Novostroika
oleh Maria Reva
DANIIL IVANOVICH Blinov daki anak-anak
tangga rosak menuju pejabat majlis perbandaran. Patung Lenin membayangi bangunan itu,
menjeling dalam cuaca berkabus dari jauh. Salji pertama musim dingin yang gugur
pada bahu patung nampak bagai kelemumur. Daniil cuba elak pandangan tajam
patung digelar datuk itu, tapi dia berasa belakang kepalanya tetap diperhati
sehingga menjalarkan rasa bahang panas menembusi topi bulu binatangnya.
Dalam dewan majlis perbandaran,
tubuh-tubuh kelihatan bongkok ke dinding-dinding bagi memanaskan tangan masing-masing
dengan mendekati alat-alat pemanas. Lelaki, perempuan, seluruh isi keluarga berasak-asak menuju penghadang kaca. Daniil masuk barisan. Kedua-dua kakinya
terbuai ke belakang dan ke depan. Apabila tumit-tumitnya kebas, dia gerakkan sendi-sendi
kaki untuk galak peredaran darah.
"Orang selanjutnya!"
Daniil gerak selangkah ke depan. Dia merendahkan
badan hala ke lubang pada penghadang lalu pandang perempuan yang duduk di
belakangnya. "Saya ke sini untuk lapor masalah sistem pemanas dalam
bangunan kami."
"Apa masalahnya?"
"Kami tak rasa panas."
Dia jelaskan bangunan yang diduduki adalah bangunan baru, musim dingin kali ini
adalah yang pertama dialami penghuni di situ, namun pihak tertentu didapati
lupa untuk sambung saluran haba dari tempat bakar daerah, malah air tandas
beku pada waktu malam.
Perempuan itu angkat buku daftar
senarai yang tebal ke atas kaunter. "Alamat bangunan?"
"Jalan Ivansk, No. 1933."
Dia menyelak buku itu, jilat jarinya
setiap kali sebelum dia menyelak beberapa muka surat. Dia selak dan selak,
semak indeks, selak sekali lagi, kemudiannya dia tutup buku dan memeluknya.
"Bangunan ini tak
wujud, Wargakota."
Daniil tenung perempuan itu. "Apa
maksud puan? Saya tinggal di situ."
"Ikut dokumen ni awak tak."
Perempuan itu lihat pasangan muda dalam barisan di belakang Daniil.
Daniil gerak lebih rapat, terlalu pantas,
sehingga menghantuk dahinya pada penghadang. "Sembilan belas tiga puluh
tiga Jalan Ivansk," dia ulang.
Perempuan itu sekadar pandang kesan berminyak pada penghadang kaca tanpa
ambil berat. "Tak pernah dengar sebelum ini pun."
"Saya ada 13, bukan, 14 wargakota,
tinggal di situ, mereka boleh datang sini dan jelaskan semuanya," kata
Daniil. "Empat belas wargakota yang marah kerana duduk berhimpit dalam
ruang seluas dua kali ganda ruang ini."
Perempuan itu geleng kepala, ketuk
perlahan buku itu. "Perlu dokumen, Wargakota."
"Kami akan kerap guna gas,"
kata Daniil, "cuma salur haba dari tempat bakar
daerah."
Perempuan itu angkat kening; Daniil
kelihatan tiada makna berada di depannya. "Alamat sekali lagi?"
"Sembilan belas tiga puluh tiga,
Jalan Ivansk, Bandar Kozloz, Ukraine, U.S.S.R, planet Bumi -"
"Ya, ya. Kami akan hantar wakil jabatan kejuruteraan gas untuk
periksa. Orang selanjutnya!"
Adakah sekarang 14? Sudahkah
dia masukkan namanya sendiri dalam kiraan? Berhati-hati untuk elak pecahan
ketulan air batu di pinggir jalan dalam perjalanan pulang dari tempat kerjanya,
Daniil berfikir bila agaknya dia tersilap sebut jumlah penghuni. Bulan lalu, 12
orang tinggal dalam kediamannya termasuk dirinya sendiri. Dia kira dengan
jarinya, kaku sedikit akibat cuaca sejuk. Dalam bilik tidur, penjuru pertama,
Baba Olga tidur atas kerusi lipat; penjuru kedua, atas katil lipat, makcik Lena dan pakcik Ivan bersama tiga anak; penjuru ketiga, anak
saudara perempuan Daniil dan seorang kawannya (tapi mereka tak masuk senarai
kiraan berikutan mereka makan sedikit sangat dan mereka sering berada di
institut); penjuru keempat, siapa duduk di penjuru keempat? Nanti dulu, itu dirinya
sendiri, Daniil Blinov, duduk di katil bawah pakcik Timko; di ruang tamu, mentua
seseorang atau dua pupu atau siapa yang tahu sangat pun kerana hubungan tak
begitu rapat; di balkoni pula sepupunya, Vovic berkhemah dengan tunangnya dan enam
ekor ayam betina yang tak masuk dalam kiraan tapi siapa yang boleh abaikan
mereka? Bedebah betul binatang jenis burung yang bising ini. Semuanya 13. Dia
mungkin tak kira seorang lagi.
Nama
Daniil meloncat-loncat daripada satu senarai menunggu kepada senarai menunggu
lain selama tiga tahun sebelum dia dianugerah pangsapuri yang dihuninya kini
oleh sebuah syarikat, Kozloz Canning Combine, tempat dia bekerja sebagai pakar
pembungkusan. Novostroika, bangunan 10 tingkat baru sahaja siap dibina itu
masih berbau simennya. Unit kediamannya tidak lebih besar daripada pangsapuri
awam satu bilik yang dikongsinya semasa tinggal dengan ibu bapanya dulu, tapi
dia boleh anggap ia sebagai miliknya sendiri. Hari dia mula pindah ke rumah
barunya itu dia berasa dirinya sangat mulia: Dia maju ke sinki, isi segelas air, rasa
seteguk, baring di atas lantai bahagian dapur, kaki-kakinya diselit di celah
ruang dapur dan meja. Rumah adalah tempat seseorang boleh baring dengan tenang, di atas mana-mana permukaan. Dia berasa segar dan penuh impian. Kemudian kedengaran
ketukan di pintu. Nenek Daniil terpa masuk pangsapurinya dengan empat guni
bijirin dan satu sangkar ayam yang diikat dibelakangnya. Dia bercakap dalam
loghat kampung, Daniil kurang faham. Dia kata sesuatu mengenai ladangnya
terbakar lalu seorang jiran menangani masalah itu bagi pihaknya. Perbualan
Daniil dengan neneknya tidak lama. Dan Baba Olga terus tinggal bersama-sama
Daniil. Berdua. Dua masih selesa. Sehinggalah dua menjadi 14.
Daniil masukkan tangan-tangannya ke
dalam poket yang lembap tapi berasa suam, daki anak-anak tangga yang curam ke
tingkat kediamannya. Bau biasa kentang rebus dan kobis menyambut kepulangannya.
"Daniil, awakkah?" makcik Lena jerit dari dapur.
Daniil berasa tidak selesa. Dia mahu kewujudan
dirinya di situ tidak diketahui ahli-ahli keluarganya sekurang-kurangnya beberapa
saat lebih lama. Dia buka almari untuk gantung kotnya, dan sepasang biji mata
kelabu tenung, bulat dan tak berkelip. Daniil terkejut. Dia lupa datuk Grishko,
insan ke-14 dalam unit kediaman itu, yang suka tidur berdiri kerana pernah
kawal mousoleum Lenin. Daniil tutup pintu almari perlahan.
"Mari sini tengok, kita kehabisan
gas," kata makcik Lena. Dia pakai apron kuning menutupi kot bulu binatang
mencecah lantai. Tudung besar pula menyukarkan seseorang lihat mukanya.
"Ambil masa tiga jam untuk rebus kentang." Dia memusing tombol pada
tahap maksimum, kelihatan api biru kecil lemah. "Awak dah pergi ke majlis
perbandaran? Mereka patut ambil tahu hal ini."
"Nampaknya mereka tahu dah," kata Daniil. "Cuma, mereka lebih bijak off sesuatu bukannya on."
Anak makcik Lena lompat keluar dari
bawah meja dapur, nyanyi, "Moga sentiasa ada sinaran matahari / Moga
sentiasa ada langit biru." Dia berlagak tembak mentol lampu tergantung di
siling. Makcik Lena geletek tengkok budak perempuan itu, dan dia undur kembali
ke bawah meja.
"Apa kata mereka ketika di
majlis perbandaran?" Tanya makcik Lena.
"Bangunan ni tak wujud, dan kita
tak duduk sini."
Dia menyapu seuntai rambut di dahinya
dengan tangan yang bersarung kecuali pada bahagian jari-jari. "Saya
rasa kenyataan itu ada kebenarannya."
"Macam mana?"
"Saya bercakap dengan mereka
yang duduk-duduk di bangku panjang minggu lepas." Dia rujuk kumpulan pesara yang
duduk di ruang masuk bangunan, mereka sentiasa berwaspada, hisap rokok tanpa puting dan
kunyah kuaci bunga matahari siang dan malam. "Mereka bagitahu saya blok
ini sepatutnya ada dua menara sahaja, tapi bahan pembinaan yang berlebihan
diguna untuk buat yang ketiga - yang kita duduk ni."
Satu siri salakan kedengaran melepasi
dinding-dinding bilik tidur yang nipis. Rasa sejuk lebih mencengkam daripada
udara sekeliling menembusi badan Daniil. Dia tidak kisah ibu-ibu ayam kerana
binatang itu ada gunanya - sekarang seekor anjing pula?
Makcik Lena tundukkan matanya.
"Dasha. Dijangkiti bronkitis semula. Kesian budak tu."
Daniil menggesek-gesek tombol dapur
gas, dia tidak pernah menghadapi suasana seteruk sekarang.
"Awak nak buat apa?"
Perempuan itu bertanya.
Anak makcik Lena di bawah meja kembali
nyanyi, "Semoga sentiasa ada emak / Semoga sentiasa ada saya!"
Batuk batuk batuk batuk batuk batuk.
"Saya tak tahu."
Pakcik Ivan muncul di muka pintu
dapur beritahu mereka dia hendak ambil segelas susu. Semua keluar dari
ruang dapur dan tunggu di ruang tamu, beri cukup ruang untuk buka peti sejuk.
Gerakan manusia selesai, Daniil dan
makcik Lena kembali memeriksa dapur. Tudung makcik Lena yang turut berbulu
binatang kerap menutupi matanya lalu dia selak pantas sehingga menghasilkan
gumpalan awan habuk.
"Datuk Grishko asyik bagitahu
semua orang yang dia tak dapat tengok buah-buah zakarnya berminggu-minggu
dah," kata perempuan itu. "Kami tak suka sejuk, Daniil."
Daniil mengusap-ngusap permukaan enamel
dapur. "Saya tahu."
Batuk batuk batuk batuk batuk batuk batuk
batuk batuk batuk batuk.
"Dan, kami
lemas dengar mengenai buah-buah zakar."
Memo atas meja Daniil
meresahkannya. Ia dihantar dari Moscow:
Mesyuarat Agung No. 3556 Kementerian Industri Makanan, Kementerian Daging dan Bahan Tenusu, dan
Kementerian Perikanan pada 21 Januari 1988, Kozlov Canning Combine telah
ditawar untuk menjimatkan 2.5 ton metrik kepingan tin setiap bulan disebabkan
faktor kekurangan bahan. Tindakan sertamerta. Lihat lampiran untuk maklumat
terperinci.
Pada bahagian bawah memo, tulisan
huruf besar seorang pegawai atasannya: INI
DITUJU KEPADA AWAK, DANIIL BLINOV.
Disertakan
dengan memo adalah senarai produk
Combine yang ditinkan pada tahun itu. Daniil baca dengan penuh minat. Dia
menyebut betul-betul supaya bunyi yang terhasil di sekitar lidahnya menimbulkan
rasa sedap: sosej bercampur lemak; makaroni dengan daging khinzir atau kambing;
aprikot dalam sirap; ikan pelata dalam minyak zaitun; sturgeon dalam jus ikan
itu sendiri; daging paus kiub; bit dalam jus ubi itu sendiri; buah quince dalam
sirap; lidah binatang dalam agar-agar; hati, jantung dan buah pinggang dalam
sos tomato; daging pipi, ekor serta bahagian-bahagian berkenaan diperap dengan sehelai daun bay;
dan banyak lagi.
Telefon di meja Daniil berdering.
"Dah baca memo?" Sergei
Ivanovich, pegawai atasannya, buat panggilan. Daniil lihat melintasi deretan meja.
Sergei Ivanovich berdiri di muka pintu pejabatnya, melihat Daniil, gagang
ditekan ke telinganya.
"Dah, Sergei Ivanovich." Daniil terus jelaskan
siasatannya mengenai perbandingan penggunaan tin berbanding keluli sebagai
bekas isi produk.
"Bukan itu, Daniil Blinov. Masukkan lebih banyak bahan ke dalam bekas
yang sedikit. Guna ruang setiap milimeter padu
yang awak ada," kata pegawai atasannya itu. "Awak tak tulis pun hal
ini."
Daniil capai kertas faksimile lama
lalu mula conteng wajah Cheburashka bertelinga besar, watak kartun popular yang
tak ada kena mengena dengan sains.
"Bagus, sangat bagus," ucap Sergei
Ivanovich. "Tapi jangan isi dalam bentuk puri atau lain-lain."
"Tak?"
"Mesin puri kini dalam perjalanan ke Moscow.
Isteri seorang pesuruhjaya baru melahirkan anak kembar."
Daniil mengenal pasti ukur lilit
kepada Cheburashka untuk seimbangkan saiz telinga dengan badan. "Sergei
Ivanovich? Boleh saya tanya sesuatu?"
"Jika pantas."
"Saya telah kaji senarai hebat produk Combine
dan tak dapat elak untuk tahu ... Ke mana semuanya hilang?"
"Soalan berfalsafah, Daniil
Blinov?"
"Semua yang saya lihat dalam stor ialah
kobis."
Sergei Ivanovich mengeluh panjang. "Ia
bagai jenaka mengenai seorang Amerika, seorang Perancis, dan seorang
warganegara Soviet."
"Saya tak pernah dengar, Sergei
Ivanovich."
"Amat memalukan awak ni," kata Sergei
Ivanovich. "Bila saya ada masa untuk cat kuku dan memutar ibu jari di masa
lapang, Blinov, saya akan cerita jenaka itu."
Daniil elak lakukan hasratnya untuk guling
badannya di bawah mejanya dalam kedudukan bertahan seperti seekor landak. Dia tegakkan bahunya. "Sergei Ivanovich? Boleh saya tanya mengenai gaji?"
Daniil lihat pegawai atasannya itu kembali
ke dalam pejabatnya. Sergei Ivanovich merungut mengenai kekurangan sesuatu,
pastinya bayaran akan diberi bulan depan dan jika tidak, bulan berikutnya
dibayar, dan buat masa sekarang jangan tanya banyak sangat soalan. Dia letak
gagang.
Daniil seluk laci, keluarkan kertas grid
baru dan alat segi T. Dia mengusap alat
itu dengan jarinya, warnanya merah pekat, dibuat daripada pokok liar, pearwood. Sewaktu dia budak-budak ibu
bapanya hadiah alat segi T kepadanya kerana dia memperoleh markah tertinggi dalam
sekolah. Ketika itu dia tertanya-tanya secara rahsia sama ada pearwood punya magis.
Dia mula melakar gambar produk makanan
dalam bekas silinder 400 milimeter isipadu. Kiraan-kiraan berkaitan tercatat
pada kertas grid. Beberapa produk hadapi masalah untuk diisi dalam bekas
berbanding yang lain: Jeruk kekalkan bentuknya, tomato pula boleh
dipicitrapatkan. Sup boleh dipekatkan, malah susu pekat boleh dilebihpekatkan
ke bentuk seperti bancuhan simen. Kacang string
terbukti paling sukar. Walau disusun bagai sarang madu lebah, ia cuma capai
tahap isian 91 peratus. Di tengah setiap tiga batang kacang string akan wujud senggang. Daniil hantar
laporan bertajuk "Masalah Untuk Mengisi Kacang String" kepada setiausaha Sergei Ivanovich.
Bagi tempoh masa selanjutnya pada hari
itu, Daniil berpura-pura bekerja seperti mana Combine berpura-pura untuk
membayar gajinya. Dia lukis Gena si Buaya, teman Cheburashka. Dia juga
memikirkan mengenai kelemumur, terutamanya Datuk Lenin. Bolehkan orang botak
ada kelemumur? Kemungkinannya tidak. Tapi bagaimana mereka yang berjanggut?
Daniil sampai ke ruang masuk bangunan
kediamannya lewat petang. Kelopak matanya berat kerana penat, tapi kedua-dua
kakinya enggan masuk. Mungkin kerana bunyi batuk bertalu-talu, soalan-soalan diaju kepadanya, berpasang-pasang kasut yang dia perlu gali untuk mencari seliparnya.
Dengan telunjuknya dia mengusap-ngusap nombor-nombor serta huruf-huruf diperbuat
daripada logam berwarna merah yang terlekat di bahagian sisi ruang masuk bangunan.
Sembilan belas tiga puluh tiga, Jalan Ivansk. Bangunan itu adalah klon kepada dua lagi di
blok terbabit: jalur-jalur kayu, tingkat bersegi dan pintu masuk logam yang
seiras; campuran simen yang sama; palang elak karat yang serupa di balkoni.
Sembilan belas tiga puluh tiga, Jalan Ivansk wujud di situ, depan batang
hidungnya. Matanya berkelip-kelip. Tapi bagaimana jika tidak begitu? Dia rapati
nombor-nombor logam itu, terasa bagaikan dinding konkrit menghembuskan nafas sejuk. Adakah dia seorang
sahaja yang dapat lihat nombor-nombor ini? Jika ia ada di situ. Atau ia tiada
di situ.
"Fudgy
Cow?" satu suara kedengaran di belakangnya.
Daniil melompat terkejut. Dalam gelap dia
masih dapat kenal bayangan bongkok Palashkin, wargakota paling tua di kalangan yang
duduk-duduk di bangku berkenaan. Dia duduk di tempat biasanya di bangku itu. Palashkin
nyalakan rokok, unjuk gula-gula kepada Daniil. Gambar lembu montok pada kertas
pembalut kelihatan tersenyum kepadanya bagai dalam mimpi. Daniil sudah
berbulan-bulan tidak melihat gula-gula itu. Dia masukkan ke dalam poket untuk
dikudap lain kali.
"Kenapa awak menggosok-gosok dinding?"
Soal Palashkin.
Daniil mengangkat bahu. "Saya dah nak
masuk." Namun dia terpaku di situ.
Palashkin lihat ke langit. Katanya dalam
suara rendah, "Ia bakal runtuh, awak tahu."
"Ah?"
"Kedengaran bisikan sekarang, khabar
angin di sana dan di sini, tapi bagi tempoh setahun lagi. Faham tak apa saya cakap? Semua bakal musnah."
Daniil menepuk dinding konkrit, fikir
bahawa Palashkin merujuk kepada bangunan itu. "Semoga kita semua tidak
seorang pun berada di dalam apabila ia berlaku kelak."
"Apa kena dengan awak, ada burung dalam
kepala? Kita memangnya DI DALAM."
"Saya tak tahu mengenai awak, tapi
saya DI LUAR," Daniil kata, kini dengan nada tidak pasti.
"Pergi makan Fudgy Cow, Daniil." Palashkin padamkan api rokoknya di celah
ibu jarinya, bangkit, lantas menghilangkan diri dalam kegelapan.
DANIIL LENTUR BADAN HAMPIR AMAT dengan
penghadang kaca, dia boleh sentuh bibirnya mengikut bentuk bulatan ruang yang
terbuka. Perempuan di petak No. 7 (petak 1 hingga 6 DITUTUP KERANA REHAT
TEKNIKAL), Jabatan Gas Kozlov, kenakan baju panas gebu yang Daniil rasakan
selesa, mesra pelanggan. Dia renung perempuan itu lama dan berasa dia punya
harapan.
Perempuan itu tutup buku daftar senarai
secara kasar. "Apa, 3319 Ivansk, awak kata?"
"Sembilan belas tiga puluh tiga Ivansk."
"Tengok sini, saya telah dengar khabar
angin mengenainya, tapi ia tiada dalam senarai. Tiga puluh tiga sembilan belas adalah."
"Ini tak membantu saya."
"Jangan berkasar, Wargakota. Awak seorang
di kalangan yang ramai, dan saya kerja seorang diri."
"Saya tahu awak tahu 1933 Ivansk wujud.
Ia wujud kerana ada kalanya awak salur gas apabila awak berasa nak buat," kata
Daniil.
"Apa yang awak nak tuduh kami sebenarnya?"
"Kami? Saya ingat awak kerja seorang
diri."
Perempuan itu tanggalkan cermin mata membacanya, urut batang hidungnya. "Rujuk majlis perbandaran mengenai
soalan-soalan awak."
"Saya dah ke sana minggu lalu."
"Pastu?"
"Tak ada kemajuan," katanya.
"Rujuk kepada kilang yang terlibat
dalam pemilikan pangsapuri awak."
"Apa yang awak fikir mereka tahu?
Seluruh Combine dalam keadaan panik." Dia merujuk kepada masalah kacang string.
"Semoga masalah bekalan haba awak dapat
diselesaikan," kata perempuan itu. "Orang selanjutnya!"
BATUK
BATUK BATUK batuk batuk
batuk batuk.
Daniil masuk pangsapurinya dan
mendapati setiap persegi sentimeter rak dan permukaan katil ditutupi longgokan
duit kertas berwarna merah. Ahli-ahli keluarganya berhimpitan di setiap hujung
bilik untuk mengira duit. Tiada yang
melihat ke arahnya sewaktu dia masuk.
Daniil keluar pangsapurinya, tutup pintu
di belakangnya, tegak di situ sehingga dia habis mengira sampai 30, lalu
masuk semula. Duit-duit kertas merah kekal di tempatnya. Baiklah, fikirnya, alam
halusinasinya bersambung. Ikut sahaja. Biar mindanya merasa keterujaannya.
Jeritan dan
rengekan kanak-kanak dan bunyi batuk datang dari arah ruang dapur, tapi suara mereka
terbabit seolah-olah terbendung dan kedengaran jauh bagai ia keluar daripada
terowong.
Pakcik Timko, lelaki dewasa yang
satu-satunya tidak mengira duit, duduk bersilang kaki di atas katil Daniil, menakik sebongkah kayu dengan penukul dan pahat. "Isu kehilangan buah-buah zakar datuk awak menyelamatkan
hari ini, Daniil."
"Saya tak mahu meratap mengenainya lagi,"
datuk Grishko berkata. Dia ucap begitu selaras kecekalannya dulu sewaktu
bertugas sebagai Pengawal Kehormat, tapi kini terperosok dalam selimut tebal di
atas katil. "Di daerah saya, mereka
ada reputasi. Perempuan-perempuan akan datang dari jauh serta kawasan yang luas untuk
-" Datuk berkata mengenai beberapa
perkara lain yang Daniil sekat daripada terus mendengar berikutan cerita berkenaan boleh menjadi bahan
halusinasinya.
"Kanak-kanak," makcik Lena beri
amaran ketidaksesuaian cerita datuk, dari suatu arah di sebalik lindungan pakaian
bulu binatangnya.
Datuk Grishko lontar secekak benda warna
merah kepada Daniil. Dia turut menyelak-nyelak wang kertas lain yang masih
keras, memeriksa lalu mengeluarkan bunyi kuat bagai sorakan seseorang ketika melihat
pertunjukan bunga api.
"Ini simpanan seumur hidup saya,
Daniil," kata datuknya. "Saya simpan untuk kegunaan semasa susah, dan
masa susah sudah tiba sekarang. Ambil duit ini. Jangan tanya di mana saya
simpan sebelum ini. Guna untuk dapatkan bekalan haba, bagi rasuah kepada
seseorang, belanja untuk apa-apa pun tak
apa."
Daniil ucap lemah terima kasih.
Pakcik Timko pegang bongkah kayunya. "Adakah ini
sudu atau berus gigi?"
"Dua dua tidak."
"Ia sepatutnya kedua-duanya."
"Awak menyebabkan serpihan kayu
bertaburan atas cadar saya."
Pakcik Timko abaikannya komentar Daniil. "Sudu
di satu hujung, berus gigi di hujung satu lagi. Suatu peralatan asas bagi
menyelamatkan diri ketika kita dalam kesukaran."
Empat jam kemudian, mereka selesai kira
duit. Duit simpanan datuk dicampur duit
ahli keluarga lain berjumlah 8,752 ruble dan 59 kopeck.
Daniil mengira-ngira pula apa 8,752 ruble dan 59
kopeck boleh beli. Dia tak abaikan faktor inflasi seiring mengingati
harga-harga barang di sebuah kedai yang separuh kosong yang dilihatnya minggu
lalu. Daniil lihat timbunan duit juga harapan yang terpancar pada mata setiap ahli
keluarganya.
"Kita cukup duit untuk beli alat
pemanas," umumnya. Begitupun dia angkat
jarinya untuk sekat mereka yang terlajak bermimpi dalam bilik itu. "Jika
saya dapat menemui sebuah."
DANIIL TEMUI MEMO LAIN atas
mejanya, yang ini daripada Sergei Ivanovich:
UNTUK SUMBAT KACANG STRING
KE DALAM BEKAS, JURUTERA TIBA JUMAAT.
Daniil usap tepi dahinya. Keinginannya
untuk meregang badan muncul. Dia mahu
badannya memenuhi ruang pejabat, lengan dan kakinya terjulur keluar pintu dan
tingkap. Dia nak melonjak dan melompat ke kawasan pokok pearwood tumbuh. Payung terjun ialah paru-parunya yang kembung, menyedut seluruh udara atas planet ini.
Telefon berdering.
"Itu Fudgy cow atas meja awak, bukan?"
Sergei Ivanovich berdiri dalam pejabatnya, berjingkit atas hujung jari kaki,
menjeling lagi.
"Pembungkusnya saja, Sergei
Ivanovich."
"Saya tak merasanya sudah berbulan-bulan."
Talian senyap sesenyapnya.
"Saya perlu selesaikan masalah sayur-sayuran,
Sergei Ivanovich."
"Awak perlu." Sergei Ivanovich kekal
menekan gagang ke telinganya. "Daniil Blinov?"
"Ya, Sergei Ivanovich."
"Sedap tak?"
"Gula-gula tu? Rasa lain macam kerana dah lama."
Sergei Ivanovich mengeluh sebelum kembali
seperti kelakuan sebelumnya. Pegawai atasan Daniil itu menjeling ke pejabat
seorang pegawai atasannya pula lantas mendapati dia sendiri sedang
diperhati. Dia putuskan talian.
Daniil masukkan kertas pembungkus ke dalam
laci, di sebelah alat segi T dan lukisan-lukisan seluruh ahli Kumpulan Cheburashka.
Dia kembali mengkaji gambar rajah yang terletak di atas mejanya: satu tin berisi
tepat 17 biji buah zaitun hitam. Tujuh belas adalah jumlah maksimum dengan syarat
saiz zaitun itu sama. Yang terletak di bahagian tengah akan terhimpit menjadi
bagai bentuk kiub, tiada cukup ruang untuk isi air garam. Cantik, fikir Daniil. Tiada siapa hendak minum air masin pun.
ALAT PEMANAS DISET ke tahap
paling tinggi. Lampu tanda penggunaan arus elektriknya yang berwarna amber kelihatan memancar bagai unggun
api. Empat belas lembaga berhimpitan sekeliling kotak tin yang mengeluarkan
bunyi gemerencing dan mereka ikut giliran untuk usap haba ke muka masing-masing. Beberapa
orang tanggalkan baju panas. Sebotol samogon
muncul dari tempat ia disorok, begitu juga setin sprat. Daniil rasa kehangatan menjalar sehingga ke jari kakinya, ke
tempat dia rasa paling sejuk. Makcik Lena tanggalkan tudung lalu Daniil dapati
pipinya yang dulunya pucat mulai kemerahan. Datuk Grishko duduk atas bangku
tanpa penyandar seperti seorang raja, kelangkangnya dibuka, mengunyah sekeping vobla jerky yang diakuinya sebagai pencetus revolusi.
Terdengar ketukan di pintu rumah.
Semua diam. Daniil abaikannya.
Ketukan lagi.
Makcik Lena cucuk lengan Daniil.
Daniil meneguk sekali lagi bru buatan
sendiri, bangun daripada kerusinya (pakcik Timko terus ganti tempatnya), dan
buka pintu.
Dua lelaki tinggi lampai berdiri dalam gelap,
di laluan sempit, mengusung keranda.
Daniil tidak seimbang ketika berdiri. "Ah,
hello." Ahli keluarganya bersesak di belakangnya. "Jika awak datang untuk kutip saya, saya
belum bersedia."
"Kami perlu laluan untuk masuk pangsapuri
awak, Wargakota," lelaki berdiri sebelah kanan berkata.
"Kenapa?" Tanya Daniil.
Lelaki di sebelah kiri menggerakkan biji
matanya hala lelaki di sebelah kanan. "God
dammit, Petya, kita kena perjelaskankah setiap kali kita nak masuk?"
"Penjelasan adalah dialu-alukan," kata
Daniil.
"Mayat ini dari tingkat 10 dan laluan
tangga tak cukup lebar untuk membolehkan kami pusing keranda ini," lelaki
bernama Petya berkata. "Oleh itu kami perlu lakukan dalam kediaman
penghuni pangsapuri."
"Tapi entah macam mana awak berdua boleh
sampai ke tingkat 10." Daniil tahu lif bersaiz kabinet bukan suatu pilihan.
"Masa
keranda kosong, kami boleh halakannya ke atas."
"Dan
sekarang awak berdua tak boleh buat."
Petya kecilkan matanya ke arah Daniil. "Ada orang anggap kenyataan awak ni biadab,
Wargakota." Bersetuju dengan kata-kata Petya, Baba Olga jentik leher Daniil dengan jarinya yang keras bagai batu. Petya berkata, "Tengok sini, benda
ni tak akan bertambah ringan."
"Awak
ke sini untuk mengutip sesiapa," Daniil pasti.
"Seperti mana awak lihat, kami telah pun kutip. Sekarang, benarkan kami masuk."
Semua
ke tepi sebaik sahaja lelaki-lelaki itu bersusah payah masuk bersama keranda,
memijak kasut-kasut serta mengoyakkan kertas dinding.
"Yasha, kita perlu ubah katil lipat ini
untuk dapatkan lebih ruang," kata Petya.
"Mana satu?"
"Cadar bunga merah jambu."
"Terus
pegang hujung sebelah awak semasa saya letak bahagian sebelah saya," ucap Yasha.
"Rasa macam kena panggang dalam ni, ah?"
"Ya, jaga-jaga alat pemanas dekat kaki
awak tu," Daniil mencelah.
"Saya kena gerak ke balkoni sewaktu
awak berputar. Faham?"
Baba Olga terpa ke arah dua lelaki itu.
"Tidak, tidak, jangan buka -"
Ibu-ibu ayam yang panik menerjah ke dalam
bilik.
Makcik Lena mencengkam dadanya. "Sweet Saint Nicholas."
"Kami kena buat laporan mengenai penternakan
ayam, Wargakota."
Daniil buka mulut untuk bagitahu mereka
bahawa ibu-ibu ayam itu mungkin terbang dari balkoni kediaman orang lain; kemudian
suasana menjadi gelap gelemat.
Gemerincing alat pemanas terhenti. Ibu-ibu ayam terkejut lalu diam. Melalui
tingkap, Daniil dapat lihat bangunan-bangunan berdekatan juga bergelapan.
"Putus bekalan elektrik," kata Yasha.
"Dah dengar di radio. Nampaknya bekalan elektrik terputus bermula hari ini."
"Saya nak letak keranda," tegas Petya.
"Saya terpaksa letak. Oh! Tuhan, ia
nak melorot daripada pegangan saya -"
"Pelan,
pelan -"
Bunyi tin terpenyek, panjang tempoh
masanya, didengar oleh 17 pasang telinga. Daniil sudah kira. Tujuh
belas termasuk lelaki dalam keranda. Tiada siapa bercakap buat beberapa saat.
Mereka tidak perlu lihat untuk tahu apa benda yang telah dilenyek.
"Nampaknya kita akan berada di sini
sekejap," kata Yasha. Dia duduk, diikuti suatu gerakan badan orang lain, bau busuk sarung kaki tersebar di udara. "Apa
benda ni?"
Kepala Daniil berpusing. Tujuh belas
manusia dalam bilik, lengan-lengan dan kaki-kaki dan jari-jari tangan dan
jari-jari kaki berjalinan. Campur satu daun bay.
Bunyi terpenyek alat pemanas bergema kembali dalam fikirannya. Tujuh belas
zaitun. Batuk batuk batuk batuk. Daniil
boleh mati dalam keadaan begini, disumbat dan direndam dalam air masin
bersama-sama orang lain, satu keranda terperangkap dalam bilik tidur seseorang.
Tiada siapa bakal minum air masin. Cuaca sejuk mulai meresap. Kaki kecil
bercakar memijak kakinya. Masalah kecil
sistem pemanasan. Bulu-bulu ayam sentuh kedua-dua kakinya,
bergetar-getar kesejukan. Daniil langkah setapak ke depan, rasa sentuhan
bulu-bulu ayam hilang. Dalam kegelapan,
dia meraba keranda, tarik keluar alat pemanas yang terpenyek di bawahnya. Bucu
keranda berkenaan hentak lantai. Kanak-kanak menjerit.
Daniil melangkah ke balkoni, lontar alat
pemanas melepasi birai bangunan. Dalam tempoh sesaat dia berasa seakan-akan
ringan bagaikan tubuh dia sendiri yang melayang di udara. Kedengaran bunyi
sesuatu melanggar dinding bangunan bersebelahan
Daniil melangkah ke dalam semula, duduk
atas katilnya. Serpihan-serpihan kayu menyentuh celah jari-jarinya.
Datuk Grishko adalah orang yang mula-mula
bercakap. "Daniil, turun dan ambil balik." Bisikan
perkataan-perkataan itu amat perlahan bunyinya, bagai di kuburan. "Kita
baiki."
Daniil tidak tahu apa harapan datuknya,
tapi dia akan lakukan apa yang dia suruh. Kemudiannya dia berasa sejuk akibat
tersentuh keluli penukul dan pahat pakciknya yang terletak dekat
serpihan-serpihan kayu. Dia genggam
peralatan berkenaan lalu menuju ke bawah bangunan. Suara garau kedengaran
hendak bagi karamel tapi Daniil sebaliknya ragut pemetik api daripada lelaki
terbabit. Apinya menerangi nombor-nombor diperbuat daripada logam itu. Daniil tidak
ambil tahu hal-hal lain, melainkan keperluan bekalan haba, kerana rasa panas bakal
membuktikan No. 1933 Ivansk wujud dan semua ahli keluarganya punya tempat
tinggal, meskipun berbentuk contengan yang terbenam dalam buku daftar senarai
nama. Dia akan tunjukkan kepada mereka bukti, khususnya kepada orang yang duduk di
belakang penghadang kaca berkenaan. Daniil letak pahat ke posisi. Hentakan pertama membuatkan muncul retak
panjang pada dinding konkrit, tapi menanggalkan semua nombor yang sebelumnya
melekat di situ.
Maria
Reva adalah seorang penulis juga librettist iaitu pengarang cerita opera dan drama musikal. Beliau warganegara Kanada
berasal dari Ukraine, kini tinggal di Austin, Texas di mana beliau
bertanggungjawab dalam bidang fiksyen di Michener
Center for Writers. Novostroika yang pernah disiar dalam
majalah The Atlantic edisi Disember
2016 adalah satu daripada cerpen-cerpen yang terkandung dalam sebuah buku koleksi
cerpennya.
Nota:
1.
Istilah Wargakota saya terjemah daripada perkataan Citizen. Di negara komunis atau sosialis rasanya tiada istilah rakyat.
2.
Baju panas mengikut Kamus Dewan Edisi Ketiga boleh disebut juga sebagai baju
sejuk. Ironi bukan? Ikut orang kampung saya, kami lebih selesa sebut baju
sejuk. Tapi, pelik pula jika sebut baju sejuk apabila cerpen ini berkenaan sebuah negara beriklim sejuk.
3.
Istilah kacang string, daun bay dan pearwood, juga Fudgy Cow dan
vobla jerky, atau samogon dan sprat serta amber, saya
biar begitu sahaja kerana tiada istilah lain yang sesuai. Saya pun bukannya
kenal dengan spesis tumbuhan, juga kudapan, atau jenama "minuman" dan
jenis ikan yang hanya ada di luar negara itu. Warna amber pula katanya kuning
kecoklatan, entah macam mana rupanya, saya yang buta warna tidak tergambarkan. Saya
juga cuba elak terjemah istilah cercaan atau yang berbentuk keagamaan.
4.
Ada beberapa perkataan saya tidak ikut piawaian Bahasa Melayu. Contohnya,
beritahu yang sebaliknya saya guna bagitahu. Beri dan bagi, pada saya, sama
maksudnya.
Comments
Post a Comment