Calley
Si Kambing Hitam
oleh
Seymour M Hersh
terjemahan
Looking For Calley, Harper's Magazine Jun 2018
gambar-gambar:
1. Calley 2. Seorang budak yang cedera, dilaporkan
turut ditembak mati 3. Sekumpulan mayat
- ramai kanak-kanak - yang ditembak mati di My Lai
Musim
gugur 1969, saya bertugas sebagai wartawan bebas, bekerja di sebuah pejabat
kecil, murah, saya sewa di tingkat lapan di National Press Building di pusat
bandar Washington. Jarak beberapa pintu di bawah saya didiami seorang muda
lain, Ralph Nader, juga sendirian, dia yang mendedahkan kegagalan keselamatan
sebuah jenama kenderaan keluaran Amerika Syarikat sehingga kilang terbabit
terpaksa menukar cara operasinya. Suatu hari, dia ceduk sesudu penuh salad ikan
tuna saya, ratakan atas pinggan, lalu tunjukkan cebisan kecil kertas malah
ketulan tahi tikus di dalamnya. Dia memang hebat memeriksa jika sesuatu makanan
itu agak keras untuk dihadam.
Tip
muncul Rabu, 22 Oktober. Penelefon ialah Geoffrey Cowan, seorang peguam di
bandaraya ini, juga muda, berkempen untuk McCarthy dan kerap menulis secara
kritikal mengenai Perang Vietnam untuk Village Voice. Ada kisah yang dia mahu
saya tahu. Mahkamah tentera, kata dia, sedang dalam proses untuk dakwa seorang
GI di Fort Benning, Georgia kerana membunuh 75 orang awam di selatan Vietnam.
Cowan tak perlu perjelaskan jika cerita itu benar, tapi dia enggan bincang
mengenai sumber maklumat.
Di
sebabkan saya menulis mengenai Pentagon untuk Associated Press (AP), saya tahu
terdapat sengkangan antara apa yang orang yang kendalikan perang cakap dengan
apa yang sebenarnya berlaku. Penipuan pada banyak keadaan sering tak terkawal,
dan terdapat banyak alasan seperti suasana semasa perang turut begitu. Malah,
mereka yang sokong Perang Vietnam sukar untuk menilai kemajuan perang berasas
kepada kiraan mangsa yang telah meninggal dunia. Jelas mereka yang dianggap
sebagai tentera musuh dalam medan perang sebaliknya orang awam yang mungkin
berada pada tempat salah pada masa yang salah atau mereka memang berada di
situ, tinggal sejak beberapa keturunan dulu.
Satu
soalan yang saya ditanya lagi dan lagi oleh orang lain dan saya tanya diri saya
sendiri ialah kenapa saya bertindak mengejar tip daripada Cowan. Tiada maklumat
tambahan untuk saya meneruskan siasatan.
Saya tak kenal Cowan. Saya tak pernah ke selatan Vietnam. Tidak kedengaran
cerita dalam masyarakat, tiada isyarat, mengenai pembunuhan kejam besar-besaran
seperti yang dinyatakan Cowan. Jawapannya muncul ketika hari-hari saya dalam
bilik wartawan di Pentagon, di mana khabar-khabar angin sebegini akan dinafikan
semua orang, oleh itu saya percaya tanpa sebarang keraguan. Rakan-rakan
mengejek laporan daripada sumber asal yang dilakukan Harrison Salisbury
mengenai pengeboman sistematik Amerika Syarikat di utara Vietnam, pernah
disiarkan dalam The New York Times pada akhir 1966. Segelintir bertindak lebih
jauh, bekerja keras bersama-sama Robert McNamara dan Cyrus Vance untuk
mengetepikan laporan Harrison. Saya berusaha menyiasat tip pelik Cowan kerana
saya percaya rakan-rakan lain tak berminat.
Jika
Cowan benar, maka pihak tentera Amerika Syarikatlah yang membuat dakwaan bunuh
itu. Jika begitu, sudah tentu ada beberapa laporan rasmi dalam sistem maklumat
ketenteraan. Kerja mencari maklumat ini mengambil masa saya berhari-hari.
Saya
memperbaharui perakuan kewartwanan saya di Pentagon kerana saya ketika itu
sedang menulis sebuah buku mengenai perbelanjaan tentera untuk penerbit buku,
Random House. Ia suatu projek yang memerlukan saya keluar masuk bangunan
berkenaan. Langkah pertama saya ialah meneliti semua dakwaan terkini di
mahkamah tentera di seluruh dunia. Saya tergesa-gesa melakukannya dan gagal
menemui sebarang kes membabitkan pembunuhan besar-besaran. Saya melakukan perkara yang sama terhadap
perlakuan jenayah di kalangan tentera yang sudah didedah ke pengetahuan umum.
Lagi sekali, tiada tuah. Jika Cowan benar, pendakwaan yang diketahuinya itu telah
dilakukan secara rahsia. Saya rasa terhalang lalu saya kembali mengumpul data
untuk terus menulis buku saya.
Apa yang
berlaku selanjutnya adalah sesuatu di luar jangka. Pertama, sewaktu berurusan
di Pentagon saya memperoleh nama pembunuh: Calley. Selanjutnya, berjam-jam saya
selidik akhbar lama dalam filem mikro sehingga saya temui klip tiga perenggan
dalam The New York Times yang disiar enam minggu sebelumnya. Laporan itu
memetik seorang pegawai maklumat di Fort Benning bahawa seorang pegawai infantri
berusia 26 tahun, William L Calley Jr telah didakwa membunuh "orang awam
dengan jumlah kematian tak diperjelaskan di Vietnam." Kejadian berlaku
pada Mac 1968, dan tiada seorang pun yang bekerja seperti saya, ketika itu,
bertanya mengenai peristiwa ini. 1
Saya bergantung
kepada pengalaman sebagai pemberita AP untuk meneruskan langkah seterusnya. Saya
mesra dengan pembantu kanan Jawatankuasa Dewan Khidmat Persenjataan diketuai
seorang Demokrat dari South Carolina, L Mendel Rivers. Rivers adalah penyokong
tegar segala hal mengenai ketenteraan, termasuk Perang Vietnam, dan saya yakin
Pentagon telah perjelaskan kepadanya secara sulit mengenai pembunuhan
besar-besaran di selatan Vietnam jika ia benar-benar telah berlaku.
Saya
akhirnya minum kopi dengan seorang rakan yang bekerja dengan Rivers. Pegawai
yang mengurus rahsia penting, amat sukar pemberita untuk mencungkil maklumat
daripadanya. Oleh itu, berbeza dengan kaedah memulakan perbualan dengan soalan,
saya beritahu rakan saya itu semua yang saya tahu mengenai Calley dan
tuduhan-tuduhan terhadapnya. Tindak balasnya bukan menafikan cerita itu tapi
memberi saya amaran.
"Ia
sekadar serabut sikit," katanya. "Belia itu hilang akal. Saya dengar
dia ambil machine gun dan dia seorang
tembak kesemuanya. Jangan tulis mengenai hal ini. Ia tak memberi faedah kepada
sesiapapun."
Saya
faham rakan saya ambil berat mengenai cerita ini kerana dia pembantu kanan
kepada Rivers yang amat konservatif sikapnya, tapi saya takkan berhenti
melapor. Dalam lain keadaan, semua cerita itu saya cantum, masih tak munasabah.
Seorang pegawai muda lakukan semua pembunuhan?
Jelas,
saya perlu cari peguam Calley. Dalam keadaan terdesak, saya beralih kepada
Jeoffrey Cowan sekali lagi. Ia suatu bentuk permintaan kerana saya tiada
maklumat yang tepat. Dua hari kemudian Cowan hubungi saya lalu sebut nama:
Latimer. Itu sahaja. Saya tak mahu buang masa dengan berangan-angan apa yang
Cowan boleh beritahu saya, atau darimana dia perolehi maklumat itu.
Saya
temui seorang peguam bernama Latimer dalam buku telefon bagi kawasan sekitar
Washington. Dia tak tahu menahu dengan kes pembunuhan membabitkan Perang
Vietnam tapi fikir saya mungkin mahu menemui seorang veteran Perang Dunia II,
George Latimer yang pernah berkhidmat kemudiannya sebagai hakim mahkamah tentera
bahagian rayuan dan kemudiannya menjadi seorang peguam.
Latimer,
saya ketahui terkini telah menyertai sebuah firma guaman di Salt Lake City,
lalu saya hubunginya dengan telefon. Saya beritahu dia saya tahu dia wakil Calley
dan tambah, dengan sedikit nada kejujuran, saya dapati anak guamnya terdesak.
(Saya tak sebut yang anak guamnya itu seorang penjenayah) Latimer bercakap
dengan perlahan, seperti yang dia sering lakukan dan mengakui ya, Calley adalah
anak guamnya dan ia adalah kesalahan guna kuasa. Gol! Saya beritahu hakim itu saya
akan naik kapal terbang ke Pantai Barat sedikit masa lagi dan tanya sama ada
dia tiada masalah jika saya singgah Salt Lake City. Kami kemudiannya tetapkan
hari pada akhir Oktober, dan saya habiskan masa setengah hari di Perpustakaan
Pentagon membaca sejumlah keputusan mahkamah beliau.
Saya
ambil penerbangan awal dan tiba di pejabat Latimer yang kelihatan biasa-biasa menjelang
10 pagi pada suatu hari bukan cuti. Saya rasa hakim ini, seorang orang lama di
Gereja Mormon, berusia akhir 50-an. Jelas pada pandangan pertama saya yang dia
bukan seorang yang penuh ironi atau banyak ragam. Saya selubungi keterujaan
saya dengan memberitahu Latimer yang saya telah mengkaji sejumlah
penghakimannya yang hebat, dan minta dia perjelaskan kenapa dia lakukan apa
yang dia lakukan pada sesuatu keadaan. Dia menjelaskannya. Ini adalah suatu
contoh terbaik Peraturan Hersh: Jangan pernah mulakan interbiu dengan menyoal
soalan-soalan utama.
Kami
bercerita mengenai kes yang saya ingin tahu, dan Latimer beritahu yang dia tak
boleh bincang secara spesifik. Dia kata, pihak tentera tawar sesuatu supaya
anak guamnya mengaku salah - babit hukuman penjara - dan dia beritahu mereka
berkenaan, "Tak mungkin." Mesejnya jelas: Latimer percaya anak
guamnya orang yang disalahkan oleh orang lain dalam kesilapan terbabit, jikapun
dia bersalah, di kalangan ramai lagi pegawai kanan yang sama berjuang sewaktu
pertempuran tercetus.
Pada
detik itu, dengan alasan yang saya masih tak faham, saya beritahu Latimer
bahawa Calley dituduh membunuh 15o orang sewaktu sewaktu tentera Amerika
Syarikat serang My Lai. Jumlah yang saya pernah ketahui, walaupun pelik, ialah
75. Bagaimanapun, pegawai tentera dan pembantu ahli kongres yang saya bincang
kes berkenaan bercakap mengenai tembakan liar dan menggila, dan saya tahu
melalui pembacaan laporan anti perang bahawa pembunuhan tanpa belas kasihan
beratus-ratus orang awam adalah sesuatu yang biasa apabila tentera Amerika
Syarikat menyerang kampung-kampung di kawasan pedalaman di selatan Vietnam.
Jumlah
mangsa yang direka-reka itu menyelusup ke dalam fikiran Latimer, kelihatan
marah, dia menuju ke kabinet, capai satu folder, tarik beberapa helai muka
surat, berjalan kembali ke mejanya - saya duduk melintang berbanding arah
duduknya - dan mencampak ke hadapan saya. Ia adalah dakwaan pihak tentera
menuduh Leftenan William L Calley Jr membunuh secara terancang 109 manusia yang
digelar "Orientals." Meskipun saya dalam kegirangan, adalah
menakjubkan untuk melihat jumlah mangsa yang Calley didakwa bunuh dan
penjelasan mengenai mangsa bunuh itu sebagai "Orientals." Adakah
pihak tentera bermaksud untuk mencadangkan bahawa nyawa seorang
"Oriental" lebih rendah nilainya berbanding orang kulit putih Amerika
Syarikat? Ia adalah suatu sifat nama yang jelik.
Latimer
cepat menterbalik kertas pertuduhan itu lalu menarik, mendekatinya. Ingatan
saya mengenai apa yang kami perbualkan selanjutnya amat sedikit kerana saya
menggunakan masa berkenaan - kira-kira 20 minit - berpura-pura mencatat nota
sambil kami berbual. Apa yang saya sebenarnya lakukan ialah membaca kertas
pertuduhan secara terbalik, walaupun amat perlahan, lalu menyalin setiap
perkataan di atasnya.
Pada
suatu ketika Latimer menghentikan interbiu dan menolak untuk beritahu di mana
Calley berada dan membantu saya menemuinya. Saya agak yakin, hakim ini sudah
berasa dia sudah terlebih cakap dengan saya, dan saya tak pula berani untuk
meminta satu salinan kertas pertuduhan kerana
dia akan kata saya tak boleh guna sebarang maklumat yang saya nampak. Di
muka pintu, saya ucapkan terima kasih
kerana dia memberi masa paginya kepada saya dan andaikan Calley masih di Fort
Benning sedang menunggu dihadap ke mahkamah tentera, dan saya akan buru dia
sampai dapat.
Fort
Benning, seperti mana-mana pangkalan tentera di Amerika Syarikat, adalah
fasiliti terbuka, dan saya tiada masalah untuk memandu ke pos kawalan utama.
Begitupun, saya terkejut dengan saiznya. Pangkalan ini hampir sama luas dengan
New York, kira-kira 285 baru persegi, dengan lapangan terbang, beberapa kawasan
latihan yang dipisah-pisahkan di mana peluru hidup ditembak, dan kawasan tempat
tinggal yang kini dikenali sebagai kampung-kampung orang berkeluarga. Di sana
terlalu banyak kawasan untuk menyorokkan Calley, seperti pihak tentera telah
memilih untuk melakukannya. Saya cekal, menjejaki orang yang tak mahu ditemui
adalah penting dalam pekerjaan saya untuk hidup, dan saya punya kepandaian
untuk melakukan tugas sebegini.
Dia
ditahan kerana tuduhan membunuh, dan saya jangka dia dikurung dalam satu
daripada banyak kubu yang boleh dijadikan penjara, yang bertaburan di sekitar
Fort Benning. Saya dapatkan satu peta yang agak bagus lalu memandu kembali.
Rutin sampai di setiap "penjara" adalah sama: Saya parkir kereta sewa
di tempat pegawai kanan bertugas yang sering kosong, menapak ke dalam penjara
dengan pakaian suit bertali leher,
membawa beg bimbit, dan berkata kepada koperal atau sarjan bertugas dengan lantang,
"Saya nak jumpa Bill Calley. Bawa dia keluar sekarang."
Tiada
Bill Calley di mana-mana pun. Ia mengambil masa berjam-jam dan lebih 100 batu
untuk menjelajahi cuma beberapa kubu yang bertaburan di pangkalan berkenaan,
dan saya mulai tertekan kerana kesuntukan masa. Melepasi waktu tengahari, saya
kembali ke pos utama.
Saya
temui telefon awam dan buku telefon senarai nombor di pangkalan berkenaan di PX
Cafeteria dan terus membuat panggilan ke setiap kelab yang boleh saya cari:
renang, tenis, memburu, memancing, berjalan kaki. Tiada ahli bernama Calley.
Setelah beberapa jam kecewa, masih tiada tanda-tanda di mana dia berada, dan
saya tak tahu sama ada dia masih berada di Benning. Saya lapar, hari siang
semakin suntuk, dan bimbang. Saya bercadang untuk berjalan sedikit dan berhenti
di pejabat utama JAG Corps, di mana sebilangan peguamnya terbabit dalam tugas
mendakwa Calley.
Ia waktu
yang agak lewat selepas waktu makan tengahari, tetapi pejabat itu kosong
kecuali seorang sarjan yang bersendirian. Beliau amat ramah selepas saya
memperkenalkan diri sebagai wartawan dari Washington dan saya perlukan bantuan.
Senyumannya lenyap setelah saya katakan saya sedang mencari William Calley. Dia
minta saya tunggu sebentar. Saya tanya kenapa? Dia berkata dia diarah apabila
seseorang tanya mengenai Calley, dia kena beritahu kolonel serta-merta. Jawapan
ini sudah cukup buat saya. Saya beritahu dia supaya jangan risau dan saya mulai
berjalan. Sarjan berkenaan mulai cemas dan berkata saya tak boleh pergi begitu
sahaja. Saya berlari keluar ke jalan, bergerak setiap langkah semakin pantas.
Saya tak mahu kolonel berkenaan menghalau saya dari pangkalan tentera itu.
Sarjan itu mengejar saya beberapa dozen ela dan kemudiannya berhenti. Ia bagai
satu adegan dalam filem keluaran Marx Brothers.
Saya
makan seketul hamburger dan minum Coke di PX dan berfikir sewaktu mengunyah,
apa benda nak dibuat selepas itu. Kemudian saya teringat Latimer beritahu saya
bahawa Calley masih bertugas di Vietnam sebelum diarah menaiki kapal terbang
pulang ke Benning pada musim panas. Saya ingat kembali sewaktu saya bertugas di
AP bahawa pihak tentera keluarkan buku-buku telefon yang dikemas kini setiap
beberapa bulan. Saya dail operator dan minta bercakap dengan penyelia bertugas,
dan apabila perempuan berkenaan berada di talian, saya minta dia semak kumpulan
terakhir nama-nama baru disenarai dalam buku telefon dan cari Leftenan William
L Calley Jr. Leftenan itu apabila pulang dari luar negara, dia akan dihukum,
dan mungkin diletak di mana-mana tempat dalam pangkalan tentera - dan
sepatutnya namanya disenarai sebagai lewat mendaftar dalam buku telefon
berkenaan.
Setelah
beberapa ketika, penyelia itu kembali, beritahu saya dia jumpa nama lelaki itu
dan dengan pantas menyebut nombor telefon dan alamat sebelum memutuskan talian.
Saya tak faham satu patah pun yang dikatakannya, antara kegugupan saya dengan
loghat Selatannya yang pekat, dan rugikan masa untuk cuba menghubunginya semula.
Setelah berjaya dihubungi kembali, dia eja huruf demi huruf tempat Calley
ditugaskan di pangkalan tentera itu.
Dia
ditugaskan di unit kejuruteraan yang terletak di salah satu kem latihan satelit
Fort Benning. Bangunan itu hanya beberapa batu dari pagar pos kawalan utama,
tapi saya ambil hampir sejam memandu di laluan berliku-liku untuk mencari tempat
terbabit. Ia adalah tempat tinggal pelatih-pelatih dan merangkumi dua berek
tiga tingkat yang bersambung dengan bangunan 2 tingkat ibupejabatnya. Ketika
itu waktu masih tengahari, beberapa jam sebelum habis waktu kerja, dan saya
merasakan orang buruan saya berada di suatu tempat di dalamnya.
Setelah
tak keruan seketika, saya temui pintu belakang ke berek terdekat lalu berjalan
di ruang lantai antara katil-katil bertingkat, semuanya kosong dan kemas. Saya
berlari ke tingkat dua, jengok ke setiap katil dengan harapan untuk berjumpa
lelaki yang saya cari. Tiada. Saya menyeberang ke berek kedua, cuba mengelak dilihat
seorang pegawai bertugas. Saya dengan pantas melepasi pintu pejabatnya. Detik eureka saya fikir di tingkat dua apabila
saya melihat bentuk seorang lelaki muda, dalam pakaian seragam, dengan rambut
perang kusut masai, tidur mati di katil bahagian atas.
Saya
angkat sebelah kaki, sepak bahagian sisi katil dan berkata: "Wake up, Calley." Askar itu, belum
pun berumur 20 tahun, menguap dan berkata, "What the hell, man?" Saya tak ingat apa perkataan pada tanda
nama di blausnya, yang jelas saya tak menemui Calley. Saya duduk dengan penuh
kecewa di atas tilam menghadap seorang GI, dan satu soalan muncul: "What the fuck are you doing sleeping in the
middle of the day?"
Ia
adalah cerita tak masuk akal. Dia telah dijadualkan untuk dibebaskan beberapa
bulan lalu daripada melakukan tugas aktif tapi pihak tentera hilangkan kertas
maklumat mengenainya dan dia masih sedang menunggu. Keluarganya adalah petani di
Ottumwa, Iowa dan ketika ini musim menuai, ayahnya dan lain-lain sedang
mengambil alih kerja yang sepatutnya dia lakukan. Sehingga ini, dia banyak
tidur. Saya tanya sama ada dia ada ditugaskan untuk lakukan sesuatu sepanjang
hari. "Saya asingkan surat." katanya. Untuk semua? Ya. Pernahkah dia
terima surat untuk seseorang bernama Calley? "Awak maksudkan lelaki yang
bunuh semua orang itu?" Ya, lelaki itu.
Lelaki
yang bakal menjadi petani ini beritahu saya dia tak pernah bersua dengan Calley
tapi telah diarah untuk mengambil surat leftenan itu dan serah kepada rakan
baiknya seorang kerani di ibupejabat batalion bernama Smitty. GI yang dalam
kesedihan ini kemudiannya bawa saya menemui Smitty yang seterusnya tawar untuk
tunjukkan Fail 201 Calley: Folder peribadi yang pihak tentera simpan bagi pihak
lelaki-lelaki yang baru masuk tentera serta pegawai-pegawai.
Cuba
berlagak tenang, saya buka folder, dan muka surat pertama yang saya temui
adalah kertas pertuduhan yang sama seperti yang saya lihat di pejabat Latimer.
Ada tambahan: alamat di Columbus, Georgia di mana Calley tinggal. Saya ambil
masa untuk salin cermat kertas pertuduhan, pastikan saya betul tulis setiap
ayat, dan kembalikan fail itu kepada Smitty. Dia berasa bangga kerana membantu
saya, katanya - fuck the army. 2 Kemudian dia beredar, dan saya menuju
ke rumah baru Calley.
Dah
hampir 5 petang sewaktu saya tiba di pangsapuri Calley yang kelihatan terletak
di kawasan perumahan yang baru sahaja dibangunkan. Sebuah kereta berhenti di
lorong depan saya, dan tiga leftenan muda yang kelihatan amat remaja,
berpakaian celoreng, keluar kereta itu. Saya parkir di belakang mereka, keluar
kereta dan jelaskan saya seorang wartawan yang mencari Bill Calley. Dia tinggal
di sini bukan? Tak lagi, saya diberitahu.
Mereka
jemput saya pergi minum dan terangkan yang mereka lepasan West Point pada Jun
sebelumnya, sudah tamat latihan perang sebelum bertolak ke Vietnam sebagai
ketua-ketua platun infantri. Mereka bersopan-santun, petah bercakap dan amat
mudah untuk sesiapa pun menyukainya.
Kami
minum beberapa gelas bourbon. Calley, saya difahamkam, singgah sekali-sekala
untuk ambil surat. Sudah tentu mereka tahu di mana dia sekarang, tapi mereka
tak membantu apa-apa, sehinggalah seorang daripadanya berkata semasa saya
beransur pergi. Calley, dia beritahu saya, telah diasingkan ke kediaman pegawai
kanan, termasuk kolonel dan jeneral untuk melakukan tugas sementara di Benning.
Saya terkejut: Seorang yang didakwa membunuh bersembunyi di kawasan kediaman
tentera paling elit? Saya tak akan cari ke sana. Ia adalah bagai mencari Calley
di bilik ICU bagi bayi baru lahir.
Saya
pandu ke kompleks bangunan dua tingkat dengan kawasan parkir yang luas. Saya
mula mengetuk pintu-pintu, memanggil nama seseorang sewaktu melakukannya,
"Bill? Bill Calley?" Selepas beberapa jam, saya berjaya menelusuri
dua daripada tiga bangunan, tanpa tuah dan amat penat. Saya bangun 5 pagi tadi
di Washington, dan hanya makan dan minum sedikit. Sudah tiba masa untuk tempah
motel, tidur sejam dua, dan kemudian baru sambung ketuk pintu-pintu lagi.
Hari
sudah gelap sewaktu saya berjalan di kawasan parkir paling dekat. Saya nampak
dua lelaki bekerja bawah kereta beberapa ratus kaki jauh dari saya dengan
bantuan lampu sorot. Saya jelas teringat ketika itu saya berfikir: Biarkan
sahaja, awak sudah cukup berusaha hari ini. Tapi saya tak berbuat begitu.
Sebaik sahaja saya hampiri kereta itu, saya minta maaf kerana mengganggu dua
lelaki itu tapi saya cakap saya nak cari Bill Calley. Seorang daripada lelaki
itu, mungkin usia akhir 40-an, merangkak keluar dan tanya kenapa saya nak jumpa
dia. Saya perjelaskan yang saya wartawan dari Washington dan Calley sedang
hadapi masalah, dan lelaki itu suruh saya tunggu dia di tempat kediamannya.
Kediamannya
saya dapati terletak di tingkat satu salah sebuah unit, dan Calley menginap di
atasnya. Saya diberi amaran mungkin berjam-jam untuk menanti sebelum Calley
muncul, dia keluar menaiki bot di sebuah tasik beberapa batu dari situ. Ya,
kata rakan baru saya berpangkat pegawai waran kanan yang pandu helikopter dalam
perang besar, dia tahu Calley hadapi banyak masalah.
Minuman
dihidang sewaktu kami menanti Calley. Jelas, tentera Amerika Syarikat
bergantung kepada bourbon. Dia faham dari mana saya datang, katanya, dan
mengaku dengan sedih bahawa Vietnam meragut nyawa, perang yang sukar dimenangi
yang menghakis kecintaannya terhadap tugas ketenteraan. Calley risau, kata
juruterbang terbabit, dan memang dia patut begitu. Cerita Calley mengenai
pertempuran sengit bersenjata tak meyakinkan. Saya suka juruterbang ini dan
kagum dengan kejujurannya, tapi selepas kira-kira sejam pura-pura minum arak,
saya rasa hari saya sudah berakhir. Saya perlu lelapkan mata sedikit. Saya ucap
goodbye - saya masih lihat
nyamuk-nyamuk terbang berpusing-pusing mengelilingi mentol lampu yang telanjang
di luar pintu - dan mula berjalan ke arah kereta saya.
"Hersh!"
jerit juruterbang itu. "Mari balik! Rusty dah ada di sini."
Di a
memang Calley. Kami berjabat tangan. Saya beritahu dia siapa saya dan saya ke
situ untuk mendapatkan maklumat berasaskan cerita dia. Dia berkata, bagai saya
mudah mencarinya, bahawa ya peguamnya telah beritahu dia untuk sedia menerima
kunjungan saya.
Kami ke
tingkat atas. Saya minum - kali ini bir - dan kami mulai berbual. Saya amat
hendak membencinya, melihatnya sebagai budak raksasa yang membunuh, tapi
sebaliknya saya dapati dia seorang lelaki yang ketakutan, pendek dan amat pucat
sehingga pembuluh-pembuluh darahnya jelas kelihatan kebiru-biruan di tengkuk
dan bahu. Penjelasan awalnya mustahil untuk dipercayai, penuh dengan gaya hero
dalam perang satu-sama-satu dengan peluru, bom tangan dan meriam saling
berbalas dengan musuh.
Kira-kira
tiga pagi, Calley bawa saya ke PX di mana dia beli sebotol bourbon dan beberapa
botol wain. Tempat singgah selanjutnya ialah kedai yang dibuka sepanjang malam
di pangkalan itu, di mana dia beli steak.
Kemudian kami jemput teman wanitanya, seorang jururawat yang bertugas shif
malam di hospital utama di pangkalan itu. Dia amat marah kepada Calley setelah
mengetahui dia diperkenalkan kepada seorang wartawan, tapi dia pandu kami
dengan kereta ke pangsapuri Calley dan masak makan malam. Acara diteruskan
dengan minum arak lagi. Dan sebaik cahaya hari baru mulai menjelma, Calley
menyuarakan hasratnya untuk pergi main boling.
Jururawat
itu sudar beredar, saya sudah susun buku nota penuh dengan kata-kata, banyak
yang membahayakan keselamatan Calley: Penjelasannya mengenai serangan di My Lai
semakin penuh teka-teki yang berkontradiksi. Sebaik saya bangun untuk beredar,
Calley desak saya bercakap dengan kaptennya, Ernest Medina yang mengetuai
serangan di My Lai.
Medina,
yang didapati tak bersalah dalam pembunuhan terancang serta serangan oleh
mahkamah tentera dua tahun kemudian, angkat telefon selepas sekali dua
deringan. Dia turut berada di Fort Benning, diandaikan melalui proses yang sama
seperti Calley yang sedang berkongsi telefon dengan saya ketika ini. Calley
terangkan dia bercakap dengan saya mengenai My Lai, dan dia minta Medina
mengesahkan bahawa setiap yang terjadi berlaku mengikut arahan. "Saya tak
tahu apa yang awak cakap," kata Medina, dan kemudiannya dia putuskan
talian. Calley kelihatan terpukul. Pada waktu itu, dia akhirnya faham apa yang
saya pasti dia sudah jangka: Dia akan menjadi orang yang bersalah dalam
pembunuhan di My Lai.
Saya
sudah menjadi pemberita sedekad lamanya menjelang musim gugur 1969 dan dengan
apa sekalipun telah mendapati bahawa cara terbaik untuk menulis laporan, tanpa
mengira betapa penting atau sukar, perlu melepasi segala rintangan dan terus
bercerita. Cerita pertama mengenai My Lai yang saya hantar bermula dengan:
Leftenan William L Calley Jr, 26,
berkelakuan baik, veteran perang Vietnam, berwajah kebudak-budakan, nama
gelaran "Rusty." Pihak tentera berkata dia sengaja membunuh
sekurang-kurangnya 109 orang awam Vietnam semasa misi mencari dan memusnahkan
pada Mac 1968 di kawasan kubu Viet Cong dikenali sebagai "Pinkville."
Saya
tulis cerita ini sebaik mungkin dan kemudiannya menelefon seorang rakan editor
di Life dan berjanji semua bahan cerita untuknya jika mingguan ini cepat
bertindak. Editor berkenaan membuat panggilan balik beberapa jam kemudian dan
berkata tidak. Dia telah desak katanya, tapi cerita sebegini kurang digemari
oleh pihak pengurusan kanan. Saya pernah berhubung dengan Look dan selanjutnya
telefon editornya mengenai interbiu saya dengan Calley. Dia juga tak berminat.
Saya
rasa punah, dan risau dengan tahap self-censorship
yang saya perlu hadapi dalam bidang saya. Saya khuatir saya tiada pilihan
selain hantar cerita My Lai ke akhbar dan menghadapi risiko editor-editor
berkenaan bakal menggunakan maklumat daripada cerita saya untuk dipergunakan
oleh kakitangan masing-masing: Dalam lain
perkataan saya hanya dilayan sebagai seorang pemberi maklumat.
Saya
kekal berhubung dengan pembongkar rahsia terkemuka di Washington, I F Stone sepanjang
bekerja keras menyelesaikan tugasan saya, dan dia bertindak balas terhadap
kepayahan saya itu dengan berjanji bahawa editor The New York Review, Bob
Silvers akan menerbitkan tulisan saya serta-merta. Saya menelefon Silvers dan
dia menyediakan seorang lain untuk mencatat cerita saya. Apabila saya dan dia
berbual, Silvers beritahu saya betapa dia suka cerita saya. Dia cuma ada satu
permintaan untuk mengedit. Adakah saya sedia untuk menokok satu perenggan bagi memperjelaskan maksud pembunuhan besar-besaran
secara kejam dengan menggambarkan ia suatu perang yang ganas dan tak mungkin
dimenangi?
Saya
memang sudah biasa dengan sikap editor-editor yang turut hendak mendapat nama
dalam sesebuah cerita yang diterbitkan lalu menolak dengan alasan tak perlu
penjelasan tambahan membabitkan kecenderungan berpolitik dalam kes dakwaan
terhadap Calley. Fakta sudah bercakap dengan sendiri. Silvers terus mendesak.
Saya tetap menolak. Dia berkata, dia tak akan terbitkan cerita tanpa menambah
perkataan-perkataan yang dia hendak tulis. Saya ucap goodbye, dan ia berakhir begitu sahaja.
Saya
degil kerana saya tahu bahawa sepanjang bertahun-tahun terlibat dengan perang
dan masalah perkauman yang menjurus kepada ketakutan mengenainya, pembunuhan
besar-besaran adalah sesuatu yang lebih menjadi kebiasaan berbeza dengan
pendapat umum - dan pesalah-pesalahnya jarang dihukum. Kita sekarang menemui
kes yang mana pihak tentera sendiri yang meletak sempadan dengan berkata,
intinya, terdapat beberapa perlakuan yang tak sepatutnya diabaikan. Tak mungkin
saya akan biar walau satu perenggan, dalam cerita saya, mengecam antiperang
lantas merosakkan laporan terus terang pembunuhan besar-besaran secara kejam
yang saya tulis, meskipun ia disiar dalam sebuah majalah yang ketara menentang
perang.
Suasana
kegelisahan dengan Silvers, seorang yang sebenarnya berada di pihak saya, membuktikan
saya tak akan dapat menerbitkan cerita My Lai mengikut selera saya, melainkan
saya sendiri yang menerbitkannya. Saya telefon rakan saya, David Obst yang
menguruskan khidmat penghantaran berita berpangkalan di Washington, Dispatch
News Service yang juga sebuah agensi anti perang yang baru setahun ditubuhkan.
Saya beritahu dia, dia boleh ambil cerita saya dengan syarat dia tidak
merosakkannya. Saya beritahunya, Dispatch News Service bakal peroleh hak cipta
cerita My Lai dan bertanggungjawab dalam usaha untuk menyiarkannya.
Akhbar-akhbar yang ambil cerita mengenainya perlu bayar yuran tetap dan kami
letak $100 bagi satu cerita tanpa mengira berapa besar edaran akhbar terbabit.
Saya percaya Obst, berusia 23 tahun, yang mampu berjuang mendepani masalah dan
tahu cari jalan keluar daripada tekanan masalah dengan tenang dan bergaya, akan
berjaya lakukannya.
Dengan
caranya yang tersendiri, apa yang Obst lakukan tak sama seperti waktu saya
mengejar Calley di Fort Benning. Dalam memoirnya terbitan 1998, Too Good to be
Forgotten, dia mengimbas bagaimana dia menjual cerita itu, bermula awal pagi 12
November 1969:
Saya peroleh satu salinan sebuah buku,
The Literary Marketplace yang menyenaraikan nama dan nombor telefon semua
akhbar di Amerika Syarikat. Saya buka bahagian A lalu mula mendail. Sehinggalah
ke C baru saya dapat. The Hartford Current di Connecticut berminat dan minta
satu salinan cerita.
Satu-satunya
usaha saya untuk menjual cerita pada hari yang sama berakhir dengan malapetaka.
Saya adalah rakan baik kepada star
reporter di bahagian kakitangan nasional Washington Post, Larry Stern, dan
dia ajak saya bertemu editor eksekutif syarikat itu yang kaya dan terkemuka,
Ben Bradlee. Saya muncul sebaik lepas tengahari dengan peguam yang juga rakan
lama saya, Michael Nussbaum, dan kami berkumpul dalam pejabat kecil editor
antarabangsa, Phil Foisie. Empat lima editor dan pemberita turut bersama ketika
saya edar salinan-salinan cerita Calley. Suasana diam sewaktu semuanya membaca.
Ketenangan hilang tatkala Bradlee melontar muka surat-muka surat yang dia baca
ke arah Foisie lalu berkata, "Goddamn
it! Saya ada beratus-ratus pemberita bekerja untuk saya dan ini datang
daripada orang luar. Siarkannya. Ia kelihatan menarik."
Meskipun
kelakuan Bradlee terlajak dramatik, pihak akhbarnya menulis semula keseluruhan
cerita saya dengan penafian Pentagon serta menambah beberapa peringatan.
Sekurang-kurangnya mereka letak di muka depan. Edisi awal berada di jalanan
sebelum tengah malam. Sebenarnya, ia suatu penghinaan tak beradab, diburukkan
lagi apabila Peter Breastrup yang diarah menulis semula cerita Calley saya,
bangunkan saya beberapa jam sebelum Subuh untuk beritahu saya bahawa saya
seorang penipu: Tiada seorang askar pun yang boleh disabitkan dengan pembunuhan
109 orang awam. Ia mustahil, tegasnya.
Saya
ingatkan Breastrup mabuk, tapi dia tak akan berwatak begitu. Dalam banyak
keadaan, saya sukar untuk sambung tidur. Dia mengingatkan saya, saya telah
lapor satu pembunuhan besar-besaran tanda melihat secebis video atau bukti
gambar.
Saya
dapati kemudiannya, cerita My Lai membuatkan orang ramai tak rasional. Nombor
telefon rumah saya masih disenarai dalam buku panduan telefon sampai sekarang,
dan berbulan-bulan selepas cerita ini terdedah, saya dihubungi pegawai-pegawai
yang marah serta mereka yang baru mendaftar sebagai tentera, kebiasaannya mabuk, memberitahu saya apa yang
mereka akan buat kepada kemaluan saya. Braestrup tak hadapi tekanan teruk,
terbukti apabila saya akhirnya tahu kepakarannya. Dia bekas pegawai marin yang
cedera parah dalam Perang Korea, yang kemudiannya ditugaskan oleh akhbarnya
sebagai ketua biro di Saigon. Saya sudah jangka tindak balas pihak kerajaan dan
tentera, tapi Breastrup memberi amaran tentang kemungkinan rakan-rakan
pemberita akan turut berasa marah.
Obst dan saya tiada idea sama ada kira-kira 50
editor akhbar di seluruh negara yang membeli cerita ini akan pilih cerita ini
sehinggalah tengah tengahari esoknya apabila akhbar-akhbar luar bandaraya tiba
di gerai akhbar di National Press Building. Obst cipta keajaiban:
Berdozen-dozen akhbar terkemuka termasuk Chicago Sun-Times, The Philadelphia
Bulletin dan The St Louis Post-Dispatch memaparkan cerita Calley, segelintir
malah menjadikan tajuk utama. The New York Times tak beli cerita ini, tapi The
New York Post beli dan menonjolkannya.
Rangkaian
TV utama tak guna cerita ini, antara sebabnya ialah Pentagon dengan liciknya
enggan komen. Dan terdapat khabar tersebar luas yang meragui laporan saya -
termasuk Washington Post - dengan menjelaskan kesukaran yang dialami
tentera-tentera Amerika Syarikat dalam menghadapi perang gerila dengan pasukan
musuh yang menyamar sebagai petani pada siang hari. Mesej bawah sedar jelas:
Tentera-tentera Amerika Syarikat sering di posisi di mana mereka perlu menembak
dulu atau mereka menjadi mangsa. Siapa saya hendak menghakimi secara semberono
mengenai perang? 3
Dalam
tempoh seminggu saya tulis laporan susulan di mana Obst jual kepada sejumlah
pihak di Amerika Syarikat dan luar negara. (The New York Times tetap menolak) Saya
teruskan tugasan. Saya selanjutnya mendapati ada cerita lain, oleh itu, ia akan
menamatkan penentangan terhadap kebenaran yang jelas dalam kes My Lai. Saya
bercakap dengan ahli-ahli lain dalam platun Calley, dan mereka beritahu saya
mengenai seorang bernama Paul Meadlo, belia petani dari Indiana yang menembak
satu demi satu klip peluru mengikut arahan Calley, terhadap kumpulan-kumpulan
wanita dan kanak-kanak yang telah dikumpulkan ketika kejadian pembunuhan
besar-besaran itu.
Saya
berjaya jejaki keluarga Meadlo di sebuah desa kecil, New Goshen kira-kira 85
batu arah barat Indianapolis dan berhenti di sebuah perkebunan usang pada waktu
tengahari. Emak Paul, Myrtle, usia dalam 50-an tapi kelihatan lebih berumur,
keluar menyantuni saya. Apabila saya terangkan misi saya, dia tunjuk rumah
kedua, rumah lebih kecil berdekatan.
Saya
ketuk pintu lalu Meadlo lambai dari dalam. Sehari selepas pembunuhan kejam
besar-besaran di My Lai, dia terpijak periuk api yang menghancurkan kaki
kanannya. Saya mulakan perbualan dengan minta dia tunjukkan puntung kakinya.
Dia buka but dan alat kaki tiruan lalu bercakap secara terbuka dengan
menganimasikan cara rawatan yang dia perolehi di medan Perang Vietnam dan
tempoh pemulihan yang panjang di sebuah hospital tentera di Jepun. Kami
kemudiannya kembali ke hari pembunuhan kejam besar-besaran. Meadlo bercerita
kepada saya secara terperinci dan dengan sedikit emosi terutama ketika dia cuba
mengingatkan kembali peristiwa itu. Calley mulanya arah dia kawal mereka yang
terselamat daripada pembunuhan besar-besaran sebelumnya, yang dikumpul dalam
parit, dan kemudiannya beritahu dia
supaya dia bunuh semuanya. Ada tentera-tentera lain di situ, tapi Meadlo
menjalankan tugas yang membebankan itu, tembak empat lima klip yang setiap satu
mengandungi 17 butir peluru ke arah
dalam parit sehingga suasana jadi sunyi. Saya telefon Obst lewat tengahari dan
beritahu supaya dia pastikan editor-editor tahu kami akan muncul
kembali dan terkini adalah cerita muka
depan untuk tontonan seluruh dunia: Laporan dari sumber asal mengenai
pembunuhan kejam besar-besaran, dicatat daripada seorang penembak. Pengakuan
Meadlo telah mengubah pandangan Amerika Syarikat, seperti yang saya harapkan
berlaku. Sebelum laporan mengenainya
disiar akhbar-akhbar seluruh dunia, dia dirakam di stesen televisyen CBS dan
kemudiannya disiar pada 24 November: Hari yang sama Pentagon secara rasmi umum
Calley akan dihadap ke mahkamah tentera kerana membunuh 109 orang awam di
Vietnam.
Cerita
Meadlo menamatkan debat mengenai apa yang berlaku di My Lai dan ia
menyemarakkan gelombang rencana-rencana hujung minggu oleh wartawan-wartawan
mengenai pembunuhan kejam besar-besaran yang mereka saksikan di Vietnam. Yang
paling menimbulkan masalah kepada saya adalah tulisan wakil AP yang
menggambarkan segelintir anggota marin mengamuk pada 1965 lalu membunuh
sekumpulan orang awam yang berlindung dalam sebuah gua. Kemarahan awal dalam
fikiran saya: Kenapa cerita-cerita seperti ini tak disiar ketika itu? Tapi saya
ambil sikap berkebajikan: Laporan kontroversi saya ditulis di sebuah pejabat
jauh dari Vietnam dan suasana yang sedikit merestui sentimen antiperang.
Penerbitan laporan dari tempat kejadian pada 1965 boleh dilihat ramai orang
sebagai tidak setia kepada negara dan kisah berkenaan akan dibongkar
habis-habisan dengan akhbar-akhbar berpengaruh mengetuainya.
Bagi
saya, saya terus menjelajah Amerika Syarikat hingga Disember, menjejaki mereka
yang terbabit dalam peristiwa di My Lai dan saksi-saksi. Saya tulis lima
artikel mengenai pembunuhan kejam besar-besaran serta apa yang berlaku
selepasnya untuk syarikat yang mengendalikan penghantaran berita terbabit.
Tapi, saya mempertimbangkan kekusutan etika kewartawanan berkenaan apa yang
saya tulis, jika tidak saya lakukan saya tak akan tulis. Dalam surat saya kirim
kepada Bob Loomis, yang ketika itu adalah editor saya di Random House, saya
tulis:
Kedua-dua pihak pembunuh dan yang kena
bunuh adalah mangsa-mangsa di Vietnam. Orang kampung yang ditembak tanpa sebab
dan GI yang diajar dan percaya bahawa kehidupan orang Vietnam tak ada makna
berbanding isterinya, atau adik perempuannya, atau maknya.
Saya
percaya perkataan-perkataan itu ketika itu dan sekarang ini, tapi ia adalah
kepercayaan yang diperolehi dengan kesukaran. Seorang GI, tembak kakinya
sendiri bagi membolehkannya keluar dari My Lai, beritahu saya bahawa beberapa
rakannya bertindak buas - atau mungkin dia sendiri? - ditunjukkan kepada
anak-anak kecil. Seorang GI menggunakan bayonet berkali-kali ke atas seorang
budak lelaki kecil, pada suatu ketika julang kanak-kanak itu dan menombaknya
bagai ia bekas diperbuat daripada tanah liat atau kertas yang diisi dengan
barang mainan atau gula-gula untuk dijolok dengan kayu panjang dalam suatu
temasya di Mexico, papier-macha pinata. Saya ada anak lelaki berusia dua tahun
di rumah, dan ada ketikanya, selepas saya bercakap dengan isteri dan kemudian
anak saya melalui telefon, saya akan
berderai air mata, terisak-isak tanpa kawalan. Untuk mereka? Untuk
mangsa-mangsa disembelih warga Amerika Syarikat? Untuk saya berdasarkan kepada
apa yang sudah saya pelajari?
My Lai
4: A Report on the Massacre and Its Aftermath, buku kedua saya diterbit pada
Jun 1970. Penerbitannya adalah suatu kejutan banyak pihak di Random House,
dibayangi Harper's Magazine yang telah menyiarkan petikan 30,000 perkataan
daripada buku saya ini dengan mutu kertas berbeza dengan bahagian lain majalah
edisi Mei itu, serta muncul beberapa
minggu sebelum buku berkenaan berada di kedai-kedai buku. Kejutan ini dibayangi
kenyataan bahawa pembeli-pembeli berbaris di luar kedai farmasi dan kedai buku pada
pagi majalah itu dijual. Rampasan kuasa oleh editor majalah berkenaan, Willie
Morris pasti memberi kesan kepada jualan Random House, tapi nalurinya mengenai
kepentingan cerita ini adalah suatu keuntungan kepada pergerakan antiperang.
Cerita
My Lai tak dapat dinafikan telah menyegerakan tentera Amerika Syarikat keluar
Vietnam. Secara peribadi pula, ia menyebabkan saya menang Hadiah Pulitzer,
suatu bentuk kemasyuran, dan cukup duit untuk bayaran pendahuluan pembelian
sebuah rumah kecil di Washington. Sehingga hari ini, bagaimanapun, saya tetap
berasa tak selesa di segi moral mengenai watak Calley sebagai lelaki yang salah
apabila masih ramai lagi yang patut disalahkan. Adakah penghukuman terhadapnya
dengan apa cara sekalipun menyebabkan pihak-pihak lain yang bersalah - malah
diri kita sendiri - terlepas begitu sahaja? Inilah rasa takut yang saya
nyatakan kepada Loomis dalam suatu surat. Ia tak akan pernah hilang sepenuhnya:
Kesalahan Calley sebenarnya tidak
melebihi kesalahan sesiapa pun di sana: Dia tak sepatutnya menjadi seorang
pegawai, dia tak sepatutnya dihantar berjuang dalam peperangan yang dia tak
fahami, dia tak sepatutnya anggap jumlah mayat adalah suatu piawaian bagi suatu
kejayaan, dan dia tak sepatutnya dihadap ke perbicaraan tanpa mengheret
pegawai-pegawai pangkat lebih tinggi yang tidak berbuat apa-apa terhadap
jenayah penyembelihan selepas itu sehingga menggalakkan lebih banyak pembunuhan
terjadi. Mungkin alasan untuk membicarakan Calley amat kecil berbanding orang
besar di Pentagon, atau mungkin Presiden Amerika Syarikat atau yang kedua atau
yang ketiga. Mungkin anda dan saya patut dibicarakan kerana tidak berbuat yang
terbaik demi menghentikan peperangan.
Nota:
1 Charles
Black adalah pemberita berpengalaman Columbus Enquirer, akhbar harian tempatan
yang membuat liputan mengenai Fort Benning. Beliau menulis dalam hal ehwal
ketenteraan, telah lima kali ke Vietnam mewakili akhbarnya dan menemui maklumat
terperinci kes terhadap Calley tapi memilih untuk tak menyiarkan apa-apa pun
sehinggalah pihak tentera mendedahkan kepada umum hasil siasatannya.
2 Satu istilah yang tak elok tapi
dikekalkan dengan beberapa makian lain bagi menjaga ketulenan artikel.
3 Bekas tentera juga seorang yang minat
bidang kewartawan, Ronald Ridenhour turut berdepan dengan penentangan terhadap
cerita My Lai. Berkhidmat di unit perisikan pada 1968, dia memang tak
menyaksikan depan mata pembunuhan kejam
besar-besaran itu tapi telah terbang di angkasa atas kampung yang musnah
terbakar beberapa minggu selepas kejadian dan terkejut dengan suasana lengang,
lantas secara sembunyi-sembunyi mula mengumpul maklumat mengenai kekejaman
ahli-ahli platun Calley. Apabila khidmatnya berakhir November tahun yang sama,
Ridenhour menyusun laporan 2,000 perkataan mengenai peristiwa ini lalu
menghantar kepada beberapa dozen pegawai di Washington. Kebanyakan penerima
laporan termasuk Presiden Richard Nixon, kira-kira 20 ahli kongres dan
pegawai-pegawai tinggi di Jabatan Ketenteraan dakwa memo itu tak diterima.
Majalah-majalah dan akhbar-akhbar yang ditemui Ridenhour juga ragu-ragu - hanya
satu daripadanya yang bertindak balas. Tapi akhirnya memo Rodenhour memaksa
pihak tentera menyiasat, dan sepatutnya beliaulah hero sebenar dalam
pembongkaran kes Calley. Saya lihat rujukan kepadanya dalam suatu artikel
ringkas sebaik sahaja saya menyiarkan laporan pertama saya mengenai My Lai dan
dengan segera saya terbang ke California, di sana dia adalah seorang pelajar di
Claremont Men's College. Kami berbual selama lima jam, dan dia beri nama dan
alamat saksi-saksi lain dan beberapa dokumen yang sangat bernilai. Ridenhour
akhirnya menjadi seorang wartawan, menang Anugerah George Polk pada 1987 ekoran
penyiasatan suatu skandal cukai di New Orleans, negeri asalnya. Dia meninggal
dunia pada usia muda disebabkan serangan jantung pada 1998.
Comments
Post a Comment