SUATU KEMATIAN
Saya terjemah A Death yang telah disiar dalam The New Yorker keluaran 9 Mac 2015. Saya agak mengikut gaya bercakap orang di sana antaranya mereka sebut duduk dalam kerusi yakni apabila kita duduk terperosok dengan kedua-dua lengan berada atas bahagian tepi kerusi. Mereka akan berkata duduk atas kerusi jika kerusi berkenaan tiada tempat meletak lengan di kiri dan kanannya. Jika di Parlimen Malaysia saya tak berapa pasti tapi mereka mungkin sebut duduk dalam kerusi yang tersangat empuk di situ. Baju T yang dipakai Stephen - gambar sebelah - ada ayat: "You can't have manslaughter." Saya tak perlu terjemah kerana ramai peguam di Dewan Rakyat tentu arif. Apa yang penting adalah pemahaman mengenai hukum Islam - khususnya hudud - yang terbaik dalam menangani masalah kebejatan sosial yang terlampau-lampau sekarang. Baca cerpen yang pada saya amat menarik bagi mereka yang mahu berfikir. Terus baca dan elak berhenti di separuh jalan.
Saya terjemah A Death yang telah disiar dalam The New Yorker keluaran 9 Mac 2015. Saya agak mengikut gaya bercakap orang di sana antaranya mereka sebut duduk dalam kerusi yakni apabila kita duduk terperosok dengan kedua-dua lengan berada atas bahagian tepi kerusi. Mereka akan berkata duduk atas kerusi jika kerusi berkenaan tiada tempat meletak lengan di kiri dan kanannya. Jika di Parlimen Malaysia saya tak berapa pasti tapi mereka mungkin sebut duduk dalam kerusi yang tersangat empuk di situ. Baju T yang dipakai Stephen - gambar sebelah - ada ayat: "You can't have manslaughter." Saya tak perlu terjemah kerana ramai peguam di Dewan Rakyat tentu arif. Apa yang penting adalah pemahaman mengenai hukum Islam - khususnya hudud - yang terbaik dalam menangani masalah kebejatan sosial yang terlampau-lampau sekarang. Baca cerpen yang pada saya amat menarik bagi mereka yang mahu berfikir. Terus baca dan elak berhenti di separuh jalan.
Jim Trusdale berada dalam sebuah pondok, di bahagian Barat
kawasan berternak ayahnya yang semakin kucar-kacir keadaannya, dan di situlah
dia ditemui Syerif Barclay serta setengah dozen pembantunya, duduk dalam kerusi
berhampiran dapur berdiang tidak berapi, memakai kot kerjanya yang kotor dan
membaca isu lama Black Hills Pioneer, bercahayakan lampu tanglung. Melihat-lihat
sahaja sebenarnya.
Syerif Barclay berdiri di muka pintu, hampir-hampir tubuhnya
memenuhi ruang berkenaan. Dia memegang tanglungnya sendiri. “Keluar Jim. Angkat
tangan. Aku tak keluarkan pistol dan aku tak mahu lakukannya.”
Trusdale keluar. Dia masih memegang akhbar dengan sebelah
tangannya. Dia berdiri melihat syerif dengan mata kelabu yang sayu. Syerif memerhatikannya.
Begitu juga yang lain, empat di atas belakang kuda dan dua di atas bangku
kereta kuda dengan “Hines Mortuary” tercetak di sisinya dengan huruf-huruf
warna kuning yang kabur.
“Awak tak tanya kenapa kami ke sini,” kata Syerif Barclay.
“Kenapa awak ke sini, Syerif?”
“Mana topi awak, Jim?”
Trusdale meletak tangan yang tidak memegang akhbar ke
kepalanya seolah-olah untuk capai topi kerja cokelatnya dan ia tiada di situ.
“Dalam pondok awak, bukan?” Syerif bertanya. Angin sejuk
menderu, melanyak bulu tengkuk kuda dan melenyek rumput arah menghala ke Selatan.
“Tak,” ujar Trusdale. “Aku tak percaya ia ada di sini.”
“Di mana?”
“Aku mungkin dah hilangkannya.”
“Awak kena masuk ke belakang gerabak,” kata Syerif.
“Aku tak nak naik kereta mayat,” kata Trusdale. “Ini tanda
buruk.”
“Seluruh badan awak penuh tanda buruk,” seorang daripada
mereka berkata. “Badan awak sudah dicat dengan tanda buruk. Masuk.”
Trusdale panjat belakang gerabak. Angin datang lagi, lebih
deras dan dia menaikkan kolar kot kerjanya.
Dua lelaki yang duduk dalam gerabak turun dan berdiri di
kedua-dua sisi kereta kuda. Seorang mengeluarkan senjata api, seorang lagi
tidak. Trusdale mengenali muka mereka tetapi bukan nama masing-masing. Mereka orang
pekan. Syerif dan empat lelaki lain masuk ke dalam pondoknya. Seorang
daripadanya ialah Hines, si penggali kubur. Mereka mengambil sedikit masa
berada dalam pondoknya. Malah, mereka menyelongkar dapur berdiang dan gali
abunya. Akhirnya, mereka keluar.
“Tiada topi,” kata Syerif Barclay. “Kita sepatutnya nampak
ia di sini. Topi besar celaka itu. Ada apa-apa nak cakap fasal ini?”
“Malang sungguh aku kehilangannya. Ayah aku beri dulu
sewaktu dia masih waras.”
“Mana perginya?”
“Aku dah beritahu awak tadi, aku mungkin dah hilangkannya.
Atau, dicuri. Ini boleh terjadi juga.
Aku nak pergi tidur dah.”
“Tak payah fikir pasal tidur. Awak ke pekan tengahari tadi,
bukan?”
“Memang pun,” seorang daripada lelaki-lelaki berkenaan
berkata, dia memperhangatkan keadaan sekali lagi. “Aku lihat dia. Pakai topi
dia juga.”
“Diam, Dave,” sergah Syerif Barclay, “Awak ke pekan tadi,
Jim?”
“Ya, tuan. Aku ke sana,” kata Trusdale.
“Pergi ke Chuck-a-Luck?”
“Ya, tuan. Aku ke sana. Aku jalan kaki dari sini, minum arak
dua gelas lalu jalan kaki balik. Aku rasa aku hilang topi itu di Chuck-a-Luck.”
“Ini kisah sebenarnya?”
Trusdale dongak melihat langit hitam di bulan November.
“Inilah satu-satunya cerita yang aku
ada.”
“Tengok aku baik-baik, anakku.”
Trusdale lihat dia.
“Ini kisah sebenarnya?”
“Aku dah beritahu awak, satu-satu cerita yang aku ada,” kata
Trusdale sambil melihat kepadanya.
Syerif Barclay mengeluh. “Baiklah, mari ke bandar.”
“Kenapa?”
“Kerana awak ditahan.”
“Kepala dia tiada otak,” seorang daripadanya mencelah. “Ayah
dia kelihatan lebih bijak.”
Mereka bergerak ke pekan. Jaraknya empat batu. Trusdale
menaiki kereta mayat di bahagian belakang, terketar-ketar kerana kesejukan.
Tanpa melihat ke belakang, lelaki yang mengendali tali kekang kuda
menyoal,”Awak rogol dia juga curi duit dia bukan, anjing?”
“Aku tak tahu apa yang awak cakap,” kata Trusdale.
Perjalanan seterusnya senyap sunyi melainkan bunyi deruan
angin. Di pekan, orang ramai beratur sepanjang jalan. Mula-mulanya mereka diam.
Kemudian, seorang perempuan tua tempang, berselendang cokelat bertindak mengejar
kereta mayat itu lalu meludah ke arah Trusdale. Tidak tepat ludahannya, tetapi
riuh-rendah sokongan orang ramai terhadap perbuatannya.
Tiba penjara, Syerif Barclay
membantu Trusdale turun daripada gerabak. Angin bertiup deras serta berbau
salji. Tumbuhan tumbleweeds dihambat angin mengarah ke menara air di mana ia
berkumpul di tiang pagar lalu menghasilkan bunyi bergemerencing.
“Gantung pembunuh kanak-kanak itu!” jerit seorang lelaki, manakala
seorang yang lain melontar seketul batu. Ia melepasi kepala Trusdale dan jatuh terkeletak
di atas kaki lima yang bertutup dengan papan.
Syerif Barclay memusing badannya dan mengangkat tanglungnya
lalu memerhati orang ramai yang telah berkumpul di hadapan kawasan perniagaan.
“Jangan buat begitu,” katanya. “Jangan bertindak bodoh. Ia sudah selesai.”
Dia memegang bahagian atas lengan Trusdale lalu membawanya
melalui ruang pejabatnya ke penjara. Ada dua lokap. Barclay mendorong Trusdale
ke dalam yang sebelah kiri. Terdapat satu ranjang dan satu bangku dan satu timba
najis. Trusdale bersedia untuk duduk di atas bangku, lalu Barclay berkata,
“Tidak. Berdiri di situ sahaja.”
Syerif Barclay melihat sekitarnya dan mendapati sejumlah
penguatkuasa bersesakan di laluan pintu. “Kamu semua keluar,” katanya.
“Otis,” seorang bernama Dave berkata, “Bagaimana jika dia
serang awak?”
“Aku akan hentam dia. Terima kasih kerana melakukan tugas
awak, tapi sekarang awak kena beredar segera.”
Apabila semua mereka hilang dari pandangan, Barclay berkata,
“Tanggal kot dan bagi kepada aku.”
Trusdale tanggalkan kot kerjanya dan dia mulai
terketar-ketar. Dia tidak memakai apa-apa di bawah kot melainkan singlet yang
dikenakan dengan seluar corduroy yang amat lusuh sehingga corak bilurnya sudah
hilang dan satu daripada bahagian lututnya sudah koyak. Syerif Barclay memeriksa
poket-poket kot dan menemui sedikit tembakau yang dibungkus dalam kertas satu
muka surat daripada katalog syarikat jam, R W Sears dan satu tiket loteri yang menawarkan hadiah dalam matawang pesos.
Ada juga sebiji guli hitam.
“Itu guli bertuah aku,” kata Trusdale. “Aku milikinya sejak
kanak-kanak.”
“Kalih keluar poket-poket seluar awak.”
Trusdale kalihkan keluar. Dia punya satu keping wang syiling
penny dan tiga keping wang syiling nickel dan satu keratan berita mengenai
pencarian perak di Nevada yang kelihatan sudah lama disimpan seperti mana tiket
loteri Mexico itu.
“Tanggalkan but.”
Trusdale tanggalkan kedua-duanya. Barclay memeriksa
dalamnya. Ada lubang di satu tapaknya sebesar saiz wang syiling dime.
“Sekarang stoking awak pula.”
Barclay menanggalkannya dengan mengalih dari dalam ke luar lalu
melontarkannya ke tepi.
“Tanggalkan seluar awak.”
“Aku tak mahu.”
“Aku tak mahu lihat apa di dalamnya, tapi macam manapun
tanggalkannya juga.”
Trusdale tanggal seluarnya. Dia tidak pakai seluar dalam.
“Pusing belakang dan kangkang.”
Trusdale pusing, pegang punggungnya lalu mengangkang. Syerif
menggerenyit mata, mengeluh dan menusuk satu jari ke dalam lubang punggung
Trusdale. Trusdale mengerang. Barclay mengeluarkan jarinya, menggerenyit
matanya sekali lagi tatkala mendengar bunyi halus lalu mengesat jarinya pada singlet
Trusdale.
“Mana dia Jim?”
“Topi aku?”
“Awak fikir aku cucuk lubang punggung awak untuk cari topi
awak? Atau, dengan periksa abu dapur berdiang awak? Awak cuba tunjuk pandai?”
Trusdale tarik seluarnya ke atas dan memasang butang.
Kemudian dia berdiri kesejukan dengan kaki telanjang. Satu jam sebelumnya dia
berada di rumahnya, baca akhbarnya sambil berfikir untuk menghidupkan api dapur
berdiang, tapi itu seolah-olah sudah lama berlaku.
“Aku ada topi awak dalam pejabat aku.”
“Kenapa awak tanya mengenainya?”
“Untuk dengar apa yang awak akan kata. Kisah topi itu sudah
selesai. Apa yang aku hendak tahu ialah di mana awak letak dollar perak gadis
itu. Ia tiada dalam rumah awak, poket-poket atau lubang punggung awak. Adakah
awak rasa bersalah lalu membuangnya?”
“Aku tak tahu fasal dollar perak. Boleh aku dapat semula
topi aku?”
“Tidak. Ia adalah bahan bukti. Jim Trusdale, aku tahan awak
atas sebab pembunuhan Rebecca Cline. Adakah awak ada sesuatu yang ingin awak
cakap mengenainya?”
“Ada, tuan. Aku tak kenal Rebecca Cline.”
Syerif meninggalkan lokap, tutup pintu, ambil kunci dari
dinding lantas mengunci pintu lokap. Pasak-pasak berderik apabila ia dipulas.
Lokap itu biasanya diisi dengan pemabuk dan jarang-jarang dikunci. Dia lihat ke
arah Trusdale dan berkata, “Aku berasa kesian kepada awak, Jim. Namun, neraka
tak terlalu panas bagi lelaki yang melakukan perbuatan sebegitu.”
“Perbuatan apa?”
Syerif menghentak kaki lalu berjalan menjauhinya tanpa jawapan
balas.
Trusdale ditahan dalam lokap, makan sisa makanan dari
Mother’s Best, tidur atas ranjang serta berak dan kencing dalam timba yang
dikosongkan setiap dua hari. Bapanya tidak datang melihatnya kerana bapanya
menjadi dungu apabila berusia 80-an dan kini dijaga oleh dua wanita India
Amerika Utara, satu daripada puak Sioux dan satu lagi daripada puak Cheyenne.
Kadang-kadang mereka berdiri di depan halaman bekas berek pekerja ladang dan
berdendang secara harmoni. Seorang saudara lelakinya berada di Nevada, memburu
perak.
Kadang-kadang kanak-kanak datang dan berdiri meratib di
lorong luar lokapnya, “Orang gantung, orang gantung, marilah ke bawah sini.”
Kadang-kadang, lelaki-lelaki berdiri di situ lalu mengancam untuk mengerat
anunya. Sekali emak Rebecca Cline datang dan berkata dia sendiri akan laksana
hukuman gantung jika dibenarkan. “Bagaimana mungkin awak bunuh anak aku?” dia
menyoal melalui tingkap berjeriji. “Dia baru berusia 10 tahun dan hari itu hari
jadinya.”
“Puan,” kata Trusdale, berdiri di atas ranjang supaya dia
dapat melihat muka wanita yang mendongak itu. “Aku tak bunuh anak awak atau
sesiapapun.”
“Orang kulit hitam penipu,” dia berkata lalu beredar.
Hampir semua orang di pekan menghadiri majlis pengkebumian
kanak-kanak itu. Dua wanita India Amerika Utara berkenaan datang. Malah, dua
pelacur yang berurus niaga di Chuck-a-Luck turut ada. Trusdale dengar nyanyian
dari lokapnya sewaktu dia mencangkung atas timba di penjuru bilik.
Syerif Barclay hantar telegraf ke Fort Pierre dan selepas
kira-kira seminggu, hakim yang berulang-alik di seluruh kawasan kendaliannya pun
datang. Dia baru sahaja dilantik dan muda amat bagi tugas itu, seorang yang
kelihatan cerewet berpakaian dengan rambut perang panjang melepasi belakangnya
bagai Wild Bill Hickok. Namanya Roger Mizell. Dia memakai cermin mata bulat dan
jika dia berada dalam Chuck-a-Luck dan Mother’s Best tentu sahaja dia sah
sebagai seorang lelaki yang diminati perempuan, meskipun dia memakai cincin
perkahwinan.
Tiada peguam di pekan itu untuk mewakili Trusdale, oleh itu
Mizell memanggil George Andrews, pemilik bangunan perniagaan, rumah penginapan
dan Hotel Good Rest. Andrews pernah belajar dua tahun di sekolah perniagaan di
sebelah Timur. Dia berkata yang dia akan mewakili Trusdale sebagai peguam bela
hanya sekiranya Encik dan Puan Cline bersetuju.
“Pergi cari mereka,” kata Mizell. Dia berada di kedai
gunting rambut, duduk mengiring dalam kerusi sedang bercukur. “Jangan sampai
rumput jadi panjang di bawah kaki awak.”
“Baiklah,” kata Encik Cline sebaik sahaja Andrews menyatakan
hal berkenaan, “Saya ada satu soalan. Jika dia tiada wakil untuk
mempertahankannya, bolehkah mereka gantung dia?”
“Itu bukan keadilan Amerika,” kata Andrews. “Dan, walaupun
kita bukan salah satu negeri dalam kesatuan negeri-negeri dalam Amerika, tak
lama lagi kita akan menyertainya.”
“Boleh dia menggeliang-geliut untuk melepaskan dirinya?”
tanya Puan Cline.
“Tidak, puan,” kata Andrews. “Saya tak nampak macam mana.”
“Oleh itu, lakukan tugas awak dan Tuhan merahmati kamu,”
kata Puan Cline.
Perbicaraan bermula suatu pagi November hingga hampir
tengahari. Ia dijalankan di dewan orang ramai dan pada hari itu hujan salji
bagai renda perkahwinan. Awan bagai papan batu kelabu kelihatan menuju ke arah
pekan, mengancam berlaku ribut yang lebih kuat. Roger Mizell, yang sudah
berpengalaman dalam kes sebegitu, bertindak sebagai pendakwaraya juga sebagai
hakim.
“Seperti seorang pegawai bank mengambil pinjaman daripada
diri sendiri dan kemudian membayar bunga kepada diri sendiri,” kedengaran kata
seorang juri sewaktu rehat makan tengahari di Mother’s Best dan meskipun tiada
yang menolak kaedah itu, tiada pula yang mendakwa ia suatu idea yang buruk.
Malah, ia selaras faktor ekonomi.
Pendakwaraya Mizell memanggil setengah dozen saksi, manakala
Hakim Mizell tidak menolak cara dia mengajukan soalan. Encik Cline yang
mula-mula sekali beri keterangan, manakala Syerif Barclay yang terakhir. Cerita yang
muncul adalah amat mudah. Suatu tengahari, pada hari Rebecca Cline dibunuh,
suatu majlis sambutan hari jadi dianjurkan dengan hidangan kek dan aiskrim.
Beberapa rakan Rebecca hadir. Sekitar jam dua petang, sewaktu kanak-kanak
perempuan bermain Pin the Tail on the Donkey dan Musical Chairs, Jim Trusdale
memasuki Chuck-a-Luck dan minta segelas wiski. Dia memakai topi kerjanya. Dia
menghabiskan minumannya lalu minta segelas lagi.
Adakah dia pada satu-satu ketika menanggalkan topinya?
Mungkin gantung pada cangkuk di pintu? Tiada siapa yang ingat.
“Saya tidak pernah lihat dia tidak memakainya,” Dale Gerard,
penjaga bar berkata. “Dia sebahagian daripada topi itu. Jika dia tanggalkannya,
dia mungkin letak di atas permukaan bar di sebelahnya. Dia minum gelas kedua,
lalu dia pergi.”
“Adakah topinya ada di atas bar sewaktu dia beredar?” tanya
Mizell.
“Tidak, tuan.”
“Adakah ia ada di cangkuk apabila awak tutup kedai malam
itu?”
“Tidak, tuan.”
Kira-kira jam tiga petang hari itu, Rebecca Cline
meninggalkan rumahnya di hujung Selatan pekan untuk mengunjungi tukang ubat di jalan
besar. Emaknya telah memberitahunya yang dia boleh beli sedikit gula-gula
dengan menggunakan duit hadiah hari jadinya, tetapi tidak boleh terus memakannya
kerana dia sudah makan banyak gula-gula pada hari itu. Sehingga jam lima petang,
dia masih tidak pulang ke rumah, lalu Encik Cline dan beberapa lelaki lain mula
mencarinya. Dia ditemui di Lorong Barker, di antara pentas depot dan Good Rest.
Dia telah dijerut. Wang dollar peraknya hilang. Hanya apabila bapanya yang
kesedihan mengangkatnya barulah lelaki-lelaki itu melihat topi kulit besar
milik Trusdale. Ia terselindung di bawah skirt parti hari jadinya.
Sewaktu juri makan tengahari, bunyi ketukan kedengaran di
belakang pentas depot yang terletak hampir amat dengan tempat kejadian jenayah
berkenaan. Di situ tali gantung disediakan. Kerja itu diselia tukang kayu
terbaik pekan itu yang namanya sesuai amat, Encik John House. Salji lebat bakal
menjelma lantas jalan ke Fort Pierre tidak boleh dilalui. Mungkin selama
seminggu, mungkin sepanjang musim sejuk. Tiada rancangan untuk menahan Trusdale
dalam penjara tempatan sehingga musim bunga. Tindakan itu tiada unsur
penjimatan.
“Bukan susah hendak buat tempat gantung,” House beritahu
orang ramai yang datang untuk melihat. “Seorang kanak-kanak pun boleh buat
seperti ini.”
Dia jelaskan bagaimana rasuk yang beroperasi dengan bantuan
tuil di bawah pintu perangkap dan batang tempat ia berputar disapu gris bagi
mengelak ia tersekat pada saat-saat akhir. “Apabila awak buat sesuatu seperti
ini, awak kena buat betul-betul pada kali pertama,” kata House.
Waktu tengahari, George Andrews memanggil Trusdale untuk dibicarakan. Ramai pemerhati
berbunyi bising sehingga Hakim Mizell mengetuk tukul kayu, berjanji untuk
mengosongkan ruang mahkamah, jika mereka tidak mengawal diri masing-masing.
”Adakah awak masuk Chuck-a-Luck pada hari yang dipersoalkan
itu?” Andrews bertanya setelah mahkamah kembali tenang.
“Saya rasa begitu,” kata Trusdale. “Jika tidak saya tidak
ada di sini.”
Kedengaran bunyi ketawa yang menyebabkan Mizell mengetuk
tukul kayu meskipun dia tersenyum dan tidak menegur buat kali kedua.
“Adakah awak minta dua gelas arak?”
“Ya, tuan, saya minta. Saya punya cukup wang untuk dua
gelas.”
“Tapi, awak ada dollar yang diperolehi secara mudah, bukan
anjing!” Abel Hines menjerit.
Mizell tunjuk tukul kayu, mulanya kepada Hines kemudian
kepada Syerif Barclay yang duduk di barisan depan. “Syerif, teman lelaki itu
keluar dan sila dakwa dia kerana tak berlaku sopan.”
Barclay menemani Hines keluar tetapi tidak mendakwanya
kerana tidak berlaku sopan. Sebaliknya, dia bertanya apa terjadi kepadanya.
“Minta maaf, Otis,” kata Hines. “Kelihatan dia duduk di sana
dengan selesa.”
“Awak pergi ke jalan dan lihat sama ada John House perlu
bantuan,” kata Barclay. “Jangan datang sini semula sehingga segalanya selesai.”
“Dia sudah cukup bantuan yang dia perlukan dan sekarang
salji semakin lebat.”
“Awak takkan diterbangkan. Pergilah.”
Sementara itu, Trusdale terus beri keterangan. Tidak, dia tidak
meninggalkan Chuck-a-Luck dengan memakai topinya, tapi dia tidak sedar
mengenainya sehinggalah dia sampai ke pondok penginapannya. Waktu itu, dia
berkata, dia sudah terlalu penat untuk berjalan kembali ke pekan untuk mencari
topinya itu. Lagipun, hari sudah gelap.
Mizell mencelah. “Adakah awak minta mahkamah ini percaya
awak berjalan empat batu tanpa menyedari yang awak tak pakai topi awak?”
“Saya rasa saya pakai sepanjang masa, saya agak ia berada di
situ,” kata Trusdale. Ini meledakkan ketawa secara mendadak.
Barclay muncul kembali dan duduk di sebelah Dave Fisher. “Apa
yang mereka ketawakan?”
“Boneka tak perlu tukang gantung,” Fisher berkata. “Dia
sendiri ikat simpulan tali. Ia tak sepatutnya jadi lawak, namun begitu ia agak
lucu.”
“Adakah awak bertemu Rebecca Cline di lorong itu?” George
Andrews bertanya dengan suara yang kuat. Dengan setiap pasang mata melihat
kepadanya, dia menemui kemahirannya berdrama yang selama ini tersembunyi.
“Adakah awak bertemu dia dan curi wang dollar hadiah hari jadinya?”
“Tak, tuan,” kata Trusdale.
“Adakah awak bunuh dia?”
“Tak, tuan. Saya malah tidak tahu siapa dia.”
Encik Cline bangun dari duduknya dan menjerit. “Awak
lakukannya, awak anak anjing penipu!”
“Saya tak tipu,” kata Trusdale dan ketika inilah Syerif
Barclay percaya kepadanya.
“Saya tiada soalan lagi,” Andrews berkata lalu berjalan
kembali ke tempat duduknya.
Trusdale hendak berdiri tetapi Mizell beritahu supaya dia duduk diam
dan jawab beberapa soalan lagi.
“Awak mahu terus berkeras, Encik Trusdale yang seseorang
telah mencuri topi awak sewaktu awak minum di Chuck-a-Luck dan seseorang
memakainya dan pergi ke lorong itu dan bunuh Rebecca Cline dan tinggalkannya di
situ untuk membabitkan awak?”
Trusdale diam.
“Jawab soalan itu, Encik Trusdale.”
“Tuan, saya tak tahu apa maksud membabitkan.”
“Adakah awak mahu kami percaya seseorang menganiaya awak
sebagai pembunuh kejam?”
Trusdale berfikir, memusing-musingkan tangan-tangannya.
Akhirnya dia berkata, “Mungkin seseorang mengambilnya kerana tersilap lalu
membuangnya.”
Mizell memandang ke orang ramai yang sedang asyik di galeri.
“Adakah sesiapa telah tersilap ambil topi Encik Trusdale?”
Suasana diam, melainkan kedengaran bunyi salji merempuh
pintu-pintu. Ribut menggila di awal musim sejuk sudah tiba. Penduduk pekan itu
memanggilnya musim dingin serigala kerana sekumpulan serigala turun dari Black
Hills untuk memburu di kawasan sampah.
“Saya tiada soalan lain,” Mizell berkata. “Dan, disebabkan
masalah cuaca kita tak perlu hujah penutup. Pihak juri akan mengundur diri
sebentar untuk capai keputusan. Anda ada tiga pilihan, tuan-tuan – tidak bersalah,
membunuh tanpa niat atau membunuh dengan niat.”
“Pembunuh anak perempuan lebih sesuai,” usul seseorang.
Syerif Barclay dan Dave Fisher ke Chuck-a-Luck. Abel Hines
yang menyertai mereka menepis salji daripada bahunya. Dale Gerard menghidang
mereka bir percuma.
“Mizell mungkin tiada soalan lagi,” kata Barclay, “tapi aku
ada satu. Tidak kisah topi itu. Jika Trusdale bunuh budak perempuan itu, kenapa
kita tidak jumpa dollar perak berkenaan?”
“Kerana dia jadi takut lalu buang,” Hines berkata.
“Aku tak fikir begitu. Dia terlalu bodoh. Jika dia ada
dollar itu, dia sudah pasti pergi semula ke Chuck-a-Luck dan habiskannya untuk
minum arak.”
“Apa yang ingin awak katakan?” tanya Dave. “Yang dia itu tak
bersalah?”
“Aku nak kata aku harap kita jumpa wang syiling itu.”
“Mungkin dia hilang kerana poket berlubang.”
“Tiada lubang pada poketnya,” kata Barclay. “Cuma satu di
tapak butnya dan ia tidak cukup besar untuk syiling dollar melepasinya. Dia
minum sedikit birnya. Tumbleweeds yang dilanda angin di jalan utama kelihatan
berbentuk seperti otak di seliputi salji.
Juri ambil masa satu jam setengah. “Kami mengundi dia dihukum
gantung sewaktu kali pertama mengundi,” Kelton Fisher berkata kemudiannya,
“tapi kami mahu ia kelihatan tertib.”
Mizell menyoal Trusdale sama ada dia ada sesuatu yang hendak
dicakap sebelum dijatuhkan hukuman.
“Saya tak dapat fikir sesuatupun,” kata Trusdale. “Cuma,
saya tak bunuh kanak-kanak perempuan itu.”
Ribut melanda selama tiga hari. John House tanya Barclay
berapa berat Trusdale dan Barclay berkata dia rasa lelaki itu kira-kira 140
paun. House buat patung dengan mengisi batu-batu ke dalam karung lalu menimbang
sehingga jarum tepat 140. Kemudian, dia menggantung patung sementara separuh
penghuni pekan berdiri memerhati dalam lingkungan longgokan salji. Ujikaji itu
berjalan lancar.
Pada malam hari sebelum hukuman gantung, cuaca kembali aman.
Syerif Barclay memberitahu Trusdale dia boleh minta makanan yang dia mahu untuk
makan malam. Trusdale minta stik dan telur dengan kentang goreng yang dilimpahi
kuah. Barclay bayar makanan itu dengan duitnya sendiri kemudian duduk dekat
mejanya, membelek kuku sambil mendengar dentingan sudu dan garfu apabila
tersentuh pinggan buatan China. Setelah bunyi itu berhenti, dia ke bilik lokap.
Trusdale sedang duduk di atas ranjang. Pinggannya sangat bersih dan Barclay
rasa dia menjilat ke titisan kuah terakhir bagai seekor anjing. Dia menangis.
“Seseorang baru saja datang kepada aku,” kata Trusdale.
“Apa dia, Jim?”
“Jika mereka gantung aku pagi esok, aku akan masuk kubur
dengan stik dan telur masih dalam perut aku. Ia tidak sempat untuk dihadamkan.”
Untuk seketika, Barclay tidak berkata apa-apa. Dia berasa
ngeri bukan disebabkan imej yang dibayangkan tetapi ekoran Trusdale telah
berfikir mengenai hukuman itu. Kemudian, dia berkata, “Lap hidung awak.”
Trusdale lap hidungnya.
“Sekarang, dengar cakap aku kerana ini peluang terakhir
awak. Awak berada dalam bar itu pada tengahari itu. Tak ramai orang ketika itu.
Betul, bukan?”
“Rasanya.”
“Lalu, siapa ambil topi awak? Tutup mata awak. Fikir
kembali. Lihat semula.”
Trusdale menutup matanya. Barclay menanti. Akhirnya,
Trusdale membuka matanya yang merah akibat menangis. “Aku tak ingat pun samada
aku memakainya.”
Barclay mengeluh. “Beri aku pinggan awak. Jaga-jaga pisau
tu.”
Trusdale menghulurkan pinggan melalui jeriji dengan pisau
dan garfu berada di atasnya seiring berkata dia berharap dia boleh nikmati
sedikit bir. Barclay berfikir sejenak, kemudian memakai kot tebalnya la
berjalan menuju ke Chuck-a-Luck, di mana dia mendapatkan sebekas kecil bir
daripada Dale Gerard. Si penggali kubur, Hines baru sahaja menghabiskan segelas
wain. Dia mengekori Barclay keluar.
“Hari penting esok,” kata Barclay. “Sudah 10 tahun tiada hukuman gantung dan
amat bertuah jika tidak ada lagi 10 tahun mendatang. Aku sudah bersara ketika
itu. Malah, aku harap aku sudah bersara sekarang.”
Hines memandang kepadanya. “Awak memang tidak fikir dia
bunuh budak perempuan itu?”
”Jika tidak dia,” kata Barclay, “sesiapa yang melakukannya
masih bergerak bebas.”
Hukum gantung dilaksanakan pada jam sembilan pagi esoknya.
Suasana berangin dan sejuk amat tetapi kebanyakan penghuni pekan keluar untuk
menyaksikannya. Paderi Ray Rowles berdiri di atas pentas di sebelah John House.
Mereka terketar-ketar meskipun kedua-duanya memakai kot dan skaf. Helaian muka surat Bible milik Pastor Rowles tersentap-sentap
ditiup angin. Kain penutup kepala berwarna hitam yang terselit di tali pinggang
House juga berkibaran.
Barclay mendorong Barclay, tangan digari ke belakang
badannya, ke tali gantung. Trusdale kelihatan tenteram sehinggalah dia mencecah
tangga apabila dia mulai melompat-lompat dan menangis.
“Jangan buat begini,” katanya. “Jangan lakukan ini terhadap
aku. Jangan sakiti aku. Tolong, jangan bunuh aku.”
Dia kuat walau berbadan kecil lalu Barclay beri isyarat
supaya Dave Fisher datang membantu. Bersama-sama, mereka berdua memberkas
Trusdale, memutar, menundukkan dan menolak ke atas 12 tangga kayu. Suatu
ketika, dia melenting kuat sehingga ketiga-tiga mereka hampir terjatuh, lalu
beberapa lengan penghuni pekan terhulur untuk menangkap jika mereka terjatuh.
“Hentikan ini dan mati sebagai seorang lelaki!” seseorang
menjerit.
Di atas pelantar, Trusdale diam seketika tetapi sebaik
sahaja Paderi Rowles membaca ayat Psalm 51, dia menjerit. “Seperti seorang
perempuan yang puting teteknya tersepit mesin pemerah,” seseorang berkata
kemudiannya di dalam Chuck-a-Luck.
“Kasihanilah aku, oh Tuhan, di atas segala kebaikan-Mu,”
Rowles membaca dengan meninggikan suara untuk mengatasi jeritan nyaring si
pesalah. “Dengan sejumlah besar pengampunan Kamu, hapuskanlah
kesalahan-kesalahanku.”
Apabila Trusdale melihat House mengambil kain tudung hitam
dari tali pinggangnya, dia mulai tercungap-cungap seperti anjing. Dia
menggeleng-geleng kepalanya ke kiri ke kanan demi mengelak kain tudung
berkenaan. Rambutnya berterbangan. House mengikut gerakan mengelak itu dengan
sabar seperti seorang lelaki yang ingin mengenakan tali kekang terhadap seekor
kuda yang melompat-lompat.
“Beri aku peluang tengok gunung-ganang!” laung Trusdale.
Gegelema berjuntaian di lubang hidungnya. “Aku berlaku baik jika awak semua
beri aku melihat gunung-ganang sekali lagi!”
Tetapi, House sekadar menyerkup kepala Trusdale dengan kain
tudung dan menarik ke bawah mengarah bahunya yang terketar-ketar. Paderi Rowles
terus mendengungkan suaranya manakala Trusdale cuba mengelak pintu perangkap.
Barclay dan Fisher menolak dia kembali ke situ. Di bawah sana, seseorang
berteriak, “Apa lagi, koboi!”
“Ucap amen,” Barclay beritahu Paderi Rowles. “Demi Christ,
ucapkan amen.”
“Amen,” kata Paderi Rowles, bergerak ke belakang lalu
menutup pantas Biblenya.
Barclay mengangguk kepada House. House menarik tuil. Rasuk
bergris menyentap dan pintu perangkap jatuh. Begitu juga Trusdale. Kedengaran
bunyi lehernya patah. Kaki-kakinya tersentap hampir ke dagu, kemudiannya jatuh
kembali. Titisan kuning mengotori salji di bawah kaki-kakinya.
“Anak haram!” jerit bapa Rebecca Cline. “Mati
terkencing-kencing seperti anjing mengencing pili bomba. Selamat datang ke Neraka.”
Beberapa orang bertepuk tangan.
Para pemerhati berada di situ sehingga mayat Trusdale, masih
memakai kain tudung hitam, diletakkan ke dalam gerabak kereta kuda yang turut membawanya
ke pekan sebelum itu. Kemudiannya, mereka bersurai.
Barclay kembali ke penjara dan duduk dalam bilik lokap yang
dihuni Trusdale sebelum ini. Dia berada di situ selama 10 minit. Cuaca cukup
sejuk sehingga dia boleh melihat asap pernafasannya. Dia tahu apa yang
dinantikannya akhirnya tiba. Dia mengangkat bekas kecil yang berisi bir
terakhir Trusdale lalu termuntah. Kemudian, dia masuk ke pejabatnya lalu bubuh
arang ke dalam dapur berdiang.
Dia masih berada di situ lapan jam berikutnya, cuba membaca
sebuah buku, apabila Abel Hines masuk. Katanya, “Awak perlu datang ke bilik mayat,
Otis. Ada sesuatu yang aku nak tunjukkan kepada awak.”
“Apa?”
“Tak. Awak tentu ingin melihat dengan mata sendiri.”
Mereka berjalan ke Hines Funeral Parlor & Mortuary. Di
bilik belakang, Trusdale terlantar bogel di atas papan. Terhidu bau bahan kimia
serta najis.
“Mereka terberak apabila mereka mati seperti itu,” kata
Hines. “Lelaki yang berani juga begitu. Mereka tak boleh mengelak. Otot yang
mengawal lubang punggung melepaskannya.”
“Dan?”
“Mari ke sini. Aku rasa lelaki yang bekerja seperti awak
pernah melihat yang lebih teruk berbanding sepasang seluar dalam yang dipenuhi
najis.”
Seluar dalam itu tersepuk di atas lantai, kelihatan
sebahagian besar sudah terkalih, bahagian dalam kini terdedah keluar. Sesuatu
bersinar malap kelihatan dalam kekotoran itu.
Barclay mendekatinya dan melihat ia adalah satu dollar perak. Dia
membongkok dan menarik keluar daripada najis itu.
“Aku tak faham,” kata Hines. “Anak anjing ini ditahan
sebegitu lama.”
Terdapat sebuah kerusi di penjuru bilik. Barclay menghenyak tubuhnya
sehingga kedengaran bunyi berderik. “Dia
mungkin menelan wang ini apabila melihat cahaya tanglung kami. Dan, setiap kali
ia keluar, dia basuh dan telan semula.” Kedua-dua lelaki itu merenung sesama
sendiri.
“Awak percayakan dia,” Hines berkata akhirnya.
“Bodoh betul aku, aku percaya.”
“Mungkin kenyataan itu lebih memperjelaskan mengenai awak
berbanding mengenai dia.”
“Dia tetap berkata dia tak bersalah sehingga ke akhirnya.
Dia kemungkinan besar berkata yang sama di depan singgahsana Tuhan.”
“Ya,” kata Hines.
“Saya tak faham. Dia akan digantung. Macam mana pun, dia
akan digantung. Awak faham tak?”
“Saya tidak faham pun kenapa matahari terbit setiap hari.
Apa yang awak nak buat dengan wang syiling itu? Beri kepada ibu dan ayah
kanak-kanak perempuan itu? Lebih baik tidak kerana …” Hines mengeluh.
Oleh kerana, keluarga Hines sudah mengetahui. Semua penghuni
pekan tahu juga. Dia seorang sahaja yang tidak tahu. Sudah tentu dia kelihatan
bodoh.
“Aku tak tahu apa yang aku patut buat dengannya,” dia
berkata.
Angin kencang mendadak, membawa bunyi seolah-olah nyanyian.
Ia datang dari arah gereja. Ia adalah ungkapan pujian terhadap Tuhan.
Comments
Post a Comment