun cuba melangkah ke sisi. Tiada apa yang anda boleh buat untuk
melarikan diri daripada mereka.
Marni berasa bagaikan dia akan lemas dalam kesibukan orang ramai. Dia
tak pernah mampu menangani masalah mosh
pits, kesesakan dalam stadium, keretapi padat. Tak bernafas, dia genggam lengan
Trevor, tarik dia ke satu lorong. "Saya perlu keluar dari jalan ini,"
dia beritahu Trevor. Trevor pandu dia dengan memaut bahu, mendorong dia
menuruni laluan celah bangunan. Mereka tiba di sebuah kedai sudut bangunan yang
dihiasi jubin biru dan putih. Di dalamnya, pembeli-pembeli dan
pedagang-pedagang sedang hirup teh manis dalam cawan. "Jom masuk." Dan
Trevor mengikutinya.
Ia adalah sebuah kedai kecil yang cantik dengan kuih-muih teratur dalam
barisan-barisan lurus dan serbuk teh dalam takar dilabel dari Sri Lanka, Jepun,
Maghribi. Marni dan Trevor pilih teh yang mereka mahu, dan pelayan bawa teh
pilihan mereka dalam gelas-gelas berwarna merah dan biru yang mulanya amat
panas untuk disentuh. Mereka duduk-duduk sebentar, bongkok, hirup tanpa
mengangkat gelas dan mengunyah biskut manis yang disaluti madu serta badam. Pelayan
datang lawat mereka. "Apa rasa teh awak?" Dia tanya. Dia kacak dengan
rambut yang sudah berwarna garam dan lada hitam, tapi apabila dia tersenyum,
dia punya gigi-gigi yang teruk. Gigi-giginya bengkok dan kuning.
"Sedap," kata Marni, dan memang betul.
Teh, jelas pelayan itu, bangkitkan kenangan zaman kanak-kanak. Semua
tersimpan dalam teh. "Apa memori-memori yang awak rasa dalam teh awak?"
Dia tanya Marni.
"Anjing jantan saya basah apabila dia keluar dari tasik."
Pelayan itu ketawa. Kelihatan seperti dia mampu gambarkan seekor anjing
kebasahan. "Dan apa awak rasa pula, tuan?"
Trevor fikir sejenak. "Bau kuburan dekat rumah saya pada waktu
malam. Saya dan rakan-rakan pernah ke sana semasa saya budak-budak."
Pelayan itu tenung ganjil Trevor, bagai tiba-tiba terdapat sesuatu yang
menakutkan mengenai Trevor. Kemudian dia berlalu pergi. "Nampaknya, itu
ayat penutup perbualan, bukan?" kata Marni.
"Saya rasa begitulah. Mari pulang."
Mereka habiskan teh lalu jalan dengan bersusah payah mendaki bukit ke
pangsapuri mereka, dibeban dengan makanan yang mereka beli. Marni masih terkejut
dengan tahap kepanasan yang dirasakannya. Ia bukan seperti apa yang dia pernah
tahu. Ia bagaikan anda berjalan dalam ketuhar. Kepanasan sekata di sekeliling
anda, walaupun anda berada dalam tempat terlindung.
APABILA
SAMPAI ke
pangsapuri mereka, Marni mandi air sejuk, bermaksud berdiri dalam bilik air sambil
memegang alat pancutan air. Kemudian dia
ke ruang dapur, masih dibungkus dengan tuala, untuk membantu Trevor memunggah barangan
yang mereka telah beli. Trevor sediakan meja untuk makan tengahari. Dia letak
sepinggan besar berisi tamar-tamar dan keju, buah tin dan ayam panggang.
Sebotol bunga ros terletak atas meja. "Cantiknya!" Seru Marni.
Marni gali beg beli-belah mereka untuk lihat apa lagi yang mereka telah
beli. Dia jumpa beberapa biji buah lain dan zaitun, dia letak ke dalam mangkuk.
Kemudian dia tersentuh sesuatu yang keras dan sejuk. Tarik keluar, dia dapati
gelas biru yang diguna Trevor minum teh. Dia pegang dan tunjuk kepadanya.
"Trevor, awak curi gelas inikah?"
Trevor geleng kepalanya. "Tak, dah tentu tidak. Kenapa saya nak
buat begitu? Saya tak tahu macam mana ia masuk ke situ."
"Tapi awak mungkin tersalah ambil."
Trevor angkat bahunya. "Tapi saya akan tahu jika saya ambil gelas
teh itu. Mungkin awak letak dalam beg." Marni kebingungan. Bagaimana gelas
teh itu masuk ke dalam beg? Ia bagai silap mata. Dia tiada idea mengenai bila
dan bagaimana ia berlaku.
"Saya tak ambil," Marni berkata tegas. Mereka dapati mereka
akan masuk kitaran menyalahkan orang lain yang perlu dielak seperti yang
dinasihat kaunselor perkahwinan. Anda tak perlu selalu menang, dia terdengar
kata-kata ahli terapi itu. Kadang-kadang anda menang dengan cara anda kalah (satu
konsep kedua-dua mereka tak betul-betul faham). "Baiklah, ia tak penting,
bukan? Kita akan pulangkan petang ini."
Marni katakan dia pasti kedai teh itu ditutup pukul enam lalu Trevor tersenyum.
"Hebat betul, bagaimana awak ingat perkara sekecil ini." Mereka makan
dalam diam. Kedua-duanya terganggu dek kerana gelas teh, dan kedua-duanya tak
berapa boleh abaikannya. Salah siapa? Bagaimana ia masuk ke dalam beg membeli-belah?
Dan mereka perlu pulangkannya. Mereka tak mahu pelayan itu fikir yang mereka
curi kerana sebab-sebab tertentu. Bagaimana jika, tak semena-mena Marni
terfikir, kehadiran gelas teh itu adalah sebagai suatu amaran? Bagaimana pula jika
pelayan itu hilang nilai kemanusiaan dan di atas sebab-sebab tertentu mendakwa
pula mereka sengaja mencuri gelas teh itu sehingga tiada jalan penyelesaian?
Ketika itu haba mencengkam mereka, dan pangsapuri itu panas menggelegak.
Mereka memutuskan untuk berehat. Marni mengheret kipas bersama-samanya bagaikan
ia tiang IV. Akhirnya dia duduk atas kerusi panjang dengan memegang sebuah buku,
manakala Trevor masuk bilik tidur. Apabila mereka bangun, waktu sudah hampir
pukul 5, tapi cuaca masih panas membara. Dalam perjalanan turun bukit, Trevor berkata,
"Saya fikir saya tahu apa yang telah berlaku. Sewaktu saya kutip barang-barang
kita untuk dimasukkan ke dalam beg membeli-belah, saya mungkin terambil juga
gelas."
Marni angguk. "Ya, itu mungkin berlaku."
Mereka berasa bangga untuk melakukan misi kecil itu. Pelayan berkenaan
akan menghargainya. Dengan sebab-tentu tertentu mereka bakal menjadikan dunia
ini sedikit lebih baik dengan memulangkannya. Imbangan karma akan sedikit
condong kepada kebaikan untuk mereka. Ketika mereka sampai, pelayan itu berdiri
di luar, sedang menghisap rokok. Dia tersenyum, tanda mengingati mereka, dan
apabila mereka tunjukkan gelas teh kepadanya, dia kelihatan pelik. "Ia terjatuh ke dalam beg membeli-belah
kami," kata Marni.
"Merci," balas
pelayan itu, menenyeh puntung rokoknya. "Saya fikir itu yang telah
berlaku." Dan tanpa lain-lain perkataan dia bawa gelas teh itu ke dalam.
MEREKA
TELAH RANCANG untuk lawat semua
bandar yang namanya bermula dengan huruf A - Aix, Arles, Avignon. Tapi cuaca terlalu
panas untuk sebarang perjalanan dan makan angin. Mereka baca berita bahawa
angin, dinamakan sirocco, datang dari
arah Afrika Utara ke Provence. Amat panas untuk mereka buat sesuatu sepanjang
siang. Di waktu malam bunyi bising dari disko di Mama's Haven amat memekakkan
telinga. Dan amat panas pula untuk berada dalam pangsapuri. Sebenarnya tiada
pun bayu Mediterranean seperti yang dijanjikan Danielle. Tak perlu babitkan
janji mengenai kipas besar. Setiap kali mereka berada di dalam pangsapuri,
Marni sentiasa mengheret kipas itu dari satu bilik ke satu bilik. Mereka keluar
pada awal pagi, waktu tengahari terlalu panas untuk buat apa-apa pun. Mereka
baring atas katil, baca buku, kipas menghembus kuat segala udara bergerak yang
ia boleh hembuskan, setelah empat hari bertahan dalam suasana begitu, Marni mengadu
kepada Trevor. "Jom balik ke Paris."
"Tapi kita ada tiket
keretapi. Dan di mana kita nak tinggal?"
"Saya akan tukar tiket-tiket itu. Saya fikir saya boleh buat
melalui talian internet. Dan saya akan sewa
kediaman melalui Airbnb untuk hujung minggu ini."
"Baiklah." Trevor kelihatan lega. "Jika awak nak
selesaikan masalah ini, mari kita lakukannya."
Adalah lebih mudah daripada apa yang difikirkan oleh Marni untuk tukar
tiket-tiket keretapi. Keretapi yang sama, dua hari lebih awal. Tiada caj tambahan.
Ia juga berasaskan nasib. Dan dia temui satu kediaman Airbnb bentuk studio di
Marais yang menawarkan penghawa dingin dan kosnya kurang daripada 100 euro
semalam. Mudah sahaja. Ia ditakdirkan begitu. Mereka akhirnya tidak benar-benar
menjelajah di luar sana, dan selain itu, mereka tak dengar khabar pun daripada Danielle
dan semua kejadian itu bagaikan suatu penipuan. Kebenaran terbukti. Marni malah
tak berasa selesa berada di Marseille. Dia tak dapat memastikan di mana kawasan
selamat berakhir dan kawasan berbahaya bermula di setiap jalan serta kawasan
kejiranannya.
Pagi esoknya mereka bersihkan pangsapuri dan mengemas barang-barang mereka.
Mereka menelefon teksi untuk membawa mereka ke stesen keretapi. Tambangnya
separuh daripada kos yang dikenakan ketika mereka baru tiba dahulu. "Ia kegiatan haram"
adalah ayat yang bapa Marni akan katakan. Dia cuba mendapatkan tempat duduk
menghala ke depan, tapi tiada kepastian apabila berurusan secara dalam talian
internet. Mereka turut selidik di stesen keretapi, tapi seorang ejen tiket
perempuan kata bahawa dia tak tahu mengenai hal berkenaan. Akhirnya mereka
menaiki keretapi dengan mengarah ke belakang sekali lagi.
Mulanya keretapi kelihatan agak kosong, dan mereka boleh duduk melintang,
dengan Marni menghadap ke depan, tapi di Avignon keretapi diisi penuh dengan
penumpang. Marni telah lama duduk di kerusi seorang perempuan, dan mereka
terpaksa bertukar tempat. Dia seorang berperwatakan menarik dengan rambut
coklat, tapi ada genangan air jernih di matanya. Dia terperosok dalam tempat
duduknya dan mulai menghembus ciuman keluar tingkap. Seorang lelaki berdiri di
atas platform menghembus ciuman kembali. Dia kelihatan lebih tua daripada
perempuan itu, dengan rambut panjang berwarna kelabu. Dia selekeh, dengan selendang
terjuntai melilit tengkoknya. Mereka terus-terusan menghembus ciuman, sambil
mengomel "Je t'aime, je t'aime"
sebaik keretapi mulai bergerak. Dia pastinya bukan suaminya. Dia ke Avignon
kerana berjanji dengan kekasihnya untuk bertemu pada pertengahan minggu? Seterusnya
perempuan itu meletakkan bibir-bibirnya kepada kaca. Sewaktu dia terperosok
semula ke tempat duduknya, gambaran sebuah ciuman kekal terbayang.
Melintang Marni ialah seorang lelaki sedang duduk, baca majalah mekanik
kereta. Dia kelihatan terlalu asyik. Ketika keretapi bergerak, Marni menyaksikan
cahaya di Provence meredup, langit bertukar kelabu, dan tanah kelihatan rapuh
dan berwarna coklat. Dia belum melihat padang dipenuhi lavender, dan dia tahu
dia tak akan dapat melihatnya lagi. Sekurang-kurangnya bagi perjalanan kali
ini. Marni pusing ke arah Trevor, "Jom minum."
Dia ikut Marni ke bahagian kopi, yang dipenuhi pengembara-pengembara, termasuk
dua gendarme. Seorang hampir 7 kaki
tinggi. Marni renung dia. Ia kelihatan bagaikan John Wayne sedang mengawal
keretapi yang dinaikinya. Dia pesan segelas rose,
manakala Trevor mahukan bir. Mereka duduk atas bangku tak bersandar, lihat ke
luar tingkap. Keadaan dalam keretapi agak ganjil kerana tenang, melegakan. Lelaki
dekat mereka adalah seorang warga Amerika Syarikat dari Texas, dan dia mula
bercerita secara tiba-tiba. Dia naik keretapi ini pada awal hari, menuju ke
Paris. Isterinya mahu sedikit ruang (dalam lain perkataan, mereka bergaduh),
oleh itu dia turun keretapi untuk melegakan kaki-kakinya yang letih di Avignon.
Dan keretapi bergerak, begitu sahaja, tanpa dia. Dia petik jari-jarinya untuk
memperlihatkan peristiwa itu berlaku amat pantas.Dia tiada apa-apa pun
bersama-samanya. Tiada bagasi, tiada pasport, malah dia tiada dompet. Ketua
stesen bertimbang rasa lalu bantu lelaki itu dapatkan satu tiket untuk kembali
ke Paris. Isterinya, dia beritahu mereka, akan menemuinya di stesen nanti.
"Saya rasa dia dapat ruang yang dia mahu sangat," dia menyindir.
Lelaki dari Texas mula bercakap pula dengan gendarme yang bersaiz
gergasi itu mengenai senjata api. Dia beritahu gerdarme itu bagaimana warga
Perancis perlu perlengkapkan diri dengan senjata. "Awak perlu lebih
senjata api," kata warga Texas itu. Perempuan yang menghembus ciuman
sedang tidur, mungkin bermimpikan kekasihnya, mahu bertahan dengan suasana ini
lebih lama, tak bersedia untuk melepaskannya. Lelaki dengan majalah mekanik
kereta sedang bercakap agak kuat di telefon bimbitnya.
Sewaktu mereka kembali duduk, Trevor mencebik muka, dan lelaki itu
bangkit untuk ke kawasan pertemuan di antara dua gerabak. Mereka bersyukur
kerana kembali ke Paris. Mereka sudah melihat Marseille. Itu sudah bagus. Tapi
mereka berasa agak kecewa juga. Mereka tak sempat ke Calanques.
Mereka tak dapat lihat kuda-kuda liar Camargue.
"Bagaimanapun," kata Trevor,
"kita punya sebab untuk kita datang semula."
"Betul juga." Hal ini tak akan menyenangkan Marni sampai
bila-bila. Maksud ada sesuatu untuk
datang semula, tapi semestinya bukan pada Julai atau Ogos. Mereka sudah capai
kata sepakat. Mereka tak akan datang ke Eropah semula pada musim panas. "Kenapa
warga Eropah tiada alat penghawa dingin?" Marni berfikir.
"Dan tiada skrin-skrin pada tingkap-tingkap mereka," tambah Trevor.
Ini apa yang mereka suka mengenai pengembaraan. Cara orang lain
melaksanakan sesuatu. Apa yang tak diketahui. Dan mereka mengalami pengalaman
jenaka yakni tak tahu di mana mereka akan menginap. Ia bakal menjadi sebuah
cerita menarik untuk diceritakan apabila mereka pulang ke tanahair. "Tak
selesa langsung," kata Marni.
"Dan mahal," tambah Trevor.
Marni angguk, tapi dia berasa tak seronok. Semuanya berlaku kerana
kesalahannya. Dia sepatutnya periksa dahulu. Dia sepatutnya pastikan, tapi
dalam lain keadaan, Trevor tak
menyalahkannya, yang mempamerkan suatu kemajuan kepada mereka sebagai satu
pasangan, bukan? Begitupun, apa yang mustahak ialah mereka berjaya mengatasinya,
mereka bahagia dalam tempoh itu walaupun cuaca amat panas. Cuaca di Paris didapatinya
sedang hujan, akan lebih sejuk. "Saya bersyukur kita kembali awal ke Paris,"
kata Marni, menguap.
"Saya juga," kata Trevor dan dia turut menguap. Perlakuan ini
berjangkit. Mereka berjenaka, dan kemudiannya mereka berdua berasa mengantuk.
Ia hampir seperti seseorang merenjis serbuk jampi ke atas kepala-kepala mereka
seperti dalam cerita dongeng, dan mereka tertidur sewaktu gerakan keretapi
semakin memecut.
Marni tak pasti apa yang mengejutkannya daripada tidur. Mungkin bunyi
bergemuruh yang dia dengar di bahagian belakang gerabak, atau mungkin sekadar
disebabkan Trevor tiba-tiba tersedar. Atau bunyi ping kemunculan mesej yang
baru tiba dalam telefon bimbitnya. Mesej itu daripada Danielle. "Sorry! My bad." Adakah semua orang
di seluruh dunia kata "My bad"?
Danielle masukkan alamat pangsapuri di
mana mereka sudah tinggal selama lima
hari dan tawar kepada mereka sedikit bayaran balik.
Marni ketawakan dirinya sendiri. Kemudian dia tengok ke depan kerana dia
hendak cerita mengenai penamat berbentuk jenaka kepada Trevor. Pengakhiran
cerita bodoh mereka. Kenapa dia bangun tiba-tiba? Dia panggil namanya,
tunjukkan ke telefon bimbitnya. Trevor bergerak terlompat-lompat di laluan ke
arah depan gerabak dengan tujuan yang ganjil. Adakah dia bergerak begitu hanya
kerana mahu ke bilik mandi? Seorang lelaki yang memakai baju T comot dengan
renungan tajam sedang bergerak di laluan gerabak. Dia ada sesuatu yang
digantung merintangi dadanya. "Apa benda itu?" Marni jerit kuat. Tapi
Trevor tak jawab. Dia menerpa ke arah lelaki terbabit.
Marni terpaku sejenak. Dia fikir dia patut beri amaran kepada semua
penumpang lain, lantas mencampakkan tubuhnya ke bawah tempat duduk. Dia tunggu
untuk lihat apa yang bakal dilakukan Trevor, tapi dia terus bergegas melepasi
lelaki itu. Dia cuma pergi ke bilik mandi. Lelaki itu berjalan ke arahnya tapi
kelihatan seperti tak melihat Marni. Satu daripada dua matanya tak bergerak
kerana ia diperbuat daripada kaca. Dia ada satu
bungkusan kecil melintang dadanya. Dia melepasi Marni menuju ke gerabak
selanjutnya.
Beberapa detik kemudian Trevor kembali, dan Marni menyelitkan lengannya
ke lengan Trevor. Sepanjang perjalanan selanjutnya warna langit semakin kelabu
sehinggalah mereka berada di pinggir Paris, di mana kelihatan hujan, kurang
panas melekit tetapi mesra dalam kehangatan.
Nota saya:
1. Mama's Haven dipetik daripada The Atlantic edisi April 2018. Novel
terkini Mary Morris, Gateway to the Moon turut muncul pada bulan dan tahun yang
sama.
2. TGV
ialah akronim kepada Train à Grande Vitesse iaitu keretapi
berkelajuan tinggi, manakala metro
ialah sistem keretapi bawah tanah.
3. Wife-beater
di dalam cerpen ini bukan bermaksud kaki pukul isteri tetapi pakaian lelaki
seperti singlet.
4. Calanques ialah suatu kawasan jalan
sempit, manakala Cassis pula sebuah penempatan di timur Marseille.
5. Saya terjemah IV pole atau intravenous pole sebagai tiang IV iaitu
peralatan di hospital yang ada 4 atau 5 tayar untuk menstabilkannya.
6. Airbnb ialah sebuah syarikat swasta
beribupejabat di San Francisco yang menawarkan perkhidmatan melalui laman web
serta telefon bimbit. Ahli-ahlinya juga boleh tawar tempat penginapan, khususnya homestay atau pengalaman melancong.
7. Gendarme ialah
salah satu sebutan dalam Bahasa Perancis bagi mengklasifikasikan seorang anggota
polis. Seorang gendarme kebiasaannya pernah menjalani latihan berbentuk ketenteraan
dan kemudiannya individu berkenaan ditugas menjaga keselamatan orang awam.
Comments
Post a Comment