Tiga Tahun di Arkansas
oleh William Pittam
gambar: Pergunungan Ozarks
gambar: Pergunungan Ozarks
Tiga tahun lalu: Aku muncul di Fayetteville,
Arkansas, pandu Ford tua, kekurangan tidur, meneguk wiski yang diisi dalam kole
kopi. Sebelum itu, aku jumpa nama rakan sebilik melalui Craiglist, dan dia bermurah hati tawarkan diri untuk datang
mengambil aku di Bentonville, lapangan terbang paling dekat iaitu hampir sejam
jaraknya dari Fayetteville. Aku gelabah tatkala melihat dia melalui tingkap
ruang ketibaan. Wujud kekosongan dalam renungannya, dan dia bergerak perlahan
dengan cermat bagai seorang lelaki yang cuba memperlihatkan dia tidak mabuk.
Sebaik sahaja meninggalkan rasa nyaman,
lapangan terbang berpenghawa dingin, aku berasa bagai berjalan ke dalam
ketuhar, udara berasa mampat dan kelihatan seperti bukan cuaca sebenar. Aku
ikuti dia ke kenderaan Ford, lega melihat seorang rakannya berada di belakang
stereng. Rakan sebilik aku itu baru sahaja tamat duduki peperiksaan; dia
kelihatan letih sepertimana aku juga. Kami berkongsi wiski dan aku pandang ke
luar tingkap kereta ke arah rumah-rumah papan di pinggir hutan. Kebanyakannya
ada anjung. Aku lihat sebuah rumah memiliki kerusi goyang.
Rumah kami juga begitu, jalur kayu, dengan
anjung dan sewaktu kami memasuki lorong ke rumah, aku dapat bayangkan diri aku
menulis di situ, pen di satu tangan, wiski di tangan yang satu lagi. Kami
sampai kira-kira jam 6:30 petang. Cuaca masih sangat panas, jalan dimandikan
sinaran cahaya. Riang-riang riuh
bernyanyi di pokok-pokok. Rakan sebilik aku sangkut satu beg bunga api di hendal
pintu. Dia telah tulis pada beg itu dengan marker
pen, "WELCOME TO ARKANSAS."
Aku ambil sedikit masa untuk fokus pandangan
apabila dia membuka pintu kerana ruang depan kelam. Terdapat pinggan-pinggan
kotor, pakaian, bekas-bekas terdedah yang berisi makanan yang hanya sebahagian
telah dimakan. "Ikut sini ke bilik awak," dia berkata seiring memijak
sampah-sarap. Kami melalui ruang dapur. Aku dapat dengar bunyi kasut-kasut kami
bergesek dengan lantai pada setiap
langkahan. Pinggan-mangkuk kotor menimbun dalam sinki. Terhidu juga bau sampah
lama.
Bilik aku kosong melainkan ada satu tilam dan
satu bendera Amerika Syarikat yang digantung pada dinding. Terdapat garisan
tepung putih di setiap hujung bilik. Borax, rakan sebilik aku terangkan, untuk
bunuh lipas. Dia tinggalkan aku supaya aku boleh hantar email kepada keluarga
aku. Apabila aku kembali ke ruang depan, rakan sebilik aku sudah tanggalkan
bajunya dan pengsan, tertiarap atas sofa muka ke bawah.
***
Esoknya, aku meneroka bandar. Aku buka akaun
bank, di sapa ramah kakitangan berkenaan, "How are you today?" Menapak daki bukit ke universiti dalam
cuaca panas bukan mudah. Aku bermandi peluh. Di laman kampus: kelihatan alat
merenjis air untuk rumput yang dahaga,
panggung terbuka Greek dengan batuan putih, ruangan pejalan kaki dengan
nama-nama bekas pelajar dari akhir abad ke-19 hingga sekarang. Setelah
menjelajah beberapa jam, aku duduk di bawah bayang sebuah daripada bangunan-bangunan
kampus dek kerana tiba-tiba penat akibat kepanasan.
Kemudiannya, aku duduk di bahagian anjung
bangunan, menyelak buku-buku mengenai nahu, cuba mengingati semula
peraturan-peraturan utama, bahagian-bahagian dalam bab ucapan.
Aku tak sabar-sabar untuk mengajar. Suatu
perkara aneh, mengajar di sebuah negara yang anda baru sahaja menetap beberapa
minggu. Anda rasakan anda seorang tetamu. Anda hendak mengkaji persekitaran
anda, sekadar memerhati. Namun tugas anda memerlukan anda menjadi seorang yang
berautoriti, tegas mendesak dan membuat tuntutan.
Aku bakal mengajar karangan Bahasa Inggeris
yang merangkumi retorik, penulisan rencana dan berfikir secara kritikal. Bilik
kelas aku terletak dalam bangunan Fakulti Kejuruteraan: Kukuh berkonkrit, ujar rakan sebilik aku, tempat paling selamat
untuk berlindung daripada tornado. Bilik lebih kelihatan seperti dewan syarahan
berbanding bilik kelas dengan tempat duduk setinggi tahap kepala apabila
dipandang dari jarak jauh. Aku gelisah
melihat pelajar-pelajar memenuhi bilik. Di sini, semua pelajar-pelajar
perempuan ijazah pertama pakai seluar pendek untuk berlari dan baju T lengan
panjang. Yang lelaki pakai seluar khaki, baju polo dan kacamata hitam.Sesiapa
yang tak pakai sebegini kelihatan hampir
seperti subversif. Meskipun aku gelisah, aku amat ingin tahu melebihi pandangan
umum ini.
Sebahagian pelajar-pelajar berminat dengan
loghat aku ("Apa awak buat di Arkansas?"); ramai yang lain curiga,
fikir aku mengeja tidak betul. Biasanya ini kerana aku guna ejaan British.
(Sekali itu aku tulis perkataan "analyse" dan tiga remaja lelaki di
belakang mengomel, "Dia salah eja ... dia tak tahu mengeja.") Tapi
mungkin ada ketikanya aku sekadar berasa amat resah sehingga aku tak mampu
ingat bagaimana sesuatu perkataan dieja.
Selepas aku lalui mengajar beberapa kelas, aku
mulai tenang dan seronok dengan apa yang aku lakukan. Aku gembira mengagihkan
rencana-rencana untuk dibaca pelajar-pelajar, mengetuai perbincangan dan berbahas.
Aku arah buat rencana diagnostik, tugasan
menulis agar aku memperolehi tahap kerelaan pelajar-pelajar memasuki bilik
kelas. Aku tanya pelajar-pelajar mengenai hadiah yang mereka terima yang beri
makna besar kepada mereka, dan hasilnya menarik, malah memberangsangkan. Bagi
seorang daripada mereka, hadiah terbabit ialah sebuah foto berdua yang diberi
rakan perempuannya. Mereka akhirnya ke sekolah berbeza, dan pelajar lelaki itu
menulis dengan jelas mengenai kepahitan yang dialami sejak berpisah arah.
Seorang pelajar lain menulis mengenai hadiah daripada Tuhan - kedua-dua
tangannya menyelamatkan nyawa seorang wanita, menyembuhkan penyakit kanser.
Apabila aku memberitahu contoh kedua kepada
rakan sebilik aku, dia menjadi marah, seperti mana beberapa rakan-rakan sekerja
aku. Beberapa rakan yang sama mengajar dengan aku berasal dari bandar-bandar
kecil di pedalaman Arkansas dengan kuat pegangan agama dan selalunya
dibesarkan dalam kecenderungan politik kanan.
Bagi mereka, remaja lelaki itu mewakili dunia yang tertekan serta jahil yang mereka
bersusah-payah untuk elak. Aku kurang berasa berang. Aku telah melalui fasa
Christoper Hitchens. Aku berasa aku telah berbincang dengan seorang
kawan mengenai perkara di luar pegangan Kristian, dan sebelum meninggalkan Amerika Syarikat, aku cuba
bercakap dengannya mengenai perkara ini - bukan menyentuh hal Kristian tetapi
nilai fikiran terbuka.
Ekoran itu aku didesak untuk lebih mendalami
isu ini apabila kami berbincang mengenai hal perkahwinan gay. Seorang pelajar lelaki, anggota sebuah
pertubuhan Kristian, beritahu aku dia
sukar tulis sesuatu yang tidak seiring dengan isi Bible mengenai homoseksual;
manakala seorang
pelajar perempuan yang pandai, sering tersenyum,
beritahu aku dia akan tulis rencana menyebelahi hasrat untuk meluluskan perkahwinan sesama jenis, walaupun
dia juga fikir homoseksual adalah suatu dosa.
"Ia lebih mudah untuk dibahaskan,"
katanya. "Ia lebih mudah untuk dapat gred yang baik."
"Tapi apa yang sebenarnya awak
fikir?" Tanya aku.
"Kerana agama saya, saya percaya ia
salah, tapi - "
"Tapi awak akan berbahas guna logik dan
alasan yang ia sepatutnya dibenarkan?"
"Oh ya. Mudah sangat."
Dalam kelas pedagogi, kami berbincang mengenai
bagaimana sejumlah pelajar masuk universiti dengan fahaman awal mengenai dunia
yang amat kukuh sehingga sukar untuk mereka berkenaan menerima idea-idea baru.
Kami baca perbahasan mengenai apa pihak yang menyokong lihat sebagai
"liberalisasi" di kalangan
pelajar-pelajar dalam universiti.
Mereka mengkritik pensyarah-pensyarah Bahasa Inggeris yang menanam fahaman
liberal di kalangan pelajar-pelajar. Yang lain pula membalas bahawa
pensyarah-pensyarah bertanggungjawab untuk memperkenalkan pelajar-pelajar
dengan idea-idea begini - idea-idea seperti Marxsisme, teori progresif gender -
untuk menentang apa yang pelajar-pelajar telah difahamkan sejak kecil,
idea-idea yang disokong pihak berkenaan seperti Glenn Beck dan Fox News.
Pandangan dalam kelas bercampur baur. Sebilangan pelajar berpendirian bahawa
amat bahaya untuk terlalu jelas dalam memberi pandangan mengenai apa anda
percaya jika anda mempunyai kuasa untuk memberikan A atau F.
"Kita membicarakan ideologi," kata
seorang penolong tenaga pengajar, "tiada apa yang awak cakap atau buat itu
bebas daripadanya. Oleh itu, awak sepatutnya bersikap terbuka mengenai apa yang
awak percaya."
Aku tahu beberapa pensyarah beritahu pelajar
bahawa Bible tak sesuai dengan fikiran kritikal. Aku punya seorang rakan, pada
hari pertama beritahu pelajar-pelajarnya, "Okay sebelum kita mula, saya
hendak beritahu awak semua yang saya seorang Marxsis, anti kapitalis ..."
Aku cuba menjarakkan sedikit daripada
idea-idea yang aku persembahkan kepada pelajar-pelajar aku sendiri. Dan dalam
banyak keadaan, ia mudah, kerana berdasarkan pengalaman aku kebanyakan pelajar
- tanpa mengira mengenai perkara-perkara yang mereka sudah percaya sejak kecil -
adalah terbuka kepada idea-idea baru, dan jarang menentang atau menolak. Tapi
ada masanya ia lebih sukar apabila seorang pelajar menghantar rencana yang
mempersoalkan bahawa AIDS adalah suatu hukuman daripada Tuhan. Dia duduk
bertentangan aku dalam pejabat aku sewaktu aku menyemak tulisannya,
bermain-main dengan iPhone-nya.
Tahun akademik kelihatan berakhir pantas. Aku
bertungkus-lumus memperseimbangkan tugas mengajar dan menulis, dan menulis pun
sekadar satu-dua cerpen. Cuaca lembap menghilang. Daun-daun maple menjadi
merah. Dan walaupun bandar kelihatan cantik, jalan-jalan ditaburi daun-daun
merah, aku berasa hal-hal di rumah semakin berkecamuk. Rakan sebilik berkata
dia perlu keluar Fayetteville. Dia bosan
dengan bandar kolej ini. Dia telah memiliki ijazah dalam senihalus, kini dia
belajar bagi ijazah yang kedua dalam bidang kejuruteraan kimia. Dia seorang pelukis
yang hebat; tapi dia benci dengan apa yang dia rasa sebagai kepongahan dunia
seni, dan dia terinspirasi dengan seruan Barack Obama untuk melahirkan lebih
ramai jurutera.
Dia kurang tidur sebab risau tentang wang. Aku
sering terjaga setelah mendengar dia bersiul dan memasak pada jam tiga pagi, di
dapur yang hanya di sebalik pintu bilik tidur aku. Dia terpaksa bekerja untuk
bayar yuran, dan berusaha untuk membahagikan masa antara masa bekerja dan
tidur dengan masa belajar untuk hadapi
peperiksaan-peperiksaan.
Rumah kami dipenuhi dengan lipas dan cengkerik
unta. Suatu malam, aku temui rakan sebilik aku berlindung di sebalik satu
kerusi. "Mereka terbang ke arah aku," kata dia, kedua-dua matanya
kelihatan bulat. "Seekor
daripadanya terbang ke muka aku." Kami beli alat untuk membuang
habuk dan terjebak dengan rutin membersihkan serangga-serangga yang ada
pada permaidani dengan pembersih hampagas. Dalam bilik tidur
aku, kebanyakannya cengkerik unta, kumpulan serangga yang benar-benar menakutkan
dengan kaki-kaki belakang yang besar, sesungut panjang dan kelihatan aktif
meloncat ke mana-mana arah yang mereka rasa memberi ancaman.
***
Musim panas kedua: Aku pindah ke pangsapuri lain
di kawasan sunyi di bandar ini. Kebanyakan
masa aku menulis setiap hari, menanam sikap untuk tergoda melakukannya secara
berulang-ulang.
Berbeza dengan mengajar, mengembara ke negara
asing untuk menulis bersungguh-sungguh mungkin sesuatu yang paradoks; jauh
mengasingkan diri anda untuk mengkhayalkan, bagi mempersembahkan beberapa
tempat yang anda sudah amat biasakan diri (semua cerita aku berlaku di
England), manakala pada masa yang sama, persekitaran baru ini sudah membangun,
terhampar menanti di sebalik dinding-dinding pangsapuri anda.
Berikutan aku tiada apa yang hendak dibuat
melainkan menulis, musim panas ini terasa lewat berakhir berbanding yang
terdahulu. Cuaca sama sahaja, tentunya, sebagaimana setiap musim panas di sini:
panas terik, sekurang-kurangnya diselangi guruh - dan kemudiannya, buat
seketika, udara menjadi sejuk, dan jalan-jalan bertukar menjadi sungai-sungai.
Kadang-kadang aku keluar ke anjung untuk melihat keretapi berlalu pergi,
memekikkan bunyi horn, atau melihat
kemunculan kilat. Pada sebelah lewat petangnya, selepas makan, aku
kadang-kadang memerhati arnab-arnab bermain di atas rumput dalam suasana
matahari yang semakin tenggelam.
Kebanyakan kawan-kawan aku ketika ini telah
meninggalkan bandar ini.
Aku mungkin berubah menjadi sedikit gila,
bersungut mengenai perkara pelik, berkelakuan solipsistik di hadapan gadis
pemeriksa di Wal-Mart.
Pada musim panas inilah aku menemui M, seorang
penyajak yang mengikuti program MFA, yang juga berjaya mengeluarkan aku dari
pangsapuri aku itu.
Apabila kami tidak menulis, atau memeriksa
kertas-kertas peperiksaan pelajar, kami pergi ke taman untuk melontar kayu ke
arah anjing blue heeler, atau kami ke
pasar tani di pusat bandar.
Suatu malam, beberapa bulan memasuki penggal
musim luruh, kami pergi minum di sebuah bar bernama Roger's Rec, tempat
selekeh, penuh asap dengan meja-meja billiard dan meja-meja dan kerusi-kerusi
murah, dan yang suatu masa dulu menjadi tempat popular bagi kumpulan hippies
sekitar 70-an. Entah macam mana kami berbincang mengenai Tuhan dan agama dan
apa yang setiap kami percaya.
"Tabiat aku untuk berbual mengenai hal
sebegini," kata aku. "Aku tak begitu pandai berceloteh perkara biasa
terutamanya setelah meneguk tiga pint pale
ale."
"Okay- lah tu," kata dia. "Aku pun
sama."
Aku beritahu dia bahawa ayah aku seorang
atheis manakala ibu aku boleh agaknya dipanggil pantheis, dan oleh itu aku
berada dalam kedudukan di tengah-tengah, entah apa maksud sebenarnya.
M bercakap mengenai kisah dia membesar dalam
suasana Kristian yang tegas, bagaimana dia melarikan diri dari suasana itu -
sepertimana ramai pelajar ijazah pertama yang lain - apabila dia memasuki
universiti. Dia berminat untuk kembali kepada sesuatu bentuk kepercayaan,
mencari Tuhan katanya, tetapi mengikut terma-terma dia sendiri.
Sewaktu aku menemui ibu bapanya, aku dapati
mereka orang baik, mesra, bijak dan pemurah. Mereka tinggal di sebuah ladang
kecil, bukan komersial, tapi mengeluarkan daging dan susu - kadang-kadang
daging khinzir - untuk kegunaan mereka serta beberapa yang lain dalam
masyarakat setempat. Kami ke sana untuk merayakan Krismas. Dan aku seronok
bercakap mengenai agama dengan ibu bapanya, mengenai Tuhan dan kepercayaan,
pendiang api kayu bersemarak seiring dataran dan pergunungan putih dengan
salji. M, bagaimanapun, kerap beri alasan untuk beredar dari bilik berkenaan.
Masa berjalan, aku mulai mendapati kenapa dia
sukar untuk bercakap mengenai subjek ini dengan ibu bapanya. Dia tidak boleh
lagi percaya apa yang mereka percaya. Dia tidak boleh lagi percaya mengenai apa
yang Bible beritahu mengenai penciptaan amat terserlah. Ketika remaja dahulu,
dia diberitahu bahawa nafsu itu sifat iblis. Seks sebelum kahwin adalah dosa.
Dia berkembang dengan perasaan takut kepada neraka, rasa takut yang kemudiannya
menjadi bentuk lembut - namun kekal samar-samar - tapi kebimbangan yang berkekalan.
Sekali-sekala, aku ingin berkata, "Dengar
sini, tiada neraka." Tetapi aku dapati kemudiannya bahawa ia bukan mudah.
Aku berasa kecewa. Aku mulai faham kerosakan yang berlaku akibat ideologi
sebegini terhadap kanak-kanak - ia membuatkan aku berfikir mengenai
sebilangan pelajar-pelajar aku - dan gema trauma ini akan berpanjangan pada
seseorang meskipun setelah otak, bahagian logik dalam otak, mengurangkan tahap
kepercayaan ini kepada tahap dogma politik mentah.
Lebih teruk lagi, M bersusah-payah untuk
merasakan dia diterima ibu bapanya. Mereka menyokongnya, mereka pemurah dan
penyayang, tetapi kepercayaan mereka dan
ketidakupayaannya untuk berkongsi bicara bersama mereka bermakna dia berasa
agak terasing. Ia membuatkan hasratnya
untuk bebas melepasi realiti yang ditanamkan ke dalam dirinya sewaktu dia amat
kecil untuk menolak, untuk mempersoalkan, kelihatan sebagai suatu dosa. Kerana jika dia hanya percaya, seperti
mereka, jarak antara mereka itu boleh didekatkan.
***
Musim panas lalu, musim panas ketiga aku di
Arkansas: M dan aku berkayak merentasi White River.
Kami mulakan perjalanan di teluk sempit, tak
jauh dari ladang ibu bapanya, di mana kami ketika itu bekerja. Kami bawa
beberapa tin bir, dan berenang di teluk sempit sebelum memasuki sungai utama.
Airnya sangat sejuk dan aku dapat rasai ikan mengunggis jari-jari kaki manakala
ketika aku berdiri, paras leher, aku meninjau permukaan air yang berkilauan
untuk melihat sama ada ada ular-ular. Kami berjemur di atas batuan selepas renangan
pertama.
M menjeling pinggang aku. Ada serangga separuh
terbenam di bahagian atas getah pinggang seluar pendek aku, kaki-kaki kecilnya
menggeliang-geliut.
"Oh Tuhan," kata aku. "Ia masuk
ke dalam isi. Apa yang aku patut buat?"
"Sini," kata dia, "aku nak
tarik."
Dia tarik dengan cermat bagai seorang
profesional. Terdapat sedikit darah. Aku ketawa, bagaikan diberi
penghormatan kerana digigit sejenis
serangga bernama tick di Arkansas.
Tapi kemudiannya aku teringat sesuatu.
"Awak fikir aku dijangkiti penyakit Lyme
tak?" Tanya aku.
"Aku fikir awak tiada apa-apa
masalah," kata M.
"Aku pernah dengar serangga ini
menyebarkan penyakit Lyme. Betul tak?"
"Aku pernah dengar ramai orang kena gigit
dengan serangga ini, tiada pula diketahui mereka berpenyakit Lyme. Aku fikir
awak dalam keadaan baik."
"Kalau begitu," kata aku, "aku
akan beritahu awak jika aku mula berasa pelik."
Dia membuat muka, bagai mempersendakan aku. Aku
menginap di atas loteng dekat bangsal; sebaik sahaja aku masukinya, terdapat
seekor labah-labah cokelat besar (serangga warna cokelat yang suka menyendiri
ini memang asal-usulnya dari Arkansas); aku temui kulit ular di sekitar semak,
dan ibu bapa M beritahu kami ketika kami bekerja: "Jaga-jaga copperheads."
Sehingga hari itu, aku telah menjadi mangsa serangga chiggers yang menyebabkan kulit berasa gatal. Dan sekarang, sebagai
tambahan, serangga tick.
Kami ambil kayak dari tebing dan berkayuh ke
hilir.
Hutan di keliling kami diam, sunyi; hanya
bunyi kuakan pengayuh mencecah air, atau bunyi tin bir dibuka. Kami senyum sesama
sendiri, komunikasi yang melegakan.
Bukan mudah bekerja di ladang. Kami tak
dibenar kongsi bilik. Terdapat penekanan nilai tradisi, kenyataan mengenai
golongan wanita dan "tugasnya", atau "tugas seorang
lelaki," yang menyebabkan kami tak selesa. Seorang penulis berwajah pucat
dan kurus, telah diancam dengan idea kerja berbentuk fizikal. M beritahu
aku, separuh berjenaka, separuh lagi serius, "dengan bapa aku, setiap
teman lelaki baru, dia bina pagar."
Pada Temasya 4 Julai beberapa hari sebelumnya,
aku bertekak dengan seorang bekas tentera marin. Sebagai suatu tradisi
keluarga, anak lelakinya akan berkhidmat juga. Dengan kasar, aku memberi
nasihat kepada anaknya, beritahu dia yang dia perlu fikir secara kritikal
mengenai tentera, mengenai kenapa Amerika Syarikat berperang, supaya dia boleh
mempertimbangkan fikirannya. Bapanya dengan aku berbalas-balas
perkataan-perkataan kasar, sehinggalah (mujur ini berlaku) M heret aku dari
situ.
Selepas kami meninggalkan teluk sempit, kami
dihanyutkan arus deras, dan kemudiannya terapung di tengah-tengah sungai, hutan
hijau di kedua-dua tebing, memperjelaskan tahap lebar sungai. Kami kayuh ke
tebing supaya dapat tengok hutan lebih jelas, batang pokok yang panjang,
pokok-pokok lain, serta tebing sungai yang punya kehidupan tersembunyi.
M tunjuk penyu-penyu yang berada di hadapan,
berdiri diam di atas akar-akar kayu yang muncul dari air yang kelam. Ia menjadi
suatu yang penting, dengan berkayuh sesenyap yang boleh supaya kami dapat
hampiri mereka. Setiap kali penyu-penyu itu berasa kami dekat, mereka terjun ke
dalam sungai, dan lenyap.
Aku tak pernah lihat penyu-penyu di persekitaran
liar. Ada sesuatu yang menarik dan lucu apabila mereka terjun ke dalam air
sewaktu kami hampiri mereka, bagaikan mereka sedang mandi di atas akar-akar itu, adalah sesuatu yang amat sulit dari pandangan biasa.
Setiap pagi pada jam 6, M dan aku lakukan
pelbagai tugas di ladang, siram kebun, korek ubi kentang. Bapa M ajar aku cara
kendali traktor supaya aku boleh angkut
jerami dari padang ke bangsal. Cuaca panas membuatkan kerja lebih teruk berbanding
kesukaran yang sedia ada, namun meskipun kami dibahang matahari tapi kami berasa
sihat. Setelah selesai kerja sehingga tengahari, aku mandi di luar, hanya
tembok nipis diperbuat daripada tin menjadi pendinding tubuh aku dengan Pergunungan
Ozarks, airnya segar dan sejuk - M hulurkan bir melalui tirai yang diperbuat
daripada kain. Kemudiannya kami akan menulis beberapa jam, baca, atau tidur
sekejap.
Bagi M dan aku, tarikan dunia ini bergantung
kepada keberahian, kerja fizikal separuh pengsan dan makanan sedap. Suatu
malam, bapa M dan aku bermain muzik di anjung. (Aku ada bawa set dram aku) Kami
makan bagai satu keluarga, berbual dan bukannya tonton TV. Dan, sewaktu kami
berdoa, aku mulai berasa ia menghubungkan kami kepada sesuatu yang bermakna,
terhadap kerja membanting tulang seharian, terhadap tangan-tangan yang
menggenggami tanah, terhadap cuaca panas dan percikan peluh dan kitaran
kehidupan tempat ini: waktu pagi, dataran bermandikan embun, petang, matahari
menjadi malap di sebalik gunung-ganang; dan mungkin yang paling utama ialah
terhadap kemurahan hati ibu bapanya. (Bapanya yang mempercayai aku untuk pandu
traktor adalah suatu keajaiban, begitu juga perkara lain.)
Aku berasa tenang semasa kami terumbang-ambing
ke hilir.
Kemudian terdengar suara guruh dari kejauhan.
"Aku semakin letih," kata M.
"Hari nak hujan," kata aku.
"Aku tahu. Kita kena cepat. Aku tak mahu
terperangkap dalam ribut."
Aku buka satu bir lagi.
Dan sepanjang perjalanan selanjutnya, kayuhan
dayung-dayung kami kelihatan tergugat ekoran kami lebih menitikberatkan rasa kesunyian, juga suasana
gelap di langit.
William
Pittam berasal dari Staffordshire. Beliau pernah mengikuti MFA di Universiti Arkansas
di mana beliau dianugerahkan keahlian Walton
and Lily kerana terbabit dalam bidang fiksyen. Christopher Hitchens, nama yang disebut dalam cerpen ini pula, adalah seorang wartawan yang juga pengkritik sastera Amerika Syarikat. Beliau sudah meninggal dunia. Beliau dilahirkan di England.
Comments
Post a Comment